Sabtu, 8 Jun 2013

LETAK ATAU TAK...MAHKAMAH ALLAH AKAN MENENTUKAN HUKUMANNYA....JIKA TAK SALAH...MAKA SELAMATLAH...JIKA SEBALIKNYA TERIMALAH HUKUMAN DARI ALLAH SWT

Tak perlu berdalih, bos SPR letak sahaja jawatan

Anis Nazri, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seluruh kepimpinan badan itu didesak untuk meletakkan jawatan secara terhormat, bukannya sibuk menuding jari ke mana-mana pihak berhubung beberapa pertikaian yang dibangkitkan sejak pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

Sekiranya gagal berbuat demikian, PAS tidak teragak-agak untuk menggunakan pelbagai saluran yang sah, termasuk menghadap ke bawah Yang DiPertuan Agong bagi memohon campur tangan bagi memastikan satu suruhanjaya yang benar-benar berintegriti bagi menggantikan SPR yang ada.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, berkata sudah sampai masanya satu tindakan tegas terhadap SPR dilakukan memandangkan begitu banyak perkara berbangkit ketika dan selepas PRU13 lalu gagal diselesaikan secara profesional oleh SPR.

"Ini bukan masanya untuk SPR berdolak-dalik, tuding jari sini sana bagi menyalahkan segala kesilapan yang berlaku. Sebaliknya, SPR perlu bertanggungjawab bagi memastikan semua perkara membabitkan pilihan raya dilaksanakan sebaik mungkin," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, biarpun desakan untuk SPR meletakkan jawatan sudah seringkali diajukan, usaha untuk memastikan badan itu digantikan dengan badan lain yang lebih berintegriti perlu dilakukan.

Justeru, katanya PAS akan menggunakan semua saluran yang ada untuk memastikan SPR dapat dikembalikan kewibawaannya dengan peletakn jawatan secara terhormat oleh semua anggotanya.

Dalam waktu terdekat, tambah Salahudin, PAS akan mengerahkan ahlinya untuk sama-sama menyertai himpunan Black505 yang dijadual berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 15 Jun akan datang.

"Selepas perhimpunan tersebut, saya yakin Pakatan Rakyat akan membawa isu ini ke parlimen.  Kemudiannya ia akan disusuli ke saluran-saluran lain dalam usaha memastikan SPR lebih bertanggungjawab dan tidak dijadikan alat kepentingan sesetengah pihak," tegas beliau lagi.

Pandangan tersebut turut disokong Koordinator Jawatankuasa Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang mendesak agar Pengerusi SPR dan badan itu sendiri digantikan dengan satu badan yang lebih bebs dan berintegriti.

"Kita lihat begitu banyak alasan diberikan, sejak pembubaran parlimen sehinggalah selesai PRU13. Alasan yang diberikan pula adalah mengarut.  Ia tidak sepatutnya berlaku.  Apabila kamu gagal menjalankan tanggungjawab yang diberikan, adalah lebih baik meletakkan jawatan. Bukan menyalahkan pihak lain atas kesalahan yang kamu lakukan," kata beliau.

Sebelum ini, pelbagai isu dibangkitkan berhubung perjalanan PRU13, khususnya berkait dengan penggunaan dakwat yang dikatakan kekal oleh SPR.

Penggunaan dakwat itu yang digunakan untuk pertama kali di negara ini, dikatakan boleh bertahan sehingga tujuh hari, bagaimanapun telah dibuktikan banyak pihak ia boleh hilang dalam tempoh beberap jam selepas membuang undi.

SPR sebelum ini memberi alasan, perkara tersebut berlaku kerana terdapat anggota SPR yang tidak menggoncang botol dakwat tersebut dengan betul hingga menyebabkan dakwat itu tidak dapat bertahan lama.

Bagaimanapun, terdapat laporan daripada pakar kimia yang mengatakan dakwat tersebut tidak perlu digoncang.

Hari ini, terdapat pula kenyataan bercanggah antara Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dengan Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam.

Abdul Aziz mendakwa beliau telah berunding dengan Kementerian Kesihatan mengenai keselamatan dakwat kekal yang digunakan dalam PRU13 pada 5 Mei lalu.

Ianya berkaitan peratusan bahan aktif dalam dakwat itu – argentum nitrat – yang didakwa perlu dicairkan kepada satu peratus untuk mengurangkan risiko barah.

Bagaimanapun, Dr S Subramaniam pula berkata tiada laporan seumpama telah dikeluarkan oleh kementeriannya dan pihak SPR tidak pernah meminta kementeriannya berbuat demikian.

Sebelum ini Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mendakwa kandungan argentum nitrat dalam dakwat kekal itu terpaksa dikurangkan.

Ahmad mendakwa pengurangan tersebut menyebabkan ia hanya mampu bertahan selama sepuluh jam sahaja kerana kandungannya yang tinggi akan meningkatkan risiko barah.

GMI mohon sumbangan, santuni keluarga mangsa ISA

Anis Nazri, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Biarpun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, ramai tahanan yang kini masih meringkuk di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

Malah, ada di kalangan mereka ditahan lebih dari tiga tahun dan tidak pernah bertemu dengan isteri dan anak-anak selepas penahanan mereka ekoran kesukaran yang dihadapi keluarga tahanan.

Menginsafi keadaan itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak pernah jemu-jemu menemui dan menyantuni keluarga tahanan dalam usaha memastikan kebajikan dan keperluan mereka dijaga sebaik mungkin.

Pada November 2012, GMI membuat lawatan bersama barisan peguam ke Tawau, Sabah untuk memberikan pendedahan kepada keluarga tahanan dari aspek guaman, hinggalah soal kebajikan mereka.

Hasil lawatan itut, GMI menemui Amira, isteri kepada tahanan ISA, Adzmi Pindatun yang tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke Kamunting untuk melawat suaminya sejak ditahan pada 2011.  Lebih menyedihkan, ketika ditahan Amira sedang mengandung tujuh bulan dan sehingga hari ini anak kecil itu masih belum pernah menerima belaian daripada ayahnya.

Itu hanya satu kisah daripada lima keluarga tahanan ISA lain di sekitar Tawau.  Kebanyakan mereka tidak berpeluang menemui suami dan bapa mereka di Kamunting, Perak kerana kekangan kewangan yang melanda mereka.

Justeru, bagi merealisasikan impian mereka untuk menemui suami dan bapa tersayang yang merengkok di Kemta, GMI sedang berusaha untuk membawa mereka ke Kuala Lumpur, dan seterusnya ke Kamunting pada 13-17 Jun ini.

Bendahari GMI, Nashita Md Noor, berkata kos keseluruhan yang diperlukan GMI untuk membawa lima orang isteri dan tujuh orang anak tahanan dianggarkan sebanyak RM9,000.

"Kos tersebut meliputi tambang perjalanan dari Sabah ke Kuala Lumpur, seterusnya ke Kamunting. Selain itu juga bagi bantuan untuk disampaikab kepada tahanan di sana," kata beliau kepada Harakahdaily.


Sehubungan dengan itu, GMI merayu orang ramai yang prihatin dengan kesengsaraan keluarga tahanan untuk menyalurkan bantuan bagi melancarkan lagi usaha yang dilakukan mereka.

Bagi anda yang ingin memberikan sumbangan kepada GMI, bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bendahari GMI, Nashita Md Noor, bernombor 162209939776 (Maybank) disertakan mesej di 0132096373 dan 29 Rejab 1434 H | 8 Jun 2013ummuasiah2001@hotmail.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it .

Akta Derhaka bukan penyelesaian - Juham

Hazayani Zakaria, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Akta Derhaka bukan penyelesaian kepada usaha membendung kes menghina institusi diraja, kata Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi.

Beliau berkata, akta itu tidak perlu kerana Malaysia sudah mempunyai banyak akta dan undang-undang yang boleh digunakan kepada pesalah-pesalah tertentu berkait perkara itu.

"Tak perlu Akta Derhaka ini sebab negara kita sudah terlalu banyak akta yang boleh digunakan ke atas orang yang melakukan kesalahan.

"Cadangan mewujudkan akta ini terlalu drastik dalam keadaan kepimpinan perdana menteri ingin melakukan transformasi termasuk dalam soal kebebasan bersuara," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah supaya Akta Derhaka diwujudkan bagi membendung penularan gejala menghina institusi diraja yang dikatakan semakin serius.

Menurut Zamri lagi, tidak munasabah untuk mewujudkan akta baru hanya kerana kewujudan kes terpencil yang dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong.

"Mesti ada sebab kenapa dia mengeluarkan kenyataan begitu. Kena cari apa puncanya sebelum nak selesaikan dengan mewujudkan akta baru," katanya merujuk kepada kenyataan seorang wanita di laman sosial facebook yang dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Namun tegasnya, meskipun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, PAS tetap menjunjung dan menghormati institusi diraja dan menolak sebarang tindakan mempertikaikan kewibawaan institusi tersebut.

"PAS memang tidak bersetuju dengan tindakan yang menderhaka kepada raja tetapi bukan dengan cara menyekat rakyat bersuara melalui akta.

"Kerajaan harus juga meneliti punca kenapa rakyat berani bersuara meluahkan kemarahan. Saya yakin ia ada kaitan dengan sistem pilihan raya, bukan bermaksud menghina raja," katanya.

Status HSA diketahui sebelum sidang parlimen

Harakahdaily, 08 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Perkembangan projek Hospital Shah Alam yang menelan kos lebih setengah bilion ringgit yang tergendala selama setahun bakal diketahui sebelum sidang Dewan Rakyat yang bermula 24 Jun ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dijangka melawat tapak projek itu di Seksyen 7 seteleh mendapat persetujuan daripada Jabatan Kerja Raya, lapor Selangorku.

Beliau berkata, pihaknya telahpun menghantar surat dan faks pada Februari lalu mengikut alamat dan nombor yang diberikan kontraktor utama, Gadang Engineering (M) Sdn Bhd.

Katanya, beliau telah menerima pengesahan bahawa surat berkenaan telah sampai kepada pihak berkenaan.

“Apapun, saya menyambut baik tawaran pihak JKR pusat dan berharap agar lawatan ini dapat diatur sebelum sidang parlimen diadakan kira-kira dua minggu lagi.

“Saya yakin tempoh masa itu sudah cukup buat pihak JKR mengatur lawatan sepertimana ditawarkan,” jelasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor apabila dihubungi.

Semalam, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengeluarkan kenyataan tidak menerima sebarang permohonan berhubung lawatan tapak yang ingin dilakukan Khalid, namun memaklumkan bersedia untuk mengatur lawatan tersebut.

Rabu lepas, Khalid mendakwa masih menunggu jawapan daripada JKR Pusat berhubung permohonannya Februari lalu untuk melawat tapak projek.

Ujarnya, lawatan itu perlu dilakukan beliau untuk mengetahui perkembangan projek yang beberapa tahun tergendala itu.

Pada Disember tahun lalu, Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor didakwa berkata kerja-kerja struktur hospital itu 98 peratus siap namun masih perlu menunggu kerja mekanikal dan kerja elektrik.

Shaziman berkata, kerja-kerja berkenaan dijangka siap pada Oktober 2013 dan hospital tersebut akan menyediakan 300 katil untuk kegunaan warga kawasan Shah Alam dan Subang.

Pembinaan Hospital Shah Alam pada awalnya membabitkan kos sebanyak RM482.6 juta dan dijangka siap April tahun lepas.

Bagaimanapun, ekoran pertukaran kontraktor, hospital itu hanya dijangka siap pada Oktober tahun ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM550.7 juta.

Jumlah tersebut termasuk pampasan RM139.9 juta kepada kontraktor lama.

Isu Pasar Payang bakal hangatkan Dun T'ganu

Harakahdaily, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Isu pembinaan Pasar Payang baru yang menjadi polemik sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, dijangka antara isu utama yang akan dibangkitkan oleh wakil Pakatan Rakyat sidang Dun Terengganu minggu depan.

Bukan itu sahaja, isu yang menyaksikan bantahan berterusan dari peniaga dan rakyat Terengganu itu juga turut akan dibawa ke peringkat Dewan Rakyat bagi menuntut campurtangan kerajaan persekutuan membatalkan projek tersebut.

Pengerusi Jawatakuasa Bertindak Pasar Payang Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, pihaknya kini sedang giat mengumpul tandatangan rakyat yang membantah projek atas tapak asal warisan sejarah negeri itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, isu tersebut juga akan dibawa kepada pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan supaya tindakan sewajarnya diambil.

Sementara itu, Adun Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dijangka akan mengemukakan usul khas berkaitan perkara itu pada sidang Dun Terengganu yang dijadual bermula 16 Jun ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said membuka balik ruang rundingan berhubung cadangan pembangunan semula Pasar Payang tersebut.

Beliau berkata, daripada laporan dan aduan yang diterima pihaknya, ramai pihak dari dalam dan luar negara yang tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan semula Pasar Payang.

“Peniaga di Pasar Payang kini semakin bimbang dan mereka berjumpa dengan kami dan menolak cadangan itu. Sebab itu saya mengharapkan MB membuka balik ruang rundingan.

“Kalau nak bina juga hotel dan apartmen, buatlah di tempat lain dan bukan di tapak Pasar Payang. Kita tidak akan bantah kalau dibuat di tempat lain dan kami akan menyokong jika pembangunan itu diubah ke kawasan lain yang lebih sesuai,” katanya.

Tiada ulasan: