Khamis, 10 Mei 2012

KATA SYAIDINA UMAR 'ORANG INGINKAN SESUATU JAWATAN,JANGAN DILANTIK'...APA PUN JAWATAN YANG KITA PEGANG BIAR BERPANDU QURAN DAN HADIS...KERANA SEMUA KEPUTUSAN...HASIL KERJA...CARA BEKERJA AKAN DIPERSOALKAN OLEH ALLAH DIAKHIRAT...JANGAN SEBAB JAWATAN KITA MASUK NERAKA...BUKAN SENANG NAK JADI PEMIMPIN YANG ADIL DISISI ALLAH..

KJ tawar teraju Pemuda Umno sepenggal lagi
Wartawan Sinar Harian
10 Mei 2012
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
SHAH ALAM - Khairy Jamaluddin menawarkan diri untuk memimpin Pergerakan Pemuda Umno satu lagi penggal - bertanding mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang dijangka diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Khairy, 36, yang menerajui pergerakan itu sejak Mac 2009 menyatakan hasrat beliau menerusi mesej Twitter.
"Saya rasa, saya mahu menawarkan diri untuk satu lagi penggal sebagai Ketua Pemuda (Umno)," kata beliau dalam reaksinya kepada seorang pengikut akaun Twitternya.
Umno yang sepatutnya mengadakan pemilihan tahun ini, tetapi ditangguhkan sehingga selesai PRU13.
Pada pemilihan jawatan Ketua Pemuda Umno Mac 2009, Khairy menewaskan Datuk Mukhriz Mahathir dan Dr Mohamad Khir Toyo.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Rembau melahirkan pendirian ini susulan ideanya agar umur penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno dihadkan 40 tahun.
Katanya, beliau akan membuat cadangan itu apabila beliau melepaskan jawatannya kelak.
Mayat wanita ditemui dengan kesan jerut di leher

10 Mei 2012
KUALA LUMPUR - Mayat seorang wanita ditemui dengan kesan jerut pada leher dan bengkak di beberapa anggota badannya di tebing Empangan Batu, Tasik Ulu Yam pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata wanita tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian iaitu berkemeja ungu dan berskirt hitam.
"Mayat wanita yang bengkak pada mulut, mata dan dahi serta terdapat kesan jerut di lehernya, dipercayai diseret sejauh lima meter dari kawasan parkir empangan sebelum dicampak ke dalam tasik.
"Ini berdasarkan kesan darah yang terdapat dari parkir hingga ke tebing tasik itu," katanya kepada Bernama hari ini.
Abd Rahim berkata mayat wanita itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.- BERNAMA
Anggota polis bunuh rakan sekerja didakwa

10 Mei 2012
ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat Lans Korporal hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya bulan lepas.
  
Rosli Abu Hasan, 25, dituduh membunuh Konstabel Mohd Sobri Mohd Sidek, 22,di pintu masuk utama Istana Anak Bukit di sini kira-kira pukul 5.45 petang pada 26 April lepas.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
  
Tertuduh mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah. Tiada sebarang pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.
  
Peguam P. Ashokumar yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dibenarkan untuk dijamin bagi membolehkannya menjalani rawatan mental.
  
"Tertuduh adalah anggota polis yang sudah berkahwin dan tinggal dengan keluarga, dan tidak boleh lari atau mengancam saksi-saksi. Tertuduh juga bersetuju menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis," katanya.
  
Permohonan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya Ayu Rohaiza Khazali kerana kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada asasnya tidak boleh dijamin dan jika mahu membuat permohonan, ia perlu dilakukan di peringkat mahkamah lebih tinggi dan bukan di mahkamah rendah.
  
Ayu Rohaiza bersetuju supaya tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
  
Mohd Azhar membenarkan permohonan untuk tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatrik tetapi tidak membenarkannya dijamin.
  
Beliau kemudiannya menetapkan 10 Jun untuk sebutan kes. - Bernama
Air ajaib rupanya air paip
KAMARUL HALIM M KAMAL
9 Mei 2012
Air ajaib rupanya air paip
Pemilik rumah sedang diambil keterangan oleh Saiful Ariffin (kiri).
BATU PAHAT – Kewujudan ‘air ajaib’ dari bumbung sebuah rumah di Taman Budiman, Parit Raja di sini yang dikatakan memiliki keistimewaan boleh menyembuhkan penyakit akhirnya terbukti hanya air paip biasa sahaja
Perkara ini didedahkan sendiri pemilik rumah setelah kediamannya diserbu Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Dia mengaku air yang mengalir dari bumbung rumahnya itu tidak mempunyai keistimewaan, tetapi berpunca akibat daripada paip bocor.
Ketua Operasi, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ser­buan dilakukan pihaknya ke atas rumah tersebut setelah menerima aduan masya­rakat setempat selain bimbang akidah penduduk akan terpesong.
Menurutnya, serbuan berkenaan dilakukan sembilan anggota termasuk pegawai dan turut disertai Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Johor.
“Bagi mengelakkan akidah masyarakat terus terpesong berikutan percaya kepada perkara tidak berasas, kami bertindak menyerbu premis berkenaan hari ini (semalam).
“Kes berkenaan disiasat me­ngikut Seksyen 6 (b) Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997,” katanya.
Saiful Ariffin berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat beberapa individu sedang menadah air dipercayai untuk dijadikan ubat.
Menurutnya, hasil keterangan pemilik kediaman, saluran paip bocor menyebabkan air keluar mencurah dari atas bumbung.
“Kesan daripada kebocoran ini, air tidak berhenti mengalir, malah bil air melambung sehingga mencecah RM300 sebulan.
“Dia juga berharap ada pihak yang dapat menyelesaikan isu kebocoran yang berlaku di kediamannya itu,” katanya.
Saiful Ariffin menasihati orang ramai supaya jangan mudah terpe­ngaruh dengan perkara tidak munasabah dan perlu menyiasat terlebih dahulu kesahihan sebelum mempercayainya.
Sebelum itu, pada 23 Mac lalu Sinar Harian menyiarkan tentang pemilik rumah ini yang mengakui ramai orang datang ke rumahnya untuk mengambil air ajaib tersebut yang dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.
Ekoran demonstrasi Tanah Suci
DR ISMAIL IBRAHIM
9 Mei 2012
Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi
Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi.
MALAM ini (tadi) saya mendengar berita dari TV Malaysia yang agak mengganggu perasaan dan fikiran. Berita menyebut bahawa Kerajaan Saudi sedang menimbang akan mengenakan tindakan ke atas jemaah Malaysia akibat dari tindakan segelintir rakyat kita yang mengadakan perhimpunan di Makkah dan Madinah serentak dengan demonstrasi di negara kita Bersih 3.0 yang lalu.
Kita tidak mengetahui apakah tindakan yang akan dikenakan, dan hal ini terpulanglah kepada negara tuan rumah yang memiliki dua Tanah Suci itu, sama ada akan mengenakan larangan dari menunaikan haji atau umrah bagi rakyat kita seluruhnya, atau mengurangkan kuota haji yang diberikan kepada kita selama ini, atau tindakan lain, wallahu a'lam.
Namun begitu, apa-apa tindakan yang diambil sekali pun, kita merasa amat sedih dan kesal, kerana masjid suci yang tinggal kepada kita orang Islam di dunia ini hanyalah dua buah itulah sahaja, Masjidul Haram di Makkah dan Masji Nabawi di Madinah.
Satu lagi masjid suci kini berada di tangan Yahudi maha zalim, iaitu Al-Masjidul-Aqsa di Baitul Maqdis. Maka sekiranya kita duharamkan daripada mengunjungi Makkah dan Madinah, ertinya kita akan kehilangan arah dan matlamat untuk menziarahi ke dua tanah suci itu.
Kalau ditakdirkan, Kerajaan Saudi menegah jemaah kita seluruhnya daripada menunaikan umrah sebulan atau dua sahaja pun, maka akan kerinduanlah banyak umat Islam di negara kita untuk pergi mengadap Ka'abah dan menziarahi Makam Rasulullah SAW itu, apa lagi sekiranya larangan itu berlaku di dalam bulan Puasa yang akan datang ini, maka akan terputuslah niat begitu banyak jemaah kita yang saban tahun pergi berpuasa sebulan di tanah suci itu.
Barang dijauhkan ALLAH hendaknya dari pada berlakunya tindakan tegas ini, dan barang dilembutkan Allah SWT hati pihak pimpinan negara Saudi agar tidaklah mereka mengambil tindakan tersebut, sungguh pun Saudi biasanya amat sensitif dengan perbuatan cemar yang dilakukan oleh para jemaah di sana, yang ternyata amat menyimpang dari niat asal para jemaah untuk melakukan ibadat dengan kyusuk tawadu' kepada ALLAH SWT iaitu sebagai tujuan suci umat Islam pergi ke sana.
Saya amatlah berharap bahawa Kerajaan Saudi mungkin dapat juga menimbangkan bilangan orang yang melakukan perbuatan yang tidak diingininya itu semasa demonstrasi di Makkah dan Madinah. Mungkin bilangan mereka hanya puluhan orang iaitu satu jumlah yang kecil sahaja, dan peratusan yang amat tercorot jika dibandingkan dengan bilangan umat Islam di Malaysia yang berjumlah jutaan orang. Tambahan pula perbuatan mereka itu bukannya mendapat restu jemaah Malaysia yang lain, yang berada di tanah suci pada hari itu, malah mungkin sebahagian besarnya tidak langsung bersimpati dengan tindakan mereka itu.
Oleh itu saya berdoa semoga Kerajaan Saudi akan menimbangkan fakta dan angka ini, dan mungkin hanya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan tindakan yang amat dilarang itu, sekiranya pihak Kerajaan Saudi mempunyai sebarang kaedah dan jalannya untuk mengenal pasti mereka yang terlibat itu. Jutaan umat Islam di Malaysia akan bertanya adakah kerana tindakan sekumpulan kecil itu maka umat Islam seluruhnya di Malaysia akan terpaksa menanggung "dosa" dari perbuatan mereka itu?.
Bagaimanapun sekiranya semua kita umat Islam di Malaysia terpaksa juga menaggung "dosa" yang mereka lakukan itu, maka hal ini samalah seperti kata pepatah kita "kerana seekor kerbau membawa lumpur maka semuanya turut terpalit" "sebab nila setitik, rosak susu se belanga" dan kita haruslah menerimanya kerana ALLAH SWT pun telah menyatakan hal ini di dalam Surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud "
"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang2 zalim di antara kamu secara khusus, (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah amat berat azab seksa-Nya"
Jika sudah ditakdirkan berlakunya tindakan dan balasan yang demikian, maka kita haruslah mengambil pelajaran yang amat berguna dari peristiwa ini, malah dari ayat yang tersebut di atas itu ALLAH SWT mengingatkan kita bahawa perbuatan jahat itu bukan hanya akan membawa bencana kepada orang-orang yang melakukannya sahaja, malah akan menimpa ke atas masyarakat umumnya, termasuk kepada orang-orang yang baik dan tidak berdosa, dan hal ini banyak berlaku kepada kaum-kaum
Nabi-nabi yang dulu seperti yang dapat kita baca sejarahnya di dalam al-Quran juga..
Setiap orang Islam, bukan sahaja diwajibkan menjauhkan dirinya dari perbuatan yang dilarang ALLAH, malah berkewajipan mencegah perbuatan itu daripada merebak di dalam masyarakatnya. Itulah mesej penting ayat ini, dan itulah juga mesejnya sekiranya kita umat Islam seluruhnya di negara ini terpaksa menanggung akibat dari perbuatan segelintir saudara-saudara seagama kita yang mencemarkan kesucian Makkah dan Madinah itu...

* Dr Ismail Ibrahim bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi
Saifuddin: Tun Hanif Omar 'kurang sesuai' jadi pengerusi panel
Wartawan Sinar Harian
10 Mei 2012
Saifuddin: Tun Hanif Omar 'kurang sesuai' jadi pengerusi panel
6 Ahli Panel Penasihat Bebas
SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik pembentukan Panel Penasihat Bebas enam anggota bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian rusuhan berikutan penganjuran Bersih 3.0 di ibu negara bulan lalu.
Bagaimanapun kata Saifuddin, beliau melihat pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel itu "kurang sesuai."
"Saya amat menghormati Tun Hanif. PDRM berada di zaman kegemilangannya semasa beliau Ketua Polis Negara. Menjadi ahli panel, sesuai. Tapi sebagai Pengerusi Panel, kurang sesuai kerana ia (turut) melibatkan siasatan ke atas tindakan polis (semasa Bersih 3.0)," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan hari ini.
Malah katanya, beliau tiada masalah dengan keenam-enam ahli panel, tetapi "cuma  ia akan lebih baik" jika ditambah dengan mereka yang ada rekod baik dalam kerja-kerja hak asasi dan penambahbaikan demokrasi.
"Bagi saya ini satu peluang yang baik bagi kerajaan memperbetulkan persepsi dan menjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya berlaku. Dan, jika dijalankan dengan baik, menggunakan peluang ini dengan baik, saya rasa ia akan mendatangkan faedah kepada kerajaan," kata beliau.
Selain Hanif selaku pengerusi, anggota panel terdiri daripada bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.
Kata Saifuddin, beliau merasakan Sim boleh mengetuai panel tersebut.
Mengumumkan perkara itu semalam,
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel penasihat akan mengadakan mesyuarat pertama mereka secepat mungkin untuk menentukan terma rujukan serta peranan mereka.
Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri semalam sekali lagi memberikan penekanan kepada keperluan untuk mempertahankan keluhuran undang-undang, konsisten dengan pendirian kerajaan dalam mencari kebenaran, keadilan serta pembelaan kepada semua pihak.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan agar panel penasihat bebas ini dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas, serta bahan bukti berkenaan kejadian rusuhan itu," katanya.

Menurutnya, pada masa yang sama, polis akan terus dengan siasatan mereka berhubung kejadian rusuhan itu, dan mengemukakan hasilnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Hishammuddin berkata, penubuhan panel itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang merasakan menjadi mangsa pihak tertentu pada hari kejadian, dan merasakan seolah-olah tidak ada saluran yang telus untuk mendengar luahan serta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku.
Katanya, beliau percaya anggota panel itu cukup diyakini untuk memuaskan hati semua pihak.
2 ditahan reman bantu kes pukul petinju negara

9 Mei 2012
JOHOR BHARU - Seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20-an dan 30-an ditahan reman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes memukul petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron yang masih dirawat di Hospital Pakar Puteri di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata sehingga kini lapan percakapan sudah direkod manakala tujuh lagi individu masih dicari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 149 kanun yang sama.

"Polis masih menyiasat kejadian sama ada ia melibatkan dendam atau tidak," katanya kepada pemberita di sini hari ini sambil menambah polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Beliau berjanji polis tidak akan menyembunyikan apa-apa berkaitan kes itu.

Muhamad Farkhan, 24, yang pernah memenangi pingat emas untuk Malaysia pada Sukan SEA Laos 2009 mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai akibat dipukul sekumpulan lelaki di Taman Molek, di sini awal Ahad lalu.

Atlet kelahiran Johor itu dikatakan diserang selepas menonton perlawanan akhir Piala FA antara Chelsea dan Liverpool bersama-sama rakannya.

Mohd Mokhtar berkata polis telah mengenal pasti tujuh individu yang terbabit dalam dan menggesa mereka menyerahkan diri segera.

Ditanya sama ada salah seorang daripada mereka yang terlibat itu adalah anak seorang kenamaan, beliau berkata "siapa yang makan cili dialah yang terasa pedas".

Difahamkan dua lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut kini menerima rawatan di salah sebuah hospital di sini sejak Ahad lalu.|

Keterangan daripada petinju negara itu masih belum diperoleh berikutan kecederaan tulang rahang yang dialami menyebabkan dia sukar untuk bercakap.

Polis akan mendapatkan keterangan daripada mangsa selepas mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya.

- BERNAMA

Tiada ulasan: