Jumaat, 7 Jun 2013

JANGAN KITA PISAHKAN HIDUP KITA DENGAN HUKUM2 ALLAH...KERANA ALLAH BOLEH MENGHUKUM SAMA DIAKHIRAT ATAU DIDUNIA...TIADA SAPE BOLEH PERTIKAIKANNYA...NYAWA DAN SEGALANYA DITANGAN ALLAH...ADA FAHAM

Jangan pisahkan Trio Kepimpinan ini

-, 06 Jun 2013


1. Tiada dikotomi antara ulama', profesional dan aktivis dalam PAS. Ini penegasan saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Malah ini juga konsensus kami seluruh saf kepimpinan Jawatan Kuasa Harian, EXCO dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia. Sebarang usaha memisahkannya adalah kerja jahat musuh luar atau dalam yang mahu merosakkan reputasi PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di negara ini.

2. Ulama' memerlukan Profesional dan Aktivis bagi memacu perjuangan suci ini ke mercu jaya. Sebagaimana Profesional memerlukan Ulama' untuk terus memimpin dan mentarbiyah serta memandu arah bahtera perjuangan ini. Demikian jua Ulama' dan Profesional tidak boleh meminggirkan para Aktivis PAS untuk melaksanakan tugas - tugas besar perjuangan ini agar ia dipikul bersama dan menempa kejayaan dengan gemilang.

3. Kepimpinan Ulama' bukan istilah atau slogan juga bukan konsep untuk mewujudkan dikotomi sekaligus memisahkan Trio Kepimpinan PAS yang berlangsung sejak dulu. Sebaliknya Kepimpinan Ulama' adalah konsep sebuah Kepimpinan "Ilmu" dan "pendokongnya yang berilmu" menepati kehendak Islam untuk memimpin perjuangan atau parti ini dengan benar dan pula menepati Manhaj Perjuangan Islam. Bukan konsep kepimpinan yang memisahkan semua unsur baik dan positif bagi memperkukuhkan jamaah.

4. Semua pihak mesti menginsafi keperluan Trio Kepimpinan ini. Ulama', Profesional dan Aktivis mesti saling kukuh mengukuh bukan runtuh meruntuh, saling bina membina bukan saling hina menghina dan saling bentuk membentuk bukan saling kutuk mengutuk. Justeru semua segmen mempunyai kekurangan tersendiri yang mesti diakui sebagaimana semua segmen itu juga mempunyai kelebihan tersendiri yang mesti dihormati.

5. Apabila kesilapan atau kepincangan berlaku, maka ia adalah mewakili individu tersebut bukan ulama' atau profesional atau aktivis. Jangan rosakkan institusi Ulama', Profesional dan Aktivis yang merupakan institusi penting untuk kekal dan wujud dalam bahtera perjuangan ini. Sebagai contoh, apabila seorang guru melakukan perbuatan mungkar seperti zina maka kita tidak boleh menghukum Guru adalah Penzina sebaliknya individu tersebutlah penzina. Demikian juga dalam hal ini.

6. Kepimpinan Ulama' yang diperjuangkan dan diasaskan sejak 1982 yang lalu dan menjadi Konsep Kepimpinan yang sangat berjaya menjulang PAS sebagai sebuah Gerakan Islam Kontemporary yang disegani dari dalam dan luar negara akan terus dipertahankan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan gandingan seimbang serta sepadu antara Ulama', Profesional dan Aktivis.

7. PAS adalah sebuah gerakan yang memperjuangkan Islam agar cara dan gaya hidupnya dapat direalisasikan dalam masyarakat negara kita. Justeru itu, pemimpin dan anggotanya mesti berilmu bagi memastikan dasar dan matlamat perjuangan dapat didokong serta dilaksanakan dengan baik. Berilmu bukan sahaja kewajipan pemimpin dan anggota PAS malah ia adalah kewajipan asas seorang muslim justeru Islam menentang dan memusuhi kejahilan.

8. Mana - mana individu atau pihak yang meletakkan diri mereka bertentangan dengan dasar dan matlamat perjuangan Islam yang didokong oleh PAS, hendaklah diluruskan agar ia kembali melandasi matlamat dan dasar perjuangan yang betul. Ulama' kah ia, Profesional kah ia atau Aktivis kah ia , itu bukan persoalannya. Persoalannya sikap individu yang memesong diri dari dasar, matlamat, ilmu, amal, adab dan akhlak perjuangan Islam mesti diluruskan. Sementara kebiadaban dan kedegilan mempertahankan sikap yang salah itu pula mesti ditentang.

9. Islam adalah agama hikmah. Islam adalah agama yang maha luas dan kaya dengan pendekatan yang hebat dan menarik menepati zaman dan tempat. Maka pendokongnya juga mesti berhikmah dan berpandangan luas serta hebat seiring dengan kehebatan Islam dalam melayan karenah zaman, tempat dan seluruh warganya.

10. Kepimpinan Ulama' adalah antara hikmah yang dipamerkan oleh PAS yang menggandingkan semua segmen [Ulama', Profesional dan Aktivis secara seimbang dan sepadu]. Gandingan ini pula melahirkan sebuah kehebatan bagi meletakkan PAS mampu bersaing dipentas politik moden pada hari ini. Lantaran itu, usah tolak Kepimpinan Ulama' sebaliknya tolak individu atau mereka yang merosakkan jamaah, mereka yang membocorkan rahsia jamaah, mereka yang menikam jamaah dari belakang, mereka yang menabur fitnah dan tohmahan dalam jamaah, mereka yang melaga - lagakan pemimpin dan 1001 salah laku yang mesti diaudit dengan teliti terlebih dahulu sebelum memuktamadkan tindakan .

Ringkas Pengalaman Saya

a] Zaman Datuk Mahfuz Omar menjadi Ketua DPPP dan Sdr Yb Salahudin Ayub menjadi Timbalan Ketua DPPP, pada waktu itu saya adalah EXCO DPPP dan saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa rebah dan tegak.

b] Zaman Yb Salahudin Ayub menjadi Ketua DPPP sementara Ust Idris Ahmad menjadi Timbalan Ketua DPPP bergandingan dengan Sdr Mazlan Aliman sebagai naib Ketua DPPP dan kemudiannya saya menjadi Timbalan Ketua DPPP. Saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa jatuh dan bangun.

c] Dua penggal kepimpinan Datuk Mahfuz dan tiga penggal kepimpinan Yb Salahudin Ayub [10 tahun] saya bekerja di bawah mereka dan saya selesa bersama mereka tanpa mencetuskan polemik kepimpinan ulamak.

d] Kini saya dengan segala kelemahan diri ditakdir dan dipilih oleh jamaah untuk memimpin DPPM, Ust Azman Syafawi dan Ust Nik Mohd Abduh bergandingan dengan Sdr Sabki Yusuf dan Dr Raja Iskandar masing - masing sebagai Timbalan dan Naib Ketua DPPM selama dua penggal saya menerajui DPPM, saya harap polemik kepimpinan Ulama' tidak dicetuskan. Justeru ia adalah gandingan mantap yang dipertahankan sejak dulu.

Salam dari bumi Multazam

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh

Harakahdaily, 06 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Sebahagian Jambatan Kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan dilaporkan runtuh sekitar jam 7.15 petang tadi.

Runtuhan penyambung susur keluar itu berlaku di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung.

Menurut beberapa blog, sebuah kenderaan telah dihempap oleh runtuhan itu.

Dalam kunjungan ke Pulau Pinang semasa kempen PRU13 Mei lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang berharga RM4.5 bilion yang dijangka boleh digunakan September depan adalah 'hadiah' daripada kerajaan BN buat rakyat negeri itu.

Gambar dipetik daripada Facebook dan beberapa blog.





Apakah Menteri Dalam Negeri seorang penjenayah?

Lim Kit Siang, 06 Jun 2013
Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyatakan kemarahan mereka terhadap keangkuhan dan kesombongan Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar), yang pada Selasa lalu muncul di kaca televisyen menyebut: “Siapa Lim Kit Siang? Saya tidak kenal siapa dia.”

Pertanyaan “Siapa Lim Kit Siang” tidak penting, sebaliknya yang penting adalah “Siapa Ahmad Zahid Hamidi” yang baru saja dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri.

Pertanyaan ini penting terutamanya kerana Pengerusi Biro Undang-undang DAP dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo telah menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggantung Zahid daripada Kabinet bagi membuktikan Perdana Menteri benar-benar serius untuk membuat pembaharuan dalam kerajaan.

Gobind telah menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa sesuatu yang “kurang molek” untuk meletakkan sebuah kementerian yang penting dan berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri di tangan seorang yang telah diarahkan untuk menjawab saman sivil yang dikemukakan terhadapnya atas tuduhan menyerang seseorang, memandangkan orang yang sebegini mampu membuat tindakan yang membawa kepada ketegangan, dan ini akan merosakkan citra kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apa respons Najib terhadap pandangan Gobind bahawa dengan menjadikan Zahid sebagai menteri di Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas polis, ketegangan boleh berlaku kerana Kementerian Dalam Negeri merupakan salah satu di antara kementerian yang mempunyai kuasa besar, di mana polis dan penjara merupakan antara lembaga yang berada di bawahnya.

Ahmad Zahid telah disaman oleh ahli perniagaan Amir Abdullah Bazli yang mendakwa Ahmad Zahid telah menumbuknya di bahagian mata pada 16 Januari 2006 di kelab riadah Country Heights, Kajang, Selangor, menyebabkan tulang hidungnya patah dan mata kirinya bengkak.

Ahmad Zahid yang ketika itu adalah timbalan menteri penerangan telah menafikan tuduhan tersebut dan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menggugurkan kes tersebut. Permohonannya telah diketepikan oleh mahkamah yang sama pada 21 April 2010.

Beliau kemudiannya telah memfailkan saman balas terhadap Amir Abdullah, 41 tahun, kerana mendakwa yang beliau terpaksa berdepan dengan aib dan trauma emosional berikutan tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tahun lalu sebuah panel Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga orang hakim sebulat suara telah menolak permohonan Zahid untuk membatalkan saman ke atasnya dan memerintahkan menteri itu untuk membayar kos sebanyak RM5,000. Mahkamah juga telah memerintahkan Zahid untuk menjawab tuduhan ke atasnya.

Najib sewajarnya memberi respons terhadap persoalan yang dibangkitkan oleh Gobind, khususnya kerana Najib adalah Perdana Menteri pertama yang melantik seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan tanggungjawab khusus untuk mengukuhkan “integriti” dan “tadbir-urus yang baik”.

Najib terutamanya perlu menjelaskan sama ada beliau menyedari tentang adanya tuduhan yang serius terhadap Zahid itu sewaktu beliau memegang jawatan timbalan menteri penerangan dan sama ada Perdana Menteri telah mempersoalkan mengapa polis tidak mendakwa Zahid atas kesalahan menyerang pada tahun 2006 dan menjelaskan jawapan yang telah beliau terima.

Paul Low, sebagai menteri yang memegang portfolio “integriti” dan “tadbir-urus yang baik” perlu menyatakan sama ada beliau bersetuju bahawa Zahid perlu mengundurkan diri sebagai Menteri Dalam Negeri sehinggalah dia membersihkan dirinya daripada tuduhan serius melakukan jenayah serang pada Januari 2006 lalu ketika beliau memegang jawatan timbalan menteri penerangan.

Kes berkenaan menimbulkan persoalan penting mengapa Zahid belum dituduh oleh Polis atas jenayah serang.

Kes ini juga menimbulkan pertanyaan sama ada Malaysia telah mendapat seorang penjenayah sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.

Apakah Zahid atau Najib bersedia untuk menjawab persoalan tentang kesesuaian Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru di Parlimen pada 26 Jun nanti sedangkan pertuduhan jenayah terhadapnya masih berlangsung dan polis pula gagal untuk mendakwa Zahid ketika itu?

Badan dan kepimpinan baru perlu ganti SPR

Muhammad Faeez Azahar, 06 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menerima kenyataan bahawa badan yang diamanahkan untuk mengadili pilihan raya itu tidak lagi dipercayai oleh ramai termasuk pihak BN sendiri.

“Oleh yang demikian, penjelmaan baru organisasi SPR termasuk penerajunya perlu dirombak segera.

“Inilah hasrat sebahagian rakyat dalam negara kita jika dinilai melalui undi popular seluruh negara terhadap Pakatan Rakyat (PR),” kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar).

Beliau berkata, Pemuda PAS percaya rakyat sudah bosan dengan teraju SPR ketika ini berikutan cara pengurusan perjalanan sistem pilihan raya di dalam negara ini yang diragui akan ketelusannya.

Jelasnya, SPR ternyata tidak amanah menjalankan amanahnya dan ianya telah diakui oleh badan pemantau bebas serta penganalisis daripada dalam dan luar Negara.

Menurutnya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar seharusnya mengakui kepimpinan mereka tidak lagi menjadi satu badan yang diiktiraf dan dilihat tiada integriti untuk mengadili pilihanraya.

“Mereka (Tan Sri Abdul Aziz dan Datuk Wan Ahmad) seharusnya berjiwa besar untuk berundur selepas pelbagai desakan daripada pelbagai pihak,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Raja Iskandar berkata, rakyat ingin melihat peranan sebenar sebuah organisasi yang diyakini dapat mengendalikan pilihan raya bebas dan telus.

Jelasnya, Pemuda PAS memohon Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang berkuasa atas badan pengendali pilihan raya tersebut agar diberikan penakrifan baru badan yang akan dibentuk kelak.

Bagi Pemuda PAS, beliau berkata, negara ini perlukan satu badan baru yang akan mengendalikan sistem pilihan raya terutamanya pada PRU14 nanti.

“Biar badan baru yang akan dilantik itu menjalankan tanggungjawab dan amanah sepertimana yang sewajarnya kelak.

“Pemuda PAS yakin pengendalian pilihanraya berwajah baru ini akan dapat menjadi satu badan bebas untuk menjalankan amanah dengan penuh adil dan bertanggungjawab,” jelasnya lagi.

Lelaki lapor polis dakwa warta PRU13 salah

Anis Nazri, 06 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Seorang pemuda bertindak membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pewartaan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang dianggap salah, tidak benar dan tidak sah.

Laporan polis tersebut dibuat Mohd Azlan Mohd Sharif, 32, di Balai Polis Klang Selatan, hari ini.

Dalam salinan laporan polis yang turut dikirim kepada Harakahdaily, Azlan menyatakan terdapat kesilapan dalam warta kerajaan iaitu bagi bahagian pilihan raya N50 Sri Muda, Selangor yang kemudian diperbetulkan SPR di bahagian undi rosak atau ditolak pada 31 Mei lalu.

"Bahagian P.U.(B) 242/2013 hingga P.U.(B) 257/2013 bagi undi rosak tersebut diperbetulkan dan diganti dari perkataan 390 kepada 406.

"Bagaimanapun 'corrigendum' atau pembetulan untuk undi hilang atau tidak dikembalikan tidak dibetulkan," laporannya dipetik.

Justeru, beliau yang telah membeli naskhah warta tersebut, semalam, dan membuat semakan mendakwa kesilapan tidak membetulkan perkataan 79 ke 63 ini menyebabkan jumlah kiraan undi bagi seluruh rakyat Malaysia menjadi salah, tidak benar dan tidak sahih.

Dengan kata lain, Azlan dalam laporan polisnya menyebut kesilapan SPR tidak membetulkan kesilapan itu menjadikan warta kerajaan keputusan PRU13 terbatal dan tidak sah sehingga ia disahkan semula.

Beliau juga mendakwa kesilapan dalam membuat corrigendum ini membuktikan bahawa tidak boleh ditolak kemungkinan terdapatnya kesilapan lain yang masih belum dikenalpasti SPR, tetapi ditemui pihak lain.

Sehubungan itu, beliau mendesak dengan laporan polis tersebut, tempoh petisyen pilihan raya dapat dilanjutkan 21 hari bermula 31 Mei 2013, selaras dengan corrigendum yang dibuat SPR.

Pada 22 Mei lalu, SPR mewartakan keputusan rasmi PRU-13, bagi membolehkan calon dan parti politik yang tidak berpuas hati boleh memfailkan petisyen berhubung keputusan pilihan raya umum di mahkamah mengikut negeri masing-masing dalam tempoh 21 hari.

Pemilihan: Mana demokrasi dalam Umno?

Muhammad Faizal, 06 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu akan datang mewujudkan persoalan adakah demokrasi dalam Umno kini sudah berkubur.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan seumpama itu hanya memperlihatkan bahawa Umno kini seperti mengamalkan autokrasi.

"Saya hairan bagaimana Umno sebagai sebuah parti politik yang diperkatakan mengamalkan konsep demokrasi tidak mahu bersikap terbuka dengan cadangan agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

"Kenapa mereka takut sedangkan pilihanraya sudah pun berlalu dan mereka sendiri mengakui prestasi serta sokongan meningkat, jadi kenapa masih bimbang jika kedua-dua jawatan itu dipertandingkan," jelasnya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, dengan membuka ruang kepada ahli untuk mencabar kedua-dua jawatan tersebut sebenarnya dapat menilai prestasi Presiden dan Timbalan Presiden sama ada mereka popular di kalangan ahli atau pun tidak.

Malah menurut beliau lagi tindakan tersebut juga dilihat sebagai satu budaya baru di dalam Umno yang tidak boleh bertanya atau mempersoalkan pimpinan tertinggi.

"Umno sekarang mengamalkan budaya iaitu ahli tidak boleh mempersoalkan pimpinan utama, malah ahli juga tidak boleh bertanya apa yang pimpinan utama lakukan.

"Budaya ini terus meresap dalam akar umbi Umno sehinggakan ia menyekat ruang mereka yang di bawah untuk mencuba nasib menjadi pimpinan baru kerana segala-galanya telah disekat," sambung beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong kedua-dua jawatan tertinggi Umno itu tidak dipertandingkan.

Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menyokong agar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ada kini terus dikekalkan.

Tiada ulasan: