Selasa, 8 Mei 2012

MACAM YANG BENAR DAN BETUL DIA...ORANG LAIN SALAH DAN TERSASAR...MAKLUMLAH ILMUAN...KITA TENGOK KESUDAHANNYA...SEKATLAH ORANG NAK BERIBADAH...IA ADA DALAM RUKUN ISLAM...AKHIRAT NANTI JAWAB AJE LAH...BUATLAH APA KITA SUKA DIDUNIA NI...TAPI INGAT AKHIRAT ALLAH AKAN TANYA SERTA HISAB...JIKA SALAH@BERDOSA...ALLAH CAMPAK DALAM NERAKA....

2.5 juta rakyat Malaysia tidak kahwin, lelaki lebih ramai
Wartawan Sinar Harian
8 Mei 2012
KUALA LUMPUR - Sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun dan mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau tidak berkahwin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie berkata, berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, daripada jumlah itu 60.4 peratus adalah lelaki.

Bancian itu juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000, manakala bagi wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun, katanya menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong.

Heng berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat pada 2004 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara, mendapati 32.1 peratus daripada responden tidak pernah berkahwin.

Daripada jumlah itu, 55.6 peratus adalah lelaki, katanya dipetik Bernama.

"Sebanyak 44.7 peratus daripada responden lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan, tiada calon sesuai (19.3 peratus), kerjaya (12.8 peratus), komitmen keluarga (6.3 peratus) dan selebihnya sebab lain.

"Sebanyak 40 peratus wanita tidak berkahwin kerana tiada calon sesuai, masalah kewangan (14 peratus), kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus), komitmen keluarga (7.4 peratus) dan selebihnya sebab lain," katanya.

Heng berkata, kementerian tidak bercadang mewujudkan perkhidmatan pusat temu jodoh atau perkhidmatan temu jodoh secara dalam talian kerana perkhidmatan itu telah disediakan swasta, pertubuhan bukan kerajaan badan agama dan beberapa parti politik.
Bersih: Fatwa bukan keluar sekelip mata, kata Hasan Ali

8 Mei 2012
KUALA LUMPUR - Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali berkata, fatwa oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang memutuskan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan yang melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dalam negara, bukan dikeluarkan secara sebarangan.

Bersandarkan pengalamannya, pengasas badan bukan kerajaan itu berkata fatwa yang dikeluarkan adalah berpandukan pelbagai kitab rujukan dan pandangan para ulama serta input yang berkaitan.

"Saya sebagai bekas Exco kerajaan Selangor (yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam), saya tahu ia bukan mudah. Sesuatu fatwa yang nak disebut itu, banyak kitab yang mereka rujuk, ramai ulama yang mereka rujuk.

"Bukan fatwa itu dikeluarkan dengan sekelip mata atau sebelah mata. Kalau kita meragui fatwa di Malaysia ini, di mana lagi yang harus kita tiada keraguan," katanya pada sidang media di kediamannya, di sini.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini yang berpandangan bahawa fatwa itu dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata. 

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata bahawa beliau yakin bahawa fatwa itu hanya laporan akhbar pro kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan daripada penganjur perhimpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang.

Hasan berkata baginya tiada yang perlu diragukan kerana alim ulama dalam muzakarah itu adalah manusia yang berilmu, beramal, yang sudah diketahui sebilangan daripada mereka adalah hafiz Quran dan hadis.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu juga semakin pelik dengan pendirian Pas yang mewajibkan anggota dan penyokong parti menyertai perhimpunan 28 April berbanding Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang membicarakan tentang akidah dan murtad.

"Ya, saya mengatakan bahawa Pas sememangnya sudah tergelincir daripada segi matlamat asalnya, matlamat partinya, matlamat perjuangannya hanya kerana nak meraikan beberapa manusia, parti-parti dalam pakatan pembangkang dan beberapa insan yang berpengaruh dan sebab itu Pas terpaksa tunduk," katanya.

Beliau berkata, perhimpunan itu dicemari mereka yang mahukan demonstran menduduki Dataran Merdeka untuk mewujudkan satu pemberontakan serta memperalatkan pelajar universiti untuk menyokong beberapa manusia demi tujuan politik masing-masing.

Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal peserta perhimpunan dengan baik.

Hasan juga mengajak rakyat menilai kembali perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang jelas tidak membela rakyat malah bergelumang dengan masalah moral pemimpin mereka.

"(Yang) saya nampak (adalah) kesombongan dan keangkuhan ingin ke Putrajaya, ingin jadi Perdana Menteri walau apa cara sekali pun. Saya yakin rakyat Malaysia bijak dan memiliki pertimbangan akal yang hebat akan memilih insan yang mulia menjadi Perdana Menteri kita kelak," katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai hubungan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dengan ibunya Che Tom Yahaya, Hasan menyifatkan Azmin sebagai 'si tanggang moden' kerana menurutnya jelas wujud unsur penderhakaan terhadap ibunya dan seharusnya pemimpin pembangkang itu bertaubat.

Beliau berkata, Che Tom merayu Azmin supaya balik ke pangkal jalan kerana kasih sayangnya kepada Azmin dan bukannya disebabkan sogokan daripada Umno seperti yang didakwa pembangkang.

Hasan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, turut kecewa dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang rela menjadi kuda tunggangan DAP jika tindakan itu membolehkan pakatan pembangkang menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13. - Bernama
MB nafi Kuin hadapi krisis kewangan
ROSNANI SAAD
8 Mei 2012
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri menafikan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berdepan dengan krisis kewangan yang serius seperti didakwa Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, isu kenaikan yuran hanya melibatkan pengambilan pelajar baru dan pelajar lama tidak akan terjejas sehingga mereka menamatkan pengajian kelak.

Menurutnya, Kuin adalah universiti yang mengenakan yuran paling rendah kepada pelajar, malah pernah ditegur Kementerian Pelajaran kerana keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan pentadbiran universiti.

"Malah, apabila saya menjadi Menteri Besar, ada cadangan menaikkan yuran namun atas pertimbangan, saya minta tiada kenaikan memandangkan kemudahan belum mencukupi.

"Kini kemudahan sudah hampir siap di kampus baru (Kuala Ketil) dan kenaikan yuran akan bermula Julai ini untuk pengambilan baru," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan pagi warga Wisma Darulaman semalam.

Azizan berkata, kenaikan yuran itu turut mengambil kira faktor penggunaan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kalangan pelajar untuk membiayai pengajian.

"Ini bukan kira sokong PTPTN (dihapuskan) atau tidak, pelajar mendapat RM8,000 setiap semester namun yuran hanya sekitar RM1,000 untuk satu semester dan (selebihnya) duit poket pelajar sebanyak RM7,000.

"Ada penuntut mampu memberi wang (yang dikumpul daripada pinjaman PTPTN) kepada ayahnya untuk membeli tanah seluas lapan ekar, sedangkan pinjaman itu patut digunakan untuk pengajian, tetapi kita tidak ganggu (naikkan yuran) kerana terikat dengan kontrak lama," katanya.

Sementara itu, Azizan berkata, Kementerian Pelajaran dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) membenarkan pengambilan 100 pelajar untuk jurusan perubatan di Kuin namun disebabkan masih baru, tiada pengalaman dan menjamin kualiti pelajar, hanya 50 pelajar diambil.

"Memang saya umumkan bahawa mendapat 300 permohonan, tetapi kita perlu tapis dan daripada jumlah itu hanya 50 akan diambil untuk pengambilan pertama, dan mereka perlulah memenuhi syarat ditetapkan.

"Akhirnya 12 orang ditawarkan, sembilan sudah mendaftar dan lagi tiga akan daftar kemudian, malah saya turut dimaklumkan bahawa 19 pelajar lagi akan diambil dan dijangka mendaftar pada 20 Mei ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizan berkata, isu pelarasan gaji 13 peratus dalam kalangan penjawat awam hanya melibatkan Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan dan Kuin sebagai sebuah institusi swasta tidak terlibat.

"Walaupun Kerajaan Negeri membantu Kuin namun ia tetap institut pengajian tinggi swasta (IPTS), terserah kepada lembaga pengarah untuk melaksanakan atau tidak, bergantung kepada keupayaan, Mahdzir dulu pengerusi, takkan tidak tahu bahawa Kuin adalah IPTS.

"Begitu juga dengan umur persaraan 60 tahun, kita tidak ambil, malah di Syarikat Air Darul Aman (Sada) sebagai contoh, tidak melaksanakannya kerana ia bukan badan berkanun, itu hak pengurusan," katanya.

Menurutnya, dakwaan mengenai kegagalan menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta beberapa bayaran lain adalah tidak relevan.

"Bayaran Perkeso, bukan hari ini minta, hari ini bayar, sampai masa kita bayar, KWSP kita buat potongan (gaji), bukan macam beli petai tepi jalan, isu lambat bayar ini bukan baru, malah masa saya ambil alih, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berhutang ratusan ribu ringgit kepada KWSP.

"Sebahagian daripada ahli pembaga pengarah bakal disabitkan di mahkamah, masa itu pengerusi Mahdzir. Kerajaan Negeri terpaksa tolong selesaikan bayaran jika, tidak lembaga pengarah akan didakwa, isu Kuin belum sampai saman di mahkamah," katanya.
Mahmood: 40,558 status pengundi diragui dalam JPN

8 Mei 2012
PUTRAJAYA - Nama sejumlah 40,558 pengundi, yang status mereka dalam Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini diragui, disahkan wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata sehubungan itu, SPR akan terus mengekalkan nama dalam senarai Daftar Pemilih Induk.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Teknikal dan Mengenai Daftar Pengundi antara kementerian, SPR, JPN dan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

"Dalam usaha untuk mengemas kini Daftar Pemilih SPR, pihak SPR telah mempamerkan kesemua Daftar Pemilih berkenaan selama empat bulan untuk disemak.

"Hasil daripada semakan tersebut, sebanyak 1,496 rekod telah dikemas kini melalui laporan kematian dan sebahagiannya telah menukar kad pengenalan lama kepada MyKad," kata Mahmood.

Sebelum ini, sejumlah 42,054 nama dalam Daftar Pemilih yang diragui telah dibangkitkan oleh pihak tertentu dan didengar dalam sesi pendengaran awam di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.- Bernama
Lelaki bunuh isteri enggan adakan seks
Wartawan Sinar Harian
19 April 2012

JAKARTA - Polis Jakarta menahan seorang lelaki berumur 73 tahun selepas dituduh membunuh isterinya yang dipercayai enggan mengadakan hubungan seks.

Ketua detektif polis Jakarta Selatan, Budi Irawan berkata, suspek yang dikenali sebagai SL ditahan pada Sabtu lalu, selepas dituduh memukul isterinya, 50-an, dengan penukul sehingga mati.
“Suspek memukul mangsa berkali-kali dan menghentak kepala mangsa pada dinding selepas enggan bersama. Jika didapati bersalah atas dakwaan membunuh dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun,” katanya.
Jais pantau Ahmad 100
RISWANDI RAZAK
8 Mei 2012
SHAH ALAM - Ajaran Ahmad 100 yang didakwa sedang bergerak aktif di Selangor dan merebak ke Melaka, kini dalam pemantauan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof berkata, pihaknya sedang meneliti secara terperinci cara penyebaran ajaran yang berpusat di Wangsa Maju ini, bagi memudahkan sebarang pendakwaan dilakukan, kelak.
Menurutnya, Jais perlu mengumpul maklumat terlebih dahulu kerana ajaran Ahmad 100 ini masih baru dan belum difatwakan sebagai ajaran sesat.
“Kita sedang pantau dan mencari maklumat terperinci tentang ajaran ini, termasuk bagaimana ajaran ini disampaikan kepada orang ramai.
“Saya menyeru kepada orang awam supaya berhati-hati dengan orang perseorangan yang mencurigakan dalam menyampaikan ajaran bercanggah dengan Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sharom berkata, pihak bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat pada masa kini bijak dalam mengembangkan fahaman mereka, termasuk menerusi pertemuan orang perseorangan.
“Mereka sememangnya tahu jika bergerak menyebarkan ajaran kepada orang ramai di masjid atau surau, pergerakan mereka akan mudah dikesan,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pengakuan beberapa bekas pengikut ajaran Ahmad 100 yang diasaskan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Ahmad.
Kumpulan ini bergerak secara sulit menerusi beberapa siri pertemuan rahsia di kediaman Ahmad selaku ketua ajaran terbabit bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
Difahamkan, misi Ahmad ialah melahirkan 25 pengikut yang beriman selain bernafsu menikahi 13 wanita.
Salah seorang daripada bekas pengikutnya, Abu (bukan nama sebenar), 37, kini terpaksa menerima hakikat rumah tangganya musnah gara-gara ajaran sesat itu.
Abu berkata, pada awalnya dia tertarik menyertai kumpulan itu selepas kagum dengan cara Ahmad yang menasihatinya supaya menjadi orang diredai dan dikasihi ALLAH SWT.
Seorang lagi bekas pengikut ajaran Ahmad 100, Kamal (bukan nama sebenar), 32, memberitahu, dia mula mengikut aktiviti Ahmad 100, sejak 2004, namun dibuang kumpulan itu kerana dikatakan tidak menerima ajarannya dengan ikhlas.
Sementara itu, usaha Sinar Harian sebanyak dua kali bagi mendapatkan maklum balas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), juga gagal kerana diberitahu kes tersebut masih dalam siasatan.
Jamil: Saudi timbang sekat jemaah haji, umrah Malaysia

8 Mei 2012
KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau mengantung jemaah haji dan umrah dari Malaysia ekoran tindakan segelintir rakyat negara ini mengadakan perhimpunan haram Bersih 3.0 di Makkah dan Madinah baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perkara itu dinyatakan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Fahad A. H. Al-Rashid dalam perjumpaan mereka pada Jumaat lepas berhubung perkara itu.

"Saya menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia menentang kelakuan ini (perhimpunan di Mekah dan Madinah), apa lagi jika ia dilakukan di luar negara Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Guru-guru Pendidikan Islam dan Guru Islam di Pusat Islam hari ini.

Jamil Khir berkata, perhimpunan haram seperti ini sangat sensitif kepada kerajaan Arab Saudi, ditambah dengan keadaan di Timur Tengah yang baru sahaja dilanda gejolak "kebangkitan Arab", di mana rakyat dihasut untuk menentang kerajaan-kerajaan mereka.

Beliau berkata sehingga hari ini Arab Saudi tidak pernah mengenakan sebarang hukuman terhadap Malaysia walaupun hukuman sekatan dan mengantung itu pernah dibuat ke atas negara lain.

Jamil Khir berkata, kerajaan sangat bimbang jika Arab Saudi mengambil satu tindakan drastik berkaitan dengan kuota dan jumlah visa yang dikeluarkan untuk tahun ini.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir jemaah umrah dan pelajar Malaysia yang membawa politik tanah air ke luar termasuk mencampuradukkan ibadah dengan kepentingan fahaman politik mereka.

Katanya sikap mereka itu telah merosakkan imej negara kerana sebelum ini sikap jemaah Malaysia yang sentiasa mematuhi undang-undang negara itu sering mendapat pujian Raja Arab Saudi, dan sentiasa dijadikan penanda aras di negara itu.

Mengenai buku "Kahwin Campur" yang diterbit dan diedarkan secara percuma oleh Middle Eastern Study Group yang antara lain didakwa menghalalkan perhubungan seksual sejenis, Jamil berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Agama Islam akan bekerjasama dengan KDN untuk menguatkuasakan pengharamannya.

Beliau berkata pengharaman buku itu akan dapat menyekat hubungan songsang sesama jenis.

Middle Eastern Study Group adalah sebuah badan di bawah naungan Institut Kajian Dasar (IKD), yang dikaitkan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama

Tiada ulasan: