Sabtu, 5 Mei 2012

MUNGKIN KEADILAN TAK DAPAT DITEGAKKAN..JIKA SIKAP TAK IKUT ISLAM...MUNGKIN HUKMAN ALLAH DALAM BENTUK PERIBADI YANG TAK BERSIKAP ADIL...DISAMPING HUKUM DIAKHIRAT MENUNGGU ORANG TAK BERSIKAP ADIL

Saf gesa boikot media guna politik lucah

Mohd Azmi Abdul Hamid, 05 Mei 2012
Saf Anti Fitnah (Saf) mengutuk sekeras-kerasnya pengulangan strategi politik lucah yang dipapar dalam media perdana khususnya Utusan Malaysia dan media yang sealiran dengannya dan pelbagai media siber yang didalangi oleh parti pemerintah.

Saf terkejut dengan reaksi pelbagai pihak NGO dan pakar undang-undang yang dengan mudah mengenepikan  prinsip bahawa beban bukti bukan di atas yang tertuduh tetapi adalah dipihak yang menuduh.

Apakah dengan hanya memaparkan sebuah video atau gambar maka seseorang itu sudah didapati bersalah dan dipaksa untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah? Adakah sistem keadilan dan hukuman di negara ini sudah menjadi sedemikian murah dan buruk?

Kami mendapati jika media dibenarkan untuk mengulangi amalan politik jijik ini dan seorang itu dengan mudah dituduh bersalah dengan menyebar dan menyiarkan video lucah, sahlah bahawa pihak berkuasa bersekongkol untuk mengguna strategi paling kotor untuk menyerang musuh politik menjelang PRU 13 ini.

Sejak dari isu ini diguna tahun lalu, nampaknya kali ini  serangan ke atas peribadi musuh politik dengan cara sangat kotor ini didukung bukan sahaja oleh media malah oleh parti pemerintah dan juga dibenarkan oleh pihak yang berkuasa.

Di kala pemimpin BN menyatakan pihak pembangkang tidak ada modal bila kepincangan kerajaan didedahkan satu- persatu dengan berfakta, jelas mengguna strategi kotor dengan serangan politik lucah dianggap modal paling berkesan oleh parti pemerintah.

Hipokrasi paling jelas dapat dilihat bila modal politik lucah dianggap modal yang dimilikki oleh pemimpin-pemimpin yang diguna secara berterusan sebagai senjata terdesak untuk mempertahankan saki baki kuasa yang masih ada.

Paling malang ahli ugama secara beramai-ramai tidak menyuarakan bantahan terhadap budaya jijik yang terang-terangan diharam oleh Islam. Belum ada lagi teguran yang kedengaran dikeluarkan oleh mana mana pihak dari ahli ugama sama ada dari kalangan ahli parti mahupun yang bertugas dalam agensi agama, kecuali Mufti Perlis yang menyuarakan pandangan beliau dalam suatu wacana di Kelantan baru-baru ini.

Saf menegaskan bahawa akhbar Utusan Malayisa yang menerajui politik kotor ini hendaklah diambil tindakan yang tegas agar ia tidak terus menyumbang kepada budaya politik kotor di negara ini. Para ulama harus bangkit dan memimpin perhimpunan umat untuk mengisytiharkan pendirian mereka dengan tegas dan jelas terhadap gelagat yang amat mengaibkan ini.

Membiarkan media seperti Utusan Malaysia dan TV3 terus menerus menggunakan politik lucah akan mengesahkan memang politik lucah menjadi amalan di negara ini.

Saf menuntut agar seluruh rakyat melancarkan boikot menyeluruh  di seluruh negara terhadap media sama ada media perdana mahupun media siber yang terus meneruskan mengguna politik jijik.

Saf menyelar pihak parti pemerintah yang terus menerus melaksanakan strategi terdesak yang melibatkan bukan sahaja penipuan dalam pendaftaran pengundi malah juga penyebaran budaya fitnah lucah untuk menyerang peribadi pihak lawan.

Adakah ini yang dimaksudkan oleh Tan Sri Muhyuddin bahawa PRU 13 kali ini merupakan 'ibu segala pilihanraya' yang akan melibatkan 'ibu segala penipuan' dan 'ibu segala strategi kotor' yang akan digunakan?

Saf tidak nampak cara paling berkesan untuk menghapuskan budaya politik lucah yang memalukan negara selain dari menterjemahkan tindakan rakyat dalam kotak undi akan datang.

Budaya politik lucah dan budaya politik wang menjadi strategi seiring yang nampaknya sudah sejati dengan parti pemerintah.

Rakyat harus merasa malu dengan budaya politik lucah yang bermain dalam gelanggang politik Malaysia. Seganas dan autokratik politik pemerintah di negara seperti Myanmar, Bangladesh, Syria dan beberapa negara Asia Barat, politik fitnah dan lucah tidak menjadi budaya dalam persaingan kuasa.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Pengerusi Saf.

Kumpulan mahasiswa pertahan tindakan Khalid

Harakahdaily, 05 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami) mempertahan tindakan seorang rakan mereka Khalid Ismath yang didakwa membuat kecaman kepada anggota polis melalui laman Facebook.

Bagi setiausahanya Khairul Naim Rafidi, tindakan Khalid tidak lebih dari hanya satu bentuk ekspresi selepas layanan keras polis sewaktu himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu terhadap ibunya.

"Ibunya terpaksa bermalam lima hari di hospital kerana cedera parah. Sudah tentu sebagai manusia Khalid juga punyai rasa amarah apabila berdepan dengan perkara seperti ini.

"Status yang dianggap mengecam polis itu kami kira sebagai satu bentuk ekspresi yang dilakukan bila mana dirinya berada dalam keadaan tertekan dan hiba melihat ibu kesayangan Faridah Abdul yang dizalimi ketika himpunan Bersih 3.0," katanya dalam satu kenyataan.

Lebih-lebih lagi menurut Khairul Naim ibu khalid merupakan warga emas yang hadir ke perhimpunan tersebut hanya untuk melihat kebangkitan anak muda.

Malangnya, ia berakhir dengan satu tragedi malang apabila pihak polis mula membuat tembakan gas pemedih mata dan meriam air, kata Khairul Naim.

Beberapa hari lalu, Khalid, 22, bertindak menulis di laman sosial facebook bagi mengekspresikan rasa amarah kepada pihak yang bertanggungjawab.

Beliau menulis; "Saya setuju jika semua polis dibunuh. Kerana begini caranya mereka melayan rakyat. Jadi setiap kali demo, tidak ada rundingan dengan polis lagi. Lawan tetap lawan."

Rentetan itu, empat orang anggota Polis dari Unit Cawangan Khas IPK Klang telah hadir ke rumah Khalid pagi tadi dan memintanya hadir ke IPK Kuala Lumpur.

Bagaimanapun beliau ditahan ketika tiba di sana bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkaitan status laman sosial Facebooknya itu.

"Bagi kami, ia bukanlah satu kesalahan yang besar memandangkan banyak lagi unsur menghasut dalam laman sosial yang masyarakat secara umum ketahui.

"Kenapa pula tiada dikenakan apa-apa tindakan," soal Khairul Naim.

Belum sempat beri keterangan dah kena tahan

Hazayani Zakaria, 05 Mei 2012

KUALA LUMPUR: Keluarga serta rakan-rakan aktivis mahasiswa, Khalid Ismath yang ditahan polis pagi tadi meminta pihak polis "tidak mempermainkan mereka" dan berterus terang apa yang akan dilakukan terhadap Khalid.

Khalid, 22, pada mulanya hanya diminta hadir ke mana-mana balai polis untuk diambil keterangan berhubung dakwaan berkaitan status laman sosial Facebook yang dikatakan menyokong tindakan supaya anggota polis dibunuh.

Namun Khalid yang ditemani ibu bapa, saudara mara dan sekumpuluan aktivis mahasiswa ditahan sejurus tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurut seorang aktivis mahasiswa yang berada di IPK KL, Ehsan Bukhari, selepas Khalid ditahan, dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira jam 11.30 untuk siasatan lanjut.

Selepas itu, dia sekali lagi dibawa menaiki kereta dan dimaklumkan akan dibawa ke IPD Jinjang.

Namun, Khalid yang masih dibenarkan berhubung dengan ahli keluarga memberitatu, dalam perjalanan ke Jinjang, mereka berpatah balik ke IPD Cheras.

Sehingga berita ini ditulis, Khalid berada di IPD Cheras.

"Tadi kami semua ke IPD Cheras, lepas itu ikut ke IPD Jinjang tapi belum sempat tiba, Khalid bagitahu mereka berpatah balik ke IPD Cheras. Sekarang kami nak gerak ke IPD Cheras.

"Kami tak tahu polis tengah main game apa ni. Kami minta polis tolong berterus-terang apa tindakan yang akan dikenakan ke atas Khalid," katanya.
Bersih: PR dakwa Najib buat kenyataan lucu
RUZY ADILA IDRIS
5 Mei 2012
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
SHAH ALAM –  Dua lagi komponen Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, kononnya perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu satu usaha mahu menggulingkan kerajaan, sebagai pandangan melucukan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Najib itu amat lucu kerana mustahil untuk menggulingkan sebuah kerajaan hanya dengan membawa botol-botol air mineral.
“Kalaulah benar tujuan perhimpunan Bersih 3.0 diadakan untuk menggulingkan kerajaan, sudah pasti mereka akan membawa senjata dan destinasinya, bukan ke Dataran Merdeka, sebaliknya ke Putrajaya.

“Sebenarnya, kerajaan sedang menggunakan pendekatan menakut-nakutkan rakyat dengan sekatan maklumat dan dalam masa yang sama, menutup soal pokok yang menjadi tuntutan sebenar Bersih 3.0 diadakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Dalam satu dibuat di Gua Musang semalam, Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perhimpunan badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang berhampiran Dataran Merdeka, Sabtu lepas, adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu menunjukkan pihak yang terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.

"Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan.

"Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen turut mendakwa, apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Najib adalah supaya rakyat terus mempertahankan sebuah kerajaan yang ‘kotor’ termasuklah cara pemilihan wakil rakyat yang tidak adil.

Ketika diminta mengulas kenyataan Najib bahawa tindakan peserta perhimpunan cuba menjadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir, Mahfuz berkata, kenyataan itu adalah tidak tepat.

“Kalaulah kesemua peserta Bersih itu dibenarkan duduk di Dataran Merdeka, pasti semua masalah yang timbul pada hari berkenaan tidak akan berlaku.

“Kami hanya ingin duduk dan menyatakan bantahan dan menuntut agar diadakan pilihan raya yang bebas dan adil. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw meminta Perdana Menteri mengklasifikasikan dua perhimpunan Bersih yang diadakan sebelum ini.

“Kalau Bersih 3.0 beliau (Najib) kata nak gulingkan kerajaan, habis Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 pula nak gulingkan apa?

“Pakatan Rakyat tidak akan mengambil alih kerajaan melalui cara yang beliau (Najib) katakan itu, sebaliknya kami tetap berpegang kepada proses demokrasi iaitu melalui pilihan raya, sebab itulah perhimpunan ini diadakan, untuk menuntut perjalanan pilihan raya yang bersih,” jelasnya.

Tambah Seng Giaw, tindakan pihak berkuasa menyembur air, gas pemedih mata dan mengenakan kekerasan kepada peserta perhimpunan tempoh hari juga dilihat sebagai tidak wajar.

“Tindakan itu benar-benar menyusahkan peserta perhimpunan yang hadir pada hari berkenaan untuk menyatakan hasrat mereka.

“Bukan sahaja peserta perhimpunan, malah ada juga pengamal media yang turut mengani tempias tindakan polis,” katanya.
8 soalan untuk siasatan keganasan BERSIH
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mengetuai kempen propaganda BN untuk kawalan kerosakan atau damage control - untuk mengurangkan ketidaksehaluan dalam penyahkendalian perhimpunan "duduk-bantah" Bersih 3.0 di Dataran Merdeka yang menuntut pilihan raya yang bebas dan adil - dengan tohmahan melulu bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 merupakan percubaan untuk menggulingkan kerajaan BN.

Hakikatnya, perhimpunan BERSIH 3.0 adalah kesedaran dan kebangkitan, keberdayaan dan kesepakatan antara rakyat Malaysia yang menjangkau kaum, agama, kelas, kawasan, jantina atau pun umur untuk menunjukkan cinta kepada negara yang menitikberat keperluan pilihanraya yang bersih, untuk Malaysia yang bersih.

Setiap hari berlalu, apa yang tidak boleh dinafikan BERSIH 3.0 suatu malapetaka dalam perhubungan awam Najib dan imejnya sebagai "reformis" dan "transformis".

Suhakam menyatakan bahawa berlaku"penindasan dan perlakuan sebarangan". Pihak polis menggunakan "kekerasan dan kuasa secara tidak wajar terhadap peserta perhimpunan serta rakan media" dalam perhimpunan BERSIH 3.0 - "kelakuan yang tidak boleh diterima".

Sementara Majlis Peguam menyatakan bahawa keganasan polis yang disaksikan semasa BERSIH 3.0 lebih buruk jika dibandingkan dengan kejadian dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lepas.

Sebelum ini, Suhakam mengumumkan penemuan mereka bahawa pihak polis mencabuli hak asasi manusia apabila menembak gas pemedih mata ke perkarangan kawasan kemudahan awam seperti Hospital Tung Shin, hospital bersalin Cina dan dan Stesen KL Sentral yang menyebabkan keselamatan orang awam tergugat.

Wajarkah wujud kesangsian terhadap hasil penyiasatan awam yang kredibel dalam pencabulan hak asasi manusia dan dengan keganasan pihak polis menggunakan kuasa tidak wajar dan keterlaluan sama ada berbentuk tembakan gas pemedih mata, semburan air bercampur bahan kimia, brutaliti polis dan keganasan terhadap peserta yang berhimpun secara aman, termasuklah wakil media?

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, beliau mahukan keadilan diberikan kepada semua pihak terlibat, termasuklah ahli media dan anggota polis yang tercedera.

Saya bersetuju dengan ketua polis negara yang berkata "hanya kerana beberapa yang berkelakuan seperti samseng, tidak bermakna kesemua anggota polis berperangai sebegitu".

Ini satu sebab mengapa penyiasatan penuh yang kredibel diperlukan untuk menegakkan keadilan bagi semua peserta BERSIH 3.0 yang menjadi mangsa keganasan - sama ada pihak polis, wakil media atau peserta sendiri.

Saya juga bersetuju bahawa pihak polis bertindak dengan terkawal dan profesional sehingga kira-kira pukul 3 petang pada Sabtu lepas atau setengah jam selepas pengumuman penganjur BERSIH 3.0 bahawa perhimpunan tamat dan peserta diminta bersurai.

Selepas jam 3 petang, kelihatan benteng pengawalan dan sikap profesionalisme pihak polis roboh dan keganasan polis bermula.

Lapan persoalan yang wajib dijawab melalui penyiasatan penuh dan kredibel dalam keganasan BERSIH 3.0 atau "428":

(1) Mengapa keganasan dan kekerasan polis wujud sama ada dengan menembak gas pemedih mata, penyemburan air dengan bahan kimia atau keganasan fizikal dan brutaliti terhadap perserta perhimpunan aman selepas jam 3 petang, yang berlanjutan untuk tempoh 5 jam pada hari itu?

(2) Bagi yang telah menembusi sekatan yang didirikan, mengapa pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan itu sahaja tetapi menghukum kesemua peserta yang lain yang berhimpun secara aman dan yang ingin bersurai secara aman?

(3) Mengapa ada beberapa kakitangan polis yang tiada nombor pengenalan ataupun tag nama pengenalan?

(4) Mengapa wakil media dan wakil akhbar disasarkan dan diserang oleh pihak polis dengan rampasan kad memori kamera mereka dan pemecahan kamera mereka?

(5) Mengapa beberapa stesen LRT diarahkan untuk ditutup selepas gas pemedih mata dan air yang dicampur bahan kimia mula ditembak? Adakah ini hasrat pihak polis untuk "mengepung" para peserta atau "memberi pengajaran" kepada mereka?

(6) Adakah benar transmisi sengaja disekat supaya apa-apa komunikasi dihalang yang akan menyebabkan lebih kekeliruan dalam keadaan yang sudah pun tegang dan genting pada masa itu?

(7) Siapa dari pihak polis atau dari Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab memberi kebenaran atau lampu hijau supaya berlaku pencabulan hak asasi manusia dan tidak menghiraukan prinsip dan garis panduan penggunanan kekerasan dan senjata api oleh kakitangan polis?

(8) Persoalan sama ada masa sudah sampai bagi pengimplimentasian penuh cadangan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Polis Dzaiddin untuk membentuk perkhidmatan polis yang bertaraf dunia yang efisien, profesional dan tidak berasuah - yang memfokus kepada tiga fungsi utama untuk mencegah jenayah dan memastikan kadar jenayah sentiasa rendah, membasmi korupsi dan menegakkan keadilan hak asasi manusia - dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Keganasan dan Penyalahgunaan Kuasa Pihak Polis?

Berdasarkan jadual waktu sesi parlimen, sesi berikut dijangka akan bersidang untuk 12 hari dari 11 Jun sehingga 28 Jun, sementara bajet Parlimen 2013 dijangka bermula pada 24 September dan akan berlangsung untuk tempoh 34 hari sehingga 27 November. Hari pengumuman belanjawan akan dilakukan pada hari Jumaat, 28 September 2012.

Najib perlu memberi kata putus dalam beberapa hari ini sama ada pilihan raya umum akan berlangsung pada bulan Jun atau pada tarikh yang lebih lambat.

LIM KIT SIANG ketua anggota parlimen DAP.
Kemarahan pemandu lori muncul kembali
Selepas tiga hari mogok pemandu lori terhadap pengendali depot - yang melumpuhkan industri import-eksport Pelabuhan Klang - perasaan tidak puas hati dilihat masih belum reda.

Ini susulan hasil mesyuarat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama Lembaga Pelabuhan Klang, pengendali depot dan kumpulan berkepentingan semalam.

NONEMenurut sumber yang terlibat, penyelesaian akhir tidak ditetapkan tetapi kementerian memberikan jamiman akan menyelesaikan perkara itu dengan syarat mogok tidak diteruskan.

"Mereka kata tiada lagi mogok, kamu akan balik bekerja dan kami akan cari penyelesaian untuk perkara ini," dakwanya.

Pada 2 Mei lalu, ribuan pemandu lori kontena dilaporkan berdemonstrasi di Pelabuhan Klang bagi membantah kenaikan caj yang dikenakan pemilik depot terhadap mereka bagi menghantar atau mengambil kontena di pelabuhan itu.
Aktivis siswa ditahan polis kerana Facebook
Seorang aktivis mahasiswa ditahan polis ketika hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkaitan status laman sosial Facebook yang dikatakan menyokong tindakan supaya anggota polis dibunuh.

NONEKhalid Ismath, 22, ditahan sejurus sampai di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur ditemani ibu bapa, sanak saudara dan sekumpulan aktivis mahasiswa.

Khalid dalam Facebook sebelum ini menulis: "Saya setuju jika semua polis dibunuh. Kerana begini caranya mereka melayan rakyat. Jadi setiap kali demo, tidak ada rundingan dengan polis lagi. Lawan tetap lawan."

Status itu dipercayai berkaitan dengan layanan polis semasa perhimpunan BERSIH 3.0 genap seminggu lalu.

Menurut bapanya Ismath Mohd Habib, polis yang datang ke rumahnya di Klang semalam tidak menyatakan hasrat menahan Khalid.

Beliau juga tidak nampak alasan untuk pihak berkuasa berbuat demikian kerana berpendapat anaknya bukan penjenayah atau "mat rempit".

Pada jam 11.30 pagi tadi, beliau dipindahkan ke ibu pejabat polis daerah Cheras untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: