Rabu, 28 November 2012

DAH DITAKDIRKAN...BUKAN KEBETULAN...SEMUA DALAM ILMU ALLAH SWT...SALON OH SALON

Mangsa ketiadaan air minta PAS bantu

Harakahdaily, 28 Nov 2012


(Seorang penduduk membawa Abang Mat [kiri] ke dapurnya untuk menunjukkan air tidak ada)


KOTA SAMARAHAN: Lebih 3,000 keluarga di daerah Asajaya telah mengalami gangguan bekalan air yang kritikal sejak beberapa hari lalu.

Menyedari keadaan semakin meruncing sehingga langsung tiada air bersih di kampong mereka, penduduk menghubungi PAS bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Kampung yang terjejas teruk dengan masalah tersebut adalah Kampung Tambirat, Sambir dan Moyan dan Sebandi yang terletak di bawah DUN Asajaya, Parlimen Kota Samarahan.

Lebih memeritkan lagi, ada kalangan penduduk kampung yang terpaksa berbelanja lebih untuk membeli bekalan air bersih berupa air mineral dan air minuman untuk meneruskan majlis kenduri kahwin.

Antara yang menerima aduan ini adalahAbang Ahmad Kerdee Abang Masagus, AJK PAS Pusat. Beliau menerima panggilan daripada penduduk kampung tersebut bergegas ke tempat kejadian untuk mendengar dan melihat sendiri keadaan tersebut.

Menurut beliau seteleh meninjau keadaan di ketiga-tiga kampung tersebut, keadaan ini amat menyusahkan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Situasi ini amat memalukan. Sudahlah tiada notis diberikan sebelum 'pemotongan untuk penyelenggaraan' tersebut dilakukan, pihak Lembaga Air yang berkenaan langsung tidak menghantar bantuan yang sepatutnya disalurkan melalui lori-lori air ke kampong berkenaan. Ini mengundang kemarahan penduduk kampung di atas ketidakcekapan di dalam pentadbiran kerajaan negeri BN," kata Abang Mat.

Tambah beliau lagi, “Apabila persoalan diajukan kepada Penghulu dan Pengerusi JKKK kampong berkenaan, jawapan yang diberikan adalah tiada makluman daripada pihak atasan untuk dihebahkan.”

Bagi penduduk kampung yang mempunyai tangki simpanan air, mereka memaklumkan air yang ditadah semasa hujan beberapa hari sebelumnya sedikit sebanyak membantu mereka menjalankan kehidupan harian mereka.

Namun, daripada tinjauan di sekitar kampong tersebut, hanya beberapa buah rumah sahaja yang mempunyai tangki tersebut dan selebihnya bergantung sepenuhnya daripada sumber yang dibekalkan oleh Lembaga Air yang berkenaan.

Seorang penduduk kampung, Mahathir Ahmad, 35, beliau terdetik untuk menghubungi PAS setelah Harakahdaily melaporkan berita mengenai lawatan Abang Ahmad Kerdee di Pusa, Beting Maro berkenaan masalah yang sama.

“Tiada cara lain lagi untuk mengajar pemerintah, hanya melalui PAS dan PR sahaja pilihan yang ada. Aduan demi aduan sudah dibuat kepada YB dan pihak berkenaan namun hasilnya mengecewakan. Batang paip untuk saluran air yang dikhabarkan pada pilihanraya negeri tahun lepas pun banyak yang tersadai di tepi jalanraya. Mungkin dah dekat PRU nanti barulah disambung,”ujar beliau sinis.

(Gambar: Abang Mat menunjukkan batang paip yang diletakkan di tepi jalan menjelang pilihan raya negeri lalu...ia tersadai di situ selepas pilihan raya)

Beliau berkata lagi, di kampungnya hampir setiap hari bekalan air terganggu dan meminta pihak YB dan yang berkenaan segera mengatasi masalah mereka dan bukan hanya meletakkan paip air di tepi jalan semata-mata.

Para peniaga yang ditemui juga melahirkan rasa terkilan dan marah dengan keadaan tersebut. Menurut mereka kemungkinan perniagaan kedai makan mereka terpaksa ditutup jika keadaan tiada bekalan air itu berterusan.

“Slogan 'Rakyat Didahulukan' betul-betul kena atas batang hidung kami. Sekarang mana perginya 'Pencapaian Diutamakan?'," soal Mahathir lagi.

10 tahun hidup guna air tercemar



PENDUDUK terpaksa membuang air yang kotor di Kampung Buluh Poh, Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU – Penduduk di Kampung Buloh Poh di sini terpaksa berdepan dengan masalah air kotor dan berbau ekoran ketiadaan sistem perparitan yang gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa sejak 10 tahun lalu.
Ekoran masalah itu, aliran air dari bukit berhampiran kampung itu bertakung dan menyerap ke dalam perigi yang digunakan penduduk sebagai sumber air dalam keperluan harian mereka.
Menurut seorang penduduk, Sabariah Mat Nor, 66, masalah itu berlarutan sejak 10 tahun lalu dan kualiti air menjadi semakin teruk setiap kali musim hujan.
“Saya sekeluarga menggunakan air daripada perigi yang digali sendiri kerana air paip yang disediakan oleh kerajaan negeri tidak boleh digunakan kerana tekanannya rendah.
“Malangnya, air yang disedut daripada perigi berbau busuk dan langsung tidak boleh digunakan. Malah, jika terkena pada kulit, badan akan menjadi gatal-gatal,” katanya ketika ditemui semalam.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati air yang digunakan penduduk itu berwarna kekuningan dan berbau busuk seperti air longkang.
Menurut Sabariah, dia terpaksa menumpang di rumah jirannya untuk mandi dan mengambil air sembahyang kerana air di rumahnya tercemar .
Dia sekeluarga juga terpaksa membeli air bersih sebanyak 10 botol sehari untuk kegunaan memasak dan minum.

Banyak beristighfar dengar ucapan pemimpin Umno

Aspan Alias, 28 Nov 2012
Saya baru sahaja selesai mendengar bahagian akhir ucapan Muhyiddin Yassin dalam upacara perasmian Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka PWTC. Dewan yang penuh sesak itu tidak pula menampakkan kehadiran yang ramai di luar dewan. Ucapan Muhyiddin terganggu sekejap kerana kesampaian Wanita nombor satu negara, Rosmah Mansor, bagi memberikan penghormatan kepada isteri Perdana Menteri yang jelita itu.


Pada keseluruhan ucapan itu, ia tidak ada apa-apa perbezaan dan kelainan dari ucapan-ucapan pada tahun-tahun yang lalu. Hanya yang kita dapati perbezaannya ialah ucapan yang menumpukan hentakan terhadap Ketua Pembangkang Anwar dan mengejek-ngejek PAS dan DAP.

Itu sememangnya biasa kerana kalau tidak melakukan hentakan kuat terhadap pembangkang ia bukanlah ucapan Muhyiddin atau pun Najib. Kalau tidak menghina pimpinan pembangkang mereka bukannya Najib atau Muhyiddin. Tetapi itu tidak mengapa. Dalam politik masa kini janganlah kita harapkan mereka hendak mengakui kebaikan yang telah dilakukan oleh PR dalam negeri-negeri yang ditadbir oleh pihak Pakatan Rakyat itu.

Apa yang amat mengaibkan sebagai pemimpin parti yang sudah matang dan berusia, ucapan itu dihamburkan kata-kata seolah-olah usaha Pakatan Rakyat untuk mendapatkan mandat itu adalah sebagai usaha jenayah dan seolah-olah pembangkang itu dipenuhi oleh binatang haiwan yang liar dan tidak langsung wajar hidup dan bernyawa di dunia ini. Muhyiddin telah menghina dan memberikan segala keburukan kepada pembangkang sedangkan ucapan itu diselang dan selikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan hadith-hadith Nabi yang sohih.

Pembangkang dikatakan oleh Muhyiddin sebagai penentang agama, bangsa dan negara dan rakyat perlu untuk memberikan UMNO sekali lagi untuk mentadbir negara ini setelah mentadbir sejak negara mencapai kemerdekaan. Bagi Muhyiddin yang menjaga agama hanyalah UMNO tetapi Muhyiddin tidak pula menyebut bahawa rasuah yang sedang dilakukan oleh pimpinan BN khususnya UMNO, sekarang ini merupakan tentangan secara ‘head-on’ dengan kehendak agama dan negara.

Muhyiddin sepatutnya menyeru ahli-ahli dan pimpinan UMNO supaya hentikan rasuah kerana rasuah itu lebih buruk dari membunuh dan disamakan sebagai orang yang memakan daging saudaranya sendiri oleh agama kita. Rasuah adalah perbuatan yang sehina-hinanya, malah rasuah merupakan penyebab utama kejatuhan sesebuah kerajaan dan tamaddun manusia.

Ancaman Muhyiddin terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang itu menunjukkan yang UMNO begitu ‘desperate’ untuk terus berkuasa dan menganggap sesiapa yang mencuba untuk mengambilalih kuasa itu adalah kumpulan yang beliau anggap seperti binatang dan haiwan ternakan semata-mata, sedangkan parti-parti pembangkang itu adalah parti yang halal dan mempunyai hak untuk mencuba membetulkan apa yang telah di lakukan oleh BN sejak mentadbir negara secara terus-terusan selama ini.

Muhyiddin menuduh PR tidak mengotakan janji-janjinya kepada rakyat tetapi Muhyiddin tidak sedar janji-janji UMNO sejak mencapai kemerdekaan 55 tahun dahulu masih belum tercapai. UMNO masih gagal untuk meletakkan Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa bukan Melayu tetapi Muhyiddin tidak malu-malu menuduh PR tidak melaksanakan janji-janjinya.

Kalau lah UMNO telah melaksanakan janji-janjinya selama ini, masakan orang melayu masih ketinggalan dalam serba serbi. Jika UMNO telah berjaya sebagai parti pemerintah masakan orang melayu masih diharapkan bersandar kepada UMNO untuk mendapatkan sesuap nasi setiap hari. Malahan anak-anak pemimpin besar negara seperti anak-anak Dr Mahathir masih bersandar dan menggunakan UMNO sebagai modal perniagaan sehingga menjadi ‘billionaire’ dan menjadi salah satu keluarga yang terkaya di dalam negara ini.

Jika UMNO benar-benar berjaya masakan Mirzan Mahathir mengambil hampir RM2 billion wang rakyat untuk menyelesaikan kegagalan perniagaannya. Tetapi Mahathir semasa berkuasa memandang hina kepada bangsanya sendiri kerana terlalu lazim menggunakan tongkat. Dr Mahathir meminta orang Melayu supaya berdiri dengan kepandaian sendiri dan membuang tongkat yang di sebut di dalam perlembagaan negara itu. Tetapi kenapa anak-anaknya sendiri menggunakan kuasa dan pengaruh UMNO untuk menjadi kaya raya.

Itulah sebabnya kadang-kadang saya sendiri tidak dapat mengawal emosi saya kerana apa yang diseru oleh Mahathir dan pimpinan selepas beliau itu semuanya menggunakan tongkat iaitu UMNO. Muhyiddin tidak menyebut ini semua. Sebab apa? Kerana beliau tidak malu seolah-olah rakyat boleh dikotak-katikkan dengan seruan dan ucapan yang beremosi itu.

Muhyiddin seperti Najib juga. Beliau seolah-olah akan menjadi gila jika pembangkang mendapat kuasa dalam PRU ini. Bagi mereka-mereka ini hilang kuasa serupa seperti memasuki neraka sedangkan peralihan kuasa bergilir-gilir itu adalah mainan negara yang demokrasi. Apa yang Muhyiddin sebutkan dalam ucapan itu hanya menandakan sikap dan sifat UMNO yang tidak memahami yang demokrasi ini adalah pusaka bergilir dan bukannya hak kekal UMNO dan BN.

Bagi pimpinan UMNO jika kalah BN ia seperti dunia akan kiamat. Tetapi rakyat sudah memahami hakikat bahawa ada kehidupan selepas UMNO. Momokan yang 'tiada UMNO tiada Melayu' itu hanya terpakai semasa rakyat belum berfikir dan tidak nampak yang ‘there is life after UMNO’. Malahan ia adalah kehidupan yang lebih baik kerana pihak PR akan membina rakyat yang berfikir.

Rakyat yang berfikir sekarang ini faham yang Najib atau UMNO bukan untuk menyatukan orang Melayu tetapi untuk menjadikan Melayu sebagai bangsa yang ‘subservient’ kepada UMNO. Penyatuan Melayu kepada UMNO ialah apabila orang melayu hanya tunduk dan menyembah UMNO dan tidak yang lain. Bagi Najib beliau mahukan rakyat menafikan segala-galanya melainkan UMNO, sama seperti orang mukmin yang sebenar-benarnya menafikan segala-galanya melainkan Allah swt. Pemimpin UMNO seolah-olah mahukan orang melayu Islam hanya menzuhudkan UMNO bukannya yang lain-lain.

Bagi pemimpin-pemimpin UMNO seperti Muhyiddin UMNO itu adalah parti yang akan memisahkan semua umat yang bangkit di yaumil mahsyar nanti dengan ahli-ahli UMNO kerana hanya ahli-ahli UMNO itu sahaja yang akan memasukki syurga Allah.

Sepatutnya Muhyddin bercakap tentang permasalahan dalaman yang sedang dihadapi oleh UMNO sekarang ini dalam mana beliau merupakan agen yang memecah belahkan UMNO sekarang. Ramai yang tidak mempercayai keadaan ini, tetapi tunggu sahaja lah apabila calon-calon UMNO diumumkan dalam PRU nanti. Keadaan dan masa akan membuktikannya.

Hanya satu yang perlu kita sedar apabila mendengar ucapan Timbalan Presiden UMNO itu: UMNO begitu gentar dengan Pakatan Rakyat dan kita juga melihat dengan mata hati yang UMNO sendiri sedang berpecah di setiap peringkat.

Bagi pihak Pakatan Rakyat, apa yang perlu dilakukan sekarang hanya beristighfar banyak-banyak semasa menghadapi serangan iblis dan syaitan yang tidak mahu kita bersatu dan berpadu di luar UMNO dan BN ini.

Cerita sebenar Deepak Jaikishan kawan Rosmah

Harakahdaily, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Hasil desakan perwakilan Muktamar agar wartawan bertanya Datuk Seri Najib siapa dia, Deepak Jaikishan (gambar) dengan sukarela menghubungi Harakahdaily untuk menceritakan siapakah dia sebenarnya.

Deepak J Tekwani, pengarah kepada Carpet Corporation menghubungi Harakahdaily untuk memberikan cerita sebenar di sebalik hubungan beliau dengan keluarga Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pertemuan berdepan kira-kira setengah jam di sebuah hotel terkemuka itu, Deepak menceritakan apa sebenarnya hubungan beliau dengan keluarga Perdana Menteri khasnya Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.

Ia bermula apabila Rosmah menjadi pelanggan kedai karpet beliau di Jalan Tunku Abdul Rahman. Selepas itu hubungan mereka baik dan Deepak diperkenalkan kepada Najib.

Ketika itu, Najib adalah Menteri Petahanan.

Namun persahabatan mereka berakhir apabila Deepak diminta menolong keluarga Najib ekoran akuan bersumpah (SD) yang dibuat oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Ia berakhir apabila Bala tidak berpuashati dan Deepak dipersalahkan oleh keluarga Najib.

"Cara dia bertindak bukan sebagai kawan yang menolong kawan, tetapi dia hantar 50 orang penguatkuasa datang ke ofis saya, rumah, dan kilang saya dengan niat memberi amaran untuk saya tidak mendedahkan perkara sebenar & menutup cerita sebenar SD," cerita Deepak kepada Harakahdaily.

Ikuti pendedahan siapa Deepak Jaikishan sebenarnya melalui temubual wartawan Harakahdaily dengan beliau.


Apa tujuan saudara mahu bertemu dengan Harakah (daily)?

Saya tertarik dengan pertanyaan Harakah (daily) minggu lepas, siapa saya (Deepak Jaikishan). Saya sebenarnya terlibat dalam perniagaan karpet dan perniagaan hartanah.

Saudara dikaitkan dengan Datuk Seri Najib. Sebenarnya bagaimana hubungan saudara dengan keluarga beliau?

Hubungan...saya memang kenal Datuk Seri dan Puan Seri. Saya sebagai pembekal karpet dan terlibat dalam perniagaan. Kalau ada peluang bisnes, kita mintak sokongan dari pihak beliau.

Sudah lama hubungan itu. Bagaimana saudara kenal dia?

Ia hanya bisnis karpaet. Mungkin 2004 atau 2005, Datin Seri (Rosmah) datang ke kedai kita di Jalan Tunku Abdul Rahman. Dia datang kedai beli karpet, so kita berkenalan dari situlah. Kamudian Datin Seri perkenalkan kepada suami dia. Masa itu dia (Najib) adalah Menteri
Pertahanan.

Bisnes apa yang saudara buat dengan dia?

Mungkin tidak sesuai saya dedahkan hari inilah. Mungkin sessi lain. Sebab saya hanya mahu jawab apa yang saudara tanya dalam akhbar saudara. Apa hubungan saya dengan mereka. Bisnis saja, tidak ada yang bukan-bukan. Ia hanya bisnis sahaja. Dia isteri orang, tidak ada yang bukan-bukan, tidak baik. Ia benar-benar bisnes sahaja.

Ada laporan dalam Malaysiakini yang saudara berkata, ia hubungan kakak adik sahaja, tanpa lain-lain?

Ya boleh dikatakan begitu.

Pada pandangan saudara, kenapa saudara dipopularkan sangat?

Saya pun rasa. Dulu tidak ada macam itu. Mungkin kesalahan saya bila saya tolong dalam kes Bala (P Balasubramaniam). Semasa kita dengan tidak sengaja terlibat dalam kes Bala untuk menolong keluarga Perdana Menteri. Masa itulah nama kita naik.Sememangnya kita tidak suka, kita suka low profile.

Sebelum ini tidak ada apa-apalah?


Takda, kita senyap-senyap buat bisnes kita. Di Malaysia, kalau kita high profile bukan senang kita nak buat bisnes.

Macamana pulak saudara terlibat dalam kes Bala. Ia menjadi persoalan kepada orang ramai?


Ini kes mahu tolong kawan. Pada kita dia kawan yang setialah. Jadi kita tolong. Contohnyalah, saya dengan saudara dekat kolam renang. Saya tidak tahu berenang. Tetapi saya lihat saudara jatuh ke dalam kolam dan tenggelam. Jadi saya pun masuk dalam kolam untuk menolong saudara. Jadi saya rasa pada masa itu, kita saja yang ada dan kita diminta menolong. Kita bukan terlibat secara langsung. Lawyer pun lawyer dia (keluarga PM), kita saja tolong koordinat. Reporter pun dia yang panggil. Kita fikir ketika itu ada kawan yang terdesak minta pertolongan. Dia pun dah ada hubungan baik dengan kita.  Kita tak anggap perkara ini akan menyusahkan kita dan melibatkan kita secara langsung dalam kes Altantuya inilah.

Maksuk Encik Deepak, saudara baik dengan Bala ke, saudara tolong Bala ke atau...
Saya tolong keluarga Datuk Seri Najib.

Saudara memang kenal Bala?

Saya tidak kenal secara langsung, ada kenalan melalui komuniti yang sama, perkara ini terjadi. Saya dipanggil waktu tengah malam, "You boleh tak selesaikan masalah ini...its a big problem". Saya pun ada seorang saudara yang kenal dia (Bala), seorang anggota polis juga. "Tanya dia boleh tak you uruskan orang ini, minta dia jumpa wakil keluarga Datuk Seri." Dia setujulah. Kita perkenalkan dia. Kita bukan terlibat dengan apa-apa proses lain, kita tidak terlibat.

Jadi selepas itulah nama saudara menjadi popular?

Ya ini memang kesalahan kitalah. Kalau perkara ini terjadi sekali lagi, saya tidak boleh berenang, saya tengok saudara tenggelam, saya akan biarkan tenggelamlah. Saya tak boleh nak tolonglah sebab manusia tidak mengenang budi.

Adakah selepas itu hubungan dengan Bala bermasalah?

Sebenarnya dia (Bala) bukan marah dengan kita. Dia marah orang yang telah janji dengan dia. Bukan saya.

Apa berlaku kepada hubungan saudara dengan Datuk Seri selepas itu?

Saya rasa selepas semua inilah, apabila ia sudah terdedah, kita telah dianggap bersalah kerana tidak dapat memuaskan semua kehendak Bala. Sebenarnya bukan kita yang terlibat dalam masalah ini, bukan kita yang terlibat dalam kes Altantuya. Kita pada malam itu menolong saja tetapi dipersalahkan kerana tidak dapat memenuhi kemahuan-kemahuan Bala. Bala ini bekas Pi. Seminggu cerita itu, seminggu lagi cerita ini. Kita tidak mahu terlibat dengan semua itu. Kita orang bisnes tidak mahu terlibat dengan dunia James Bond inilah.


Apa berlaku selepas itu. Saudara dilihat senyap sedikit selepas itu?


Kita pun mahu cerita ini senyap tetapi tidak begitu. Saudara juga terlibat bangkitkan lagi cerita ini. Saya rasa kes ini tidak akan senyap sehingga kes Altantuya selesai dengan adil. Bagi saya, dunia ini dikuasai oleh Tuhan Yang Maha Esa. Saya rasa selagi kes ini tidak selesai, perkara ini tidak akan terhenti. Kita tidak bersalah, tangan kita bersih. Kita tidak mahu dikaitkan dengan benda yang libatkan kes-kes yang sebegini kejam, Kita nak bercakap benar dengan semua orang. Memang satu masa dulu kita telah menolong kawan tetapi kita tidak bersalah. Kita tak terlibat dan tidak ada motif untuk melibatkan diri.


Selepas apa yang berlaku dengan Bala, adakah masih baik dengan keluarga Datuk Seri?


Sebenarnya, selepas perkara ini berlaku, mereka telah mengambil tindakan cuba mensenyapkan saya. Cara dia bertindak bukan sebagai kawan yang telah menolong kawan, tetapi hadiah yang dihantar adalah hantar 50 orang penguatkuasa kerajaan datang melawat, masa kes Bala terdedahlah. Jadi kita pun tahulah pada ketika itu, Najib is sitting Prime Minister. Dihantar pula 50 orang penguatkuasa datang dan angkut lima enam lori.

Jadi apa tindakan saudara?


Kita tunjuklah ketidakpuasan hati kita, perniagaan kita terjejas. Kalau you anggap saya sebagai kawan, you besar atau kecil, kawan tetap kawan, kita mesti tolong. Kalau tidak boleh tolong, jangan susahkan. Jangan makan kawan. Jadi tindakan yang dibuat untuk kawal situasi dengan hantar 50 penguatkuasa untuk menyeyapkan kita, supaya kita senyap, jangan cakap. Kita tahulah, ini bukan kawan. Kalau macam ini, baik hari itu bagi dia tenggelam.


Apa tindakan selepas itu?


Kita duduk diam-diam. Yang hangus tidak boleh diganti. Jadi sekarang saja nak bersihkan nama saya. Kita pun tak libat bisnes dengan mereka lagi. Dah dua tahun tidak libat lagi bisnis dengan dia tetapi masih cerita ini keluar. Bagi saya cerita ini tidak akan selesai sehingga Altantuya dibicarakan dengan adil dan mendapat hak dia. Kita tidak mahu dilibatkan. Sangat jelas  penglibatan kita pada malam itu hanya tolong kawan dan SD itu sendiri dibuat oleh peguam mereka.


LAPORAN BERKAITAN


Tanya Najib siapa Deepak dan K Eswaran

SAMM bukukan maklumat Scorpene, mudah difahami

Hazayani Zakaria, 28 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) komited untuk terus 'mempermudah' isu rasuah pembelian kapal selam Scorpene agar difahami masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, sebelum ini kes yang sedang dibicara di Mahkamah Perancis ini dilihat terlalu teknikal dan sukar untuk diterangkan kepada masyarakat.

Hal ini katanya menyebabkan masyarakat tidak berminat untuk mengambil tahu kes ini sedangkan katanya, kes ini merupakan 'bapa' kepada semua kes jenayah di Malaysia.

"Sebelum ini masyarakat tidak berminat untuk mengetahui perkembangan ini kerana dilihat terlalu eksklusif dan sukar difahami.

"Oleh itu menjadi komitmen SAMM untuk turun kepada rakyat, permudahkan isu supaya ia difahami di semua peringkat kerana ini melibatkan Kerajaan Malaysia, rasuah, pembunuhan, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa. Selesai isu Scorpene ini, banyak perkara boleh selesai," kata beliau kepada Harakahdaily dalam program tayangan secara langsung taklimat Scorpene di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) semalam.

Taklimat yang diadakan di Changi, Singapura itu disampaikan peguam, Apolene Cagnat  yang juga rakan kongsi peguam William Bourdon yang mewakili Suara rakyat Malaysia (Suaram).

Hadir sama mendengar wakil kedutaan Malaysia di Singapura. Cagnat ditemani peguam Suaram, Fadiah Nadwa Fikri.

Taklimat dihadiri ahli-ahli Parlimen daripada PAS, PKR dan DAP, mewakili Pakatan Rakyat.

Taklimat tersebut diubah ke Singapura berikutan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikr Amin Mulia menolak permintaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus melarang taklimat itu diadakan di Parlimen Malaysia.

Sebelum ini Bourdon tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

SAMM dengan kerjasama Suaram sedang mengadakan siri jelajah ke seluruh Malaysia bagi memberi penerangan kepada masyarakat berhubung kes tersebut.

Badrul Hisham juga berkata, SAMM akan melancarkan buku bertajuk ‘Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia’ pada bulan hadapan.

"Kita sudah kenal pasti semua aspek perundangan dalam kes ini dan kita akan perturunkan semua maklumat ke dalam booklet bagi memudahkan orang faham," katanya.

RM195,000 elaun 2 bulan guru Pasti Kelantan

Rizal Tahir, 28 Nov 2012


(Pelajar yang menerima anugerah bergambar bersama Abdul Latif dan pimpinan Pasti negeri.)

KOTA BHARU: Sebanyak RM195,000 dibelanjakan oleh Pasti Kelantan untuk elaun bulanan kepada tenaga pengajarnya seramai 650 orang seluruh negeri dalam tempoh dua bulan tahun ini.

Jumlah itu termasuk kenaikan elaun guru-guru Pasti bermula bulan ini (November-Disember) di samping bonus yang baru diperkenalkan tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan pada majlis Hari Anugerah Kualiti Pasti Negeri Kelantan dan Penyampaian Elaun Guru Pasti 2012 yang dirasmikan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, di Putik semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Pasti negeri, Abdul Latif Abdul Rahman serta setiausahanya, Hafiz Musa.

Husam ketika berucap pada majlis itu berkata, walaupun kerajaan Pusat menafikan hak prasekolah,  namun demi Islam PAS berjaya memajukan Pasti dengan sumber kewangan yang terhad.

Katanya, mengikut perlembagaan negara, Kerajaan Pusat bertanggungjawab mengeluarkan dana kepada mana-mana pihak yang membuka prasekolah atau sekolah aliran agama yang lain.

“Namun apa yang berlaku dalam negara kita, perdana menteri serta timbalannya bukan sahaja tidak membantu, sebaliknya ingin menghapuskannya termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR),” ujarnya.

Beliau yang juga anggota exco kerajaan Kelantan seterusnya berkata kerana nawaitu yang baik demi untuk pendidikan Islam, akhirnya Pasti muncul sebagai sebuah pra pendidikan yang terkenal dan terhebat di negara ini.

Sambungnya, kerana kehebatannya itu juga ia menarik minat masyarakat bukan beragama Islam untuk menghantar anak-anak mereka belajar di Pasti.

Salun unisex: PAS sambut baik keterbukaan Kelantan

Salmiyah Harun, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS Pusat sangat mengalu-alukan sikap keterbukaan kerajaan Kelantan menimbangkan cadangan bagi membincangkan isu salun rambut unisex dan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini mengikut konsep hak kebebasan anutan orang bukan Islam.

"PAS sentiasa komited menyelesaikan apa jua permasalahan melalui pintu rundingan," kata kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS hari ini.

Kenyataan itu dibacakan oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sekejap tadi. (gambar)

Kenyataan ini dibuat berikutan kenyataan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Fadzli Hassan yang menyatakan kesediaan kerajaan negeri Kelantan untuk membincangkan isu ini.

Menurut kenyataan itu, PAS percaya Kerajaan Kelantan tidak bermaksud untuk meluaskan pelaksanaan apa-apa peruntukan berkaitan perundangan moral Islam ke atas orang bukan Islam.

Ini dibuktikan, dengan penggubalan Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 tidak terpakai ke atas orang bukan Islam.

Dalam masa yang sama, kerajaan Kelantan juga perlu melaksanakan tanggungjawabnya, atas mandat yang diberikan rakyat bagi memastikan kemurnian akhlak rakyat beragama Islam terus terpelihara.

Sehubungan dengan isu ini, PAS percaya bahawa maksud utama peraturan kecil ini adalah untuk tujuan tersebut.

PAS telahpun dimaklumkan oleh kerajaan negeri Kelantan bahawa mereka bersedia menimbangkan cadangan semua pihak daripada kumpulan bukan Islam bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini.

Ditawan penyamun kalah judi



ORANG ramai berkumpul untuk mengetahui perkembangan kes pekerja salun dijadikan tebusan di Kuala Krai semalam.



KUALA KRAI - Suasana tenang di Dataran Guchil di sini semalam bertukar kecoh apabila seramai 2,000 orang awam berkumpul untuk menyaksikan adegan cemas melibatkan lima pekerja salun dan seorang pekerja restoran yang dijadikan tebusan selama tiga jam setengah oleh penyamun bersenjatakan pistol palsu.
Kejadian mendebarkan pukul 2 petang itu berakhir tiga jam setengah kemudian dengan polis dapat memberkas suspek berusia 27 tahun dari Tanah Merah selepas berjaya menjalankan rundingan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Pemeriksaan mendapati, suspek merupakan seorang graduan pereka grafik dari salah sebuah universiti tempatan.
Kejadian itu turut mengakibatkan dua mangsa pengsan dengan salah seorang diserang asma.
Difahamkan, suspek datang ke premis itu dengan memakai topi keledar dan menutup mulut sebelum mengacukan pistol palsu ke arah pekerja. Suspek turut membawa sebilah pisau.
Ketika kejadian, dua pekerja yang berada di dalam tandas dan bilik rawatan muka yang tidak disedari suspek telah menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Sepanjang tempoh tiga jam setengah itu, suspek telah melepaskan seorang demi seorang tebusan sehingga tinggal seorang pekerja wanita sebelum dia diberkas.
Sementara itu, salah seorang pekerja salun, Muhamad Zafri Mat Hussein, 24, berkata, dia berada di dalam tandas ketika suspek memasuki kedai sebelum bertindak mendiamkan diri dan menghubungi polis.
"Saya ada keluar sebentar apabila terdengar bunyi kecoh dan masuk semula ke dalam tandas sebaik melihat penyamun mengacukan pistol dan mencekik salah seorang rakan saya.
"Saya duduk selama tiga jam di dalam tandas dan hanya keluar selepas segalanya selesai. Ketika itu, suspek tidak menyedari kehadiran saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai.
Seorang lagi mangsa, Siti Roskasma Rozali, 25, memberitahu, suspek terus memegang rakannya, Nazirah Isa, 18, sebaik pintu dibuka selepas loceng ditekan.
"Dia kemudian meminta Nazirah membuka peti simpanan wang. Suspek kemudian meminta saya menghubungi majikan selepas dimaklumkan yang kunci peti berada dalam simpanannya.

Salun: Non muslim selesa peraturan MPKB-BRI

Harakahdaily, 28 Nov 2012
KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, saya mendapat maklumat daripada sumber yang terpercaya bahawa mengikut tinjauan yang baru saja diadakan, majoriti peniaga dan masyarakat non muslim di Kota Bharu sudah cukup selesa dengan peraturan kedai gunting dan salun yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan sebagaimana disyaratkan MPKB-BRI," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia," Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya, para peniaga non muslim merasa lebih beruntung kerana hampir semua pengunjung wanita Islam akan melanggani perkhidmatan mereka dengan selesa tanpa ragu-ragu dengan kehadiran kaum lelaki tetpi jika sebaliknya, mereka mungkin mengalami kemerosotan pelanggan wanita Islam.

Bahkan, ujarnya mereka juga sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Datuk Takiyudin Hasan, exco kerajaan negeri, kelmarin merasa lebih selesa apabila keluarga dan wanita mereka akan melanggani pusat kecantikan tersebut tanpa kaum lelaki yang kehadiran mereka sedikit pun tidak dianggap satu keperluan di premis berikut kecuali gatal sangat mahu didandan rambut mereka oleh wanita.

"Perlu difahami, peraturan ini bukanlah undang-undang Islam, tetapi peraturan sivil yang berlandaskan panduan syariat ugama," ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, agama Islam menyeru kepada keselamatan dan kehormatan wanita, menyeru kepada usaha mencegah eksploitasi wanita dan menutup ruang-ruang ke arah maksiat dan kemungkaran.

Beliau menambah, adalah jelas berdasarkan kajian lapangan di seluruh negara, pusat-pusat kecantikan wanita sering menjadi topeng kepada operasi dan kegiatan eksploitasi dan tidak bermoral terhadap wanita.

"Sesuai dengan masyarakat Kelantan yang majoriti besarnya adalah muslim, di samping masyarakat non muslimnya yang begitu tahu, menghormati dan selesa dengan peraturan-peraturan 'Islamik' yang diperkenalkan, adalah wajar sekali peraturan seperti di atas dijadikan panduan dan kajian ke arah melahirkan masyarakat madani/sivil yang menghormati martabat kaum wanita," katanya.

Justeru, ujarnya malang sekali bagi sesetengah pihak, muslim atau bukan muslim, yang menjadikannya sebagai bahan perlecehan dan serangan atas nama hak-hak asasi dan kebebasan.

"Isteri mana selesa melihat suaminya diusap tangan wanita?" tanya beliau.

Ini, kata beliau apatah lagi, wanita non muslim di Kelantan juga sudah cukup selesa dengan pengharaman premis judi dan penghadan penjualan arak di Kelantan.

Menurut beliau, mereka perlukan suami yang bertanggung jawab, tidak pulang ke rumah lewat malam, mabuk dan berang terhadap mereka dan anak-anak di rumah.

Bukankah ini satu kehidupan yang aman dan sejahtera? Bukankah inilah transformasi dan reformasi masyarakat sivil yang gemilang?

"Walau bagaimanapun, saya amat sukacita jika ianya dibincangkan secara sihat. Mana tahu, ia semakin membuka mata kita untuk melihat kesempurnaan panduan agama Islam yang semakin diterima dengan baik hari ini. Usaha penambahbaikan amat dialu-alukan.

"Sehingga kini, tiada yang menentangnya kecuali yang keras kepalanya, luar dan dalam," katanya.

Tiada ulasan: