Rabu, 12 Jun 2013

PETISYEN OH PETISYEN

Kalaulah kenyataan Ustaz Azhar boleh petisyen...

Salmah Mat Husain, 12 Jun 2013

(Nik Amar ketika bercakap kepada wartawan hari ini)

KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, berpendapat hanya masaalah teknikal sahaja yang perlu dibawa ke mahkamah untuk dikemukakan sebagai bukti petisyen PRU13.

Menurutnya, pandangan seseorang terhadap parti lain yang berbeza tidak boleh dibawa sebagai kes untuk diadakan petisyen.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat mingguan exco di Kota Darulnaim di sini tengahari tadi ketika diminta mengulas berhubung laporan sebuah akhbar harian Ustaz Azhar Idrus punca petisyen dibuat BN.

Menurut laporan akhbar terbabit, kempen  memaparkan kata-kata pendakwah bebas UAI antara alasan yang dikemukakan BN dalam lima petisyen yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Semalam Pakatan Rakyat turut memfailkan lima petisyen yang membabitkan Dun dan Parlimen.

BN juga turut memfailkan lima petisyen yang membabitkan Parlimen Bachok, Dun Jelawat, Gaal, Mengkebang dan Manik Urai.

Kata Amar lagi jika ingin dibandingkan pemimpin BN lagi serius dalam mengeluarkan kenyataan ketika berkempen dan tentunya lagi banyak petisyen boleh dibuat.

“Kenyataan berunsur perkauman, menghasut, mencetus perkauman dan sebagainya lagi banyak dalam kempen BN,”ujarnya.

PAS Perak fail tiga lagi petisyen hari ini

Muhammad Faeez Azahar, 12 Jun 2013
IPOH: PAS Perak hari ini memfailkan tiga lagi petisyen pilihanraya di Mahkamah Tinggi, Ipoh.
Petisyen difailkan membabitkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selama, Rungkup dan Manong melalui tetuan Chan & Assosited.

Ketiga-tiga petisyen tersebut masing-masing difailkan sendiri oleh calon bagi ketiga-tiga Dun itu iaitu Ustaz Misbahul Munir Masduki (Rungkup), Ustaz Akmal Kamaruddin (Selama) dan Jamil Dzulkarnain (Manong).

Turut hadir di mahkamah ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi Hassan, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak serta penyokong yang datang memberi sokongan.

Ustaz Abu Bakar ketika ditemui Harakahdaily berkata, PAS melahirkan harapan untuk memenangi sekurang-kurangnya dua Dun daripada enam petisyen yang dibuat.

Beliau berkata, petisyen tersebut dibuat selepas mendapat pelbagai asas dan bukti yang kukuh akan ketidakadilan serta penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya yang lalu.

Namun begitu, pihaknya enggan memberikan alasan serta asas petisyen tersebut secara terperinci.

“Kami serahkan kepada barisan peguam untuk menguruskan petisyen ini dan tugas yang lain terutama ahli PAS ialah meminta pertolongan daripada Allah dengan mengadakan solat hajat, munajat, doa dan sebagainya agar ada sinar harapan untuk PAS dan Pakatan Rakyat menang dalam petisyen yang dibuat ini,” jelas Adun Titi Serong itu.

Pada PRU13 lalu, Calon PAS Ustaz Misbahul Munir tewas dengan majoriti 613 undi terhadap calon BN Shahrul Zaman Yahya di Dun Rungkup.

Di Dun Manong pula, calon PAS Jamil Dzulkarnain tewas tipis kepada calon  BN Mohamad Kamil Shafie dengan majoriti 231 manakala di Dun Selama, PAS yang diwakili Ustaz Akmal Kamaruddin tewas kepada calon BN Mohamad Daud dengan majoriti 619 undi.

Semalam, PAS Perak telah memfailkan tiga petisyen pilihanraya di Dun Manjoi, Pasir Panjang dan Lubok Merbau.

Pemuda sokong ahli parlimen PAS angkat sumpah

Harakahdaily, 12 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong keputusan PAS untuk hadir dalam majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat pada sesi kali ini dengan tidak mengambil langkah memboikot majlis tersebut.
DPPM menganggap kehadiran ahli-ahli Parlimen dalam majlis angkat sumpah adalah bagi menghomati kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara, Parlimen Malaysia serta rakyat yang telah mengundi ahli-ahli parlimen tersebut.

Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, meskipun Pilihan raya Umum ke-13 dilangsungkan dalam keadaan penuh kepincangan, namun bagi ahli-ahli Parlimen yang menang perlu meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Katanya, ketidakhadiran ahli-ahli Parlimen dikhuatiri akan mewujudkan suatu persepsi buruk dari kalangan rakyat bahawa ahli Parlimen mereka tidak menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

“Soal penipuan yang berlaku semasa PRU13 akan ditangani melalui saluran undang-undang dan petisyen pilihanraya sudah pun difailkan di kebanyakan tempat.

“Di sinilah kita akan lihat perkembangannya dan segala penyelewengan akan dibongkarkan satu demi satu,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

DPPM juga, katanya bersetuju Pakatan Rakyat mengadakan siri perhimpunan bagi menyedarkan rakyat bahawa mereka telah dibohongi melalui sistem pilihanraya yang dijalankan.

Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar menjangkakan semua ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir pada majlis angkat sumpah pada 24 Jun ini, dan seterusnya mengikuti titah ucapan DiRaja pada 25 Jun ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, tidak timbul soal memboikot sidang Dewan Rakyat sesi ini kerana ia akan berjalan seperti biasa.

Jelasnya, cuma taklimat semalam yang Pakatan memutuskan untuk tidak menghadirinya.

Justeru, kata Khairul Faizi DPPM menggesa agar Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengambil peranan yang berkesan bagi memastikan persidangan kali ini benar-benar memberi pengaruh yang besar.

Katanya, kombinasi muka baru serta pemimpin lama pastinya akan menghangatkan dewan dengan idea baru serta perbahasan menarik dalam meluluskan suatu dasar atau usul.

“Apa yang diharapkan, MP PR akan lebih menguasai ‘gelanggang’ Dewan Rakyat dengan perbahasan bermutu meskipun MP BN lebih ramai di Parlimen,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, ahli-ahli Parlimen PR dianggap sebagai penyelamat bagi membela nasib rakyat dalam sesuatu dasar yang dibahaskan atau usul yang dikemukakan, kerana MP PR lebih memahami aspirasi dan denyut nadi rakyat di bawah.

Petisyen berkait kesalahan pilihan raya, daftar diragui

Salmiyah Harun, 12 Jun 2013
KUALA LUMPUR: PAS Perak yakin mereka akan memperoleh kemenangan ke atas enam petisyen PRU13 yang difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh kerana mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Misbahul Munir Masduki (gambar) selain bukti-bukti kukuh yang ada, kewibawaan barisan peguam yang berpengalaman dalam kes seperti ini akan akan memberi peluang untuk PAS menang.

Ketika dihubungi beliau berkata, seramai 22 peguam akan bergabung tenaga untuk mengendalikan petisyen khususnya di Perak.

"22 mereka ini dari ketiga-tiga parti PAS, DAP dan PKR dan kita yakin dengan kewibawaan mereka kerana mempunyai pengalaman dalam memfailkan petisyen," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan memberi butiran lanjut berhubung kandungan petisyen yang difailkan itu dan secara kasar ianya melibatkan dua perkara iaitu pelanggaran akta kesalahan pilihan raya dan mempertikaikan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diragui.

Katanya, pelanggaran akta termasuklah kesalahan rasuah seperti memberi wang kepada pengundi, namun perkara itu akan diketahui detil dalam mahkamah nanti.

PAS Perak memfailkan tiga lagi petisyen hari ini di Mahkamah Tinggi Ipoh yang melibatkan keputusan PRU13 bagi Dun Selama, Rungkup dan Menong melalui Tetuan Amin Partner dan Chan & Assosited.

Semalam PAS Perak telah mengemukakan sebanyak tiga Petisyen melibatkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kawasan Pasir Panjang, Manjoi dan Lubok Merbau.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al Amin mengajak seluruh ahli PAS negeri itu menggerakan majlis solat hajat dan mendoakan kejayaan petisyen yang telah difailkan.

Katanya, usaha ini diharapkan akan dapat memberi ruang dan harapan kepada rakyat untuk merubah kedudukan keputusan PRU13 yang lalu.

"Petisyen ini juga memberikan peluang pada kita untuk mendedah dan membuktikan pelbagai bentuk penipuan dan rasuah yang dilakukan oleh BN yang membolehkan mereka menang tipis tanpa sokongan majoriti rakyat Perak," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru dengan usaha ini , katanya, bukan sahaja mendapat perhatian di dalam negara bahkan akan mendapat perhatian seluruh dunia oleh kerana Negeri Perak pernah mencatatkan sejarah hitam pada tahun 2009 yang lalu.

"Petisyen yang akan dibicarakan akan berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Ianya juga adalah ruang 'menyanggah' keangkuhan BN di Perak yang enggan menerima hakikat bahawa pola sokongan rakyat Perak terhadap mereka adalah sangat rendah," katanya.

Saya yang pertama puji jika IPCMC dilaksanakan - Pua

Harakahdaily, 12 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Heliliah Mohd Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang tidak senang dengan kritikan Ahli Parlimen Putrajaya Tony Pua (gambar) hari ini dihidangkan lagi dengan peluru konstruktif daripada beliau.

Heliliah sebelum ini menuduh bahawa pembangkang tidak akan mengiktiraf apa-apa yang dilakukan kerajaan walaupunnya baik ekoran kritikan Pua bahawa EAIC ditakdirkan gagal sejak penubuhannya.

“Biar saya buat deklarasi bahawa saya akan menjadi orang pertama untuk memuji kerajaan jika Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan dan menangkap mereka yang melakukan kesalahan.

"Itu sudah tentu bukan kali pertama saya melakukannya. Namun begitu, saya ingin bertanya kepada pengerusi EAIC apakah beliau berpendapat bahawa suruhanjaya tersebut telah hampir mencapai apa yang dijanjikan,” tanya Pua.

Sebagai satu agensi yang menerima RM7 juta setahun untuk tiga tahun tapi hanya mempunyai satu pegawai penyiasat daripada 23 stafnya untuk memantau 19 agensi kerajaan yang lain adalah bukti bahawa EAIC ditubuhkan untuk gagal, tambah Pua.

Pua juga berkata EAIC sejak ditubuhkan hanya pernah membuat satu cadangan tindakan disiplin dan dua amaran kepada pegawai kerajaan.

Oleh itu, beliau berkata kritikan beliau terhadap EAIC mempunyai asas.

Sementara itu, Pua turut menjawab tuduhan Low yang beliau telah tersilap faham kata-katanya yang menyamakan EAIC dengan IPCMC.

“Samada nama itu kekal sebagai EAIC pada akhirnya… EAICC, PEAIC atau sebagainya… apakah itu penting sangat? Jelasnya, seorang remaja pun boleh membuat kesimpulan bahawa niat saya adalah bukan untuk menyamakan EAIC dalam acuannya sekarang kepada IPCMC yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja pada 2005,” kata Low sebelum ini.

Pua berkata Low sendiri yang menyamakan EAIC dengan IPCMC pada satu sidang akhbar yang diadakan pada 30 Mei.

“Paul Low mempunyai pilihan yang mudah. Memasukkan segala cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja untuk IPCMC ke dalam EAIC, dan Pakatan Rakyat akan akur bahawa EAIC boleh kekal namanya. Mengikut Menteri Ketelusan, itu hanyalah satu nama,” sindir Pua.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan dianggotai oleh tokoh-tokoh berwibawa termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar serta seorang lagi bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

Polis bagaimanapun menolak cadangan tersebut dengan menuduh IPCMC menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, bertentangan dengan undang-undang, bercanggah dengan perlembagaan, mencabul keadilan semulajadi, boleh mengakibatkan anarki, bersifat diskriminasi, menafikan keadilan dan mengkompromikan perintah Ketua Polis Negara.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi ketika itu hanya mendiamkan diri.

IPCMC bergema semula ekoran kejadian kematian dalam tahanan polis yang semakin menjadi-jadi.

Petisyen: PKR ada bukti kukuh kes Bagan Datoh

Muhammad Faizal, 12 Jun 2013
PETALING JAYA: PKR menyifakkan petisyen melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai bukti yang kukuh.

Ketua Pasukan #SiasatPRU13, Rafizi Ramli memberitahu segala bukti dan pengakuan pembelian undi jelas diakui oleh beliau (Ahmad Zahid) sendiri yang mana rakaman video pengakuan tersebut dimuat naik melalui blognya sendiri.

PKR yang sebelum itu telah memfaikan 19 petisyen dan satu petisyen yang difailkan oleh seorang individu membabitkan satu kawasan parlimen yang sama iaitu Bagan Datok menjadikan 20 petisyen telah difailkan.

"Kita mendedahkan kandungan petisyen melibatkan Parlimen Bagan Datok untuk pertama kali apabila kita melihat terdapat bukti yang kukuh wujud pelanggaran undang-undang yang berlaku pada pilihanraya yang lepas.

"Segala bukti dan pengakuan itu diakui sendiri oleh Ahmad Zahid dan ia dirakam serta dimuat naik di dalam blognya sendiri, perkara ini tidak boleh dinafikan oleh beliau," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Dua petisyen melibatkan Parlimen Bagan Datok telah difailkan oleh Mahdi Hassan calon PKR di parlimen tersebut dan juga Azmi Sulaiman yang merupakan pengundi.

Mahdi dalam petisyennya menyatakan responden (Zahid) telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(a) (Bahagian III) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Di mana seseorang adalah disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok jika beliau sebelum sesuatu pilihan raya secara tidak langsung, melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberi apa-apa wang dan balasan bernilai kepada mana-mana pemilih bagi mendorong mana-mana pemilih supaya mengundi dalam pilihan raya.

Jelas Mahdi, Ahmad Zahid pada 19 April lepas sebelum pilihanraya di Dewan Sanmarka di Hutan Melintang secara tidak langsung melalui individu bernama Supramaniam Ramalingam bagi pihak responden telah memberi wang tunai bernilai RM100 dan lima kampit beras seberat 1 kilogram setiap kampit.

"Kita mendapat bukti bahawa dalam satu majlis di sebuah dewan yang dianggarkan kehadiran 1000 orang, Ahmad Zahid melalui wakilnya telah memberikan wang tunai RM100 dan juga lima kampit beras seberat 1 kilogram kepada mereka yang hadir.

"Ini jelas ia bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya yang bertujuan memberikan sesuatu untuk mendapat sokongan atau undi," jelasnya.


Belanja RM2.4 juta


Sementara itu petisyen yang difailkan Azmi telah menyatakan Ahmad Zahid telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19(1)(a) (Bahagian IV) Akta tersebut dengan membayar wang dan belanja lebih dari had maksimum yang dibenarkan iaitu RM200,000 bagi setiap pilihanraya.

Dalam petisyen tersebut beliau menyatakan Ahmad Zahid telah berbelanja sekurang-kurangnya RM2.4 juta dan ia telah melebihi had yang ditetapkan di dalam akta tersebut.

Ahmad Zahid dalam satu klip video yang bertajuk "Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera BN" yang disiarkan dalam blognya telah melantik dan mengambil bertugas petugas-petugas jenteranya seramai 24,000 orang dengan bayaran wang tunai dan memberi beras.

Dalam keadaan sedemikian, Ahmad Zahid mengakui bahawa beliau telah membayar wang tunai dan belanja sekurang-kurangnya RM2.4 juta dalam hal pilihanraya tersebut berkenaan dengan perjalanan pilihan raya.

Rafizi (gambar atas) yang menjelaskan tidak pernah ada dalam sejarah pilihanraya seseorang calon itu mempunyai jentera seramai 24,000 orang setiap kali berlakunya pilihanraya.

Beliau yang menyifatkan mungkin Ahmad Zahid merasakan beliau cuba mengubah pengundi kepada jentera tetapi tindakan tersebut sebenarnya menjerat beliau apabila beliau hanya mendapat 17,176 undi dari 39,924 pengundi.

Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan turut menayangkan klip video yang menyiarkan pengakuan Ahmad Zahid terhadap kesalahan yang beliau lakukan.

Kedua-dua petisyen tersebut telah difailkan semalam di Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Peguam Chong Kok Yew yang mewakili Azmi dan Edmund Bon Tai Soon pula mewakili Mahdi.

Kertas undi bertukar tempat jadi sebab petisyen di Johor

Hazayani Zakaria, 12 Jun 2013
JOHOR BAHRU: PAS Johor meminta satu pengisytiharan dari mahkamah bahawa pilihan raya di satu parlimen dan tiga  Dun pada 5 Mei lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Permohonan itu dibuat dalam empat petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Baharu kelmarin melalui Tetuan Haida Mohd Fikah & Partners.

Petisyen membabitkan kerusi Parlimen Pulai dan tiga untuk kerusi Dun iaitu Gambir, Mahkota dan Nusajaya.

Menurut peguam, Mohd Fikah Sanusi (gambar), penemuan beberapa kertas undi dari kawasan Dun Nusa Jaya dalam peti undi kawasan Dun Mahkota antara isu yang dikemukakan PAS dalam empat petisyen tersebut.

"Peti undi yang disediakan SPR tercemar iaitu kertas undi di Nusajaya yang dalam parlimen Gelang Patah ditemui di Dun Mahkota yang dalam parlimen Kluang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Selain itu katanya, terdapat penjamuan yang dilakukan ketika tempoh berkempen yang disifatkan sebagai sogokan kepada pengundi.

"Kita juga meminta satu pengisytiharan bahawa kemenangan calon BN di empat kerusi telah tidak dipilih dengan sewajarnya atau sepatutnya tidak dilapor pilih," katanya lagi.

Pada PRU13 lalu, kerusi parlimen Pulai dimenangi BN menerusi calonnya Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau menang dengan majoriti majoriti 3,226 undi menewaskan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Bagi Dun Nusajaya, Salahudin tewas kepada calon BN Dr Zaini Abu Bakar dengan majoriti 2,201 undi.

Di Dun Gambir, calon PAS Dr Mahfodz tewas kepada calon BN, M Asojan dengan majoriti 310 undi, manakala di Mahkota calon PAS Khairul Faizi tewas kepada calon BN Md Jais Sarday dengan majoriti 1,108 undi.

Sebelum ini, Khairul Faizi telah membuat laporan polis bagaimana kertas undi dari Dun yang ditandingi Salahudin di temui dalam kotak undi yang beliau tandingi.

Speaker: Umno tunduk kepada MIC?

Muhammad Faeez Azahar, 12 Jun 2013
IPOH: PAS Perak merakamkan ucapan tahniah kepada MIC Negeri Perak kerana telah memastikan kedudukan kerusi speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak masih kekal diberikan kepada mereka.

Timbalan Ketua Pemudanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar) berkata, walaupun 'drama' kerusi speaker DUN Perak yang berbaur perkauman itu telah menimbulkan konfik dan percakaran sesama sendiri antara mereka, namun akhirnya ianya mengutungkan MIC walaupun parti itu lemah di Perak.

“Umno tidak mampu menafikan kemahuan 'besar' MIC yang tidak memenangi apa-apa kerusi di Perak dalam PRU13 lalu.

“Kami secara jujur boleh meletakkan kelemahan tersebut kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir walaupun dengan kedudukan Umno di dalam BN yang menjadi tonggak, akan tetapi Umno dilihat 'tunduk' kepada MIC,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mempersoalkan di mana perginya Pemuda Umno Perak serta Perkasa yang membisu seribu bahasa tentang konfik ini yang sebelum ini lantang bercakap soal melayu.

Kata Raja Iskandar, Pemuda PAS ingin mengetahui siapakah yang berkuasa melantik speaker Dun Perak dan siapakah yang paling layak untuk memegang kerusi tersebut jika bukan daripada MIC.

“Kami 'bangga' dengan Kerajaan Negeri 'Melayu' Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Zambry, namun kami mempersoalkan adakah juga speaker DUN Perak kelak bukan MIC.

“Hanya Datuk Seri Zambry yang mampu menjawab persoalan tersebut dan pada 28 Jun nanti akan terserlah 'drama' yang menjadi bahan ketawa rakyat Negeri Perak.

“Sudah tentu juga seluruh dunia sedang menanti sidang Dun pertama di Perak untuk mengetahui apa yang akan berlaku dan siapakah speaker DUN Perak nanti,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan: