Sabtu, 17 November 2012

PENYOKONG ADA YANG MENJADI AHLI TETAPI DILUAR SANA RAMAI LAGI MUNGKIN LEBIH RAMAI PENYOKONG..... CUMA TAK JADI AHLI...APA YANG PATUT KITA BUAT...IALAH IKUT LUNAS2 YANG TELAH DITUNJUKKAN OLEH RASULLULLAH SAW....SEBAB MUNGKIN ADA YANG BERJUANG UNTUK NIAT KEDUNIAAN...NIAT BEGINI MANA2 PUN ADA...SEBAB MEREKA MASIH TIADA MENGENAL ALLAH SERTA TUJUAN DIHIDUPKAN OLEH ALLAH SWT....SEKIAN TERIMA KASIH

Doa “Hancur Umno, Tumbang BN” bergema di stadium

Aslani M, 17 Nov 2012
KOTA BHARU: “Hancur Umno, Tumbang BN” bergema dalam suasana Stadium Sultan Mohammad Ke IV sendat dengan lautan manusia. Tiada siapa sangka wakil Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat mampu mengetuai teriakan sambil berdoa selepas solat hajat.

Kenyaringan suara itu menerjah ke awan dalam suasana langit di pagar bintang-bintang, dengan membawa satu mesej menumbangkan kerajaan Umno dan BN.

Baginya, rakyat negara ini tidak sanggup lagi membiarkan jenayah rogol, bunuh, buang anak dan pelbagai lagi terus menghantui masyarakat.

“Apa lagi yang mampu diharapkan kepada Umno. Jadi kita perlu bekerja keras bagi menukar kerajaan yang ada sekarang,” katanya dengan nada yang sekali sekala ada sedunya.

Puluhan ribu menunaikan solat hajat menghantar mesej yang sangat jelas kepada empunya langit dan bumi, mendengar keluhan dan rintihan puluhan ribu rakyat. Mereka mengharap sesuatu kejutan berlaku pada pilihan raya umum ke-13.

Kata beliau tiada sesuatu yang mustahil berlaku seperti pernah terjadi di Kelantan pada 1990, tiada siapa sangka boleh bertukar kerajaan ketika itu.

Himpunan Kebangkitan Rakyat siri II menyaksikan limpahan manusia di Stadium Sultan Mohammad Ke IV, jauh mengatasi kehadiran peminat taksub Red Warriors memenuhi gelanggang sukan itu ketika Kelantan merangkak mendaki juara Piala Malaysia kali kedua.

Gimik berlainan disaksikan pada perhimpunan itu dengan menyaksikan empat wakil NGO muncul dengan agenda masing-masing. Lynas diwakili Clement Chin yang tampil membawa pengharapan supaya kilang nadir bumi di Kuantan gagal menjadi kenyataan.

Kata beliau pihak anti Lynas telah berusaha bermacam-macam cara sehingga membawa ke Mahkamah Rayuan, namun gagal.

“Oleh itu langkah akhir kita akan pastikan kapal yang bakal membawa nadir bumi dari Australia ke Kuantan nanti tidak dapat mendaratkan bahan radio aktif tersebut. Ini semata-mata menyelamatkan generasi anak cucu kita,” katanya, yang kadang-kadang tersekat dengan kelancaran berbahasa Melayu.

Beliau juga mengharap sokongan padu rakyat Malaysia bagi memperjuangkan kehijauan lestari di Malaysia.

Manakala 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Solidariti Hijau tampil dengan diwakili Pengerusnya, Zulkifli Omar mengajak rakyat bebas daripada pencemaran bagi mengelakkan ia memudaratkan rakyat pada masa akan datang.

“Kita hendaklah menyingkirkan kerajaan yang ada hari ini kerana terus membiarkan pencemaran persekitaran berlaku dalam negara,” katana.

Lim Kit Siang pula tampil mengajak rakyat menukar kerajaan yang ada sekarang kerana sudah dipenuhi dengan pelbagai penyakit terutamanya rasuah yang semakin tidak terkawal.

Katanya, indeks rasuah meletakkan Malaysia semakin merudum di mana pada tahun ini berada pada kedudukan ke-60.

Himpunan Kebangkitan Rakyat juga dikejutkan dengan kehadiran Presiden Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar menyerah lebih 700 borang bekas-bekas tentera menyertai PAS.

Dengan Umno, kalau nak niaga durian pun tak boleh

Aspan Alias, 17 Nov 2012
Semalam (kelmarin) saya terbaca tulisan sahabat saya, MSO di dalam blog beliau dalam mana beliau telah menceritakan kepada umum tentang pertemuan seorang pegawai tinggi PDRM dengan Tok Guru Nik Aziz baru-baru ini. Pegawai tersebut diiringi oleh bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah yang saya kenali sejak bersama di kampus dahulu.


Jika benar kunjungan dan perjumpaan ini ada kena mengena dengan perpaduan Melayu (UMNO dengan PAS) ia merupakan satu usaha yang agak terlambat kerana kebanyakan orang Melayu memangnya mahu perpaduan itu, tetapi perpaduan itu mestilah di luar UMNO. Melayu telah begitu lama berpadu di bawah UMNO tetapi apa yang kita alami sekarang ini menunjukkan yang UMNO bukanlah wadah yang relevan buat masa ini untuk menyatukan orang Melayu.

Bagaimana UMNO mampu untuk menyatukan orang Melayu sedangkan orang Melayu sendiri sedang keluar beramai-ramai dari UMNO. Jika tidak keluar secara rasmi mereka akan keluar melalui sokongan mereka terhadap PR di dalam peti undi semasa pilihanraya nanti. Bagaimana mungkin PAS boleh berbincang dengan UMNO sedangkan tindakan itu akan melemahkan PAS itu sendiri. Tidak ada rasionalnya PAS untuk memikul ‘baggage’ UMNO yang terlalu ‘excessive’, besar dan berat itu.

Jika benar tujuan pegawai-pegawai itu berjumpa TGNA untuk mengusahakan perpaduan Melayu, UMNO sepatutnya menjadi pengikut dan bukannya memberikan syarat-syarat semata-mata untuk memberikan parti yang hampir lumpuh itu nyawa untuk berkuasa lagi. Bagaimana parti yang bertanggungjawab terhadap perpecahan Melayu ini menjadi pemain utama untuk penyatuan ini kerana ia akan hanya memberikan masalah besar bagi pencapaian matlamat itu.

Bagi saya jika PAS tunduk dengan permainan UMNO itu, rakyat akan kecewa kerana rakyat sudah tidak lagi berkeyakinan dengan parti itu. Rakyat yang ramai sedang berusaha untuk merehatkan parti itu buat sementara waktu atau selama-lamanya, bergantung kepada tingkah dan lakunya di hadapan rakyat pada masa-masa yang akan datang.

Apa yang penting sekarang ialah matlamat PR itu sendiri yang bercita-cita kuat untuk mencapai perpaduan kaum yang sedang terjalin dengan kuatnya dalam Pakatan Rakyat sekarang. UMNO yang begitu hipokrit tidak mampu untuk mencapai matlamat yang ‘ultimate’ iaitu perpaduan di antara kaum yang berbilang kaum sekarang ini. UMNO bercakap tentang perpaduan kaum di hadapan rakyat tetapi dalam praktisnya penyokong-penyokongnya masih memainkan isu perkauman yang menebal di peringkat bawahan. UMNO tidak mampu untuk mendisplinkan ahli-ahli dan penyokongnya sedang perpaduan itu amat penting berlaku di peringkat akar umbi.

UMNO mahu kekal berkuasa dengan tipu helah yang keterlaluan tetapi tidak berusaha untuk mendapatkan sokongan dengan manampilkan sikap dan teladan yang baik kepada rakyat. UMNO tertunduk-tunduk dengan MCA yang chauvinis perkauman itu dengan membiarkan Islam dan undang-undang hududnya secara terbuka dan rasmi. UMNO tidak termampu lagi untuk memimpin parti-parti dalam BN itu sendiri. Jadi bagaimana ianya boleh berkemampuan untuk memimpin rakyat dengan baik dan telus? UMNO seperti orang yang hilang akal yang mundar-mandir di jalanan kerana tidak berkesanggupan untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Pemimpin-pemimpin UMNO sekarang seperti orang yang fasik yang tidak lagi tahu untuk membezakan yang mana satu tangan untuk makan dan yang mana untuk digunakan untuk beristinjak. UMNO tidak lagi mempunyai roh perjuangan kerana terpengaruh dengan bisikan khatir atau iblis, yang sentiasa mahu parti itu sesat-barat dalam perjuangan memimpin rakyat dan negara.

UMNO terlalu banyak perkara yang hendak ditutupinya. Tetapi bak kata perpatah, bagaimana 'UMNO hendak menutupi bangkai gajah dengan nyiru'? Rakyat tidak lagi mengambil hirau tentang UMNO sekarang ini kerana pemimpin-pemimpin mereka sendiri tidak menghiraukan ‘dignity’ parti itu. Justeru, bagaimana rakyat hendak meneruskan sokongan terhadap parti yang tidak lagi mempunyai harga diri itu? Bagaimana PAS yang merupakan parti politik yang masih mempunyai ‘attribute’ boleh berjuang dengan UMNO yang rakyat mereka sudah memahaminya sebagai parti taukeh-taukeh dari pucuk pimpinan sampailah ke bawah-bawah ini?

Sikap dan sifat UMNO sebagai parti rasuah itu memang membuatkan rakyat naik mual dengannya. Tugas pemimpin-pemimpin UMNO yang berkuasa hanyalah untuk mengambil wang rakyat dalam perbendaharaan dengan sistem rasuah yang halus. Mereka bukan setakat mencuri apa yang ada di dalam perbendaharan kita tetapi mereka juga sedang berusaha untuk mencuri wang yang ada di dalam poket rakyat sekarang ini.

Perlaksanaan AES yang baru dilaksanakan sekarang ini merupakan satu tindakan yang tidak berhati perut. Sebenarnya rakyat tidak membantah jika saman-saman itu dimasukkan seratus peratus ke dalam perbendaharaan negara tetapi sebahagian besar dari kutipan saman itu masuk ke dalam poket kroni-kroni UMNO yang tamak haloba itu. Bagaimana saman terhadap kesalahan lalulintas itu diambil oleh syarikat kroni kerajaan dan pimpinan kita?

Kerja seperti ini adalah kerja yang dianggap gila kerana terlalu jelas ada pihak di kalangan yang hampir dengan pemimpin kita sedang menggunakan kesempatan untuk mengaut keuntungan yang tidak ada tolok banding jumlahnya. Ini merupakan satu bukti yang amat jelas yang UMNO merupakan parti yang menghimpit rakyat dengan tekanan ke atas semua rakyat yang berkenderaan.

Kita tidak membantah untuk memperbaiki sikap dan kelakuan pemandu-pemandu kita tetapi jika mereka (pemandu-pemandu) bersalah tidak ada di antara mereka membantah jika saman terhadap mereka itu dibayar sepenuhnya kepada perbendahaaran kerajaan. Sekarang rakyat sedang begitu berang dengan kerajaan dalam masa inilah pula, ada wakil-wakil UMNO yang ingin berbaik dan mengusahakan perpaduan Melayu bersama PAS.

Bagaimana kita hendak berbaik-baik dengan manusia yang ‘cepat tangan’ itu. Rakyat sudah letih membina pagar-pagar duri agar pencuri-pencuri tidak akan dapat mendekati perbendaharaan kita. Jika mereka masih ada bersama maka usaha membina pagar untuk menyelamatkan perbendaharaan kita dari didekati oleh pencuri dan perompak itu tidak akan sampai ke matlamatnya.

Rakyat akan terus disamun dan dicuri segala harta benda mereka sampai bila-bila. Kata perbilangan, sekali seseorang itu mencuri dia akan tetap menjadi pencuri. Dalam keadaan terdesak sekarang ini, UMNO akan lakukan apa sahaja. Perasaan malu dan silu sudah tidak lagi wujud di kalangan pimpinan UMNO itu.

Walaubagaimana pun kita berharap jika matlamat perjumpaan pegawai tinggi kerajaan berjumpa dengan TGNA itu tidak akan berjaya untuk memerangkap PAS kali ini. Dengan UMNO kita wajar mempunyai sikap, ‘suspect everybody and trust nobody’.

Bak kata sahabat saya dari Terengganu, “dengan UMNO ini kita tidak boleh berurusan lagi. Nak berniaga durian pun tidak boleh dengan mana-mana pemimpin UMNO ni. Kita akan kena tipu!” - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

760 bekas tentera sertai PAS

Salmiyah Harun, 17 Nov 2012
KOTA BHARU: Seramai 760 ahli Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT) menyerahkan borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam program Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung malam tadi, Kerabat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar,  Sekretariat  Kerabat mengisytihar kesediaan mereka untuk bersama-sama PAS.

Katanya, kesediaan itu kerana tertawan dengan konsep Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS.

"290,000 pesara tentera di seluruh Malaysia, dan ramai di kalangan kita tidak dipeduli oleh kerajaan, kebajikan mereka terabai.

"Kami percaya PAS akan mengubah nasib mereka selepas ini, selepas PRU ke-13 nanti," katanya diikuti sorakan lebih 30,000 rakyat yang berhimpun di Stadium Sultan Muhamad ke IV malam tadi.

Dengan penubuhan cawangan baru di negeri ini, beliau percaya kebangkitan bekas tentera ini boleh mengejutkan Perkasa dan Perkida.

Malah Kerabat turut berjanji akan bangkit bersama-sama membela nasib vateran angkatan tentera yang dipinggirkan.

"Dulu wira, sekarang dianiaya oleh kerajaan Umno BN. Seru seluruh tentera sedarlah duit kita antara terbanyak dilaburkan untuk memenangkan pimpinan BN," tegasnya.

PAS perlu memiliki banyak ruang media baru

Mohd Sayuti Omar, 17 Nov 2012
ULASAN UCAPAN DASAR

Ucapan dasar dan perasmian muktamar tahunan Pas ke 58 yang dibentangkan Presiden Pas Abdul Hadi Awang bertempat di Putik pagi ini (semalam) adalah satu ucapan yang dapat memenuhi selera di saat menanti ketibaan pilihan raya umum. Ucapan setebal 28 muka surat dan mengambil masa 1 jam setengah itu menyentuh semua aspek; politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Paling bererti ialah ia mendedahkan komitmen Pas dalam perjuangan bersama Pakatan Rakyat.

Ucapan kali ini juga serius dan ia penuh dengan ilmu. Bagi saya ia mantap dan bersemangat sekali. Sesiapa yang ingin mengenali Pas atau pun yang masih keliru dengan Pas terutamanya yang terhasut dengan cucukan dan politik rasis Umno elok menghanyati ucapan berkenaaan. Ucapan Abdul Hadi kali ini mempunyai banyak pencerahan dan mantik-mantik siasah.

Dalam ucapan itu juga Abdul Hadi cuba menafikan tuduhan liar ke atas Pas yang dibuat oleh Umno kononnya Pas sudah hilang hala tuju perjuangan asal sejak permaufakat serangan ke atas Umno dan ingin menumbangkan kerajaan BN bersama DAP dan PKR.

Pengalihan tema perjuangan Pas masa kini yang dikira sesuai dengan kehendak siasah semasa, dari Negara Islam kepada Negara Berkebajikan disuluh oleh Umno sebagai penyelewengan Pas dari perjuangan Islam. Perubahan tema atau slogan itu diguna pakai oleh Umno untuk mengelirukan rakyat dan merendah-rendahkan Pas. Secara berseloroh Hadi menempelak Umno dengan tuduhan itu, katanya bahawa selama ini Umno sudah iktiraf yang Pas memperjuangkan Islam sebab itu bila Pas pakai slogan Negara Berkebajikan mereka sibuk.

Beliau menafi tuduhan Umno itu dan menjelaskan Pas tetap istiqamah dengan prinsip dan dasarnya. Tidak bermakna apabila Pas mengambil tema Negara Berkebajikan, Pas telah tinggal Islam dan melupai matlamat asal penubuhannya. Menurutnya bagi mereka yang memahami erti ayat-ayat Quran tidak mudah menuduh Pas menyeleweng kerana berkebajikan itu juga merupakan tuntutan Islam dan ia menjadi iltizam Pas dan Pakatan Rakyat.

Sekali lagi dalam ucapan penuh bertenaga dan serius itu Abdul Hadi menjelaskan akan komitmen dan pegangan Pas kepada dasar-dasar asalnya. Walaupun Pas sepakat dengan Pakatan Rakyat namun Pas tidak pernah lari dari dasar yang telah dimaktubkan di dalam perlembagaan. Pas akan tetap mempertahankan dasar Islamnya meskipun Pas bermuafakat dengan DAP dan PKR. Permaufakatan itu adalah salah satu tahaluf siyasi demi Islam juga.

Beliau lantas menegaskan perjuangan Pas bersama Pakatan Rakyat akan tetap menjaga kesucian Islam, Islam tetap menjadi agama rasmi negara ini selain membenarkan agama-agama lain. Pas akan tetap menjaga bangsa Melayu, bahasa Melayu dan budayanya. Dan Pas juga tetap memelihara dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu. Ternyata tuduhan Umno Pas menggadai maruah bangsa, menyelewengkan agama dan tidak memelihara raja adalah tohmahan dan fitnah mentah semata-mnata. Makanya apa dijelaskan Abdul Hadi hendaklah dijadikan pegangan dan bukti bagi menafikan dakyah Umno.

Keseluruhan isi kandungan ucapan dasar itu perlu dihayati bukan saja oleh para perwakilan tetapi juga rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat serta mereka tidak berparti yang kini sedang membuat penilaian untuk masa depan negara. Mereka yang selama ini masih keliru atau kabur dengan prinsip perjuangan Pas boleh menjadikan ucapan dasar itu sebagai teks pencerahan dan dipegang sebagai bukti atau nas untuk diperhatikan.

Saya rasa semua orang perlu memuji ucapan Abdul Hadi kali ini yang dikira 'kemah kemin' dan ia sangat sesuai dengan semangat pilihan raya yang ada hari ini. Saranan dan gesaan serta arahan demi arahan kepada ahli dan petugas parti di semua peringkat untuk menghadapi pilihan raya sesuatu yang perlu diambil perhatian. Pelaksanaan kepada setiap arahan diperincikan menentukan kemenangan Pas dan juga kemenangan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya kelak.

Dalam ulasan ringkas ini saya sedikit merasa tersentuh sampai ke hulu hati berhubung seruan Abdul Hadi terhadap penulis dan media massa Pas agar mempertingkatkan usaha untuk menangkiskan serangan musuh. Tampaknya Abdul Hadi cukup sedar dan insaf betapa pentingnya peranan media massa untuk membantu perjuangan Pas, khasnya menawan Putrajaya. Beberapa kali beliau meminta supaya media massa (Pas) mempertingkatkan usaha.

Dalam hal ini apa yang beliau boleh sebut ialah peranan Harakah cetak dan Harakahdaily. Tidak kurang dua kali beliau menyebut dua media ini. Inilah saja media yang dimiliki oleh Pas. Apabila presiden hanya berputar menyebut dua media massa ini saja sebagai rujukan ahli Pas, tampak betapa miskinnya dan dhaif Pas dalam pemilikin media massa sebagai alat perang dan senjata menangkis serangan lawan.

Harapan yang diletakkan oleh Abdul Hadi ke atas dua media massa itu baik dalam membantu menyebarkan dakwah Islamiyah Pas atau menangkiskan serangan musuh menerusi media massa mereka terlalu besar. Ertinya Pas sangat mengharapkan kepada media massa bagi membantu perjuangan. Pas sudah faham peranan dan fungsi media massa seperti akhbar dan internet. Namun malangnya, dan ini menyebabkan saya rasa sedih, sedar atau tidak sedar Pas hanya memiliki dua media itu saja, Harakah cetak dan Harakahdaily dan tidak pernah berusaha untuk menambah bilangan alat sebaran awam itu.

Hanya dengan memiliki dua media itu saja yang edaran dan penyebarannya terhad, ia jauh dari mencukupi untuk berdepan dengan pihak musuh yang mempunyai ratusan media massa pelbagai bentuk dan saiz. Sudah pasti Harakah dan Harakahdaily tidak cukup tangan untuk mengawal dan menangani itu semua tanpa ada sokongan dari media independent lain yang diselanggara oleh ahli parti.

Timbul kemusykilan di kepala saya, kenapa Pas tidak berusaha untuk menambahkan media massanya sendiri. Selama ini Pas hanya bergantung kepada dua media itu saja. Apakah fungsi Lajnah Penerangan di dalam hal ini? Sepatutnya Pas sudah memiliki beberapa media massa lain lagi sebagai mendukung kepada media massa sedia ada. Di zaman ada ruang kebebasan media massa yang dibuka oleh bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi dulu, Pas tidak mengambil kesempatan untuk memohon permit akhbar baru sebagai tambahahan.

Dalam hal ini Pemuda Pas yang mengkritik dan mempersoalkan keberkesanan Harakah seharusnya berfikir lebih jauh dan bijak dengan memohon permit baru atau pun mewujudkan media alternatif lain sebagai menyaingi Harakah. Malangnya pemuda yang dianggap sebagai generasi berkebolehan dan lebih profesional hanya tahu mengkritik terhadap apa yang sudah ada di dalam rumah saja. Ketua pemudanya pula asyik membuat kenyataan akhbar tanpa berfikir mahu menubuhkan akhbar.

Sebenarnya untuk menguruskan sebuah akhbar sebesar Harakah bukan perkara mudah dan segampang yang difikirkan. Saya mencabar pemuda Pas yang mempunyai ramai tenaga muda dan profesional itu terbit akhbar sendiri. Dengan berbuat begitu saja baru kesulitan dan kesukaran dalam mengurus media massa ini dapat diketahui. Harakah walaupun jauh dari kesyumulan dari petak pemikiran pemuda, tetapi ahli Pas harus berterima kasih kepada mereka yang gigih dan tabah mengendalinya hari ini.

Terlupa untuk menerbit akhbar baru ini, bagi saya satu kealpaan besar bagi pandangan saya. Cadangan Abdul Hadi supaya diadakan sekretariat menguruskan kemunculan media baru' blog, twitter, web tv, dan sebagainya sesuatu yang bagus dan perlu diambil tindakan segera. Sebelum ini Pas sudah mengadakan beberapa seminar berhubung perkara ini. Dan sekian banyak blogger sudah pun dikenal pasti untuk dijadikan "cyber trooper" kepada parti. Wang juga dibelanjakan, tetapi sayangnya ia nampaknya kuranng berkesan. Di manakah silapnya?

Kekosongan ini boleh dipenuhi oleh kalangan Pemuda Pas yang mempunyai pelbagai kemahiran dan mempunyai rangkaian yang luas itu. Mereka tidak seharusnya rajin memberi kuliah agama di surau di merata tempat tetapi harus ada projek atau pun blue print untuk pengembangan parti tersendiri, salah satunya memperluaskan dan memperbanyakkan saluran maklumat atau pun media massa.

Harus dicari di mana kesalahan dan kelemahan dalam perkara ini. Rasanya dengan masa masih tersisa Pas masih ada peluang untuk memperkemaskan media baru mereka dalam usaha untuk menyahut cabaran presiden itu. Harus disedari dalam dunia hari ini, di mana media dan alam siber dijadikan alat dan medan peperangan ia harus dipertingkatkan. Walaupun media baru ini cukup berkesan tetapi kalau tidak diatur dan digunakan secara sistematik ia tidak akan berbekas.

Dan sekiranya Pas ketinggalan di dalam hal ini sedikit sebanyak ia boleh membantutkan cita-cita Pas bersama Pakatan Rakyat untuk menakluki Putrajaya. Sebab seperti kata presiden perang hari ini adalah peperangan menerusi alam siber.  [wm.kl. 12:36 t/hari 16/11/12] - http://msomelayu.blogspot.com/

Anak ada bukti Felda jual sawit ke Israel

Salmiyah Harun, 17 Nov 2012
KOTA BHARU: Ketika negara haram Israel menyerang umat Islam di Gaza, Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengumumkan kesediaan mereka untuk mendedahkan invois  penjualan minyak sawit Felda ke negara Israel.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, mulai tahun 2010 Felda telah menjual minyak sawit dari kilangnya dari Pasir Gudang ke negara Zionis itu.

Mazlan mengumumkan perkara ini ketika berucap dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan di Stadium Sultan Muhamad ke IV dekat sini.

"Saya akan dedahkan satu invois penjualan minyak sawit kepada negara Israel oleh Felda," katanya dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Muhammad Ke IV.

Dalam pada itu, Mazlan turut mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab dakwaannya bagaimana RM400 juta saham syarikat perjudian Genting Berhad boleh berada di dalam Felda Global Venture (FGV).

Terkini katanya, seorang pegawai Felda dikatakan telah memasang 40 kamera litar tertutup untuk memantau aktiviti kakitangan Felda kononnya ada di kalangan mereka pecah maklumat kepada orang luar.

"Pegawai terbabit berada dalam ketakutan apabila mula bertindak memantau staf bimbang pecah maklumat," katanya di hadapan kira-kira 30,000 penyokong Pakatan Rakyat yang meneyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat ke 2 dekat sini.

Bekas pengarah JAIS dan JAIM sertai PAS

Nazri Abdullah, 16 Nov 2012


(Datuk Nahrawi sertai PAS)

KOTA BHARU: Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV malam ini menyaksikan seorang lagi pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS.

Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Mohd Nahwari Hashim, menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyerahan itu disaksikan lebih 30,000 hadirin yang hadir dalam himpunan itu malam ini.

Mohd Nahrawi juga sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Selain itu beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perkhidmatan awam.

Beliau yang ditemui Harakahdaily berkata, kemasukannya ke dalam PAS didorong kesedaran kuat bahawa parti itu benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam yang sebenar.

"Saya dah lama nak menyertai PAS, dan hari ini secara rasmi saya menyertainya.

"Saya minat agama, dan tak boleh lari dah. Orang minat kepada agama mesti memilih PAS," katanya.

Baginya, PAS satu-satunya parti yang mampu memartabatkan Islam di negara ini selepas banyak kerosakan dilakukan pemerintah sekarang.

Oleh kerana itu katanya, PAS menjadi pilihannya.

Menurutnya kemasukannya ke dalam PAS diharap mampu menyumbang sesuatu ke arah membina negara yang lebih baik.

4 lagi Himpunan Kebangkitan Rakyat akan berlangsung

Hazayani Zakaria, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Empat lagi Himpunan Kebangkitan Rakyat akan berlangsung di seluruh Malaysia sebelum kemuncaknya pada 12 Januari tahun hadapan.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) yang merupakan pengarah program ini mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai keempat-empat himpunan tersebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada 1 Disember depan himpunan akan diadakan di Johor, 7 Disember di Kedah, 8 Disember di Melaka dan 9 Disember di Pahang.

"Akhirnya pada 12 januari, kita akan bersama-sama turun ke himpunan akhir, kita sasarkan satu juta rakyat berkumpul di Kuala Lumpur bagi menuntut pilihan raya yang bersih.

"Perdana Menteri  kata,  kalau  nak buat himpunan mintalah Stadium Merdeka atau Stadium Bukit Jalil jadi  kita nak tengok janji ditepati atau janji dicapati," kata beliau sewaktu berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV, dekat sini malam ini.

Beliau berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat yang menggabungkan Himpunan Hijau PAS, Jelajah Merdeka Rakyat PKR dan Majlis Makan Malam DAP yang dilancarkan di Seremban 3 November lalu ternyata mendapat sokongan rakyat.

"Gabungan semua ini kita buat Himpunan Kebangkitan Rakyat yang kita lancarkan di Seremban.

"TV, radio, dan  suratkhabar kata kalau orang ramai berhimpun, peniaga akan rugi. Inilah ilmu Umno BN," katanya.

Beliau juga menyeru rakyat agar terus komited menuntut pilihan raya yang bersih dan adil bagi menawan Putrajaya.

"Kita mesti bekerja untuk tukar pemerintah dan ambil alih Putrajaya," katanya di hadapan kira-kira 30,000 hadirin.

Tiada ulasan: