Khamis, 10 Mei 2012

'ALLAH RAJA@PEMERINTAH DIHARI AKHIRAT' ...MANA2 YANG TIDAK DIADILI DENGAN SEADIL2NYA DIDUNIA...ALLAH AKAN ADILI DIAKHIRAT...DAN MENGHUKUMNYA...KITA MANUSIA TAK KAN BOLEH LARI...HUKUMAN AMAT DAHSYAT....MAKA BERTAQWALAH SEBELUM TERLAMBAT...AKHIRNYA KITA MATI JUA...TAK KIRA APA KEDUDUKAN KITA SEKARANG...

مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤)

 (4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).

 Cadangan blogger: Hanif p'si, Rahim timbalan, Musa setiausaha

Harakahdaily, 10 Mei 2012


(Haniff, Rahim dan Musa dicadangkan memimpin penal siasatan Bersih 3.0)

KUALA LUMPUR: Seorang blogger mencadangkan agar bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor menjadi timbalan pengerusi panel siasatan Bersih 3.0 manakala Tan Sri Musa Hassan pula setiausahanya.

Abu Bakar Rashid melalui blognya, Penarik Beca membuat cadangan itu ekoran pengumuman kerajaan Haniff sebagai pengerusi penal siasatan itu.

"Saya hanya ingin mencadangkan agar Tan Sri Rahim Noor (jangan tak baca berita bertajuk "Journalist denies writing report labeling Nik Aziz 'kafir'") menjadi timbalan kepada Haniff dalam panel menyiasat peristiwa yang berlaku ketika perhimpunan aman Bersih 3.0 itu.

"Saya juga ingin mencadangkan Tan Sri Musa Hassan sebagai setiausaha panel itu," cadang beliau dalam blognya.

Secara sarcastik, beliau juga mencadangkan, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan juga adalah calon yang sangat tidak memihak untuk menganggotai panel itu.

Seorang lagi calon yang sangat tidak memihak untuk menganggotai panel itu ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, tulis beliau.

Menteri Dalam Negeri hari ini mengumumkan perlantikan Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar (gambar) selaku pengerusi panel, bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian Datuk Husammuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah, dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.

Najib tidak lena tidur dengan Bersih 3.0

Muhammad Yusri Amin, 10 Mei 2012
KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak kini tidak lena tidur lantaran berdepan isu Bersih 3.0 28 April lalu.

Ini kerana beliau tidak menduga jumlah orang keluar (menyertai Perhimpunan Aman Bersih 3.0 itu) begitu ramai hingga mencecah bilangan 300 ribu orang.
(Nik Amar menyampaikan sumbangan CSR kepada salah seorang penerima dengan diperhatikan CEO PMBK)

“Jadi ketakutan dia menghadapi kesedaran dan kebangkitan rakyat inilah menyebabkan dia menganggap ini (himpunan Bersih 3.0 itu) adalah usaha untuk menggulingkan kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Imam Al-Ghazali Siri Ke-4 kepada pelajar baru sesi 2012/2013 (Corporate Social Responsibility) di Nilam Puri dekat sini petang semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ir Mustapha Salleh, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tengku Azmi  Tengku Jaafar, Pengetua dan guru-guru YIK.

“Memang kita nak tukar kerajaan (yang ada sekarang) tetapi melalui kaedah pilihan raya, sebab itu kita nakkan pilihan raya itu adil dan bersih," katanya.

Beliau mendakwa, pilihan raya di Malaysia ini memang tidak adil.

“Dan selagi penambahbaikan (sistem pilihan raya) ini tidak dibuat, maka selama itulah pilihan raya itu berlangsung dalam keadaan yang tidak adil.  Itu bendanya," jelas beliau.

Jadi, kata Nik Amar, perkara itulah PAS dan Pakatan Rakyat (PR) meminta supaya diperbetulkan keadaannya.

Kini Bersih 3.0 diadakan dengan harapan pihak kerajaan (Suruhanjaya Pilihan Raya) melalukan perubahan bagi menghadapi pilihan raya termasuk PRU-13.

“Sebab itulah kita meminta pilihan raya ini tidak diadakan sehinggalah pembetulan dan penambahbaikan sistem pilihan raya itu dilaksanakan," tegas beliau.

Beliau mendakwa PAS melihat sejak awal lagi bahawa pilihan raya mestilah adil dan bersih.

Dan mana-mana pihak yang nak menang, mestilah menang dengan mendapat sokongan melalui cara yang betul.

“Kalau orang ini (rakyat) sokong kerajaan dengan cara yang salah, cara tidak betul, memang tidak menjadi kerajaan yang baik.

“Sebab itulah kita mempertikaikan termasuk bagi duit (memberi wang kepada rakyat) terutama dekat dengan pilihan raya.

“Kalau nak tolong rakyat, kenapa tidak dibuat lebih awal.  Kenapa masa (hampir dengan) pilihan raya baru dibuat (diberi wang kepada rakyat),” tegasnya.

Panel Bersih 3.0: Hanif wajar undur cara terhormat

Harakahdaily, 10 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menolak sekeras-kerasnya perlantikan Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel bebas bagi menyiasat dakwaan insiden kekasaran dan keganasan pihak polis terhadap peserta himpunan aman Bersih 3.0 baru-baru ini.

Perlantikan beliau dan 5 orang lagi ahli panel diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin semalam.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Hanif bukanlah orang yang paling  sesuai untuk mengetuai panel itu.

“Ini disebabkan beliau sendiri merupakan mantan Ketua Polis Negara dan berkemungkinan berlaku ‘bias’ terhadap sesi siasatan bebas tersebut,” kata Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya Hanif juga telah berlaku ‘bias’ apabila menyokong kenyataan pihak kerajaan yang mengatakan ada unsur-unsur untuk menggulingkan kerajaan di dalam himpunan Bersih 3.0.

Hasbullah berkata, pihaknya berpandangan panel siasatan itu sudah pasti tidak akan menemukan sebarang unsur-unsur keganasan daripada pihak polis di dalam menangani peserta Bersih 3.0 kerana pengerusi panel sudah dilihat tidak bebas dan terlalu memihak kepada kerajaan.

Maka, ujarnya skrip jawaban panel siasatan sudah dapat diagak dengan tindakan pihak polis untuk melakukan provokasi, memukul dan menangkap peserta Bersih 3.0 adalah menurut prosedur yang betul.

Oleh itu, kata beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta Hanif untuk mengundurkan diri secara terhormat daripada mengetuai panel bebas itu dan pihak kerajaan diminta untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang lebih telus untuk menyelesaikan permasalahan itu.

“Oleh kerana sikap tidak serius dan berlepas tangan pihak kerajaanlah maka orang-orang seperti Tun Hanif dilantik untuk mengetuai panel ini walaupun beliau merupakan orang yang bermasalah,” ujarnya.

Kelantan mula bina lebuh raya KB-KK akhir bulan ini

Salmah Mat Husain, 10 Mei 2012
KOTA BHARU, 10 Mei: Pembinaan Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sejauh 73 kilometer yang tergendala sebelum ini bakal dibina akhir bulan ini.


Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa (gambar), berkata sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk pembinaan yang merangkumi tiga fasa itu.

Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang medianya semalam.

Husam bagaimanapun berkata, tarikh pecah tanah untuk pembinaan lebuh raya ini akan diputuskan dalam tempoh dua hari ini.

Beliau juga turut memberitahu, kerajaan Kelantan telah menerima cadangan dari pemaju untuk membina lebuh raya berkenaan dan cadangan itu telah disemak dan dinilai oleh sebuah jawatankuasa.

“Selepas ianya disemak oleh jawatankuasa berkenaan kerajaan negeri bersetuju memilih dua syarikat untuk menguruskan projek sebagai peneraju utama.

“Tempoh pembinaan lebuh raya ini dua tahun setengah yang dibina atas tanah kerajaan.

“Bagi baki pembinaan di atas tanah milik orang ramai, kerajaan negeri menyerahkan pada JKR untuk menguruskan pengambilan balik tanah,” ujarnya.

Menurutnya, konsep yang dipakai untuk lebuh raya itu berkonsepkan lebuhraya negeri yang tidak akan melibatkan pembayaran tol oleh rakyat.

Katanya, ianya berkonsepkan bebas tol dan akan dibiayai oleh kerajaan negeri sepenuhnya.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap cita-cita rakyat Kelantan untuk melihat sistem perhubungan yang cepat, selamat dan selesa akan terlaksana.

Katanya, kedua-dua kontraktor  berkenaan akan bertanggungjawab kepada sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang dilantik khusus oleh exco untuk memantau serta mengendalikan pembiayaan lebuh raya itu.

“Syarikat Baldah Toyyibah (Prasarana Kelantan Sdn Bhd) telah ditubuhkan untuk memantau projek ini dan seluruh prasarana di negeri itu pada masa akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, syarikat itu diilhamkan sendiri oleh Menteri Besar.

Katanya, pembinaan lebuh raya itu akan membuka minda dan usaha sedemikian boleh dilakukan oleh kerajaan negeri dan sekatan yang dilakukan oleh pihak lain terhadap negeri ini akan terhenti.

Dengan cara itu, katanya rakyat di negeri ini akan dapat menikmati kemudahan asas sebagaimana di negeri-negeri lain.

Jelasnya, lebuh raya itu melibatkan tiga fasa, di mana fasa pertama melibatkan tanah-tanah kerajaan.

Pertembungan fatwa di Medan Tahrir


09 Mei 2012

Berarak berakar di Kuala Lumpur, akar ini pula bermula sebagai aktiviti keduniaan. Namun setiap aktiviti di dunia, Islam mengajarnya, pasti pengakhirnya ialah pembalasan di akhirat. Oleh sebab itu, tingkah laku manusia perlu selari dengan prinsip agama yang membolehkannya sampai  ke syurga. Sama sekali ia tidak boleh selari dengan kahidupan yang menjurus ke neraka.

Mengingatkan peristiwa perhimpunan besar  rakyat Mesir di Medan Tahrir Kaherah, ia berlaku dalam keadaan percanggahan fatwa antara ahli jemaah fatwa Mesir dengan pengerusi majlis ulama sedunia, Dr. Yusof Al-Qaradawi. Jemaah fatwa kata tidak boleh berhimpun, sementara Al-Qaradawi kata boleh berhimpun untuk menentang mungkar.


(Perhimpunan di Medan Tahrir, Mesir tanpa restu majis fatwa negara itu)

Justeru lebih 10 juta rakyat Mesir keluar menyahut seruan Al-Qaradawi. Hebatnya fatwa Al-Qaradawi itu, regim Mubarak terguling dan suatu pilihan raya diadakan. Syukur ke hadrat Allah, parti sekutu Ikhwanul Muslimun telah menang dan harapnya cahaya Islam terus gemilang di Mesir.

Meskipun di sebalik perhimpunan besar Medan Tahrir ada pihak tidak setuju kerana ada kejadian pertempuran dan kekecohan, namun ia sebagai nilai tribulasi yang mengharmonikan politik bernegara yang sebelumnya bergelumang dengan mungkar menyebabkan pelbagai kekecewaan umat Islam.

Namun kesannya peristiwa di Medan Tahrir itu, muncullah nilai harmoni politik bernegara berteraskan nilai-nilai keadilan sejagat  bertunjangkan Islam. Hakikatnya, urusan menentang perkara mungkar adalah tanggungjawab yang wajib.
Firman Allah SWT:

Bermaksud:  “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya” (Al-Nahl 16:90).

Bayang daripada peristiwa perhiumpunan besar Medan Tahrir pastinya tidaklah bertaraf perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Bersih 3.0 adalah sumbangan besar rakyat yang perihatin dengan kemelut politik Melaysia yang masih bergelumang dengan kekotoran yang perlu dibersihkan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Justeru Bersih 3.0 adalah bermatlamat untuk menuntut pilihan raya yang bersih agar berlaku suatu proses pemilihan rakyat secara adil dan telus. Matlamat ini tidaklah serupa dengan perhimpunan Medan Tahrir yang mengulingkan regim Mubarak. Maka sewajarnya matlamat Bersih 3.0 dapat disokong sama pihak Majlis Fatwa Kebangsaan.


(Perhimpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Dataran Merdeka)

Namun begitu, lain pula ceritanya apabila Majlis Fatwa Kebangsaan dilihat amat berprasangka terhadap kesedaran rakyat Malaysia yang terluah menerusi perhimpunan Bersih 3.0. Justeru semua pihak harus merenung beberapa persoalan yang dapat memberi penilaian seadilnya kepada loghiknya perhimpunan Berisih 3.0.

Pertama, apakah kerja memasukkan sejumlah pengundi hantu (menyebabkan senarai pendaftaran pemilih jadi kotor)merupakah kerja maaruf? Ketahuilah, kerana wujudnya pengundi hantu itu, ada pihak yang mendapat untung (menang pilihan raya). Sedangkan ia satu taktik kotor. SPR sendiri pun sudah mengakui wujudnya nama-nama pengundi yang identitinya diragui. Ia turut disahkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), iaitu ada nama-nama berkenaan tiada dalam rekod JPN.

Paling diragui, dikatakan masih ada ramai nama pengundi yang umurnya melebihi 100 tahu dan beribu-ribu pula yang telah mati masih kekal sebagai pengundi sah. Justeru segala keraguan senarai pemilih itu pasti bersifat mungkar yang perlu dicegah. Justeru pengundi hantu adalah mungkar yang merosakkan amalan demokrasi dan di sisi Islam sesuatu yang mungkar, ia perlu dicegah.

Jika tidak dicegah, ada pihak yang tidak berpuas hati dengan proses pengundian dan ia memungkinkan pula ada pihak-pihak yang berkepentingan atau yang berkuasa, mengambil kesempatan untuk memastikan atas nama pengundi hantu itu ada pihak yang boleh hadir mengundi.

Kedua, persoalan pengundi hantu itu telah banyak kali dibangkitkan kepada pihak SPR sendiri. Termasuklah atas nama parti PAS dan juga pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah acap kali membangkitkan, malah menyerahkan memerandum kepada SPR agar dapat diselesaikan. Pihak Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Besar telah berjumpa wakil SPR yang disertai Datuk Nordin Che Ngah, Timbalan Setiausaha SPR bersama Pengarah SPR Kelantan, dan turut menyampaikan maklumat sama untuk diambil tindakan pembersihan nama pemilih yang diragui termasuk yang mati.

Tidak ketinggalan juga, setiap kali pihak PAS menyertai siri-siri pilihaan raya kecil sepanjang tempoh 2008 hingga 2011 seperti pilihan raya kecil di Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Permatang Pasir, Manek Urai, Galas, Bagan Pinang, Merlimau dan Kerdau yang kesemuanya pihak parti PAS  sentiasa mengemukakan bukti-bukti mengenai keraguan dan ketidak telusan dalam proses pilihan raya.

Berikutnya pula, menerusi Pejabat Agung PAS, pihak Setiausaha Agung bersama dengan Pengarah Pilihan Raya PAS acap kali mengunjungi SPR berbincang dan menyampaikan pandangan termasuk memorandum untuk SPR mengambil langkah sewajar. Paling terkini lagi, pihak PAS turut menghantar wakil dalam jawatanakasa terpilih parlimen untuk penambahbaikan pilihan raya.

Namun, kesemuanya tiada hasil yang memuaskan. Dengan sebab itu, pendekatan NGO menubuhkan BERSIH dilihat sebagai saluran untuk rakyat bersama-sama menzahirkan tuntutan bersama agar pihak Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno sekarang mengambil langkah positif ke arah penambahbaikan proses pilihan raya di negaraa ini.

Ketiga, cuba renungkan sejenak sekiranya pihak PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat berada sebagai penguasa Kerajaan, kemudian mengekalkan keadaan senarai pengundi hantu, pengundi mati dan seumpamanya dalam setiap kali pilihan raya, apakah pihak Umno dan Barisan Nasional tidak akan marah? Kita yakin Umno pun akan marah, maka apa sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh marah? Maka seadilnya pihak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib dapat berlapang dada untuk melakukan sesuatu penambahbaikan pilihan raya. Tidaklah sampai membebankan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membinc angkan apa-apa fatwa atas perkara yang sudah terang lagi bersuluh.

Keempat, berhubung dengan maruah fatwa. Sebenarnya menurut rekod, Umno sendiri  sudah banyak kali didapati tidak mematuhi fatwa.  Ia jelas mencabar maruah fatwa itu sendiri. Antaranya berhubung larangan meletakkan kalungan bunga di tugu pahlawan jelas tidak dipatuhi. Begitu juga, pernah Mufti Perak sekarang menegur secara sinis akan perbuatan Perdana Menteri dan isterinya yang hadir ke kuil Batu Caves bersubhat dengan perayaan agama Hindu.

Malah paling besar, berapa ramai pemimpin Umno dan isteri masing-masing yang melanggari (engkar) adab dan hukum pergaulan dalam Islam, sehingga ada pemimpin Melayu (baca Islam menuerut hemat Umno) yang menari tanpa menutup aurat di depan khalayak. Sedangkan perintah menutup aurat adalah hukum Allah yang termaktub di dalam Al-Quran. Jelas, Umno sendiri sudah tidak patuh kepada fatwa hinggakan hukum Al-Quran pun tidak dipatuhi. Apakah boleh kita katakan, sang Umno ini, hak Allah pun dia tolak?

Seterusnya yang kelima ketahuilah, sesungguhnya perkara yang dapat menyelamatkan kita di akhirat nanti ialah sejumlah pahala bukannya dosa. Tinggal lagi, bagaimana kita dan pemimpin Umno tetap yakin  bahawa kita akan dapat pahala. Sedangkan pahala itu datangnya dari Allah, kerana Nabi Muhammad sendiri tidak boleh beri pahala kepada umatnya.  Dalam hal ini, kita kena ingat, tatkala kita semua dibangkitkan di akhirat, hanya pahala bakal menyelamat kita. Kerana pahala seumpama ‘foreign currency’  (tukaran antara kebaikan dunia dengan untung akhirat) yang bakal dibentang di akhirat dan pasti menguntungkan sebagi tiket ke syurga.
Firman Allah SWT:



Maksudnya: Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam “Sijjiin” (Al-Mutaffifiin 83:4-7).

Persoalannya, bagaimana bagi Umno yang berjuang atas nama bangsa itu akan menerima pahala dari Allah. Sedangkan amalan dan dasarnya semacam menjauhi pahala. Antaranya masih mengekalkan nilai pilihan raya yang tidak bersih––kotor, berat sebelah dan tiada ketelusan sehingga banyak perkara yang diragui tentang pilihan raya itu sendiri. Apakah semua nilai yang tidak bersih sedang dikawal oleh pemimpin Umno ini tidak akan disoal di hari pembalasan kelak?  Kita yakin, pemimpin Umno pun masih ingat akan hari pembalasan. Sesungghuhnya Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya :


Maksudnya: Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan – Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan (Al-Mutaffifiin 83:11).

Natijahnya untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak semestinya dengan pahala. Justeru itu, kita kena ikut landasan iman dan ehsan bagi meningkatkan amalan ibadat dan asas-asas ketakwaan kita terhadap perintah Allah SWT.

Maka lihatlah kepada perjalanan demokrasi di negara ini sekarang, mana-mana yang bercanggah dengan nilai-nilai keimanan dan kehsanan serta meruntuhkan ketakwaan pastikan ia diperbaiki demi mencapai keredaan Allah. Hanya keredaaan Allah jua bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Tiada ulasan: