Sabtu, 8 Jun 2013

CERITANYA ... TAK HABIS LAGI....AKAN HABIS DIAKHIRAT

Wan Ahmad: SPR capai matlamat, jadi tak perlu letak jawatan
 
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menolak gesaan yang mahu beliau dan pesuruhjaya SPR yang lain meletak jawatan.

Menurutnya, SPR berjaya mencapai objektif mengadakan pilihan raya dan rungutan yang dibangkitkan berkenaan pilihan raya lalu kebanyakannya bersifat teknikal sahaja.

"Kita dah buat pilihan raya yang capai objektif untuk semua pengundi pilih rakyat dan kerajaan.

"Semua rakyat boleh mengundi kecuali yang disekat oleh parti politik sebab muka mereka macam orang Bangladesh," katanya kepada pemberita selepas forum tentang persempadanan semula pilihan raya di bangunan Majlis Peguam petang tadi.

"Kita ada kerajaan yang sah. Inilah matlamat (pilihan raya) yang paling penting dan ia berjalan lancar.

"Apa lagi yang mereka mahu? Jangan terburu-buru buat kesimpulan hanya kerana dakwat (kekal) mudah dibasuh dari jari. Ia tidak semudah itu," tambahnya.

Peserta himpunan Blackout 505 sebelum ini sering kali menggesa agar anggota SPR meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya yang lalu.

Sebelum itu, Wan Ahmad sewaktu bercakap dalam forum tersebut, menegaskan SPR tidak boleh lagi menangguhkan persempadanan semula kawasan pilihan raya seperti dituntut peserta himpunan Blackout 505.

Langkah itu katanya sepatutnya dibuat selama lapan tahun sekali berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, ia telah ditangguhkan selama dua tahun kerana pilihan raya umum sebelum ini, katanya lagi.

"Pejabat Peguam Negara juga menasihati kami agar tidak menangguhkannya lagi kerana bilangan pengundi semakin bertambah dan kita tidak boleh hanya menutup mata," jelasnya.

Jelasnya, kawasan pilihan raya baru yang akan digariskan selepas persempadanan semula itu akan dikemukakan kepada orang ramai.

Pengundi berdaftar dalam kawasan terlibat boleh mengumpulkan 100 orang pengundi berdaftar lain dalam kawasan yang sama untuk membantah persempadanan semula kawasan mereka jika mereka tidak berpuas hati, katanya.

Beliau menjangkakan terdapat banyak bantahan dari pihak BN dan Pakatan akan dikemukakan kerana senarai persempadanan semula itu akan dikemukakan kepada orang ramai sebanyak dua kali.

Justeru, SPR katanya khuatir akan kemungkinan tidak mampu menyelesaikan proses persempadanan semula itu dalam masa dua tahun.
Felo: Melayu jadi mangsa kekang sentimen anti-BN
 
Salah pembahagian kerusi pilihan raya sebenarnya menjadikan orang Melayu sebagai mangsa, kata felo Institut Penang, Wong Chin Huat.

Menurutnya, kerusi yang dilihat sebagai kubu kuat Pakatan Rakyat dijadikan lebih besar dengan kemasukan lebih ramai orang Melayu untuk mengekang sentimen anti-BN.

Namun pada masa sama, jumlah orang Melayu yang ramai dalam kerusi tersebut tetap mempunyai hanya seorang wakil rakyat berbanding dengan mereka dalam kerusi yang lebih kecil.

Perkara ini tegasanya, membuktikan bahawa persempadanan semula adalah bersifat politik, dan bukan mengambil kira faktor geografi atau perkauman.

Beliau mengambil contoh parlimen Baling dengan majoriti Melayu yang mempunyai 93,376 pengundi berbanding Alor Setar, sebuah kerusi campuran yang hanya mempunyai 69,189 pengundi.

"Ini menghukum Melayu, kerana Baling adalah kubu kuat PAS sementara BN sebelum ini tidak pernah kalah di Alor Setar sehinggalah pilihan raya baru-baru ini. Ia bersifat partisan," katanya dalam satu forum membincangkan persempadanan pilihan raya hari ini.

Beliau seterusnya memberikan contoh dewan undangan negeri Seri Serdang yang menjadi semakin besar untuk mengekang sentimen anti-BN.

Jelasnya, pada tahun 2008 BN menang dengan majoriti 45 undi tetapi tewas kepada PAS pada tahun 2013 dengan majoriti 16,251 undi.

"BN sangat tidak popular di kawasan bandar sehingga mereka tidak mampu mendapatkan sokongan yang mencukupi melainkan mereka membentuk konstituensi yang besar," katanya.

Mengulas perkara lain, Wong menegaskan sistem pilihan raya 'first past the post' sekarang tempang kerana ia membolehkan kerajaan minoriti dengan majoriti mudah 25 peratus membentuk kerajaan.

"Untuk menang, anda perlu memenangi separuh sahaja daripada kerusi (parlimen) dan anda seterusnya hanya perlu menang separuh daripada undi daripada kerusi-kerusi tersebut," katanya.

Beliau mencadangkan tiga sistem lain sebagai ganti - sistem undi alternatif seperti di Australia, sistem pengundian berkadaran seperti di Jerman dan New Zealand, dan sistem ahli campuran majoriti seperti di Jepun dan Thailand.
Sehubungan itu, katanya, Pakatan boleh memenangi PRU13 dengan mendapat 114 daripada 222 kerusi Parlimen sekiranya Malaysia menggunakan sistem pengundian berkadaran.
Katanya, sistem pengundian itu membolehkan korelasi hampir sempurna antara undi popular dan kerusi.

Katanya, jika sistem itu telah digunakan, maka PAS akan mendapat 33 kerusi, PKR 46 dan DAP 35 - dengan BN memperolehi 106 kerusi..

Parti Star dan Sarawak Workers Party juga masing-masing mampu memenangi satu kerusi.
Tunku Aziz buat laporan terima ugutan bunuh
 
Bekas Naib Presiden DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya melalui panggilan telefon semalam.
  
Beliau yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi ini berkata ugutan tersebut dibuat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali pada pukul 10.10 malam tadi.

Katanya, bimbang nyawa dan keselamatan ahli keluarganya terancam beliau hadir membuat laporan polis.
  
"Kata-kata lelaki itu amat berani. Dia kata dia akan bunuh saya," katanya kepada pemberita.
  
Beliau berkata ugutan tersebut kemungkinan berpunca daripada beberapa isu mengenai perkembangan di negara ini yang beliau komen.
  
"Lelaki itu mungkin mengugut saya untuk berhenti memberikan komen saya mengenai beberapa isu penting mengenai negara kita," katanya.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Fadil Marsus mengesahkan ibu pejabat polis itu menerima laporan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, yang membawa hukuman denda dan penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
  
- Bernama
'BN menang majoriti mudah dengan 20% undi PRU13'
 
BN membentuk kerajaan dengan memenangi sebahagian besar daripada 130 kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi yang paling kecil.

Menurut peguam Andrew Khoo, BN menang 112 kerusi daripada kawasan pilihan raya tersebut untuk mendapat majoriti mudah.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pengundi yang memilih BN di 112 kerusi tersebut hanya terdiri daripada hampir 20 peratus daripada jumlah  pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Pada asasnya, begitulah cara BN memenangi pilihan raya," kata pengerusi bersama Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam dalam satu forum hari ini.
Usul tak terima jawatan terbatal jika ada usul baru
 
Usul MCA tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan boleh terbatal sekiranya perwakilan parti itu mencadangkan usul baharu menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
  
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagaimanapun berkata EGM tersebut hanya boleh diadakan sekiranya mendapat sokongan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada perwakilan pusat iaitu 800 daripada 2,400 perwakilan pusat.
  
Sekiranya EGM tersebut tidak mendapat persetujuan satu pertiga perwakilan, sebarang usul mengenai perkara tersebut akan dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hujung tahun ini, katanya.
  
Keputusan keputusan tersebut bergantung kepada perwakilan parti membuat usul untuk membatalkan usul yang dibuat pada AGM parti itu dua tahun lepas, katanya kepada pemberita pada satu majlis jamuan malam di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.
  
MCA pada AGM 2011 dan 2012 membuat resolusi bahawa parti itu akan menolak semua jawatan dalam kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri jika prestasinya lebih teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU), 5 Mei lepas.

Pada PRU13, MCA hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
  
Pada 2008, MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN.

Mengenai tempoh yang agak lama tiada wakil MCA sebagai exco kerajaan negeri Kedah, Dr Chua berkata ia tidak terlalu lama hanya menunggu hingga hujung tahun ini untuk diadakan AGM.
  
Katanya beliau berterima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir kerana mahu memberi jawatan exco kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) MCA tetapi parti itu tetap dengan pendiriannya sebelum ini untuk tidak menerima apa-apa jawatan.
  
Ditanya sekiranya Menteri Besar Kedah melantik ADUN MCA menjadi exco, beliau berkata: "Jika ia berlaku baru you (wartawan) tanya saya balik".

- Bernama
Delegasi Mongolia mahu jawapan kematian Altantuya
 
Delegasi Mongolia di Sidang Kemuncak Global Wanita di Kuala Lumpur menggesa kerajaan Malaysia memberi jawapan atas kematian misteri wanita warganegara itu, Altantuya Shaariibuu di Malaysia.

erdenechim and ariunna mongolian women delegation to KL, pc on altantuyaBercakap kepada media di luar persidangan itu, Presiden Persekutuan
Wanita Mongolia (MWF), J Erdenechimeg berkata, perbicaraan baru harus bermula untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kematian Altantuya.

"Kami membuat permintaan khusus kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia untuk bertindak atas ini dan supaya perbicaraan segera diadakan," tegasnya.

Diapit oleh kira-kira 70 anggota delegasi, beliau berkata ia demi untuk dua anak lelaki Altantuya yang kini membesar tanpa ibu mereka.

ariunna mongolian women delegation to KL, pc on altantuya"Kami juga berharap diberi bantuan kewangan kepada kedua-dua
anak-anak tersebut," katanya.

Menurut pengarah eksekutif MWF, Ariunna Shagdarsuren (kanan), MWF telah memutuskan untuk membawa mesej itu bagi pihak keluarga si mati selepas bertemu dengan bapa Altantuya.

"Bapanya telah meminta kami supaya membangkitkan perkara ini kerana beliau perlu memberitahu cucunya mengapa ibu mereka mati di Malaysia," katanya.

"Sudah bertahun-tahun berlalu, berapa lama lagi mereka perlu menunggu?"

Tiada ulasan: