Isnin, 3 Jun 2013

JANGAN BERANI LAWAN PERKARA YANG ALLAH LARANG ATAU BUAT MAKSIAT...KITA MENGUNDANG BANJIR..GEMPA BUMI ATAU MALAPETAKA YANG LAIN

Kematian demi kematian wajarkan penubuhan IPCMC

Harakahdaily, 03 Jun 2013
PULAU PINANG: Persatuan Progesif India Malaysia negeri Pulau Pinang (Mipas) menggesa Kerajaan untuk tidak melambatkan  lagi proses untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan & Salah Laku Polis (IPCMC) untuk memberikan penyelesaian terhadap kes kematian dalam lokap Polis.

Menurut setiausahanya, Kumaresan Arumugam (gambar) kerajaan seharusnya mendengar pandangan rakyat Malaysia untuk segerakan penubuhan IPCMC untuk menyelamatkan keadaan dan kebaikan semua demi menegakkan keadilan dan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu lagi kes kematian dalam lokap Polis, iaitu P. Karuna.

Menurutnya lagi, penubuhan IPCMC tersebut juga perlu terdiri daripada mereka yang bebas daripada sebarang  pengaruh dan kepentingan politik bagi mengelakkan penglibatan kuasa politik dalam siasatan IPCMC ini kelak.

Beliau berkata penubuhan IPCMC perlu disegerakan untuk menamatkan titik hitam  kes kematian dalam lokap Polis.

Belum tamat lagi kes penyiasatan terhadap Dharmendran dan R. Jamesh Ramesh terdapat pula individu ketiga P. Karuna seorang bekas Jurutera  mati  dalam tahanan polis dalam tempoh dua minggu.

Hal ini amat membimbangkan dan hasil maklum balas daripada orang ramai, masing-masing merasakan kebimbangan mereka terhadap isu ini umpama tiada kesudahan.

Mereka juga berpendapat lokap polis di Malaysia tidak lagi selamat dan ada juga berpendapat PDRM mengambil alih tugas mahkamah untuk menjatuhkan hukuman kepada seseorang tersebut, kata Kumaresan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

PDRM juga dilihat tidak serius untuk membendung isu ini kerana hasil ‘post –mortem’ terhadap kematian Dharmendran jelas menunjukkan terdapat unsur-unsur jenayah yang dilakukan oleh pihak Polis ketika beliau di tahan.

Namun sehingga hari ini  hanya tindakan tatatertib yang diambil terhadap anggota polis yang terlibat iaitu  ditugaskan di unit kerja pejabat di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur buat sementara waktu.
MIPAS, kata Kumaresan, membantah tindakan yang dikenakan kepada anggota Polis yang terlibat,  sebaliknya siasatan kes Kanun Keseksaan 302 perlu dibuka terhadap anggota yang terlibat.

Menurutnya lagi, Mipas Pulau Pinang dalam masa terdekat ini akan menyerahkan memorendum kepada Ketua Polis Pulau Pinang untuk menyuarakan bantahan NGO tersebut terhadap kes kematian dalam lokap Polis.

Pihaknya juga menyeru agar kerajaan  dapat menjalankan siasatan dan mendapatkan keadilan untuk  mendiang P. Karuna.

Komen sebelum ini.

CCTV bukan penyelesaian kematian tahanan polis

Harakahdaily, 03 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokap balai polis bukan jalan penyelesaian untuk menangani kes kematian tahanan ketika di bawah pengawasan polis, kata Naib Presiden PKR, N Surendran (gambar).
Beliau yang dihubungi berkata, kerajaan didesak untuk kesekalian kalinya agar menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) pada kadar segera.

Katanya, walaupun CCTV dipasang di lokap namun ia tidak menghalang daripada kejadian ‘keganasan’ yang dilakukan pihak polis terhadap tahanan daripada berlaku kerana perkara demikian boleh juga berlaku di luar pengawasan CCTV.

Sebelum ini, dalam kejadian terbaru, seorang jurutera, P Karuan menjadi individu ketiga yang maut dalam tahanan polis dalam tempoh dua minggu.

Kejadian itu berlaku di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin yang dilaporkan ‘meninggal dunia tiba-tiba’ pada jam 7 petang Sabtu lalu.

“Hanya dengan penubuhan IPCMC akan menyelesaikan masalah kejadian kematian tahanan dalam lokap kerana selepas ini pihak polis tidak akan berani untuk melakukan sebarang tindakan di luar batas kuasa dan juga jenayah,” kata beliau dipetik Selangorku.

Tambah beliau, faktor kesihatan merupakan isu yang dihadapi oleh tahanan bukan menjadi isu utama kerana yang perlu diberi perhatian ialah tahanan yang dipukul dan diperlakukan sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Pihak Peguam Negara dan polis perlu professional dalam menjalankan tugas dan bertindak terhadap anggota polis yang terlibat kerana tiada tindakan tegas telah diambil,” kata Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai.

Sehingga Mei 2013, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merekodkan tujuh kematian dalam tahanan polis.

Tarian separuh bogel di pusat beli belah Segamat?

Harakahdaily, 03 Jun 2013
SEGAMAT: PAS Kawasan Segamat membantah sekeras-kerasnya penganjuran  tarian separuh bogel oleh wanita-wanita yg dipercayai di bawa dari luar negara di sebuah pasaraya One Segamat pada 1 jun 2013 jam 8.30pm.


(Tarian separuh bogel yang dipersembahkan di sebuah pusat membeli belah di Segamat)

Tarian separuh bogel tersebut telah disaksikan oleh hampir 500 pengunjung yang membawa bersama mereka anak-anak kecil dan diadakan pula pada waktu puncak dan malam minggu.

"Kami amat menyesali penganjuran tersebut diadakan secara terbuka yang ternyata menyalahi tatasusila adat dan budaya masyarakat Malaysia," kata Haji Firdaus Masod, Yang Di Pertua PAS Kawasan Segamat dalam kenyataannya.

Rata-rata yang menyaksikan tarian separuh bogel tersebut merasa agak terkejut dengan hidangan yang dipersembahkan pada malam tersebut.

Mereka lantas mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa boleh terlepas pandang membenarkan suatu penganjuran yang menampilkan aksi lucah di pertontonkan kepada umum di daerah Segamat ini.

Pihak peniaga juga merasa kurang selesa dengan penganjuran tersebut kerana bunyi lagu yang diperdengarkan terlalu kuat hingga menyukarkan mereka untuk berkomunikasi dengan pelanggan-pelanggan.

Dari sudut agama pula, PAS Kawasan Segamat kesal dengan apa yang berlaku pada malam tersebut kerana ianya secara terang-terangan adalah persembahan yang haram di sisi agama kerana pendedahan aurat yg melampau dan disaksikan pula oleh orang awam.

"Peristiwa ini jelas telah menghina agama Islam dan menghina institusi Islam di negeri Johor itu sendiri," kata beliau kesal.

Bagi beliau, tarian separuh bogel ala padang pasir yang menggayakan aksi lucah ternyata tidak boleh diterima di negara ini kerana ianya bertentangan dengan norma-norma masyarakat serta berdosa oleh semua yang terlibat samada penonton maupun penganjur itu sendiri.

"Justeru kami PAS Kawasan Segamat mendesak pihak berkuasa sama ada Majlis Daerah Segamat atau pun Pejabat Agama Daerah Segamat segera mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan wanita-wanita yang membuat persembahan lucah di khalayak ramai dengan menggunakan segala peruntukan undang-undang yg sedia ada.

"Kami percaya hanya dengan tindakan tegas daripada pihak berkuasa sahaja yang akan dapat menghalang perkara seumpama ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

"Kami berdoa semoga daerah Segamat ini dijauhkan dari bala bencana kerana jika Allah ingin menurunkan balanya ianya tidak memilih hanya kepada pelaku maksiat sahaja tetapi keseluruhan penduduk Segamat akan menerima musibahnya," katanya.

Bendung jenayah, jangan hina penunggang motosikal

Harakahdaily, 03 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Kerajaan Persekutuan supaya mewujudkan zon tanpa motosikal di bandar-bandar besar dalam usaha untuk memerangi jenayah adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia khususnya golongan sederhana dan tidak mampu.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat kegagalan pihak polis membendung jenayah cuba diselimutkan dengan cadangan yang mengguris perasaan rakyat seolah-olah menunggang motosikal itu penyumbang jenayah.

“Sepatutnya ketua polis yang baru ini melahirkan cadangan bukan sekadar drastik, tetapi perlu realistik,” ujar Penyelaras Segmentasi Anak Muda dan Permotoran SAMM, Yaser Sheikh Abdul Rahman.

Katanya, SAMM sebagai penggerak anak muda yang rata-ratanya terdiri daripada penunggang motosikal menolak cadangan 'bongkak' Ketua Polis Negara dan menyifatkan ia sebagai cadangan 'bebal' yang prejudis terhadap penunggang motosikal.

Beliau berkata, sedarkah wahai Khalid bahawa rakyat Malaysia memilih untuk menunggang motosikal kerana tidak mampu di atas kekangan ekonomi dan kos kehidupan yang jauh meningkat berbanding jumlah pendapatan.

Ini, katanya kerana kesempitan hidup, motosikal menjadi pilihan walaupun statistik menunjukkan risiko kemalangan yang tinggi.

“Tidakkah pihak polis membuat kajian terlebih dahulu apakah cadangan ini memberi kesan terhadap penambahan jurang antara golongan elitis dan golongan sederhana miskin?” tanya beliau.

Beliau menambah, banyak lagi cadangan yang harus diketengah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan anggota polis.

Katanya, antara cadangan yang pernah dikemuka SAMM sendiri ialah, pemansuhan sektor polis istimewa atau 'special branch' yang dikenalpasti tidak menjaga keselamatan awam tetapi hanya memastikan pemerintah terus kekal memerintah.

Menurutnya, polis khas berpakaian preman ini harus diletakkan dalam sektor jenayah yang kritikal dan dimanfaatkan sepenuhnya di atas setiap ringgit cukai rakyat yang dibayar kepada mereka.

Akhir sekali, tegasnya sikap Ketua Polis Negara yang melabel penunggang motosikal sebagai perompak dan penjenayah adalah keterlaluan.

“Khalid perlu sedar bahawa rompakan besar pemimpin rakus pemerintah negara inilah yang menyebabkan lebih ramai rakyat menunggang motosikal,” ujarnya.

Mitos kejayaan Umno

Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 03 Jun 2013
Sukar kita hendak percaya bila Datuk Najib kata UMNO muncul lebih baik selepas PRU13. Macam mana dia sampai kepada konklusi demikian? Jika kita lihat angka dari SPR, UMNO mendapat 3.2 juta undi. Jumlah ahli UMNO sahaja sudah melebihi 3.2 juta undi. Bagaimana Datuk Najib dakwa sokongan Melayu kepada UMNO meningkat?

Undi yang UMNO dapat lebih kurang jumlah ahli UMNO. Ini bererti, perkara yang UMNO berjaya lakukan ialah meyakinkan ahli UMNO yang tidak menyokong UMNO dalam tahun 2008, menyokongnya kali ini. Jika demikian, tidak adalah berlaku penambahbaikan kepada UMNO. Tidak ada pertambahan sokongan orang Melayu yang bukan ahli UMNO kepada UMNO.

Jika Datuk Najib berkeras berkata ada tambahan sokongan dari orang Melayu, maka itu bererti sokongan dari ahli UMNO sendiri kepada kepimpinan Datuk Najib berkurang. Kalau ahli tidak percaya kepada kepimpinan presidennya, maka apa lagi yang mereka tunggu?

UMNO hanya boleh mencapai angka 3.2 juta hanya jika ada sebahagian besar ahli UMNO tidak menyokongnya, dan deficit tersebut ditampung oleh sokongan Melayu bukan ahli UMNO. Jika semua ahli UMNO menyokong UMNO dalam PRU13, maka tidak ada sokongan Melayu bukan ahli UMNO kepada UMNO.

Jadi di mana letaknya kejayaan UMNO yang didakwa Datuk Najib?

Datuk Najib kata Umno muncul sebagai parti yang paling popular pasca PRU13 kerana Umno menang 88 kerusi. Semua orang tahu UMNO bertanding dalam kerusi yang jumlah pengundi dalam kawasannya jauh lebih kecil berbanding jumlah pengundi dalam kawasan parti lawan. Jika PAS bertanding dalam kawasan di mana jumlah pengundi secara purata berjumlah 77,000, UMNO bertanding dalam kawasan di mana jumlah pengundi secara purata adalah 36,000.

Maka jika kita lihat dari sudut ini, dengan membuat penyamarataan, nilai 88 kerusi UMNO itu hanya 44 kerusi parlimen. Kerana 2 kerusi yang dimenangi oleh UMNO bersamaan 1 kerusi PAS. Dan nilai sebenar 21 kerusi yang dimenangi oleh PAS itu ialah 42 kerusi. Ini bererti PAS dengan mudah menjadi parti pilihan selain UMNO. Demikian juga dengan PKR. PKR bertanding dalam kawasan di mana jumlah pengundinya secara purata ialah 75,000. Nilai sebenar 30 kerusi yang dimenangi oleh PKR ialah 60 kerusi.

Jadi di mana letaknya kejayaan UMNO? Kemenangannya ialah kemenangan kosong.

Dalam tahun 2008, Umno telah mendapat 2 juta undi orang Melayu. Ketika itu jumlah pengundi Melayu ialah 5.7 juta. Lebih ramai orang Melayu sejak 2008 sudah pun menolak Umno. Erti nya, ketika itu Umno hanya memperolehi 35% dari undi orang Melayu.

Berapa jumlah pengundi Melayu kali ini? Jika 70% dari 11.2 juta pengundi dalam PRU13 ialah orang Melayu, maka jumlah pengundi Melayu ialah 7.8 juta.

Buatlah perkiraan sendiri. Jika semua undi yang di perolehi UMNO semuanya pengundi Melayu, maka jumlahnya 3.2 juta. Tapi jumlah pengundi Melayu semuanya ialah 7.8 juta. Ini bererti 4.6 juta orang Melayu tidak menyokong UMNO.

Tapi kita tahu bukan semua 3.2 juta undi yang diperolehi UMNO itu datang dari orang Melayu. Orang Cina dan India masih menyokong calon UMNO. Katalah 15% sokongan untuk calon UMNO datang dari pengundi bukan Melayu. Ertinya, pengundi Melayu yang menyokong UMNO adalah sebanyak 85% atau 2.72 juta sahaja.

Sekali lagi buatlah perhitungan. Jumlah pengundi Melayu ialah 7.8 juta. UMNO hanya dapat 2.7 juta pengundi Melayu. Ertinya, 5 juta orang Melayu tidak menyokong UMNO dalam PRU13.

Jadi apalah yang hendak dibanggakan dengan 88 kerusi parlimen yang UMNO dapat? - http://sakmongkol.blogspot.com/

TPP: Kezaliman Ekonomi Kurun ke-21

Dr Rosli Yaakop, 03 Jun 2013

Perkongsian Negara-Negara Pesisiran Lautan Pasifik (TPP) – Kezaliman Ekonomi Kurun ke-21

Perkongsian Negara-Negara Pesisiran Lautan Pasifik atau Trans-Pacific Partnership (TPP) bermula dengan penubuhan Pacific Three Closer Economic Partnership (P3-CEP) dianggotai Singapura, New Zealand dan Chile dalam tahun 2002. Brunei menyertai pertubuhan itu dalam tahun 2005 dan namanya ditukar kepada “Trans-Pacific Strategic Economic Partnership” (TPSEP) atau Pacific 4 (P-4).

Dalam tempoh lapan tahun (2005-2013) berikutnya, pelbagai negara pesisiran lautan Pasifik yang lain, secara beransur-ansur, menjadi ahli rundingan (negotiating member) TPP. Kini, ahli TPP berjumlah duabelas terdiri dari Australia (menjadi ahli pada tahun 2008), Brunei (2005), Canada (2012), Chile (2002), Malaysia (2010), Mexico (2012), New Zealand (2002), Peru (2008), Singapura (2002), Amerika Syarikat (2009), Vietnam (2008) dan Jepun (2013).

Penyertaan penuh Malaysia bermula pada Rundingan Pusingan Ketiga yang berlangsung di Brunei pada 4-9 Oktober 2010 dan dikatakan Malaysia adalah salah sebuah negara penyokong kuat perjanjian TPP. Negara Jepun, setelah bertangguh lama kerana bantahan rakyatnya, menjadi ahli pada bulan Mac 2013.

Apabila Amerika Syarikat menyertai TPP dalam tahun 2009, ia muncul sebagai pemain dominan dalam mencatur perjanjian TPP meletakkan “Agenda Ekonomi Amerika” (sebahagian dari Ode Baru Dunia) di tempat paling atas, menelan agenda-agenda negara ahli yang lain.

Pada Sidang Kemuncak APEC tahun 2010, sembilan negara ahli TPP meluluskan cadangan Presiden Barrack Obama agar kesemua rundingan di bawah TPP diselesaikan pada bulan November 2011 (sebelum persidangan APEC berikutnya). Namun, sasaran itu tidak tercapai. Rundingan diteruskan sehingga tahun 2012 dan masih belum selesai sehingga kini (Jun 2013). Setakat ini, 16 pusingan rundingan telah diadakan bermula pada 15-19 Mac 2010 dan yang terakhir, pada 3-14 Mei 2013.

Perjanjian Perdagangan Bebas TPSEP yang ditandatangani Brunei, Chile, Singapura dan New Zealand pada 3 Jun 2005 mula dikuatkuasakan dalam tahun 2006. Kadar tarif telah diturunkan sebanyak 90% di negara-negara terbabit berkuatkuasa mulai 1 Januari 2006 dan bakal dihapuskan (0%) mulai 2015. Perjanjian TPSEP ini bukan sekadar mengenai tarif. Ia  merupakan satu perjanjian perdagangan yang komprehinsif merangkumi pelbagai aspek seperti perdagangan barangan dan perkhidmatan, rule of origin, trade remedies, halangan teknikal kepada perdagangan, harta intelek, perolehan kerajaan dan dasar persaingan dan berbagai-bagai lagi.  Perjanjian perdagangan bebas yang sedang dirundingkan di bawah TPP sekarang adalah perluasan dari perjanjian TPSEP dan ianya menjanjikan liputan yang jauh lebih komprehnsif dan, sebagaimana yang didakwa oleh pengkritik, merupakan perjanjian yang  “restrictive” dan  “lebih memihak” kepada  negara-negara ahli yang lebih maju khasnya Amerika Syarikat dan syarikat-syarikat multi-nasional dari negara itu.

Perjajanjian TPP – bila dilihat perkembangan yang mutakhir ini - sebenarnya dipelopori, ditaja dan didominasi oleh Amerika Syarikat. Ianya bakal memberi implikasi dan kesan masa hadapan yang besar kepada pelbagai sektor ekonomi negara ahli termasuk kesan ke atas gunatenaga, kadar upah, aliran modal, pelaburan, kesihatan awam, alam sekitar, kebajikan dan banyak lagi perkara yang melibatkan kepentingan  awam dan pelbagai stakeholder. Oleh yang demikian, pengkritik-pengkritik berpandangan perundingan TPP sewajarnya dijalankan secara telus dan lebih terbuka melibatkan pelbagai stakeholder. Ini tidak terjadi. Sebaliknya, perundingan TPP dijalankan secara rahsia dan kerahsiaan yang menyelubungi TPP disifatkan sebagai “unparalleled” – anggota pasukan paramilitary berkawal di luar dan sekeliling tempat mesyuarat dan helikopter pula berligar-ligar di ruang udara dan pihak media tidak dibenarkan membuat liputan.

Perundingan hanya melibatkan pegawai kerajaan negara-negara ahli dan wakil syarikat-syarikat multi-nasional yang majoritinya milik rakyat Amerika Syarikat. Dikatakan seramai 600 penasihat korporat syarikat-syarikat berkenaan hadir di dalam rundingan. Pelbagai stakeholders yang lain tidak langsung dilibatkan dalam perundingan. Malah, maklumat-maklumat mengenai TPP disorokkan daripada ahli-ahli Kongress Amerika Syarikat dan lawmaker dari negara ahli yang lain.  Akibatnya, walaupun sebanyak 16 pusingan rundingan telah diadakan, amat sedikit maklumat yang didedahkan mengenai perkara-perkara yang dirundingkan, kemajuan rundingan dan kebaikan atau keburukan dari kewujudan TPP itu kepada negara-negara ahli. Maklumat-maklumat serpihan yang diperolehi pelbagai pihak, khasnya pengkritik-prngkritik TTP,  datangnya dari dokumen yang dibocorkan.

Kenapa perjanjian TPP dirundingkan secara rahsia? David Brodwin, pengasas bersama dan ahli lembaga pengarah “American Sustainable Business Council” mendakwa TPP berselindung di sebalik agenda “untuk mengharmonikan tarif dan pelbagai peraturan perdagangan dan menggalakkan perdagangan bebas di kalangan negara-negara ahli” untuk mewujudkan “a stealthy delivery mechanism for policies that could not survive public scrutiny.” Ini bermakna, TPP diwujudkan bukan untuk menggalakkan persaingan tetapi untuk mengekalkan monopoli syarikat-syarikat gergasi dalam bidang perniagaan masing-masing seperti  Warner dan Sony (hiburan), Merck dan Pfizer (farmasi), RTZ dan BP (perlombongan), Philip Morris (rokok), Wallmart dan Woolworths (peruncit), Merril Lynch, Westpac, AIG, Macquarie dan JP Morgan (sektor kewangan), Cargill dan Mosanto (perniagaan tani), Bechtel dan Veola (operator swasta bekalan air) dan banyak lagi.

Perjanjian TPP ditentang oleh pelbagai pihak. Penyokong-penyokong gerakan Anti-Globalisation misalnya,  mendakwa  perjanjian perdagangan bebas di bawah TPP memberi kuasa yang terlalu besar (unprecedented power) kepada syarikat-syarikat multi-nasional sehingga mengatasi dan melemahkan kuasa daulah (the power of nation states). Negara dikehendaki tunduk kepada syarikat-syarikat korporat, bukan sebaliknya, iaitu, syarikat korporat yang melabur di mana-mana negara sepatutnya tunduk kepada polisi dan undang-undang negara tuan rumah. Ini sesungguhnya adalah “model songsang globalisasi ekonomi dunia.” Juga, peruntukan-peruntukan perjanjian TPP melanggar hak-hak dan kepentingan pengguna dan pekerja dan mengkesampingkan kepentingan alam sekitar.  Ini membawa kepada tuduhan bahawa TPP sebenarnya adalah “a wish list of one per cent” (iaitu, syarikat–syarikat  multi-nasional milik negara ahli yang maju khasnya  Amerka Syarikat) yang mahu terus menguasai dan memonopoli perdagangan dan ekonomi dunia tanpa mempedulikan kebajikan rakyat miskin di negara ahli yang lain.

Dari maklumat yang bocor dilaporkan bahawa dari sejumlah 26 perkara yang dirangkumi perjanjian TPP, hanya beberapa perkara yang ada kena mengena langsung  dengan hal-hal perdagangan. Selebihnya difokuskan kepada hal-hal  mengenai menjaga dan melindungi kepentingan syarikat-syarikat gergasi multi-nasional dengan memberi mereka pelbagai hak dan keistimewaan dalam urusan, rundingan dan penyelesaian perbalahan perdagangan.  Oleh yang demikian,  perjanjian perdagangan bebas yang sedang dirangka oleh sebelas buah negara pesisiran lautan Pasifik bukannya untuk membedayakan persaingan tetapi membina tembok kebal melindungi kuasa monopoli syarikat-syarikat multi-nasional negara maju, secara kebetulan atau tidak, kebanyakannya milik rakyat Amerika.

Perjanjian TPP, bila dimetrai, bakal mengandungi peruntukan-peruntukan yang sifatnya terlalu memihak kepada Amerika Syarikat dan kesannya menzalimi dan menindas negara-negara ahli yang lain. Antaranya:
Pertama, ia membolehkan syarikat korporat multi-nasional menyaman negara di mana ianya melabur dan beroperasi seandainya undang-undang dan peraturan dalam negara tuan rumah dituduh sebagai penyebab ianya mengalami kerugian. Di antara keistimewaan yang diberikan kepada syarikat-syarikat multi-nasional termasuklah, pertama, peruntukan yang menjamin mereka dilibatkan dalam merangka undang-undang baru di negara tuan rumah. Kedua,  kerajaan tuan rumah wajib menerima pandangan mereka di dalam merangka undang-undang baru itu. Ketiga, jika pandangan mereka tidak diambilkira, maka sekiranya undang-undang baru itu memberi kesan negatif kepada nilai pelaburan atau merugikan mereka, maka syarikat multi-nasional berkenaan boleh menyaman kerajaan tuan rumah. Keempat, saman itu pula dibicarakan di mahkamah antarabangsa secara rahsia, dikendalikan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu atau Bank Dunia, bukannya mahkamah di negara tuan rumah. Ini bermakna undang-undang negara tuan rumah menjadi tumpul bila berdepan dengan kuasa baru syarikat korporat.


Kedua, negara-negara ahli TPP dipaksa tunduk kepada “agenda of the Big PhaRMA” yang mahukan kawalan monopoli yang lebih panjang ke atas ubat-ubatan yang mereka cipta dan keluarkan sebelum membenarkan versi generik dikeluarkan. Kesan peruntukan ini ialah menghadkan secara drastik akses rakyat negara ahli kepada “affordable medications” terutamanya golongan yang memang bergantung kepada ubat-ubatan generik yang jauh lebih rendah harganya berbanding ubat-ubatan berjenama.

Bab mengenai ubat-ubatan yang dibocorkan pada Februari 2011 menunjukkan bahawa wakil Amerika Syarikat telah mengemukakan, antara lain, perkara-perkara berikut di dalam rundingan: Menghendaki pelbagai peruntukan dimasukkan di dalam perjanjian memberi hak kepada syarikat-syarikat farmasi mengenakan harga yang tinggi untuk masa yang lebih panjang untuk ubat-ubatan yang mereka keluarkan, mendapatkan “patent” hanya dengan membuat perubahan kecil kepada ubat-ubatan yang sedia ada dan menghendaki negara-negara ahli meminda undang-undang berkaitan ubat-ubatan dalam negara masing-masing bagi membolehkan ubat-ubatan yang sedia yang dipersembahkan dalam bentuk yang baru diberikan “patent” baru. Peruntukan-peruntukan ini, yang dikenali sebagai “evergreen provisions,” adalah helah bagi membolehkan syarikat-syarikat farmasi mengekalkan kuasa monopoli ke atas industri farmasi dunia.

Pertubuhan “Medicins Sans Frontieres” yang menentang TPP mendedahkan bahawa kos rawatan pesakit HIV-AIDs meningkat dari USD295 setahun bagi se orang pesakit menggunakan ubat generik kepada USD10,400 setahun bagi seorang pesakit bila menggunakan versi “patent” dari ubat yang sama, kenaikan sebanyak 3,425%. Kos ubat-ubatan yang lain semuanya akan naik berganda-ganda sekiranya peraturan di atas diluluskan.

Ketiga, dalam hal berkaitan dengan harta intelek, perjanjian TPP mengandungi peruntukan-peruntukan yang menekan negara-negara ahli, misalnya, mana-mana individu, badan perniagaan dan organisasi yang melanggar undang-undang hakcipta akan dikenakan denda berupa perkhidmatan internet mereka ditamatkan. Ini bermakna negara ahli dikehendaki tunduk kepada sekatan-sekatan yang dikenakan oleh “Hollywood copyright cartels” termasuklah larangan menstorkan maklumat digital dalam fail sementara di dalam komputer tanpa kebenaran pemilik hakcipta dan memanjang jangka hayat  hak cipta dari 70 tahun sekarang kepada 120 tahun. Juga, ada peruntukan yang menghendaki internet service provider mengawal (to self-police) aktiviti pengguna-penguna internet dan individu yang memuat turun perisian untuk kegunaan sendiri dikira sebagai melakukan kesalahan melanggar undang-undang hakcipta.   Peraturan ini hanya akan menguntung Amerika Syarikat kerana ia adalah pengekspot bersih (net exporter) maklumat digital khasnya dalam industri hiburan.

Keempat, perjanjian TPP mengabaikan “food safety” melalui penghapusan keperluan “food labeling” mendedahkan negara-negara ahli kepada barang makanan import yang tidak menepati “national food safety standard.” Misalanya, dilaporkan syarikat rokok menghendaki supaya tiada apa-apa pun ditulis pada kotak  rokok.

Kelima, mengenakan peraturan kewangan di mana negara-negara ahli dikehendaki  membenarkan instrumen dan perkhidmatan kewangan berisko tinggi dipasarkan di dalam pasaran kewangan dan modal di negara-negara ahli. Juga, negara-negara ahli tidak dibenarkan melaksanakan dasar kewangan sendiri secara bebas dan tidak dibenarkan sama sekali melaksanakan langkah kawalan modal (capital control measures). Ini bermakna negara ahli dikehendaki membenarkan urusniaga alat-alat kewangan derivatif, spekulasi matawang  dan lain-lain “manipulative financial instruments” di pasaran kewangan dan modal masing-masing. Jelas, peruntukan ini bertujuan tidak lain untuk menyekalkan monopoli Amerika di dalam perkhidmatan kewangan dan pasaran modal dunia.

Itulah dia sebahagian dari maklumat yang mampu dikutip dari dokumen TPP yang dibocorkan. Jelas, perjanjian TPP yang sedang dirundingkan cukup memihak kepada Amerika Syarikat dan syarikat korporat negara itu.  Jika akhirnya ia dimetrai dalam bentuk yang dikendaki oleh Amerika Syarikat, maka perjanjian TPP akan dengan mudahnya muncul sebagai apa yang boleh dipanggil “kezaliman ekonomi kurun ke 21.”

Gerakan menentang perjanjian TPP sudah muncul khasnya di Australia dan New Zealand dan dijangka merebak ke negara-negara ahli yang lain. Penulis tidak mampu meneka adakah rakyat Malaysia akan turut menentang perjanjian ini. Rumusan penulis adalah seperti berikut:  Boleh dijangka (it is a forgone conclusion) bahawa Malaysia, sepertimana juga negara-negara pesisiran lautan Pasifik yang lain, khasnya yang sedang membangun dan masih belum mencapai status negara maju, akan terpaksa menerima sahaja perjanjian TPP secara bulat-bulat, pasrah di bawah telunjuk Amerika Syarikat, negara yang terkuat di muka bumi sekarang ini. Ini bermakna menggadaikan masa depan rakyat dan Negara. Ahli Ekonomi Amerika dan Pemenang Hadiah Nobel dalam bidang Ekonomi, Joseph Stiglitz menyatakan: “Most of these free trade agreements are… managed trade agreements and they are mostly managed for the advantage of the United States, which has the bulk of the negotiating power.”  Hujjah in diperkuatkan oleh Nile Bowie, seorang penyelidik di Global Research  yang merumuskan: “The United States is economically ailing, and the TPP – Wall Street’s wet dream and Washington’s answer to its own dwindling economic performance – is designed to allow US big business a greater stake in the emerging Pacific region by imposing its exploitative economic model on Signatory nations  that exempt multinasionals and private investors from any form of public accountability.” Penulis melihat TPP adalah sebahagian dari dasar-dasar ekonomi Dajjal untuk kurun ke 21.

Rembau NS
1 Jun 2013

Tiada ulasan: