Sabtu, 8 Jun 2013

HANYA BENAR ITU ADALAH DATANGNYA DARI ALLAH...

Istilah 'dakwat kekal' tipu pengundi, kata Dr Haron Din

Harakah, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Dr Haron Din mendakwa, rakyat khususnya pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu telah ditipu berhubung penggunaan dakwat 'kekal'.

Katanya, tidak kira pihak mana yang sebenarnya bertanggungjawab dengan dakwat yang tidak kekal itu, namun hakikatnya seluruh pengundi telah ditipu oleh istilah 'dakwat kekal' itu.

“Polis mempunyai kapa­siti menyiasat siapa yang menipu siapa dalam kes tersebut. Pembekal mem­bekalkan dakwat tidak kekal sedangkan dinamakan sebagai dakwat kekal. Ertinya pembekal menipu SPR. Kalau SPR memesan dakwat tidak kekal tetapi menamakan dakwat kekal, maka SPR menipu kerajaan dan pengundi.

“Kalau kerajaan ber­pakat dengan SPR meme­san dakwat yang tidak kekal tetapi mendakwa se­bagai dakwat kekal, maka SPR bersekongkol dengan kerajaan menipu rakyat,” ujarnya.

Pada hari pengundian 5 Mei lalu, beliau yang merupakan calon PAS bagi kawasan Parlimen Arau, adalah antara individu yang membuat laporan polis berhubung dakwat yang dicalit ditanggannya boleh tanggal sejurus selepas membuang undi.

Mengulas lanjut beliau berkata, banyak lagi kepincangan yang berlaku sepanjang proses pilihan raya lalu seperti didedahkan oleh banyak pihak.

Sehubungan itu katanya, beliau menyokong se­barang perhimpunan aman membantah penipuan pilihan raya yang dianjurkan di negara ini selagi tidak mengun­dang kepada malapetaka.

“Lagi pun, Islam dan perlembagaan negara membenarkan perhimpu­nan secara aman. Seperti juga kita berhimpun pada hari Jumaat. Itu juga dina­makan sebagai demonstra­si tetapi diadakan secara aman. Sama juga perhim­punan besar di Makkah. Perhimpunan aman saya sokong,” jelas beliau.

[Laporan lanjut dalam Harakah edisi Isnin, 10-13 Jun 2013]

Takziah buat keluarga Allahyarham Tajuddin

Harakahdaily, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Perak merakamkan ucapan takziah kepada Puan Shariffah Ramli di atas pemergian suami beliau, Allahyarham Tajuddin Zainal Abidin.
Allahyarham merupakan mangsa yang terlibat di dalam tragedi runtuhan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung.

Jenazah beliau selamat tiba di kediaman mertuanya pada jam 2.08 pagi tadi.

Ketua DPP Perak yang juga Adun Gunong Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan sempat mengimamkan solat jenazah yang turut disertai oleh Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau. Pihak kami juga mendoakan ahli keluarga beliau dapat bersabar dan menerima dengan redha. Al-Fatihah,” tulis beliau di Facebook.

Israk Mikraj: Ujian, teladan kepada pejuang Islam

Ustaz Idris Ahmad, 08 Jun 2013



Israk Mikraj adalah peristiwa yang menjadi ujian keimanan pada masa itu. Orang Islam diuji dengan peristiwa yang menguji keimanan mereka. Mereka yang cekal keimanan seperti Abu Bakar al-Siddiq menerima sahaja pengkhabaran ini tanpa berbelah bagi. Pada beliau apa yang disampaikan oleh baginda akan diterima tanpa banyak soal. Kerana beliau yakin individu yang bernama Muhammad SAW seorang yang jujur dan amanah.

Kita boleh bertanya diri masing-masing, apakah situasi kita jika sempat berada di zaman Nabi SAW? Bersama Abu Jahal kah atau bersama Abu Bakar al-Sidiq.

Peristiwa Israk Mikraj banyak memberi pengajaran kepada kita sebagai anggota di dalam Harakah Islamiah PAS. Kita mesti yakin dengan dasar yang PAS bawa. Sama ada waktu menang atau kalah Kita mesti terus istiqamah dengan Islam. Inilah landasan yang telah kita bina sejak tahun 1951. Pasang surut di dalam perjuangan adalah lumrah. Ia sebagai satu proses untuk menguji ahli dan pemimpin samaada sabar atau tidak. Jangan kita gopoh untuk mendapat kemenangan sehingga kita lupa asas perjuangan. Kadang-kadang kita sudah hilang adab dalam berjamaah. Bermusuh sesama sendiri, kutuk sesama sendiri. Sehingga sudah tidak tahu membezakan antara prinsip dan strategi. Hendak menjaga hati orang luar, lebih daripada hendak menjaga hati sesama sahabat. Manakah sikap kita sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:"Merendah diri dengan orang Mukmin dan menujukkan izzah dengan orang bukan Islam".

Yang paling sedih sehingga ada yang  mencadangkan PAS ini perlu menjadi parti politik, bukan sebagai sebuah gerakan Islam. Dengan andaian PAS tidak akan maju selagi masih menjadi Harakah Islamiah. Pas tidak maju jika masih hendak mengambil kira hukum dalam semua hal. Fahaman ini cukup merbahaya jika kita mengambil sikap demikian. Pas mampu bertahan kerana kita tidak memisahkan dengan gerakan dakwah. Di sinilah ada keberkatan dan semangat untuk orang lain bersama dengan PAS. Umno yang menjadi saingan PAS pada hari ini sudah berada dihujung senja. Ideologi mereka sudah tidak relevan. Ia mampu bertahan kerana ada kuasa sahaja. Jika mereka hilang kuasa, maka Umno akan diletakkan di Muzium sahaja.

Ia berlainan dengan Pas, kerana tegak di atas manhaj yang jelas dan dasar yang jelas.

Isra' Mikraj merupakan medan ujian keimanan. Begitulah juga kita, berjuang bersama dengan PAS kerana keyakinan dengan dasar. Seandainya tujuan duniawi maka kita tidak kesampaian bersama dengan PAS. Barang pasti apabila kita bersama dengan PAS kita sudah berjaya melawan musuh dalam dan luar. Segala tawaran dan habuan dunia ditolak jika bertembung dengan kepentingan agama. Inilah nilai keimanan yang sudah dipahat di dalam dada setiap anggota PAS.

Puak kafir Quraisy menolak pengkhabaran yang disampaikan oleh baginda. Mereka mengukur dari ukuran dunia, bukannya wahyu. Mereka menggunakan akal,  tidak boleh menerima Nabi SAW ke Masjidil Aqsa dan ke Sidratul Muntaha dalam masa yang singkat. Kebiasaan mereka ke Palestin daripada Makkah memakan masa selama 40 hari 40 malam. Semuanya gara-gara kerana menggunakan akal.

Perjuangan Islam juga jika menggunakan akal, sama seperti puak-puak kafir Quraisy yang menolak peristiwa Isra' Mikraj. Perjuangan berteraskan Iman memerlukan kepada kesabaran yang tinggi untuk meyakinkan seruan perjuangan diterima.

Sikap Nabi SAW telah menjadi suri teladan kepada kita. Baginda yakin terhadap apa yang baginda bawa. Ummu Hani' pernah melarang baginda daripada menceritakan kepada orang ramai, kerana yakin orang Quraisy akan menolak cerita tersebut. Baginda menjawab dengan tegas, samaada orang percaya atau tidak ini bukan urusan beliau, kewajipannya hanya menyampaikan risalah ini kepada orang ramai. Inilah qudwah yang wajib diteladani oleh kita sebagai anggota harakah Islamiah. Tidak takut dengan penolakan orang, yang penting risalah mesti disampaikan.

Terharu: Dr. Mursi melaungkan azan ketika sedang berucap [Mesir]

http://kachipemas.blogspot.com, 08 Jun 2013
MASUK WAKTU: Dr.Mursi melaungkan azan ketika sedang berucap (Mesir)
Sedutan video dari ucapan Dr. Muhammad Mursi (Presiden Mesir) yang berlangsung di daerah Iskandariah. Ketika sedang berucap di hadapan rakyat Mesir dan kebetulan masuknya waktu solat fardhu Isyak di kawasan itu, lantas Dr. Mursi menghentikan ucapannya dan terus melaungkan kalimah azan yang suci yang menjadi syiar Islam.

Baca lagi

Media salah tanya atau Exco T’ganu salah cakap

Buletin Online, 08 Jun 2013
SETIU: Tiada kaitan atau kena mengena antara kemalangan yang menimpa pelancong British dengan faktor keselamatan pelampung 'boya' yang menjadi sempadan amaran kawasan Taman Laut di Terengganu.
Dalam insiden pada 27 Mei lalu, Madaline Jayne, 25, dari Herefod terbunuh manakala rakannya Simons James Rogers, 22, dari Australia cedera parah terkena kipas sebuah bot pelancong di perairan Pulau Perhentian berhampiran Jeti Pulau Perhentian Besar.

Justeru, Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Dr. Azman Ibrahim (gambar) meminta pihak yang berkaitan memberikan penjelasan, sama ada pihak media yang menanyakan soalan salah kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafie atau exco itu tersalah cakap.

Dr. Azman berkata kemalangan yang menimpa pelancong itu dilaporkan berlaku di luar kawasan keselamatan Taman Laut Pulau Perhentian.

Oleh itu, beliau berkata, komen Mohd Jidin adalah tidak relevan dan implikasinya boleh memberikan pandangan negatif kepada sektor pelancongan negeri dan negara.

"Saya tak pasti sama ada pihak media yang salah tanya atau Datuk Mad Jidin yang salah cakap. Sebab kejadian yang berlaku di Pulau Perhenian itu sudah dijelaskan berlaku di luar kawasan keselamatan, bermakna di luar kawasan yang ditanda dengan pelampung 'boya'.

"Jadi tidak timbul soal sistem 'boya' tersebut tidak cukup selamat sebagaimana yang didakwa,” ujarnya ketika ditemui di jeti pelancongan Pulau Redang dekat sini petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi komen tentang kenyataan Ahmad Jidin yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris versi 'atas talian' berhubung perkara tersebut.

Akhbar tersebut memetik Ahmad Jidin dilaporkan berkata bahawa sistem amaran 'boya' di Taman Laut tidak 'mencukupi' bagi menjamin keselamatan para pengunjungnya.

Azman yang juga Naib Yang Dipertua PAS Setiu berkata, sebagai pengguna khidmat Taman Laut tersebut, beliau tidak nampak sebarang masalah kepada sistem amaran itu.

"Saya juga turun menyelam di Taman laut Pulau Redang dan saya dapati orang ramai menjarakkan diri dengan pelampung 'boya' dan tak ada masalah dengan sistem amaran itu.

"Pengusaha sektor pelancongan memaklumkan waktu puncak cuti sekolah minggu lalu, lebih 3,000 orang berada dalam satu-satu masa di dalam kawasan keselamatan Taman Laut tanpa sebarang masalah," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan Adun Permaisuri itu supaya memberikan kenyataan yang lebih berkati-hati dan teliti.

Ini kerana katanya, setiap perkataan Ahmad Jidin selaku Exco kerajaan menjadi panduan kepada rakyat.

Dakwat tak kekal: Kenyataan saling bercanggah

Harakahdaily, 08 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat kini sedang dipertonton pula dengan episod kenyataan bercanggah antara Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dengan Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam berhubung dakwat kekal.

Abdul Aziz mendakwa beliau telah berunding dengan Kementerian Kesihatan mengenai keselamatan dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

Ianya berkaitan peratusan bahan aktif dalam dakwat itu – argentum nitrat – yang didakwa perlu dicairkan kepada satu peratus untuk mengurangkan risiko barah.

Bagaimanapun, Dr S Subramaniam pula berkata tiada laporan seumpama telah dikeluarkan oleh kementeriannya dan pihak SPR tidak pernah meminta kementeriannya berbuat demikian.

Sebelum ini Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan mendakwa kandungan argentum nitrat dalam dakwat kekal itu terpaksa dikurangkan.

Ahmad mendakwa pengurangan tersebut menyebabkan ia hanya mampu bertahan selama sepuluh jam sahaja kerana kandungannya yang tinggi akan meningkatkan risiko barah.

Tiada ulasan: