Khamis, 15 November 2012

PERTAHANKANLAH DEMOKRASI TAPI DEMOKRASI IKUT ACUAN ISLAM...BENTUK DEMOKRASI YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK

Muktamar PAS bermula di Kota Bharu

Salmiyah Harun dan Nazri Abdullah, 14 Nov 2012

(Presiden PAS di pentas bersama kepimpinan utama Dewan Muslimat PAS)

KOTA BHARU: Muktamar PAS tahun ini bermula dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS manakala timbalannya, Haji Mohamad Sabu merasmikan Muktamar Dewan Pemuda.

Muktamar Dewan Muslimat berlangsung di Kota Bharu Trade Centre manakala Muktamar Dewan Pemuda di Dewan Jubli Perak. Kedua-duanya di tengah-tengah bandar Kota Bharu bandaraya Islam.

Muktamar Dewan Ulamak akan berlangsung pagi esok manakala muktamar penuh akan bermula Jumaat ini di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik).


Muktamar Dewan Muslimat



Seramai 624 perwakilan muslimat dari seluruh negara memenuhi dewan utama Kelantan Trade Centre bagi mendengar amanat khas yang akan disampaikan oleh Presiden PAS.

Manakala seramai 262 pemerhati berdaftar mula memenuhi dewan seawal jam 7.15 malam.

Turut bersama dalam perasmian malam ini, Ketua Wanita DHPP Pusat Kumutha Raman dan Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) Maria Chin Abdullah serta para artis yang telah menyertai PAS termasuk Abby Abadi.

Majlis yang dimulakan dengan Asma al Husna kemudian diikuti dengan lagu Negaraku dan lagu PAS.

Pembukaan muktamar dimulakan dengan bacaan ayat suci Al Quran surah At Tahrim oleh adik Najib Nasarudin.

Kemudian diikuti ucapan Pengarah Muktamar Mumtaz Md Nawi, persembahan multimedia serta persembahan montaj khas yang bertajuk Wanita Prihatin kebajikan Terlaksana.

Pada malam ini, Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Mohd Yusuf turut akan menyampaikan ucaptama.

Muktamar Pemuda


(Perwakilan dan pemerhati muktamar Dewan Pemuda di Dewan Jubli Perak)

624 perwakilan Dewan Pemuda PAS dari seluruh negara menyertai muktamar kali ini di dewan Jubli Perak yang terletak di sebelah Stadium Sultan Mohamad ke 1v Kota Bharu.

Selain itu, dewan itu penuh dengan pemerhati dan tetamu muktamar itu.

Selain perasmian oleh Mohamad Sabu, ketua Pemuda, Nasrudin Hassan akan memberikan ucaptama menggariskan halatuju Pemuda PAS untuk sessi akan datang di samping mengimbau aktiviti mereka sepanjang tahun ini dan tahun lepas.

Pagi esok, mereka akan menyambung balik muktamar selepas selesai majlis perasmian malam ini.

Buktikan kemampuan 'malaikat tidak dikenali'

Nazri Abdullah, 14 Nov 2012

KOTA BHARU: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan mahu setiap individu pemuda mengasah kepakaran masing-masing bagi memenuhi keperluan negara dan massa.


Katanya, perkara itu penting sebagai bukti kepada masyarakat bahawa pemuda PAS bersedia diberi amanah memerintah negara ini dengan lebih baik berbanding pemerintah sedia ada.

"Maka hari ini, ia bukan lagi suatu pilihan tetapi kewajipan yang sangat mendesak bagi setiap individu pemuda mengasah kepakaran masing-masing, menjadi ahli dan menjuarai bidang yang diwakili.

"Kita buktikan kepada rakyat betapa ‘malaikat tidak dikenali’ ini benar-benar mampu untuk diberikan amanah memerintah negara. Ini adalah suatu kewajipan kolektif dalam merealisasikan secara praktikal slogan ‘Islam sebagai cara hidup’ dalam ruang dan peluang demokrasi di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ketua pemuda PAS sempena muktamar dewan itu yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB – BRI) di sini malam ini. (Gambar atas)

Menurut beliau lagi, PAS komited menawarkan satu pemerintahan lebih baik dari Umno BN sekarang ini yang telah ternyata korup dan penuh penyelewengan.

Sebab itu katanya, slogan PAS ganti Umno wajar diteruskan agar rakyat khususnya orang Melayu tahu matlamat sebenar kenapa PAS wajar dijadikan tempat berpaut dan bukan lagi Umno.

"Justeru kita menegaskan bahawa slogan ‘PAS Ganti Umno’ kekal dengan makna PAS mengambil tanggungjawab menggantikan Umno yang ternyata korup dan menyeleweng bukannya PAS yang mengulangi penyakit Umno setelah berkuasa," katanya

Duduk di Pahang, berurusan di Negeri Sembilan

Khairil Abdul Rahim, 14 Nov 2012

(Musa Hasan menyerahkan memorandum kepada Tuan Ibrahim. Di belakang kelihatan jalan tanah merah yang menjadi laluan ke kawasan penempatan mereka sejauh 6 kilometer.)

BERA: Mereka merupakan penduduk negeri Pahang, tetapi untuk membeli belah, melakukan urusan rasmi dan menghantar isteri bersalin terpaksa pergi ke Negeri Sembilan kerana kegagalan kerajaan negeri Pahang.

Penduduk-penduduk Felda Tembangau berkata, semuanya disebabkan kegagalan kerajaan menyempunakan jalan sepanjang enam kilometer yang belum berturap tar menghubungkan jalan ke bandar Bera.

Akibatnya, mereka terpaksa melalui jalan tanah merah yang sangat becak apabila musim hujan dan laluan berdebu pada musim panas.

Ekoran itu, mereka menghantar satu memorandum kepada Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi memohon bantuan PAS.

Menurut memorandum yang diserahkan penduduk kepada  Tuan Ibrahim  yang mengetuai Konvoi Cakna Rakyat yang menjelajah Parlimen Bera, setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) akan ada pihak BN yang berjanji untuk menyempurnakan jalan berkenaan.

Namun, menurut mereka, sehingga kini kawasan terbabit sudah diwakili dua orang menteri iaitu Datuk Seri Sabaruddin Chik dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masalah mereka tidak pernah diselesaikan.

“Jalan raya dari Penempatan Gugusan Felda Tembangau ke Daerah Jempul Negeri Sembilan telah lama dibina iaitu sekitar tahun 1980-an lagi. Kemudian di awal tahun 2000 sebatang jalanraya telah dibina menyambungkan Felda Palong Negeri Sembilan ke Felda Triang Selatan di Pahang dimana jalan ini dihubungkan melalui simpang Pos Iskandar dan penempatan Ladang Felda Tembangau 6 dan 8.

“Jalan ini juga telah melalui ladang Felda Tembangau 3 dimana jaraknya hanya lebihkurang 6 kilometer saja lagi ke penempatan padang Felda Tembangau 3 seterusnya menghubungkan Felda Tembangau 1 dan 2.

“Kami amat dukacita, jalan yang menghubungkan jalan raya ini ke Penempatan Felda Tembangau 3 yang hanya sekitar 6 kilometer saja ini tidak dapat dibina sehingga kini. Jalan sepanjang 6 kilometer ini hanyalah merupakan jalan laterait yang akan berdebu ketika panas dan licin ketika hujan. Malah dimusim tengkujuh jalan ini tidak dapat digunakan langsung,” jelas memorandum berkenaan.

Tegas mereka, penduduk Gugusan Felda Tembangau terpaksa melalui daerah Jempul, Negeri Sembilan untuk sampai ke bandar Bera yang menjadi pusat pentadbiran daerah ini.

“Kami dapat menjimatkan perjalanan sejauh 20 kilometer jika pembinaan jalan ini disempurnakan untuk ke bandar Bera dan tak perlu lagi melalui Negeri Sembilan untuk ke pusat pentadbiran daerah sendiri.

“Besarlah harapan kami agar PAS Negeri Pahang dapat memanjangkan masalah kami penduduk Gugusan Tembangau ini kepada pihak yang bertanggungjawab.”


Daftar anak


Sementara itu, Musa Hasan yang menyerahkan memorandum tersebut, berkata di penempatan mereka turut menghadapi masalah air yang kritikal dan anak-anak mereka yang didaftarkan dengan sijil beranak Negeri Sembilan (kerana ketiadaan hospital).

“Kawasan menghadapi krisis bekalan air yang kritikal dan ada kalanya terputus sehingga 5 hari. Keadaan makin teruk apabila kaum keluarga pulang dari bandar, musim kenduri dan bila ada kematian.

“Kami juga turut mendesak agar disegerakan pembinaan Hospital Bera kerana ketiadaan hospital di daerah ini pesakit terpaksa dihantar ke Negeri Sembilan untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Ini menimbulkan banyak kesulitan terutama kepada ibu-ibu mengandung.

“Ini menyebabkan kebanyakan anak-anak peneroka di sini dilahirkan di Negeri Sembilan kerana faktor jarak dan keadaan jalan yang teruk menyebabkan isteri-isteri kami tidak bersalin di hospital dalam negeri Pahang, kerana yang hampir ialah Hospital Temerloh yang jaraknya lebih 80 kilometer,” ujarnya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim dalam ucapan ringkasnya di hadapan penduduk, mengharapkan kerajaan segera berbuat sesuatu menyelesaikan masalah penduduk kerana memperlihatkan imej buruk negeri ini kepada rakyat di negeri yang bersempadan dengan Pahang.

Beliau turut menggesa Felda juga tidak memejamkan mata dengan tuntutan penduduk kerana agensi tersebut mendakwa paling berjaya di dunia dalam bidang menghasilkan komoditi, tetapi gagal membela warga Felda sendiri.

Rampasan baju Bersih 2.0 tidak sah - mahkamah

Harakahdaily, 14 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bahawa rampasan baju Bersih 2.0 oleh pihak polis dan Menteri Dalam Negeri tidak sah.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan bahawa pihak polis harus memulangkan baju-baju yang dirampas kepada plaintif dalam masa 14 hari.

Demikian dimaklumkan Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi (gambar) dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikut adalah kenyataan beliau.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bahawa rampasan baju Bersih 2.0 oleh pihak polis dan Menteri Dalam Negeri tidak sah di mana Mahkamah Tinggi turut memerintahkan bahawa pihak Polis harus memulangkan baju-baju yang dirampas kepada Plaintif dalam masa 14 hari.

Plaintif di dalam kes ini iaitu Musafri bin Abdullah Azmi memfailkan saman terhadap Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan 3 yang lain kerana mendakwa penahanan beliau dan rampasan pihak Polis terhadap baju-baju beliau yang tertera “Bersih 2.0 Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil” pada 24/6/2011 adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.

Plaintif diwakili barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) iaitu Mohd Nazruddin Abdullah, Ahmad Termizi Abdullah, Noorazmir Zakaria dan Azizzul Shariman

Perbicaraan adalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, iaitu Yang Arif Dato’ Hj Zainal Azman bin Ab Aziz.

JUHAM menyambut baik keputusan Mahkamah tersebut kerana tindakan pihak Polis yang sewenang-wenangnya merampas baju Bersih 2.0 jelas adalah suatu tindakan yang tidak bertamadun dan merupakan suatu tindakan terdesak bagi menghalalkan niat jahat Umno dan Barisan Nasional bagi menghalang kebangkitan rakyat dalam menyuarakan suatu Pilihanraya yang bebas dan adil.

Keputusan Mahkamah ini juga membuktikan bahawa pihak polis telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan pihak Menteri apabila dengan sengaja ingin menakut-nakutkan rakyat dengan membuat rampasan baju Bersih 2.0 tersebut yang jelas suatu tindakan yang langsung tidak berasas dan menyalahi hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi, ASP Mohd Amirul Anbalagan bin Abdullah, 41, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut ketika memberikan keterangan pada hari perbicaraan mengakui dan bersetuju bahawa memiliki dan memakai baju Bersih 2.0 adalah tidak salah.

JUHAM ingin menegaskan bahawa hak asasi manusia tidak boleh dicabul dengan menggunakan kuasa tangkapan dengan sewenang-wenangnya di mana kuasa untuk menangkap oleh pihak polis haruslah berasaskan kepada syak wasangka yang munasabah dan bukannya mengikut telunjuk UMNO dan Barisan Nasional.

JUHAM komited untuk terus memperjuangkan hak asasi anggota masyarakat yang ditindas dan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mara ke hadapan dalam menuntut suatu Pilihanraya yang bebas dan adil tanpa rasa gusar dan takut kerana hak anda sentiasa dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Seterusnya JUHAM memberikan amaran kepada Umno dan Barisan Nasional untuk tidak terus menggunakan taktik yang dayus dan menakutkan-nakutkan rakyat. Hadapilah rakyat secara anak jantan pada Pilihanraya Umum yang akan datang dan bukannya mempergunakan pihak polis hanya kerana ingin mempertahankan kuasa yang ada yang telah semakin reput ditelan dek kebangkitan rakyat.

KASE keluarkan panduan apa itu AES

Harakahdaily, 14 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mengeluarkan panduan khas untuk orang ramai memahamai apa itu AES atau Automated Enforcement System.

Ia dibuat dalam bentuk soal jawab untuk memudahkan orang ramai memahami apa itu AES dan kesannya kepada mereka sebagai pengguna jalan raya.

Berikut adalah bahan yang dikeluarkan oleh KASE yang dipengerusikan oleh anggota parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.



Tahukah anda apa itu AES?

a)    Apa itu AES – Automated Enforcement System

AES ialah suatu kaedah penguatkuasaan peraturan & undang-undang lalulintas secara automatik yang beroperasi 24 jam tanpa henti walau dalam apa jua keadaan cuaca.

b)    Bagaimana AES beroperasi?

AES beroperasi dengan pemasangan kamera automatik di lokasi-lokasi tertentu seperti jalanraya, lebuhraya & persimpangan lampu isyarat. Kamera akan menangkap gambar kenderaan yang melakukan kesalahan & dihantar ke pusat kawalan AES kemudian diedit & disahkan lalu dihantar ke pusat AES JPJ. JPJ akan mengesahkan kesalahan & butiran pemilik kenderaan & mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan.

c)    Apa kesalahan yang dikuatkuasakan di bawah AES?

Setakat hari ini :
a)    Memandu melebihi hadlaju; dan
b)    Melanggar isyarat lampu isyarat.

d)    Siapa yang mengendalikan AES?

AES dikendalikan secara bersama oleh JPJ & dua (2) syarikat swasta yang memasang kamera iaitu Beta Tegap Sdn Bhd & ATES Sdn Bhd.

e)    Apakah teknologi yang digunakan?

Beta Tegap Sdn Bhd menggunakan kamera keluaran Redflex dari Australia manakala ATES Sdn Bhd menggunakan kamera keluaran Jenoptik Robot dari Jerman.

f)    Di mana kamera AES dipasang?

Kamera AES dipasang di lokasi-lokasi kemalangan maut yang ditentukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia [MIROS]

g)     Apa fungsi syarikat Beta Tegap Sdn Bhd & ATES Sdn Bhd dalam AES?

Kedua-dua syarikat ini diberihak oleh Kerajaan untuk memasang kamera di lokasi yang telah ditetapkan.

h)    Adakah syarikat mendapat hasil daripada AES?

Ya, mengikut Model Kewangan dengan Formula 3 Langkah yang telah dipersetujui sejak tahun 2009, kedua-dua syarikat layak mendapat RM16 setiap saman yang dibayar.

i)    Bagaimana AES dikuatkuasakan?

Saman dikeluarkan oleh JPJ kepada pemilik kenderaan supaya hadir ke Mahkamah di kawasan kesalahan dilakukan. Jika pemilik bukan pemandu ketika kesalahan dilakukan, pemilik hendaklah memberitahu JPJ maklumat pemandu dalam tempoh 30 hari dari tarikh Saman dikeluarkan.

j)    Apa itu SAMAN

Saman ertinya suatu notis memerintahkan seseorang hadir ke Mahkamah.

k)    Adakah SAMAN perlu dibayar?

Saman tidak WAJIB dibayar kerana SAMAN adalah perintah hadir ke Mahkamah bukan perintah untuk membayar denda.

l)    Adakah kesalahan di bawah AES boleh dikompaun?

Kedua-dua kesalahan boleh dikompaun dengan tawaran kompaun juga RM300.

m)    Apa itu kompaun?

Kompaun ialah tawaran denda kepada pesalah untuk membayar denda lebih awal dalam suatu tempoh yang ditetapkan untuk mengelak hadir ke Mahkamah.

n)    Apa hukuman di bawah AES?

a)    Seksyen 79 (2) – tidak mematuhi isyarat hadlaju (papantanda), denda minimum ialah RM300 dan maksimum RM2,000
b)    Seksyen 79 (2) – tidak mematuhi isyarat lampu isyarat denda minimum RM300 dan maksimum RM2000

o)    Apa akan berlaku jika seseorang yang menerima SAMAN tidak membayar kompaun?

Jika kompaun tidak dibayar, seseorang itu hendaklah hadir ke Mahkamah yang dinyatakan di dalam Saman pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Kegagalan hadir ke Mahkamah seperti yang ditetapkan, suatu Waran Tangkap boleh dikeluarkan.

p)    Apa itu Waran Tangkap?

Waran Tangkap ialah suatu perintah menangkap OKS untuk dibawa ke Mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Seseorang yang dikeluarkan Waran Tangkap tidak bermaksud telah melakukan kesalahan seperti yang didakwa tetapi sekadar untuk membawa beliau hadir ke Mahkamah bagi menjawab tuduhan.

q)    Bagaimana proses Mahkamah dalam kes Saman AES?

Proses Mahkamah dalam Saman AES adalah sama seperti kes-kes yang lain.

Tuduhan akan dibacakan.

Contoh tuduhan

"Bahawa kamu pada 12/11/2012 jam lebihkurang 10:00 pagi di km 6.6 Jalan Kajang-Puchong dalam Daerah Puchong di Negeri Selangor sebagai pemunya berdaftar kenderaan motor WWW 1234 telah memandu kenderaan tersebut dengan kelajuan 123 kmsj iaitu melebihi hadlaju 80 kmsj yang telah ditetapkan bagi jalan tersebut, kamu gagal mengikuti peraturan isyarat (papantanda) yang sah di mana berlebihan hadlaju 43kmsj dan oleh yang demikian itu, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama di bawah Seksyen 109(2) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 79(2) akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87)"

Adakah kamu mengaku bersalah?

Jika OKS mengaku salah, maka pengakuan salah diterima & diminta untuk membuat rayuan hukuman. Hukuman Denda RM300 minima & maksima RM2000. Maka OKS boleh merayu hukuman diringankan. Mengikut prosedur biasa Mahkamah, mahkamah akan mengambil kira kesalahan pertama & lain-lain faktor seperti kewangan & tanggungan keluarga & penjimatan masa Mahkamah sebelum menetapkan hukuman. Kebiasaannya hukuman bagi kesalahan pertama ialah RM300 seperti yang ditetapkan & mungkin juga Mahkamah boleh melepaskan dengan jaminan berkelakuan baik.

Jika OKS tidak mengaku salah, maka Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara di mana pihak pendakwa (JPJ) perlu membuktikan bahawa OKS melakukan kesalahan. Beban pembuktian terletak di pihak Pendakwaan bagi membuktikan OKS melakukan kesalahan. Bukti-bukti seperti gambar & lain-lain termasuk saksi-saksi akan dikemukakan semasa perbicaraan. Jika diakhir perbicaraan, OKS didapati salah, Mahkamah akan jatuhkan hukuman di mana hukumannya sama seperti mengaku salah. Jika diakhir perbicaraan pihak Pendakwa gagal membuktikan kesalahan, maka Mahkamah akan melepaskan OKS.


TERBITAN

JAWATANKUASA KEMPEN ANTI SAMAN EKOR
[KASE]

14 NOVEMBER 2012.
29 ZULHIJJAH 1433

Najib sebar kegelapan halang kemenangan cahaya

Lim Kit Siang, 14 Nov 2012
Meskipun tajuk-tajuk berita menyebutkan, ,“S’gor BN to scrap Batu Caves condo if we win” (Malaysiakini), “Najib promises Indians no Batu Caves condo if BN regains Selangor” (The Malaysian Insider), “PM: We’ll scrap Batu Caves project if we win Selangor”(New Straits Times); “Najib: Return Selangor to Barisan and Batu Caves ground will be safe” (Star) dan “PM: Bt Caves development will stop if BN regains S’gor”(Sun),reaksi paling awal bagi rakyat Malaysia yang bersikap adil, munasabah dan patriotik adalah rasa tidak senang atau rasa ada yang tidak kena dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mengapakah begitu? Mengapa mereka yang mahu projek kondominium 29 tingkat Dolomite Park Avenue dibatalkan tidak menyambut pengumuman Najib dengan tangan terbuka dan sokongan tidak berbelah bahagi?

Itulah juga tindak balas saya. Pada tahun 1980, saya telah mengumumkan “Kempen Menyelamatkan Batu Caves DAP” bagi bersama-sama menggembleng tenaga dengan semua pemulihara dan kumpulan-kumpulan pelindung alam sekitar untuk menyelamatkan warisan semulajadi yang berusia 500 juta tahun dan rumah ibadat 800,000 penganut Hindu di Malaysia dengan memberhentikan semua aktiviti pengkuarian di Batu Caves.

Setelah berjaya menyelamatkan Batu Caves sekali, DAP dan Pakatan Rakyat tentulah tidak teragak-agak untuk melancarkan satu lagi “Kempen Selamatkan Batu Cave” berpunca daripada projek kondo 29 tingkat yang diluluskan oleh MIC/BN pada 2007.

Bagaimanapun, DAP dan Pakatan Rakyat tidak melancarkan “Kempen Selamatkan Batu Caves” yang kedua memandangkan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat telah segera mengeluarkan arahan “berhentikan kerja-kerja” kerana projek kondominium itu tidak sepatutnya diluluskan oleh pihak berkuasa Barisan Nasional pada 2007 sebagai contoh, bantahan Jabatan Alam Sekitar (DOE) negeri telah diabaikan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengumumkan penubuhan satu pasukan petugas bebas untuk mengkaji semula isu sekitar projek kondo 29 tingkat Dolomite Avenue Park di Batu Caves dan memberikan cadangan-cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor apakah cara terbaik untuk memelihara tapak suci itu dan pada masa yang sama membenarkan pembangunan di sekitar kawasan tersebut.

Oleh itu mengapa pengumuman Najib untuk membatalkan projek kondo Dolomite Avenue Park menimbulkan rasa tidak senang malah rasa mual, sedangkan itulah apa yang semua orang mahukan?

Ini adalah kerana pengumuman Najib untuk membatalkan projek kondo Batu Caves sekiranya BN berjaya menawan Selangor bukanlah “kemenangan cahaya mengatasi kegelapan”, kebenaran mengatasi tipu daya, atau kebaikan mengatasi kejahatan, tetapi merupakan berterusannya penyebaran kegelapan untuk menghalang kejayaan cahaya.

Ia menimbulkan rasa tidak senang dan memualkan kerana mencemarkan intipati dan semangat Deepavali.

Semalam, saya telah mendapatkan pandangan umum di blog saya tentang respon mereka terhadap pengumuman Najib. Di bawah adalah contoh pandangan-pandangan yang diberikan:

1.    “Sekiranya Selangor tidak jatuh ke tangan Pakatan pada 2008, tentunya kondominium itu telah siap sekarang…masih ingat TBH (Teoh Beng Hock). Dia juga berjanji untuk melakukan apa sahaja bagi memberikan keadilan kepadanya. Nampaknya TBH masih menantikan keadilan di dalam kuburnya.”

2.    “Ini sepatutnya mengejutkan semua kaum India daripada lena. Najib sedang cuba memperdaya kalian. Pertama, BN mencuri wang rakyat, apabila terdedah, mereka berjanji untuk membayar wang tersebut semula sekiranya mereka berjaya menawan Selangor. Kita semua tahu Najib tiada kemampuan memimpin, tetapi perlukah membuat janji sedemikian ketika Diwali?”

3.    “PERTAMA, Umno belasah anda sehingga lebam-lebam. KEMUDIAN, Umno berjanji akan memberikan anda ubat-ubatan. DAN UNTUK ITU, anda sepatutnya berasa sangat bersyukur; dan berikan Umno semua nambekei anda dan yang lebih utama, undi anda juga.”

4.    “Sekarang, apa sahaja yang dia janjikan – sama ada untuk teruskan atau sebalikya – tidak kira sama ada tindakan seterusnya adalah memenuhi janji atau tidak – bukanlah ditentukan oleh betul atau salah memandangkan mereka perlu mempertimbangkan semua pertimbangan yang saling menyaingi, tetapi apa yang menentukan adalah sama ada janji tersebut akan memberikan lebih banyak undi daripada orang-orang yang pernah mereka pinggirkan. Yang paling penting dalam kepalanya adalah kejayaan pilihan raya dan berjaya memelihara kedudukannya, oleh itu ini adalah pendekatan populis semata-mata. Itu sahaja.”

5.    “BN kini menjadi satu bahan jenaka. Mereka telah hilang kewarasan. Cipta masalah, kemudian hapuskannya, lupa kepada beban yang perlu ditanggung oleh mereka yang membelinya. Ini adalah sangat-sangat tidak bertanggungjawab. Mereka terlalu mahu untuk menang, dengan apa cara sekalipun.”

Tidak diragui lagi yang pengumuman Najib telah meninggalkan rasa jelek di kalangan rakyat Malaysia yang berfikiran wajar, mencemarkan kesucian hari Deepavali!

Najib tentu kelihatan lebih jujur sekiranya beliau secara terbuka memohon maaf atas kelulusan yang dibuat MIC/BN ke atas projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves pada 2007, mengenalpasti dan menghukum semua  anggota majlis perbandaran dan pemimpin-pemimpin MIC BN yang bertanggungjawab ke atas projek itu (tiada siapa yang akan percaya bahawa pemimpin-pemimpin tinggi MIC/BN tidak terlubat dalam memberikan kelulusan kepada projek itu), juga mengisytiharkan apakah sumbangan MIC/BN untuk memulihkan semula masalah berpunca daripada kelulusan yang diberikan MIC/BN kepada projek kondo itu pada 2007, sebagai contoh berapa yang sanggup MIC/BN berikan sekiranya terdapat elemen melibatkan pembayaran ganti rugi.

Biarlah semua pemimpin-pemimpin MIC/BN, sama ada peringkat nasional atau negeri, yang telah memberikan kelulusan kepada projek kondo 29 tingkat di Batu Caves pada 2007 maju ke depan dan mengakui kesalahan mereka.

Rogol: PAS anggap bukan imej polis negara ini

Muhammad Faizal, 14 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS hari ini memberi jaminan bahawa tiga anggota polis yang didakwa terlibat dalam kes rogol warga Indonesia akan dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang berat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan tiga anggota polis itu adalah bersifat peribadi bukannya menggambarkan imej pasukan polis negara ini.

"Saya pasti agensi polis negara ini sentiasa menjaga imej baik mereka di negara ini mahupun di negara-negara luar dan apa yang berlaku itu ia hanya melibatkan sifat peribadi ketiga-tiga mereka.

"PAS akan pastikan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman yang berat atas perbuatan mereka yang telah mencetus ketidakpuasan hati negara jiran kita Indonesia," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mengulas tindakan rakyat Indonesia yang mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Indonesia selain membakar Jalur Gemilang dan mendesak Duta Besar Malaysia diusir dari negara tersebut.

"Pertama sekali kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia terjamin keselamatan mereka, ini amat penting kerana kita tidak mahu berlaku sesuatu terhadap mereka.

"Perkara kedua pula kerajaan perlu memohon maaf kepada kerajaan Indonesia bagi meredakan kemarahan serta menjelaskan bahawa rakyat Malaysia di sana tidak bersalah dan tidak terlibat langsung dengan insiden tersebut dan menjelaskan tindakan telah diambil terhadap mereka yang bersalah," sambung beliau lagi.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut merayu agar rakyat dan kerajaan Indonesia tidak bertindak di luar jangkaan terhadap rakyat Malaysia yang berada di sana serta memberi jaminan pihak polis dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

Sebelum ini, seorang warga Indonesia mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks oleh tiga anggota polis di Balai Polis Perai pada 9 November lalu.

Perancis iktiraf pakatan pembangkang Syria

Terjemahan Mohamad Yahya, 14 Nov 2012
Perancis menjadi kuasa Barat yang pertama mengiktiraf pembangkang Syria yang baru sebagai wakil tunggal rakyat Syria.


"Perancis mengiktiraf Pakatan Kebangsaan Syria (Syrian National Coalition) sebagai wakil tunggal rakyat Syria dan  dengan itu sebagai kerajaan masa depan sementara untuk negara Syria yang demokratik," Presiden Perancis, Francois Hollande memberitahu sidang akhbar di Paris Selasa lalu.

Persoalan untuk membekalkan kumpulan penentang dengan senjata akan dibincang sejurus selepas pakatan pembangkang membentuk sebuah kerajaan peralihan, ujar Hollande.

"Berkenaan pembekalan senjata, Perancis tidak akan menyokong selagi ia tidak jelas ke mana senjata-senjata ini pergi," ujar Hollande.

"Perkara ini akan dibincang selepas pakatan ini menjadi sebuah kerajaan Syria yang sah, bukan sahaja oleh Perancis, tetapi juga oleh semua negara yang mengiktiraf kerajaan ini."

Pengumuman itu dibuat selepas kumpulan pembangkang bersetuju Ahad lalu di Doha untuk bersatu menentang rejim Presiden Bashar al-Assad. (aljazeera.com)

Langkah Perancis datang 24 jam selepas pakatan itu diiktiraf oleh enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) - Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Oman.

Najib lupa siapa punya projek kondo Batu Caves

Muhammad Faizal, 14 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat terlupa untuk menyelidik pemilik sebenar projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves sebelum membuat pengumuman untuk membatalkan projek tersebut sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menawan Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang dihubungi memberitahu adalah satu perkara yang melucukan apabila pihak yang meluluskan projek tersebut ingin membatalkannya semula bagi mendapatkan sokongan undi.

"Dia (BN) yang lulus lepas dia pulak hendak batalkan, ini tindakan yang amat melucukan.

"Saya rasa Najib tidak membuat penyelidikan sepenuhnya siapa pemilik projek tersebut sebelum beliau mengumumkan pembatalan sekiranya BN menawan Selangor," jelasnya.

Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat  turut menyatakan tindakan Najib itu dilihat amat terdesak apabila sokongan dari orang Cina dan India terhadap BN mula merosot.

"Beliau ingin mendapat kembali undi dari kaum India sebab itulah terpaksa membuat pengumuman yang memalukan.

"Walhal semua rakyat sudah mengetahui siapa sebenarnya pemilik projek kondominium tersebut, sudah lima tahun tanpa ada pengumuman tiba-tiba bila hampir pilihan raya pengumuman tersebut dilakukan," sambung beliau lagi.

Semalam, Najib telah mengumumkan akan membatalkan projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves sekiranya BN berjaya menawan Selangor.

Beliau membuat pengumuman itu ketika  berucap di majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC di pekarangan kompleks Batu Caves.

Namun sebelum itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengumumkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas untuk menyiasat isu kondominium yang berdekatan kuil Subramaniar itu.

Exco Kerajaan negeri, Ronnie Liu dalam kenyataan pada 7 November memberitahu kerajaan Selangor mungkin membatalkan kelulusan projek tersebut bagi mengabaikan bantahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.
Penulis ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur merangkap Penasihat DAP.

Pembunuh beramai-ramai Afghanistan dituntut bunuh

Terjemahan Mohamad Yahya, 14 Nov 2012
Pendakwa raya tentera menuntut perbicaraan penuh dan pelaksanaan hukuman bunuh ke atas seorang tentera Amerika Syarikat (AS) yang dituduh membunuh 16 orang penduduk kampung Afghanistan. .
Menggulungkan kes mereka di pra perbicaraan, pendakwa menyifatkan  pembunuhan beramai-ramai yang didakwa dilakukan oleh Sarjan Robert Bales Mac lalu sebagai "kejam dan hina", yang mana butiran lanjut telah diberikan semasa perbicaraan selama lapan hari di sebuah pangkalan tentera di selatan Seattle.

"Berdasarkan kekejaman dan sifat jenayah, kami mencadangkan untuk meneruskan kepada perbicaraan penuh mahkamah tentera," ujar pendakwa Major Rob Stelle di Pangkalan Bersama Lewis-McChord luar Tacoma, Washington.

"Kerana [sifat jenayah yang didakwa] kejam, ganas dan teratur, kami meminta pihak berkuasa menjatuhkan hukuman penuh," termasuk hukuman mati, katanya.

Keluarga Bales menegaskan beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, memanggil dia sebagai seorang yang "berani dan mulia," manakala peguam beliau menimbulkan peranan alkohol, dadah dan tekanan dalam tragedi tersebut. (aljazeera.com)

Demokrasi di muktamar PAS terus dipertahan

Aslani M | Foto Rizal Tahir, 14 Nov 2012

KOTA BHARU: PAS tetap mempertahankan demokrasi dengan memberi peluang kepada perwakilan membangkit apa sahaja isu tanpa ada sekatan pada muktamar yang bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun Timbalan Pengarah Muktamar, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, setiap negeri ditetapkan membahas isu yang sudah ditetapkan PAS Pusat.

“Biar pun diberi kebebasan untuk berucap namun ada garis panduan secara kasar di mana perwakilan membahas berdasar kepada inti ucapan dasar Presiden.

“Secara umumnya tidak ada apa-apa sekatan bagi membangkit apa-apa isu. Ia tidak lebih sebagai satu muhasabah bagi memantapkan parti,” katanya pada persidangan media menjelang muktamar di Putik hari ini.

Hadir sama Pengarah Muktamar kali ke-58, Datuk Mohd Amar Abdullah dan anggota-anggota jawatankuasanya.

Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berkata, muktamar kali ini berlaku pertambahan 15 lagi kawasan baru iaitu dari Sabah dan Sarawak menjadikan kesemua perwakilan seramai 1,100 orang.

Sekarang terdapat 185 kawasan PAS di seluruh negara, di mana setiap kawasan menghantar seramai 15 perwakilan dan paling minimum lima orang.  Dewan Himpunan Penyokong PAS juga menghantar perwakilan.

Perasmian muktamar pada pagi Jumaat juga akan dihadiri pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat, di mana KeADIlan diwakili Presidennya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail.

Manakala DAP diwakili Penasihat, Lim Kit Siang dan Ketua Pemuda, Anthony Loke. Selain itu tetamu gerakan Islam dari luar negara termasuk dari Syria, Hamas, Sri Lanka, Thailand dan Indonesia.

Manakala kedutaan asing yang mengesahkan akan menghantar wakil termasuk Singapura, Switzerland, Pakistan dan Amerika Syarikat.

Takiyuddin juga berkata, panitia muktamar juga menghantar surat jemputan kepada veteran-veteran PAS di seluruh negara untuk hadir pada muktamar kali ini.

“Dua barisan di bahagian hadapan dewan dikhaskan untuk veteran-veteran yang datang pada muktamar ini,” ujarnya.

Muktamar juga diserikan dengan ekspo yang mengadakan jualan di bahagian belakang kompleks Putik, yang disertai 82 peniaga termasuk dari luar Kelantan.

Selain itu ruang pameran agensi kerajaan dari negeri-negeri Pakatan Rakyat, PAS-PAS kawasan dari seluruh negara juga disediakan di sebelah bangunan Putik, dengan tema Enam Dekad PAS Menerajui Ummah.

Pada malam Jumaat akan diadakan ceramah pra Himpunan Kebangkitan Rakyat di tapak eskpo membabitkan Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Speaker Dun Kelantan, Dato’ Nasuruddin Daud dan wakil DHPP, Lau Chin Chua.

Malam 16 November pula diadakan ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad Ke IV membabitkan pemimpin utama Pakatan.

Program tersebut bermula jam 4 petang dengan ekspreasi anak muda. Selepas itu solat Maghrib, Isya dan solat hajat sebelum ceramah bermula.

Pada program berkenaan juga empat wakil NGO iaitu Lynas, Royalti, Bersih dan Anak akan menyampaikan ucapan sebelum pemimpin utama Pakatan mengambil tempat.

Malam 17 November pula akan diadakan Konsert Hijrah yang akan menampilkan 15 artis yang berhijrah termasuk Wan Aisyah, Abby Abadi, Bob Lokman dan Leman Raja Lawak.

Pogram berkenaan akan diadakan di tapak eskpo bermula jam 9 malam.

Mohd Amar pula berkata, persiapan di Putik menjelang muktamar penuh Jumaat ini sudah lebih 95 siap.

Tiada ulasan: