Khamis, 22 November 2012

KITA MUNGKIN BOLE TIPU MANUSIA TAPI TIDAK PADA ALLAH...ALLAH TAHU KITA PURA2 ATAU KITA MANUSIA MUNAFIK

AES: Kaunter Kase diserbu orang ramai

Salmiyah Harun , 21 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kaunter saman AES yang baru dilancarkan hari ini oleh Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dengan Kerjasama Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Pusat, diserbu orang ramai.

Hampir 100 orang kena saman (OKS) hadir sambil membawa salinan surat saman untuk diserahkan kepada Kase dan Juham.

Kaunter yang dibuka di lobi Pejabat Agung PAS akan beroperasi dua minggu sekali bermula 1 Disember ini, dari jam 12.00 hingga 1.00 tengah hari.

Orang ramai juga diberi taklimat prosiding asas oleh wakil Juham iaitu bagaimana mereka berhadapan dengan proses mahkamah nanti.

Dalam pertemuan itu, OKS berkesempatan mengajukan soalan-soalan  kepada wakil Juham berhubung saman AES.

Presiden Kase Datuk Mahfuz Omar yang turut merasmikan kaunter saman AES berkata, sehingga hari ini seramai 200 OKS mendaftar melalui emel ditambah pula sambutan pada hari ini amat menggalakkan.

"Hari ini, yang datang dari pelbagai bangsa Cina, Melayu dan India. Malah ada juga yang datang termasuk pemandu kereta kerajaan dan kakitangan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, pendakwaan kes yang pertama berhubung saman AES akan disebut di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 6 Disember ini.

Menurut Pengarah Juham Zamri Asa'ad Khuzami, mereka akan mengiringi OKS tersebut dan akan memohon pada mahkamah untuk cabar AES di Mahkamah Tinggi.

Katanya, orang ramai tidak perlu takut untuk cabar di mahkamah sebagaimana  ia ditawarkan dalam surat saman.

"Tuan-tuan jangan takut sebab saman trafik adalah kesalahan yang kecil. Pesalah tidak duduk dalam kandang. Sebab itu ia dibawa dalam mahkamah Majistret," katanya.

Melalui inisiatif membuka kaunter, jelas Peguam Juham Dr Zulqarnain Lukman sebagai usaha untuk mengajar orang ramai supaya jangan takut dengan mahkamah.

"Kita kena tahu implikasi apabila kita melalui proses mahkamah, sama ada mengambil masa tiga atau empat kali ulang alik ke mahkamah, mungkin akan ambil masa yang banyak, tapi kita kena sedia menempuhnya.

"Apabila sampai ke mahkamah daftar dahulu, kemudian polis yang bertugas akan 'frame'kan caj kita, pertuduhan akan dibaca kepada kita. Tuan-tuan akan diberi pilihan, pilihlah tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan. Ini tidak perlu jamin sebab ini kes kecil sahaja. Bila tetap tarikh jadi pendakwaan bermula.

"Kalau pendakwaraya tidak bersedia, kes ditangguh. Jikalau tertangguh sebanyak 3 kali biasanya mahkamah akan buang kes. Apa yang kita tahu pendakwaan nampaknya masih kabur kerana tidak tahu SOP mana yang perlu digunakan," terang beliau kepada OKS.

Kase menyediakan lebih 100 peguam untuk membantu orang ramai yang menjadi mangsa sistem pemantauan trafik itu.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari Facebook Kase atau emel k empenantisamanekor@gmail.com

Najib tidak boleh samakan buah epal dengan bacang

Aspan Alias, 21 Nov 2012
Najib masih menyanyikan lagu lama dengan dendangan yang lama. Najib seorang yang sangat terdesak dan kata-kata nya pun sangat tidak bernilai sebagai satu ucapan pemimpin yang setimpal sebagai kata-kata dan ucapan seorang pemimpin kepada rakyat yang sedang dalam pencarian ini. Najib terpaksa menggunakan ‘testimonial’ orang lain untuk mendapat kepujian dan pengiktirafan dan tidak mampu menunjukkan ‘testimonial’ sendiri bagi meyakinkan rakyat.


Najib masih meminta rakyat memberikan sokongan kepada UMNO dan BN kerana memberikan sokongan kepada UMNO khususnya kepada beliau itu tidak akan menjejaskan pelan transformasi beliau yang telah beliau umumkan setiap bulan dan minggu itu. Jika memberikan sokongan kepada pihak lain ia akan menjejaskan pelan pembangunan dan kemajuan negara dan akan membantutkan usaha kerajaan pimpinan beliau untuk menjadikan negara ini sebagai negara yang berpendapatan tinggi dan sebuah negara maju menjelangnya tahun 2020 nanti.

Najib mengambil Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh pandangannya itu. Rakyat AS telah memberikan ‘continuity’ kepada pentadbiran Barack Obama dari Demokrat dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini dan rakyat Malaysia perlu mengikut contoh itu dan memberikan sambungan pentadbiran kepada Barisan Nasional. Mendengar ucapan beliau itu, ramai termasuk diri saya hampir jatuh dari kerusi kerana hendak menyamakan beliau sebagai Barack Obama dan beliau tidak nampak bagaimana AS telah melakukan perubahan acapkali dalam pilihanraya Presiden di negara itu.

Di antara Parti Republican dan Demokrat, mereka ini telah bertukar-tukar dan bergilir gilir mentadbir negara kuasa dunia itu sejak negara itu merdeka 200 tahun dahulu. Najib sepatutnya tahu yang Presiden Jimmy Carter adalah dari parti Demokrat dan Presiden  George W Bush dan George Bush (senior) adalah dari Republican. Tidak tahu kah Najib yang Presiden Bill Clinton dan Obama adalah dari Demokrat?. Rakyat AS telah menukar parti-parti memerintah negara itu bergilir-gilir puluhan kali sejak kemerdekaannya dahulu.

Sebaliknya di negara kita, Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Hussein Onn, our great Dr Mahathir, Abdullah Badawi dan sekarang Najib semuanya dari Barisan Nasional. Rakyat Malaysia belum pernah melakukan perubahan ini. Jika benar-benar hendak jadikan rakyat AS sebagai contoh kita mesti lakukan perubahan sekarang sebagaimana yang selama ini dilakukan oleh rakyat negara ‘Uncle Sam itu’.

Rakyat AS ada sebab untuk mengekalkan pentadbiran Obama kali ini seperti mana kita ada sebab untuk mengubah pentadbiran kita di Malaysia ini. Malahan Obama hanyalah merupakan Presiden dari parti Demokrat yang kedua selepas Clinton dalam beberapa dekad ini yang berjaya mengekalkan pentadbiran mereka buat kali kedua berturut-turut. Selain dari itu setiap Presiden dari parti Demokrat hanya mentadbir satu penggal sahaja.

Oleh itu Najib tidak perlu untuk menempel kejayaan orang lain untuk mencapai kejayaan sendiri. Pimpinan kerajaan sekarang elok elakan dari melihat AS dalam situasi ‘double Standard' kerana UMNO selalunya melihat AS sebagai sebuah negara yang tidak bermoral dan sebagai sebuah negara demokrasi yang tidak boleh kita ikuti. Mahathir berkata kita tidak boleh mengikut jejak AS kerana kita mempunyai demokrasi acuan sendiri. Kenapa kali ini pula dipuji rakyat AS kerana mengekalkan Obama sebagai Presiden buat penggal kedua?

Najib patut bergantug kepada kewibawaan sendiri. Tidak payah menumpang kewibawaan Obama. Bagi Najib untuk menjadikan Obama sebagai ‘equation’ dalam politik beliau ia merupakan satu perkara yang agak terlalu jauh dari yang sepatutnya. Jangan kita hendak samakan buah epal dengan bacang.

Di antara buah epal dengan buah bacang amat jauh perbezaannya. Buah bacang ini sangat kuat baunya dan boleh di hidu dari jauh. Baunya itu memeningkan kepala kita. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Apa makna kecam Israel tetapi tidak iktiraf Hamas

Harakahdaily, 21 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan kerajaan Malaysia kerana masih enggan mengakui kerajaan Hamas sebagai kerajaan dan pertubuhan yang sah mewakili rakyat Palestin.
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata Kerajaan Malaysia seperti menghina hak rakyat Palestin yang memilih kerajaan Hamas mewakili seluruh rakyat Palestin.

“Apakah ertinya kerajaan Malaysia meluluskan kecaman terhadap Israel tetapi dalam masa yang sama enggan mengiktiraf kerajaan Hamas yang telah dipilih oleh rakyat?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Dalam hal ini, ujarnya DPPM merasa kesal kerana kerajaan Malaysia menganggap Hamas sama seperti Pakatan Rakyat di Malaysia serta negeri-negeri yang diperintah oleh PR seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang dilayan seperti warga kelas kedua.

Justeru, katanya DPPM mengingatkan kerajaan supaya jangan bersikap bermuka-muka dalam mengangani isu Palestin.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya bertindak lebih agersif dan serius dalam menangani keganasan terhadap bumi Gaza.

Menurutnya, setakat kecaman bukanlah suatu tindakan yang konkrit dan meninggalkan kesan mendalam terhadap Israel.

Beliau berkata, Kerajaan perlu bertegas sebagaimana yang dilaungkan oleh Presiden Mesir, Dr Muhammad Mursi serta Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan yang memberi amaran keras terhadap Israel.

Justeru, kata beliau DPPM mendesak supaya kerajaan Malaysia bersama negara umat Islam yang lain di bawah OIC untuk memberi amaran keras terhadap Israel serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan menghantar tentera bagi membantu perjuangan umat Islam Palestin.

“Sudah sampai masanya negara umat Islam dibebaskan dari belenggu ketakutan terhadap Israel dan naungannya, Amerika Syarikat,” tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM.

Jika untuk didik rakyat, dedah perjanjian AES

Anis Nazri, 21 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Setelah bertegang urat beberapa minit hingga terpaksa ditangguhkan sidang ke sebelah petang, Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 bagi Kementerian Pengangkutan diluluskan Dewan Rakyat, petang ini. Ia dicapai selepas dewan memutuskan untuk membuat undian belah bahagi dengan keputusan memihak kepada 78 bersetuju, manakala 49 tidak bersetuju.
Perbahasan bagi kementerian itu mula kecoh apabila isu berkaitan pelaksanaan kamera 'Automatik Enforcement System' (AES) mula dijawab Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Chor Ha.
Bagaimanapun, beliau enggan melayan sebarang celahan ahli parlimen yang bangun mencelah bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan AES.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa Kong mendedahkan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat yang mengendalikan Automatic Enforcement System (AES), iaitu A.T.E.S Sdn. Bhd. dan Bina Tegap Sdn. Bhd.
Menurut Mahfuz, pendedahan perjanjian itu perlu dilakukan bagi membuktikan pelaksanaan AES tersebut tidak bermaksud untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
"Jika ia untuk kebaikan rakyat, untuk mendidik rakyat, tiada apa yang perlu disembunyikan. Kita tuntut kementerian mendedahkan butiran berkenaan perjanjian antara kerajaan dengan kedua-dua syarikat terbabit," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen sejurus keputusan mesyuarat selesai.
Beliau yang juga Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), berkata beliau mengharapkan kerajaan masih mendengar suara rakyat dengan menangguhkan pelaksanaan sistem kamera AES itu sehingga segala kekeliruan dan kekaburan dapat diselesaikan terlebih dahulu.

Antara kejayaan UPSR dengan beban PBS

Nasrudin Hassan, 21 Nov 2012
Pemuda PAS ingin merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada murid-murid yang berjaya di dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan baru-baru ini. Syukur Alhamdulillah kita panjatkan ke hadrat Ilahi di atas nikmat kejayaan yang diberikan. Kepada mereka yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan, peperiksaan ini bukanlah penamat segala-galanya. Tanamkan iltizam baru dan terus belajar dengan gigih untuk lebih berjaya di masa akan datang.
Pada masa yang sama, semua pihak mesti mengiktiraf usaha bakti yang telah dicurahkan oleh para guru untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kita. Kita sedia maklum akan bebanan tugas guru yang amat berat. Maka sewajarnya pihak Kementerian Pelajaran mengambil tindakan penyelesaian segera di atas keluhan warga guru yang rata-ratanya merasa terbeban dengan perlaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Di bawah Transformasi Pendidikan yang dicanangkan kerajaan, warga guru kini bukan sekadar mentaksir keupayaan akademik pelajar di peringkat sekolah malah diminta untuk membuat taksiran sumatif peringkat pusat di samping pentaksiran psikometrik dan pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan ko-kurikulum.

Tidak cukup dengan tambahan skop pentaksiran yang perlu dilakukan, segala urusan merekodkan data pentaksiran  juga dilakukan oleh warga guru. Bayangkan berapa ratus data yang harus dimasukkan oleh para guru! Lebih menambahkan stres apabila sistem atas-talian Kementerian yang mesti digunakan oleh para guru untuk membuat input data seringkali gagal diakses pada waktu kritikal.

Apa yang membimbangkan kita, dengan sebegitu banyak kerja yang dibebankan ke atas warga guru dan sebegitu banyak pula maklumat yang dikumpulkan melalui PBS, adakah wujud usaha profesional berterusan untuk mengolah data yang diperolehi bagi tujuan menambahbaik sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah?

Yang pasti, tumpuan warga guru terhadap usaha pengajaran menjadi terjejas akibat dari sistem yang dipaksakan oleh pihak Kementerian akibat dari para guru kini menumpukan lebih banyak masa untuk urusan perkeranian dan pentadbiran. Mengambil kira apa yang berlaku, ternyata usaha memperkasa profesion perguruan dan menginsankan pentaksiran (humanizing assessment) cumalah sekadar slogan kosong.

Sekiranya benar telah wujud projek rintis yang melibatkan 500 buah sekolah sebelum PBS dilaksanakan, maka seharusnya masalah-masalah ini telah pun dikenalpasti dan diselesaikan. Hakikatnya, strategi pembaharuan yang dilakukan oleh pihak Kementerian gagal menanggapi realiti perlaksanaan di peringkat sekolah-sekolah dan cuma nampak gah di atas kertas.

Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Semoga berjumpa lagi di bumi Malaysia tanpa Lynas!

Jade Tang, 21 Nov 2012
Saya tiba di Kampung Awah, Maran pada waktu senja 16 November, setelah tiga jam memandu kereta.  Penghuni kampung yang berdekatan menunding jari ke arah masjid, sambil berkata di situlah tempatnya peserta jalan kaki "Stop Lynas" berteduh.

Berteduh di masjid?  Mungkinkah?  Rupa-rupanya pendeta Buddha dan kawannya benar-benar berteduh di situ untuk semalaman, tetapi di bilik tadika yang bersebelahan dengan masjid.  Sememangnya gerakan Stop Lynas tidak berkenaan dengan politik dan tiada kaitan dengan agama.  Saya nampak mereka sedang berehat di tepi jalan ketika saya sampai di situ, sementara sesetengahnya pergi mandi.  Saya pergi mencari Wong Tack.

Sedikit "hangus" Wong Tack dijemur keterikan matahari.  Kakinya yang sedang berdiri tidak bergetar.  Beliau menuju ke arah saya untuk berjabat tangan.  Saya memaklumkan bahawa saya membawa sedikit barangan untuk mereka, dan harap mereka tidak mengambil hati.

"Tidak, tidak," lantas beliau membalas.  Maka mereka membantu untuk memunggah barangan dari kereta saya, antaranya ubat, plaster, dan minuman herba.  Mereka bersorak, mengagihkan minuman herba kepada yang lain dan minum di situ juga.  Kulit hitam pada wajah mereka akhirnya mengukir senyuman yang puas.

Adegan terharu di mana-mana


Wong Tack tergelak. Menurut beliau, mustahil perjalanan ini dihabiskan hanya dengan kaki.  Tekad adalah motivasi yang menyuntik semangat agar kita menghabiskan perjalanan.

Ada kalanya kami keletihan, tetapi kekuatan kembali semula apabila kereta yang melalui membunyikan hon-nya sebagai tanda sokongan.  Tadi, seorang pakcik berjalan sehingga kasutnya koyak.  Kebetulan seorang anak muda memandu melalui situ.  Anak muda itu telah menanggalkan kasutnya yang berjenama itu dan terus dihadiahkan kepada pakcik.

Adegan yang membuat kita terharu ini disaksikan di mana-mana.  Apabila kami  kepenatan, kami pun mendampingi pendeta Buddha.  Ringan saja cara beliau berjalan. "Ni Kungfu ni," katanya dengan nada berseloroh.

Polis bertanya kepada saya, apa pertubuhan kamu?  Tiada pertubuhan.  Hanya sekumpulan orang kampung, dan antaranya dengan usia yang lanjut.  Siapa Chairman (pengerusi)?  Tiada Chairman, kan ini bukan pertubuhan?  Mereka kata saya, jadi sayalah.  Muka Wong Tack yang hitam dijemur itu tergelak lagi, dengan gigi yang putih.

Saya agak pasrah, ramai yang tidak tahu usaha ini.  Lebih ramai lagi yang menganggap usaha ini sia-sia sahaja.  Kau orang ni semua gila.  Dengan serius dan tegas Wong Tack menjawab, semestinya mereka (kerajaan) akan memberi lampu hijau untuk Lynas agar memulakan operasi.  Cuma, kita berkata sekarang, tidak boleh!  Malaysia bukan negara yang miskin sangat.  Negara kita dilimpahi sumber alam semulajadi yang lumayan, tiada yang kebuluran.  Apa perlunya kita menjadikan negara ini tong sampah kepada racun yang mengancam alam sekitar?  Kerajaan dipilih rakyat.  Kembalikanlah kuasa kepada rakyat.  Kita memiliki hak untuk bersuara!

Tiada yang meraung kerana keletihan


Kami berehat di bilik darjah yang bersebelahan dengan masjid.  Masing-masing membaringkan kakinya yang sudah "kilat" digosok sepanjang perjalanan.  Saya mengurut untuk mereka, sambil berjenaka.  Anak perempuan berehat di sebelah saya.  Mereka akan mengerang ketika diurut.  Kami mandi bergilir-gilir, kemudian tidur di lantai.  Tiada televisyen, tiada penghawa dingin.  Kami makan malam dalam cahaya yang malap.  Nasi tidak cukup.  Wong Tack membeli sedikit roti dan makan, agar orang lain boleh memakan nasi itu.

Saya memeluk Aunty Mei.  Nenek yang berusia 70 tahun ini bersama saya ketika perhimpunan BERSIH 3.0, ditangkap polis atas tuduhan merusuh. (Warga asing tertanya-tanya bagaimana seorang nenek tua yang berusia 70 tahun boleh 'merusuh'?)  Saya meminta Aunty Mei untuk berehat, dan saya telah membawakannya ubat pelekat yang sangat mujarab.  Lantas beliau membalas, "Tak boleh, kita tak boleh rehat.  Selagi kilang tu tak ditutup, takkanlah nyenyak tidur ku?  Jalan! Teruskan perjalanan kita!"  Aunty Mei memeluk saya dengan erat.

Nenek berusia 70 tahun yang kurus ini tiba-tiba menjadi gergasi dalam hidup saya.  Beliau bukan lagi seorang ibu atau nenek.  Sayapnya yang melebar memberi perlindungan bukan lagi hanya satu keluarganya.

Orang-orang hijau ini menjadi tentera yang tercedera.  Lelaki, perempuan, yang muda dan yang tua, yang gemuk yang kurus - dengan kulit yang "hangus" dijemur.  Saya bersama mereka untuk kira-kira dua jam.  Tiada sepatah ayat rungutan sama ada letih mahupun menganggap dirinya bodoh - dari bibir yang kekeringan, termasuk seorang budak perempuan kecil.  Tak pernah saya dengar rungutannya.

Sebelum berpisah, saya melambai-lambai tangan kepada mereka.  Saya menahan sebak, dan cuba menenggelamkan kesebakan dalam hati saya dengan jeritan, "Jumpa lagi pada 20 haribulan.  Kita berjumpa di parlimen!"

Sorakan dan tepukan yang gemuruh menenggelamkan saya.  Dengan tangkas saya masuk ke dalam kereta, dan mengurung diri saya yang bercucuran air mata dalam kereta.

Ya, kita pasti akan berjumpa lagi di bumi Malaysia tanpa Lynas!


*Diterjemah dari artikel asal (http://www.malaysiakini.com/news/214512) dalam bahasa Cina.

Pilu Gaza: Pernahkah kita terbayang situasi ini?

Harakahdaily, 21 Nov 2012

KUALA LUMPUR: Pernah tak kita terbayang situasi ini berlaku di Malaysia? Ketika anak-anak kita masuk kelas, kawan di sebelah mati syahid di usia muda akibat kekejaman Yahudi.

Demikian ulasan penulis blog http://addin77.blogspot.com berhubung gambar di atas.

Ulasan seterusnya di bawah.

Inilah yang dilalui oleh anak-anak Palestin di Gaza... Kini Gaza terus menerus di serang oleh tentera Yahudi laknatullah.

Kita sebagai umat Islam wajib membantu setakat mana termampu. Yang paling penting adakan solat hajat, sentiasa baca qunut nazillah dan berdoa bagi kesejahteraan umat Islam di Palestin.

Kepada masjid-masjid di seluruh negara dianjurkan adakan kutipan derma pada solat Jumaat bagi membantu rakyat Palestin. Semoga bantuan tak seberapa kita ini dikira sebagai amal ibadah oleh Allah SWT.

"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki."
~ Ali Imran: 169.

'R' beri sumbangan pelajar cemerlang UPSR

Harakahdaily, 21 Nov 2012
KOTA BHARU: Gabungan Profesional Menuntut Royalti Ke Kelantan (Royalti) atau lebih dikenali sebagai R mengambil inisiatif untuk memberikan sumbangan ikhlas kepada anak-anak aktivis R yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumum kelmarin.

Semalam NGO itu menyampaikan sumbangan kepada adik Siti Aisyah Humairah Zuhairi dan adik Siti Aisyah Ab Wahab yang kedua-duanya mendapat 5A dalam UPSR.

Sumbangan disampaikan sendiri oleh Presiden R, Nazri Deraman dalam satu majlis yang diadakan semalam.

Sumbangan tersebut hasil adalah jualan produk R yang mendapat sambutan hebat daripada penyokong R seluruh Negeri Kelantan sejak NGO R ditubuhkan.

Dalam pada itu, Nazri berkata jika wang royalti Kelantan 5peratus yang tunggakannya kini berjumlah RM10.4 diperolehi, sudah tentu pendidikan percuma di negeri ini boleh dilaksanakan.

"R menyahut baik cadangan Kerajaan Negeri Kelantan, untuk memberikan biasiswa kepada anak Kelantan sekiranya dapat royalti nanti," katanya.

Sehubungan itu katanya, R mengesa kerajaan Malaysia dan Petronas membayar segera bayaran royalti kepada Kelantan tanpa sebarang dolak dalih dan tidak perlu jawatankuasa khas seperti Perdana Menteri lakukan untuk negerinya, iaitu Pahang.

"Hentikan politik dinasor, utamakan kepentingan rakyat dengan pemberian wang royalti kepada Kelantan, InsyaAllah pendidikan percuma kepada seluruh Rakyat di negeri ini dapat dilakukan dengan kadar segera," katanya.

Mesyuarat gerakan Islam seru bersatu tentang Zionis

Harakahdaily, 21 Nov 2012


(Dr Syed Azman [kiri sekali] dan Khalil [berdiri di tengah] berbincang bersama para pemimpin gerakan Islam dari seluruh dunia)

KHARTOUM (Sudan): Mesyuarat gerakan Islam sedunia yang baru selesai di sini mengambil keputusan untuk terus berdiri bersama rakyat Palestin bagi menentang keganasan Zionis.

Keputusan juga diambil bagi membantas keras kerajaan Amerika Syarikat di bawah Presiden Obama dan sekutunya yang terus menyokong keganasan Israel ini.

Keganasan Zionis Israel yang menyerang Gaza sejak seminggu lalu tanpa henti ini membuktikan keangkuhan Israel yang di lindungi oleh sekutu rapatnya, Amerika Syarikat dan Britain.

Gerakan Islam seluruh dunia dari Ikhwan Mesir, Sudan, Jordan, Irak, Syria, Tunisia, Libya, Moroko, Pakistan, Bangladesh dan PAS Malaysia yng berhimpun di ibu negara Sudan, Khartoum, juga mencapai kata sepakat untuk segera menggerakkan massa di setiap negara masing-masing bagi membantu rakyat Palestin dalam bentuk bantuan kemanusiaan seperti perubatan, makanan serta keperluan harian.

PAS diwakili oleh Penolong Setiausaha Agungnya, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dan Khalil Abdul Hadi.

Presiden Sudan, Dr. Omar Bashir, yang turut berucap dalam himpunan tersebut, menegaskan bahawa Sudan akan sentiasa berada bersama rakyat Paletin bagi menentang kekejaman Zionis Israel yang turut juga menyerang pusat ketenteraan Sudan di pinggir Khartoum baru-baru ini.

Beliau juga memberi amaran keras kepada Israel agar segara berhenti dari menyerang Gaza kerana kemarahan umat Islam sedunia terhadap kengkuhan Israel sudah sampai kepada kemuncak.

Murshidul Am Ikhwan Mesir, Dr. Muhamad Al-Badie menegaskan penyatuan seluruh Gerakan Islam sedunia bagi berhadapan dengan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dari Palestin, Afghanistan, Syria sehingga ke Rohingya, Myanmar.

Bagi beliau, agenda utama gerakan Islam adalah untuk menyatukan ummat dan membela yang tertindas.

Sementara itu, menurut Dr Syed Azman, jambatan utama yang menghubungkan utara dan tengah Gaza baru dimusnahkan oleh peluru berpandu rejim Israel hari ini.

Ia menyebabkan perhubungan penting antara kedua-dua bahagian Gaza itu terputus dan melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Tiada ulasan: