Selasa, 11 Jun 2013

USRAH MERUPAKAN JENTERA DALAM SATU2 GERAKKAN ISLAM...TIADA USRAH MAKA FUNGSI JENTERA TERGANGGU...SEKURANG2NYA FIKRAH TAK SAMA ATAU TAK SELARAS

Benarkah Negara Semakin Selamat?
Posted on Sunday, June 09 @ 20:44:18 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh Ust Haji Muhammad Ismi B Hj Mat Taib

Kenyataan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bahawa rakyat Malaysia semakin berasa selamat dan suasana di Negara kini sudah semakin tenteram dan harmoni tidak akan dapat berjaya memujuk hati rakyat Malaysia.

Beliau ketika dalam ucapannya merasmikan Hari Bersatu Menentang Jenayah menyifatkan Negara sebenarnya semakin selamat dan pertambahan angka juga statistik jenayah sebenarnya tidak dapat mencerminkan situasi sebenar “keamanan” di Malaysia.

Jika angka dan statistik jenayah tidak dapat menjadi sandaran, maka apakah kayu ukur sebenar yang digunakan oleh pihak kerajaan untuk menilai situasi dan tahap keamanan rakyat Malaysia? Sejujurnya, kenyataan Perdana Menteri bahawa Malaysia semakin selamat sebenarnya hanyalah dilihat dari kacamata orang kaya khususnya para pemimpin Kerajaan yang berada di awangan. Sedang rakyat marhaen yang kini sedang menanggung akibat daripada kecuaian pemerintah dalam mentadbir dan mengurus Negara.

Benar, angka dan statistik bukanlah kayu ukur yang tepat, kerana terdapat banyak faktor yang turut mempengaruhi angka tersebut. Namun, saban hari rakyat didedahkan dengan pelbagai berita yang menyayat hati, meruntun hati nurani. Kisah bayi yang tidak berdosa dibuang dan dicampak sehingga mati. Berita si anak yang sanggup mengelar ibu dan ayahnya sendiri. Tidak kurang juga ibu dan ayah yang menzalimi si anak. Terbaru, berita guru merogol anak murid yang hanya berusia 12 tahun, benar-benar menyentap emosi dan fikiran. Apakah ini bentuk dunia selamat yang ingin dibina oleh Kerajaan Umno-BN?

Segala kes pecah rumah, rompakan dan ragut secara terang-terangan, adakah ini semua tanda Negara semakin menuju kepada keamanan dan kestabilan? Rakyat sudah semakin hilang percaya kepada institusi Kerajaan. Setiap rancangan yang ingin dibawa oleh pihak Kerajaan menerima kecaman hebat malah tidak mendapat sambutan yang baik daripada rakyat. Ini menunjukkan rakyat sebenarnya dahagakan perubahan. Harapan mereka berkecai setelah berakhirnya Pilihanraya Umum Ke-13. Bermula dari saat Parlimen dibubarkan, sehinggalah hari keputusan diumumkan, rakyat berasa tertipu dan dipermainkan.

Sehingga ke hari ini, Kerajaan masih gagal mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi Kerajaan, khususnya para Menteri yang dilantik oleh UMNO-BN. Masalah sistem pendidikan yang berkecamuk, pihak berkuasa keselamatan yang dipergunakan untuk kepentingan politik, propaganda Media Arus Perdana yang masih berlarutan sehingga ke hari ini, sistem penyampaian yang tidak telus dan korup. Rakyat Malaysia adalah rakyat yang celik dan tidak mudah ditipu.

Hakikatnya, kempen perubahan yang sedang dibawa oleh Perdana Menteri pada ketika ini semuanya hanya sarat dengan satu mesej sahaja iaitu hiburan. Setiap kempen, bermula dengan Hari Bersatu Menentang Jenayah, pelancaran ABNXcess, semuanya sarat dengan mesej hiburan. Walaupun hiburan itu adakalanya membawa kebaikan, akan tetapi sekiranya tidak dikawal hiburan hanya akan membawa satu wabak sosial yang juga mndatangkan keburukan. Nasihat saya kepada Perdana Menteri, sajian hiburan tidak dapat membuatkan rakyat Malaysia terlupa pada kejadian Jambatan Runtuh di Pulau Pinang, atau segala kes jenayah yang semakin berleluasa. Berubahlah Sekarang, selamatkan Malaysia.

Ust Haji Muhammad Ismi B Hj Mat Taib
Penolong Setiausaha Dewan Ulama' Pas Pusat.
Yang DiPertua PAS Kawasan Parit


 Akujanji belum pun dilaksana tapi.........
Posted on Sunday, June 09 @ 20:13:57 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Oleh: notan

"Assalamualaikum,,

Dua negeri BN, Terengganu dan Kedah mendahului akujanji mereka apabila melaksanakan suatu yang tidak ada dalam akujanji mereka terlebih dahulu dari akujanji. Terenggganu mengenakan caj komisyen kepada bil air yang dibayar di pejabat pos dan Kedah baru sahaja membuka KUIN untuk dibida oleh pihak swasta.

Kedua dua perkara ini tidak termaktub dalam akujanji BN ketika PRU 13. Akujanji BN Terengganu umpamanya untuk menarik pelaburan sejumlah RM150 Billion(kalau tak silap) dan membuka peluang pekerjaan yang banyak (maaf tak ingat yang dijanjikan) dalam masa 100 hari memerintah atau sepelas pembentukan kerajaaan negeri.Belumpun sampai 30 hari, caj komisyen yang dikenakan, caj yang tidak langsung disebut dalam akujanji pilihanraya!

Sementara di Kedah, MBnya baru berjanji akan membina rumah mampu milik sebagai memenuhi akujanjinya tetapi belumpun sebuah rumah mampu milik dibina, KUIN sudah mahu diswastakan.Pengswastaan KUIN tidak ada dalam akujanji Pilihanraya BN Kedah.

Siapa yang nak dipersalahkan? PAS? DSAI? Kenapa PAS atau DSAI yang dipersalahkan, kerana dalam masa kempen BN berjanji boleh melaksanakan semua perkara yang boleh menguntungkan rakyat. jadi kenapa PAS nak dipersalahkan?

Lagipun kalau PAS Terengganu dan Kedah dokrok cetong, BN Terengganu dan Kedah dokrok empat cetong! Bukan salah PAS kerana tewas di dua negeri ni, tetapi kemenangan BN menampakkan kelemahan yang lebih ketara dari kelemahan jentera pilihanraya PAS sendiri.

Yang memilih ialah pengundi, jadi sepatutnya pengundilah yang dipersalahkan kerana memangkah BN , kalau mereka tidak memangkah BN, tidaklah BN menang di dua negeri ini dan tidaklah KUIN diswastakan serta tiada caj komisyen bil air sebaliknya dapat air percuma sebanyak RM11.40.Jangan lupa juga kerajaan PAS Kedah dulu memberi diskaun kepada cukai tanah dan adengan yang mahu kita lihat bagaimana kerajaan baru BN Kedah bertindak dalam hal cukai tanah ini.

Sifir mudah inipun kekadang sukar difahami kerana hati yang berkarat!"


 Mengapa Pakaian Bedah Berwarna Hijau?
Posted on Sunday, June 09 @ 19:06:28 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh Hidayat Shariff

Selalu dalam bilik bedah kita selalu tengok doktor memakai baju hijau semasa bertugas.

Kenapa?

Pada mulanya doktor dikatakan memakai warna putih kerana ia warna yang melambangkan kebersihan.

Bagaimanapun, seorang doktor yang berpengaruh telah menggantikan warna putih dengan warna hijau kerana menurutnya warna hijau lebih sejuk.

Walaupun sukar dipastikan mengapa warna hijau paling sesuai bagi doktor untuk melihat lebih baik di ruang pembedahan, secara umumnya kerana hijau adalah warna berlawanan dengan warna merah.

Warna hijau dapat menyegarkan mata ahli bedah semasa melihat benda-benda berwarna merah, termasuk organ-organ tubuh yang berlumuran darah ketika pembedahan.

Melihat warna merah secara terus menerus menyebabkan signal warna merah di otak mengurangkan sensiviti terhadap variasi warna merah.

Alasan lainnya adalah, terus-menerus fokus pada warna merah akan menyebabkan pakar bedah kurang memberikan tumpuan dan mengganggu penglihatan doktor.

Jika warna baju-baju pakar bedah berwarna hijau, ilusi ini akan memudar dan tidak akan mengganggu penglihatan doktor.

Warna hijau juga adalah warna kegemaran Rasulullah SAW

Annas bin Malik mengatakan, “Warna yang paling disukai oleh Rasulullah saw adalah hijau.”

Namun selain itu Rasul saw juga ternyata menyukai warna putih.

Wallahua’lam.

Sumber: psipum.org


  Pimpinan PAS patut adakan Usrah Tahap Pertama
Posted on Sunday, June 09 @ 17:17:36 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Blog TKOOffline



Pagi tadi Pimpinan PAS Pusat telah mengadakan USRAH. Antara yang di bincangkan berkenaan sudut al Quran ialah Surah Al-Imran: 137-142

137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).

138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan pertunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

139. Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

140. Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kamu (musyrik) yang menceroboh kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

141. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.

142. Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Antara inti pati usrah berkenaan ialah Muhasabah kekalahan, Keyakinan semula terhadap perjuangan, Perpaduan sesama pimpinan dan pendokong, Disiplin dalam perjuangan, Hikmah atas kekalahan, Menang atau kalah, rahsia yang tersirat, Hakikat kekalahan, musuh menanggung akibat lagi buruk dan Sabar dalam perjuangan.

Tapi saya rasa pemimpinan PAS patut buat taaruf semula untuk memenuhi hukum usrah yang pertama kerana di kalangan pimpinan dan mula tidak mengenali satu sama lain. Hilang ukhwah pasal sekarang dah tak kenal makan nasi dalam talam, tak kenal markaz tarbiyyah sebab semuanya dah selesa dengan hotel!!

....
Sumber
Pimpinan PAS patut adakan Usrah Tahap Pertama


  Hayati dan laksana 5 prinsip amal jamaei
Posted on Tuesday, June 11 @ 08:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh  Nasrudin bin Hassan

Sebahagian dari usaha untuk memperkasakan PAS agar Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang , kita sewajarnya memastikan intima' atau penglibatan kita dengan PAS ini benar - benar dihayati bersama 5 prinsip Amal Jamaei.

5 Prinsip yang saya maksudkan itu ialah:

1. Iltizam

Memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap aktiviti amal Islami yang dianjurkan oleh PAS demi menjayakan gerakkerja pengkaderan atau pembinaan :

Aqidah yang sohih ,
Fikrah yang syumul dan
Syakhsiyyah yang soleh .
Dakwah yang benar
Tanzim @ Organisasi yang mantap

Jangan abaikan setiap keputusan jamaah apalagi membuat keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan secara jamaei melalui prosedur mesyuarat yang sah . Pastikan juga kita tidak mengakibatkan aktiviti jamaah lumpuh atau terbiar dengan sikap yang acuh tidak acuh dalam menjayakannya .

Terapkan rasa wajib ke atas diri dalam menunaikan semua peraturan dan arahan jamaah yang tentunya untuk kepentingan perjuangan Islam yang suci dan bersih dari sebarang elemen yang bersifat kepentingan diri sendiri .

Rasa diri terpanggil untuk menyelesaikan apa jua tanggungjawab dan amanah perjuangan yang terbengkalai walaupun bukan kita pemegang amanah yang bertanggungjawab langsung terhadapnya .

2. Wala'

Kesetiaan dan kejujuran kita terhadap perjuangan Islam yang didokong dengan PAS sebagai platform untuk menjayakannya , lalu menggapai objektif dan matlamat .

Tidak berlaku curang atau tidak mengkhianati perjuangan dengan melakukan sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dengan dasar perjuangan tetapi juga mendedahkan jamaah kepada risiko ekoran tindakan kita yang kurang berhati - hati seperti mengakibatkan kebocoran rahsia dan lainnya .

Jangan sekali - kali bermain kayu 3 dengan jamaah yang akhirnya mencetus dilemma dalam melaksanakan arahan pimpinan . Antaranya sikap menyertai 2 atau 3 jamaah sekali gus kononnya didirikan atas kefahaman bahawa yang penting ialah Islam bukan jamaah , maka boleh menyertai mana - mana jamaah yang mahukan Islam .

Tindakan ini membawa kepada pecah wala' lalu timbul pula 'fatwa' kononnya wala' tidak wajib kecuali kepada Allah dan Rasul demi menghalalkan tindakan mereka menyertai 2 atau 3 jamaah secara serentak .

Menyertai 2 atau 3 jamaah serentak sebenarnya menggangu proses pembinaan secara terancang dan mencetuskan kekeliruan fikrah serta membawa kepada dilemma dalam ketaatan dan komitmen . [ perbincangan panjang dan jelas telah saya tulis dalam kertas kerja saya yang bertajuk Ummah Centric : satu kekeliruan . ]

3. Dengar dan Taat.

Melancarkan misi dan operasi yang telah dirancang demi mencapai objektif dan matlamat perjuangan suci ini pastinya dengar dan taat adalah mekanisme yang tidak dapat tidak mesti dihayati dan dilaksanakan .

Kita tidak selayaknya mengklasifikasikan ketaatan kita kepada pimpinan dan jamaah selama mana ia tidak mengheret kita dan jamaah ke kancah maksiat dan mungkar . Sekalipun pemimpin yang mengeluarkan arahan hanya seorang junior atau pimpinan bertaraf cawangan , jika kita bertanggungjawab langsung dengan arahan tersebut maka hendaklah ianya dilaksanakan dengan penuh amanah .

4. Ukhuwwah fillah

Jalinan persaudaraan antara ahli PAS mestilah diikat dengan semangat berlapang dada , berbaik sangka , tawadhu' atau merendah diri antara satu sama lain , kasihkan saudara sebagaimana kita kasih kepada diri sendiri , mengutamakan kebaikan buat saudara kita mengatasi diri sendiri .

Eratnya jalinan antara ahli sesama ahli dan ahli dengan pimpinan membentuk benteng kukuh buat jamaah dari sebarang anasir yang merosakkan struktur kepimpinan dan pentarbiyahan jamaah .

Usaha dan aktiviti yang menumbuhkan kemesraan sesama ahli atau program yang menanam rasa kasih yang mendalam mestilah diberikan keutamaan . Justeru ukhuwwah yang terbina utuh antara ahli dan pimpinan akan meminimakan ruang khilaf dan menutup peluang krisis .

5. Tadhiyyah [pengorbanan]

Tiada perjuangan tanpa pengorbanan malah pengorbanan antara pra syarat kemenangan . Sukar untuk kita jayakan misi dan visi perjuangan besar ini tanpa pengorbanan semua pihak . Mengorbankan tenaga , harta benda dan nyawa demi perjuangan Islam ini sememangnya telah diwartakan oleh Allah dalam al Quran sebagai sunnah perjuangan sejak zaman Nabi saw.

Kegagalan berkorban memerangkap diri dan jamaah dalam kelemahan yang tidak mungkin boleh diatasi .

Terutama kita berjuang di era menang , kedengaran akhir - akhir ini suara yang mahu titik peluh dan penat lelahnya untuk perjuangan ini dibayar dengan imbuhan dunia . Tanpa imbuhan atau perolehan lumayan maka tiada tenaga jauh sekali nyawa untuk perjuangan . Ini satu musibah !

Pengorbanan adalah tuntutan perjuangan yang sama samaada sebelum atau selepas menang . Tanpa pengorbanan terlalu sukar untuk kita mencapai kemenangan sebagaimana jua tanpa pengorbanan pasti sahaja kemenangan yang dicapai tidak akan bertahan lama .

Ringkasan ini sebagai satu nota kecil buat petugas , ahli dan pimpinan PAS yang saya dedikasikan buat semua khasnya diri saya sendiri yang masih perlu dibimbing dan dibina dengan apa yang telah saya notekan di sini .

Saya harap perbincangan lanjut dibawa ke usrah atau liqa fikri berkait 5 prinsip amal jamaei ini dan dilengkapkan dengan nas qura'ani dan dalil sunni berasaskan manhaj perjuangan an nabawi.


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: