Rabu, 12 Jun 2013

YANG TAK BOLEH TOLAK...PAKSA KE.... RELA KE...HENDAK ATAU TAK NAK IALAH KEMATIAN IAITU AJAL...DIMANA ALLAH DAH TENTUKAN

'Masa jahat tidak tangkap, bila buat baik kena pula'

Harakahdaily, 12 Jun 2013

KUALA LUMPUR: "Masa saya buat jahat dalam Umno dulu tidak pun kena tindakan tetapi bila saya nak buat baik dalam PAS ni kena tindakan pula," kata Tamrin Tun Ghafar (gambar) yang buat pertama kalinya ditangkap polis  baru-baru ini.

Bukan sekali tetapi beliau telah dua kali ditangkap secara yang agak kasar oleh polis berhubung dengan kenyataannya tentang pilihan raya umum lalu.

"Saya ditahan oleh Polis Bukit Aman. Polis sedang menunggu saya menghabiskan makan tengahari di Chawan (Restoran), Bangsar," kata Tamrin dalam sms kepada rakan-rakannya apabila buat pertama kalinya ditangkap pada 23 Mei lalu.

Ketika itu Tamrin bersama seorang rakannya sudah memesan makanan untuk makan tengahari di sebuah restoran dekat Bangsar.

Seorang yang mengaku sebagai pegawai polis datang meminta beliau mengikutnya ke balai polis.

Oleh kerana beliau sudah memesan makanan untuk makan tengahari, beliau memohon supaya beliau makan dulu serta mengajak polis berkenaan untuk makan sama.

Namun, pegawai polis itu berkata, beliau kena pergi ke balai sekarang juga atas arahan pegawai atasannya.

Setelah bertengkar, polis itu membiarkannya makan.

Sekali lagi pertengkaran belaku apabila beliau sedang membuat bayaran dan menunggu bayaran baki dari tuan restoran tersebut.

"Sedang saya tunggu bayaran baki, sekali lagi dia paksa saya ke balai. Saya kata tunggu bayar baki sekejap. Namun pegawai polis itu berkeras.

"Sekali lagi saya naik berang dan menjerit kepada polis itu dan diperhatikan oleh semua yang ada di kedai itu," cerita Tamrin mengenang kembali saat beliau di tahan polis buat pertama kalinya.

Tamrin kemudiannya di bawa ke balai polis Jinjang. Sesampai di sana, sehingga lewat petang, pegawai penyiasat kes itu belum ada.

Beliau naik berang kerana ketika hendak di tahan mereka menggunakan alasan hendak cepat sehingga tidak boleh makan dan tidak boleh tunggu untuk mengambil baki bayaran.

Tetapi apabila sampai ke balai, masa di habiskan begitu sahaja kerana menunggu pegawai penyiasat kes yang entah ke mana.

Malam itu, Tamrin serta dua lagi tahanan iaitu Haris Ibrahim dan Tian Chua tidur di lokap balai polis Jinjang.

Mereka diberikan pakaian oren sebagai orang tahanan sambil menunggu di bawa ke mahkamah dalam masa 24 jam untuk mendapatkan perintah tahanan reman dari mahkamah.

"Dapatlah saya merasa buat pertama kalinya tidur di lokap yang dalamnya ada pangkin kayu keras, makan berlauk kaki ayam dan mandi serta berak dengan diperhatikan orang melalui CCTV," kata Tamrin.


(Tamrin dan Tian Chua berpakaian orang tahanan di Balai Polis Jinjang)

Apabila di bawa ke mahkamah, dengan pembelaan pasukan peguam yang membela secara sukarela, Tamrin, Haris dan Tian Chua dibebaskan tanpa mendapat kebenaran tahanan reman oleh mahkamah.

Ini kerana, dalam tempoh 24 jam mereka ditahan di lokap, tidak ada sebarang penyiasatan dibuat oleh polis.

"Hujjah para peguam yang diketuai Datuk Ambiga (Sreenevasan), kalau 24 jam tidak ada sebarang penyiasatan, apa guna tahanan reman lebih lama lagi," beritahu Tamrin.

Selepas bebas dan merasai tidur di lokap dan berpakaian sebagai orang tahanan, masing-masing pulang ke rumah tanpa sebarang rasa takut atau bimbang.

Mereka penuh keyakinan mereka tidak bersalah dan apa yang dibuat hanyalah untuk menakutkan orang ramai agar jangan bercakap dan berhimpun membantah pilihan raya ke 13.

"Bagi saya, (Datuk Seri) Zahid Hamidi mahu tunjuk dia lebih tegas dari menteri dalam negeri yang sebelum ini saja. Ini penting untuk pemilihan Umno akan datang," kata Tamrin walaupun Zahid dengan tegas menyatakan beliau tidak ada kena mengena dengan semua tangkapan yang dibuat oleh polis ini.

Tamrin adalah bekas Exco Pemuda Umno bersama Zahid. Beliau pernah menjadi Pengerusi Mara dan mendapat kedudukan tersendiri dalam Umno kerana anak Tun Ghafar, bekas Timbalan Perdana Menteri.

Hujung tahun lalu, Tamrin mengisytiharkan dirinya menyertai PAS.

Selepas empat hari bebas, ada pula orang yang datang kepada beliau. Kali ini mereka mengetuk rumah beliau di waktu lewat petang.

"Ketika itu jam sudah 6.30 petang. Mereka tekan loceng rumah saya. Dengan memakai tuala saja, saya keluar dan mendapati polis yang sama juga datang mencari saya," cerita Tamrin lagi.

Kali ini, polis datang dengan waran untuk menangkap beliau berbanding tangkapan pertama yang dibuat tanpa sebarang waran.


(Tamrin bersama Tian Chua dan Harris  Ibrahim selepas dibebaskan dari Lokap Balai Polis Jinjang)

Mereka meminta beliau pergi ke balai polis pada ketika itu juga.

"Saya kata, tunggulah sekejap, saya belum solat Asar lagi ni. Bagilah saya solat dulu. Mereka kata tak boleh, di balai pun ada surau.

"Saya kata, kalau pergi sekarang tidak ada jaminan saya sempat solat Asar di sana. Dengan jalannya yang  jam pada waktu itu, biarlah saya solat Asar dulu.

"Mereka berkeras nak bawa masa itu juga. Sekali lagi saya bertekak dengan polis ini supaya tunggu saya solat dulu," cerita Tamrin.

Akhirnya, selepas solat Maghrib, Tamrin di bawa ke balai polis Dang Wangi.  Ketika keluar dari rumahnya, Tamrin memohon maaf kepada polis berkenaan kerana berkasar tadi dan faham mereka hanya menjalankan tugas.

Di sana belum ada yang lain lagi. Selepas itu baru datang yang lain. Haris Ibrahim, Tian Chua yang di bawa dari Port Dickson dan turut kelihatan Safwan Anang yang turut ditangkap. Malam itu, Hishamudin Rais juga datang menyerahkan diri kerana beliau turut dikehendaki polis untuk kes itu.

Sementara mereka didalam berbincang dengan polis dan para peguam, beratus-ratus berhimpun di luar bagi mendesak mereka dibebaskan.

Akhirnya, kesemua mereka dibebaskan demgan jaminan polis sementara menunggu hari perbicaraan.

Apabila keluar, semua mengerumuni mereka. Bagi Tamrin, tidak terdetik sedikitpun ketakutan dan kebimbangan akibat tangkapan ini jika ini tujuan pihak berkuasa berbuat demikian.

"Saya rasa macam hero pula," kata beliau apabila di sambut ratusan orang penyokong yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa di luar penjara.

Kelima-lima mereka didakwa di bawah Akta Hasutan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

PKR tidak boikot majlis angkat sumpah anggota Parlimen

Muhammad Faizal, 12 Jun 2013
PETALING JAYA: PKR tidak akan memboikot majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat sepertimana yang dihebohkan oleh media sebelum ini.

Malah, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberitahu dalam mesyuarat Biro Politik PKR, beliau tidak pernah menyebut untuk boikot majlis angkat sumpah di Parlimen pada 24 Jun ini.

"Anwar menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyebut untuk memboikot majlis angkat sumpah, apa yang diperkatakan sebelum ini hanya diputar belit oleh media semata-mata.

"PKR memutuskan tidak ada boikot akan dilakukan pada majlis 24 Jun nanti," jelas sumber PKR yang menyertai mesyuarat Biro Politik PKR malam ini kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan majlis angkat sumpah akan berjalan seperti biasa dan Ahli Parlimen PKR akan hadir pada majlis tersebut.

Sebelum itu, DAP melalui Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw memberitahu tidak ada sebab Ahli Parlimen DAP yang telah memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 lalu memboikot majlis angkat sumpah dan sesi Dewan Rakyat akan datang.

Nada yang sama turut dinyatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang berkata, PAS telah bermesyuarat dan membuat ketetapan akan menghadiri majlis angkat sumpah di Parlimen.

Pakatan Rakyat akan memastikan majlis tersebut akan berjalan dengan lancar dan akan melaksanakan bertanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat pada sesi persidangan parlimen akan datang.

Sebelum ini, memboikot majlis ini hanya cadangan anggota Parlimen PKR secara individu sahaja.

Pakatan namakan bekas hakim Speaker Dewan Rakyat

Harakahdaily, 12 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman (gambar) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas.


Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penamaan Abdul Kadir itu telah dikemukakan atas nama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Menteri Besar Negeri Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai mewakili pendirian PR pada 10 Jun lalu.

Katanya, satu pemberitahu bersurat mengenai penamaan itu telah dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat mengikut kehendak Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 4(1).

Beliau dalam kenyataan menyatakan,  PR bertegas bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.

Menurutnya lagi, Abdul Kadir memenuhi semua kriteria yg selayaknya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Beliau telah menabur bakti kepada negara selama lebih 50 tahun dalam pelbagai Jabatan, Kementerian, Negeri, Suruhanjaya, Kehakiman dan Majlis Diraja Negeri,” ujarnya.

Abdul Kadir bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 Mac 2006.

Kemudiannya dilantik menjadi anggota Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai kematian Teoh Beng Hock, anggota Jawatankuasa Eksekutif Transformasi SPRM dan Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu.

“PR berkeyakinan penuh bahawa pemilihan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua akan meningkatkan lagi penghormatan rakyat terhadap institusi Parlimen dan melonjakkan kewibawaannya di persada antarabangsa,” kata Anwar lagi.

Kerajaan P Pinang tidak berhati perut?

Dari Blog Omak Kau, 12 Jun 2013


Bukankah Lim Guan Eng diselar dan digelar oleh para blogger UMNO sebagai anti Melayu dan benci Islam?....

Yang dia sibuk dok bagi sumbangan bagi meringankan beban kepada kedua-dua balu mangsa runtuhan susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam petang tadi di pejabatnya di Bangunan Komtar apa hal.

Ini yang buat Perkasa dan pemuda UMNO Pulau Pinang naik angin satu badan sebab takde modal nak serang beliau...Takde peluang nak beri hadiah kek berbentuk najis maupun hadiah coli dan seluar dalam.


Klik untuk baca tulisan penuh blogger ini.

Ali Rustam pun fail petisyen jugak!

Dari blog Greenboc, 12 Jun 2013



AYER KEROH: BN Melaka memfailkan dua petisyen pilihan raya bagi membantah keputusan PRU13 membabitkan kerusi Parlimen Bukit Katil dan Dun Bukit Baru.

Petisyen berkenaan difailkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di mahkamah tinggi di sini menerusi Rosfinah Rahmat dari Tetuan Rosfinah & Co serta Adli Ithnin dari Adli & Co kira-kira jam 3 petang semalam.


Klik untuk baca tulisan penuh blogger ini.

Nampaknya Pengerusi SPR mahu letak jawatan secara paksa

Dari blog Greenboc, 12 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menegaskan barisan kepimpinan suruhanjaya itu tidak akan meletak jawatan hanya kerana didesak sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan proses Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurutnya barisan kepimpinan SPR yang terdiri daripada beliau, timbalannya dan lima anggota jawatankuasa suruhanjaya itu, dilantik mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peletakan jawatan barisan kepimpinan SPR yang merupakan sebuah badan bebas, tidak boleh dibuat secara tidak rela atau paksaan seperti yang didesak oleh sebuah kumpulan.


Klik untuk baca tulisan penuh blogger ini.

Pejabat PAS Raub dipecah ada kaitan petisyen PRU?

Khairil Abdul Rahim, 12 Jun 2013
RAUB: PAS Kawasan Raub mengesyaki pejabatnya yang dipecah masuk kelmarin mempunyai kaitan dengan hasrat PAS untuk memfailkan petisyen pilihan raya umum (PRU) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Dong.

Setiausahanya, Dr Nilam Abdul Manaf (gambar) berkata, ini disebabkan tidak ada barangan berharga dan wang yang hilang dalam kejadian tersebut.

Katanya, pihak yang tidak bertanggungjawab itu didapati seperti mencari sesuatu dokumen berdasarkan semua laci dan almari didapati digeledah dan dibiarkan berselerakan.

“Kejadian mulai disedari oleh Bendahari Kawasan Tengku Shah Amir yang juga bekas calon Dun Dong kelmarin, apabila ke pejabat di tingkat atas bangunan dua tingkat itu dan mendapati kunci dan pintu utama telah diumpil.

“Keadaan dalam pejabat pula bersepah dan berselerakan dengan kertas. Selepas bermesyuarat, kami mengesyaki ada individu tidak bertanggungjawab yang mahukan dokumen penting,” katanya.

Tambahnya, andaian tersebut berdasarkan tidak ada barangan seperti televisyen dan komputer yang dicuri malah wang beratus-ratus ringgit yang terletak di atas meja juga didapati tidak diusik.

“Berdasarkan itu, tidak mungkin pencuri atau penagih dadah yang menceroboh tetapi individu atau kelompok tertentu yang masuk itu cuba untuk mendapatkan dokumen penting.

Dr Nilam berkata, PAS Kawasan Raub memang bertujuan untuk memfailkan petisyen PRU bagi Dun Dong, iaitu satu-satunya kerusi ditandingi PAS di Raub atas kesalahan dilakukan BN pada PRU lalu.

Sehubungan dengan itu, PAS Raub juga telah membuat laporan polis.

Dun Kelantan dijangka tampil Yang Dipertua baru

Aslani M, 12 Jun 2013
KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan dijangka menampil Speaker baru menggantikan Datuk Nassuruddin Daud yang kini dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Pada penggal lepas Dun Kelantan diketuai Nassuruddin (PAS-Meranti), manakala Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran).

Sebelum itu pada penggal ke-11, Adun Meranti merupakan Timbalan Speaker dan Speaker pula, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Pelantikan Speaker kebiasaannya dicadangkan Menteri Besar dengan mengemukakan nama calon tertentu, kemudian disokong Timbalan Menteri Besar.

Kelazimannya pelantikan Speaker berdasar kepada urutan ketiga susunan urusan persidangan, yang bermula bacaan doa dan bacaan pemasyhuran Sultan Kelantan.

Selepas nama calon dipersetujui ahli-ahli Dewan, Speaker kemudian akan mengangkat sumpah berdasar Perlembagaan XLVII, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Pertama.

Kemudian diikuti majlis angkat sumpah kesemua 45 ahli Dewan dengan didahului Menteri Besar.

Pada persidangan pertama Penggal ke-11 pada 5 Mei 2004, ada seorang lagi calon Speaker dikemukakan pembangkang iaitu Datuk Hassan Harun.

Ketika itu jumlah ahli Dewan kerajaan dan pembangkang hanya dipisahkan tiga Adun, apabila PAS menang 24 kerusi dan BN pula 21 kerusi Dun.

Memandangkan terdapat dua nama calon Speaker, menyebabkan Setiausaha Dewan terpaksa membuat undian. Kelebihan majoriti mudah dengan tiga Adun membolehkan Wan Abdul Rahim yang dicadangkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Speaker.

Pada awalnya pembangkang menolak pelantikan Wan Abdul Rahim.

Difahamkan Speaker boleh dilantik bukan dalam kalangan ahli-ahli Dewan seperti yang diamalkan di Kelantan pada 2004. Bagaimanapun Timbalan Speaker mesti dalam kalangan ahli Dewan.

Dijangka juga Timbalan Speaker penggal ke-13 turut berubah dengan menampil muka baru, memandangkan Mohd Zaki kini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utilti dan Teknologi Maklumat.

Difahamkan kemungkinan Speaker Dun Kelantan bagi penggal ke-13 juga dilantik bukan kalangan ahli Dewan.

Majlis angkat sumpah Speaker dan ahli-ahli Dewan Kelantan akan diadakan di Kota Darulnaim pagi esok.

Manakala perasmian persidangan kali pertama penggal ke-13 akan disempurnakan Sultan Muhammad V pada 16 Jun ini. Persidangan penuh pula akan diadakan pada 17 dan 18 Jun.

Sementara itu Ketua Pembangkang Dun Kelantan juga difahamkan menampil orang baru iaitu Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) menggantikan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).

Tiada ulasan: