Selasa, 8 Mei 2012

MENUDUH SESEORANG ISLAM KAFIR...JIKA YANG DITUDUH TIDAK KAFIR DISISI ALLAH...KEKAFIRAN KEMBALI KEPADA ORANG YANG MENUDUH...

Mualaf rujuk 2 perintah kes ke Mahkamah Persekutuan

Aslani M, 08 Mei 2012
KOTA BHARU, 8 Mei: Usaha saudara baru, Muhammad Riduan Abdullah, 43 menyelamatkan akidah anaknya berdepan kesukaran setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuan hak penjagaan tiga anaknya.

Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 17 April lalu diketuai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim menolak dengan kos permohonan Riduan bagi melanjutkan masa untuk memfail rekod rayuan.

Tiga panel hakim sebulat suara memutuskan tidak ada sebab dan keadaan istimewa untuk memberi kebenaran memfail rekod rayuan di luar tempoh masa ditetapkan.

Sebelum itu pada 11 Mac 2010 Riduan memfail notis rayuan dan diperlukan memfail rekod rayuan dalam tempoh lapan minggu daripada tarikh memfail notis, namun peguamnya terdahulu tidak bertindak demikian.

Ekoran itu plaintif melantik peguam lain, Anas Fauzi bagi menyediakan rekod rayuan, namun ditolak Mahkamah Rayuan ekoran tamat tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun Riduan berkata, beliau sedang berusaha membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan menyentuh isu perlembagaan memandangkan wujud dua perintah dalam satu kes.

“Ini kerana Mahkamah Tinggi Syariah Perak pada 29 September 2009 telah memberi hak penjagaan kekal ke atas anak saya dan mengisytiharkan keislaman ketiga-tiganya dikekalkan.

“Malangnya Mahkamah Tingg Ipoh pada 11 Mac 2010 memberi pula hak penjagaan anak kepada bekas isteri saya, Indira Ghandi menggunakan unsur dan fakta yang tidak benar,” katanya di sini.

Tiga anaknya iaitu Ummu Habibah (Prasana Diksa), 4; Abu Bakar (Karan Dinish), 14 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 15. Hanya Ummu Habibah yang berada di bawah jagaan sekarang, manakala dua lagi di bawah Indira, 37 di Ipoh.

Riduan atau nama asal K Patmanathan memeluk Islam pada 11 Mac 2009. Kemudian pada 2 April 2009 beliau mengislamkan ketiga-tiga anaknya.

Bagaimanapun bekas isterinya mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam ketiga-tiga anaknya pada 25 Oktober 2009.

Riduan berkata, anak bongsu kini dibesarkan dalam suasana Islam dan sudah mampu menghafal ayat-ayat suci al Quran.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pembaca Harakah kerana menyumbang bantuan sehingga RM10,000 untuk menampung kos guaman dan lain-lain urusan berkaitan.

Beliau juga sekali lagi merayu sokongan orang ramai bagi membolehkan kesnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Orang ramai boleh menghubungi talian 09 744 6736 (peguam Mustafa Kamal Mat Hassan) atau akaun Bank Islam 3018010036250.

Apa fatwa akhbar siar fitnah lucah

Salmah Mat Husain, 08 Mei 2012
KOTA BHARU, 8 Mei: Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menjelaskan dari sudut ‘hukum’  sebuah akhbar yang menyiarkan gambar tidak bermoral yang mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar), berkata pelbagai lapisan masyarakat berbagai usia termasuk kanak-kanak dapat menyaksikan muka hadapan akhbar berkenaan yang menyiarkan adegan ‘lucah’ yang mengaitkan kononnya Azmin sebagai pelakunya.


“Malangnya Majlis Fatwa Kebangsaan membisu soal ini, bagaimana kedudukan dari segi hukum dan sebagainya kerana bertindak menyiarkan gambar yang tidak senonoh itu di muka hadapan.

“Kenapa mempertikaikan pula Bersih 3.0 yang disifatkan sebagai haram, tidak wajar dan sebagainya, sedangkan banyak lagi perkara lain yang perlu ditekankan termasuk akhbar yang tidak bermoral ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah isu politik semasa di Dun Salor, dekat sini malam tadi.


Turut berucap Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu dan Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan negeri, Ustaz Hamid Derani.


Husam yang juga anggota exco kerajaan negeri berkata demikian dalam ceramahnya sebagai mengulas dakwaan akhbar berkenaan baru-baru ini yang menyiarkan beberapa keping aksi skandal seks di muka hadapan beberapa buah akhbar harian dan blog pro Umno.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengemukakan kenyataan rasmi berhubung tindakan yang dilakukan oleh akhbar yang menyiarkan gambar tidak bermoral itu.

Tinggalkan Perkara Yang Tidak Berfaedah

Nasrudin Hassan, 08 Mei 2012
1. Segar dalam ingatan ini bagaimana naqib usrah saya semasa belajar di Mesir dulu, selalu mengungkapkan kalimah yang dipopularkan oleh Imam Hassan al Banna iaitu al waajibat aksara minal awqaat, iaitu kewajipan jauh lebih banyak dari masa yang ada kepada kita.

2. Justeru itu , kita diajar supaya tidak membazirkan masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah. Sabda Nabi saw:

من حسن اسلام المرء تركه ما لا يعنيه


Sebahagian dari keindahan Islam seseorang itu ialah meninggalkan perkara yang tidak mendatangkan manfaat.

Hadis Hasan Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Imam Malik

3. Perkara yang tidak mendatangkan manafaat ini tidak semestinya hanya dari perkara haram semata-mata tetapi juga dari perkara-perkara halal menurut hukum syara' namun ia tidak mendatang manafaat kepada kita. Contoh mudah ialah berbual kosong di kedai kopi , tidur hingga mencecah 7 atau 8 jam sehari termenung dan berangan-angan. Sungguhpun perbuatan ini tidak membawa kepada haram tetapi ia telah mengambil banyak dari masa kita yang sememangnya terhad.

4. Fenomena ini masih membelenggu sebahagian dari anggota jamaah kita. Akhirnya banyak tugasan jamaah dan tanggungjawab atau amanah tidak berjaya dilaksanakan dengan baik. Kalau pun siap, ianya disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa mengejar waktu dan akhirnya tidak menghasilkan kualiti yang tinggi dalam prestasi kerja sebagai seorang yang bergelar pejuang.

5. Sebagai seorang pejuang, kita sewajarnya peka dalam perkara seperti ini, kerana fail kita masih bertimbun di pejabat dan ianya belum disemak. Frame work kita telah berhabuk kerana belum diterjemah dalam tindakan. Lebih malang jika pejabat kita juga telah bersawang kerana lama kita tidak beroperasi. Kita seperti tidak ada masa untuk bertindak. Tidak tahu ke mana habisnya masa kita. Namun apa yang pasti, matahari terbit dan tenggelam dengan begitu pantas sedang tanggungjawab dan amanah masih terlalu banyak yang belum dilunaskan.

6. Cuba kita hitung sejenak bagaimana masa kita berlalu sementara tugas kita sebagai pejuang menuntut komitmen terhadap masa yang begitu tinggi daripada kita. Termenung di bilik air, khayal di kusyen empu , asyik di kaca TV, berbual kosong di kedai kopi, berangan di meja makan, leka berchatting , tidur melewati batas , alpa bermain game, melayari blog-blog yang tidak mendatangkan faedah dan maklumat, bergayut di telefon dan berSMS dalam perkara yang tidak penting .

7. Sayugianya wahai sahabat seperjuangan, Tinggalkanlah perkara yang tidak mendatangkan manafaat kepada diri mu ! demikian itu sebahagian dari keindahan dan kecantikan Islam seseorang. Begitulah terlebih wajar bagi seorang muslim meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah swt lantaran ia pasti tidak mendatangkan manfaat.

8. Sementelah pula kita semakin hampir ke tarikh pembubaran parlimen. Semakan kerja-kerja teknikal pilihanraya melalui pemantauan Jawatan Kuasa Harian DPPM dan Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia menunjukkan masih banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Harapan saya, seluruh jentera membuat pecutan akhir tanpa lengah dan menoleh ke belakang lagi.

9. Penuhi piawaian sebuah Organisasi utuh dan Jentera boleh menang sebagaimana yang telah digariskan oleh pimpinan jamaah. Jangan terlalu asyik dengan isu yang sengaja di creat oleh musuh untuk menyibukkan kita serta mengalih penumpuan kita. Fokus gerakkerja pilihanraya, kenal pasti keutamaan kerja yang perlu ditunaikan segera dan elakkan tabiat bertangguh.

10. Kemenangan adalah anugerah Allah. Justeru itu, apa yang paling penting ialah hubungan kita dengan Allah swt. mestilah akrab. Kerja pilihanraya kita adalah untuk Allah swt dan Islam agama yang diwahyukanNya. Janganlah sekali-kali kita pernah mengabaikan perintahNya seperti solat dan sebagainya, begitu juga jangan sekali-kali membiarkan diri terjebak dalam kancah maksiat dan mungkar, kerana kelak ia menghalang kemenangan yang telah dijanjikan.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM


Salam Perjuangan dari ~ Aku Pejuang IsLam ~ [ API ]

Durian Runtuh: RM1,689 bilion datang dari mana?

Mazlan Aliman, 08 Mei 2012

'Durian runtuh' yang diumumkan YAB Perdana Menteri di Felda Jengka 8 hari ini sangat di alu-alukan. Namun tidak memeranjatkan saya. Ia telah dimaklumkan 4 hari yang lalu kepada saya dan telah pun saya sebut dengan tepat dalam kenyataan media saya dan di ulang dalam ceramah-ceramah saya.

Meskipun jumlah 1.689 bilion yang diagihkan kepada 112,635 orang peneroka Felda adalah agak besar, tetapi tidaklah sampai 'peneroka tersandar dalam kejutan' seperti PM katakan sebelum ini di Felda Triang 3, Bera. Ia diberi dalam tiga fasa untuk Peneroka, Penerokawati dan Generasi Kedua. Bonus Khas dua bulan setengah gaji untuk 23 ribu kakitangan Felda sesuatu yang tidak berbaloi dengan pengorbanan mereka lebih 25 tahun berkhidmat dengan Felda.

ANAK tidak pernah menolak sebarang pemberian atau insentif yang mahu diberikan kepada para peneroka. Tetapi biarlah kita berhujah secara matang. Kenapa baru sekarang setelah lebih 55 tahun Felda ditubuhkan?

Adakah ini sandiwara politik kerana bimbang akan senario perubahan sikap warga Felda kepada Barisan Nasional?

Siri-siri saman di Kemahang 3, Gugusan Serting, Bera, Jengka, Maokil dan yang terkini di Gugusan Chini, kawasan Parlimen Pekan; tempat PM sendiri?

Gelombang kebangkitan anak-anak muda Felda dapat disaksikan melalui sokongan mereka bersama program-program ANAK dan ceramah Pakatan Rakyat. Saya yakin ini dalam makluman PM dan membimbangkan beliau. 54 Parlimen yang ada Felda adalah kubu terakhir BN.

Walau bagaimanapun, memandang kehadapan; adakah berbaloi gula-gula one off seperti ini?
Berapa lama lagi BN nak bermain politik dengan taktik lama untuk mendodoikan rakyat agar terus menyokong mereka?

Atau; ini dilakukan untuk 'menutup mulut' peneroka agar jangan mempersoalkan keghairahan Kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa Malaysia?

Penipuan mereka melalui 7 buah Bank iaitu CIMB,BIMB,Maybank, OCBC, Am Islamic Bank, Muamalat dan Affin Bank yang diperalat membiayai pinjaman tawaran saham FGVH sangat ketara. Borang pinjaman yang dikosongkan jumlah pinjaman, interest 5 peratus, borang dalam bahasa Inggeris, tidak ditaklimatkan isi kandungannya dan tidak dinyatakan risiko kerugian seperti 'Surat Tanggung Kerugian' adalah antara penipuan dan pengkhianatan kepada para peneroka!

125 peneroka Felda adalah sebahagian daripada ribuan lagi peneroka yang telah tertipu kerana menandatangani Borang Perjanjian Pinjaman yang mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat membezakan antara 'durian runtuh' dengan pinjaman saham FGVH. Mereka memfailkan Injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban semalam kerana teramat bimbang daripada risiko pinjaman yang boleh sahaja TERGADAI aset mereka.

Perdana Menteri beri jaminan tanah peneroka tidak akan tergadai. Adakah PM tidak membaca hampir 70 mukasurat dalam Borang Pinjaman FGVH yang secara jelas dinyatakan dengan terperinci nasib peneroka jika harga saham merudum dan segala risiko di tanggung Peneroka?

Adakah PM tidak mengambil iktibar nasib Felda Cahaya Baru, Felda Sg Buaya, Felda Labu Johnson dan Sendayan yang hilang tanah mereka dan hidup menderita  seperti pepatah ' menang sorak kampung tergadai'?

Mana pergi pemimpin BN tatkala Amanah Saham Negeri-negeri gulung tikar hingga menyebabkan rakyat hilang harta dan diisytiharkan muflis kerana meminjam bank untuk melabur?

Amanah Saham Johor adalah bukti yang amat jelas. Adakah PM, Ahmad Maslan dan Isa Samad boleh beri jaminan bertulis yang saham FGVH tidak rugi sepertimana nasib pelabur Amanah Saham Negeri-negeri dan juga saham-saham lain seperti KUB, BERNAS dsbnya?

PM tidak perlu sebut ' haram jadah' yang di ulang dua kali dalam ucapannya tadi kalau dia rasional. Datuk Ahmad Maslan tidak perlu hentam dan cabar saya seperti diungkapkannya tadi. Kenapa terlalu marah hingga tega memaki hamun di hadapan khalayak ribuan warga Felda.

Sebagai pemimpin biarlah ada wawasan. Peneroka Felda sudah ada tanah dan rumah. Untuk survive, telah memadai. Daripada 1.6 juta warga Felda, 65 peratus adalah generasi kedua. Ini tempoh peralihan yang sangat kritikal untuk mereka.

Mana dia halatuju anak muda Felda?

Perumahan mereka, pendapatan yang lebih stabil atau mereka cuma penonton yang melihat para kroni pemimpin BN memunggah kekayaan setiap hari?

Fikir dulu mana rumah Generasi Ke 2 daripada beri peruntukan RM5 ribu untuk orang lain.
Tidakkah kewujudan Techno Plant Sdn adalah untuk tembolok pemimpin Umno?

Sama juga wujudnya Felda Global Venture bagi tujuan memindahkan harta peneroka berbilion ringgit untuk digunakan UMNO/BN bagi PRU 13?

Saya cabar PM umum peruntukan RM1,689 bilion datang dari mana?

Berapa yang kroni bayar kepada Isa Samad, Sabri Ahmad, adik PM Nazir Razak(CIMB)para penasihat umpamanya Omar Ong (Ethos) dan lain-lain?

Mereka ini ibarat Sadeq Sigara dalam Filem 3 Abdul yang membuat untung dengan menipu peneroka... akhirnya peneroka dilelong dengan harga yang murah!

ANAK konsisten dengan perjuangan bagi kehidupan Generasi Kedua Felda. Para cendekiawan, intelektual dan umumnya anak-anak peneroka bersedia untuk menerajui perubahan di Felda. Seharusnya mereka di beri peluang merencana transformsi di Felda.

Kenapa Isa Samad dilantik PM sebagai Pengerusi Felda?
Mana perginya karisma puluhan ribu cerdik pandai anak-anak peneroka?
Tidak layakkah mereka jadi Pengerusi Felda dan memegang jawatan penting dalam Anak-anak Syarikat Felda?

Kenapa semuanya dibolot Isa Samad dan kroni-kroninya?

Seharusnya halatuju Felda diterajui oleh Anak Felda. Penambahbaikan Koperasi Felda, pengendalian kebun peneroka, aktiviti tanam semula, pembangunan infrastruktur, pengembangan Anak-anak Syarikat dll berilah kepercayaan dan amanah ini kepada mereka. Bukan diterajui oleh ' para lanun' yang tidak ada seinci tanah pun di Felda!

Pengumuman PM bukan suatu Transformasi. Sebenarnya beliau dan pemimpin BN lah 'jaguh kampung' yang tidak punya kreativiti strategik. ANAK dan Pakatan Rakyat menawarkan gagasan seperti Buku Jingga yang bersifat menyeluruh untuk tempoh yang panjang.

Pengagihan Tanah Felda Plantation, penubuhan Universiti Felda, Kouta penguasaan Anak Peneroka dalam Anak-anak Syarikat Felda; hakikatnya inilah pemikiran global yang menjanjikan kehidupan lebih meyakinkan untuk Anak-anak peneroka Felda.

Bagi saya, pengumuman PM tidak lebih untuk mengekalkan kuasa politik BN di Felda semata-mata. Ia mungkin menyukakan peneroka tetapi amat mengecewakan anak muda Felda. Generasi ke 2 dan ke 3 akan terus termenung panjang memikirkan nasib mereka pada hari-hari mendatang yang kian samar.

Peneroka perlu teliti kesan tandatangani perjanjian

Muhammad Faeez, 08 Mei 2012
IPOH, 8 Mei: PAS Perak menyeru semua peneroka Felda khususnya di negeri ini agar meneliti kesan daripada menandatangani surat tawaran perjanjian daripada bank untuk membeli saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH).


Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah Negeri, Razman Zakaria (gambar) berkata, peneroka hendaklah mengetahui tentang kesan langsung yang akan diterima peneroka jika sekiranya berlaku penurunan harga di pasaran saham.


“Di antara kesan yang akan diterima peneroka ialah boleh mengakibatkan tanah dan harta mereka dilelong oleh pihak bank,” katanya yang Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat ketika dihubungi Harakahdaily.


Menurutnya, Pendaftar Mahkamah Tinggi Seremban setelah mengambil kira pandangan Hakim Datuk Rosnani Ibrahim semalam mencadangkan permohonan injunksi 125 orang peneroka Felda dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan.


Katanya, permohonan daripada peneroka Felda Gugusan Bera dan Serting itu dibuat untuk menahan bank daripada memproses pinjaman kepada peneroka untuk membeli saham terbitan awal (IPO) Felda Global Venture Holdings (FGVH) yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia.


Katanya, jumlah pinjaman yang tidak dinyatakan itu menimbulkan kekeliruan kerana borang tersebut tidak dapat disemak dan dinasihatkan tentang pinjaman tersebut.


Beliau juga mempersoalkan daripada mana duit ‘durian runtuh’ yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jengka 8, Pahang hari ini.


“Dikhuatiri durian runtuh tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman yang dibuat oleh peneroka tanpa disedari mereka,” ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Bersih 3.0: Pengalaman wartawan ditahan polis

Izwan Abdul Halim, 08 Mei 2012
Menghayati wajah-wajah dan perilaku para demonstran Bersih 3.0, saya dapat melihat bahawa mereka serius untuk menuntut perubahan. Pun begitu, suasana tetap harmoni dan muhibah walaupun kebanyakannya kali pertama bersua muka. Ia berbeza dengan Bersih 1.0 dan 2.0 di mana kelihatan mereka-mereka yang hadir hanya untuk suka-suka atau tanpa mesej jelas. Tetapi penyaksian terpenting saya pada Bersih 3.0 adalah soal sifat diri manusia yakni antara ketamadunan dan kebinatangan.

Saya memulakan perhimpunan dengan menyertai peserta di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR). Selepas mengambil gambar suasana himpunan dan agak lama di situ, saya beralih pula ke Jalan Raja Laut. Sehinggalah pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan semburan air asid, saya turut berundur bersama peserta lain. Saya melihat semangat tolong-menolong yang tinggi di kalangan peserta pelbagai kaum menghadapi kesan gas dan air tersebut.

Provokasi

Ketika berada hampir Stesen LRT Bandaraya, sebuah kereta polis bergerak dengan membunyikan siren dalam arus pergerakan peserta yang sedang berundur itu. Kelihatan peserta-peserta membaling botol minuman. Seterusnya diikuti sebuah lagi kereta polis dengan aksi sama dan mengalami tindakan serupa dari peserta. Namun anggota polis di dalam kedua-dua kereta itu kelihatan tidak bimbang pun, malah tingkap kereta juga ada yang dibuka.

Selepas beberapa ketika, saya kembali ke Jalan TAR dan berbual-bual dengan peserta di Bangunan Mara bertanyakan pengalaman mereka. Ketika berada di situ, secara tiba-tiba kenderaan awam masuk dengan banyaknya dan mereka terperangkap kerana keadaan peserta yang padat. Pun begitu, peserta bertindak hemah hingga akhirnya kenderaan-kenderaan tersebut dapat keluar dari keadaan itu.

Namun saya dilanda rasa curiga, bagaimana kenderaan-kenderaan ini dapat masuk dalam jumlah yang banyak? Tentu sekali sekatan di hujung jalan telah dibuka. Termasuk yang lalu di jalan itu juga adalah dua ambulan. Seketika kemudian datang pula berderetan kenderaan Pasukan Perubatan dan berhenti dihadapan Kompleks Pertama. Rupanya mereka datang membawa minuman botol dalam jumlah yang banyak. Pergerakan mereka kemas ala-ala gaya CSI. Perkara menarik perhatian saya ialah wajah mereka tidak seperti orang yang ingin menyantuni orang, menimbulkan seribu tanda tanya.

Setelah itu, lalunya sebuah kenderaan SUV polis dengan membunyikan siren dalam lagak memprovokasi peserta. Akibatnya mereka dibaling botol minuman yang berisi air. Diikuti kereta waja polis (dengan tingkapnya terbuka) turut menyaksikan aksi sama. Tetapi dari Kompleks Pertama saya dapat melihat dengan jelas kereta waja itu meningkatkan kelajuan sebagaimana insiden yang telah ramai tonton di internet.

Kemudian sekumpulan polis trafik bermotosikal melalui jalan itu dan mereka mengalami tindakan dari peserta. Namun anggota-anggota beruniform Unit Amal segera meluru kepada kumpulan polis trafik bagi mengawal keadaan dan saya turut serta. Empat anggota polis trafik memberhentikan motosikal mereka disebabkan kejadian itu dan dua dari mereka mengacukan pistol kepada orang awam. Saya sempat merakamkan aksi tersebut dan turut perasan terdapat berkotak-kotak lagi air yang tidak teredar kepada peserta. Kenderaan polis tadi juga diserang dengan botol yang masih belum dibuka. Kenapa mereka tidak minum? Apakah ia sengaja dijadikan senjata oleh orang-orang tertentu yang menyerang polis?

Selepas itu polis trafik tersebut diiring anggota Unit Amal dan mereka diberikan kawalan keselamatan di Bangunan Sogo dari dikasari peserta. Malah, motosikal mereka juga dijaga dengan baik walaupun terdapat cubaan peserta yang emosi. Di sinilah saya melihat betapa tingginya tamadun ditunjukkan peserta himpunan, mereka menjadi penyelamat kepada anggota pasukan keselamatan.

Keganasan

Beberapa ketika kemudian, kumpulan besar polis beruniform biru tiba dan menyuraikan peserta dengan cara yang kasar. Malah, kumpulan peserta yang mengawal keselamatan anggota polis trafik tadi juga dihalau tanpa ucapan terima kasih pun kecuali oleh beberapa Pegawai Polis. Ketika sama juga saya melihat polis sudah bertindak mengasari peserta.

Anggota trafik bermotosikal yang datang dalam kumpulan besar juga ‘mengambil bahagian’ membelasah peserta. Dahsyatnya ialah seorang peserta dibelasah tidak kurang 10 anggota beruniform. Saya mengambil gambar semua kejadian tersebut sehinggalah saya diherdik seorang anggota dan tidak lagi mengambil gambar. Tiba-tiba anggota yang sama bertindak menangkap saya di Bangunan Mara itu, kamera diambil dan diserahkan kepada anggota seorang lagi.

Anggota itu terus memaksa saya berjalan sambil berleter panjang mendakwa saya mengambil gambar untuk memburukkan polis. Disebabkan beliau enggan mendengar penjelasan saya, maka saya memberitahu anggota seorang lagi bahawa saya wartawan dan memintanya tidak melakukan sesuatu kepada kamera saya. Kejadian itu sekitar jam 4 petang.

Saya dibawa melalui Jalan Raja Laut, ketika dipersimpangan trafik itu, anggota yang menangkap saya telah melaungkan pada sekumpulan kira-kira 50 anggota beruniform mengenai tindakan saya. Ada mereka yang ‘nakal’ menyepak kaki saya dan memaki hamun. Ketika melalui pasukan FRU di situ, dua anggota mengambil kesempatan memukul kaki saya dengan cota, saya hanya beristighfar. Anggota yang menangkap saya terus memprovokasi polis lain dengan ungkapan serupa. Saya dimaki hamun dengan pelbagai kata termasuk digelar “Yahudi”. Malah, anggota beruniform Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengambil kesempatan sama.

Saya dikumpulkan bersama Orang Kena Tahan (OKT) lain berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad. Anggota tadi membawa saya kepada Pegawai Tinggi Polis tetapi tindakannya itu ditegur. Saya berterusan memerhatikan kamera saya, ketika itu OKT lain diminta menyerahkan kad pengenalan mereka. Saya tertinggal semua dokumen, hanya sepucuk surat di dalam beg kamera dijadikan dokumen pengenalan.

Gaya Samseng

Kami semua dibawa untuk dikumpulkan di belakang Bangunan Kelab DiRaja Selangor. Ketika itu polis yang menahan saya datang mengembalikan kamera saya dan mendakwa beliau tidak mengusik sebarangan serta meminta saya tidak melakukan lagi di masa akan datang. Saya menegaskan padanya bahawa saya Wartawan Harakah dan bersalam dengannya. Anggota di situ hanya terkelu bila saya memperkenalkan diri.

Di belakang Bangunan Kelab DiRaja Selangor, saya dapati Profesor Dr Aziz Bari juga ditahan di situ. Beberapa pertengkaran kecil berlaku antara OKT dengan polis yang bertindak macam samseng. Mata saya tertumpu kepada beberapa OKT yang cedera di bahagian kepala dan dibiarkan polis dari sebarang rawatan. Ketika sama orang awam yang mengambil gambar kami diberi kata amaran anggota polis.

Dalam kawalan polis, kami bersolat berjamaah diimamkan saya. Kebanyakan mereka diminta bertayamum kerana tiada air. Selesai solat jamak asar zohor, peserta meminta saya teruskan dengan solat hajat. Ketika berdoa, saya membacakan lafaz doa qunut nazilah sekuat-kuatnya.

Ada mereka yang bersimpati datang memberikan minuman kepada kami. Ketika itu juga didatangkan lebih ramai OKT, tetapi keadaan kecederaan mereka sangat teruk dan terus dibelasah polis. Tindakan keterlaluan itu menyebabkan kami bangun memprotes tindakan polis. Keadaan sedikit tegang antara kumpulan OKT dengan kumpulan polis hingga terpaksa ditenangkan Pegawai Polis. Saya melihat kamera, barulah disedari kad memorinya telah diambil.

Semangat OKT kian membara apabila Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dibawa kepada kami. Aksi-aksi kasar polis ke atas OKT yang dihadirkan berikutnya menyebabkan kami memprotes. Apatah lagi Tian Chua juga mempersoalkan tindakan anggota bawahan tersebut. Pegawai Tinggi Polis yang berada di situ juga tidak mampu menangani keadaan, beliau hanya meminta OKT bertenang.

Semua OKT dibawa dengan trak dan bas polis ke Pulapol. Saya kelompok terakhir yang menaiki bas. Ketika menunggu itu saya dapat menyaksikan anggota-anggota trafik juga seperti samseng apabila bertindak mengejar orang awam yang berhenti mengambil gambar kami. Ketika menaiki bas, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin @ Chegubard baru dibawa ke situ. Beliau dibelasah semahu-mahunya oleh lebih 10 anggota beruniform walaupun beliau tidak melawan dan telah mengalami pendarahan.

Kami semua menyaksikan, mereka yang baru ditangkap ketika itu semuanya dalam pendarahan atau dibelasah seperti haiwan. Sepak, terajang bahkan tandukan kepala dilakukan kepada OKT. Lebih memeranjatkan saya, OKT yang berada ditangan Pegawai Tinggi Polis juga turut diterkam anggota tanpa pangkat. Rasa marah kian membengkak dalam hati saya, namun kejadian itu sudah tidak dapat dirakam kamera.

Polis Tangkap Polis?

Tiba di Pulapol sudah maghrib, saya mahu duduk kerana kesakitan di kaki baru terasa menjalar. Lepas solat jamak maghrib isyak, barulah saya mencari-cari kenalan dari Kedah untuk dilaporkan kepada pimpinan PAS Kedah yang menunggu di luar Pulapol. Jumlah OKT ada sekitar 500 orang. Sambil-sambil berbual dengan OKT lain yang sedang berehat dan menikmati makan malam, saya juga membuat beberapa panggilan. Saya tidak mahu menjamah makan, sekadar minum sahaja.

Kesakitan di kaki menyebabkan saya lebih banyak duduk sambil melayani panggilan. Semua OKT juga kelihatan berehat dan berbual sesama berdekatan. Namun sekali sekala kami tetap ceria. Selepas tengah malam barulah saya dipanggil untuk diambil butiran peribadi diikuti sesi gambar. Walaupun dilihat banyak kaunter dan anggota bertugas, tetapi proses tersebut lambat sekali. Tepat jam 1:55 pagi barulah saya dibebaskan dan turun di pagar belakang Pulapol sebelum berehat di kediaman berhampiran bersama sahabat-sahabat yang menunggu.

Keesoknya, bila membaca di akhbar bahawa jumlah 388 OKT Bersih 3.0, saya musykil. Ini kerana nombor tahanan saya adalah 381, sedangkan yang beratur selepas itu masih ramai. Mungkinkah polis (special branch) turut ditangkap?

Namun penglibatan aktif anggota polis sebagai agen provokator bukanlah mustahil. Hasil penelitian ke atas hampir 1,000 keping gambar dari pelbagai sumber bersama sahabat dan ingatan saya ketika detik-detik keganasan kepada peserta, terdapat empat kelompok polis yang disimpulkan.

Pertama memakai baju berbelang melintang atau membawanya. Kedua, memakai baju warna merah dengan vest. Ketiga memakai baju Bersih atau baju kuning dengan vest. Keempat menutup mulut dengan bandana atau tuala kecil atau menyangkut tuala kecil di leher.

Saya juga jelek membaca pujian Ketua Polis Negara bahawa anggotanya berani. Bagaimana pula dengan anggota kamu yang seperti samseng itu? Apapun, terlalu banyak persoalan yang saya pasti sukar dijawab KPN secara telus kepada masyarakat awam. *Penulis adalah wartawan Harakah negeri Kedah

Sambutan 66 tahun Umno patut tuntut Najib undur

Abdul Aziz Mustafa, 08 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mei: Perhimpunan menyambut ulang tahun Umno 11 Mei ini sepatutnya menjadi perhimpunan menuntut pengunduran Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.


"Seluruh dunia telah membaca laporan bahawa pendakwa awam Perancis yang menyiasat urus niaga pembelian senjata Perancis-Malaysia kelmarin mendakwa menemui bukti bahawa Najib yang ketika itu menjadi Menteri Pertahanan meminta AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk syarikat tempatan Perimekar daripada DCNI - anak syarikat pembuat kapal Perancis DCN.


"Seluruh dunia membaca laporan yang boleh ditafsirkan perbuatan rasuah tahap melampau itu.


"Adakah Umno tidak malu dan tidak bermaruah?" tanya beliau.


Laporan juga menyatakan bahawa menurut kertas pendakwaan yang didedahkan oleh NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu, terdapat faks menunjukkan Najib didakwa meminta jumlah itu sebagai syarat mengadakan pertemuan dengan beliau pada 14 Julai 2001.


"Melainkan Umno tidak bermaruah dan tidak mempunyai rasa malu walau sedikit pun, parti itu mesti menentukan pendirian sama ada terus menerima Najib yang begitu tercemar imejnya sebagai presiden atau menuntut beliau berundur dengan segera," kata Mahfuz.


Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Najib bukan sahaja tercemar dengan isu Scorpene, malah lebih tercemar lagi dengan isu Altantuya Shaariibuu.


"Begitu banyak akhbar dari seluruh dunia yang terang-terangan mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya, tetapi beliau terus membisu tanpa menunjukkan sebarang keberanian untuk membela dan mempertahankan dirinya dari tuduhan-tuduhan itu.


"Sehingga hari ini seluruh dua tertanya-tanya mengapa Najib tidak berani mengambil tindakan terhadap akhbar-akhbar yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya itu," kata Mahfuz.


Sikap tidak berani yang terang-terang ditunjukkan oleh Najib itu mengakibatkan beliau dipandang tidak bersih dalam isu Altantuya, katanya.



Mahfuz juga tidak berani menolak kemungkinan Umno akan dijaja oleh rakyat sebagai parti yang paling tidak bermaruah dan tidak mempunyai rasa malu walau sedikit pun jika terus menerima Najib sebagai Presidennya.


"Saya juga tidak berani menolak kemungkinan bahawa (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tidak sanggup melihat Umno dijaja oleh rakyat  sebagai parti yang paling tidak bermaruah dan tidak mempunyai rasa malu," katanya.


Umno kini sedang mengerah ahli-ahlinya untuk berhimpun di Stadium Bukit Jalil 11 Mei ini bagi menyambut ulang tahunnya yang ke-66.

Kafir: Giliran Rahim Nor pula keluar 'fatwa'

Harakahdaily, 08 Mei 2012

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Belum reda dengan fatwa majlis fatwa kebangsaan bahawa himpunan Bersih 3.0 haram, kini timbul pula fatwa baru oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor yang menyifatkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bapa kafir.

Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), tuduhan tersebut amat keterlaluan dan bersifat kurang ajar.

"Menuduh seseorang itu kafir adalah tuduhan yang berat, terlebih lagi jika yang dituduh itu adalah alim ulama.

"Kita mendesak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menarik balik kenyataannya," kata naib ketuanya Dr Raja Ahmad Al Hiss (gambar).

Kenyataan Rahim itu telah disiarkan di New Straits Times (NST) pada hari ini.

"Soalnya, siapakah Tan Sri Rahim untuk menghukumkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai sesat dan kafir?

"Apakah latar belakang beliau jika hendak dibandingkan dengan ulama ini dan sejauh mana kefahaman Islam beliau sehingga boleh mengeluarkan pandangan seseorang itu sesat atau betul," soal Raja lagi.

Baginya, kenyataan Rahim itu juga dengan jelas menghina institusi ulama.

Apatah lagi katanya, ramai para guru agama dan ulama turut hadir dalam perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari.

(Gambar kanan: Tuan Guru Haji Salleh Musa Sik antara ulama yang turut serta bersama rakyat dalam himpunan Bersih 3.0)

"Tan Sri Rahim Noor lebih faham Islam daripada ulama-ulama’yang hadir dalam Bersih 3.0," tegasnya mempersoalkan.

Sehubungan itu beliau meminta Rahim supaya bertaubat dan beristighfar dengan segera kerana menuduh seorang ulama yang berjuang demi menegakkan Islam serta mempertahankan kebenaran dengan tuduhan kafir dan sesat adalah suatu dosa yang besar di sisi Islam.

"Mungkin inilah nasib para ulama yang memperjuangkan kebenaran, dicaci dan dihina oleh mereka yang menolak Islam.

"DPPM bimbang, kenyataan beliau (Rahim) akan memakan tuan dan mengena balik kepada dirinya," katanya.
Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya Iman dan Islam.
 
dari mustika hadis jilid 1
Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian.


Bahagian yang pertama:


(1) I'tiqad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam, I'tiqad bahawa alam ini qadim, tidak ada penciptanya, atau alam ini kekal selama-lamanya.


(2) I'tiqad bahawa pencipta alam ini baharu, atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu, atau pun mempunyai anak isteri, atau berbilang-bilang atau menerima mati.


(3) I'tiqad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., atau i'tiqad bahawa Nabi Muhammad yang sebenar ialah yang disebutnya Muhammad yang batin bukan Muhammad yang zahir, atau i!tiqad bahawa kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , hanya untuk orang-orang Arab sahaja, atau i'tiqad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman, atau i'tiqad mengingkari mana-mana Rasul Tuhan, atau i'tiqad bahawa ada lagi Nabi dan Rasul yang lain yang diutus oleh Allah membawa syariat sesudah Nabi Muhammad s.a.w., Khatam an-Nabiyyin.


(4) - I'tiqad bahawa tidak ada dosa dan pahala, tidak ada Syurga dan Neraka, tidak ada bangkit hidup semula sesudah mati, tidak ada hari qiamat dan segala perkara yang berlaku padanya.


(5) I'tiqad bahawa roh orang-orang mati berpindah-pindah dari satu tubuh ke satu tubuh yang lain.


(6) I'tiqad agama kafir lebih baik dari agama Islam.


(7) Perasaan ragu-ragu terhadap mana-mana satu dari perkara-perkara yang tersebut di atas.


(8) Berbalik-balik hati di antara hendak menjadi kafir atau tidak, atau bercita-cita hendak menjadi kafir pada masa yang akan datang.


Bahagian yang kedua:


Perkataan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, Malaikat-malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya, Ayat-ayat-Nya dan Hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh Rasul-Nya.


Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama menthabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.


Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:


(1) "Hukum apa ini?"


(2) "Hukum ini sudah lapuk."


(3) "Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalangi kemajuan."


(4) "Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus."


(5) "Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?"


(6) "Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?"


(7) "Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?"


(8) "Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai qiamat kita tak maju. "


(9) Berkata: "Perbuatan yang demikian tidak beradab" - apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w., selepas makan: Menjilat sisa makanan di jarinya.


(10) Berkata: "Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat" - apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.


(11) Berkata: "Si anu dah mula menyalak" - semasa ia mendengar azannya.


(12) Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.


(13) Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.


(14) Kata-kata menggantungkan jadi kafir dengan sesuatu keadaan.


Misalnya


(a) Seseorang dituduh melakukan sesuatu perkara, lalu ia berkata: "Kalau aku lakukan perkara itu jadilah aku kafir", sekiranya ia berdusta, yakni ia sebenarnya telah melakukan perkara yang dituduhkan kepadanya itu, maka jadilah ia kafir, kecuali kata-kata itu dituturkan dengan tujuan hanya hendak melepaskan diri dari tuduhan itu sahaja, bukan dengan tujuan redhanya menjadi kafir.


Sungguhpun demikian ia telah melakukan dosa besar dengan kata-kata yang tersebut, dan sekiranya ia benar, yakni ia tidak melakukan perkara yang dituduh orang kepadanya, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa kerana perkatannya itu memberi erti ketiadaan tetap keazamannya berpegang teguh kepada agama Islam.


(b) Seseorang diingatkan supaya jangan ia berzina umpamanya, lalu ia berkata: "Kalau aku berzina kafirlah aku", sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan tidak redha mencemarkan dirinya dengan perbuatan zina seperti tidak redhanya menjerumuskan dirinya menjadi kafir, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa dengan menggunakan perkataannya itu dengan alasan yang tersebut; dan sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan redha menjadi kafir kalau ia lakukan perbuatan zina maka jadilah ia kafir dengan kata-katanya yang tersebut, kerana apabila seseorang Islam redhakan kufur, menjadilah ia kafir (Murtad), Wal Iyazubillah. Hukum yang tersebut terkandung dalam hadis Thabit bin al-Dhahak, yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ibn Majah.


Bahagian yang ketiga:


Perbuatan, iaitu:


(1) Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walau pun tidak dengan niat untuk menghormatinya sama seperti Tuhan, atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai had sekurang-kurangnya ruku' sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah; kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadikan orang yang melakukan itu murtad, tetapi hukumannya tetap haram.


(2) Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.


(3) Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah Azza wa Jalla.


(4) Meletakkan ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi, nama-nama Tuhan, Rasul-rasul-Nya, Malaikat-Nya dan Ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya; kalau tidak dengan tujuan yang tersebut maka hukumannya tetap haram. Demikian juga haramnya menggunakan kertas-kertas yang tertulis padanya Ayat-ayat suci, Hadis-hadis Nabi dan Nama-nama Allah serta ilmu agama untuk membungkus, mengesat serta menyapu sesuatu; tetapi kalau perbuatan yang dilakukan itu dengan tujuan menghina atau mempersenda-sendakannya maka orang yang melakukan itu menjadi murtad.


(5) Meninggalkan sembahyang.


Orang yang meninggalkan sembahyang fardu, jika ia ingkarkan wajibnya, jadilah ia kafir murtad keluar dari agama Islam, kerana ia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah satu perkara yang wajib di atas tiap-tiap orang Islam, selama akalnya sihat.


Kalau ditinggalkan dengan sebab malas sahaja, pada hal ia i'tiqadkan wajibnya, maka mengenai orang ini alim ulama berselisih kepada tiga pendapat:


Pertama - Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi ia menjadi fasik yang wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya berbuat kembali mengerjakan sembahyang, dan sekiranya ia tidak mahu bertaubat maka kenalah dilakukan ke atasnya "Hukuman Had" iaitu dibunuh dengan pedang.


Kedua - Orang itu jadi kafir juga, sama dengan keadaan orang yang mengingkari wajibnya.


Ketiga - Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, tapi di "Ta'zir" dengan dipenjarakan sehingga ia mengerjakan sembahyang.


Ketiga-tiga pendapat yang tersebut serta alasan-alasannya diterangkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim, mengenai hadis Jabir yang menyatakan keburukan orang yang meninggalkan sembahyang yang termaklum.


Perkara-perkara yang diterangkan satu-persatu di atas itu adalah sebahagian dari misal-misal yang disebutkan oleh alim ulama bahawa orang yang melakukannya menjadi murtad. Mereka menetapkan hukuman yang tersebut dengan berdasarkan: Ayat 40 Surah Yusuf, ayat 65 Surah al-Taubah, Ayat 37 Surah Fussilat dan ayat-ayat Surah al-Kafirun serta hadis Mu'az bin Jabal yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, dan hadis Qais bin Sa'ad yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Maksud kedua-dua hadis itu: Bahawa Rasulullah s.a.w., melarang mereka sujud kepada Baginda s.a.w., serta menerangkan bahawa tidak harus seseorang sujud kepada yang lain dari Allah.


Dengan keterangan yang tersebut hendaklah diingat bahawa seseorang yang cintakan keselamatan dirinya dan agamanya, jangan sekali-kali mendekati, apa lagi melakukan, sebarang perkara yang hukumnya berkisar di antara jadi murtad dan berdosa besar. Semoga Allah selamatkan kita dengan taufik dan hidayat-Nya.

MANUSIA INI TERBAHAGI 4 KUMPULAN@GULUNGAN

1. ISLAM DISISI MASYARAKAT...ISLAM JUGA DISISI ALLAH

2. ISLAM DISISI MASYARAKAT...KAFIR DISISI ALLAH

3. KAFIR DISISI MASYARAKAT...KAFIR DISISI ALLAH

4. KAFIR DISISI MASYARAKAT...ISLAM DISISI ALLAH...(GULUNGAN INI..GULUNGAN YANG TAK SAMPAI ISLAM KEPADA MEREKA)

Bersih 3.0: Unit Amal, Exco AMK ditahan malam tadi

Harakahdaily, 08 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Seorang anggota Unit Amal PAS dari Teluk Kemang Mat Kamal Ismail di tahan pihak polis malam tadi dipercayai ada kaitan dengan penglibatannya dalam himpunan Bersih 3.0.

Menurut Ketua Pengarah Unit Amal PAS Pusat Johari Osman, Kamal ditahan beberapa anggota polis kira-kira jam 12 malam tadi ketika sedang berkerja syif malam di pejabatnya.

"Selepas ditahan dia dibawa ke IPD Teluk Kemang dan pagi tadi dia dibawa ke IPD Dang Wangi Kuala Lumpur," kata Johari mengesahkan.

Sementara itu, seorang lagi anggota Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Farhan Ibrahim turut ditahan pagi tadi.

Difahamkan beliau ditahan oleh polis sekitar jam 3 pagi  di Melaka Tengah.

Timbalan ketua penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, Farhan juga ditahan dipercayai ada kaitan dengan himpunan Bersih 3.0.

"Dikatakan Farhan ini antara yang dicari oleh pihak polis, tapi kita masih belum tahu apa sebab sebenar beliau ditahan, " katanya.

Farhan kini didakwa sedang berada di IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan.

Sejarah politik paling kotor sejak merdeka – Kadir

M Faqih, 08 Mei 2012

BACHOK: “Sepanjang 56 tahun bersama Umno saya tidak pernah tengok lagi politik yang paling kotor dan tidak adil berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan, berbanding sekarang.

“Sekarang sudah tidak ada negara yang mengamalkan demokrasi menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya,” kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Ahmad.

Perkarangan pejabat PAS di Pantai Irama dekat sini penuh sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar ceramah sulung bekas veteran Umno terbabit di Kelantan.

Di sebelah jalan utama di hadapan Masjid Bandar Bachok sehingga ke tepi pantai penuh dengan orang ramai tanpa menghiraukan hujan yang turun rintik-rintik.

Hadir sama pada ceramah isu semasa tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad.

Pada sebelah pagi Abdul Kadir menemui Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kota Darulnaim dan sebelah petang bersembang bersama rakyat di Kedai Kok Lanas.

Abdul Kadir bekas anggota jawatankuasa Pemuda Umno Kampung Air Tawar, Baling pada 1956 juga berkata, suasana begitu berbeza zaman kepemimpinan Umno di bawah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak berbanding sekarang.

Katanya, masa itu pemimpin Umno benar-benar berjuang secara ikhlas dan jujur untuk rakyat.

“Mereka tiada perangai buruk seperti pemimpin Umno la ni. Sekarang pemimpin Umno tidak perlu susah-susah kempen bagi menarik sokongan rakyat, hanya perlu hulur duit sahaja.

“Politik sekarang we need money. Hendak jadi ketua Umno tidak payah kempen hanya guna duit. Begitu juga hendak menang pilihan raya hanya guna duit.

“Umno letak orang depa dalam semua agensi penting kerajaan seperti SPR, SPRM, polis, mahkamah dan tentera. Sebab itulah depa tidak takut untuk melakukan penyelewengan dan pembaziran kerana semuanya orang kita,” katanya.

Menurutnya tindak tanduk pemimpin Umno sekarang secara jelas mahu merosakkan negara kerana semua benda menggunakan umpan wang.

(Tunggu pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Fitnah: Rahim diberi 24 jam tarik balik kenyataan

Aslani M, 08 Mei 2012
KOTA BHARU, 8 Mei: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya “bapa kafir”.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi (gambar) berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah.

“Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya,” katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara itu dalam kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.

Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan.

Adakah Majlis Fatwa tahu apa itu Bersih 3.0?

Harakahdaily, 08 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mei: “Macam mana satu fatwa dikeluarkan tanpa mengetahui tasawwur (gambaran) sebenar mengenai hukum yang hendak diputuskan?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.


Beliau juga mempersoalkan bagaimana suatu fatwa boleh dikeluarkan jika suatu isu tidak dilihat secara menyeluruh.

Misalnya, kata beliau kalau yang bertanya itu apa hukum minum ‘tuak’ oleh orang Kelantan kepada ustaz daripada Selangor.

“Maka sudah tentu ustaz itu akan menjawab haram. Tetapi jika diberi penjelasan bahawa tuak dibuat daripada pokok nipah, jikalau di sebelah utara menyebut nira, maka sudah tentulah hukumnya halal.

“Kerana apa ustaz dari Selangor itu menjawab haram,  kerana istilah tuak ialah benda yang memabukkan, tetapi setelah mendapat penjelasan, maka hukum itu berubah,” ujarnya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai Bersih 3.0.

Menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendapat maklumat di sebelah pihak sahaja yang sepatutnya perlu bertanya dan bincang dahulu apa itu Bersih 3.0.

“Jangan mereka hanya faham ‘Bersih’ itu hanya air mutlak dalam bab feqah sahaja iaitu air yang suci, lagi menyucikan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya amat malang rakyat Malaysia apabila kewibawaan Majlis Fatwa yang sepatutnya mempertahankan kredibiliti mereka yang dianggotai oleh 14 mufti dan ulamak di negara ini telah mengeluarkan hukum tanpa mendapat penjelasan daripada pihak kedua.

“Apakah ini disiplin Majlis Fatwa Kebangsaan?” tanya beliau.

Beliau menambah, amat malang sekali fatwa yang dikeluarkan hanya kes yang terpilih.

“Kenapa Majlis Fatwa tidak bincang apa hukum pilihanraya tipu?

“Apakah hukum kerajaan yang membazir wang rakyat?” soalnya.

Beliau juga bertanya apakah hukum demonstrasi yang dibuat oleh penyokong Umno di negeri Pakatan Rakyat seperti demo kepala lembu di Selangor sehingga boleh mencetuskan pergaduhan kaum dan agama.

Baginya, sudah cukuplah banyak institusi kerajaan yang dipertikaikan kewibawaannya seperti badan kehakiman, SPR, PDRM dan SPRM.

“Jangan pula rakyat memandang rendah kepada kewibawaan Majlis Fatwa yang hanya sanggup menjadi alat dan membincang perkara yang menguntungkan pemerintah walaupun tanpa merujuk kepada pihak kedua untuk mendapat penjelasan supaya berlaku adil,” katanya lagi.

SAMM: Anda kenal wajah-wajah polis ini?

Harakahdaily, 08 Mei 2012

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Disebalik ketegasan pihak polis mahu memburu peserta Bersih 3.0 dengan menyiarkan senarai gambar mereka yang 'dikehendaki', kini di pihak peserta pula mula melakukan kempen serupa terhadap polis di internet.

Tindakan tersebut dipercayai akibat rasa tidak puas hati dengan senarai di pihak berkuasa yang tidak meletakkan sekali gambar pihak polis yang didakwa menyamar dan melakukan provokasi serta memukul peserta dan wartawan pada perhimpunan 28 April lalu itu.

Selain disebar di internet, senarai gambar 'polis yang dikehendaki' itu turut dilampirkan dalam memorandum dan surat terbuka Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kepada Polis DiRaja Malaysia PDRM.

Memorandum itu mendesak anggota polis yang terlibat 'jenayah' ketika mengendalikan Bersih 3.0 lalu tampil menyerah diri.

Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata, himpunan Bersih 3.0 berlangsung aman sehinggalah polis bertindak menembak meriam air dan gas pemedih mata.

"Kalau ada pun kesalahan ialah kerana halangan (barricade) polis telah ditolak itupun turut melibatkan beberapa individu yang diragui dan disyaki turut melibatkan anggota polis berpakaian biasa.

"Perintah mahkamah iaitu melibatkan kawasan padang (hijau) Dataran Merdeka tetap jauh dan tidak dimasuki. Adakah dengan hanya menolak halangan dan kemudian berundur menghalalkan tindakan ganas polis melakukan tindakan ‘membabi buta’ mengganas di hampir seluruh bandaraya Kuala Lumpur selepas itu," soalnya.

Adakah kerajaan haram tipu dalam pilihan raya?

Harakahdaily, 08 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mei: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) terpanggil untuk mencari penjelasan daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengenai fatwa ‘adalah haram buat umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik.'



Pertama, katanya perhimpunan Bersih 3.0 untuk pilihanraya bebas dan adil telah mendapat kebenaran serta kelulusan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman dan memenuhi syarat 'bertujuan baik' kerana tentunya tuntutan pilihanraya bebas dan adil tidak haram.


Kedua, arahan mahkamah melarang perhimpunan ke ruangan Dataran Merdeka adalah menafikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik, oleh itu ia 'bertujuan tidak baik' dan menimbulkan 'suasana konfrontasi'. Justeru, adakah tindakan ini haram?


Ketiga, tindakan berlebihan pihak berkuasa mengepung dan menghalang orang ramai bersurai secara teratur dan aman serta tindakan menggunakan kekerasan berlebihan seperti gas pemedih mata, pancutan air kimia, pukulan dengan cota dan kekerasan yang diperlakukan segelintir anggota polis secara am -adakah semuanya haram?


Keempat, Pengerusi Jawatankuasa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin juga menyebut: "Tindakan merusuh, mewujudkan kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama."


"Oleh demikian bagaimana fatwa tindakan umat Islam di Tunisia, Mesir, Libya dan kini Syria ke atas kerajaan masing-masing yang sah di sisi undang-undang juga haram?" tanya beliau dalam satu kenyataan.


Kelima, apakah fatwa untuk menipu di pilihanraya dengan berbagai kaedah seperti menghalang rayuan mahkamah dibuat di atas kesahihan Daftar Pemilih (Akta Pilihanraya - Seksyen 9A), menghalang wakil-wakil parti dan bukan parti menyaksikan dan menyemak kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pemilih pada hari mengundi (Akta Kesalahan Pilihanraya - Seksyen 26A (2) dan (3)), persempadanan kawasan pilihanraya tidak adil melalui pindaan Artikel 116 Perlembagaan Persekutuan mengenai nisbah perbezaan jumlah pengundi tidak melebihi 15% setiap kawasan, penyalahgunaan undi pos, akses media terhad untuk semua parti politik, pengunaan politik wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu - adakah ia haram?


Keenam, apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan pilihan raya yang tidak bebas dan tidak adil - adakah ia kerajaan haram?


Sebagai makluman, beliau telah membuat pertanyaan rasmi di sidang Parlimen pada 22 Mac yang lepas kepada Perdana Menteri merujuk soalan berikut:

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan Fatwa tentang amalan penipuan pelbagai bentuk dan cara dalam pilihan raya dan penganugerahan status kewarganegaraan kepada warga asing sebagai balasan sokongan kepada Kerajaan Pusat.

Menteri di Jabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil KHir Baharom menjwaab soalan itu sebagaimana beriukut:

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan tidak ada keperluan untuk berbincang dan memberikan fatwa berkaitan penipuan dalam pilihanraya. Ini kerana, dalam Islam, hukum bagi sebarang bentuk penipuan adalah jelas iaitu tidak dibenarkan.

"Suruhanjaya Pilihanraya juga telah mempunyai undang-undang dan peraturan yang boleh mengawal dan mengendalikan proses serta perjalanan pilihanraya di Negara ini agar berlangsung dengan telus dan adil." katanya.

Malangnya, kata Nurul Izzah jawapan yang diberikan oleh wakil PM iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah bahawa Majlis Fatwa tidak perlu membuat fatwa di atas perkara yang ditanya walaupun semua bentuk penipuan adalah tidak dibenarkan agama Islam.

"Akhir sekali, saya berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan dengan segera memberikan jawapan kepada kesemua persoalan diatas agar kesucian Islam terpelihara," ujarnya yang juga Naib Presiden PKR.

Media arus perdana semakin durjana

Harakahdaily, 08 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mei: Hanya kerana haloba pengaruh dan kesumat politik, media arus perdana turut ‘merusuh’ lalu menyerang Pakatan Rakyat dan pemimpinnya tanpa mempedulikan lagi batas dan etika kewartawanan.
Ketua Pemuda Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, politik lucah dan fitnah terus menjadi ‘senjata terdesak’ mereka untuk menghadapi kebangkitan rakyat mendepani pilihanraya umum kelak.


“Menyedari kedudukan mereka yang semakin hilang pengaruh dan pembaca, hanya lucah dan fitnah sebagai headline yang dilihat mereka boleh menyelamatkan reputasi yang telah menjunam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tanpa  mereka sedar bahawa itulah menjadikan politik lucah dan fitnah  sebagai bahan yang meletakkan mereka semakin jauh dari hati dan naluri rakyat.


Sebelum ini, katanya Utusan Malaysia dengan politik lucah dan fitnahnya yang melampau dan hari ini New Straits Times pula dengan provokasi yang keterlaluan tanpa asas menghilangkan kepercayaan dan menjatuhkan kredibiliti mereka di mata rakyat apabila menyiarkan kenyataan mantan Ketua Polis Negara yang mengkafirkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz apabila memuatkan artikel bertajuk Nik Aziz is Father of Kafir.

“Anak muda pastinya semakin mual dan muak dengan politik tanpa panduan akal dan politik di bawah sedar seperti ini,” ujarnya.

Apa yang pasti, katanya mereka kembali menggunakan taktik dan teknik yang sama sewaktu mendepani pilihanr aya umum 2008 yang membuatkan mereka jatuh teruk.

Menurutnya klagi, mereka agak benak untuk belajar dari kelemahan dan kesilapan lalu atau mereka memang bermaksud mahu jatuh lagi.

Tiada ulasan: