Selasa, 4 Jun 2013

HAIRAN JUGA..BETUL3....KAN JAWATAN YANG DISANDANG JAWATAN POLITIK

Zahid : 'Percayalah kepada kami'

3 Jun 2013
Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan semua pihak termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang serta badan-badan bukan kerajaan(NGO)mewakili masyarakat India, supaya tidak beremosi dan mengatur protes jalanan berhubung kematian tiga individu dalam tahanan polis baru-baru ini.
  
Sebaliknya, beliau meminta semua pihak agar memberi kepercayaaan sepenuhnya terhadap jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap.
  
"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat umum biarpun mereka terdiri daripada parti bersama kerajaan atau di luar kerajaan, selagi diberikan kepercayaan kepada kami, kami tidak bertolak ansur dalam soal kematian.
  
"Yakinlah, apa yang kami lakukan ialah sesuatu yang mengikut piawaian yang ditentukan di peringkat antrabangsa," katanya ketika ditanya keinginan Pengarah Strategik MIC S. Vell Paari bersama NGO berasaskan India untuk menganjurkan protes jalanan sebagai membantah kematian berterusan individu India dalam tahanan polis.
  
Katanya kerajaan memandang serius perkara itu, justeru ketua polis negara sendiri mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu dan bukannya pegawai kanan.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan tetap tidak akan berkompromi dalam isu itu yang hangat diperkatakan ketika ini.
  
"Kita cukup prihatin terhadap kematian di tahanan berkenaan. Saya juga menyatakan bahawa kami tidak boleh berkompromi sebarang kematian yang berlaku ketika siasatan dijalankan," katanya.
  
Jelasnya selain kapasiti sebagai menteri, beliau sendiri melihat perkara itu atas dasar perikemanusian yang perlu dicari penyelesaian dan keadilan.
   
"Tidak perlu mengadakan protes jalanan dan sebagainya kerana saya dan timbalan mengambil keprihatinan yang cukup mendalam dalam perkara ini.
  
"Kepedulian ini bukan hanya atas kapasiti sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk mengetahui kementerian ini, tetapi tentang soal kemanusiaan harus diberikan tekanan bagi pelaksanaannya," katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan juga akan menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan oleh anggota polis yang bertugas dalam menyoalsiasat tahanan.
  
"SOP akan disemak semula dan jika individu tertentu melakukan siasatan di luar daripada SOP berkenaan maka tanggungjawab itu tidak diletakkan kepada pasukan polis secara keseluruhannya tetapi individu yang berkenaan," katanya.
  
Ditanya sama ada pegawai polis yang menyiasat N.Dharmendran telah digantung kerja, Ahmad Zahid berkata proses itu sedang dilakukan.
  
Tiga insiden kematian tahanan terbaharu ialah; R. Jamesh Ramesh, 40, yang ditemui mati ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 26 Mei, sehari selepas ditahan atas kesalahan dadah.
  
N. Dharmendran, 32, pula mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas manakala jurutera P.Karuna Nithi, 42, menjadi individu ketiga yang mati ketika dalam tahanan polis di Tampin Sabtu lalu.  - Bernama
PM: Jangan buang masa berpolitik
Wartawan Sinar Harian
3 Jun 2013
Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan seluruh jentera kerajaan supaya menumpukan kepada usaha membangunkan negara dan tidak membuang masa dengan terus berpolitik.

"Usaha perkasa yang lebih serius lagi iaitu untuk menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat.

"Sebagai sebuah kerajaan kita telah melakukan yang terbaik mengikut undang-undang," katanya dalam ucapan sempena himpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, yang pertama selepas BN membentuk semula kerajaan.

Menurut perdana menteri, pelbagai pihak cuba menabur dakyah bahawa pilihan raya yang dijalankan baru-baru ini tidak telus.

Dakwaan bahawa wujud pengundi hantu dan pengundi warganegara Bangladesh pada 5 Mei lalu nyata tidak berasas.

"Namun masih ada pihak yang hendak pertikai keputusan pilihan raya, sebenarnya kalau kita ketahui prosesnya, hampir mustahil sekali untuk sesiapa jua melakukan penipuan besar-besaran," katanya

Menyingkap bahawa sudah hampir sebulan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlalu, Najib berkata, anggota penjawat awam perlu sedar bahawa mereka punya tanggungjawab besar yang mesti digalas.

Penjawat awam ujarnya perlu mengorak langkah untuk membina kesejahteraan dan membantu memajukan negara melalui usaha perubahan yang diinginkan rakyat dan kerajaan.

Penjawat awam katanya tidak boleh membuang masa dengan 'politiking berlebihan', kerana ia akan hanya mengalih tumpuan daripada usaha yang lebih besar, iaitu untuk menunaikan amanah yang diberikan rakyat.

"Kini sebagai sebuah negara, mari kita perlihatkan bahawa kita pengamal demokrasi matang, bukan saja akui kita menerima proses demokrasi ini, tapi yang penting selepas selesai pilihan raya, kita tunjukkan bahawa kita ialah penerima demokrasi parlimen yang cukup matang," katanya.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita akan teruskan usaha membawa perubahan dan transformasi, kerana rakyat sudah menunjukkan bahawa mereka mahukan perubahan, dan ia boleh dilakukan tanpa menukar kerajaan," tambahnya.
GST boleh dilaksana bawah 4 peratus
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
3 Jun 2013
GST
SHAH ALAM -  Kerajaan disaran memulakan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di bawah paras empat peratus jika ia mahu dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Hal ini kerana, perkara pertama yang harus dipertimbangkan untuk melaksanakan GST ialah pendapatan rakyat.

"Pendapatan mereka haruslah bertambah baik jika GST dilaksanakan," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Dr Dzul kepada Sinar Harian Online.

"Singapura juga bermula dengan tiga peratus manakala cadangan untuk GST di Malaysia tujuh peratus, ini membebankan," tambahnya lagi.

Menurut Dr Dzul, perlaksanaan GST adalah lebih baik daripada sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) namun beberapa faktor perlu diambil kira sebelum melaksanakannya.

Perkara pertama yang harus diteliti ialah pendapatan rakyat terutama golongan miskin dan sederhana.

Penganalisis berpendapat, pelaksanaan GST, walaupun dapat meluaskan asas kutipan cukai namun ia membebankan golongan pertengahan dan miskin.

Ketua Penyelidikan dan Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan MPN, Profesor Dr Shazali Abu Mansor berkata, pelaksanaan GST membolehkan cukai dapat diselaraskan secara menyeluruh.

Beliau turut menyarankan ia bermula di bawah kadar lima peratus.

"Namun, pelaksanaan GST ini perlu dikecualikan kepada barang-barang asas seperti gula, tepung, minyak masak, kerana ianya akan membebankan rakyat  kelak," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Dzul berkata, jika GST mahu dilaksanakan, kerajaan juga harus komited untuk menutup pintu kebocoran dari sudut ketirisan, amalan rasuah, kronisme, dan nepotisme.

“Pada hemat saya kerajaan perlu meningkatkan tahap modal insan dan keterampilan rakyat, kerana ianya sekaligus dapat meningkatkan tahap produktiviti negara dan hasilnya ianya dapat meningkatkan tahap pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok pula berpendapat, pelaksanaan GST pada waktu terdekat ini hanya akan membebankan rakyat kerana peratusan rakyat miskin di negara ini masih tinggi.

“Tahap kemiskinan di Malaysia masih lagi tinggi, jadi saya lihat perlaksanaan GST akan menekan serta membebankan mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan harus mencari makanisme terbaik bagi mengurangkan bebanan rakyat di samping mengawal ketirisan dan kebocoran wang negara bagi meningkatkan lagi tahap ekonomi negara.

“Perbelanjaan kerajaan haruslah berhemah, ketirisan dan kebocoran wang negara mestilah dielak sama sekali, dengan itu saya rasa ekonomi kita akan berkembang dengan lebih baik,” katanya sambil menambah GST hanya akan menyebabkan inflasi berlaku.

Sementara itu, menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, GST tidak wajar dilaksanakan kerana ianya tidak seiring dengan peningkatan pendapatan rakyat di negara ini.

“Bagi saya GST tidak wajar dilaksanakan, kerana masalahnya sekarang ialah purata pendapatan rakyat Malaysia masih lagi berada ditahap rendah, ini tidak adil bagi mereka, sebaliknya memberi bebanan pula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memberi tumpuan kepada bagaimana untuk meningkatkan pendapatan rakyat sekaligus dapat mengurangkan bebanan ekonomi mereka.

“Kerajaan perlu berikhtiar dan mencari jalan terbaik bagi meningkatkan purata pendapatan ekonomi rakyat, bukannya melaksanakan GST,” katanya
Berubah sikap sebelum ajal
MOHD ISKANDAR OTHMAN
3 Jun 2013
Berubah sikap sebelum ajal
Kamarul
Berubah sikap sebelum ajal
Gambar percutian terakhir Nursafura bersama Kamarul dan anak mereka.
Berubah sikap sebelum ajal
Nursafura bersama dua anaknya ketika ditemui di rumah mereka, semalam.
GEORGETOWN - 'Kebelakangan ini abang jadi pendiam dan dia dilihat semakin rapat dengan anak bongsu kami.'

Itu perubahan yang dilihat Nursafura Ismail, 30, terhadap suaminya, Kamarul Azri Ishak, 30, yang ditemui lemas berhampiran jeti Batu Uban di sini petang kelmarin.

Menurutnya, suaminya yang juga seorang pekerja am Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebelum ini seorang periang dan peramah namun sejak seminggu lalu dia menunjukkan perubahan sikap.

Menceritakan semula kejadian yang menimpa Kamarul Azri itu, Nursafura berkata, suaminya mencari pendapatan tambahan dengan menyediakan perkhidmatan bot menghantar pemancing ke kawasan bawah jambatan Pulau Pinang.

Nursafura berkata, pada hari kejadian suaminya keluar rumah seperti biasa kira-kira jam 4.30 petang untuk menjalankan tugas namun dia tidak menyangka pertemuannya dengan suaminya itu adalah kali terakhir baginya.

Bagaimanapun, sebelum suaminya keluar dari rumah, dia sempat memeluk erat dan mengucup pipi anak bongsunya, Nur Inas Sumaiyah yang baru berusia enam bulan sebelum meninggalkan rumah.

“Tidak sampai beberapa jam abang keluar tiba-tiba datang seorang rakannya ke rumah memaklumkan musibah yang menimpa abang.

“Saya tak percaya pada mulanya apa yang dikatakan kawannya itu namun selepas adik ipar menghubungi dan memaklumkan perkara yang sama, saya rasa dunia saya gelap,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu Uban, semalam.

Jenazah Kamarul telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Uban di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut,Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan menerima laporan kematian mangsa.
Suami isteri rugi RM20,000
ASYRAF MUHAMMAD
3 Jun 2013
Suami isteri rugi RM20,000
Keadaan rumah mangsa yang berselerak selepas dipecah masuk.
Suami isteri rugi RM20,000
Kon Thai menunjukkan keadaan pintu rumah yang dipecahkan perompak.
Suami isteri rugi RM20,000
GIM GEE
KEPONG - Sepasang suami isteri terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM20,000 selepas rumah mereka di Jalan Api, Api Kiri 1 dipecah masuk, Khamis lalu.

Mangsa, Lee Kon Thai, 50, berkata, dia menyedari kejadian itu sebaik pulang dari tempat kerjanya kira-kira jam 5 petang pada hari berkenaan.

“Setibanya di rumah saya dan isteri terkejut mendapati pintu serta pagar rumah terbuka," katanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia kemudiannya memaklumkan kepada jirannya bagi bertanyakan tentang kejadian yang berlaku di rumahnya.

“Saya diberitahu oleh jiran terdapat sebuah van didapati masuk sehingga ke tempat letak kereta dan mereka terdiri daripada tiga individu.

"Jiran beranggapan bahawa individu berkenaan adalah pekerja penyelenggaraan dan tidak menyangka bahawa mereka adalah suspek bagi kejadian tersebut," katanya yang kemudian membuat laopran di Balai Polis Kepong.

Berikutan kejadian itu, Kon Thai mengalami kerugian sebanyak kira-kira RM20,000 selepas beberapa barangan berharga seperti wang tunai, televesyen, telefon bimbit, jam tangan serta komputer dikebas perompak berkenaan.

Sementara itu, isteri mangsa Lue Gim Gee, 43, berharap agar polis dapat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek berkenaan yang dipercayai melakukan kegiatan itu.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diharap dapat membantu dengan menyalurkan informasi kepada balai polis berhampiran.

“Saya berharap agar penjenayah ini dapat dikesan memandangkan banyak barangan berharga yang dicuri oleh pihak terbabit,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini terdapat beberapa kes pecah rumah pernah berlaku di kawasan tersebut malah kadar jenayah berkenaan juga dilihat menunjukkan peningkatan.

"Langkah pencegahan perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi memastikan tahap keselamatan penduduk terjamin.

“Penduduk telah memastikan tahap keselamatan kediaman mereka dan pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan dengan lebih kerap di sini,” katanya.
Beri alasan pergi kenduri
NURULATIQ AHMAD BANDI
3 Jun 2013
Beri alasan pergi kenduri
Remaja terlibat parti liar yang ditahan.
PORT DICKSON – Hanya kerana mahu menyertai parti liar, ada antara remaja sanggup menipu ibu bapa masing-masing, kononnya mereka mahu menghadiri kenduri.

Bagaimanapun, semuanya terbongkar dalam serbuan dilakukan polis, awal pagi semalam apabila seramai 38 anak muda termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dan seorang penuntut universiti tempatan ditahan ketika sedang leka dengan parti liar di sebuah rumah persendirian di Batu 3.5 Jalan Pantai Port Dickson, awal pagi semalam.

Difahamkan, tangkapan itu menyebabkan ibu bapa kesemua remaja terbabit terkejut selepas dimaklumkan polis dan kerana mereka dimaklumkan anak-anaknya datang ke Port Dickson untuk pergi kenduri dan bercuti.

Dalam serbuan kira-kira 3 pagi itu, rumah yang terletak di sebuah hotel turut dilengkapi lampu disko, pembesar suara, deejay serta alat pemutar muzik.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, semasa serbuan, terdapat 50 anak muda berusia antara 17 hingga 27 tahun yang mana 38 daripadanya adalah lelaki dan 12 perempuan sedang berpesta di dalam rumah berkenaan.

“Selepas siasatan dan ujian air kencing, 27 daripada mereka positif dadah, sementara 11 lagi didapati memiliki dadah.

“Dalam serbuan itu, polis menemui tiga biji pil ekstasi dan minuman keras. Namun, kita tidak menolak kemungkinan suspek berjaya menghapuskan pil berkenaan dengan mencampakkannya ke laut melalui balkoni bilik penginapan mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Abd Wahab berkata, kesemua suspek datang dari negeri ini, Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur merupakan pekerja swasta, penganggur serta pelajar.

“Mereka didapati datang ke parti berkenaan atas jemputan untuk majlis hari jadi dihantar penganjur melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan penganjur parti tidak mengenakan sebarang bayaran selain mengutip duit sewa rumah sebanyak RM750,” katanya.

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kewujudan parti itu dan operasi yang diketuai Inspektor Norsaiful Asrar Ahmad Najih bersama 13 anggota tamat sekitar 5 pagi.
Suami isteri maut leher dikelar, kepala ditetak
ROSDALILAH ZAHARI
3 Jun 2013
Balut mayat guna tilam
Keadaan rumah pasangan suami isteri yang maut terletak di di Kampung Ayer Tawar, Manjung, dekat sini, awal pagi semalam. Gambar kecil: Tilam berlumuran darah.
IPOH – Sepasang suami isteri ditemui maut dalam keadaan mengerikan apabila leher dikelar dan kepala ditetak di rumah mereka di Kampung Ayer Tawar, Manjung, dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa, K Ashahkumar, 36, dan isteri, V Panumathy, 38, ditemui di dalam dan luar rumah mereka dalam kejadian yang berlaku pada jam 1 pagi itu.

Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, dia melihat Panumathy terbaring di atas jalan dan cuba mendapatkan bantuan selepas melihat jirannya mengalami kecederaan parah di kepala kerana menyangka mangsa mengalami kemalangan.

“Ketika menghampirinya, mangsa masih boleh bernafas dan saya segera menghubungi ambulan serta polis untuk mendapatkan bantuan.

“Jiran lain yang melihat kejadian itu bergegas ke rumah mangsa dan menemui seorang lelaki dipercayai suami mangsa telah mati dan dibalut menggunakan tilam.

“Mayatnya ditemui di ruang tamu rumah dan lehernya dikelar teruk sehingga mengakibatkan tilam yang membalutinya dipenuhi darah.

“Sebelum ini, pasangan terbabit yang bekerja sebagai penyembur racun perosak di ladang kelapa sawit berhampiran didapati sering bergaduh. Tetapi, saya tidak menyangka akan menemui mereka dalam keadaan begini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata, dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa ditemui mati di rumah oleh jiran berhampiran yang turut memaklumkan insiden tersebut kepada polis untuk mendapatkan bantuan.

“Mayat Ashahkumar, ditemui mati di ruang tamu rumah manakala mayat isterinya, Panumathy, di luar halaman rumah mereka.

“Suami mangsa disahkan maut ditempat kejadian oleh pasukan perubatan selepas mengalami pendarahan teruk manakala isteri yang mengalami kecederaan di kepala dikejarkan ke Hospital Manjung sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara kedua pihak ataupun mereka menjadi mangsa samun. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana bunuh.

“Mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.
Doktor didakwa cabul ahli perniagaan

3 Jun 2013
IPOH - Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang ahli perniagaan wanita di Poliklinik Simpang Pulai, pada 22 Mei lepas.
  
Dr T.A Alagaratnam Sivarajah, 63, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan wanita berumur 50 tahun itu di alamat No. 63, Persiaran Sengat Baru Dua, Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini antara pukul 11.30 pagi dan 12 tengah hari.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.
  
Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa meminta mahkamah mengenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam K. Nahtan yang mewakili Dr Alagaratnam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh sudah mengusahakan kliniknya sejak 18 tahun lalu, selain menetap dan mempunyai keluarga di sini.
  
Majistret Nur Syafiqah Noorinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
- Bernama

Tiada ulasan: