Khamis, 10 Mei 2012

SEMUA PERKARA BOLEH KITA TANGGUH...ITU PUN JIKA ADA IZIN ALLAH...BAGAIMANA MATI@AJAL...TIDAK BOLEH TANGGUH WALAUPUN SESAAT...OLEH ITU BUATLAH AMALAN2 AHLI SYURGA..JANGAN BUAT AMALAN2 AHLI NERAKA...

Si ibu OKU yang sentiasa tersenyum

Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir, 09 Mei 2012
KOTA BHARU: Sungguhpun dia tergolong Orang Kelainan Upaya (OKU), tidak mampu bercakap, tidak mendengar, namun dia begitu istimewa dari pandangan sesiapa sahaja.

Bukan hanya anak-anak sendiri, keluarga terdekat, sebaliknya masyarakat memandangnya begitu istimewa, kerana dia mempunyai keunikan yang tersendiri.

Suria Abdul Rahman, 45, (gambar) dikenali masyarakat bukan seorang yang bisu, sebaliknya pelengkap hidup bermasyarakat kerana sifatnya yang ringan tulang, pandai memasak serta rajin membantu sesiapa sahaja.

Dia juga seorang yang peramah, mengikut gayanya sendiri, mudah tersenyum.

Andainya dia mampu berbicara, sudah tentu beliau yang terlebih dahulu akan menegur seseorang, namun kerana keadaannya sedemikian, hanya isyarat yang digunakan untuk bersembang dengan keluarga atau jiran tetangga.

Malah, bagi mereka yang tidak mengenali Suria, tentu sekali tidak menduga dia tidak mampu bercakap, apa lagi bibir sentiasa mengukirkan senyuman pada siapa sahaja.

Suria yang dilahirkan di Kampung Chawas, Tanah Merah, ditakdirkan ‘bisu’ sejak lahir lagi. Bagaimanapun kadang-kadang suaranya agak kedengaran walaupun tidak jelas berbanding suaminya Mohd Parit Abdul Rahman, 55, yang langsung tidak kedengaran.

Walaupun ada segelintir yang bersikap dingin, tidak mengindahkannya seolah-olah menganggap Suria tidak wujud, namun kerana dia insan istimewa dilaluinya seikhlas mungkin.

Suria juga tidak mempunyai saudara yang lain mempunyai masaalah sepertinya, berbanding suami yang mempunyai dua orang lagi adik beradik yang senasib dengannya.

Pasangan istimewa ini bertemu jodoh pada tahun 1983 melalui pilihan keluarga.

Hasil perkongsian hidup kedua insan istimewa ini, mereka dikurniakan enam orang cahayamata, Wahidah, 25, Wahiduddin, 24, Mohd Azizi, 22, Siti Aminah, Noor Baitee.

Lebih membanggakan dua daripada anak-anaknya berada di IPT dan Noor Baitee sendiri bakal melanjutkan pengajian ke IPT.

Suria juga memastikan mana-mana anaknya yang tidak mampu belajar tinggi, mesti mengikuti kelas kemahiran terutama Mara dan ILP.

Ketika berkongsi rahsia bagaimana beliau mendidik anak-anak begitu berjaya, Suria yang dibantu kedua anaknya Noor Baitee dan Siti Aminah, berkata dia memastikan semua anak-anaknya tekun belajar.

“Tiada istilah main-main sewaktu belajar, apa lagi menonton televisyen ketika belajar,”ujarnya melalui isyarat yang diterjemahkan anak-anaknya.

Walaupun beliau bukan ibu OKU yang berpendidikan, namun keistimewaannya yang unik menyedari betapa dunia kini mementingkan ilmu.

“Walaupun saya tidak mampu mengajar mereka, namun dorongan, semangat dan betapa pentingnya pelajaran sering saya ingatkan pada mereka,”ujarnya.

Sebagai seorang ibu, Suria sering mendoakan kecemerlangan anak-anaknya dalam semua bidang yang diceburi, terutama pelajaran.

Sambil membuat isyarat ‘berdoa’, itulah yang sering beliau lakukan saban hari sama ada sewaktu solat atau sebaliknya.

Katanya, beliau tidak ingin nasib anak-anaknya seperti dirinya yang tidak berpengetahuan, tidak bekerja.

Sebagai seoang Islam, walaupun beliau tergolong dalam OKU, namun tanggungjawab terhadap Ilahi turut dilakukan sebagaimana insan lain yang sedar akan tanggungjawab itu.

Menurut Noor Baitee (gambar kiri), ibunya seorang yang tegas terutama soal solat dan belajar berbanding ayahnya.

Bagaimanapun tidak dinafikan ibunya seorang ibu yang pengasih dan penyayang sebagaimana yang diterjemahkan melalui perbuatan, memek muka, senyuman dan belaian.

“Walaupun kami hanya memperolehi belaian seorang ibu hanya cara sedemikian dan bukannya dengan kata-kata sebagaimana seorang ibu melafazkan ‘sayang’ pada anak-anak mereka, namun cara mak cukup bermakna bagi kami,”ujar dua beradik itu.

Nor Baitee merupakan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama (A) Tarbiah Mardhiah Panchor SPM 2011 yang mendapat keputusan 9 A.

Keputusan itu sekaligus mencipta rekod kecemerlangan yang tersendiri yang sebelum ini tidak pernah diterokai.

Bukan itu sahaja SPM tahun lalu juga sekolah berkenaan memperolehi keputusan 100 peratus spm.

Keistimewaan yang ingin dikongsi di sini, Suria bukan hanya seorang isteri atau ibu yang penyayang pada keluarganya, sebaliknya dia begitu menyayangi binatang peliharaannya, terutama kucing.

Menurut Baitee, kucing yang ada di rumahnya sering dibelai ibunya dengan penuh kasih bukan hanya memberi makan.

“Inilah antara keistimewaan yang ada pada mak,”ujarnya.

Kerana sifatnya yang sedemikian, beliau sering menjadi perhatian jiran tetangga. Dia juga rajin membantu sehinggakan kenduri kendara yang diadakan jiran, wajahnya sering kelihatan.

Apabila mempunyai anak yang agak ramai, tingkah laku mereka juga berbagai.

Kerenah anak-anak kadang-kadang melukakan hati siibu. Namun bagi Suria dia tidak pernah tersinggung dengan anak-anaknya.

“Syukur kerana saya mempunyai anak yang baik-baik dan dengar diajar.  Mereka tidak pernah membuatkan saya berkecil hati,” jelas Suria ketika ditanya mengenai perkara itu.

Suria pernah melalui kehidupan yang sukar sebelum ini apabila beliau pernah berpisah dengan suaminya. Namun jodoh masih ada buat mereka.

Hampir setahun perpisahan itu berlalu, akhirnya mereka disatukan kembali dan kekal hingga ke hari ini.

Suria berharap nasib anak-anaknya baik serta dapat memperbaiki nasib masa depan keluarga, sekurang-kurangnya untuk keluarga mereka sendiri.

Kasih ibu tiada nilainya, kasih ibu tiada akhirnya, walaupun siapa kita, bagaimanapun keadaan seorang ibu itu, namun kebahagiaan anak tetap menjadi keutamaan.

‘Saya hanya nasihat, tapi saya pula kena pukul'

Anis Nazri, 09 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Akibat prihatin terhadap seorang warga emas, Ahmad Nazri Mat Jam, 42, dipukul, diterajang dan dipijak hampir 10 anggota polis ketika perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Beliau yang ketika itu berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman, cuba menenangkan sekumpulan anggota polis agar tidak melakukan sebarang kekerasan terhadap warga emas dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, tindakannya itu mendatangkan kemarahan anggota polis yang kemudiannya bertindak mengasari beliau hingga terjatuh di jalan raya.

"Ketika itu polis sudah mula mengejar peserta-peserta Bersih 3.0.  Saya nampak beberapa orang tua dan kanak-kanak di situ, dan meminta pihak polis bertenang, sebaliknya saya yang kena," dakwa beliau kepada Harakahdaily.

Mengimbas kembali insiden pada hari tersebut, Ahmad Nazri berkata pada mulanya beliau dipukul dan ditolak hingga terjatuh dan hanya mampu melindungi wajahnya dari kecederaan yang lebih teruk.

"Setelah dibangunkan dan digari dengan gari plastik, saya kemudiannya terus dipukul oleh anggota polis yang berdiri di sisi jalan hingga ke trak yang membawa saya ke tempat tahanan," jelas beliau yang bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Bagaimanapun, setelah hampir seminggu insiden itu berlalu, beliau berasa sakit-sakit dan sengal-sengal di beberapa bahagian badan, khususnya di bahagian kaki.

Bapa kepada dua orang anak ini juga membuat laporan polis, selain ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan pada keesokkan harinya.

Kunjungan Harakahdaily ke kediamannya di Ampang, petang semalam mendapati matanya masih lebam, biarpun kesan bengkak lain di mukanya sudah mula sembuh.

Ketika ditanya sama ada beliau serik untuk menyertai mana-mana himpunan selepas ini, dengan tegas beliau berkata perjuangan bagi menuntut hak wajib diteruskan.

"Saya menyertai Bersih, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, dan beberapa himpunan lain sebelum ini.  Ini kali pertama saya dipukul, dan saya tidak akan serik kerana bagi saya ini adalah perjuangan bagi menuntut hak sebagai rakyat Malaysia," tegas beliau yang juga peniaga air minuman di beberapa lokasi ceramah dan himpunan.

Tolak tawaran PBB, kerajaan sembunyi sesuatu

Abdul Aziz Mustafa, 09 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berpendapat keputusan kerajaan Malaysia menolak tawaran pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat Bersih 3.0, sudah dijangka.

Menurutnya, tidak pelik penolakan tawaran itu kerana kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri pun dipandang sebelah mata oleh pihak kerajaan.

Mahfuz berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penolakan tersebut dibuat kerana cuba menyembunyikan sesuatu yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu itu.

"Kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kini semakin diyakini berusaha keras untuk menyembunyi dan melindungi banyak perkara dengan tindakannya mengetepi dan menolak Suhakam untuk menyiasat apa yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 itu.

"Kalau Suhakam yang ditubuhkan oleh kerajaan sendiri pun kerajaan Najib takut, tentulah ia lebih takut lagi kepada siasatan bebas oleh pihak PBB," kata Mahfuz.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang menolak tawaran Frank William La Rue dengan alasan orang luar tidak perlu menyiasat perhimpunan Bersih 3.0 itu.

Ketika menolak tawaran pelapor khas PBB itu juga, Anifah juga mendakwa, pihak berkuasa Malaysia termasuk polis mampu menjalankan siasatan.

Menyelar alasan Anifah itu, Mahfuz berkata, rakyat tidak bodoh untuk mempercayai kononnya penyiasatan sendiri oleh panel penyiasat yang ditubuhkan kerajaan adalah tidak memihak.

"Kalau Suhakam pun kerajaan BN tolak, tidak mungkin rakyat percaya kononnya panel siasatan yang ditubuhkan oleh kerajaan tidak memihak.

"Lebih-lebih lagi kalau polis yang siasat polis," kata beliau.

Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia kata Mahfuz tidak perlu takut dengan siasatan bebas PBB itu.

Rahim Noor berdepan tindakan mahkamah

M Faqih & M Zin, 09 Mei 2012

KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka memfail saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor ekoran kegagalan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir”.

Semalam Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.

Pengerusi lajnah terbabit, Hisham Fauzi berkata, selepas peluang yang diberi untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf tidak dimanfaatkan, maka tindakan mahkamah perlu diambil.

“Tindakan saman juga akan dikenakan terhadap NST yang menyiarkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara terbabit kerana belum melakukan pembetulan.

“Saman itu dibuat atas nama Menteri Besar sendiri. Kita juga sudah berbincang dengan pasukan peguam Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat,” katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara terbabit dalam kenyataan seperti dilapor sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam berhubung kenyataan wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang ekoran peluang diberi semalam tidak dimanfaat sepenuhnya Rahim.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pemuda PAS Tanah Merah membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Laporan berkenaan dibuat Mohd Darulhisham Kamaludin mewakili Pemuda PAS Tanah Merah. Hampir 100 pemuda PAS Tanah dan AMK hadir bagi memberi sokongan, turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani.

Petang semalam laporan serupa dibuat Pemuda PAS Pasir Puteh.

Manakala Pemuda PAS Negeri Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Rahim dan menyifatkan bekas ketua polis itu seperti hilang kewarasan dan pertimbangan akal.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sindrom hilang akal dan kewarasan seperti itu bukan perkara baru kerana Rahim pernah disabitkan kesalahan kerana menumbuk Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bekas timbalan perdana menteri itu ditahan pada 1998.

“Jika pada masa itu beliau masih Ketua Polis Negara boleh hilang pertimbangan, maka tidak menjadi perkara pelik sekiranya kehilangan pertimbangannya berulang kembali.

“Dalam hal ini mungkin Rahim tidak dapat membezakan istilah wajib yang disebut Tuan Guru Nik Aziz dan perbezaannya dengan wajib syarie di sisi agama.

“Wajib yang disebut Menteri Besar bukanlah bererti bahawa jika tidak dilakukan jatuh kepada hukum haram tetapi hanyalah sebagai gesaan kepada rakyat menuntut pilihanraya yang adil,” katanya.

Pro M: Pejabat PM terlibat tangguh p'raya kampus

Harakahdaily, 09 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Kumpulan Pro Mahasiswa Nasional (PMN) mendakwa mempunyai bukti terdapatnya campur tangan politik Pejabat Perdana Menteri untuk melewatkan tarikh pilihan raya kampus.

Jurucakap Pro-Mahasiswa Nasional, Edikorp Lakip Sediyanto berkata, satu operasi khas ditubuhkan di bawah Pejabat Perdana Menteri yang dinamakan ‘Opss 2020′.

“Jika kita teliti, pola kalah-menang, sepanjang tahun 2007 hingga 2011, kita dapat saksikan graf penurunan sokongan mahasiswa terhadap calon pro Umno (Pro Aspirasi) dan peningkatan sokongan terhadap calon pro mahasiswa,” kata PMN dalam satu kenyataan semalam.

Edikorp berkata, Opss 2020 berperanan memastikan pilihan raya kampus kali ini tidak akan memberi sebarang kebangkitan moral kepada Pakatan Rakyat sebelum menjelang PRU 13.

"Operasi itu juga akan digunakan sebagai indikator dan simulasi bagi mempengaruhi undi anak muda memandangkan tidak akan ada lagi pilihan raya kecil buat masa ini sehingga PRU 13 berlangsung," katanya.

Menurut PMN, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengadakan perbincangan dengan pentadbiran Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) baru-baru ini agar tarikh pilihan raya kampus bagi sesi 2012/2013 dilewatkan kepada September 2012.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dipilih pada sesi lepas telah tamat tempoh berkhidmat pada Mac lalu,” katanya.

PMN berkata, Opps 2020 jelas menunjukkan Umno BN begitu terdesak berhadapan dengan PRU 13 khususnya bagi memenangi hati mahasiswa dan anak muda.

Katanya, Umno BN telah masuk ke kampus membunuh idealisma perjuangan mahasiswa dan anak muda yang semakin menolak politik kotor, lucah dan tidak matang yang dibawa mereka.

PMN berpendirian, tindakan melengah-lengahkan proses pemilihan Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa merupakan satu tindakan yang tidak demokrasi dan berniat jahat.

“Justeru, PMN bersama rakan-rakan front aktivis mahasiswa mengadakan siri perhimpunan aman pada Mac lalu di hadapan KPT untuk menyerahkan memorandum bagi menuntut agar pilihan raya kampus diadakan segera.

“Malangnya KPT hanya menghantar wakilnya menerima memorandum tuntutan mahasiswa di luar pintu sahaja. Ini menunjukkan Menterinya, Datuk Seri Khalid Nordin tidak serius dan gagal mempamerkan kredibiliti beliau dalam melayani isu-isu mahasiswa,” katanya.

Sehubungan itu PMN akan terus membuat pendedahan jika pilihan raya kampus masih tidak diadakan dalam waktu terdekat ini.

Bukan RM15,000 tetapi sepatutnya RM38,000

Rizal Tahir, 09 Mei 2012
KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, menyifatkan durian runtuh kepada peneroka sebanyak RM15,000 terlalu kecil jika dibandingkan dengan keuntungan yang diperolehi.

Katanya, RM15,000 hanyalah pulangan hak pada mereka ke atas kehilangan ladang komersial yang sebelum ini menjadi sumber dividen tahunan.

“Felda memberikan dividen yang tertinggi di Negara ini, iaitu 15 peratus setahun kepada peneroka, iaitu hasil ladang komersial  yang tidak ada peneroka.

“Ladang komersial itu diagihkan dalam bentuk dividen kepada peneroka sebanyak 15 peratus seorang setiap tahun,”ujarnya lagi.

Dakwa Husam lagi, apabila peneroka diberikan RM15,000 ini mereka tidak lagi menikmati dividen tahunan seperti mana sebelum ini kerana ladang berkenaan telah menjadi milik Felda Golden Vantures Holding Bhd (FGVH).

“Tukaran dari hak milik tersebut terlalu kecil. Saya ingat durian runtuh ini RM38,000 ke atas bersekali dengan saham peneroka dalam syarikat FGVH yang disenaraikan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung ‘durian runtuh’ sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di hadapan warga peneroka, di Felda Jengka 8, Jerantut, Pahang semalam.

Tambah Husam yang juga anggota exco kerajaan negeri Kelantan, apa yang dipersoalkan kenapa durian runtuh yang dimaksudkan itu terlalu kecil, malah beliau tidak bersetuju dengan jumlah itu.

“Sepatutnya dengan hak yang dilepaskan oleh peneroka itu mereka seharusnya mendapat jumlah yang lebih besar daripada apa yang diberikan,”ujarnya.

Tambahnya, jika dinilai dari RM15,000 untuk diagihkan kepada semua peneroka hanya melibatkan jumlah RM500 juta.

Beliau menambah, sedangkan pada awalnya jumlah pendapatan yang wajar diperolehi melalui durian runtuh sebanyak RM2 bilion.

“Jadi saya nak tanya Perdana Menteri ke mana perginya wang sebanyak RM1.5 bilion lagi. Kenapa mereka hanya diberikan RM15,000 dan bukannya RM38,000 sebagaimana yang diwar-warkan sebelum ini?,”soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan durian runtuh hanya runtuhnya sebela dahan sahaja, selebihnya tidak boleh dimakan.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang medianya di JKR 10 selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan, di sini, semalam.

Tiada ulasan: