Rabu, 21 November 2012

CAKAP PANDAI...TINDAKAN KITA TAK ROSAK IMEJ ISLAM KE

SU Agung Pas: Hadi jadi PM hanya harapan ahli
Wartawan Sinar Harian
20 November 2012
Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
KUALA LUMPUR - Isu siapa menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak perlu dijadikan polemik oleh pemimpin dan penyokong perikatan pembangkang itu kerana ia hanya satu harapan ahli, bukannya usul atau keputusan muktamad Pas.

Menjawab polemik isu jawatan Perdana Menteri yang tercetus sejak Jumaat lalu di sebalik Muktamar Tahunan Pas ke-58, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, perkara tersebut hanya satu perbahasan dalam pertemuan tahunan pihaknya.


Malah kata beliau, isu tersebut juga bukan satu usul dibawa ke dalam muktamar kali ini.

“Maka tiada keperluan sebenarnya untuk media memainkan perkara ini kerana ia bukan sebahagian daripada usul muktamar,” kata beliau dipetik
Harakahdaily hari ini.

Perkara itu tercetus ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat pada Jumaat ekoran kenyataan ceramah Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang.
Pada hari keesokan, perkara itu muncul ekoran pandangan seorang perwakilan dari Dewan Ulama Pas. Pada hari terakhir muktamar, Dewan Ulama mengulangi manakala Dewan Muslimat pula menyokong idea sedemikian.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengulangi pendirian bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik Perdana Menteri jika PR memenangi PRU13.
Katanya, perkara tersebut telah disepakati oleh PR sebelum ini.
Sehubungan itu tambah Mustafa, cadangan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri hanya luahan sayang para perwakilan ke atas beliau yang dianggap bapa, yang dihormati dan disanjungi ketika perbahasan muktamar.

“Ahli-ahli Pas hanya mengharapkan yang terbaik untuk ayah mereka... sebagaimana anak-anak lain mendoakan yang terbaik untuk ibu bapa sendiri. Walau bagaimanapun, harapan anak tidak semestinya sama dengan hasrat ayah,” katanya.


Mustafa juga dipetik berkatam tidak berbangkit soal jumlah kerusi di dalam Pakatan Rakyat.


“Selain di Kelantan, negeri-negeri yang dimenangi PR seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor semua memerlukan ketiga-tiga parti komponen untuk bersama, baru boleh membentuk kerajaan.


“Selain Pas di Kelantan, PKR di Selangor, DAP di Penang dan Pas di Kedah, semuanya tiada majoriti untuk memerintah sendiri jika tidak bersama-sama dengan rakannya dalam PR.


"Walaupun mendapat kerusi terkecil, Adun Pas dipilih menjadi Menteri Besar di Perak,” katanya lagi.


Oleh yang demikian, beliau menasihatkan para pemimpin dan penyokong PR berwaspada dengan media yang cuba melaga-lagakan parti-parti komponen PR.


“Fokuskan kepada kerja untuk memenangkan PR. Dan yakinlah dengan 'track record' PR dalam kerjasama, kematangan dan muafakatnya selama ini dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat bila tiba masanya nanti,” tambah beliau.

Ronnie diminta letak jawatan jika gagal tangani isu kondominium

20 November 2012
Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu
Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu
SHAH ALAM - Anggota Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu Thian Kiew hari ini dicabar supaya meletak jawatan sekiranya tidak dapat menangani isu projek kondominium berdekatan Batu Caves yang mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah M.Manoharan berkata projek pembinaan kondominium 29 tingkat itu yang dirancang dibina berhampiran bukit batu kapur, dilihat menjejaskan kawasan dan penduduk di sekitarnya.
"Adakah Yang Berhormat Pandamaran bersedia meletak jawatan sekiranya projek kondominium ini tidak dapat dibatalkan kerana ia dilihat mengancam agama Hindu dan struktur kuil Batu Caves berumur 100 tahun," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Ronnie Liu (DAP-Pandamaran) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini.
Ronnie Liu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri berkata isu letak jawatan tidak timbul sebab kerajaan negeri telah pun mengeluarkan arahan untuk memberhentikan sementara projek pembinaan itu dan satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi mengkaji kelulusan projek.
Katanya kajian awal pihaknya mendapati pemaju projek kondominium itu tidak mematuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan dalam kelulusan pembangunan dan kerajaan negeri mempunyai hak memberhenti ataupun  membatalkan projek itu tetapi perlu dibuat secara profesional.
Ronnie Liu berkata projek kondominium itu mendapat permit penjualan pengiklanan dan sebanyak 60 peratus daripada sejumlah 400 unit rumah telah dijual.
Projek pembinaan kondominium itu mendapat perhatian apabila Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniam Swamy Devasthanam Batu Caves melakukan bantahan terhadap projek berkenaan yang didakwa akan menjejaskan  pemandangan dan struktur kuil berkenaan.
Justeru kerajaan Selangor mengarahkan pemaju untuk menghentikan pembinaan kondominium itu untuk memberi laluan kepada siasatan dijalankan.- Bernama
Maut ditetak rakan karib
Wartawan Sinar Harian
20 November 2012
Ahli keluarga mangsa sugul mendengar berita kematian Peng Kang,39, di rumah keluarga, Parit Buntar s
Ahli keluarga mangsa sugul mendengar berita kematian Peng Kang,39, di rumah keluarga, Parit Buntar semalam.
Kereta mangsa dipenuhi kesan darah akibat pendarahan kritikal sewaktu dia dikejarkan ke Hospital Par
Kereta mangsa dipenuhi kesan darah akibat pendarahan kritikal sewaktu dia dikejarkan ke Hospital Parit Buntar awal pagi semalam.
Anggota forensik mengambil bahan bukti di tempat kejadian.
Anggota forensik mengambil bahan bukti di tempat kejadian.
PARIT BUNTAR - Seorang pekerja kontrak maut selepas ditetak rakan karibnya dalam satu kejadian di Pekan Baru, di sini selepas mereka pergi berhibur bersama-sama rakan-rakan lain di sebuah kelab malam, awal pagi semalam.

Abang mangsa, H’ng Peng Joo, 47, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi, mangsa, H’ng Peng Kang, 39, yang mempunyai tiga anak ditemui rakan dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya setelah lengan kirinya ditetak dengan menggunakan parang di hadapan rumah suspek.


Menurutnya, mangsa dikatakan berselisih faham dengan suspek dan mula bertelagah di premis kelab malam sebelum dileraikan rakan-rakan lain lalu pulang ke rumah masing-masing.


“Bagaimanapun, mereka kembali bertelagah di hadapan rumah suspek sejurus selepas itu dan pergaduhan itu akhirnya membawa kepada keganasan setelah suspek bertindak menetak lengan kiri adik saya dengan menggunakan parang.


“Adik saya sempat memandu pulang ke rumah selepas kejadian itu sebelum dikejarkan ke Hospital Parit Buntar oleh beberapa rakannya lebih kurang jam 3.30 pagi kerana mendiang mengalami pendarahan teruk,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di hadapan bangunan Unit Forensik, Hospital Parit Buntar, di sini semalam.


Peng Joo berkata, mangsa mengalami pendarahan kritikal akibat kecederaan dialami dan disahkan meninggal dunia di unit rawatan kecemasan hospital itu pada jam 4.30 pagi semalam.


Menurutnya, pemergian mangsa amat mengejutnya memandangkan mendiang masih mampu berjalan sendiri mendapatkan rawatan di unit rawatan kecemasan tanpa perlu dipapah sewaktu tiba di hospital.


“Saya tak sangka mendiang adik dibunuh rakan karibnya sendiri. Hubungan mereka berdua sebelum ini amat rapat sehinggakan suspek pernah berhasrat mengambil salah seorang anak adik sebagai anak angkatnya.


“Sebelum ini, mendiang tak pernah mengadu mengenai sebarang masalah dengan suspek, malah saya sendiri menemui dia dan suspek minum bersama sehari sebelum kejadian. Saya kasihan mengenang nasib tiga anaknya yang masih kecil dan bersekolah, lebih-lebih

lagi isteri mendiang sudah meninggalkan mereka sejak perayaan Tahun Baru Cina lalu,” katanya.

Peng Joo turut mendedahkan mendiang adiknya pernah meluahkan hasrat untuk bekerja di luar negara setelah diajak rakan-rakan selain ingin memiliki rumah sendiri memandangkan rumah yang diduduki sebelum ini merupakan rumah sewa.


“Beberapa minggu sebelum ini, mendiang kerap pulang ke rumah keluarga setelah mendapat projek membina tempat parkir kenderaan terletak di hadapan rumah itu.


“Pemergian mendiang menyebabkan projek berkenaan tidak dapat disiapkan dan kami sekeluarga benar-benar meratapi kehilangannya memandangkan dia merupakan seorang anak yang baik,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Menurutnya, polis masih mengesan suspek yang merupakan orang tempatan setelah dipercayai menghilangkan diri sejurus selepas mangsa ditetak.


“Pada masa sama, kami masih menyiasat motif sebenar suspek menetak mangsa sehingga menyebabkan kematian setelah difahamkan kedua-duanya merupakan rakan karib,” katanya.

Doa 'KO BN': Umno Kelantan buat laporan polis

20 November 2012
Keratan Sinar Harian Isnin
Keratan Sinar Harian Isnin
KOTA BHARU - Umno Kelantan hari ini membuat dua laporan polis berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tuduhan bahawa Umno sebuah parti murtad.
  
Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Pas kerana menyifatkan segala kenyataan itu telah mengguris hati bangsa Melayu dan Islam di negara ini.
  
Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini.
  
Ketika ditemui, Zarina berkata, mereka mahu polis menyiasat perkara itu mengikut peruntukan undang-undang yang ada termasuk Akta Hasutan kerana menyifatkan doa berkenaan boleh menghasut umat Islam bertelagah sesama mereka.
  
"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan ini sangat  melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
  
Beliau meminta rakyat Kelantan terutamanya menilai siapa sebenarnya pemimpin Pas itu  yang ternyata mempunyai politik dendam terhadap Umno kerana sanggup mendoakan kehancuran dan menuduh Umno murtad.
  
Di IPD yang sama, Majlis Veteran Umno Kelantan turut membuat laporan serupa, diketuai Pengerusi Biro Ulama Majlis Veteran itu, Mohd Noor Deris.
  
Mohd Noor berkata tuduhan murtad oleh Nik Aziz itu itu disifatkan sebagai melampau dan meminta Sultan Kelantan campur tangan.
  
"Kami juga memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V agar dapat segera mengubat perkara yang memudaratkan umat Islam di negeri ini," katanya.
  
Mohd Noor juga meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menyuarakan pandangan mereka menurut nas-nas Islam berhubung perkara itu dan mengajak pemimpin Pas termasuk Nik Aziz bermuzakarah.
  
Pada Jumaat lepas, Pas mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV dengan dipimpin adik Menteri Besar, Nik Razi Nik Mat, sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58.
  
Pada Ahad, Nik Abdul Aziz mengundang kontroversi apabila mendakwa Umno murtad kerana memperlekeh dan menolak Islam. - Bernama

MB Kedah: Menang dulu baru bincang soal PM
MOHD IDROS MOHD ALI
20 November 2012
Azizan Abdul Razak
Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) perlu memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terlebih dahulu sebelum  membincangkan soal siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, keutamaan masa kini ialah memastikan kemenangan PR menawan Putrajaya dan membentuk Kerajaan Pusat  untuk memastikan semua agenda yang dirancang menjadi kenyataan.
"Biar menang dulu, baru kita bincang siapa yang layak jadi PM. Kenapa perlu bangkitkan perkara yang tidak menjadi kenyataan atau keutamaan. 
"Persefahaman yang dipersertujui ialah parti yang menang majoriti biarlah mereka yang pilih calon untuk menjadi PM," katanya kepada media selepas membentangkan Bajet 2013 di Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini petang tadi.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam, yang menyebut akan menyokong pelantikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 baru-baru ini, seorang perwakilan Dewan Ulama Pas dan Dewan Muslimat mencadangkan agar presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipilih menjadi Perdana Menteri.
Jumaat lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kota Bharu berkata, PR bersetuju untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri jika PR membentuk Kerajaan Pusat.
Bagaimanapun, ahli Pas tidak bersetuju apabila kebanyakan perwakilan yang berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Kota Bharu beberapa hari lalu, membantah cadangan itu sebaliknya mencadangkan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon yang sesuai.
Azizan berkata, senario politik di Kedah boleh menjadi contoh untuk membentuk kerajaan atau kepimpinan negeri apabila parti yang menang majoriti diberi hak membentuk Kerajaan Negeri.
"Dalam pilihan raya umum 2008, Pas menang 16 kerusi di Kedah manakala PKR mendapat lima kerusi (sekarang tinggal tiga) dan satu kerusi DAP. Tiada siapa pun yang berebut-rebut untuk lantik Menteri Besar kerana ia adalah kuasa atau hak kepada parti yang dapat banyak kerusi.
"Jadi, ia mungkin boleh jadi ikutan. Kita tak kira sangat pasal jawatan ni. Saya pun tak pernah mimpi nak jadi Menteri Besar hinggalah keputusan pilihan raya diumumkan pada malam berkenaan," katanya.
Menurutnya, terpulang  kepada Jawatankuasa Pas Pusat untuk menentukan calon Perdana Menteri jika PR berkuasa kelak sama ada mencalonkan Abdul Hadi atau menyokong calon yang dicadangkan parti lain.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata secara dasarnya kerajaan Pulau Pinang telah bersetuju untuk membayar harga bekalan air mentah kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada), manakala kerajaan Perlis masih belum memberi kata putus.
  
"Perlis dahulu, Shahidan (bekas Menteri Besar) tidak mahu bayar sebab dia kata air tu hak Tuhan, tapi menteri besar baru ni tak tau la pula (sama ada nak bayar atau tidak)," katanya dipetik Bernama.
  
Ketika membentangkan belanjawan petang tadi, Azizan berkata kutipan hasil negeri pada 2013 dijangka meningkat daripada RM550 juta (pada 2012) kepada RM640 juta.
  
Beliau berkata jumlah peningkatan sebanyak RM105.6 juta bakal disumbang hasil premium tanah di Langkawi, Alor Setar dan Bandar Baharu serta bayaran jualan air mentah daripada kerajaan Pulau Pinang.


Hisham: Tindak tanduk Pas cemar imej Islam

20 November 2012
Hishammuddin - Gaza
Hishammuddin menayangkan klip video menyentuh nasib rakyat Palestin dihasilkan 2002 bagi menggambarkan situasi semasa di Gaza. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
PUTRAJAYA - Isu Pas mendoakan kemusnahan dan memurtadkan Umno semasa muktamar tahunannya baru-baru ini akan menjadi satu daripada perkara yang dibincangkan dalam usul agama Perhimpunan Agung Umno 2012 minggu depan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan parti itu mencemar imej Islam.

Tindakan seperti mendoakan kemusnahan atau memurtadkan Umno, merupakan kaedah politik kebencian yang sudah lama menular dalam parti pembangkang itu.

Beliau berharap anggota perwakilan yang akan berbahas pada Perhimpunan Agung Umno nanti tidak meletakkan diri mereka sama taraf dengan jurucakap Pas yang tidak tanduk mereka hanya menjejaskan kredibiliti parti.

"Dalam kita mendoakan semoga penduduk Gaza diselamatkan, pembangkang (Pas) tidak ke arah itu, dia lebih menumpukan kepada politik, mendoakan kehancuran musuh politik mereka," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Umno sedang sedaya upaya berusaha bergerak dan menyesuaikan diri dengan landskap tuntutan hari ini, namun Umno tidak akan tergamak mengambil tindakan yang menjurus kepada perpecahan umat dan sesama bangsa.

Beliau berkata, perhimpunan agung kali ini amat penting kerana ia merupakan perhimpunan terakhir sebelum parti berhadapan pilihan raya umum, dan para pembahas Umno diminta mengupas isu berkaitan transformasi yang sedang gigih digerakkan parti dan kerajaan sejak tiga tahun ini.

Katanya, mereka perlu mengupas kejayaan yang dinikmati negara sejak tiga tahun lepas, sebagaimana yang dijanjikan selepas Umno melalui saat getir pada pilihan raya umum 2008, bukan untuk orang Melayu sahaja, tapi seluruh rakyat.

Hishammuddin berkata, anggota Umno perlu faham mengenai tanggungjawab yang dipikul bagi memastikan kestabilan, keselamatan, perpaduan dan juga masa depan negara, dapat dipertahan.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementerian akan menubuhkan Tabung Bantuan Khusus untuk penduduk Gaza, yang kutipannya
akan disalurkan kepada Tabung Kecemasan Gaza.

Tabung Kecemasan Gaza dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, sebagai Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF).

Sementara itu mengulas Tabung Kemanusiaan Gaza Sinar Harian, yang dilancarkan semalam, Hishammuddin berkata, beliau mengalu-alukan usaha dan sumbangan tidak kira organisasi dan rakyat negara ini, tanpa kira agama dan kaum, bagi membantu rakyat Palestin.

Katanya, segala usaha itu perlu diadakan bagi membantu rakyat Palestin yang berhadapan dengan kekejaman Israel.

Pada sidang media hari ini, Hishammuddin juga menayangkan klip video dihasilkan Aman Malaysia sedekad yang lalu bagi membela penderitaan dan kesengsaraan dilalui rakyat Palestin.

Ketika itu, Hishamuddin merupakan Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, gambaran sedekad lalu, yang dirakamkan menerusi klip video itu, sama dengan situasi semasa.

"Saya mendapat gambaran setiap hari ini (dengan berada di kementerian ini)... kita boleh gambar-gambar situasi sekarang, kesan serangan setiap hari sekarang," kata beliau.







Tiada ulasan: