Sabtu, 8 Jun 2013

JANGAN SEMATA2 BERTEGAS HANYA MENEGAK KEBENARAN SENDIRI SAJA...TAPI PATUT IANYA KENA BERFAKTA SERTA BUKTI YANG KUKUH...DIUJI STANDARD ANTARA BANGSA...BARU BETUL KITA DIPIHAK BENAR

SPR dituntut jelaskan 62,286 undi yang hilang

Harakahdaily, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Seorang pengundi menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menjelaskan kehilangan 62, 286 undi atau ia tidak dikembalikan dalam data yang dipamirkan.

Tuntutan itu dibuat oleh Mohd Azlan Bin Mohd Sharif, seorang pengundi di P146 Muar melalui suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam, 7 Jun.

"Saya membuat analisis terperinci dan menemui terdapat 62,286 undi hilang atau tidak dikembalikan. Hal ini menyebabkan saya serius untuk bertanya kepada pihak SPR selepas mendapatkan warta PRU13 nanti," kata Azlan dalam suratnya.

Menurut Azlan, beliau dapat membeli warta PRU13 di Kedai buku Pencetakan Nasional Malaysia Berhad, Jalan Satu, Chan Sow Lin pada 27 Mei 2013 (walaupun diwartakan pada 22 Mei 2013) dan Corrigendum PRU13 pula beliau beli pada 5 Jun 2013 (diwartakan 31 Mei 2013).

"Saya sangat terkejut dalam analisa saya pada 27 hingga 30 Mei 2013 mendapati 53,045 undi hilang(berdasarkan warta PRU13 pada 22 Mei 2013), salah kira undi, maklumat yang berubah, perbezaan kertas undi yang dikeluarkan di Parlimen dan DUN dan kerusi parlimen dan dun berbeza maklumat sebelum dan selepas diwartakan.

"Saya mengetahui warta corrigendum pada 31 Mei 2013 apabila mencari maklumat di website pejabat peguam negara iaitu http://www.federalgazette.agc.gov.my/," katanya.

"Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan pihak Yang Berbahagia Tan Sri berkenaan KEBANYAKAN MAKLUMAT DALAM WARTA KEPUTUSAN PRU13 (22 MEI 2013) DAN CORRIGENDUM KEPUTUSAN PRU13 (31 MEI 2013) BERBEZA DENGAN PENGUMUMAN OLEH PEGAWAI PENGURUS (mengikut BORANG 16-Borang Keputusan Pertandingan) pada 5 Mei 2013," kata Azlan dalam suratnya.

Salinan surat Azlan itu diperolehi Harakahdaily hari ini.

Surat itu turut diberikan salinan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Delegasi Monggolia minta jawapan kematian Altantunya

Harakah, 08 Jun 2013

(Perwakilan Monggolia sedang berucap dalam sidang media mereka)

KUALA LUMPUR: Sidang kemuncak Global Wanita di Kuala Lumpur telah dijadikan platform oleh deligasi Monggolia untuk menuntut kerajaan Malaysia agar kematian rakyat mereka, Altantuya Shariibuu diberikan perbicaraan yang adil.

Delegasi Mongolia di Sidang Kemuncak menggesa kerajaan Malaysia memberi jawapan atas kematian misteri wanita warganegara itu di Malaysia.

Bercakap kepada media di luar persidangan itu, Presiden Persekutuan Wanita Mongolia (MWF), J Erdenechimeg berkata, perbicaraan baru harus bermula untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kematian Altantuya.

“Kami membuat permintaan khusus kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia untuk bertindak atas ini dan supaya perbicaraan segera diadakan,” tegasnya.


Baca laporan penuh dalam Harakah edisi Ahad ini.

Jambatan runtuh: 'Ayah janji nak beli aiskrim'
SITI NADIAH AHMAD ZAMLUS
8 Jun 2013
'Ayah janji nak beli aiskrim'
Sharifah (kiri) ditenangkan rakan terdekat. Gambar kecil: Tajudin.
GEORGETOWN - 'Ayah janji nak belikan aiskrim', demikian menurut anak mangsa runtuhan penyambung susur jalan keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Nur Aina Shazwani Tajuddin, 11 ditemui ketika berada di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Ayah saya telefon dan kata hendak belikan aiskrim kalau dia balik, tapi dia tak balik-balik," katanya.

Selain Nur Aina Shazwani, mangsa, Tajuddin Zainal Abidin turut meninggalkan anak bongsunya, Nur Ain Maisara, 7 serta isteri Sharifah Ramli.

Sementara itu salah seorang ahli keluarga terdekat mangsa yang dikenali dengan nama Boy mula berasa tidak sedap hati setelah nombor pendaftaran kenderaan mangsa didedahkan pihak polis.

Boy yang bekerja sebagai kontraktor penyelenggaraan di Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) turut terlibat dengan kerja pembersihan runtuhan.

Menurutnya, beliau mula berasa tidak sedap hati setelah hampir 24 jam kerja pembersihan dilakukan.

"Lebih meragukan apabila polis mula mendedahkan kereta yang terlibat adalah Kelisa dengan nombor pendaftaran PKR 347, sementara angka 0 tiada.

"Saya mula rasa lain macam kerana memang nombor kereta Abang Ti (gelaran mangsa dalam keluarga) sudah lama tidak ada angka 0," katanya.
PKR Kedah lapor polis kenyataan Dr M
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
8 Jun 2013
PKR Kedah lapor polis
Hsiao Leung (depan, tiga dari kiri) bersama penyokong PR membuat demonstrasi di pekarangan IPD Kota Setar, semalam.
ALOR SETAR – PKR Kedah membuat satu laporan polis berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blognya yang didakwa menyifatkan pengundi Cina pada PRU13 sebagai rasis.

Ketua Biro Undang-undang PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, kenyataan Mahathir adalah satu serangan yang tidak adil dan tidak rasional untuk menuduh orang Cina yang tidak menyokong BN sebagai cubaan meminggirkan orang Melayu dalam politik dan ekonomi negara.

Beliau berkata, dakwaan tersebut adalah amat serius yang boleh membangkitkan perasaan benci antara kaum Cina dan Melayu.

“Ini adalah satu kenyataan yang boleh mengancam ketenteraman dan keharmonian negara yang selama ini dikongsi oleh semua kaum di Malaysia,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Hsiao Leung yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, laporan polis itu dibuat berikutan mahu pihak polis dan peguam negara menyiasat kenyataan dan niat sebenar Mahathir.

“Beliau sepatutnya mengambil peluang ini untuk mengkaji semula sebab dan mengapa hampir 52 peratus rakyat Malaysia menolak mereka pada PRU13 dan bukannya mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan serta merosakkan hubungan antara kaum,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mencabar Mahathir menghadiri himpunan Blackout 505 yang akan diadakan nanti untuk melihat sendiri sama ada himpunan tersebut dihadiri orang Cina atau pelbagai kaum.

“Saya jemput dia hadir sendiri menilai dakwaan itu. Saya yakin penganjur himpunan akan mengalu-alukan kehadiran beliau,” katanya.

Sebelum ini, Mahathir menerusi blognya berkata, sebahagian besar daripada peserta siri himpunan yang diadakan di seluruh negara selepas PRU13 adalah terdiri daripada kaum Cina.

Kenyataan menerusi blog chedet.cc itu turut menyatakan bahawa perhimpunan secara umumnya itu merupakan isu melibatkan orang Cina dan meramalkan perkembangan itu akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih serius, manakala orang Melayu akan terus disisih dari ekonomi dan politik.
Dakwat kekal: SPR bertegas telah minta penilaian kementerian

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan bahawa beliau telah berunding dengan Kementerian Kesihatan mengenai keselamatan dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

Ini bercanggah dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam Khamis lalu bahawa tiada laporan seumpama telah dikeluarkan oleh kementeriannya.

NONE"Ya, kita ada (menghantar dakwat kepada kementerian untuk
penilaian keselamatan) dan kita mendapat jawapan," katanya dalam satu komunikasi SMS dengan Malaysiakini semalam.

Ditanya sama ada surat itu akan didedahkan kepada umum, beliau berkata pihaknya akan memaklumkan kepada menteri berkenaan.

Abdul Aziz sebelum ini telah memberitahu akhbar Straits Times Singpura pada 12 Mei dalam satu wawancara bahawa Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya jangan meletakkan leibh daripada satu peratus siver nitrate dalam dakwat tersebut.
Mayat berkain pelikat ditemui
Wartawan Sinar Harian
8 Jun 2013
Mayat berkain pelikat ditemui
Unit forensik menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa.
KLANG - Mayat seorang lelaki warga asing yang hanya berkain pelikat ditemui di tapak pembuangan sisa binaan di Jalan Sungai Puloh, Batu 5 1/2, Taman Klang Utama, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Jani Ahmad berkata, orang awam yang menggunakan jalan tersebut untuk ke tempat kerja terkejut melihat mayat mangsa terbaring di tepi jalan sekitar jam 8.05 pagi semalam.

“Mangsa yang berusia sekitar 30-an itu disyaki berasal dari Myammar.

“Identiti sebenar mangsa masih belum diketahui memandangkan pihak polis tidak menemui dokumen pengenalan diri milik mangsa di lokasi,” katanya.

Jani berkata, pemeriksaan lanjut unit forensik terhadap mayat mangsa menemui kesan luka dan lebam di bahagian dahi belah kanan.

Menurutnya, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan hasil keseluruhan hanya akan diperoleh selepas proses bedah siasat dilakukan lewat petang nanti.

“Pemeriksaan di sekitar tempat kejadian tidak menemui sebarang peralatan atau senjata tajam.

“Polis juga tidak mengesan adanya bukti bahawa mangsa diserang sebaliknya mangsa dipercayai terjatuh di lokasi sama sebelum rebah dan maut di lokasi terbabit,” katanya.
Bunga pelik, cetus tanda tanya
NORADILA MAHAMAD
8 Jun 2013
Bunga pelik, cetus tanda tanya
Abdullah menunjukkan bunga pelik berwarna merah hati yang tumbuh di kebun belakang rumahnya di Kampung Manir.
KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas terkejut apabila mendapati sekuntum bunga setinggi lebih kurang 76.2 sentimeter tumbuh di atas tanah di dalam kebun belakang rumahnya empat hari lalu.

Abdullah Mohd, 66, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manir berkata, susulan penemuan bunga pelik berwarna merah hati itu, penduduk kampung sering datang ke rumahnya untuk melihat sendiri rupa bentuk bunga yang diceritakan orang ramai.

Dia yang sebelum ini tidak pernah melihat bunga sebesar itu berasa hairan, kerana tidak perasan bila bunga itu mula tumbuh, dan hanya menyedarinya setelah ia kembang.

“Saya pelik macam mana bunga ini boleh tumbuh di atas tanah seakan kulat (cendawan), tetapi terdapat debunga serta kelompok, sama seperti bunga-bunga lain.

“Saya tak tahu bunga jenis apa yang tumbuh ini, lagipun bunga ini tumbuh di tapak saya membakar sampah,” katanya.

Abdullah berkata, kali terakhir dia membakar sampah di situ adalah sebulan lalu, dan sejak itu dia membiarkan tanah bakar begitu sahaja, sehingga tiba musim hujan sejak kebelakangan ini.

“Sejak hujan, tanah bakar ini membentuk lubang, dan mungkin lubang itu adalah kesan daripada tanaman pokok ubi sarek (ubi ular) yang telah mati.

“Tetapi yang menghairankan saya, pokok ubi sarek tidak pernah mengeluarkan bunga, malah pokok itu sudah dibakar bersama sampah sebulan yang lalu.

“Berkemungkinan besar, bunga itu tumbuh dari dalam lubang yang terbentuk selepas tanah bakar ini dibiarkan,” katanya.

Menurutnya, sejak bunga itu tumbuh, tiada kejadian ganjil berlaku kepadanya sekeluarga dan Abdullah percaya itulah kekuasaan ALLAH SWT yang mampu mencipta apa sahaja.

Menurutnya, dia akan menyimpan bunga itu sehingga ia kering dan akan cabut untuk merungkai misteri tumbuhan berkenaan.
Kelantan cadang lahirkan lebih ramai ulama
Wartawan Sinar Harian
8 Jun 2013
Lahirkan lebih ramai ulama
Ahmad (duduk, dua kanan) bersama tetamu yang hadir pada majlis alumni pelajar Kelantan di Mesir, di pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar, kelmarin.
KOTA BHARU - Kerajaan negeri merancang membina banyak institusi ulama termasuk Institut Pemikiran Tok Guru dalam usaha melahirkan ramai ulama dalam pemerintahan.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, Institut Pemikiran Tok Guru sudah diluluskan, Cuma tinggal masa untuk melaksanakannya secara rasmi sahaja.

“Kita lihat keperluan dalam meluluskan institut pemikiran ini kerana ia akan dijadikan tempat rujukan hasil karya selama 23 tahun Tok Guru (Datuk Nik Aziz Nik Mat) memimpin negeri ini sebagai Menteri Besar.

“Biarpun akhir-akhir ini kesihatan beliau (Nik Aziz) tidak baik, namun jiwanya sentiasa muda.

“Dengan kekuatan yang ada padanya, beliau berjaya menghasilkan banyak sumbangan penulisan artikel dan suntingan secara langsung membantu politik dalam bentuk kaset, buku  serta kitab yang menjadi rujukan segar kita,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Derma Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai oleh Alumni Pelajar Kelantan di Mesir, di pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, kelmarin.

Ahmad berkata, penubuhan institut pemikiran berkenaan akan disertai dengan pengarah, pegawai dan kakitangan yang lengkap supaya pengunjung yang datang ke Kota Darul Naim, di sini boleh mendapatkan maklumat bersama Nik Aziz.

“Pengunjung boleh mendapatkan maklumat bersama Tok Guru (Nik Aziz) seminggu sekali dan sebulan sekali mendengar kuliah umum di institut pemikiran itu. Jadi, sekarang kita berdoa semoga supaya beliau sihat dan diberi kekuatan dalam menyampaikan wadah dalam Islam dan Pas,” katanya.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyatakan kesedihan apabila mengenangkan kekurangan ulama kerana ada yang sudah meninggal dunia dan uzur.

“Perkara yang menyedihkan apabila ada sahabat ulama kembali ke Rahmatullah, dalam pada itu ada juga yang uzur seperti Datuk Mohammad Daud Iraqi yang merupakan khazanah ilmu kini tidak dapat mengeluarkan kata-kata, hanya boleh memahami sahaja.

“Ini cabaran besar kepada kita sebagai ulama dan saya sudah berbincang akan mewujudkan lebih banyak institut lain untuk kita manfaatkan peluang di Kelantan,” katanya.

Beliau turut mengakui terasa ‘sunyi’ apabila Nik Aziz meninggalkan tampuk pentadbiran di Kelantan atau memberi laluan kepada beliau menerajuinya.

“Ini kerana kita mungkin tidak mempunyai pelapis yang memainkan peranan seperti beliau (Nik Aziz) dan semestinya kerjasama semua pihak perlu dalam menghadapi cabaran semasa.

“Cabaran ini pula perubahannya cepat berlaku dan kadang-kala memerlukan keputusan yang bijak perlu dibuat dalam satu-satu masa tertentu,” katanya.

Runtuh: Mayat mangsa dibedah siasat malam ini

Harakahdaily, 07 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Mayat pemandu Perodua Kelisa, Tajuddin Zainal Abidin yang terperangkap dalam runtuhan tanjak penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang dijangka dibedah siasat pada jam 11.30 malam ini.

Demikian tulis Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzim menerusi twitter.

Beliau yang berada di Hospital Pulau Pinang (HPP) turut mengucapkan takziah kepada isteri mangsa.

Mayat bekas anggota polis berusia 45 tahun itu berjaya dikeluarkan dari runtuhan itu oleh pasukan penyelamat pada jam 8.45 malam ini dan dibawa ke HPP untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerusi twitter menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berluasa keselamatan yang Berjaya mengeluarkan jenazah Tajuddin.




Saya sokong himpunan aman - Haron Din

Harakah, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, beliau menyokong sebarang perhimpunan aman yang dianjurkan di negara ini selagi tidak mengundang kepada malapetaka.

“Lagi pun kalau ada kekacauan yang berlaku, ia sebenarnya berpunca daripada provokasi pihak tertentu. Saya berharap pihak yang menganjurkan perhimpunan aman perlu menjaga keamanan,” katanya ketika ditemui Harakah di Kota Bharu.

Ikuti laporan penuh dalam Harakah edisi Isnin ini.

Tiada ulasan: