Rabu, 9 Mei 2012

JANGAN BERINYA SIKIT MAKANNYA BANYAK...BETULNYA SIKIT TIPUNYA BANYAK..MAKRUFNYA SIKIT MUNGKARNYA BANYAK...FASIKNYA BANYAK DARI TAQWA...ADA JUGA...JANGAN TAK DE LANGSUNG...MAKA INI SEMUA DALAM ILMU ALLAH SWT...

Kajian: Majoriti setuju keluarga Shahrizat bayar semula wang NFC

Harakahdaily, 09 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati majoriti dari responden bersetuju agar keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memulangkan semula wang Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada kerajaan.

Daripada 2,282 responden, 66 peratus adalah bersetuju agar wang pinjaman RM250 juta dikembalikan, 29 peratus tidak pasti dan hanya 5 peratus tidak bersetuju.

Hasil kajian juga menunjukkan kesemua bangsa bersetuju bahawa isu skandal NFC telah menjejaskan imej Umno dan memberi gambaran parti itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Kajian itu merekodkan Melayu 68 peratus bersetuju ianya memberi gambaran Umno mengamalkan rasuah, Cina 80 peratus dan India 45 peratus.

Selain itu, 48 peratus pula bersetuju isu skandal NFC ini sukar diselesaikan kerana Shahrizat merupakan ketua wanita Umno, manakala 13 peratus tidak setuju dan 35 peratus tidak pasti.

Kajian bagi melihat kecenderungan politik menjelang pilihan raya umum ke-13 itu dibuat pada 13 Mac hingga 15 April di seluruh Malaysia.

Bunyi guruhnya kuat, hujannya renyai-renyai

Aspan Alias, 09 Mei 2012
Saya telah mendengar secara rasminya pengumuman PM Najib tentang ‘durian runtuh’ seperti yang heboh diperkatakan sejak hampir setahun yang lalu. Saya yang bukan peneroka ini pun tertunggu-tunggu pengumuman ‘durian runtuh’ ini kerana ia telah mendapat liputan media yang meluas kerana ia berkait rapat dengan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada bulan Jun yang akan datang ini.


Dengan skala publisiti yang meluas ini saya beranggapan yang ‘durian runtuh’ yang diperkatakan oleh pucuk pimpinan kita itu akan melebihi RM100,000 (satu ratus ribu) seorang untuk diseimbangkan dengan publisiti yang teramat meluas sejak berbulan-bulan dahulu. Cara PM Najib bercerita tentang ‘durian runtuh’ itu, seolah-olah jumlah yang akan diterima oleh peneroka itu tidak boleh kurang dari RM100,000 dan dibayar serentak kepada setiap orang peneroka yang telah meneroka hutan belantara untuk dijadikan perladangan yang terbesar di dunia.

Rupa-rupanya jumlahnya hanyalah RM15,000 (lima belas ribu) sahaja dan akan diberikan dalam tiga peringkat selama tiga bulan. Kalau dikomplain, nanti dikatannya peneroka tidak bersyukur. Kalau tak komplain pula, ia sangat tidak berbaloi dengan publisiti yang meluas berterusan sejak beberapa bulan yang lalu.

Saya hanya berharap pemimpin kita tidak lagi membuat kenyataan menghina rakyat dengan menasihatkan mereka untuk berbelanja secara betul dan berhemah seperti mereka lakukan semasa memberi bantuan seratus ringgit untuk pelajar sekolah beberapa bulan yang lalu.

Kita masih ingat bantuan RM100 untuk kanak-kanak sekolah yang lalu, pemimpin setinggi pangkat seperti Muhyiddin telah beberapa kali membuat kenyataan meleter supaya wang seratus ringgit itu dibelanjakan secara berhemah seolah-olah wang yang diberikan itu berjumlah setengah juta ringgit jumlahnya. Ada di antara yang saya kenal tidak mahu menerima bantuan itu kerana terasa hati dengan leteran Muhyiddin Yassin itu.

Bantuan RM100 itu telah disiarkan berulang kali oleh media massa elektronik arus perdana berminggu-minggu lamanya dan menampakkan sangat pemimpin kita meminta penerima untuk berterima kasih kepada UMNO hingga ke liang lahat. Itu baru bantuan RM100. Tidak tahulah bagaimana pemimpin-pemimpin tertinggi kita akan mengungkit isu ‘durian runtuh’ untuk peneroka Felda ini pula.

Mungkin mereka (pemimpin) mahukan peneroka untuk memberikan pesanan dan wasiat kepada anak-anak mereka sebelum mati untuk memberi undi kepada UMNO jika mereka (peneroka) sudah tiada lagi di dunia ini. Sejumlah apa sekali pun yang kita dapati, kita wajib bersyukur, tetapi apa yang saya persoalkan ialah pemimpin utama kita terminta-minta dan mengungkit-ungkit dan memaksa peneroka untuk menzahirkan perasaan terima kasih mereka (peneroka) kerana kepentingan politik kepartian dan peribadi.

Peneroka tahu bahawa wang tersebut adalah wang yang datangnya daripada titik peluh mereka sejak puluhan tahun dahulu, bukannya wang saku pucuk pimpinan kita itu. Hanya pihak kerajaan cuba untuk menunjukkan bahawa pemberian ini seolah-olah datangnya dari kantung kerajaan untuk digunakan sebagai bahan ungkitan dalam masa menunggu PRU yang akan datang ini.

Lain-lain perkataan, peneroka dituntut untuk berterima kasih walaupun apa yang mereka terima itu adalah wang mereka sendiri. Hanya mungkin peneroka belum lagi mengetahui bahawa kantung Felda telah kekeringan kerana disalahgunakan oleh pimpinan negara hari ini.

Selepas setahun penyenaraian itu nanti, peneroka dan rakyat akan melihat hasil kerja yang tidak jujur ini. Kata perbilangan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Pakatan kekal di Selangor, Kedah dan Kelantan - UMCEDEL

Harakahdaily, 09 Mei 2012


(Keputusan kajian yang dibuat UMCEDEL di Selangor)

KUALA LUMPUR: Kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati sokongan kepada Pakatan Rakyat lebih baik berbanding Barisan Nasional di Selangor, Kedah dan Kelantan.

Kajian ini menolak gembar gembur yang dibuat BN sekarang bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat di ketiga-tiga negeri itu akan jatuh dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut kajian itu, masyarakat India paling kuat menyokong Pakatan di Selangor iaitu 60 peratus menyokong Pakatan, 20  peratus BN dan 20 peratus lagi tidak pasti.

Untuk masyarakat Melayu pula, kajian itu mendapati BN mendapat 34 peratus, Pakatan (33 peratus) dan tidak pasti (33 peratus).

Di kalangan orang Cina pula, 49 peratus dari mereka menyatakan sokongan kepada Pakatan, BN (hanya 16 peratus) dan tidak pasti (35 peratus).

Bilangan responden kajian ini adalah 2282 orang.

Kajian ini dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan etnik Melayu, etnik Cina, etnik India dan lain-lain.


(Keputusan kajian UMCEDEL di Kedah)

Pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.

Kajian lapangan dilakukan pada 31 Mac 2012 – 15 April 2012 di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kajian ini melibatkan 43 orang enumerator dan 3 orang penyelia.
Kajian ini dijalankan sebelum isu PTPTN dan BERSIH 3.0.

Projek penyelidikan ini dibiayai oleh Fundamental Research Grant Scheme (FRGS).


Kedah dan Kelantan



(Keputusan kajian UMCEDEL di Kelantan)

Menurut kajian ini juga, Pakatan mendapat sokongan pengundi Melayu di Kedah iaitu 43 peratus berbanding BN hanya 33 peratus manakala 24 peratus lagi tidak pasti.

Pengundi Cina juga menyokong Pakatan Rakyat iaitu 50 peratus berbanding BN (38 peratus) dan tidak pasti (12 peratus).

Namun begitu, 65 peratus pengundi India menyokong BN berbanding Pakatan (10 peratus) dan tidak pasti 25 peratus.

Sokongan rakyat kepada Pakatan juga meninggalkan BN di Kelantan iaitu Pakatan 44 peratus, BN (27 peratus) dan tidak pasti (29 peratus).

Namun begitu, mengikut kajian ini, BN akan terus menang di Perak dan Negeri Sembilan serta peringkat nasional.
Kajian tidak dibuat untuk negeri Pulau Pinang dan lain-lain negeri.

Di mana laporan tubuh s'jaya siasat pendatang asing Sabah?

Harakahdaily, 09 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan media menggelapkan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bahawa kerajaan bersetuju membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja di atas pendatang asing tanpa izin di Sabah dikecam.

Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini berkata, sepatutnya berita itu disiarkan di muka depan media di Sabah khasnya.

Namun, ia hanya disiarkan secara kecil kecilan oleh media tradisional dan dalam media tertentu sahaja.

Persoalan yang timbul dalam minda setiap anak Sabah dan setiap warga Malaysia yang wajib dijawab adalah mengapa jawapan bertulis Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang telah dibentangkan di Dewan Negara semalam yang menyetujui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin diatas di negeri Sabah dipadamkan dalam akhbar negeri Sabah, soal Lim Kit Siang.

Bagi beliau, berita ini wajib dipaparkan di muka hadapan semua akhbar.

Bagi beliau, ia satu perkembangan anih dan melambangkan kemudaratan kebebasan media di Malaysia yang mana ketepatan, kesahihan dan jaminan di atas kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para Menteri di Parlimen.

Berita ini langsung tidak mendapat liputan dalam semua media arus perdana Malaysia dan semua media cetak.

Ia hanya disiarkan akhbar The Sun yang mendahului media yang lain dengan pemaparan berita “Suruhanjaya Siasatan Diraja diatas masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah” (muka 2), laman sesawang The Star dan beberapa portal internet seperti Malaysiakini dan FreeMalaysiaToday.

"Benarkah Bernama, yang telah mengeluarkan buletin berita semalam mengenai jawapan Nazri di Parlimen yang mengesahkan keputusan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja tetapi telah ditarikbalik beberapa jam selepas itu?" soal beliau.

Dalam jawapan Nazri di Parlimen, beliau dilaporkan telah menyatakan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam usaha untuk mencari penyelesaian jangka panjang diatas masalah pendatang asing tanpa izin kedalam negeri Sabah.

Semua proses penyediaan terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Diraja sudah dimulakan selepas Kabinet memberi kata putus pada 8 Februari tahun ini, katanya.

Nazri telah menyatakan terma rujukan yang komprehensif dan tidak tertakluk hanya kepada penyiasatan sahaja kerana kerajaan juga mahu menyelesaikan isu ini secara muktamad.
Terma rujukan akan melibatkan aspek-aspek keselamatan, sosoal, ekonomi dan kawasan persekitaran dimana Suruhanjaya Siasatan Diraja akan menyediakan penyelesaian yang berpanjangan bagi isu ini.

Kerajaan persekutuan juga akan memperolehi maklumbalas dan cadangan daripada kerajaan negeri Sabah dan golongan pemegang amanah di Sabah.

"Adakah Bernama berhak untuk memadamkan berita berkenaan jawapan Nazri di Parlimen, walaupun Nazri telah memperdayakan dan tidak bercakap benar di Parlimen?" soal Kit Siang.

'Haram jadah'... Inikah bahasa perdana menteri?

Harakahdaily, 09 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Di kala ada yang kononnya 'tersandar' selepas mendengar pengumuman durian runtuh oleh Perdana Menteri, namun ada juga yang terkejut dengan 'bahasa kesat' yang digunakan Datuk Seri Najib dalam ucapannya semalam.
(PM ketika menghamburkan kata 'haram jadah' kepada sesetengah peneroka semalam)

Najib dalam ucapannya di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, Pahang semalam dengan nada tegas dua kali mengulangi perkataan 'haram jadah'.

Beliau dipercayai menujukan kata-kata itu kepada pihak yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

Menurut Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang bergelar perdana menteri.

"Tak sangka perdana menteri yang dilihat bapa kepada rakyat, tetapi mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakyat sendiri," katanya.

Yang menjadi persoalan kata Mazlan, apa yang menyebabkan Najib begitu marah sehingga sanggup mengeluarkan perkataan seperti itu.

"Perkataan ini jarang orang guna kecuali dalam keadaan terlalu marah.

"Dengan pengumuman durian runtuh itu, perdana menteri sepatutnya gembira kerana bakal mendapat sokongan dari peneroka. Tapi kenapa sampai perlu menyumpah haram jadah," soalnya lagi.

Mazlan berkata, sepanjang pemerhatiannya dalam media arus perdana dari malam tadi dan hari ini, tiada pun media yang melaporkan kenyataan yang dikeluarkan Najib itu.

Bagaimanapun ujarnya, rakyat semalam dapat melihat dan mendengar dengan jelas ucapan Najib itu yang disirkan secara langsung melalui televisyen.

PM diminta letakkan Malaysia di sisi yang betul

Abdul Aziz Mustafa, 09 Mei 2012

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh berada di sisi yang betul di dalam sejarah jika kerajaan mengiktiraf penyokong Bersih 3.0 bukannya musuh negara ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin (gambar).

Beliau berkata, keganasan polis menyerang rakyat Malaysia pelbagai kaum, bangsa, warna kulit, bahasa dan agama di perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu memberi petunjuk yang jelas bahawa Umno berada pada sisi yang salah di dalam sejarah (on the wrong side of history).

"Bagi kita, Malaysia hanya boleh bergerak ke arah 'kedudukan betul (di dalam) sejarah' jika kerajaannya mengetahui dan mengiktiraf bahawa rakyat seperti penyokong Bersih 3.0 tempoh hari adalah sebenarnya kekuatan kepada negara ini dan bukannya musuh negara ini," tegas beliau.

Hanipa yakin, dengan izin Allah, masa hadapan negara ini akan didirikan oleh rakyat yang mempunyai jiwa seperti penyokong Bersih 3.0 yang berhimpun secara aman pada 28 April yang lalu .

"Rakyat seperti itulah yang tidak pernah putus asa mencari sinar keadilan, persamaan dan kebebasan untuk dikecapi dan dinikmati keseluruhan rakyat di negara ini," katanya.

Beliau menyifatkan alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyalahkan tindakan penganjur Bersih menolak tawaran berhimpun di Stadium Merdeka sebagai punca kepada kegawatan sebagai alasan yang terlalu naif untuk seorang perdana menteri.

"Alasan kamu tersebut mengingatkan kami kepada filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P.Ramlee.

"Hanya kerana adinda bongsu Abdul Wahub memprotes keputusan dua kekandanya yang enggan menghantar ayahanda mereka ke hospital (supaya ayahanda mereka cepat mati dan mereka boleh membolot segala harta) Abdul Wahub dinafikan oleh kedua-dua kekandanya segala harta ayahandanya di dalam negeri Istambola.

"Nampaknya begitulah logik perdana menteri," kata Hanipa.

Mengikut logik Najib, katanya, hanya kerana penganjur Bersih enggan menerima keputusan kerajaan untuk berhimpun di stadium, tidaklah salah bagi polis melakukan tindakan ganas ke atas mereka yang berhimpun dalam perhimpunan ratusan ribu rakyat itu.

"Kita ingin katakan pada perdana menteri bahawa isunya bukan keengganan berhimpun di stadium.


(Perhimpunan Bersih 3.0 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil...salah ke)
"Sebaliknya isunya mengapa rakyat dilarang untuk duduk bantah secara aman hanya untuk tempoh dua jam di Dataran Merdeka.

"Sejak bila duduk bantah secara aman dikira satu tindakan jenayah sehingga polis perlu dapatkan perintah mahkamah untuk melarang rakyat duduk membantah," kata Hanipa lagi.

Beliau yakin, sebenarnya keganasan polis amat tidak perlu dalam peristiwa itu.

"Jika rakyat dibenarkan berhimpun secara aman di Dataran Merdeka, apa perlu polis ditugaskan di sana pada tarikh itu dengan jumlah yang ramai?" beliau mempersoalkan.

Hanipa mengingatkan, tugas rasmi polis ialah menentang penjenayah dan "bukan menjadi penjenayah dengan bertopeng uniform polis".

"Sedarlah Najib dan Umno hari di mana kamu menjadikan rakyat yang menyokong Bersih sebagai musuh kamu adalah hari di mana kerajaan kamu mula menghitung saat kehancurannya," beliau mengingatkan.

Keganasan polis ke atas rakyat yang berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 itu terus menjadi isu yang semakin diperkatakan berikutan semakin tersebarnya gambar-gambar dan rakaman-rakaman berkaitan.

Cerita Syarip Dol, samseng Kampung Dusun


09 Mei 2012

Syarip Dol memang terkenal sebagai samseng Kampung Dusun, selain dari kerja rompakan dan samun beliau juga adalah pembeli hasil sawit penduduk Kampung Dusun.

Oleh kerana tiada pembeli lain di kampung tersebut, maka penduduk mahu tak mahu terpaksa menjual juga hasil ladang mereka kepada Syarip Dol.

Tambahan pula, beliau sering mengugut penduduk yang cuba menjual kepada peniaga lain. Namun kerana tidak mengetahui kadar perahan sebenar, maka penduduk hanya terima berapa sahaja kadar perahan yang diberitahu.

Mereka berasa ok juga Syarip Dol ini kerana walaupun samseng tetapi ia masih membeli sawit penduduk kampung. Ada yang terfikir kalau Syarip Dol tak beli lagi daripada mereka, nanya jadinya.

Hasil penipuan kadar perahan ini, Syarip Dol berjaya mengumpul RM200,000 setahun. Ia hidup senang-lenang hasil penipuan tersebut.

Suatu hari penduduk diberitahu sebenarnya kadar perahan yang sepatut diberi jauh lebih tinggi dari yang mereka perolehi sebelum ini.

Mereka mulai siasat dan ternyata betul laporan tersebut. Ini menyebabkan ada di kalangan penduduk Kampung Dusun mulai merancang untuk menjual kepada kilang lain, yang akan membayar lebih tinggi dan kebajikan lebih baik.

Berita ini membimbangkan Syarip Dol, menyebabkan ia mulai memikir bagaimana untuk menghalang penduduk Kampung Dusun dari menjual ke kilang lain.

Lalu, ia kumpulkan penduduk kampung kononnya untuk memberi anugerah jasamu dikenang. Syarip Dol fikir dari RM200,000 yang berjaya dikumpul selama setahun hasil penipuan perahan, apa salahnya kalau diberi RM100,000 kepada penduduk Kampung Dusun.

“Aku masih ada RM100,000 lagi. Apa yang penting penduduk tidak menjual kepada kilang lain,” katanya di hati.

Maka diadakan majlis anugerah, diwar-war seluruh Kampung Dusun bahawa Syarip Dol nak anugerah wang kepada semua penduduk Kampung.

Pada hari dijanjikan itu, ia mulai mengangkut penduduk kampung, tua muda, lelaki perempuan, Melayu, Cina, Asli dijamu dengan nasi bungkus dan disediakan pasukan nyanyian, kompang bagi memeriahkan majlis anugerah hasil rompakan dan penipuan dari penduduk Kampung Dusun.

Sarip Dol cukup seronok apabila penduduk kampung keluar beramai ramai, ada yang bertempik hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Dia tersenyum lebar. Penduduk mula terngaga apabila Sarip Dol menceritakan pengorbanannya selama ini, dan ingatkan penduduk agar kenang jasa dia.

Maka sampai masa dinanti nanti, Syarip Dol umumkan durian runtuh RM100,000 akan berikan kepada penduduk Kampung Dusun lelaki, perempuan dan anak anak.

Lalu bertempik soraklah penduduk kampung - ada yang pengsan terkejut, ada yang selak tak terkata, ada yang menangis kesyukuran, ada yang mengiling kepala tak percaya Syarip Dol baik sunggguh.

Lalu bergemalah lagi jeritan ucapan hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Lalu Syarip Dol dengan lantang bertanya penduduk Kampungg Dusun, “Apakah tuan-tuan nak jual di kilang lain lepas ini??!!”

Serentak jawapannya “TIDAK! Tidak! Kami sokong Syarip Dol.”

Mendengarkan kata kata itu, Syarip Dol tersenyum puas hati. Walaupun hakikat apa yang diberi hanyalah hasil penipuan kadar perahan, perahan keringat penduduk kampung, hasil penipuan yang dikembalikan kepada mereka semula.

Syarip Dol kagum bila ada seorang tua berkata mana nak cari tokeh baik macam Syarip Dol di dunia ini.....

Sekadar renungan untuk senyuman hari ini.

Tiada ulasan: