Seorang pesara, Abdul Rahman Ismail, 59, berkata, walaupun cuaca terik, beliau datang untuk menunjukkan keprihatinannya setelah kejadian itu meragut nyawa seorang lelaki.
Menurutnya, kejadian tanjak jambatan runtuh itu mengingatkan kembali tragedi hitam terminal feri Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth yang runtuh pada tahun 1988.
"Saya amat terkejut dengan kejadian yang berlaku ini. Apapun saya tidak mahu menunding jari mana-mana pihak.
"Apa yang saya lihat, pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk mencari dan menyelamat mangsa kejadian sejak tiga hari lalu.
"Saya  sekeluarga mengucapkan ucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian ini," katanya.
Ditanya sama ada akan menggunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dijangka siap beberapa bulan lagi, Abdul Rahman, berkata walaupun rasa sedikit takut, namun tetap akan menggunakannya selepas beroperasi kelak.
"Bagi saya, inisiden seperti ini adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dijangka oleh mana-mana pihak walaupun pihak bertangggungjawab mengambil pelbagai langkah ketika projek pembinaan dijalankan," katanya.
Rohana Osman, 50, berkata, inisiden jambatan runtuh itu tidak dapat dilupakan kerana lima minit sebelum kejadian itu, anak lelakinya yang bekerja di sebuah kilang dekat situ baru sahaja melalui kawasan itu dengan motosikal.
"Selepas sampai di kilang, dia kata terdengar satu gegaran kuat. Selepas itu, kawannya memaklumkan mengenai kejadian itu. Saya sangat bersyukur anak saya terselamat dari insiden ini.
"Setiap hari anak saya memang menggunakan jalan ini dari rumah ke tempat kerja kerana ia adalah satu laluan yang pantas berbanding satu lagi jalan yang lebih jauh dari rumah kami. Selepas ini, saya tentu tidak akan membenarkannya menggunakan jalan ini lagi walaupun ada jaminan bahawa ia selamat digunakan," katanya.
Sementara itu, seorang lelaki warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 69, berkata, walaupun jarang menggunakan jalan itu tetapi setiap kali bersama isterinya melalui bawah jambatan  itu, beliau akan membawa kereta dengan laju untuk melepasinya kerana takut.
"Saya selalu rasa takut menggunakan jalan ini walaupun ia memendekkan perjalanan ke Bayan Lepas. Walaupun takut dan rasa kurang selesa ketika memandu, saya terpaksa juga menggunakannya.
"Sebagai warga Pulau Pinang, saya minta semua pihak terutama pemaju dan kontraktor lebih  bertanggungjawab memastikan inisiden ini tidak berulang," katanya.

 

Bayi ditemui di hadapan kuil
SITI SAFA MOHD NOR
8 Jun 2013
Bayi ditemui di hadapan kuil
Bayi malang lengkap berpakaian yang ditemui di sebuah kuil, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SITI SAFA MOHD NOR
SITIAWAN – Penduduk Taman Nesa, di sini dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah kuil pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, bayi lelaki yang baru berusia seminggu itu ditinggalkan di kuil berkenaan dalam keadaan lengkap berpakaian.

Kehadiran bayi itu disedari seorang sami yang kebetulan datang ke kuil itu untuk menjalankan upacara keagamaan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner, Jaafar Baba berkata, pemeriksaan secara fizikal ke atas bayi berkenaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dikesan.

Bagaimanapun katanya, bayi berkenaan telah dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan lanjut.

“Kita akan maklumkan kes ini kepadan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan pengawasan.

“Polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan individu terlibat termasuk ibu bapa bayi berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Shafarin Abd Samad, 22, berkata, bayi berkenaan dimasukkan dalam sebuah bakul rotan lama yang dialas menggunakan kain lampin dan diletakkan di atas meja yang terdapat di kuil itu.

“Sebaik sami itu maklumkan kepada penduduk ada bayi, kami datang untuk melihat bayi itu.

"Bayi itu nampak macam sihat sahaja, mungkin masih baru sebab tali pusat belum tanggal,” katanya.
Pelanggan tak sempat buka baju
Wartawan Sinar Harian
8 Jun 2013
Pelanggan tak sempat buka baju
Seorang lelaki sedang asyik menikmati urutan daripada wanita warga Thailand.
PORT DICKSON – Keasyikan beberapa pelanggan menikmati urutan badan oleh wanita warga Thailand di pusat refleksologi di Lukut di sini terbantut apabila premis tersebut diserbu pihak berkuasa semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan itu, lima lelaki separuh bogel sedang leka merasai urutan tangan wanita warga asing terbabit tanpa menyedari kehadiran premis terbabit telah diserbu.

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya setelah mendapati premis terbabit menjalankan kegiatan lain selain daripada menyediakan perkhidmatan refleksologi.

“Sebelum ini sudah beberapa kali kita berusaha menyerbu premis terbabit, tetapi gagal. Pengusaha premis bijak mengaburi mata pihak berkuasa apabila berselindung di sebalik nama urut refleksologi.

“Malah dia bijak menjalankan operasi kerana ketika serbuan dibuat premis terbabit seolah-olah masih belum dibuka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, didapati lima lelaki warga tempatan separuh bogel dan yang hanya menutup badan menggunakan sehelai tuala sedang asyik menikmati urutan wanita warga Thailand.

Faizal berkata, seorang lelaki pula  dilihat baru sahaja membuka pakaian namun terbantut apabila menyedari premis diserbu.

“Kesemua mereka ditahan di bawah Peraturan 39 (b), Peraturan Imigresen 1963 manakala majikannya seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Pasangan mempelai terkejut dengar jeritan
Wartawan Sinar Harian
8 Jun 2013
Pasangan mempelai terkejut dengar jeritan
Keadaan kereta mangsa yang terhumban di bahagian bahu jalan akibat hilang kawalan.
PARIT BUNTAR - Sesi penggambaran pengantin bagi sepasang mempelai  terganggu seketika apabila dikejutkan dengan insiden kemalangan membabitkan sebuah kereta di persisiran Pantai Ban pecah, Sungai Burung di sini, kelmarin.

Saksi kejadian, Shaharudin Zaman, 28, berkata, dalam kejadian jam 5 petang, dia dan pasangannya menjalani penggambaran pengantin di sekitar kawasan pantai itu sebelum terdengar suara jeritan seseorang berdekatan lokasi penggambaran.

Menurutnya, dia bersama jurugambar bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut mendapati sebuah kereta berada dalam keadaan terbalik di bahu jalan sempit akibat berselisih dengan kenderaan lain.

“Sejurus selepas itu, saya melihat seorang pemandu dan rakannya berusaha menyelamatkan diri dengan keluar perlahan-lahan dari kenderaan tersebut.

“Kami segera menghulurkan bantuan bagi menarik kedua-dua mangsa naik ke atas dan seorang daripada mereka segera menghubungi perkhidmatan trak penunda untuk menaikkan kenderaan itu,” katanya sewaktu ditemui media di tempat kejadian, di sini, kelmarin.

Sementara itu, mangsa kemalangan yang enggan dikenali menjelaskan, sebahagian tanah runtuh sewaktu kereta dipandunya melalui lokasi itu menyebabkan dia hilang kawalan dan terus terbalik di bahagian bahu jalan berbukit.

“Mujurlah jalan itu tidak begitu curam dan hanya berketinggian beberapa meter sahaja. Jika tidak saya tidak dapat membayangkan perkara buruk berlaku terhadap kami,” katanya.