Rabu, 12 Jun 2013

JANGAN TAKUT DIDEDAH MACAM2 SEKATAN DIBUAT...RAKYAT TERUS MENERUS MENILAI...RAKYAT SEKARANG BUKAN ERA 60AN LAGI...MEREKA TELAH BIJAK...MUNGKIN LEBIH BIJAK DARI PEMIMPIN2

Lif rosak: Dakwa pelaku vandalisme di mahkamah

Harakahdaily, 12 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan kempen untuk membanteras vandalisme berhubung kerosakan lif di pangsapuri pada penggal yang lepas, masanya telah tiba untuk mengambil tindakan-tindakan yang tegas.

“Pemerhatian menunjukkan kerosakan lif-lif itu berpunca dari perbuatan vandalisme,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar).

Beliau dalam satu kenyataan menyatakan pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju membaikpulih lif-lif di 3 buah pemajuan iaitu Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya dengan kos RM557,300, Pangsapuri Taman Permai Indah, Klang (RM600,000) dan Pangsapuri Taman Ampang Mewah, Ampang (RM480,000).

Katanya, bagi Pangsapuri Taman Permai Indah, kerja-kerja membaikpulih 8 lif telah dimulakan pada 22 Mac 2010.

Beliau menjelaskan, setelah kerja-kerja membaikpulih berakhir, Sijil Perakuan Siap Kerja telah dikeluarkan kepada 8 lif itu secara berperingkat-peringkat pada 27 Julai, 7 Julai, 10 Ogos dan 22 November 2010.

Menurutnya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pula telah mengeluarkan Sijil Perakuan Kelayakan Mesin Angkat (PMA) untuk mengesahkan bahawa lif tersebut selamat untuk digunakan pada 29 Disember 2010.

Walau bagaimanapun, kata beliau Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah melakukan semakan inventori secara menyeluruh untuk bangunan bertingkat di seluruh Negeri Selangor pada bulan November 2011.

Katanya lagi, hasil semakan pada 29 November 2011 mendapati 6 unit lif di Pangsapuri Taman Permai Indah telah rosak dan 2 unit lagi dalam keadaan yang tidak memuaskan yang mana kerosakannya berpunca dari perbuatan vandalisme.

“Di sini ingin ditegaskan bahawa kerajaan negeri telah menyerahkan lif-lif tersebut kepada penduduk melalui JMB dalam keadaan yang baik.

“Perkara ini telah disahkan oleh JKKP. Adalah menjadi tanggungjawab JMB dan penduduk untuk memastikan lif-lif tersebut berada diselenggara dengan baik selepas itu,” jelasnya yang juga Adun Chempaka.

Beliau berkata, selepas pengalaman di Pangsapuri Taman Permai Indah, kerajaan negeri tidak lagi menanggung 100 peratus sebarang kos baikpulih tetapi telah diwujudkan Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (Ceria) di mana kerajaan negeri menanggung 80 peratus dari kos dan penduduk menanggung 20 peratus kos yang boleh dibayar secara ansuran.

Katanya, kerajaan negeri berpandangan sekiranya penduduk menanggung sebahagian dari kos baikpulih maka mereka akan menjaga kemudahan-kemudahan yang dibaikpulih dengan baik.

Selain dari itu, ujarnya lagi kerajaan negeri juga telah mewujudkan Skim Rondaan Kejiranan (Seroja) bagi membanteras perbuatan vandalisme di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

“Di dalam skim yang serupa seperti Rukun Tetangga, penduduk akan membuat rondaan di kawasan pangsapuri mereka dan kerajaan negeri akan menanggung kos-kos rawatan perubatan sekiranya berlaku kemalangan atau sebarang musibah,” ujarnya.

Jelasnya, bagi kerosakan lif-lif di Pangsapuri Taman Permai Indah, kerajaan negeri akan menawarkan lif-lif tersebut dibaikpulih di bawah Ceria.

“Walau bagaimanapun, masalah vandalisme perlu diselesaikan terlebih dahulu. Tidak ada gunanya membaikpulih lif-lif tersebut tetapi akan dirosakkan selepas itu. Di dalam hal ini, JMB perlu memainkan peranan besar,” katanya.

Beliau menambah, Pegawai Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbadanan Klang (MPK) akan diarah membantu JMB.

“Kerajaan negeri juga akan memulakan kajian dari sudut perundangan bagi membantu JMB atau MC mendakwa pelaku-pelaku vandalisme di mahkamah,” ujarnya.

PAS kekalkan tuntutan pemimpin SPR berundur

Bashir Ishak, 12 Jun 2013

(Mohamad Sabu berucap di himpunan Black 505 Kangar)

KANGAR: Sekiranya tatacara pengurusan pihan raya di negara ini tidak diperbetulkan, parti yang mendapat undi minoriti akan terus memerintah dan parti yang memperolehi majoriti akan terus tertindas kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Berucap dalam himpunan Black 505 peringkat negeri Perlis malam semalam, bersama-sama dengan sokongan padu suara rakyat beliau sekali lagi mempertegaskan bahawa kedua-dua penjawat tertinggi di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu meletakkan jawatan.

"Melihat kepada segala bentuk penipuan yang berlaku dalam pilihan raya umum yang lalu, SPR bukan lagi bebas dan sudah menjadi kuda tugggangan, kita mahu Pengerusi SPR dan Timbalannya meletakkan jawatan," ujarnya di hadapan kira-kira 7000 orang yang hadir membanjiri dataran kompleks perniagaan di Kampung Bakau dekat sini.

Menurutnya lagi, rakyat sudah sedar dengan segala penipuan yang dibuat dan mereka bangkit tanpa perlu diseru atau dihasut.

"Lihat saja himpunan di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu, siapa yang hasut rakyat? 5 Mei hari mengundi, 6 Mei semua orang letih, 7 Mei barulah kita mula bercakap dan melalui SMS dan sebagainya, pada 8 Mei 200 ribu orang hadir. Ertinya rakyat dengan sendirinya sedar belaku penipuan dalam pilihan raya.

"Jika penipuan berlaku dengan berleluasa tak payah siapa seru atau hasut, rakyat sendiri akan turun ke jalanraya.. Jadi,sebelum sampai ke peringkat itu kena perbetulkan tatacara pengurusan pilihan raya sebab sekarang ini ni kami di pihak majoriti, Najib hanyalah kerajaan minoriri.

"Kalau keadaan ini tidak dipebetulkan, inilah yang akan terus berlaku dalam PRU14. Dikatator akan terus berkuasa, minoriti berkuasa dan majoriti akan tertindas. Malaysia akan terus menjadi negara paling pelik di dunia. Biarlah penipuan PRU13 ini menjadi yang terakhir,"katanya lagi.

Dakwat kekal: Rakyat ditipu hidup-hidup

Bashir Ishak, 12 Jun 2013
KANGAR: Rakyat terus bangun untuk melawan penipuan di dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13)  yang lalu terutamanya selepas bertahun-tahun menuntut sistem pilihan raya yang bersih kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, dengan adanya Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang membuat lapan tuntutan termasuk dakwat kekal tetapi penipuan terus berlaku.

Berucap pada program Himpuan Black 505 peringkat negeri Perlis malam semalam, beliau berkata pada PRU13 yang lalu, semua rakyat yang turun mengundi telah ditipu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Yang kita marah betul kali ini bukan apa, sejak beberapa tahun ini terutamanya sejak sejak tahun 2008 dengan adanya Bersih, seluruh kempen kita adalah tertumpu kepada sistem pilihan raya yang bersih. Setelah kempen-kempen yang kita buat, mereka masih tipu.

"Saudara tahu betapa susahnya kita nak dapat dakwat kekal? Dengan lapan tuntutan Bersih, berapa kali kita berhimpun dengan ratusan ribu yang turun ke Kuala Lumpur, kemudian jawatankuasa parlimen berbahas selama beberapa bulan, bertengkar dalam parlimen dan akhirnya Najib kata setuju dan SPR pun kata setuju dengan dakwat kekal. Tapi kekal atau tidak?

"Dia tipu siapa? Dia tipu rakyat. Bolehkan kita begitu bodoh untuk ditipu, di mana maruah kita? Kalau tak selesai pilihan raya ini, penipuan ini tak diperbetulkan dan SPR tidak letak jawatan, percayalah bahawa tidak akan ada pilihan raya yang bersih selepas ini.

"Kita akan ajar pemimpin rasuah dan penipu ini, we must teach them a lesson, enough is enough. Sebab itulah kita adakan himpunan seperti ini dan himpunan pada 22 Jun ini sebagai perhimpunan di peringkat nasional untuk menyatakan kepada Malaysia dan seluruh dunia kita menolak penipuan dalam pilihan raya.

"Kita minta diadakan pilihan raya semula tapi dengan syarat pemimpin  SPR yang ada kena letak jawatan dulu," katanya kepada sekitar 7000 orang hadirin yang membanjiri dataran kompleks perniagaan di Kampung Bakau dekat sini.

Media sosial tidak disalahguna kalau media tradisi adil

Harakah, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Akta Derhaka yang dicadangkan sesetengah pihak kononnya untuk menjaga institusi diraja dilihat sebagai akta yang tidak matang dan menggambarkan fikiran sempit mereka.

Sedangkan akta yang lebih penting ialah untuk menjaga keharmonian nasional, tegas AJK PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusuff.

Akta Derhaka yang dicadangkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah juga tidak diperlukan dalam sebuah negara demokratik kerana ia hanyalah bertujuan menghalang kebebasan bersuara di negara ini.

Peguam Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Fadiah Nadwa Fikri menegaskan sebelum akta ini dilaksanakan, semua pihak perlu diberi diberi kefahaman bahawa di Malaysia, perlembagaan lebih tinggi berbanding institusi raja yang meletakkan raja-raja hanya berada di atas undang-undang.

Tindakan mahu menyekat Facebook juga dikira langkah yang amat merugikan negara dan rakyat kerana ia merupakan langkah undur ke belakang, setelah negara kita lebih 55 tahun merdeka.

Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, tindakan kerajaan untuk menyekat Facebook turut bercanggah dengan dasar-dasar kerajaan Umno-BN sendiri yang ingin menjadikan rakyat negara ini sebagai rakyat yang berilmu dan maju ke hadapan.

Bagi Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar atas) pula, penyalahgunaan Facebook boleh dikawal jika media tradisi yang ada diberikan kebebasan dan keadilan oleh kerajaan.

Menurut beliau, sekiranya rakyat diberikan hak itu dan hak itu pula diberikan semakin banyak, rakyat tidak akan mereka-reka perkara yang bukanbukan dalam media sosial termasuk Facebook.


Ikuti pandangan penuh mereka mengenai cadangan sekatan baru ini dalam Harakah edisi Jumaat ini.

Manusia korup setaraf daging mentah pasar tani

Harakahdaily, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Negara mesti cepat belajar untuk amalkan ‘ekonomi taqwa’ yang menghindarkan negara dari riba, rasuah dan monopoli, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.
Begitu jua, katanya dengan ‘ekonomi qanaah’ yang tidak didorong oleh kerakusan dan ketamakan yang kelak akan mengembalikan musibah kepada kita semua.


Sebagai contoh, kata Ahli Parlimen Temerloh itu, semua rakyat mengetahui bahawa rasuah adalah musuh pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Bahkan rasuah bakal mengheret negara menjadi mundur dan ketinggalan jauh di belakang,” tulis beliau di Facebook.


Pertama, jelasnya kesan pada material yang dibangunkan seperti runtuh, bocor, tidak berkualiti serta tidak menepati standard dan sebagainya lantas ia membawa musibah serta kerugian yang tidak sedikit kepada negara dan rakyat.


Kedua, ujarnya lagi kesan kepada sumber manusia yang akan membangunkan ekonomi itu sendiri.

Beliau menambah, ia melahirkan manusia yang korup, murahan dan boleh dibeli serta dinilai serendah mata wang kertas.

“Maruah dan harga diri manusia korup boleh ditimbang kilo setaraf daging mentah di pasar tani,” ujarnya.

Radzi Zainon 'giant killer' berikan sinar

Muhammad Faeez Azahar, Harakah, 11 Jun 2013

(Radzi [kiri sekali] sangat disenangi masyarakat Tionghua)

IPOH: Biarpun sebelum ini tidak pernah dikenali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Radzi Zainon tiba-tiba menjadi buah mulut masyarakat di Perak.

Kejayaan beliau menumpaskan calon ‘kontroversi’ BN iaitu Datuk Hamidah Osman di Dun Sungai Rapat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu menjadi puncanya.

Kejayaan menumbangkan Hamidah yang juga ‘wanita besi’ bagi BN di Perak memberi kekuatan kepada Radzi yang kini dianggap sebagai ‘giant killer’ di sana.

Malah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin beranggapan, kekalahan Hamidah di Dun Sungai Rapat memberi sedikit sinar kegembiraan tatkala Pakatan Rakyat gagal mengembalikan kemenangan di Perak.

Ikuti laporan penuh mengenai beliau dalam Harakah Jumaat ini)

Syabas RTM siar langsung ucapan MB Kelantan

Harakahdaily, 11 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Pulau Pinang mengucapkan syabas kepada RTM atas liputan langsung ucapan Menteri Besar Kelantan ketika perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Dewan Balai Besar, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang di Kota Bharu, malam tadi.

Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, DPPN Pulau Pinang berpandangan bahawa langkah profesional RTM sebegini sepatutnya telah dimulakan lebih awal dan diperluaskan kepada semua ketua kerajaan negeri Pakatan Rakyat khususnya Pulau Pinang dan Selangor.

Ini, ujarnya termasuk seluruh ahli parlimen dan Adun Pakatan Rakyat yang telah dipilih secara sah oleh rakyat dalam PRU13 yang lalu.

Katanya, RTM perlu sedar bahawa antara sebab majoriti rakyat menolak BN dalam PRU13 adalah disebabkan akses media yang begitu berat sebelah dan menafikan hak ketua-ketua kerajaan negeri serta pemimpin PR untuk turut muncul di media arus perdana, sedangkan wang cukai yang dibayar rakyat juga turut digunakan kerajaan untuk membiayai perjalanan RTM.

Tambahnya, DPPN Pulau Pinang percaya bahawa rakyat yang bermaklumat adalah aset terbesar sebuah negara yang membangun dan bertamadun bertaraf dunia bahkan dapat memupuk kestabilan politik dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Bukankah ini hasrat kerajaan minoriti BN yang dilaung-laungkan?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan: