Khamis, 22 November 2012

SETIAP MAKHLUK DAN APA YANG DIJADIKAN OLEH ALLAH....ADA TARIKH LUPUT...KECUALI APA YANG ALLAH KEHENDAKI

Sokongan Melayu di Selangor Johor dan Perak meningkat

Harakahdaily, 22 Nov 2012

(Tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat yang kini mendapat sokongan besar)


KUALA LUMPUR: Hasil kajian terbaru mendapati sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini meningkat dengan ketara sekali.

Kajian yang dibuat di tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Perak mendapati sokongan Melayu meningkat antara 3 - 8 peratus di ketiga-tiga negeri ini.

Di Selangor, sokongan kepada Pakatan di negeri itu meningkat sehingga lebih 55 peratus di kalangan pengundi Melayu.

Sokongan Cina dan India di Selangor untuk Pakatan juga sangat membanggakan antara 60 - 75 peratus.

"Isu penting adalah kejayaan kerajaan negeri Selangor membukti pentadbiran yang cemerlang dalam semua segi," kata pengkaji itu tanpa mahu menyebut sumbernya.

Isu serangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terhadap Islam, rasuah dan salahgunakuasa yang semakin terdedah dalam BN, kebajikan yang diperolehi oleh rakyat dari kerajaan negeri dan sebagainya menjadi isu-isu penting di atas peningkatan ini.

Keberkesanan media kerajaan negeri Selangor, Selangorkini yang diedarkan lebih 150,000 naskah setiap minggu juga menjadi faktor peningkatan sokongan ini.

"Yang menariknya, perubahan ini akan mempengaruhi sokongan Melayu di negeri-negeri lain kerana ramai pengundi yang tinggal di Selangor adalah pengundi lain-lain negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah," kata sumber itu.

Di Johor pula, kajian yang dibuat oleh sebuah pusat pengajian tinggi pula mendapati sokongan terhadap Umno di kalangan pengundi Melayu negeri itu merosot sehingga 3 - 5 peratus.

"Saya diberitahu oleh seorang profesor, sokongan Melayu Johor kepada Umno merosot teruk berbanding pilihan raya 2008 lalu," kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu majlis di Batu Pahat baru-baru ini.

Selain pengundi Melayu, pengundi Cina lebih ketara berubah sokongan kepada Pakatan Rakyat iaitu sehingga 85 peratus.

"Namun kena ingat, walaupun hingga 85 peratus pengundi Cina sokong DAP di Johor, hanya 65 peratus sahaja yang akan menyokong calon PAS sehingga kini.

"Oleh itu, PAS perlu berbuat sesuatu untuk mendapat undi ini (yang sokong DAP tetapi tidak sokong PAS)," kata seorang profesor kajian politik kepada Harakahdaily.

Di Perak pula, kajian yang dibuat mendapati sokongan orang Melayu kepada Pakatan juga meningkat.

"Berdasarkan maklumat yang diberikan kepada saya, kita boleh dapat 35 - 36 kerusi DUN di Perak jika pilihan raya diadakan sekarang," kata Dr Mohamad Nor Manuty kepada Harakahdaily berdasarkan satu kajian yang dibuat di negeri itu.

Musa Abu Marzouk: Hamas akan pertahankan bumi Gaza

Harakahdaily, 22 Nov 2012

(Dr Syed Azman bergambar dengan Dr Musa dalam pertemuan mereka di Kaherah)

KAHERAH: “Hamas tidak akan berganjak walau satu inci pun dari bumi Gaza. Kami akan terus memperjuangkannya," kata Dr. Musa Abu Marzouk, Timbalan Ketua Biro Politik Gerakan Pembebasan Palestin (Hamas).

"Ini adalah tuntutan perjuangan kami sehingga kami dikuriakan kemenangan,” tambah beliau kepada deligasi PAS yang diketuai oleh Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Di tengah-tengah kesibukan menangani serangan berterusan tentera Zionis Israel di Gaza, Dr. Musa Abu Marzouk masih sempat meruangkan masa menerima kunjungan  Dr. Syed Azman dan rakan-rakannya.

Dr Syed Azman yang mewakili seluruh pimpinan PAS, singgah sebentar di kota Kaherah untuk bertemu dengan pimpinan Hamas bagi menyatakan sokongan padu PAS kepada seluruh rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan perang dengan Zionis Israel.

Dalam pertemuan tersebut, Dr. Musa melahirkan kekesalan beliau terhadap sikap ‘double standard’ Amerika Syarikat yang terus menyokong dan membela serangan berterusan sekutunya Israel terhadap bumi Gaza.

Sehingga kini, hampir setiap hari bumi Palestin di ceroboh secara rakus dan pembunuhan terhadap warga Palestin terus dilakukan secara kejam oleh tentera-tentera Zionis Israel tanpa sebarang perikemanusiaan.

Bagi beliau, perkembangan yang sedang berlaku di bumi Gaza, ada amat memilukan.
Tentera Zionis Israel dengan sokongan Amerika Syarikat dan sekutunya terus menerus menyerang dengan mengebom dan mengepung bumi yang berpenduduk 1.6 juta orang itu tanpa sebarang perikemanusiaan.

Setakat ini mereka telah membunuh ratusan rakyat awam Palestin serta mencederakan lebih 2000 penduduk awam.

Tentera Zionis ini juga telah bertindak memusnahkan beratus-ratus buah bangunan, termasuk sekolah, pejabat dan stesen TV.
Mereka juga bertindak memutuskan bekalan letrik dan air serta menyekat sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan dari sampai kepada penduduk di Gaza.

Dr. Musa terus menegaskan bahawa, walaupun kini telah diadakan ‘gecatan senjata’ antara Hamas dan tentera Israel, Hamas tidak akan teragak-agak untuk melakukan gerakan ketenteraan baru sekiranya sekatan ke atas Palestin masih diteruskan dan penceroboh tentera Zionis Israel di bumi Palestin terus menerus dilakukan tanpa menghormati sebarang undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, “keadaan kekejaman yang berterusan ini akan membawa kepada ledakan yang besar bagi rakyat Palestin dan dunia Islam menentang penjajahan berterusan rejim Zionis”.

Namun di akhir pertemuan tersebut, Dr. Musa sekali lagi melahirkan ucapan terimakasih kepada seluruh pimpinan PAS terutamanya Presiden PAS Datuk Sri Tuan Guru Abdul Hadi yang sentiasa berdiri teguh bersama Hamas dan tidak putus-putus membantu rakyat Palestin.

Begitu juga ucapan terimakasih beliau kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan membantu penduduk Gaza bagi meringankan bebanan mereka.

Beliau menyatakan; "Sampaikan salam perjuangan kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan bumi Palestin. Bantulah kami sedaya mungkin bagi berhadapan dengan kekejaman Zionis Israel ini, sekurang-kurangnya dengan doa”.

Apa nasib 92 pensyarah UPNM ditamat kontrak

Muhammad Faizal, 22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Seramai 92 orang pensyarah kontrak ditamatkan perkhidmatannya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata matlamat sebenar penubuhan UPNM adalah untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang pertahanan.

“Jadi kebanyakan mereka yang diambil sebagai pensyarah itu merupakan individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang pertahanan.

"Kebanyakan mereka yang ditamatkan kontrak tu mempunyai pengalaman dalam bidang pertahanan, tetapi kenapa khidmat mereka ditamatkan.

"Bukankah itu matlamat penubuhan UPNM yang mahu melahirkan tenaga-tenaga pakar dalam bidang tersebut, jika mereka yang mempunyai kepakaran dihentikan bagaimana UPNM dapat mencapai apa yang dikehendaki," jelasnya.

Salahuddin menyatakan tindakan beliau itu bukan untuk mencampuri urusan pentadbiran di universiti tetapi ia adalah keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi 92 orang pensyarah itu.

"Saya tidak berniat untuk mencampuri urusan pentadbiran universiti tetapi saya melihat kepada faktor kebajikan mereka yang dihentikan.

"Pada awal penubuhan mereka dipanggil untuk memberi sumbangan serta pengalaman yang mereka ada tetapi setelah mereka curahkan khidmat ia ditamatkan begitu saja," sambung beliau.

Semalam, Naib Presiden PAS itu ketika berbahas di peringkat jawatankuasa Kementerian Pengajian Tinggi telah membangkitkan perkara tersebut.

Namun jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai penamatan kontrak.

"Jawapan menteri amat ringkas, kenapa nasib mereka tidak dibela. Sumbangan mereka besar dan tidak sepatutnya dilayan sedemikian.

"Inilah nasib angkatan tentera, mereka dilayan sedemikian dan kepakaran serta sumbang mereka tidak dihargai langsung," tambah beliau.

Salahuddin yang turut mencadangkan semalam agar satu badan khas ditubuhkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan satu pertemuan akan diadakan dengan pihak universiti dan pensyarah-pensyarah yang ditamatkan kontrak bagi mencari jalan penyelesaian.

AES: Peguam Kase di Perak Ahad ini

Muhammad Faeez Azahar, 22 Nov 2012

IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak akan mengadakan pertemuan dengan semua mangsa saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu negeri itu, Salman Saleh berkata, pertemuan tersebut akan turut dihadiri oleh Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Dato’ Mahfuz Omar dan akan diadakan di Pejabat PAS Perak, Ipoh pada Ahad ini jam 10.30 pagi.

Menurutnya, barisan peguam PAS akan memberikan taklimat kepada mangsa saman sistem tersebut yang bercadang untuk tidak akan membayar kompaun dan ingin mendapat pembelaan di mahkamah.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Perak menjelaskan, setakat ini lebih 50 mangsa saman AES telah menyatakan kesediaan untuk lawan di mahkamah dan kesemuanya adalah mangsa saman di Perak.

“Kami mempelawa mana-mana mangsa saman AES yang ingin mendapatkan khidmat bantuan guaman percuma untuk hadir dengan membawa saman AES tersebut pada hari tersebut.

“Kami bersedia membantu mangsa saman ini demi untuk melindungi hak mereka di Mahkamah yang dizalimi ini,” jelas beliau kepada Harakahdaily.

100 Sunnah Rasulullah yang dilupakan

Kemilau Publika, 22 Nov 2012

Selain ikhlas, dalam beribadah kepada Allah swt kita diperintahkan untuk berittiba' (mengikuti) sunnah (ajaran) Rasulullah saw.  Namun, bila melihat realitinya, umat Islam kini lebih banyak meninggalkannya.

Ada yang meninggalkannya kerana kurang perhatian dan cenderung melupakannya; ada pula mengolok-olokannya, bahkan menghina orang yang mengamalkan serta menghidupkan sunnah Rasulullah saw.

Menghidupkan sunnah Nabi saw ertinya memahami petunjuk beliau.

"...maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah al-Rasyidln al-Mahdiyyin (yang mengetahui ke¬benaran serta mengikutinya, yang mendapat pimpinan ke jalan yang betul) dan gigitlah kamu dengan geraham gigi kamu." [HR Abu Daud & Tirmizi]

Buku istimewa ini menghuraikan pelbagai sunnah Nabi saw yang makin dilupakan oleh kebanyakkan kaum muslimin; diantaranya masalah taharah, solat, musafir, haji dan umrah serta berbagai adab mulia dan muamalah lainnya.

Lawati www.kemilau.net.my untuk maklumat lanjut.

Selamat Membaca.


_____________________________________
oleh Haifa Abdullah ar-Rasyid
Harga: RM20.00/RM23.00
ISBN: 978-967-361-065-5
Tarikh Terbit: November 2012
Jumlah Muka Surat: 352

RM40j: Bukti baru diserah kepada ICAC Hong Kong

Harakahdaily, 22 Nov 2012
(Deligasi PKR ketika tiba di hadapan pejabat ICAC di Hong Kong pagi ini)

HONG KONG: Delegasi PKR ke Hong Kong hari ini menyerahkan bukti baru berhubung skandal RM40 juta yang dikaitkan dengan Datuk Seri Musa Aman kepada Suruhanjaya Bebas Mencegah Rasuah (ICAC) Hong Kong.

Bukti itu merupakan dokumen laporan dan sokongan yang mengandungi perkembangan terbaru dalam kes itu.

Ia antara lain kenyataan Datuk Seri Lajim Ukin bahawa beliau tidak pernah tahu menahu bagaimana Umno telah mendapat sumbangan derma RM40 juta, seperti alasan yang digunakan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan siasatan ICAC.

Kedua, kenyataan Datuk Seri Wilfred Bumburing bahawa beliau tahu wang RM40 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang (bukannya akaun Umno) yang menguatkan lagi pandangan ramai bahawa wang itu bukanlah derma kepada Umno.

Manakala ketiga adalah pendedahan bahawa anak kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mempunyai hubungan dengan jutawan balak Michael Chia.

Hubungan itu adalah dalam bentuk sebuah kereta mewah SUV Hummer yang boleh mempengaruhi kesahihan maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa Malaysia kepada ICAC.

"Delegasi PKR percaya bahawa ketiga-tiga bukti baru ini mengesahkan bahawa dakwaan pihak berkuasa Malaysia bahawa wang RM40 juta itu merupakan derma kepada Umno adalah tidak benar.

"Oleh kerana ICAC terpaksa menutup penyiasatan sebelum ini kerana pihak berkuasa Malaysia memberikan gambaran yang tidak tepat, bukti-bukti baru ini diharapkan dapat membuka semula kes RM40 juta membabitkan Datuk Seri Musa Aman," katanya.

Turut serta dalam penyerahan itu  Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Adun Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian dan Adun Teja Chang Lih Kang.

Penyerahan itu dibuat selepas pertemuan dengan pemimpin Parti Demokrat di dalam Majlis Perundangan Hong Kong James To semalam.

James To adalah Naib Pengerusi, Panel Keselamatan Majlis Perundangan Hong Kong yang bertanggungjawab memantau kebebasan dan keberkesanan badan penguatkuasa undang-undang di Hong Kong, termasuklah ICAC.

Sebelum ini, Chia yang rapat dengan Musa ditahan di Hong Kong berikutan disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram RM40 juta.

Taikun balak itu bagaimanapun didakwa memberi alasan wang berkenaan milik Musa.

Nazri pula ketika menjelaskan perkara itu di Parlimen berkata, wang RM40 juta itu bukan untuk Musa tetapi dana untuk Umno Sabah.

Umno tak guna politik agama?

Subky Latif, 22 Nov 2012
Dalam kenyataan di laman web partinya, Tengku Adnan Mansor, Setiausaha Agung Umno/BN menyindir parti yang menjadikan agama/Islam sebagai hayat hidup, sedang partinya – Umno/BN – ‘tidak gunakan sebaris  ayat al-Quran’ pun.

Ia bukan sekadar menyindir PAS, tetapi ia adalah satu jawapan dengan apa yang didakwa ulama muda yang sedang bertungkus lumus mahu menjadi sayap agama Umno.

Ia adalah kesaksian betapa ulama muda Umno itu bekerja membuang masa, ia tidak akan dapat apa-apa selain dari mencari rezeki sambil boleh meremehkan setiap yang PAS kata dan buat.

Jika betul pula tidak guna sepotong ayat Quran pun dalam politiknya – baik pernah guna dan akan guna – maka adakah ia selari dengan dasar Islam Hadhari yang pimpinan Tun Abdullah Badawi  yang pernah warwarkan dan program Wasatiyah dan maqasid syariyah yang Perdana Menteri Najib cuba perkenalkan.

Jika ikut Najib, seolah-olah perjalanan kerajaan BN selama 54 tahun ini adalah mengikut lunas maqasid syariyah. Maqasid syariyah itu adalah pelaksanaan Islam secara total baik hidup, mati, solat dan ibadat.

Baik ia ada menyebut ayat al-Quran dan hadis atau tidak, maqasid syariyah adalah politik agama. Apakah buat Umno ia sekadar satu propaganda atau itulah yang ia hendak buat, ia adalah politik pentadbiran Najib.

Jika betul sudah benar-benar transformasi dengan politik agamanya melalui wasatiyah dan maqasid syariyahnya, maka ia belum selari dengan fahaman Tengku Adnan yang menolak penggunaan ayat al-Quran dalam politik partinya. Atau Tenku Adnan betul, maka program wasatiyah dan maqasid syariyah  Najib itu adalah program yang tidak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah.

Atau maqasid syariyah yang sudah ditransformasi?
Jika tiada ayat Quran yang digunakan, maka tidak sebesar biji sawi pun ia berpandu kepada al-Quran sedang al-Quran itu ada panduan untuk semua semasa hidup dan semasa menuju akhirat.

Sebaik kita bukan al-Quran, ayat 2 surah al-Baqarah merakamkan maksud, ‘Inilah kitab – al-Quran – tiada sebarang  keraguan,  adalah panduan bagi orang yang  bertaqwa.’

Ertinya, untuk tahu orang itu taqwa, dia mesti berpandu dan menggunakan  al-Quran. Apabila al-Quran tidak diguna dan tidak jadi panduan, ialah tanda orang tidak taqwa.

Kalau kita guna semua ayat al-Quran kecuali satu saja, masih tidak taqwa. Sama ada kita dapat laksana semua dan ada yang belum  sempat dilaksana, asal kita mengaku semua isinya mesti dijadikan panduan dan mesti diguna, maka kita termasuk dalam golongan orang yang cintakan taqwa.

Tapi kalau satu ayat pun tidak pernah diguna dan tidak  akan diguna, tiadalah ia layak untuk  dikumpuli oleh orang Islam.

Mana-mana orang  Islam yang tidak mahu menggunakan mana-mana ayat al-Quran dalam hidup dan matinya, baik berpolitik, berniaga, bertani, berseni, bersosial dan lain-lain, maka belumlah betul Islamnya.

Barang siapa baik hamba atau raja menyeru ia sudah jangan campurkan agama dengan politik, maka dia adalah sekular. Jika dia  Islam tetapi  dia  juga sekular, dia pun tak betul Islamnya.

Dan ada orang Islam sudah semua isi al-Quran sebagai panduannya tetapi tidak setuju dengan hadis yang orang sekarang kata anti-hadis, maka dia kena baharui Islamnya. Kalau dia tidak baharui, tidak dapatlah dia nikmat Isalam.

Sebodoh-bodoh PAS, ia guna al-Quran. Sepandai-pandai Obama dan orang sepertinya, satu ayat Quranpun dia tak mahu guna.

Pemuda Umno Perak dicabar isytihar harta

Harakahdaily, 22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Negeri Perak mencabar Pemuda Umno Negeri itu mengisytiharkan harta jika benar-benar tidak ada kepentingan sekiranya Umno BN kekal memerintah Perak.

Timbalan Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, terdapat di kalangan pemimpin Pemuda Umno Perak menjadi ‘kaya’ walaupun sebelum itu tidak dilihat mewah.

"Atau sememangnya mereka benar-benar kaya hasil peniagaan mereka selama ini? Kami dimaklumkan, ada dikalangan mereka memegang jawatan sebagai pengarah dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat kepada hampir berpuluh syarikat atas nama mereka yang digunakan selain sebagai pemegang saham syarikat.

"Adakah benar dakwaan tersebut? Dimaklumkan juga ianya didaftarkan selepas ‘rampasan kuasa’  pemerintahan Pakatan Rakyat Perak tahun 2009 dahulu. Siapakah pemimpin-pemimpin muda tersebut? Apakah hubungannya dengan Datuk Dr Haji Zambry Abdul Kadir?" soal beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau turut menegaskan, Pemuda PAS akan tampil mengisytiharkan harta termasuk pimpinannya bagi membuktikan mereka benar-benar bersih daripada harta yang ‘tiba-tiba timbul’ setelah memerintah kelak.

"Kami yakin semua pimpinan PAS tidak akan disabitkan dengan salahguna kuasa bagi mencari ‘kekayaan luar biasa’ seperti mana pimpinan Pemuda Umno tersebut. Bagi kami, ‘siapa yang makan cili, dia akan merasa pedas’ dengan timbulnya persoalan daripada kami ini," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Minggu lalu, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan di muktamr dewan itu mengumumkan jumlah harta yang dimilikinya.

Tiada ulasan: