Rafizi: 'Betul, saya tak rasa malu juang isu rakyat'
12 November 2012
Sebaliknya kata beliau, yang perlu malu adalah menteri-menteri yang menjadi pemimpin rakyat tetapi tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Kata Rafizi, jika Noh mahu menerima pakai konsep malu dan faham tentang maksud perkataan itu, beliau yang perlu meletak jawatan kerana telah gagal memberi jawapan mengenai isu-isu salah guna dana rakyat.
Tambahnya, "sebenarnya ini perkara kecil yang diperbesarkan Umno, Umno yang nampak ketakutan dengan kebangkitan rakyat ini."
"Bagi saya, tak ada yang perlu kita rasa malu, di mana-mana kita boleh bawa isu rakyat, itu tugas kita.
"Yang perlu malu sebenarnya menteri-menteri yang yang makan duit rakyat dan mereka tak akan cakap pula macam itu. Noh pun patut malu sebab tak mengambil tanggungjawab beliau dalam NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan)," katanya kepada Sinar Harian Online.
Kelmarin, Noh dipetik media berkata, beliau menyambut baik larangan dibuat terhadap orang luar tidak boleh mengadakan sidang ahkbar di Parlimen kerana sudut sidang media itu adalah satu kawasan khusus untuk ahli-ahli Parlimen tetapi telah dimanipulasi oleh pemimpin parti pembangkang yang bukan ahli Parlimen untuk membuat sidang media.
"Rafizi bagi saya ahli politik tidak matang, tidak tahu malu dan hanya mengambil kesempatan.
"Lebih melucukan apabila dia pula menyalahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kononnya menggunakan kuasa menghalangnya membuat sidang media," katanya, kelmarin.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, isu rakyat perlu diketengahkan oleh wakil rakyatnya walaupun di mana sahaja dengan niat membantu rakyat.
"Saya boleh nak buat sidang parlimen di mana pun, Parlimen, depan pejabat Noh, depan pejabat Nazri, di mana sahaja saya boleh buat untuk ketengahkan isu rakyat.
"Itu tugas kita untuk membantu rakyat," katanya lagi.
Budaya 'politik samseng': Pasti ada hikmah, kata Wan Azizah
12 November 2012
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebagai sebuah negara demokrasi yang sudah mengecapi kemerdekaan puluhan tahun lamanya, politik ganas yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini hanya meletakkan negara di kedudukan terkebelakang dalam pemikiran.
"Jika mahu politik ganas yang baling batu, baling cat, serang peribadi dan pelbagai lagi, maka politik ini hanya memundurkan pemikiran negara.
"Negara kita juga meletakkan Islam sebagai agama rasmi, jadi politik ganas ini bukanlah cara kita dan budaya Melayu,"katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian.
PKR antara parti yang berhadapan dengan budaya politik 'samseng' apabila bas yang dilancarkan parti itu bagi menggerakkan Jelajah Merdeka Rakyat diserang dan disimbah cat.
Bas yang turut membawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disimbah dengan cat merah dan cerminnya dipecahkan ketika siri kempen parti itu di Kelantan.
Malah perkara sama turut berlaku di Melaka.
Jelajah Merdeka Rakyat ke seluruh Semenanjung ini dikatakan bertujuan untuk mendekati dan menyampaikan mesej kepada rakyat agar memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk mengubah Kerajaan Pusat.
PKR sebelum ini mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh 'samseng upahan'.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dalam berkempen, parti itu menganggapnya "sebagai ujian kepada kami dan ada hikmahnya."
"Di bas jelajah kami, selepas pertama kali terkena cat, kami bersihkan, tetapi selepas kali kedua berlaku, kami tidak bersihkan. Kami cuma bersihkan di bahagian pemandu sahaja kerana tidak mahu halang pemanduan. Kami jadikan kesan cat ini sebagai perhiasan,"katanya.
Menurut isteri kepada Ketua Umum PKR itu lagi, bagi mengelakkan budaya politik ganas daripada terus menular di negara ini, parti itu menasihati penyokongnya supaya "jika ada provokasi, jangan lawan balik, biarkan sahaja kerana apa pun berlaku, kami sering didakwa yang memulakan provokasi,"tambah beliau lagi.
Pas tak mimpi bersama Umno
12 November 2012
Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman berkata, ini kerana, sejarah kerjasama antara Pas dan Umno pada masa lalu membuatkan parti Islam itu lebih berhati-hati dalam memilih rakan komponen yang mempunyai persamaan prinsip dengan mereka.
Beliau mendakwa, Umno dilihat bersifat lebih ‘kemelayuan’ dan kurang menitik beratkan soal agama terutama dalam kes ketirisan di kalangan pemimpinnya.
“Ahli akademik boleh beri pendapat mereka (kemukakan cadangan kerjasama Pas dan Umno diwujudkan) kerana dia hanya duduk dalam sebuah institusi (sebagai pemerhati). Tapi pemimpin dan ahli Pas yang merasai sendiri, lebih tahu apa makna perjuangan mereka.
“Ibarat orang masuk stadium, pemerhati boleh bercakap apa saja. Tapi sebagai pemain, dia sendiri yang akan rasa (perjuangan) ‘go to the ground’,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malayisa (UIAM), Prof Madya Dr Yusof Muhammad supaya kerjasama Pas dan Umno diwujudkan demi Islam dan orang Melayu.
Kenyataan itu dibuat Yusof dalam Wacana Kembalikan Pas ke Landasan Asal, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), di Kuala Lumpur, seperti disiarkan Sinar Harian, semalam.
Dalam pada itu, Abd Rani turut mempersoalkan dakwaan dilemparkan pihak tertentu bahawa Pas bukan parti dominan dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Apa perkara yang dikatakan kita (Pas) tak dominan? Saya beri contoh, peruntukan bagi sekolah agama di Selangor banyak diberikan kepada sekolah agama rakyat (SAR), berbanding dengan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT),” katanya.
Mengenai dakwaan Pas bermasalah akibat pengemudi dalam parti itu sendiri, Abd Rani menegaskan perkara itu tidak berlaku kerana ahli Pas semuanya terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya golongan ulama, tabligh dan profesional.
“Bila duduk dalam Pas, kita kenalah ikut acuan (dasar dan perjuangan) Pas. Kalau tak ikut dan mendatangkan kemudaratan kepada parti, Majlis Syura akan ambil tindakan. Mereka boleh dipecat kalau cuba bawa hala tuju parti ke tempat lain,” katanya.
'Politik rakus cari ruang menjelang PRU13'
12 November 2012
Suhu politik negara dikatakan mengalami peningkatan sejak selepas Pilihan Raya Umum 2008. Salah satu elemen dan kejadian di sebalik suhu politik yang mengalami peningkatan ialah politik sabotaj dan politik ganas. Ada yang melabel sebagai politik agresif.
Sinar Harian Online mengupas perkembangan ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. Ikuti penulisan awal mengenainya.
SHAH ALAM - Penganalisis politik melihat perkembangan politik kini dilihat lebih bersikap peribadi dan melangkaui jangkauan politik sebenar.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, apa yang terjadi kini adalah politik rakus di mana ahli politik berusaha mencari kedudukan.
“Inilah punca berlakunya 'pembunuhan karakter' seperti yang berlaku dalam isu video dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan kontroversi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikaitkan dengan seorang pelakon dan beberapa isu lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Amalan politik itu tidak terhenti di situ sahaja. Ceramah parti politik turut diserang. Jentera pilihan raya termasuk bas yang digunakan juga menjadi 'mangsa'.
Menurutnya, isu 'pembunuhan karakter' bukan perkara baru dan pernah berlaku dalam sejarah politik negara cuma tidak menjadi terlalu besar seperti yang berlaku kini.
“Isu 'pembunuhan karakter' pemimpin politik kini seolah-olah menjadi fokus utama masa kini dan ini boleh memberi kesan kepada generasi akan datang.
"Jika fenomena ini terus berlarutan, golongan muda khususnya akan merasa muak dengan politik negara.
“Komuniti senyap masih belum bersuara kerana golongan ini yang dilihat bakal menjadi penentu kemenangan sesuatu parti pada pilihan raya umum nanti.
"Golongan yang membuat kecoh ini hanya segelintir saja dan kita semua mengharapkan suasana politik lebih berhemah dari pemimpin parti politik,” katanya.
Tambah beliau, sebagai pemimpin politik, mereka harus menjadi contoh dan rujukan kepada ahli parti terbabit bagi mengelakkan isu yang boleh menjejaskan kestabilan kaum di negara ini.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan perkembangan yang berlaku dalam politik negara ketika ini menandakan pilihan raya umum (PRU) semakin dekat.
“Saya menjangkakan PRU kali ini sengit sebab pembangkang banyak kerusi dan sebab itu kita dengar macam-macam perkara berlaku.
"Tidak seperti pilihan raya umum pada 2008 kerana masa itu pembangkang tidak menjangka mereka menang banyak kerusi,” katanya.
Mengulas mengenai kekecohan yang berlaku kebelakangan ini beliau berkata, perkara itu boleh dielakkan jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerja dengan baik.
“Akan ada percubaan membuat kekecohan yang disebut ejen provokasi, sebab itu peranan polis penting dalam memastikan keadaan sentiasa aman.
“Provokasi mungkin juga boleh dibuat oleh dua pihak iaitu pihak kerajaan dan pembangkang, tetapi perkembangan ini tidak akan membuatkan politik negara menjadi politik ganas pada masa depan,” katanya.
Ahmad Atory berkata, beliau yakin keadaan politik negara akan bertambah baik kerana rakyat sudah semakin matang.
"Demonstrasi atau perhimpunan akan terus ada dan kerajaan juga sudah mewujudkan Akta Perhimpunan Aman dan ini satu langkah pendidikan politik yang baik bagi rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai timbulnya isu skandal seks beberapa pemimpin parti politik tanah air, beliau tidak terkejut kerana fenomena ini bukanlah perkara baru dalam sejarah politik negara.
"Isu seperti pemimpin politik dikaitkan dengan skandal seks bukan perkara baru dan seingat saya pada setiap zaman perdana menteri terdahulu juga pernah timbul isu seperti ini, cuma bagaimana pemimpin terbabit menanganinya.
"Bagaimanapun, fitnah seperti ini jika tidak ditangani dengan cepat boleh mempengaruhi pengundi pada pilihan raya akan datang," katanya.
Ahmad Atory menyifatkan isu seperti itu adalah salah satu risiko menjadi seorang ahli politik dan merasakan akan ada lagi perkara seumpama itu pada masa akan datang.
Kolumnis Sinar Harian yang juga seorang penganalisis politik, Prof Rahman Shaari ketika dihubungi berkata, isu berkaitan politik ketika ini adalah kesan dari kemunculan media baru seperti internet dan mempengaruhi masyarakat dengan bahasa kotor yang digunakan dalam sesuatu isu.
“Kemunculan media baru seperti blog dilihat semakin ketara dan mengatasi pengaruh akhbar arus perdana ketika ini.
"Kalau dulu hendak mengumpul orang ramai mengambil masa lama, tetapi kini apabila seseorang menulis saja di Twitter atau Facebook, sudah ramai yang boleh membacanya dengan cepat,” katanya.
Beliau menganggap apa yang berlaku kini ialah serangan media baru.
“Masyarakat pula dilihat mudah terpengaruh dengan apa yang ditulis di blog-blog, YouTube dan mungkin akan terbiasa dengan bahasa kasar seperti ‘seks’ dan sebagainya.
“Kalau dulu masyarakat kita malu hendak sebut perkataan ‘seks’, tapi kini apabila ia digunakan secara meluas terutama di media massa, bahasa kasar seperti ini akan menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita,” katanya.
Mangsa banjir di Selangor meningkat, Perak dan Melaka kekal
12 November 2012
Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), jumlah mangsa banjir di Johor berkurangan daripada 160 kepada 120 orang setakat pukul 9.52 pagi ini.
Di Selangor, sebanyak 340 keluarga terlibat dengan tujuh pusat pemindahan dibuka iaitu empat di Kuala Langat dan tiga di Sepang, manakala di Melaka, hanya satu pusat pemindahan dibuka iaitu di Jasin yang menempatkan 19 keluarga.
Di Johor, sebanyak 29 keluarga terlibat dengan dua pusat pemindahan dibuka di Batu Pahat, manakala di Perak lima keluarga terlibat dengan satu pusat pemindahan dibuka di Manjung.
Sementara itu, menurut portal Jabatan Saliran dan Pengairan, paras air di dua sungai utama di Selangor iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang dan Sungai Selangor di Kuala Badong telah melebihi paras amaran dan orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut diminta berjaga-jaga. - Bernama
Nasihat penyokong elak ‘politik ganas’
12 November 2012
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pemimpin-pemimpin ini sewajarnya menjadi sampel yang baik dan menasihati penyokong-penyokongnya supaya tidak bertindak keterlaluan jika wujud rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara.
“Penyokong-penyokong parti politik ini juga perlu berpada-pada dalam mengambil apa-apa tindakan supaya tidak mengancam keselamatan diri ataupun orang lain.
“Bukan semua perkara perlu dijadikan isu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Mengulas perkara sama, beliau berkata, pihak polis juga perlu bersikap adil dan perlu mengambil tindakan undang-undang tidak kira parti politik mana yang mencetus masalah dahulu.
Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan media sosial ketika ini yang dilihat sebagai medium terbaru menyebarkan fitnah ataupun hasutan, Musa turut mengakui kebenaran perkara itu.
“Zaman sebelum adanya internet, ‘keganasan’ ini masih boleh dikawal.
“Berbanding sekarang, apabila kerajaan mengadakan sekatan, ada pula pihak-pihak yang mengatakan kebebasan bersuara mereka disekat,” jelas beliau lagi.
Jelas beliau, terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial memutar belit sesetengah perkara sehingga menampakkan perkara yang betul menjadi salah.
Sebenarnya, kata beliau, tiada istilah kebebasan mutlak dalam hidup ini.
“Kerana itulah dalam agama Islam, ALLAH SWT menurunkan al-Quran dan hukum hala serta haram. Orang ramai perlu matang dalam menghadapi perkara ini supaya negara kita sentiasa aman,” jelas beliau.
Seorang lagi Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor pula menyifatkan gejala huru-hara ini sudah lama berlaku di negara-negara Barat dan berharap rakyat Malaysia tidak akan menjadi seperti itu.
Katanya, bagi mengekang perkara itu berlaku, maka Unit Pencegahan Persekutuan (FRU) diwujudkan, yang berperanan untuk menjaga keamanan negara dan anggota-anggotanya dilatih secara khusus untuk mencegah rusuhan.
“Kalau dahulu penyokong-penyokong bola sepak yang tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan, mereka akan merusuh. Jadi kerana itulah pasukan FRU turut ditempatkan di stadium, demi menjaga keamanan supaya orang awam tidak cedera.
“Tetapi sekarang, ‘rusuhan’ jauh lebih advance. Apabila anggota polis bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pun dipertikaikan, malah dikatakan ketinggalan zaman,” ujar beliau.
Tambah beliau, kini apa sahaja tindak balas ganas yang dilakukan itu dikatakan sebagai mempertahankan hak asasi.
“Polis sekarang seolah-olah tersepit…. buat salah, kalau tak buat, lagi salah,” katanya lagi.
Oleh itu, katanya, anggota polis tidak boleh membiarkan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan tindakan perlu diambil mengikut undang-undang.
Wan Azizah: Saya dengar nasihat, bukan boneka Anwar
12 November 2012
SEBAGAI isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memikul tanggungjawab yang amat besar dan berat.
Sejak zaman reformasi 14 tahun lalu, beliau telah menjadi simbol ketabahan golongan wanita Malaysia. Ikuti wawancara dengan Presiden PKR ini bersama MAZLINDA MOHD NOR, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN dan jurugambar MIZAN MAT TAMIN di pejabatnya baru-baru ini.
Sertai politik keputusan paling mencabar
WAN AZIZAH: Apakah fokus Datin Seri pada PRU13 akan datang?
Semua orang mengetahui, PRU13 amat dekat. Kita juga tahu dalam tempoh enam bulan ini, kita perlu mempergiatkan kempen-kempen seiring dengan pihak lawan dan fokus utama saya adalah mahu mendekati golongan wanita.
Saya ingin mendekati golongan wanita kerana ramai daripada golongan ini tidak berkesempatan turun mendengar ceramah-ceramah Pakatan Rakyat (PR) kerana program kita sering diadakan selepas Isyak.
Apakah pengisian dalam program Datin Seri ini nanti?
Perkara utama yang saya mahukan adalah bersemuka dan tiada jurang antara semua golongan wanita. Saya mahu semua wanita bermesra selain mahu menjelaskan perkara sebenar berkenaan isu-isu yang melanda negara kita pada hari ini.
Melalui kajian kami, wanita adalah kelompok terbanyak yang tidak menerima maklumat daripada sebelah PR kerana kebanyakannya hanya mendapat maklumat daripada media arus perdana yang lebih cenderung menyokong kerajaan yang memerintah.
Mampukan PR mencapai kejayaan besar pada PRU13 nanti?
WAN AZIZAH: Untuk ramalan saya tidak berani berkata kerana kami bertanding dalam padang yang tidak sekata. Tetapi selepas gerak kerja yang dilakukan selama ini, Insya-ALLAH saya mahukan kemenangan berpihak kepada PR kerana perubahan itu sudah jelas kelihatan.
Selain itu, segala yang dilakukan kami adalah untuk masa depan negara. Selepas 55 tahun negara ini diperintah Barisan Nasional (BN), sekarang adalah masa terbaik untuk berubah bagi membawa negara ini dan rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.
Saya juga mahu rakyat menyedari perjuangan PR mahu pentadbiran negara lebih telus, kesamarataan kepada seluruh rakyat. Saya juga mahu kekayaan negara diagihkan kepada seluruh rakyat supaya semuanya mendapat manfaat daripada limpahan kekayaan negara, bukannya disekat oleh sekelompok manusia sahaja.
Jika perkara ini boleh dilakukan, nescaya rakyat kita akan berbangga dan sentiasa merasakan kitalah rakyat Malaysia.
Bagaimana pula cadangan untuk rakyat Sabah dan Sarawak?
WAN AZIZAH: Alhamdulillah kita dikurniakan dengan petroleum. Ada banyak negara tiada sumber alam yang amat berharga ini. Sebagai contoh di Sabah, negeri ini sebenarnya adalah sebuah negeri yang amat kaya dengan sumber alam, tetapi peliknya Sabah adalah negeri yang termiskin di negara kita. Kenapa perkara ini boleh berlaku?
Jadi sejak kemasukan dua negeri ini ke dalam Persekutuan Malaysia, adakah kesilapan pentadbiran atau kesilapan manusia?
Untuk kempen PRU13 ini, PR dilihat mencipta pelbagai poster dan ia mirip kepada parti yang bertanding di Turki, apa komen Datuk Seri?
WAN AZIZAH: Jika berkata meniru, tidak. Tetapi kami ada ceduk idea dari seluruh dunia. Jika kami merasakan ada idea yang bernas dan baik, apa salahnya kami mencuba pendekatan itu.Sebagai contoh PKR menggunakan bas dalam jelajah parti seluruh negara, itu sebenarnya adalah idea baru. Jika perkara yang dilakukan kita berjaya menarik minat lebih ramai rakyat, jadi tiada salahnya ia digunakan sebagai bahan kempen selagi ia dibenarkan oleh undang-undang.
Selain itu, kami mengambil pendekatan kempen yang berbeza daripada BN seperti kempen maki hamun dan menyerang peribadi lawan. Kami bawa kempen apakah polisi yang akan dibawa PR sekiranya ditakdirkan menang dan menawan Putrajaya nanti, itu yang kita ketengahkan.
Saya pernah terfikir, contohnya seperti kereta, kenapa cermin depan besar dan cermin sisinya kecik, kerana kita mahukan masa depan, untuk belakang, kita cuma perhatikan untuk pengajaran supaya kita tidak lakukan kesalahan yang sama berulang.
Sejak akhir-akhir, terlalu banyak politik ganas dilaporkan, apakah komen Datuk Seri dalam perkara ini?
WAN AZIZAH: Sepatutnya sebagai sebuah negara demokrasi, kita semua mahukan politik yang sihat, dan bersaing dalam keadaan elok untuk sama-sama memberi sumbangan kepada negara. Sepatutnya parti-parti politik ini sudah menerima konsep berbincang, berdiskusi bagi mencari idea terbaik untuk rakyat memilih.
Jika mahu politik ganas yang baling batu, baling cat, serang peribadi dan pelbagai lagi, maka politik ini hanya memundurkan pemikiran negara. Negara kita juga meletakkan Islam sebagai agama rasmi, jadi politik ganas ini bukanlah cara kita dan budaya Melayu.
Saya juga melihat politik ganas ini sebagai ujian kepada kami dan ada hikmahnya. Di bas jelajah kami, selepas pertama kali terkena cat, kami bersihkan, tetapi selepas kali kedua berlaku, kami tidak bersihkan. Kami cuma bersihkan di bahagian pemandu sahaja kerana tidak mahu halang pemanduan. Kami jadikan kesan cat ini sebagai perhiasan.
Apakah inisiatif PKR dalam menghadapi politik ganas seperti ini menjelang PRU13?
Kami akan terus menegur dan sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah melindungi pemimpin kami. Bagi kawasan-kawasan yang agak berbahaya sedikit, kami akan meminta jasa baik anggota polis dan Rela bagi membantu kami. Selain itu, kami juga sering berpesan kepada penyokong, jika ada provokasi, jangan lawan balik, biarkan sahaja kerana apa pun berlaku, kami sering didakwa yang memulakan provokasi.
Persediaan Datuk Seri menjelang PRU13?
WAN AZIZAH: Kami cuba yang terbaik, tetapi kami tetap ada pelbagai halangan. Sebagai contoh, diri saya sendiri, saya melompat dalam dunia politik tanpa persediaan langsung sebenarnya. Tetapi setelah beberapa lama dalam politik, insya-ALLAH saya sudah bersedia.
Walaupun tidak sepenuhnya, namun kami percaya boleh beri tentangan sengit kepada pihak lawan.
Ada yang berkata PKR ditubuhkan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebenarnya Anwar hanyalah satu simbol. Anwar itu adalah simbol ketidakadilan.
Apa yang diperjuangkan adalah demi rakyat dan mahukan masa depan dengan yang lebih baik. Bermula dengan badan bukan kerajaan (NGO), PKR yang bernama Keadilan pada ketika itu diubah menjadi parti politik.
Pada waktu itu, terdapat banyak parti lain yang lebih kukuh, seperti Umno dan Pas yang menaungi keseluruhan orang Melayu. Pas dengan asas-asas Islam dan Umno ada juga Islamnya tetapi lebih kepada asas keMelayuan dan ketuanannya. Selain itu ada MCA, MIC dan DAP serta parti-parti lain.
Jadi apa yang PKR buat adalah cuba gabungkan semua. Alhamdulillah PKR berjaya dan membawa perubahan landskap politik yang besar kepada negara.
Bagaimana pula dengan pemimpin asal PKR yang mula-mula sekali berjuang, tetapi pada hari ini ramai antara mereka sudah keluar dari PKR, kenapa perkara ini berlaku?
Bagi saya ia adalah soal perjuangan, dalam Pas, dalam Umno juga berlaku perkara ini. Dalam Umno contohnya Datuk Onn Jaafar, walaupun kalau kita pergi ke PWTC, kita akan lihat gambar beliau terpampang kerana pengasas Umno, namun beliau keluar dari Umno dan mewujudkan Parti Negara. Begitu juga dalam Pas, bekas Presidennya, Tan Sri Mohd Asri Muda juga keluar dari parti itu.
Oleh itu, mereka keluar ini kerana ada perbezaan-perbezaan yang berlaku dan ia adalah proses yang sering berlaku di mana-mana sahaja. Perkara yang lepas, kita kata sudah lepas.
Datuk Seri sudah tentukan akan bertanding di kerusi mana?
WAN AZIZAH: Saya hanya layak bertanding di peringkat Dun, kerana saya digantung bertanding di Parlimen untuk lima tahun kerana saya meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Untuk berkata bertanding atau tidak itu, ia akan diputuskan oleh parti. Buat masa ini, saya mahu fokuskan kepada gerak kerja dan kempen parti.
Bagaimana pula dengan khabar angin yang mengatakan seorang lagi anak Datuk Seri iaitu Nurul Nuha Anwar yang akan bertanding?
WAN AZIZAH: Nuha sebenarnya telah dicalonkan oleh salah satu cabang, sebab itu timbul khabar angin ini. Namun Nuha sudah berumah tangga dan baru mempunyai anak yang kecil, jadi saya rasa Nuha akan tumpukan perhatian kepada anaknya buat masa ini.
Jika benar Nuha akan bertanding pada PRU13, membuktikan amalan nepotisme dalam PKR. Apa komen Datuk Seri?
WAN AZIZAH: Perkara ini adalah ‘kalau’ dan hanya satu andaian. Ia tidak benar sama sekali. Pada pilihan raya umum lalu, Nurul Izzah Anwar bertanding di Parlimen Lembah Pantai adalah satu tugas yang amat sukar, kawasan itu diwakili oleh Menteri dan diketahui adalah kubu kuat Umno pada asalnya. Alhamdulillah Izzah menang. Izzah menang kerana kredibilitinya sendiri, jadi beliau memang layak.
Begitu juga dengan saya, pada pilihan raya umum tahun 2004 lalu, hanya saya seorang sahaja wakil PKR dalam Dewan Rakyat. Alhamdulillah tahun 2008 PR dapat satu loncatan besar.
Ada juga pihak yang menuduh Datuk Seri sebagai boneka Anwar. Benarkah tuduhan itu?
WAN AZIZAH: Mulut manusia akan berkata bermacam-macam. Saya juga boleh persoalkan adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah boneka Tun Dr Mahathir Mohamad? Saya sebagai presiden parti walaupun ada mendengar nasihat daripada Anwar, maka itu bukannya satu kesalahan. Anwar jelas mempunyai banyak pengalaman dalam dunia politik.
Apakah keputusan yang paling mencabar sejak Datuk Seri menyertai dunia politik?
WAN AZIZAH: Keputusan yang paling mencabar bagi saya adalah sama ada mahu bertanding ataupun tidak di Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1999. PKR baru wujud dan bertapak pada ketika itu. Saya bukannya orang politik, saya sekadar seorang doktor di hospital. Jadi keputusan ini amat mencabar sekali bagi saya, lagipun pada ketika itu anak-anak saya masih kecil lagi. Izzah baru 17 tahun.
Saya gigihkan juga kerana suami berada dalam penjara dan penyokong benar-benar mahukan saya memimpin parti baru ini. Ramai yang berkata jika bukan saya maka susah untuk PKR ketika itu mara ke depan, mungkin mereka melihat saya membawa nama isteri kepada Anwar Ibrahim. Selain itu rakan-rakan dalam Pas dan PRM juga memberi sokongan kepada saya. Selain Permatang Pauh, ada juga yang minta saya bertanding di Kubang Pasu tempat Dr Mahathir. Tetapi akhirnya saya memilih untuk bertanding di Permatang Pauh.
Sekarang keluarga Datuk Seri diserang lagi, bagaimana Datuk Seri menangani perkara ini?
WAN AZIZAH: Serangan ke atas keluarga saya tidak berhenti, sejak dari dulu lagi sehinggalah sekarang. Pelbagai tuduhan dibuat ke atas kami terutamanya ke atas Anwar. Kami sudah lali dengan tuduhan dan serangan-serangan begini. Kami cuma boleh minta bantuan ALLAH dan minta kami boleh atasinya.
Pernahkah terdetik kekesalan dalam hati Datuk Seri kerana terlibat dalam politik?
WAN AZIZAH: Tidak, kerana inilah jalan yang saya dan keluarga pilih. Segalanya ada hikmah, jadi saya tidak pernah menyesal jalan yang saya pilih ini. Setiap kali saya sembahyang, saya minta supaya jangan ada sifat kesal dalam diri ini.
Kita mesti bersyukur kerana segalanya adalah ujian daripada-Nya untuk tingkatkan lagi keimanan kita. Selain itu kesabaran juga amat penting.
Jika tidak menyertai politik, apakah yang dilakukan dan kehidupan yang dimahukan Datuk Seri sekarang?
WAN AZIZAH: Jika tidak dalam politik, saya mahu lakukan amal ibadat kerana saya rasakan bekalan saya ke akhirat sedikit berbanding orang-orang lain. Ya ALLAH, saya rasa amal ibadat saya belum cukup. Jika saya terus diberikan kemampuan, kesihatan dan hayat lagi, itulah yang saya mahu lakukan insya-ALLAH.
Ramai yang mengatakan PRU13 ini adalah hidup mati antara BN dan PR. Jika PR tewas, adakah pakatan tiga parti ini berterusan untuk masa akan datang?
WAN AZIZAH: Bagi saya, hidup mati PRU13 ini adalah bagi pihak BN, bukan kepada PR. kerana bagi saya politik negara kita sudah matang. Sebelum adanya PR, sudah ada pakatan sebelum ini seperti Barisan Alternatif. Kita sudah laluinya dan saya yakin PR akan terus bekerjasama.
Dengan adanya kerjasama ini, maka kita lebih kukuh dan boleh mentadbir untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negara. Kami bukannya satu pakatan yang longgar seperti dakwaan pihak lawan.
Amukan puting beliung di Kuala Sungai Baru
12 November 2012
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, seorang warga emas, Hasan Olok, 70, meninggal dunia akibat terkena tempias angin puting beliung manakala dua lagi penduduk cedera terkena serpihan objek kayu zink yang runtuh.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telok Gong, Mohd Ali Hanafiah Jamat berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menikmati sarapan bersama keluarga sebelum dikejutkan bunyi angin kuat dan seperti objek disedut sesuatu.
“Keluar saja dari rumah saya lihat banyak kediaman penduduk sudah musnah, terutamanya di bahagian bumbung. Air hujan mula membanjiri rumah sementara penduduk berada di luar dalam hujan lebat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Katanya lagi, dalam kejadian itu, seramai 165 penduduk termasuk bayi dari 33 rumah berkenaan ditempatkan di balai raya dan sekolah berdekatan untuk sementara waktu selain disediakan keperluan makanan dan minuman sehingga satu tempoh yang ditetapkan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bantuan sumbangan akan dilakukan dengan segera bagi membantu keluarga mangsa puting beliung ini terutama keperluan makanan harian berikutan kerosakan bahagian dapur.
“Tinjauan yang dibuat mendapati hampir kesemua rumah penduduk yang menjadi mangsa puting beliung mengalami kerosakan teruk di bahagian dapur, selain lapan rumah yang mengalami kerosakan kritikal apabila keseluruhan sudut rumah musnah.
“Keluarga mangsa akan menerima sumbangan dari RM1,000 hingga RM3,000 bagi membaik pulih serba sedikit kerosakan yang berlaku selain perbelanjaan awal selepas hampir semua barangan termasuk pakaian habis musnah diterbangkan puting beliung.
“Keseluruhan kerugian dianggarkan lebih RM150,000 dan untuk sementara waktu ini keluarga mangsa akan di tempatkan di balai raya, namun ada antara mangsa kejadian yang memilih untuk tumpang di rumah saudara,” katanya yang turut berada di lokasi kejadian, pagi semalam.
Tambahnya, kerja-kerja menyelamat dan merawat serta pendawaian elektrik dibantu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dan sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah serta anggota dari Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Turut meninjau keadaan, Pegawai Pejabat Daerah Alor Gajah, Datuk Idrus Md Jani; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Ar Ismail Othman; Pegawai Pertahanan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Leftenan Muda Hamdan Saad dan Ketua cawangan trafik Alor Gajah, Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani.
Sekeluarga kepung bayi
Seorang bayi lelaki berusia 14 hari bersama ibunya yang masih dalam pantang sempat diselamatkan oleh anggota keluarga daripada disambar puting beliung.
Ketika kejadian, bayi berkenaan, Muhammad Farhan Adha Mohd Hirudin bersama ibunya, Nurshafikah Aimi Abdullah, 23, berada dalam bilik sebelum terdengar bunyi angin kuat luar biasa.
Datuk bayi terbabit, Mohd Lassim Bedol, 56, berkata, dia dan ahli keluarga lain sedang sibuk mengemas rumah.
“Kami terdengar deruan angin kuat disusuli bunyi seperti lori menurun pasir.
“Salah seorang anak kami beritahu yang puting beliung sedang membadai lantas kami sekeluarga berhenti mengemas rumah dan segera menerpa ke arah cucu yang sedang tidur dalam bilik hadapan rumah bersama menantu,” katanya.
Mohd Lassim berkata, dalam keadaan panik itu, mereka sekeluarga bertindak mengelilingi dan mengepung bayi itu kerana bimbang tercedera sekiranya terkena tempias puting beliung.
“Bunyi angin meranapkan atap rumah penduduk jiran berdekatan kedengaran jelas namun kami sekeluarga langsung tidak berganjak dan terus mengepung melindungi cucu yang sedang tidur lena hinggalah keadaan kembali reda.
“Bila keluar dari bilik, saya lihat habis atap zink rumah tercabut diterbangkan puting beliung sementara menantu terus bangun mendakap cucu dan bawa masuk ke dalam kereta yang turut rosak dihempap zink,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, dia meminta menantunya membawa cucu ke rumah saudara bersebelahan untuk berlindung kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
“Kejadian berlaku sekelip mata dan kami hanya mampu berdoa. Tak sampai tiga minit habis semua barang dalam rumah musnah disambar puting beliung.
“Dalam hati kami sekeluarga hanya terfikir untuk selamatkan cucu,” katanya.
Sementara itu, Nurshafikah Aimi berkata, dia bersyukur kerana anak keduanya itu berjaya diselamatkan tanpa tercedera walau sedikit pun.
“Mujur bayi tidak apa-apa, menangis juga tidak semasa siling runtuh dengan hujan lebat. Syukur semua ahli keluarga selamat dan situasi berdepan detik cemas dalam pantang ini ternyata memberi satu kenangan buat saya,” katanya.
Seorang penduduk, Abd Rahim Abd Wahab, 42, yang menyaksikan sendiri angin puting beliung berkata, "sayamelihat air laut berpusar dengan asap tebal. Kemudian pusaran itu menuju ke rumah penduduk."
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi ketika dia berada berhampiran pantai.
“Ada dua budak dalam usia 7 dan 8 tahun sedang leka memancing pada masa itu.
“Saya jerit pada mereka supaya segera pulang sambil berlari menyelamatkan diri dan berselindung di sebalik tembok rumah penduduk lain,” katanya yang sempat menyaksikan bagaimana puting beliung itu bergerak ke arah sebatang pokok besar kemudian menyedut atap zink rumah penduduk di sekitarnya.
“Bunyi angin menderu sangat kuat hingga menggegarkan rumah berdekatan dan saya lihat banyak perkakasan rumah penduduk berterbangan dalam putaran angin puting beliung itu diikuti hujan lebat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Salah seorang penduduk, Nurshafiza Ital, 21, berkata, ketika kejadian, dia berada dalam bilik bersama suaminya, Mohd Hafizul Arshad, 27, sebelum terdengar bunyi angin kuat.
“Saya terus keluar dari bilik dan panik melihat putaran angin puting beliung yang semakin menghampiri rumah kami selepas meranapkan rumah jiran.
“Saya berlari ke dapur dan menarik tangan ibu sebelum suami meminta berlindung di bawah singki,” katanya.
Nurshafiza berkata, dia, ibu dan suaminya bersembunyi di bawah singki dengan berlindungkan mesin basuh bagi mengelak tempias puting beliung.
“Kurang 10 saat, kami terdengar bunyi runtuhan kayu dari atap dan zink rumah dan berlaku gegaran seperti gempa bumi. Syukur ayah saya pulang dan membawa kami semua masuk ke dalam kereta,” katanya yang terpaksa berlindung di bawah singki hampir setengah jam sebelum ayahnya pulang.
Seorang lagi penduduk, Nurazira Abu Samah, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang mendukung bayinya yang berusia 18 bulan.
“Dalam hujan lebat itu, saya kendong bayi dan berlari ke rumah jiran. Saya dapati mereka lima beranak sedang berpelukan di tepi dinding rumah dalam keadaan ketakutan. Di sana saya hubungi saudara datang untuk tolong selamatkan bayi yang kesejukan,” katanya.
BETUL DE KAKI CILUK ADA YANG TAK MENCILUK
Isa Samad: Kikis tanggapan semua kerajaan sama
11 November 2012
Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata hanya kerajaan yang mempunyai pengalaman, wawasan dan program pembangunan yang realistik mampu membela nasib rakyat termasuk golongan muda.
"Jangan ada pemikiran bahawa siapapun Perdana Menteri, siapapun kerajaan, semua keadaan akan sama, tidak boleh ada pemikiran ini," katanya ketika berucap menutup Himpunan Generasi Baharu Felda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.
Beliau berkata negara kini sedang berdepan dengan cabaran besar kerana ada "makhluk perosak" yang sentiasa mengkritik bagi menimbulkan kebencian dan kemarahan terhadap institusi berkaitan kerajaan.
Katanya, golongan muda termasuk generasi baharu Felda perlu menjauhkan diri daripada golongan seumpama itu dan bersatu bagi menentang pihak berkenaan yang dilihat cuba memecah belah serta menggugat keharmonian dan kemajuan negara.
Mohd Isa berkata golongan muda juga jangan terlalu mudah percaya dengan janji manis pihak tertentu yang cuba menarik perhatian dan sokongan, sedangkan apa yang dijanjikan tidak masuk akal.
Selain itu, beliau mengingatkan generasi baharu Felda supaya sentiasa mempunyai minat untuk menyambung pengajian mereka demi masa depan yang lebih terjamin dan tidak diperdaya oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata kerajaan serius dalam memberi fokus kepada golongan muda termasuk menyediakan banyak peluang pekerjaan menerusi tranformasi ekonomi yang juga memanfaatkan generasi baharu Felda.
Katanya melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) sahaja sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan diwujudkan, 75,000 daripadanya adalah dalam sektor makanan yang boleh direbut oleh generasi baharu Felda.
"Generasi baharu Felda perlu merebut peluang yang disediakan, sekali gus menjadi aset bukan sahaja kepada Felda tetapi juga agama, bangsa dan negara pada masa depan termasuk dalam usaha Malaysia menjadi negara maju pada 2020," kata beliau. - Bernama
Pemuda Pas cabar MB Terengganu lawan Hadi
12 November 2012
Ketuanya, Mohd Nor Hamzah yang kurang bersetuju dengan tindakan Ahmad berkata, Umno tidak sepatutnya mencampuri hal ehwal ‘rumah tangga’ parti itu termasuk membabitkan penetapan calon Pas di kerusi tertentu.
Beliau juga turut melihat kenyataan Abdul Hadi yang bersedia bertanding di Parlimen Pekan sebelum ini juga tiada kaitan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), kerana Pas berhak meletakkan calon di mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai.
“Apa kaitan Pas dan Umno dan dia (Ahmad) sendiri pun tidak tahu menjadi calon di mana. Jadi, apa peranan dia untuk mengganggu ketetapan calon Pas dan Pas berhak menentukan calonnya di mana-mana kerusi. Kita juga cabar beliau tanding di kerusi Rhu Rendang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Dun Rhu Rendang ketika ini disandang Abdul Hadi dan kerusi tersebut dikatakan sebagai kubu kuat Pas.
Mohd Nor berkata demikian sebagai mengulas laporan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ahmad yang juga Pengerusi Umno Terengganu berkata, Abdul Hadi sepatutnya bertanding di Kemaman, bukan menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Pekan, Pahang.
Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong dilihat tidak berpuas hati apabila turut mencabar Ahmad supaya bertanding di Parlimen Besut.
Sementara itu, beliau turut menganggap cabaran yang dibuat pimpinan Umno itu menunjukkan ketakutan terhadap kegagalan BN pada pilihan raya umum akan datang.
“Umno dalam keadaan takut kerana sehingga sekarang mereka tidak dapat menentukan tarikh pilihan raya,” katanya.
Bagi Pas katanya, beliau yakin dengan kewibawaan Presiden parti itu dan calon-calon Pakatan Rakyat (PR) yang lain untuk membawa kemenangan pada pilihan raya umum nanti.
“Kita yakin berasaskan perubahan rakyat untuk mendapatkan sokongan bukan sahaka terhadap Presiden Pas tetapi juga calon PR,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan