Rabu, 12 Jun 2013

MASA JAHAT GENG...TU TAK TANGKAP KOD

Kg Serai Wangi: Pejabat MB minta laporan penuh

Anis Nazri, 12 Jun 2013
SHAH ALAM: Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor diarahkan untuk membuat laporan lengkap berhubung status tanah membabitkan 13 penduduk Kampung Serai Wangi dan Desa Pengasih, di Puncak Alam yang diarahkan keluar sebelum ini oleh pemilik tanah tersebut.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, berkata laporan lengkap itu diperlukan bagi mempertimbangkan permohonan 13 keluarga yang masih berada di kampung tersebut, biarpun mereka telah diarahkan berpindah pada 28 Mei lalu.

Sementara itu, kata beliau sebarang tindakan pemindahan ditangguhkan sehingga ada penyelesaian dicapai.

"Kita minta Pejabat Tanah serah laporan, sementara itu tindakan pemindahan ditangguhkan sehingga penyelesaian dicapai," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, tanah seluas 217.5794 hektar itu pernah dipohon oleh penduduk ketika Selangor dibawah BN dan bekas menteri besar, Tan Sri Muhammad Mohd Taib pada 8 September 1992.

Bagaimanapun, status permohonan penduduk itu tidak diketahui hujung pangkalnya, sehingga pada tahun 2004, tanah tersebut turut dipohon oleh TM Facilities.

Permohonan itu kemudiannya diluluskan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, bagi tujuan membina Universiti Telekom.

Bagaimanapun ia tidak diteruskan apabila ia kemudiannya dibina di Melaka.

Harakahdaily juga dimaklumkan, status tanah itu masih kekal sebagai tanah pertanian, biarpun penduduk kampung dimaklumkan kawasan itu akan dibangunkan untuk pembinaan kuarters kakitangan Telekom dan mungkin juga menjadi pembangunan komersial.

Pada 28 Mei lalu, penduduk kampung terbabit mula mengosongkan rumah masing-masing dan bersedia berpindah setelah tempoh akhir untuk mereka berbuat demikian (mengosongkan tanah) berakhir.

Seorang penduduk, Norizan Ni'mat (gambar kanan sekali), berkata selepas perbincangan dan kata putus dicapai, beberapa penduduk sudah mula meninggalkan kampung untuk menumpang teduh di rumah saudara-mara.

"Ada yang sudah keluar, ada juga yang masih belum keluar. Pihak TM Facilities juga memberi tempoh hingga 14 Jun ini untuk mengosongkan tanah ini.  Jadi, sebahagian penduduk yang telah menerima pampasan sebanyak RM7500 hari ini, rumah mereka dirobohkan bermula 12.30 tengah hari tadi," kata beliau yang masih tidak menerima pampasan tersebut.

Tambah beliau, pihak TM Facilities memberi pampasan dalam bentuk cek itu kepada sebahagian penduduk dan akan menyelesaikannya untuk yang selebihnya.

Dalam pada itu, beliau turut menuntut pampasan tambahan sebanyak RM5000 bagi setiap keluarga, bagaimanapun pihak TM Facilities masih meneliti tuntutan tersebut.

Norizan berkata, sebagai tindakan susulan selepas perobohan ini, penduduk kampung sedang berusaha untuk memohon ehsan kerajaan negeri Selangor untuk memberikan mereka satu penempatan baru bagi semua penduduk kampung terbabit.

Makkah: Segalanya bermula di sini

Dr Mujahid Yusor Rawa, 12 Jun 2013
Kisah Ibrahim

Makkah dan Madinah tidak dapat dipisahkan, jikalau Madinah adalah tempat berhijrah Nabi maka Makkah adalah tempat bermulanya dakwah. Kedua-duanya mempunya tabiat mukabumi yang berbeza dan sekaligus mempengaruhi tabiat penduduknya.

Madinah terkenal dengan sifat ramah dan lembutnya kerana mukabuminya yang lebih subur dan dipenuhi dengan telaga-telaga yang menyejukkan mukabuminya. Makkah pula terdiri dari bukit-bukau batu yang kering kontang dan permukaanya yang berbukit menjadikan hidup penduduknya sukar.

Hanya telaga zam-zam yang menghidupkan kota padang pasir ini dan demikianlah sejarah Nabi Ibrahim telah membuktikan kehebatan Makkah. Saya kini berada di lembah yang kering kontang ini seperti yang disebut dalam sejarah.

Kaabah adalah Makkah

Sejarah juga telah membuktikan Kaabah sebagai perhatian utama Makkah. Tanpa Kaabah tidak nada Makkah yang menjadi tumpuan. Ia adalah bangunan pertama atas mukabumi ini bagi menandakan pemusatan seluruh alam sebagai tanda kebesaran Allah.

Ia tidak disembah tetapi sebagai pusat tanda supaya manusia tertumpu kepadanya untuk menyembah Allah, Pencipta Alam Semesta. Sejarah Kaabah adalah panjang merentasi semua kisah para Anbiya dari Adam, Ibrahim, Ismail dan akhirnya Muhammad s.a.w.

Malah hikmah kedatangan Nabi yang dibangkitkan di Makkah adalah simbol penyatuan jalur para Anbiya ditemukan melalui Ibrahim a.s melalui Nabi Ismail dan Nabi Ishak menandai kesatuan Risalah Tauhid dari Ahlul Kitab sebelumnya. Saya terasa kagum berada di pusat penyatuan risalah para anbiya dan Kaabah berdiri megah menjadi saksi kepada sejarah agung ini.

Masjid dan Tanah Haram

Dengan semua penghayatan sejarah ini, Masjidil Haram telah meyimpulkannya dan justeru itu saat pandangan pertama kepada Kaabah akan pasti menyentuh kalbu siapa yang memandangnya.

Ia kekal di situ berhadapan dengan cabaran zaman dan pertukaran masa dan sejak itu tidak ada saat ia tidak diagungkan dengan berjuta manusia  bertawaf dan beriktikaf di dalamnya semenjak manusia mengenalinya. Walaupun dalam sesuatu zaman ia dicemari dengan berhala yang digantung di sekelilingya, Kaabah tetap dihormati malah tanah haram sekelilingya dipelihara dari pertumpahan darah yang boleh mencemarinya.

Dengan itu Makkah mendapat nama tanah haram, iaitu haram bagi pengunjungnya menumpahkan darah manusia mahupun binatang. Di atas nama ini ia dianggap suci dan diagungkan kerana mengikuti perintah Allah supaya ia di sucikan untuk para pengunjung yang mempunyai niat suci menyembah Allah di dalamnya.

Makkah era kini

Seseorang akan terbayang Makkah adalah bandar suci yang kekal dengan cara hidup lama dengan bangunan yang lama. Jawapannya adalah Makkah memiliki status bandar moden tetapi mengekalkan sejarahnya melalui pemeliharaan Masjidil Haram.

Adalah mudah untuk seseorang menikmati gaya hidup moden di celah bandar suci ini. Jam terbesar dan tertinggi disaluti emas di hadapan pintu masuk King Abdul Aziz menjadi bukti kemewahan Makkah.

Bangunan wakaf King Abdul Aziz adalah satu bangunan berbagai dari hotel, kompleks beli-belah dan gerai-gerai kecil ala bazar. Bangunan Safwah bersebelahannya juga hebat dengan berbagai keperluan moden untuk dinikmati oleh para pengunjung.

Makanan dunia terdapat di mana-mana di Makkah, bolehlah dikatakan Makkah adalah adalah Bandaraya Antarabangsa terhebat di dunia. Tetapi tidak ada yang dapat dibandingkan dengan aura Kaabah dan bersolat di Masjidil Haram.

Labaikallahumma Labaika

Berpakaian ihram serba putih tanpa sebarang alat yang berjahit sememangnya membuatkan kita tiada memiliki apa-apa, ia mengingatkan kita semasa kita dilahirkan hanya dibalut kain.

Berihram sendiri telah mengeluarkan segala kesombongan kita selama ini dan kita lakukannya semua kerana Allah. Pada suhu yang mencecah 30′C hanya Allah sahaja tempat kita memohon perlindungan semasa menyempurnakan tugas umrah.

Saya mengajar anak-anak saya talbiyah beberapa kali semasa van kami memasuki Makkah, sambil mata saya mencuri melihat bangunan jam besar yang boleh dilihat dari setiap sudut kita memasuki Makkah.

Namun tumpuan utama ialah untuk melakukan ibadat umrah di mana kami akan bertawaf, bersaie setelah berihram di Zulhulaifah. Kami dipandu oleh mutawwif dari Patani bernama Ustaz Lotfi seoarang pelajar di sini.

Semasa kami mendekati pintu besar King Abdul Aziz, saya sekali lagi mengingatkan anak-anak saya supaya benar-benar mengikhlaskan diri dengan penuh sifat kehambaan apabila memasuki Masjidil Haram.

Sebaik sahaja Kaabah mula menunjukkan dirinya semua kami terpegun sambil berdoa supaya Allah memelihara Kaabah dan menambahkan padanya penghormatan dan kehebatan. Selesai urusan umrah kami kembali ke hotel keletihan sambil mengharapakan dapat menjalankan solat subuh berjemaah di masjid.

Membina kekuatan

Saya amat memahami selama ini bahawa kekuatan hakiki ialah kekuatan dalaman yang memberikan bekalan untuk setiap manusia melalui perjalanan di dunia yang fana ini. Ujian terlalu besar, ombaknya ganas, perhentiannya entah di mana, jadi hanya keyakinan pada Allah dan kekuatan diri menjadi teman ketika semua manusia tidak akan memberikan apa -apa faedah untuk kita.

Perjalanan umrah kali ini cukup bermakna untuk saya mencari erti kekuatan dan ketenangan jiwa. Semasa saya bersendirian di tempat saie bahagian Bukit Safa, saya merasai ketenangan itu, walaupun beribu manusia dengan suara zikir yang tinggi lalu lalang di hadapan saya, saya seolah berada sendirian,mengenangkan perjuangan Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar bersama anaknya Ismail yang masih bayi meronta-ronta dahaga dan kelaparan.

Siti Hajar berlari-lari dari Safa ke bukit Marwa sekitar 1 km pergi balik mendapatkan pertolongan suaminya Ibrahim yang meninggalkannnya kerana perintah Allah. Namun kehendak Allah menentukan sejarah zam-zam bermula di sini apabila berbuak dari bawah tanah air zam-zam yang masih dinikmati hingga saat ini oleh berjuta kaum muslimin yang datang ke Makkah.

Saya tidak mengendahkan hiruk pikuk orang ramai yang bersaie, waktu itu adalah waktu saya mengimbau dalam ketenangan waktu saya dan apabila saya sedar membuka mata, bibir saya spontan menyebut ALLAHU AKBAR, segalanya bermula di sini… http://drmujahid.com/

Al-kisah nasi lemak

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, 12 Jun 2013
“Bagusnya kalau dapat kerja pakcik jual nasi lemak itu - setiap hari pakcik itu kerja 2 jam sahaja, semuanya dah habis dijual.”

Ramai yang hanya nampak jualan pakcik nasi lemak yang laris tetapi terlupa pada kisah-kisah di sebaliknya.

Setiap hari, selepas habis menjual nasi lemak, pakcik tersebut perlu membersihkan semua perkakasnya. Kemudian, pakcik perlu pergi ke pasar untuk membeli ramuan-ramuan untuk buka kedai hari esoknya.

Ayam, daging, pedal perlu dipotong dan diperap.

Cili, lada, sambal perlu ditumit secukup rasa, secukup guna.

Semua ini mengambil banyak masa daripada masa menjual.

Setiap hari, pakcik nasi lemak perlu bangun seawal 3 pagi untuk memasak lauk-lauk, nasi dan sebagainya; segalanya perlu dibuat dengan cermat, ramuan mesti dipastikan elok, kerana nila setitik akan rosak susu sebelanga.

Kisah makan ini - apabila sedap orang akan teringat, sekali tidak sedap orang akan ingat selama-lamanya. Jadi konsisten pakcik nasi lemak untuk menyediakan segala bahannya untuk mengekalkan kepuasan pembelinya perlu dihayati.

Perkara yang sama turut dilihat pada seorang ibu.

“Anak makcik semua soleh, semua pandai-pandai, berhemah.”

Di sebalik ayat itu, tahukah seorang ibu, sejak mengandung kita, tidak pernah ada sesaat pun yang tidak merisaukan kita, walaupun kita sudah berkahwin dan beranak-pinak.

Berapa banyak usaha, titik peluh dan darah yang dikorbankan seorang ibu untuk anak-anaknya?

Hargailah kedua-dua ibu dan bapa selagi ada peluang. Ada yang diberikan dan dilakukan mereka untuk kita selama ini tidak tolok bandingnya. Beringatlah pada kenangan yang manis bersama, kenangan pahit dijadikan pengajaran semasa kita menjadi ibu bapa untuk anak-anak kita pula.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

(Surah al-Isra : ayat 23-24)


Dah berapa lama tidak jumpa ayah-mak? Sekurang-kurangnya telefonlah sekali seminggu – ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa sebenarnya, mereka cuma harapkan kita semua selamat, gembira, bahagia dan boleh SENYUM selalu.

Apakah benar pegawai SPRM kes Beng Hock kini di EAIC?

Harakahdaily, 12 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Apakah benar satu-satu pegawai penyiasat yang dimiliki oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) adalah Mohd Nadzri Ibrahim, pegawai SPRM yang menebual Teoh Beng Hock sebelum kematiannya?


(Apakah benar satu-satunya pegawai penyiasat EAIC adalah pegawai SPRM yang menyiasat Beng Hock sebelum dia mati kini menjadi tandatanya)

Inilah isu yang sangat panas sekarang perhatian ditumpukan kepada EAIC yang telah menubuhkan pasukan petugas (task force) untuk menjalankan kajian semula mengenai Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) agensi-agensi penguatkuasaan yang telah mengakibatkan kadar kematian dalam tahanan yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa EAIC akan membuka siasatan ke atas kes N Dharmendran yang, mengikut laporan post-mortem, telah dipukul sehingga mati semasa dalam tahanan polis.

Sehingga kini, sudah berlaku sembilan kes kematian dalam tahanan pada tahun ini, dengan empat kes dalam tempoh dua minggu yang lepas termasuk kematian N Dharmendran.

Pasukan petugas EAIC yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian-kematian dalam tahanan, merangkumi enam orang pegawai EAIC, iaitu pengerusi Datuk Heliliah Mohd Yusof, pesuruhjaya Datuk Seri Robert Jacob Ridu, setiausaha Ahmad Razif Mohd Sidek, pengarah Foo Hui Yi, penasihat undang-undang Eda Mazuin Abdul Rahman dan pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim.

"Kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa pegawai penyiasat tersebut, Mohd Nadzri Ibrahim, merupakan bekas pegawai Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terlibat dalam kes mendiang Teoh Beng Hock," tulis Steven Sim Chee Keong, ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera dalam kenyataannya.

Mengikut laporan-laporan berita, Mohd Nadzri adalah pegawai yang telah merakamkan keterangan Teoh pada malam kematiannya. Malah, Majlis Peguam juga pernah menyarankan tindakan siasatan lanjutan diambil terhadap beberapa pegawai SPRM yang terlibat, termasuk Mohd Nadzri, atas tuduhan konspirasi jenayah, persubahatan serta mengusik bukti (tampering with evidence) dalam kes tersebut.

Mengikut laman web EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim tersenarai sebagai satu-satunya pegawai penyiasat dalam direktori EAIC ( http://www.eaic.gov.my/index.php/tutorials-mainmenu-48/bs ).

Malah menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar, pegawai penyiasat EAIC telah diwarisi daripada SPRM.

Pada masa yang sama, pencarian dalam direktori SPRM menunjukkan bahawa Mohd Nadzri Ibrahim sudah tidak lagi tersenarai, kata kenyataan mereka berdua.

Maka, kemungkinan besar pegawai penyiasat tunggal EAIC Mohd Nadzri Ibrahim merupakan pegawai SPRM sama yang telah menyoal siasat Teoh Beng Hock sebelum kematiannya.

"Jika ini adalah benar, ini bermaksud bahawa seorang pegawai yang pernah terlibat dalam kes kematian dalam tahanan kini ditugaskan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan yang lain. Oleh itu, integriti EAIC sekali lagi menjadi persoalan besar.

"Memandangkan EAIC berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, kami menggesa Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak segera mengesahkan dan menjelaskan sama ada Mohd Nadzri Ibrahim daripada EAIC ini merupakan pegawai sama yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan Teoh Beng Hock dahulu.

"Dan jika ya, Mohd Nadzri Ibrahim harus dilucutkan serta merta daripada pasukan petugas EAIC serta daripada semua siasatan kes-kes kematian dalam tahanan," kata mereka.

Kemuliaan umat Islam terletak pada kemuliaan akhlaknya

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, 11 Jun 2013
Ancaman terbesar pada Islam sebenarnya adalah daripada dalaman iaitu pemimpin dan pengikut Islam sendiri yang mengajar fahaman yang tidak betul, serta tidak menunjukkan teladan yang baik daripada ajaran Allah kepada mereka yang ingin belajar dan masih mentah.

Ia pula ditambah dengan pemimpin Islam yang suka memesong ajaran Allah dengan fahaman asabiyah yang tebal dan menyebabkan pengikut-pengikut terikut-ikut dengan fahaman tersebut tanpa memikirkan soal keadilan.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah : ayat 8)


Sekiranya ini dapat diperbaiki, tiada ancaman luar yang akan dilihat sebagai ancaman kepada Islam kerana jamaah kukuh, rajin, berdisiplin, berkelakuan baik dan tinggi takwanya kepada Allah. Bak kata cerdik pandai, untuk menjaga kesihatan diri sendiri, usah bimbang dan jangan membazir masa dengan memikirkan tentang kuman, virus, bakteria yang ada di luar sana. Berusahalah dan fokuskan untuk menguatkan badan dengan gaya hidup dan makanan yang sihat.

Itulah benteng kekuatan manusia sebenar bukannya menjadikan virus, kuman, bakteria sebagai musuh yang digeruni seti-ap masa. Ingatlah Allah tidak pernah mengajar kita bermusuh dan mencari musuh. Lebih-lebih lagi dalam hal menjaga Islam.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (surah Fussilat : ayat 34)

Ingatlah kata-kata ini;

“Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.”

“Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa.”

“Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim.”

“Tetapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.”

Menjaga Islam bermula daripada diri sendiri - praktikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian bermula dari membuka mata iaitu ketika bangun dari tidur di waktu pagi sehinggalah menutup mata untuk tidur di waktu malam. Jagalah perangai dan kata-kata kita sebagai umat Islam sentiasa untuk menjaga maruah Islam dan kehebatan ajaran-Nya.

Ketika baginda Rasulullah SAW bersabda, (mafhumnya) bahawa baginda diutuskan demi kesempurnaan akhlak, di sana ada rasionaliti yang tinggi kerana jatuh bangun sebuah bangsa, tamadun dan negara adalah bermula dari akhlak. Perjuangan baginda Rasulullah bermodelkan akhlak, berprinsipkan Islam, adalah suatu formua mengapa kita dapati pelapis-pelapis baginda terdiri dalam kalangan para sahabat yang mulia bahkan antaranya terdiri daripada khulafa' ar rasyidin.

http://www.tarbawi.my

Bantai Nazir umpama pukul anak sindir menantu

Harakahdaily, 12 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Kecaman demi kecaman diterima oleh adik perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak oleh NGO-NGO Melayu pro Umno kerana membela Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani disifatkan sebagai 'pukul anak sindir menantu'.


(Nazir dibantai..pukul anak sindir menantu)

"Siri kecaman ini dilihat seolah-olah 'pukul anak sindir menantu' di sebalik mempertahankan laporan Utusan Malaysia.

"Hakikatnya, kecaman ini ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib yang merupakan abang kepada Datuk Seri Nazir Razak," kata Timbalan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Aziz.

Terkini, Nazir turut dikecam oleh bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Umum mengetahui, Pilihanraya Umum 13 berlalu dengan meninggalkan kesan pedih yang amat mendalam kepada UMNO/BN.

UMNO/BN bukan sahaja masih tidak berjaya memperolehi 2/3 majoriti tetapi juga mengalami kemerosotan undi popular. Ini ditambah lagi dengan kegagalan pembantu-pembantu politik Najib dalam memenangkan UMNO/BN.

Namun di atas dasar 'demi menjaga keharmonian parti', para pemimpin Umno/BN terpaksa menikuskan diri dari mendesak Najib berundur, kata Suhaimi.
"Ibarat orang yang dipaksa makan julap tapi dihalang membuang air besar, begitulah hakikatnya para pemimpin Umno/BN kini," dakwa beliau.

Kata Suhaimi, Pemuda PAS Wilayah melihat alternatif kepada suara desakan ini dibuat adalah melalui NGO-NGO pro UMNO/BN.

"Merekalah yang menjadi pembesar-pembesar suara untuk tangan-tangan ghaib ini dalam meberi tekanan kepada Datuk Seri Najib.

"Seseorang perlu dijadikan sasaran. Maka, sasaran yang terdekat ialah Datuk Seri Nazir Razak!" katanya.


Beliau juga yakin, semakin ramai para veteran UMNO/BN akan bangkit dan lantang mengecam Datuk Seri Nazir Razak sebagai tanda protes kepada Datuk Seri Najib.

Walaupun bibir merah Najib mengukir senyuman sentiasa namun hakikatnya, tekanan yang diberikan kepada beliau untuk berundur adalah amat hebat, tambahnya.

'Masa jahat tidak tangkap, bila buat baik kena pula'

Harakahdaily, 12 Jun 2013

KUALA LUMPUR: "Masa saya buat jahat dalam Umno dulu tidak pun kena tindakan tetapi bila saya nak buat baik dalam PAS ni kena tindakan pula," kata Tamrin Tun Ghafar (gambar) yang buat pertama kalinya ditangkap polis  baru-baru ini.

Bukan sekali tetapi beliau telah dua kali ditangkap secara yang agak kasar oleh polis berhubung dengan kenyataannya tentang pilihan raya umum lalu.

"Saya ditahan oleh Polis Bukit Aman. Polis sedang menunggu saya menghabiskan makan tengahari di Chawan (Restoran), Bangsar," kata Tamrin dalam sms kepada rakan-rakannya apabila buat pertama kalinya ditangkap pada 23 Mei lalu.

Ketika itu Tamrin bersama seorang rakannya sudah memesan makanan untuk makan tengahari di sebuah restoran dekat Bangsar.

Seorang yang mengaku sebagai pegawai polis datang meminta beliau mengikutnya ke balai polis.

Oleh kerana beliau sudah memesan makanan untuk makan tengahari, beliau memohon supaya beliau makan dulu serta mengajak polis berkenaan untuk makan sama.

Namun, pegawai polis itu berkata, beliau kena pergi ke balai sekarang juga atas arahan pegawai atasannya.

Setelah bertengkar, polis itu membiarkannya makan.

Sekali lagi pertengkaran belaku apabila beliau sedang membuat bayaran dan menunggu bayaran baki dari tuan restoran tersebut.

"Sedang saya tunggu bayaran baki, sekali lagi dia paksa saya ke balai. Saya kata tunggu bayar baki sekejap. Namun pegawai polis itu berkeras.

"Sekali lagi saya naik berang dan menjerit kepada polis itu dan diperhatikan oleh semua yang ada di kedai itu," cerita Tamrin mengenang kembali saat beliau di tahan polis buat pertama kalinya.

Tamrin kemudiannya di bawa ke balai polis Jinjang. Sesampai di sana, sehingga lewat petang, pegawai penyiasat kes itu belum ada.

Beliau naik berang kerana ketika hendak di tahan mereka menggunakan alasan hendak cepat sehingga tidak boleh makan dan tidak boleh tunggu untuk mengambil baki bayaran.

Tetapi apabila sampai ke balai, masa di habiskan begitu sahaja kerana menunggu pegawai penyiasat kes yang entah ke mana.

Malam itu, Tamrin serta dua lagi tahanan iaitu Haris Ibrahim dan Tian Chua tidur di lokap balai polis Jinjang.

Mereka diberikan pakaian oren sebagai orang tahanan sambil menunggu di bawa ke mahkamah dalam masa 24 jam untuk mendapatkan perintah tahanan reman dari mahkamah.

"Dapatlah saya merasa buat pertama kalinya tidur di lokap yang dalamnya ada pangkin kayu keras, makan berlauk kaki ayam dan mandi serta berak dengan diperhatikan orang melalui CCTV," kata Tamrin.


(Tamrin dan Tian Chua berpakaian orang tahanan di Balai Polis Jinjang)

Apabila di bawa ke mahkamah, dengan pembelaan pasukan peguam yang membela secara sukarela, Tamrin, Haris dan Tian Chua dibebaskan tanpa mendapat kebenaran tahanan reman oleh mahkamah.

Ini kerana, dalam tempoh 24 jam mereka ditahan di lokap, tidak ada sebarang penyiasatan dibuat oleh polis.

"Hujjah para peguam yang diketuai Datuk Ambiga (Sreenevasan), kalau 24 jam tidak ada sebarang penyiasatan, apa guna tahanan reman lebih lama lagi," beritahu Tamrin.

Selepas bebas dan merasai tidur di lokap dan berpakaian sebagai orang tahanan, masing-masing pulang ke rumah tanpa sebarang rasa takut atau bimbang.

Mereka penuh keyakinan mereka tidak bersalah dan apa yang dibuat hanyalah untuk menakutkan orang ramai agar jangan bercakap dan berhimpun membantah pilihan raya ke 13.

"Bagi saya, (Datuk Seri) Zahid Hamidi mahu tunjuk dia lebih tegas dari menteri dalam negeri yang sebelum ini saja. Ini penting untuk pemilihan Umno akan datang," kata Tamrin walaupun Zahid dengan tegas menyatakan beliau tidak ada kena mengena dengan semua tangkapan yang dibuat oleh polis ini.

Tamrin adalah bekas Exco Pemuda Umno bersama Zahid. Beliau pernah menjadi Pengerusi Mara dan mendapat kedudukan tersendiri dalam Umno kerana anak Tun Ghafar, bekas Timbalan Perdana Menteri.

Hujung tahun lalu, Tamrin mengisytiharkan dirinya menyertai PAS.

Selepas empat hari bebas, ada pula orang yang datang kepada beliau. Kali ini mereka mengetuk rumah beliau di waktu lewat petang.

"Ketika itu jam sudah 6.30 petang. Mereka tekan loceng rumah saya. Dengan memakai tuala saja, saya keluar dan mendapati polis yang sama juga datang mencari saya," cerita Tamrin lagi.

Kali ini, polis datang dengan waran untuk menangkap beliau berbanding tangkapan pertama yang dibuat tanpa sebarang waran.


(Tamrin bersama Tian Chua dan Harris  Ibrahim selepas dibebaskan dari Lokap Balai Polis Jinjang)

Mereka meminta beliau pergi ke balai polis pada ketika itu juga.

"Saya kata, tunggulah sekejap, saya belum solat Asar lagi ni. Bagilah saya solat dulu. Mereka kata tak boleh, di balai pun ada surau.

"Saya kata, kalau pergi sekarang tidak ada jaminan saya sempat solat Asar di sana. Dengan jalannya yang  jam pada waktu itu, biarlah saya solat Asar dulu.

"Mereka berkeras nak bawa masa itu juga. Sekali lagi saya bertekak dengan polis ini supaya tunggu saya solat dulu," cerita Tamrin.

Akhirnya, selepas solat Maghrib, Tamrin di bawa ke balai polis Dang Wangi.  Ketika keluar dari rumahnya, Tamrin memohon maaf kepada polis berkenaan kerana berkasar tadi dan faham mereka hanya menjalankan tugas.

Di sana belum ada yang lain lagi. Selepas itu baru datang yang lain. Haris Ibrahim, Tian Chua yang di bawa dari Port Dickson dan turut kelihatan Safwan Anang yang turut ditangkap. Malam itu, Hishamudin Rais juga datang menyerahkan diri kerana beliau turut dikehendaki polis untuk kes itu.

Sementara mereka didalam berbincang dengan polis dan para peguam, beratus-ratus berhimpun di luar bagi mendesak mereka dibebaskan.

Akhirnya, kesemua mereka dibebaskan demgan jaminan polis sementara menunggu hari perbicaraan.

Apabila keluar, semua mengerumuni mereka. Bagi Tamrin, tidak terdetik sedikitpun ketakutan dan kebimbangan akibat tangkapan ini jika ini tujuan pihak berkuasa berbuat demikian.

"Saya rasa macam hero pula," kata beliau apabila di sambut ratusan orang penyokong yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa di luar penjara.

Kelima-lima mereka didakwa di bawah Akta Hasutan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Tiada ulasan: