Rabu, 5 Jun 2013

TAKZIAH...KITA SEMUA MENUNGGU GILIRAN MASING2...INGAT MATI AGAR BERHENTI BUAT KERJA2 JAHAT

Malaysia tidak perlu ikut Singapura kawal laman web

Harakahdaily, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu mengikut model Singapura untuk mengawal mana-mana laman web kerana ia melanggar Akta Jaminan MSC Malaysia yang menjamin tiada penapisan internet.
Sehubungan itu, DAP kesal dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang memulakan khidmatnya dengan memungkiri janji BN supaya tidak akan menapis internet untuk mengawal mana-mana laman web.

“Di mana 'Janji Ditepati' BN?” tanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, Ahmad Shabery perlu memberi kebebasan kepada media dan akhbar dan bukannya cuba untuk terus mematahkan mana-mana ruang yang mengehadkan kebebasan akhbar yang terdapat dalam internet.

“Kenapa Malaysia perlu mengikuti Singapura dalam mengawal mana-mana laman web apabila kebebasan akhbar di Singapura lebih teruk?” tanya Ahli Parlimen Bagan itu lagi dalam satu kenyataan.

Menurut Reporters Without Borders, katanya Malaysia jatuh 23 tempat pada 2012 dari tempat ke-145 tahun ini dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2013 kerana “akses kepada maklumat menjadi lebih dan lebih terhad”.

Tambah Guan Eng, Reporters Without Borders berkata bahawa 'rekod buruk' Malaysia adalah disebabkan usaha-usaha berulang kerajaan untuk menapis maklumat.

“Walaupun perjuangan habis-habisan oleh aktivis dan media atas talian (online), kempen penindasan oleh kerajaan, digambarkan oleh tindakan keras dalam protes 'Bersih 3.0' pada April lalu, dan usaha penapisan berulang, akan terus menjejaskan kebebasan asas, khususnya hak untuk memperoleh maklumat”.

Beliau berkata, hanya Singapura yang lebih teruk berbanding Malaysia iaitu di tempat ke-149.

Justeru, tanya beliau adakah Malaysia ingin dibandingkan dengan yang lebih baik atau lebih buruk.

“Seperti yang dianggap Ahmad Shabery, portal berita atas talian adalah media arus perdana, beliau mahu mengawalnya seperti BN menguasai media arus perdana itu,” ujarnya.

Ini, kata beliau menunjukkan agenda utama BN selepas portal berita atas talian dituduh menyebabkan BN kalah undi popular buat pertama kalinya dalam sejarah Pilihan raya Umum 2013.

Masalah Umno bukan lagi persepsi tetapi realiti

Abdul Aziz Mustapha, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Masalah utama Barisan Nasional (BN) bukan persepsi tetapi realiti yang kian menjerumuskan negara ke arah mala petaka, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Apa yang dilihat dan dirasai oleh rakyat akibat pemerintahan BN bukan lagi persepsi tetapi realiti.

"Rasuah yang makin parah adalah realiti, penipuan dalam pilihan raya adalah realiti, kematian demi kematian dalam tahanan polis adalah realiti, perbuatan Umno api-apikan perkauman adalah realiti, semuanya bukan persepsi," katanya.

Begitu juga, kata Mahfuz, apabila Malaysia dilaporkan terlibat dengan penyeludupan steroid selepas dilaporkan terlibat dengan penggubahan wang haram, semua itu adalah realiti.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui kelemahan utama kerajaannya adalah dalam mengurus dengan lebih baik persepsi negatif yang disebarkan secara meluas di dalam talian yang dikuasai oleh elemen anti-BN.

Mahfuz menolak pandangan itu dengan menekankan apa yang disebarkan oleh rakyat yang tidak mahu lagi menerima pemerintahan BN bukanlah persepsi tetapi realiti penyelewengan dan salah guna kuasa BN yang sebenarnya berlaku.

"Bila rakyat bangkitkan isu lembu dan kondominium umpamanya, itu bukan persepsi tetapi realiti yang diakui oleh orang-orang Umno sendiri.

"Tanyalah (bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri) Rafidah Aziz umpamanya, isu lembu itu realiti atau persepsi?' Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata.

Persepsi, kata Mahfuz, ialah apa yang disebut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai punca kemenangan Umno.

"Dr Mahathir kata, kemenangan Umno dalam pilihan raya baru-baru ini disebabkan orang Melayu takut Pakatan Rakyat yang turut dianggotai oleh DAP menang.

"Maknanya, Dr Mahathir mengakui kejayaan Umno mendapatkan kemenangan di sebahagian besar kerusi-kerusi majoriti Melayu adalah kerana persepsi orang-orang Melayu," katanya.

Mahfuz menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu sebagai pengakuan secara tidak lansung tentang kejayaan Umno menghasut orang Melayu dengan persepsi yang berasaskan pembohongan serta kejayaan parti itu mengapi-apikan perkauman.

"Amat malang bagi mereka yang mengundi Umno semata-mata kerana dirasuk persepsi berasaskan pembohongan yang dijaja oleh Umno serta hasutan dan perbuatan mengapi-apikan perkauman," katanya.

Beliau mengingatkan, masa hadapan negara tidak boleh dibina dengan persepsi berasakan pembohongan.

Ketika megulas prestasi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.

"Kemenangan Umno kali ini bukan kerana kekuatan Umno ataupun perpaduan dalam Umno, kemenangan Umno kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia," Bernama memetik beliau berkata Isnin lalu.

Takziah buat keluarga Allahyarham S. Shamsudin

Harakahdaily, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham S. Shamsudin yang telah meninggal dunia pagi tadi di Singapura.
Allahyarham S. Shamsudin meninggal dunia pada umur 84 tahun akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata seluruh rakyat Malaysia termasuk DPPWP sedih dengan kehilangan salah seorang tokoh seniman yang pernah popular satu ketika dahulu.

“Masakan tidak, mendengar nama S. Shamsudin sekaligus teringat lakonan Allahyarham bersama Allahyarham P. Ramlee dan Aziz Sattar yang begitu menggelikan hati; Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan banyak lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, lakonan-lakonan filem Allahyarham ini sentiasa menjadi ingatan seluruh rakyat Malaysia segenap usia, bak kata pepatah 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

Bagi DPPWP, ujarnya pemergian Allahyarham sememangnya tiada pengganti.

“DPPWP mendoakan agar Allahyarham S. Shamsudin ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Semoga roh beliau dirahmati Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya lagi.

Perjuangan perkauman membuang masa

Mohamed Hanipa Maidin, 04 Jun 2013
MASA itu emas. Maka membuang masa ibarat membuang emas. Tidakkah ini kerja bodoh? Begitulah perjuangan perkauman yang Umno menjadi juara dalam menyalak isu perkauman. Ia adalah perjuangan sia-sia.

Saya kadangkala keliru dan kadangkala geli hati memikirkan gelagat sesetengah golongan cerdik pandai Melayu yang menyokong Umno. Kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan tentang perjuagan Melayu mengakibatkan saya membuat kesimpulan begini: apabila bercakap tentang Melayu golongan cerdik pandai dengan tiba-tiba jadi tidak ketahuan. Mereka tidak lagi boleh berfikir dengan jelas dan waras.

Di sinilah perlunya kita mempunyai tasawwur yang jelas tentang bangsa. Kepelbagaian bangsa, keturunan, bahasa dan warna kulit adalah “ma’isyatullah” (Kehendak Allah). Ia suatu pelan asal Allah.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk umat manusia yang pelbagai bangsa ini kenal antara satu sama lain. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Jika kepelbagaian kaum dan bangsa ini menyebabkan kita bergaduh dan saling tidak mempercayai satu sama lain sudah jelas ia adalah kesilapan dalam memahami tasawwur  tersebut.  Ia menunjukkan betapa jauhnya Islam dengan kita.

Sayangi bangsa suatu fitrah yang Allah semat dalam diri setiap insan sebagaimana bapa atau ibu sayangkan anaknya. Apabila ia suatu yang fitri sifatnya membuang masa untuk orang Melayu diingatkan perlunya mereka menjaga dan menyayangi bangsa.

Jika bangsa menjadi taruhan sudah tentu yang paling berhak memperjuangkan bangsa Arab adalah Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w adalah seorang Arab. Bahasa Al-Quran adalah bahasa Arab dan dikatakan bahasa syurga adalah bahasa Arab. Mengapa Rasulullah tidak perjuangkan Arab?

Kita lihat dua insan yang berlainan bangsa dalam sejarah Islam dan lihat siapa yang mulia antara mereka berdua. Kita lihat Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil dan kita lihat pula sahabat Rasulullah Bilal bin Rabah r.a.

Abu Lahab dan isterinya satu bangsa dan satu keturunan dengan Rasulullah s.a.w. Dalam istilah moden sekarang kedua-dua pasangan ini adalah pasangan selebriti. Apa yang tiada pada mereka? Mereka ada rupa paras yang cantik, ada kekayaan material, ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, ada pengikut dan ada pengaruh dan status yang tinggi.. Namun kita tahu kedua-dua insan ini dicela oleh Allah dan ada surah khas dalam Al Quran  untuk mereka yang kita baca dan cela mereka sehingga kini.

Kita lihat pula Bilal r.a.  Orangnya berkulit gelap dan bekas seorang hamba abdi. Tiada harta dan tiada kekayaan. Tiada rupa paras jauh sekali status dalam masyarakat Arab.  Namun sehingga kini nama Muazzin di dunia memakai gelaran Bilal seorang berbangsa Habsyi. Lihat betapa mulianya Bilal r.a 

Menyayangi bangsa adalah fitrah. Tapi memperjuangkan bangsa tanpa mengira bangsa itu zalim atau tidak adalah asabiyyah yang Islam tentang habis-habisan.

Kita tahu fahaman asabiyyah dan qaumiyyah Arab jahiliyyah begitu kuat . Ideologi mereka adalah tolong kaum kami sama ada kaum kami zalim atau dizalimi.

Sebab itu dalam sebuah hadith Rasullullah menyatakan “tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi (mazluman)". Para sahabat terasa pelik kenapakah Rasullullah menyuruh ditolong mereka yang zalim. Secara zahirnya perintah Rasullulah itu dilihat seperti ideology Arab jahiliyyah.

Tapi itulah cara Rasulullah s.a.w membetulkan fahaman salah itu. Menolong orang yang zalim, kata Rasullullah s.a.w adalah dengan kita menghentikan kezaliman mereka. Bukan dengan menyokong sizalim. Lihatlah anjakan paradigm yang Rasullullah s.a.w perkenalkan.

Ini yang perlu Melayu faham termasuk cerdik pandai Melayu. Menolong Melayu Umno yang zalim, salah guna kuasa, rasuah bukan dengan terus menerus menyokong mereka. Itu sokong bawa rebah. Tolong Umno yang zalim adalah dengan menghentikan kezaliman Umno – hentikan kuasa mereka memerintah.

Amat malang orang Melayu termasuk cerdik pandai Melayu menyayangi Melayu dengan cara yang salah. Mereka sayang Melayu dengan biarkan pemimpin Melayu Umno yang zalim, rasuah dan salah guna kuasa terus dengan kezaliman mereka. Ini sokong bawa padah di dunia dan akhirah.


* Penulis adalah anggota Parlimen Sepang, AJK PAS Pusat serta seorang peguam.

Najib sedia ditentang, mengapa?

Subky Latif, 04 Jun 2013
BARU empat tahun Datuk Seri Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, lalu dia menyatakan bersedia ditentang dalam pemilihan pimpinan UMNO yang akan datang, tidak kira bila ia diadakan.
Mengapa dia sedia ditandingi? Jawapannya kerana partinya mengamalkan demokrasi dan dia seperti pemimpin lain-lain parti politik tidak sedia bertanding dan ditandingi. Logiknya partinya juga sebuah parti demokrasi sendiri menggalakkan pertandingan.

Demokrasi itu adalah biasa membenarkan pertandingan, sama ada suka atau tidak, dan tidak sporting jika tidak membenarkan sesiapa mencabar presiden.

Adakah Tunku dan penyokongnya tidak demokrasi menghalang percubaan mencalonkan orang lain  di hujung tempoh pimpinannya? Adakah Tun Hussein Onn dan penyokongnya tidak demokratik apabila melihat sinis apabila Haji Sulaiman Palestin mencabarnya.

Dr. Mahathir  tidak dapat menghalang Tengku Razaleigh mencabar presidennya, tetapi hati dia tidak terbuka, hingga hari ini mencela tentangan Ku Li itu.

Bukan soal demokrasi saja Najib menyatakan kesediaannya itu tetapi dia juga ada maklumat kepimpinannya dan tentang apa orang ramai termasuk UMNO kata tentangnya. Sudah ada orang mellihatnya bukan lagi aset kepada UMNO, BN dan negara. Sejak dia mula disebut-sebut untuk menggantikan PM Abdullah Badawi, sudah ada yang merassakan dia adalah liabiliti kepada UJMNO dan negara.

Banyaklah fakta yang belum dijawabnya mewajarkan dia dikira liabiliti tetapi UMNO dan penyokongnya  tidak mempedulikannya. Jangan kata Mahathir tidak berfikiran begitu. Tetapi kerana dia sudah mengutuk pimpinan Abdullah Badawi, maka dia terpaksa mnyimpan dalam perut, biar meletup ia dalam perut, tidak meletup dari mulut.

Mahathir berupaya menyergah Najib atas sebab kebenaran,  tetapi ada risiko jika berterus terang lagi. Orang kira Mahathir buruk kalau dia berkata tentang Najib. Akan ada persepsi, pada Mahathir orang lain semua tidak betul. Orang akan kata, dia saja yang betul.

Sudah banyak yang orang hendak buktikan Najib itu bukan aset bahkan liabiliti. Hanya Tan Sri Abdullah Kok Lanas saja sangka Najib itu elok semua.

Dengan prestasi BN pimpinannya lebih uzur dari pencapaian buruk Tun Abdullah, tidak mustahil ada yang akan mencabarnya. Kita tidak tahu orang lain, tetapi Ku Li dijangka akan menawar diri untuk menjadi Presiden UMNO. Kalau Najib tidak dapat dipertahan lagi, siapa saja boleh menang mencabarnya, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin  akan menyesal jika tidak merebut peluang itu.

Najib tahu dia adalah liabiliti. Jika dia tidak bersedia pun,  dia mungkin dicabar. Sebelum ada orang yang bersedia menyatakan kelemahannya, maka dia  suarakan itu dulu supaya dia dapat maklum balas apakah dia dikehendak lagi atau cukuplah setakat yang ada.

Daripada kalah  dalam pilihan raya umum, adalah lebih baik dia menerima cabaran dalam partinya sendiri. Kiranya digantikan oleh orang lain, maka mungkin UMNO sebagai tulang belakang kerajaan dapat dipertahan lagi.

Tiada hujah demokrasi boleh mengubah 51 peratus undi popular yang menolak BN  dan pimpinannya akan berpatah balik ke belakang. Justeru itu, eloklah dia menggunakan hujah demokrasi bersedia untuk ditentang.

Ada pun pemimpin lain-lain parti politikyang disindirkan tidak sedia ditandingi, rasanya masih menjadi aset kepada parti dan penyokongnya. Mungkin Tok Guru Haji Hadi ada kelemahan, tetapi beliau belum menjadi liabiliti pada PAS. Walaupun Anwar Ibrahim dikata macam-macam, tetapi dia aset pada Pakatan. Kit Siang pula adalah aset yang belum turun nilai bagi DAP.

Semuanya masih menjadi aset kepada parti masing-masing. Nilai aset yang  merudum hanya Najib. Ia bukan pesepsi lagi.

Politik dan amanah

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 04 Jun 2013
Golongan yang banyak terlibat dalam melaksanakan hukum adalah golongan politik yang memerintah negara. Mereka bertanggungjawab mengurus ummah dalam segala bidang. Allah menyebutnya bersama dengan adil dan amanah. Hal ini menunjukkan politik Islam yang sebenar adalah memerintah dengan adil mengikut hukum Allah. Melantik pemimpin yang menunaikan kewajipan ini dikira amanah paling besar dalam Islam dan menasihati pemimpin yang zalim adalah jihad paling afdal.

Menurut Abu Hurairah (mafhumnya), “Suatu ketika, Nabi Muhammad sedang berbicara dengan para sahabatnya, tiba-tiba datang seorang Badwi bertanya, ‘Bilakah berlakunya kiamat?’ Lantas Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila dihilangkan amanah.’ Dia bertaanya lagi, ‘Bagaimanakah dihilangkan amanah itu.’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila diserahkan urusan kepada orang bukan yang ahlinya (yang tidak layak).’”

Jelasnya, urusan pemerintahan hendaklah diserahkan kepada individu yang layak daripada segi iman, ilmu dan akhlak yang baik bukannya kerana dipengaruhi oleh hubungan keluarga, timbunan harta apatah lagi ugutan, bukan juga dilantik dengan cara kotor seperti cara paksaan, menipu dan rasuah.

Abu Hatim melaporkan, Nabi Muhammad bersabda (mafhumnya), “Jihad yang paling baik ialah bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim.”

Hadis ini adalah hadis sahih, hadis yang menyebut bahawa ‘jihad paling baik bermaksud jihad melawan hawa nafsu’ menurut sebahagian sarjana, hadis itu termasuk dalam kategori hadis yang lemah (dhaif) dan ada pula yang menegaskan ia adalah hadis palsu. Sebenarnya ia bukan hadis, tetapi merupakan kata-kata seseorang yang bermana Ibrahim bin ‘Ablah.

Begitupun tidak dinafikan jihad melawan hawa nafsu adalah jihad yang besar, namun begitu kewajiban yang lebih besar dalam agama islah sifat amanah yang ditetapkan Allah dalam kitab-Nya. Mereka yang zalim dan tunduk atau bersikap diam terhadap kezaliman adalah orang yang kalah melawan hawa nafsunya.

lslam mendahului demokrasi Barat, memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin yang layak dan haram patuh kepada pemimpin yang zalim. Allah menyatakan dalam kitab-Nya, yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Surah Hud : ayat 113)

Pembaharuan daripada demokrasi purba yang diwarisi oleh Barat daripada tamadun Athens sebelum Masihi melahirkan demokrasi moden dalam dunia Barat. Pembaharuan ini berlaku akibat pengaruh daripada tamadun Islam hasil hubungan Barat dan Islam melalui hubungan dagang, diplomatik dan penjajahan.

Pergaulan Barat dengan dunia Islam menyebabkan berlakunya perubahan minda, bukan sahaja dalam bidang sains tetapi juga bidang politik dan lain-lain. Hukum-hukum Islam mempengaruhi politik Barat apabila kitab-kitab karangan para sarjana menjadi kajian orang Barat. Bahkan tulisan tulisan para sarjana Islam masih di simpan di negara-negara barat sehingga ke hari ini dan terus menjadi bahan kajian.

Dalam Islam, nasihat adalah unsur penting dan menjadi kewajipan setiap orang. Nabi Muhammad pernah bersabda (mafhumnya), “Agama itu nasihat.”

Para sahabat bertanya, “Untuk siapa?”

Baginda menjawab, “Untuk Allah, untuk Rasul-Nya, untuk para pemimpin dan untuk seluruh umat Islam.”

Nasihat adalah ajaran Allah dan contoh daripada Nabi Muhammad SAW sendiri, ia menjadi kewajiban kepada semua peringkat umat Islam. Nasihat itu perlulah sentiasa terpelihara, tidak hanyut, teguh dan anjal kerana berpaksikan ajaran Islam yang bebas daripada kelemahan manusia dan berpaksikan akal yang mendapat petunjuk Allah.

Khalifah Abu Bakar memberikan ucapan pertama sesudah dilantik menjadi khalifah selepas wafatnya wafatnya Nabi Muhammad SAW;

“Saya dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya berlaku baik tolonglah saya, sekiranya saya berlaku buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. Orang yang kuat dalam kalangan kamu adalah lemah di sisiku, sehingga aku ambil daripadanya tindakan (sekiranya berlaku zalim) dan orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku kembalikan haknya (yang dizalimi). Sesungguhnya sesuatu kaum yang meninggalkan jihad, Allah timpakan bencana menyeluruh ke atas mereka. Taatlah kepada saya selagi saya taat kepada Allah dan Rasul, sekiranya saya menderhakai Allah dan rasul, maka jangan lagi mentaati saya.”


Demokrasi Barat jelas mempunyai kelemahannya, apabila pengkaji Barat hanya mengambil sebahagian daripada hukum Islam dengan memisahkan politik daripada agama dan akhlak Islam. Mereka mengambil hukum politik dengan meninggalkan aspek rohani daripada agama Islam yang sempurna, dengan kata lain mereka mengambil hukum dengan meninggal aspek iman dan akhlak yang berkait dengan perhitungan dosa dan pahala, serta balasan pada hari akhirat.

Islam adalah agama menyeluruh secara sempurna tanpa mengira kaum, tempat dan keadaan. Dalam perkara rukun dan fitrah Islam menyatakan melalui ayat-ayat dengan jelas. Manakala dalam perkara kehidupan dan kemasyarakatan yang boleh berubah dan berbeza Islam menyatakannya dengan ayat-ayat umum. Manusia mendapat keizinan bagi menggunakan akal dan kebijaksanaan.

Dalam soal kebijaksanaan, Nabi Muhammad bersabda (mafhumnya), “Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, di mana sahaja dia bertemu hendaklah dia memungutnya.”

Dasar ini menjadi pegangan para Khulafa Rasyidin dan sahabat yang dilantik menjadi khalifah selepasnya. Seterusnya menjadi amalan wajib kepada pemimpin kerajaan Islam di sepanjang zaman. Maka sesiapa yang tidak berpegang dan beramal dengannya dikira berdosa dan menyeleweng daripada agama Islam kerana tidak mengikut jejak langkah Nabi Muhammad dan mengambil teladan daripada generasi awal kerajaan Islam.

Banyak perkara-perkara baik yang diamalkan sebelum Islam sama ada daripada masyarakat lain, Nabi Muhammad dan para Khulafa Rasyidin. Antara contohnya, perutusan surat kepada raja-raja dengan menggunakan cop mohor bagi menyatakan pengesahan daripada sesebuah kerajaan.

Permuafakatan dengan semua pihak sering dilakukan termasuk daripada kalangan bukan Islam bagi membela orang yang dizalimi dan menentang kezaliman. Khalifah Umar al-Khattab menggunakan sistem imbuhan atau gaji yang diamalkan oleh kerajaan Parsi, memakai mata wang Islam dan lain-lain ditiru daripada masyarakat bukan Islam. Sikap terbuka yang adil dan istiqamah ini menjadikan Islam agama yang diterima oleh seluruh manusia dengan rela hati.

Kepimpinan negara Islam tidak dikongkong oleh bangsa Arab selama-lamanya. Apabila bangsa Arab mengalami kelemahan, ketua negara bertukar kepada bangsa yang lebih kuat berpegang kepada Islam, ilmu dan akhlak. Allah menegaskan dalam al Quran yang bermaksud:

“Jika kamu berpaling (daripada ajaran Islam) nescaya Dia (Allah) menukar kaum yang lain daripada kamu, kemudian mereka tidak seperti kamu.” (Surah Muhammad : ayat 38)


Amanah menerajui kerajaan Islam selepas kelemahan Bangsa Arab diambil alih oleh bangsa Kurdi, Turki dan lain-lain apabila bangsa itu menganut Islam dan lahir dalam kalangan mereka tokoh-tokoh yang berwibawa. Kerajaan Islam dapat dijatuhkan apabila pemimpinnya zalim dan tidak beramal dengan Islam.

Khalifah Umar dalam salah satu ucapannya berkata, “Kita adalah kaum yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan dengan cara yang lain daripada pemberian Allah kepada kita, nescaya Allah jadikan kita hina.”

Dalam sejarah Islam, pemimpin negara terdiri daripada pelbagai bangsa yang menganut Islam. Bahkan keturunan hamba abdi yang berjaya dihapuskan dalam masyarakat Islam pernah muncul sebagai pemimpin dan sarjana terbilang dalam negara.

Islam tidak boleh menerima kelemahan dalam demokrasi Barat yang berdasarkan sekularisme, memisahkan politik daripada agama seperti hilangnya aspek rohani, iman dan akhlak mengikut perhitungan dosa dan pahala dalam amalan politik. Kelemahan yang lahir daripadanya sangat nyata apabila berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam pemerintahan demokrasi Barat. Lahirnya rasuah politik melalui wang dan jawatan, penipuan dan lain-lain.

Kadang-kadang demokrasi Barat memberi kuasa kepada pemimpin atau kumpulan tertentu sehingga boleh melakukan perkara di luar kemampuan manusia, dan adanya kumpulan yang tidak boleh dikritik oleh ahli parlimen. Dalam amalan politik Islam, hanya Allah sahaja yang tidak boleh dipersoalkan. Para Rasul yang dilantik oleh Allah pula hanya mempunyai keistimewaannya dalam perkara-perkara tertentu. Manakala para sahabat pula mendapat keizinan memberi pendapat dalam urusan duniawi yang bergantung pada pengalaman hidup yang sentiasa mengalami perubahan.

http://www.tarbawi.my

Tiada ulasan: