Rabu, 12 Jun 2013

KENA RUJUK SELALU...SEBAGAI PANDUAN UNTUK KESEJAHTERAAN HIDUP DIDUNIA MAUPUN KEHIDUPAN DI AKHIRAT

Pakatan cadang tubuh JK pantau persempadanan

Muhammad Faizal, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu Pakatan Rakyat akan mencadangkan untuk menubuh satu jawatankuasa khusus bagi memantau persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dilaksana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu jawatankuasa tersebut akan membuat pemantauan kawasan-kawasan yang dijangkakan berlaku persempadanan berlandaskan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas.

Jelasnya lagi, tumpuan turut dilakukan bagi memastikan jumlah pengundi yang tidak keterlaluan di kawasan luar bandar seperti yang berlaku di Parlimen Pekan pada PRU13.

"Kita mencadangkan akan menubuhkan satu jawatankuasa khusus bagi memantau segala cadangan yang akan dilakukan oleh SPR berhubung dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

"Ada beberapa perkara khusus akan ditumpukan terutamanya berhubungan penambahan jumlah pengundi agar tidak keterlaluan terutamanya melibatkan kawasan luar bandar sebagai contoh Pekan yang bukan sebuah bandar yang besar tetapi mempunyai pengundi yang ramai," kata beliau.

Dr Mohd Hatta yang turut memberitahu selain isu pertambahan pengundi perubahan keluasan kawasan Parlimen turut menjadi fokus utama.

Katanya, adalah suatu yang agak tidak lojik apabila kawasan parlimen itu terpaksa dilencongkan dengan begitu jauh bagi memastikan calon Barisan Nasional yang bertanding di kawsan tersebut terjamin kemenangannya.

"Kita tidak mempertikaikan apabila SPR ingin memasukkan kem tentera di dalam sesuatu kawasan parlimen tetapi adalah tidak lojik apabila lencongan yang jauh dibuat seperti Parlimen Pekan yang terpaksa memasukkan kem tentera di Kuantan bagi memastikan Perdana Menteri menang selesai di situ.

"Kita akan pastikan setiap kawasan yang teerlibat dalam persempadanan semula itu mempunyai alasan yang kukuh dan rasional sebelum ia diluluskan," sambung beliau.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof membayangkan pihaknya akan melakukan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi mengadapi PRU14.

Mengikut amalan setiap lapan hingga 10 tahun kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilakukan dengan mengambil kira pertambahan penduduk.

Bagaimanapun rang undang-undang yang dicadangkan itu perlu mendapat sokongan dua pertiga anggota parlimen.

Ayuh, selepas solat Jumaat di Kedutaan Syria

., 11 Jun 2013

1. Krisis Syria telah berlanjutan 2 tahun. Sejak 15 Mac hingga 15 Mac 2013.

2. Kini lebih 1.6 juta rakyat Syria menjadi pelarian dan hampir 100 ribu rakyat terbunuh.

3. Para alim ulama menegaskan kebangkitan rakyat Syria adalah jihad dan mati mereka kerananya adalah syahid.

4. Justeru itu, saya menyeru agar seluruh rakyat dan warga prihatin di negara ini tanpa mengira perbedaan agama, kaum dan politik berkumpul di hadapan Kedutaan Syria pada hari Jumaat ini bersamaan 14 Jun 2013 sejurus selesai solat Jumaat bagi menyatakan bantahan dan kutukan keras kita terhadap campurtangan asing, keganasan, pertumpahan darah dan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Syria

5. Sewajarnya kita menunjukkan solidariti kita terhadap insan yang tertindas menjadi mangsa kekejaman dan gas beracun. Sungguhpun Syria nun beribu kilometer, namun kekejaman dan keganasan yang berlaku tidak mungkin membuatkan kita kaku membatu diri.

6. Saya juga menyeru agar sebelum turun berhimpun dan menyerahkan memorandum kecaman ke Kedutaan Syria, seluruh masjid mengadakan solat hajat memohon pertolongan Allah swt dan sekaligus memusnahkan mereka yang kejam, ganas dan tidak berhati perut.

7. Penyertaan dan solidariti dari pihak NGO dan orang perseorangan sangat dialu-alukan bagi meningkatkan tekanan ke atas pihak berkuasa Syria supaya segera mengambil langkah menghentikan keganasan dan menerima campur tangan asing. Juga tekanan ke atas badan-badan dunia yang berautoriti agar mengusahakan kedamaian dan keselamatan rakyat Syria dan mengambil tindakan tegas kepada penjenayah kejam yang membunuh rakyat Syria.

8. Diulangi:

Tarikh: 14 Jun 2013
Hari: Jumaat
Masa: Sejurus selesai solat Jumaat.
Tempat: Kedutaan Syria Kuala Lumpur.

9. Kita juga mendesak agar ketajaan Malaysia segera menyatakan sikap untuk mengutuk kekejaman ini dan mengadakan Sidang Khas Parlimen bagi membincang dan mengambil keputusan dan tindakan rasmi kerajaan Malaysia terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku di bumi Syam itu.

10. Ayuh nyatakan kebersamaan dan penyertaan saudara untuk menentang kezaliman dan kekejaman manusia banjingan ini. Temui anda di sana.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia


Mahathir, Utusan juarai isu perkauman

Salmah Mat Husain, 11 Jun 2013


KOTA BHARU: DAP menyifatkan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan akhbar Utusan Malaysia sering membangkitkan isu-isu berbau perkauman di negara ini.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, tindak tanduk mereka selepas Pilihan raya Umum ke-13 lalu sengaja mengentengah isu tersebut, biar pun secara jelas berselindung di sebalik pembohongan dan kepalsuan bagi menakutkan orang Melayu terhadap Cina.

“Dalam blog terbarunya, Dr Mahathir menuduh orang Cina di Malaysia pada PRU lalu mahu menggulingkan kuasa politik Melayu bagi menguasai politik Malaysia.

“Ini adalah satu tuduhan yang paling tidak bertanggungjawab, melulu dan tidak berasas dalam sepanjang kerjaya politiknya.

“Malah beliau juga melemparkan dakwaan yang tidak bertanggungjawab dan melulu kononnya saya bertanding di Gelang Patah untuk mewujudkan konfrontasi kaum dan menghasut orang Cina untuk membenci orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri pengkebumian mendiang Tan Seng Ren iaitu ayah kepada Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw di Sungai Keladi dekat sini.

Kit Siang berkata, tidak ada satu inci pun kebenaran dalam setiap dakwaan keterlaluan dilemparkan bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, sepatutnya beliau dapat membawa apa-apa bukti untuk menyokong tuduhan melulunya terhadapnya.

“Adakah beliau dapat membuktikan untuk menyokong dakwaannya bahawa saya telah menghasut orang Cina di Gelang Patah untuk membenci orang Melayu.

“Sedangkan pada hakikatnya dalam mana-mana ucapan saya di Gelang Patah serta di tempat lain semasa kempen PRU 13, saya menekankan penting rakyat Malaysia tanpa mengira agama bangsa bersatu bagi melahirkan negara yang demokratik, bersih, makmur dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Lim Kit Siang berkesempatan mengunjungi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di JKR10 sebelum Tuan Guru mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

‘R’ dapat permit anjur Black505 di Ketereh esok

Salmah Mat Husain, 11 Jun 2013
KOTA BHARU: NGO Royalti (R) mendapat kebenaran dan permit menganjurkan perhimpunan aman Black505 mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perhimpunan aman itu akan diadakan esok, 12 Jun di Padang Majlis Daerah Ketereh bermula jam 9.00 malam.

Penganjur yang juga aktivis R, Mohd Adnan Abdullah berkata, perhimpunan tersebut dijangka dihadiri lebih 20,000 orang untuk mendengar amanat pimpinan berhubung peristiwa Black505.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas menerima permit program berkenaan di IPD Kota Bharu Pengkalan Chepa, hari ini.

Beliau berharap dengan adanya permit yang diberikan oleh pihak berkuasa itu perhimpunan yang bakal dijalankan itu berjalan baik.

Katanya, permit berkenaan dipohon pada 3 Jun lalu kira-kira jam 2.00 petang.

Terdahulu beliau menerima kenyataan permit yang diluluskan oleh Ketua Polis Daerah, Asisten Superitendan Azham Othman.

“Perhimpunan itu juga akan dihadiri badan NGO seluruh negara seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Perubuhan Anak Muda Bersama Ulama.

“Pihak media pro Umno yang mendakwa program Black505 dianjurkan tanpa permit adalah tidak benar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mewakili penganjur mengucapkan terima kasih pada pihak keselamatan kerana meluluskan permit itu.

Katanya, permit berkenaan dianjurkan bukan untuk merusuh sebagaimana yang didakwa oleh pihak berlainan politik, sebaliknya untuk pencerahan, untuk menyatakan betapa rakyat mengharapkan PRU yang adil.

Al-Quran rujukan tertinggi selesai konflik masyarakat

Ustaz Datuk Ahmad Yakob, 11 Jun 2013
Berikut ialah petikan ucapan Datuk Menteri Besar Kelantan pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Dewan Besar, Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.


Maksudnya: Alif, Laam, Miim “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 1-2)

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعٰلَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىٰ رَسُوْلِ اللهِ سَيِّدنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى اٰلِهِ وَصَحْبِه ِاَجْمَعِيْن وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلٰى يَوْمِ الدِّيْنِ
سُبْحٰنَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا اِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيْمُ الْحَكِيْمُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ
رَبِّ اشْرَحْ لِى صَدْرِى وَيَسِّرْلِى اَمْرِى وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِى يَفْقَََهُوا قَوْلِي

Syukur kita ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah dan kurniaNya kita dapat berkumpul dalam Dewan Besar Balai Islam Lundang ini untuk sama-sama kita mengikuti majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke 56 tahun 1434H bersamaan 2013M. Saya bagi pihak kerajaan negeri sangat berbesar hati kerana Negeri Kelantan buat julung-julung kalinya terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada Majlis Tilawah kali ini. Penganjuran Majlis ini diharap menjadi suatu motivasi supaya masyarakat negeri Kelantan terus mengungguli pentas tilawah sebagaimana telah dibuktikan oleh tokoh-tokoh al-Quran secara tradisinya. Sesungguhnya umat Islam di Kelantan memang terkenal dengan masyarakat yang sangat minat dengan ilmu-ilmu Islam. Justeru Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya di atas kesediaan kerjasama kerajaan pusat menganjurkan majlis sebesar ini di negeri ini.

Dalam konteks perpaduan ummah, contoh dan model perpaduan ummah telah pun ditunjukkan secara jelas oleh Rasulullah SAW semasa Hijrahtul Rasul ke Madinah. Masyarakat Madinah sebelum ketibaan Rasulullah SAW adalah masyarakat pelbagai bangsa yang saling perang dan bermusuhan antara satu sama lain. Asas permusuhan adalah dasar mementingkan kaum atau pun assabiyyah yang akhirnya mewujudkan kefahaman melampau dan membawa kepada perpecahan antara ahli masyarakat.

Dalam masyarakat Jahilliyah, fahaman assabiyyah yang sempit ini boleh memungkinkan apa juga berlaku kemungkaran seperti pergaduhan, pertelingkahan dan juga peperangan sesama mereka. Ini kerana mereka lebih mementingkan bangsa  mereka sendiri tanpa memikirkan kesannya kepada ahli-ahli masyarakat yang lain.

Namun selepas ketibaan Rasulullah SAW di Madinah, keadaan berubah sama sekali dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Persaudaraan antara kaum Aus dan Khazraj yang sebelum ini kelihatannya mustahil telah menjadi kenyataan apabila ia diasaskan di atas dasar akidah Islamiah. Hubungan persaudaraan yang wujud antara kaum Ansar dan Muhajirin merupakan satu lagi bukti bahawa Islam adalah agama yang membawa perpaduan ummah.Islam menekankan perpaduan berasaskan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Masyarakat yang sebelum ini sering bertelingkah dan bersilih faham telah menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. Ini menjadi satu bukti yang tidak dapat dinafikan lagi bahawa hanya dengan berpegang kepada Islam, perpaduan ummah boleh diwujudkan.

Sesungguhnya, asas utama perpaduan ummah dalam Islam adalah berasaskan kepada ayat al-Quran seperti mana dalam firman Allah SWT (bermaksud):

"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai".    (Ali Imran, ayat 103)

"Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia". (Ali Imran ayat 112)

Islam adalah agama  ciptaan  Allah SWT untuk umat manusia.  Rasulullah SAW  sebagai utusan dan bukti kasih sayang Allah kepada seluruh manusia sebagai mana firman Allah SWT (maksudnya): “Tidaklah Kami mengutus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiya: 107)

Kerana itu Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Islam bukan hak mutlak sesuatu kaum atau bangsa.Malah hakikatnya Islam dianuti oleh seluruh bangsa yang ada di dunia dan tidak hanya tertumpu kepada bangsa Arab sahaja. Setiap manusia yang beragama Islam adalah bersaudara dan asas persaudaraan itu adalah Islam. Islam ialah satu agama bersifat inklusif yang boleh dianuti oleh semua bangsa. Islam bukanlah agama eksklusif milik sekelompok manusia sahaja. Mesej perpaduan yang perlu kita bawa mestilah berasaskan Islam yang menjaga kebajikan dan kemaslahatan ummah seluruhnya. Hanya dengan Islam sahajalah seluruh umat manusia akan hidup dalam keamanan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Sehubungan dengan itu, peranan setiap individu Muslim adalah sangat penting dalam memahami tugas dan tanggungjawab mereka dalam menjaga ummah yang telah dibangunkan oleh Rasulullah SAW. Ini adalah tanggungjawab dakwah  yang perlu dilaksanakan bersama oleh semua pihak.

Umumnya, keruntuhan ummah boleh diakibatkan dari kesalahfahaman, ketidakfahaman, kejahilan dan keangkuhan manusia terhadap perintah Allah swt dan Rasulullah saw. Perpecahan dalam kalangan ummah Islam tidak boleh diambil ringan dan tugas untuk membetulkan semula keadaan  ini adalah satu tuntutan Islam dan ianya selaras dengan perutusan Rasulullah saw yang membawa risalah dakwah Islam bagi membimbing umat manusia ke arah kebenaran.

Dalam memangkin perpaduan ummah, iltizam daripada beberapa pihak amat diperlukan dalam merangka, melaksana dan memantau program yang dirancangkan.Perpaduan ummah amat berkait rapat dengan konsep amal jamaie yang memerlukan kesatuan dan keselarasan fikrah dalam semua tindakan.

Pihak pemerintah adalah amat penting kerana mereka yang menentukan hala tuju masyarakatnya. Tugas utama sesebuah kerajaan Islam adalah untuk memastikan Islam menjadi dasar pemerintahannya. Maka, amanah yang dipikul ini perlu dilaksanakan sebaiknya kerana mereka akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah SWT.

Tanpa peranan berkesan oleh pihak kerajaan, tugas untuk menjadikan Islam sebagai agama yang menekankan kepada kesatuan ummah tidak akan tercapai.

Dalam Islam, masjid bukanlah semata-mata sebagai satu tempat untuk beribadat sahaja,  malah masjid dalam Islam adalah pusat pembangunan ummah Islam yang komprehensif. Masjid adalah nadi kepada kewujudan masyarakat Islam. Jika kita perhatikan diseluruh dunia, masjid-masjid yang dibangunkan adalah lambang keagungan dan perpaduan ummah Islam seluruhnya. Islam telah menegaskan tentang peranan penting masjid yang dapat menyatupadukan manusia di atas nama kalimah suci Islam dan Iman.

Dalam konteks ini, peranan masjid bukan sahaja untuk menjaga, membantu, menyokong perkembangan masyarakat yang menjadi ahli kariahnya, tetapi ianya melangkaui tugas membantu saudara-saudara baru,  dan masyarakat sekitarnya termasuklah juga masyarakat bukan Islam. Tugas ini adalah tugas dakwah dapat memperluaskan peranan masjid.Ini adalah komintmen masjid dan masyarakat untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan  masyarakat secara keseluruhannya. Masjid yang dilengkapi pelbagai kemudahan masyarakat, perpustakaan, pendidikan, kesihatan, bank, pos, kedai dan keperluan lain masyarakat boleh menjadikan masjid sebagai pusat sehenti masyarakat yang lengkap. Maka, iltizam semua pihak diperlukan untuk merealisasikan masjid sebagai pemangkin perpaduaan ummah

Dalam sistem pendidikan di kebanyakan negara masa kini, pendidikan formal khususnya sekolah kelihatannya telah mengambil alih sebahagian besar tugas keluarga untuk mendidik generasi muda. Kesannya, sekolah kini menjadi semakin signifikan dalam aspek perkembangan diri dan pengetahuan pelajar-pelajar. Tugas guru adalah amat penting jika dilihat kepada sirah Nabawiyyah. Tugas ini perlu dikaitkan dengan tugas sebagai pendakwah dan dengan erti kata lain seorang guru adalah juga seorang pendakwah atau da`i.

Sehubungan itu, setiap guru perlu terlebih dahulu memiliki keiltizaman sahsiah atau personaliti yang unggul sebelum berusaha untuk membentuk sahsiah para pelajarnya melalui proses pendidikan tersebut. Mereka perllu dibangun dengan sifat-sifat keperibadian yang unggul, ketokohan dan pewatakan yang sempurna untuk memastikan keberkesanan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Tingkah laku dan sikap guru sentiasa beriltizam akan diperhati dan dinilai oleh pelajar-pelajar bukan sahaja semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah atau di dalam sekolah malah juga ketika di luar kawasan sekolah. Guru-guru perlu diberikan latihan yang berterusan agar mereka dapat menggerakkan sistem pendidikan menjadi pusat pembangunan ummah yang berkesan.

Ibubapa perlu memainkan mereka dalam memberikan kefahaman kepada anak-anak mereka seperti pepatah Melayu “melentur buluh biarkan dari rebungnya”. Bagi menyokong program kerajaan dan sekolah, ibu bapa hendaklah berusaha mendidik anak-anak mereka dengan pendidikan Islam semenjak di rumah lagi. Iltizam yang diberikan oleh ibubapa akan banyak membantu anak-anak mereka berjiwa Islam dan dekat kepada Islam. Didikan agama yang mantap akan menjadikan anak-anak mereka berjiwa agama sekali gus akan meletakkan Islam sebagai asas pemikiran dan falsafah hidup mereka.

Media massa juga perlu mempunyai komitmen yang tinggi terhadap Islam dan mereka mesti mempunyai roh atau berjiwa Islam. Kesungguhan media massa adalah amat penting dalam memberikan pandangan, penilaian dan promosi terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Maka, itlizam yang berteraskan kepada penghayatan Islam amat perlu bagi mewujudkan budaya penulisan dan penyiaran yang positif. Usaha memupuk perpaduan ummah perlu mendapat sokongan daripada pihak media kerana mereka mampu menyampaikan maklumat dan ilmu kepada semua peringkat masyarakat. Media massa perlu menyiarkan  rancangan dan melaporkan yang boleh mewujudkan rasa kasih sayang antara semasa umat Islam dan masyarakat seluruhnya.

Namun, apa yang menyedihkan, kewujudan akhbar, televisyen, radio, majalah, blog dan facebook yang bersikap negatif dan anti terhadap Islam sangat merugikan perpaduan ummah masa kini.

Budaya menabur fitnah, memutar belit fakta, mengelirukan kenyataan dan adu domba oleh sekelompok penulis dan pemberita yang tidak beretika telah memberikan kesan negatif kepada perpaduan ummah Islam khasnya di Malaysia. Bagaimana ummah boleh bersatu padu jika mereka sentiasa disogokkan dengan berita dan maklumat yang salah dan mengelirukan?

Sikap negatif ini perlu dihentikan segera kerana ia melambatkan lagi proses perpaduan ummah. Media massa kini perlu mempunyai satu iltizam iaitu membantu, memperkenal, dan membudayakan Islam sebagai ad-Din dan tidak akan melakukan perkara yang merosakkan masyarakat.  Konsep amar makruf dan nahi mungkar perlu difahami dan dihayati oleh setiap  penerbit, ketua editor, wartawan dan pengamal media seluruhnya. Mereka perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka laporkan dan siarkan dihadapan Allah SWT.

Kesimpulannya,  tugas dan tanggung jawab untuk membangunkan ummah adalah menjadi tanggung jawab yang perlu dilaksanakan sebaiknya setiap peringkat masyarakat. Pihak kerajaan, masyarakat, guru dan ibu bapa serta media massa mempunyai tugas yang perlu mereka laksanakan sebaiknya. Iltizam semua pihak ini amat diperlukan untuk memastikan ummah Islam sentiasa bersatu padu dan mendapat keredhaan Allah swt. Perpaduan ummah hanya akan berlaku jika berpegang kepada ajaran Islam sepenuhnya. Maka, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk menolak ajaran dan pemikiran  yang bertentangan dengan tuntutan syarak. Tanggungjawab kita adalah untuk mengesakan Allah SWT dalam kehidupan dan menolak segala bentuk kesyirikan dan kebatilan. Justeru, di sinilah letaknya tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa al-Quran yang dibaca bukan setakat untuk dipersembahkan bacaan dan dipertandingkan tetapi juga menjadi rujukan tertinggi dalam apa juga penyelesaian konflik masyarakat. Saya yakin dan optimis jika kita semua kembali kepada al-Quran sebagai rujukan, insya Allah pelbagai pertembungan yang sedang berlaku dalam diselesaikan.

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini terutamanya kepada YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (Bersara) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Haji Amar bin Nik Abdullah Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Nasruddin bin Daud Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta  Negeri Kelantan, YB Dato’ Dr Haji Zainuddin bin Haji Ibrahim Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM dan semua pihak yang telah menjayakan program ini dan tak lupa juga kepada tetamu-tetamu yang hadir, Ketua-Ketua Jabatan, Yang Berhormat-Yang Berhormat serta para hadirin semua. Semoga program sebegini akan terus dilaksanakan di negeri Kelantan sebagai bukti kerjasama yang terjalin antara kerajaan negeri dan pusat demi kebaikan rakyat Kelantan, Insya-allah.

Berpandang tuan ke tengah halaman
Perigi mati di pinggir hutan
Bertandang tuan dengan senyuman
Pergi nanti dalam sebutan.

Tiada ulasan: