Rabu, 9 Mei 2012

MANUSIA TAK PUAS..SUDAH DAPAT SATU LEMBAH EMAS...DIA@MANUSIA NAK SATU LAGI LEMBAH EMAS...MANUSIA AKAN PUAS SETELAH BADANNYA DIIKAT LIMA IKATAN PADA TUBUHNYA...MAKA BARU IA BERHENTI MENCARI LEMBAH EMAS...ITU PENTINGNYA ZUHUD@MEMADA...PUAS APA YANG ADA...

Fitnah menggila, Pemuda PAS arah puasa 3 hari

Harakahdaily, 09 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan seluruh anggotanya dan umat Islam prihatin untuk berpuasa sunat tiga hari berturut-turut bagi menangkis fitnah yang semakin menggila sejak kebelakangan ini.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, puasa sunat itu dicadang dibuat serentak di seluruh negara bermula Khamis, Jumaat dan Sabtu ini.

"Menolak dan menangkis segala fitnah jahat secara sistematik yang dilakukan kepada PAS maka kami Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan seluruh ummat Islam prihatin khasnya pemuda PAS agar berpuasa selama 3 hari berturut - turut iaitu bermula hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.

"Kemudian diakhiri dengan Munajat Perdana pada Hari Sabtu jam 8.45 malam serentak seluruh negara di kawasan masing - masing," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Fitnah menggila itu katanya sedang disasarkan terutama kepada PAS  serta anggota dan pemimpinnya.

Ianya termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap 'Father of Kafir' oleh Bekas Ketua Polis Negara dan disiar pula oleh NST.

Selain itu, Pengarah Jabatan Amal Malaysia Johari Osman diugut dengan sepucuk surat berisi sebutir peluru hidup.

Sebelumnya anggota Unit Amal Mat Kamal Ismail telah ditangkap ekoran terlibat dengan himpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Satu lagi fitnah katanya sedang ditiupkan media arus perdana seperti TV 3 dan Utusan Malaysia yang tidak henti-henti menggambarkan kononnya  Bersih 3.0 yang disokong dan disertai oleh PAS telah melakukan keganasan, memusnahkan harta benda, bermaksud menggulingkan kerajaan secara rusuhan malah turut dikait sebagai mencemarkan kesucian Tanah Suci Makkah dan Madinah

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, setiap markaz tarbiah PAS kawasan akan menganjurkan majlis solat hajat dan munajat perdana pada malam hari ketiga itu sebagai kemuncak program.

Pemuda PAS kecam hantar peluru, nota ugutan

Harakahdaily, 09 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 9 Mei: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk dan mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menghantar peluru dan nota ugutan bunuh sebagai ancaman kepada Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Juhari Osman di rumah beliau semalam.


Justeru, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan tindakan terdesak itu adalah sebagai satu penghinaan yang membelakangkan undang-undang negara.

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, sebagai sebuah negara yang sedang menuju kemajuan di dalam pelbagai sektor namun masih ada lagi orang-orang yang berfikiran sempit dan jumud yang merasakan diri mereka lebih berkuasa dan tinggi daripada undang-undang negara.

“Inilah nilai pemikiran masyarakat yang telah diwujudkan oleh Umno dan Barisan Nasional selama ini, masyarakat yang sentiasa mencari peluang untuk menindas, mengancam bahkan sehingga ke tahap membunuh orang lain sekiranya perlu untuk memuaskan hati mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat keberanian puak-puak sebegini adalah hasil daripada kurangnya ketegasan pihak berkuasa di dalam menangani kes-kes sebegini dan hanya menganggap sebagai kes terpencil.

Oleh itu, ujar beliau Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta supaya pihak berkuasa yang bertanggungjawab di atas keselamatan rakyat di dalam negara ini melakukan siasatan menyeluruh dengan kadar segera di atas perkara itu dan mengambil tindakan yang tegas terhadap pelaku dan pesalah yang dilihat ‘cukup berani’ untuk mengambil tindakan di luar konteks undang-undang negara.

Bekas MP Pasir Puteh meninggal dunia

Aslani M, 09 Mei 2012
PASIR PUTEH: Mantan anggota parlimen (MP) Pasir Puteh penggal 1999-2004, Ustaz Alwi Jusoh, 63 meninggal dunia di rumahnya jam 1.55 pagi tadi akibat serangan angin ahmar sejak tiga tahun lalu.


Keadaan kesihatan tambah serius beberapa minggu lalu akibat terjatuh di rumahnya.

Allahyarham juga bekas Adun Gaal penggal 1995-1999 dan merupakan bekas Yang Dipertua PAS Pasir Puteh selama 10 tahun bermula 1995. Bagaimanapun disebabkan keuzuran beliau tidak lagi aktif dalam politik.

Sebelum terbabit secara langsung dalam politik beliau pernah berkhidmat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Perdana Menteri dan pernah menjadi imam di Masjid Negara.

Bagaimanapun Allahyarham meletak jawatan kerana khidmat dan tenaga lebih diperlukan di Kelantan.

Setiausaha Penerangan PAS Pasir Puteh, Abdul Shakur Sharrie memberitahu jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Abrar, Banggol Kerian bersebelahan rumahnya kira-kira jam 10.30 pagi ini. Jenazahnya akan dikebumikan di Kampung Surau.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Mariam Junoh dan 10 anak. Anak sulungnya Zaiem, seorang pendidik kini bertugas di Tanah Merah.

Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, kematian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada PAS Pasir Puteh memandangkan jasa dan khidmat beliau sebelum ini begitu besar sekali.

“Arwah seorang pemimpin yang istiqomah, mudah mesra dan senang didekati. Sepanjang kepimpinannya PAS Pasir Puteh terus berkembang sehingga berjaya memilik bangunan sendiri di tengah-tengah bandar ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka bersabar menghadapi segala dugaan dalam menusuri arus perjuangan mendaulatkan Islam. Al Fatihah

Dari mana Felda ambil wang bayar durian runtuh?

Dr. Rosli Yaakop, 09 Mei 2012
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan di Felda Jengka 8 seramai 112,635 peneroka Felda akan mendapat durian runtuh RM5,000 setiap orang. Isteri mereka – dibayar kemudian – akan juga mendapat RM5,000 se orang. Kemudian, anak-anak mereka akan mendapat RM5,000. Kalau keluarga peneroka mempunyai 5 orang anak, anak-anak mereka akan mendapat RM1,000 se orang.  Jumlah kesemuanya RM15,000 bagi se tiap keluarga peneroka. Kalau setiap keluarga mempunyai ahli seramai 7 orang (ayah, ibu dan lima orang anak), maka secara puratanya, mereka akan mendapat RM2,143 seorang.   Satu jumlah yang biasa sahaja, tidak memeranjatkan.
Dengan membayar durian runtuh RM15,000 bagi setiap keluarga, Felda akan membelanjakan RM1.69 bilion. Ini bayaran “one-off” yang boleh meringankan beban kewangan peneroka sekadar sementara.  Wang itu bolehlah digunakan untuk menampung belanja kenduri kendara, melupuskan hutang atau belanja pergi umrah untuk dua orang. Bagi peneroka yang cermat, bolehlah meningkatkan tabungan. Namun, majoriti peneroka yang menerima bayaran “one-off” ini akan membelanjakan wang ini untuk penggunaan, bukan pelaburan. Maklumlah, ini “rezeki terpijak.”

Tentu rasa sayang peneroka kepada kerajaan UMNO-BN terus bersemarak, maklumlah ini kali pertama dalam 55 tahun sejarah Felda, peneroka mendapat wang tunai yang begitu besar, walaupun pada hakikatnya, nilai wang ini tidak seberapa dalam ukuran sekarang. Satu ekar tanah di Felda sekarang sudah berpuluh ribu malah dalam ratusan ribu harganya. Undi mereka sudah dibeli dengan harga murah (demolition price) dan Perdana Menteri cukup yakin, majoriti peneroka akan terus mengundi UMNO-BN di dalam PRU13 yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja sekarang, besar kemungkinan dalam bulan Jun ini. Dengan bayaran ini, UMNO-BN mengharapkan 58 kerusi yang menjadi simpanan tetapnya akan terselamat dari disambar Pakatan Rakyat.

Dari manakah datangnya wang sebanyak RM1.69 bilion yang akan ditaburkan kepada peneroka itu?

Felda Global Ventures Holdings Berhad akan mengapungkan 2,188,890,900 unit saham di Bursa Malaysia pada harga Tawaran Awam Awal - TAA (Initial Public Offer – IPO) RM4.65 se saham. Ini bermakana, ia akan menjana RM10.18 bilion.  Dari jumlah ini, Felda akan mendapat RM5.62 billion. Ini kerana sebahagian besar, iaitu, 1,208,890,900 unit saham adalah milik Felda. FGVHB akan hanya menjana RM4.56 bilion dari pengapongkan saham ini.  Jumlah ini relatif kecil untuk bercatur di dalam perniagaan peringkat global. Lagi pun, sebahagian besarnya akan diguna untuk membayar hutang dan kos penanaman semula.

Dengan melupuskan kesemua kepentingannya kepada FGVHB, Felda Badan Berkanun hanya mendapat RM5.65 bilion. Dari jumlah ini, RM1.69 bilion akan dibelanjakan untuk membayar RM15,000 durian runtuh kepada setiap keluarga peneroka. Baki yang ada pada Felda BB hanyalah RM3.96 bilion. Harus diingat bahawa Felda BB berbelanja kira-kira RM2 bilion setahun. Wang yang baki itu hanya cukup untuk menampong perbelanjaan 2 tahun. Selepas itu, wang pembayar cukai perlu disuntikkan kembali kepada Felda BB.

Harta yang dilupuskan kepada FGVHB adalah harta peneroka. Ia akhirnya akan dipindah milik, melalui jual beli saham di pasaran, kepada pelabur-pelabur bukan peneroka termasuklah taukeh-taukeh besar dan pelabur-pelabur asing yang memang sudah sedia kaya. Maknanya, yang dijual adalah harta peneroka. Oleh itu, wang yang dikatakan durian runtuh itu sebenarnya adalah hak peneroka. Tidak ada durian runtuh sebenarnya. Felda menjual hak peneroka kepada orang lain, dan sebahagian kecil dari wang itu diberikan kepada peneroka. Peneroka menerima wang yang dijana dari titik peluh mereka sendiri.

Siapakah yang sebenarnya mendapat untung besar dari pengapongan saham FGVHB?

Pada awalnya, harga TAA ditetapkan pada RM5.85 se saham. Di dalam prospektus yang dipaparkan dalam sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, harga TAA diturunkan kepada RM4.65 se saham, iaitu, penurunan sebanyak RM1.20 se saham atau diskaun sebanyak 20.5%.  Ini bermakna, sebelum diapongkan, Felda BB telah rugi RM1.45 bilion. Penurunan harga ini bakal menguntungkan pelabur-pelabur dalam negera dan asing yang membeli saham FGVHB ini pada harga lebih murah, iaitu, diskaun 20.5%.  Bila saham FGVHB mula dijual beli di pasaran nanti, akan ada pelabur-pelabur kaya tunai yang akan mengutip setiap unit saham yang dijual oleh pelabur runcit dan juga pelabur institusi sehingga mereka berjaya menguasai 30% daripada jumlah saham. Ketika itu, mereka akan berkuasa ke atas FGVHB dan kepentingan peneroka akan mengambil tempat duduk belakang.

Pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, majoritinya kroni pemerintah dan penama UMNO, bakal  mengaut untung besar. Golongan pelabur terpilih ini diperuntukkan 419,537,000 unit saham  atau 11.5% dari jumlah saham yang diapongkan. Mereka, sebagai satu kumpulan, membeli saham ini pada harga RM1,950,847,050 (pada harga RM4.65 se saham). Jika harga naik ke RM5.85 sesaham (+RM1.20), mereka sudah mendapat untung  RM503 juta. Kalau harga naik sebanyak RM2.40 (ke RM7.05 sesaham), golongan pelabur Bumiputera terpilih ini akan untung RM1 bilion. Ini tidak mustahil.  Pembiayaan tidak menjadi masalah kepada mereka kerana disediakan oleh bank-bank. Pembeli saham pun tidak menjadi masalah kerana badan kerajaan kaya tunai seperti Tabung Haji, KWSP, PNB dan lain-lain sudah sedia untuk membeli dari mereka.   Inilah dana PRU13 untuk UMNO.

Bila saham FGVHB yang aset utamanya tanah diapongkan, harta peneroka – tanah ladang dan kilang-kilang pemprosesan sawit – akan bertukar tangan secepat putaran jual beli saham di pasaran saham. Tiada siapa boleh menjamin harta bernilai peneroka ini tidak akan terlepas kepada pelabur asing yang rakus dan tamak. Peluang untuk memiliki tanah tidak ternilai ini dan menguasai minyak sawit, komoditi makanan yang amat penting di dunia hari ini, yang selama ini mereka intai, sudah sedia untuk digenggam.

Antara Dataran Merdeka dengan Dataran Tahrir

Mohd Azmi Abdul Hamid , 09 Mei 2012
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berpendiran bahawa tanggapan perhimpunan Bersih 3.0 adalah untuk menggulingkan kerajaan adalah suatu manipulasi fakta yang sangat menghina kematangan rakyat.


Adakah terdapat  perbezaan antara niat perhimpunan rakyat di Dataran Tahrir dan Dataran Merdeka?

Secara inti jelas tidak banyak beda. Iaitu intisarinya adalah untuk menuntut perubahan dari kezaliman regim yang menindas kebebasan rakyat kepada pemerintahan yang adil dari pemerintah yang terus mahu memegang kuasa dengan cara penipuan dan menekan rakyat secara mengguna kuasa polis dan tentera kepada sistem yang demokratik dari kepincangan salah guna kuasa untuk memperkayakan pemimpin dan kerabatnya kepada keadilan sosial untuk rakyat. Dari menyalahguna undang-undang untuk kelompok elit politik yang gila kuasa kepada mengembalikan kuasa rakyat untuk memileh pemimpin yang lebih beramanah.

Atas dasar itulah ulama di Mesir termasuk ulama berwibawa Dr Yusuf Qaradhawi menyertai perhimpunan. Adakah ulama tidak tahu bahawa mereka yang turun bersama jutaan rakyat di Dataran Tahrir bercambur baur antara pelbagai golongan yaitu yang Islamis yang sekular yang ateis yang kafir yang liberal ?

Kenapakah ulama-ulama di Mesir bergabung tenaga dan suara dengan pelbagai kelompok untuk bersatu menjatuhkan pemimpin yang didakwa dilantik sebagai pemimpin yang sah dalam sistem Mesir? Padahal pihak keselamatan di Mesir jauh lebih brutal dan mudharat yang akan dihadapi oleh rakyat juga sangat tinggi bila berhimpun di Dataran Tahrir.

Ketika ulama bersatu bersama Syeikh Yusuf Qaradhawi menyertai demonstrasi untuk revolusi Mesir, mereka bersepakat bahawa rakyat bukan setakat dibolehkan turun ke Datran Tahrir malah disemboyankan wajib bersama walaupun risiko untuk berlaku pertumpahan darah amat jelas. Pokoknya mereka mempunyai hadaf yang murni iaitu merubah regim yang zalim yang menindas dan menipu rakyat.

Di Dataran Merdeka hasrat rakyat adalah jauh lebih rasional iaitu untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Tidak ada siapapun yang menimbulkan agenda mengulingkan kerajaan hanya dengan cara duduk dan bantah di Dataran Merdeka. Pernyataan mengulingkan kerajaan hanya datang dari mulut PM yang kemudian turut di iyakan sahaja oleh politikus parti dan penjaga jawatan untuk menyelamatkan periuk nasi.

Sebenarnya tidak jelas siapa yang memberi pengarahan serta siapa yang memimpin perhimpunan untuk rakyat menyatakan hasrat yang sama seperti yang berlaku di Dataran Tahrir.

Sangat naif mereka yang terlalu obses untuk mengatakan perhimpunan itu dianjur oleh seorang atau dua pengerusi. Akan tetapi pada hakikatnya ia datang dari suatu gelombang dalam sanubari rakyat yang sudah muak dengan muslihat dan manipulasi pihak yang berkuasa yang menggunakan taktik kotor dalam pilhanraya untuk menjaminkan kemenangan.

Rakyat sebenarnya tidak perlu menunggu arahan dari sesiapa. Cukup dengan satu kesapakatan untuk berhimpun dan menjelaskan apa yang dituntut, gelombang untuk berhimpun pasti akan terbina dalam memontum yang tidak dapat dibendung.

Sememangnya dalam gelombang itu pihak yang mempunyai jentera organisasi akan menggunakan jenteranya untuk hadhir bagi memberi pengarahan ditengah- tengah lautan manusia. Ada yang patuh dan ada yang tidak. Akan tetapi untuk mengatakan ada pemimpin yang mengarah dan merencana untuk tujuan menguling kerajaan sangat berbau manipulasi fakta, malah cuba merendah-rendahkan kematangan rakyat untuk berhimpun.

Jadi kenapa tiba tiba setelah perhimpunan rakyat dikucar kacir dengan provokasi yang dimulakan oleh pihak keselamatan sendiri dan berlaku kekacauan dan menunjukkan keganasan lebih banyak digerakkan oleh polis yang berpakaian seragam dan berpkaian 'Bersih', dengan tidak semena-mena dikeluarkan pula sebuah fatwa.

Sementara kami menghormati fatwa yang dikeluarkan untuk memberi panduan kepada umat Islam, namun setelah jelas ramai rakyat awam yang tidak bersenjata dan wartawan yang hanya menjalankan tugas dibelasah dengan melampau oleh pihak polis, kami juga tertanya-tanya kenapa tiba-tiba sebuah fatwa dikeluarkan.

Padahal sebelum perhimpunan diadakan dan tuntutan rakyat dikumandangkan serta asas dan bukti dikeluarkan yang menunjukkan adanya penyelewengan berlaku dalam PRU, kenapa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak bersidang untuk mengeluarkan fatwa?

Kami menuntut agar keadaan tersepit yang kini dihadapi oleh kerajaan tidak terus dikelirukan lagi dengan menghasilkan fatwa yang tidak mengambilkira keseluruhan sumber demi menjaga kehormatan Majlis yang bertanggungjawab memandu umat kepada kebenaran dan keadilan.

Mengabsahkan tindakan kerajaan hanya kerana mahu menjaga kepentingan jawatan tidak membantu untuk memandu umat Islam dan memperkukuhkan kedudukan Islam.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Teras.

Rahim Noor tiada autoriti cakap soal agama

Salmah Mat Husain, 08 Mei 2012
KOTA BHARU, 8 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, berkata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, tidak ada autoriti langsung untuk membicarakan soal agama, apa lagi menghukum seseorang sebagai ‘bapak kafir’.

Katanya, tuduhan tersebut lebih kepada melepaskan dendam semata-mata dan beliau tidak ada hak untuk menyatakan sedemikian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rahim Nor sebagaimana dilaporkan  akhbar NST hari ini yang menyifatkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bapak kafir’ di JKR 10, petang tadi.

Husam yang juga anggota exco kerajaan negeri seterusnya berkata, dengan kenyataan penghinaan sedemikian di samping gambar skandal yang tidak bermoral, telah meletakkan politik negara terkeluar dari landasan moral dan agama.

“Berbeza dengan Pakatan Rakyat yang lebih mengutamakan kesopanan dan akhlak dalam perjuangannya disamping bertindak balas dengan cara yang boleh diterima masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, rakyat pelbagai bangsa dan agama di Negara ini diseru menolak kerajaan yang ada sekarang kerana telah mengamalkan budaya politik kotor dan lucah sehingga sanggup memperalatkan media arus perdana.

Bukan itu sahaja, menurutnya lagi media hari ini juga saban waktu menyiarkan bahan berita berunsur fitnah, tuduhan tanpa fakta dan berbagai lagi tuduhan liar.

“Sudah sampai masanya amalan kotor seperti ini dihentikan dan amalan kotor seperti itu boleh ditamatkan. Segalanya perlu dinyatakan pada pilihanraya umum akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan mengutuk kenyataan yang disifatkan melampau dan tidak beradab.

Ketua Penerangannya, Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kenyataan itu juga telah membangkitkan kemarahan rakyat di Negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

“Beliau tidak layak melebelkan seseorang itu Islam atau sebaliknya apa lagi masyarakat Negara ini telah mengetahui sejarah dan latarbelakangnya sewaktu menjadi Ketua Polis Negara,” ujarnya.

Pada masa yang sama PAS Kelantan turut menyokong penuh berhubung kenyataan Mursyidul Am itu menyeru rakyat di negara ini menyertai Bersih 3.0 walaupun ianya dilabelkan perhimpunan itu haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Durian runtuh: Berapa Isa dapat 'lombong emas'

Salmiyah Harun, 08 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mei: Selepas mengumumkan 'durian runtuh' kepada peneroka Felda, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengisytiharkan berapa 'lombong emas' yang diperolehi Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) mencabar Najib Tun Razak mengiytiharkan berapa banyak yang diperolehi oleh beberapa individu yang terlibat dalam merencanakan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di bursa saham.

"Rakyat hanya mendapat durian runtuh, pada hakikatnya kroni-kroni yang terlibat seperti Isa Samad mendapat lombong emas dari FGVH ini," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, jika Najib mengisytiharkan berapa 'lombong emas' yang diperolehi individu terbabit barulah rakyat boleh membuat perbandingan.

"Barulah peneroka boleh bandingkan dengan apa yang mereka perolehi dari durian runtuh dengan lombong emas yang diperolehi oleh individu terbabit," katanya.

Justeru, katanya, pengumuman itu satu isyarat jelas bahawa pilihan raya umum semakin hampir.

"Saya tidak menolak mungkin dalam beberapa hari lagi parlimen akan dibubarkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka Felda seluruh negara.

Pemberian tersebut merupakan satu insentif bagi penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Menurut Najib, dengan penyenarian FGVH, sejumlah RM1.689 bilion akan diagihkan kepada kira-kira 112,000 peneroka.

Wang tersebut akan diagihkan dalam tiga peringkat, masing-masing RM5,000.

Najib turut mengumumkan kejutan dua setengah bulan bonus tambahan kepada semua kakitangan Felda.

Tiada ulasan: