Isnin, 10 Jun 2013

BILA AMAL KITA DIMINTA MANUSIA MENILAINYA BUKANNYA ALLAH...ROSAK...ROSAK

Muhyiddin betul-betul dalam dilema

Harakahdaily, 10 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Seruan untuk kedua-dua jawatan tertinggi Umno untuk tidak dipertandingkan betul-betul membuatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam dilema.

Menurut sumber Umno yang menghubungi Harakahdaily, Timbalan Presiden Umno itu tidak berani menyambut seruan tersebut kerana terasa ada perangkap menantinya.

“Jika Muhyiddin sambut, bermaksud beliau tak akan mencabar bosnya (Datuk Seri) Najib (Razak). Tapi siapa yang boleh beri jaminan beliau tidak akan dicabar oleh (Datuk Seri) Ali Rustam dan (Tan Sri) Isa Samad.

"Jika Muhyiddin sambut sahaja, maka Najib sudah terselamat. Dan ini membuka peluang kepada semua musuhnya untuk menggulingkannya. Akhirnya seruan hanya akan tinggal seruan, hanya jawatan Presiden Umno tidak dipertandingkan,” kata sumber Umno kepada Harakahdaily.

Semalam, Muhyiddin menegaskan bahawa hak menentukan pertandingan dua jawatan tertinggi Umno untuk berlangsung atau tidak, tidak terletak pada tangan individu pemimpin tapi ahli-ahlinya.

“Saya akan komen apabila tiba masa yang sesuai,” kata Muhyiddin ketika ditanya samada beliau menyokong kedua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan.

Sebelum itu, Muhyiddin turut mengikut langkah untuk mematikan 1Malaysia Najib dengan mengisytiharkan bahawa (BN) akan memberi "bantuan lebih kuat" kepada komuniti yang menyokong mereka semasa pilihan raya umum.

"Mesej jelas sebahagian besar Melayu, India, Bumiputera, Orang Asli, Siam dan sebahagian besar masyarakat di Sabah dan Sarawak masih mendukung BN," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“Orang Umno paling sayangkan jawatan. Muhyiddin tidak terkecuali. Tapi beliau sedar beliau dalam bahaya. Sokongan yang diharapkan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika di pemilihan Umno 2009 di mana beliau mengetuai kempen turunkan Tun Abdullah (Badawi) tidak kuat kali ini.

"Najib akan diam diri – wartawan akan serang bertubi-tubi pada Muhyiddin. Najib hanya memerlukan jawapan daripada seorang saja iaitu Muhyiddin untuk menyelamatkannya daripada dicabar. Tapi berlainan dengan Muhyiddin, beliau memerlukan banyak jawapan untuk yakin bahawa kedua-dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan itu akan direalisasikan,” kata sumber Umno lewat malam tadi.

Beliau turut mengulangi pendapatnya bahawa Muhyiddin memilih jalan maut sekiranya mengambil keputusan untuk mempertahankan kerusi timbalan presiden.

“Jika itu keputusan Muhyiddin, maka itulah titik noktah bagi karier politik beliau yang hanya sampai peringkat Timbalan Perdana Menteri sebelum digantikan dengan orang yang lebih muda dan tidak mengugat Najib.

"Di dalam Umno, ramai yang menganggap beliau sebagai layak menjawat presiden Umno sekurang-kurangnya kerana senioriti dan sumbangannya kepada parti. Lagipun isteri Muhyiddin low profile seperti isteri Tun (Dr Mahathir) yang wakil-wakil Umno lebih suka berbanding (Datin Seri) Rosmah (Mansor),” kata beliau sebelum mengakhiri perbualan telefon.

Mahkamah tetapkan rayuan Sirul Azhar 24 - 26 Jun

Muhammad Faizal, 10 Jun 2013

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan tiga hari bagi mendengar rayuan Kopral Sirul Azahar untuk  kes pembunuhan melibatkan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

(Peguam Kamarul Hisham yang mewakili Sirul Azhar)

Hakim Datuk Sri Mohamed Apandi Ali menetapkan pada 24 hingga 26 Jun bagi kes tersebut setelah mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak.

Selain Apandi, dua lagi Hakim yang mendengar kes tersebut adalah Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam pada itu Apandi juga turut mengarahkan peguam pembela memfailkan rayuan kedua bersama-sama dengan hujah dan fakta terbaru dalam masa sepuluh hari bermula hari ini.

Peguam yang mewakili bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis yang bertugas mengiringi pemimpin negara iaitu Kopral Sirul Azhar Umar, Kamarul Hisham Kamarudin ketika ditemui di lobi mahkamah memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan tersebut esok.

"Kita telah mendapat kebenaran dari hakim bagi merayu kes yang berkaitan pembunuhan Altantuya.

"Sepertimana yang kita tahu kes telah ditetapkan pada 24 hingga 26 Jun iaitu selama tiga hari dan untuk rayuan kita akan failkan esok bersama-sama hujah yang baru," jelasnya.

Tambah beliau lagi, Mahkamah Rayuan memikirkan adalah perlu demi kepentingan keadilan untuk mereka meneliti dokumen-dokumen ini untuk memutuskan alasan rayuan tambahan yang telah dikemukakan sebelum ini.

Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Okt 2006 dan 1 pagi, 20 Okt 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Sebelum itu, Sirul Azhar telah memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan sebelum ini bagi memohon pembebasannya, mendakwa wujud perbicaraan silap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis usul itu difailkan firma guaman The Chambers of Kamarul Hisham and Hasnal Rezua di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di sini dalam usaha untuk memasukkan alasan rayuan tambahan.

Dalam permohonan itu, bekas Koperal Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada "publisiti buruk" secara meluas semasa perbicaraan itu yang jelas mengelirukan dan prejudis terhadap dirinya, dengan itu menafikan dirinya perbicaraan adil.

Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada publisiti buruk menerusi tiga akuan bersumpah, dua dibuat oleh penyiasat persendirian mendiang P. Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin.

Beliau memohon Mahkamah Rayuan mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai perbicaraan silap, sabitannya diketepikan dan beliau dibebaskan.

Harakahdaily difahamkan, ada isu besar yang bakal meletup dalam perbicaraan ini nanti.

PAS sudah fail dua petisyen di Terengganu

Harakahdaily, 10 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu sudah memfailkan dua petisyen pilihan raya semalam di negeri ini iaitu untuk DUN Kuala Brang dan Hulu Besut.

Menurut sumber, satu atau dua petisyen lagi akan difailkan oleh PAS di Terengganu.


(Tun Salleh dan Datuk Wan Mutalib...dua peguam yang akan mewakili PAS dalam petisyen)

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS Shalahudin Jaafar kalah kepada calon BN, Nawi Mohamad sebanyak 1,570 undi di Dun Hulu Besut, Terengganu.

Shalahudin mendapat 6,314 undi manakala calon BN mendapat 7,884 undi manakala undi rosak adalah 170 dan peratusan keluar mengundi untuk Dun ini adalah 88 peratus.

Menurut peguam yang memfailkan kes ini, Saifudin Othman, pempetisyen kes ini adalah seorang pengundi bernama Mohamad Salleh bin Sidek.

Petisyen ini dikemukakan berdasarkan dakwaan rasuah yang dilakukan oleh calon BN.

"Sekumpulan peguam yang diketuai Tun Salleh Abas dan Datuk Wan Mutalib Embong akan mengendalikan kes ini bagi pihak PAS di mahkamah," kata Saifudin dari syarikat guaman Wan Mutalib & Co.

Di Dun Kuala Brang pula, calon PAS Muhyidin Abdul Rashid kalah kepada calon BN Tengku Putera Tengku Awang dengan majoriti 449 undi.

Muhyidin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu mendapat 6,468 undi manakala calon BN mendapat 6,917 undi. Undi rosak adalah 280, peratusan keluar mengundi adalah 89.40 peratus.

Hayati dan laksana 5 prinsip amal jamaei

., 10 Jun 2013
Sebahagian dari usaha untuk memperkasakan PAS agar Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang , kita sewajarnya memastikan intima' atau penglibatan kita dengan PAS ini benar - benar dihayati bersama 5 prinsip Amal Jamaei.

5 Prinsip yang saya maksudkan itu ialah:

1. Iltizam

Memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap aktiviti amal Islami yang dianjurkan oleh PAS demi menjayakan gerakkerja pengkaderan atau pembinaan :

Aqidah yang sohih ,
Fikrah yang syumul dan
Syakhsiyyah yang soleh .
Dakwah yang benar
Tanzim @ Organisasi yang mantap

Jangan abaikan setiap keputusan jamaah apalagi membuat keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan secara jamaei melalui prosedur mesyuarat yang sah . Pastikan juga kita tidak mengakibatkan aktiviti jamaah lumpuh atau terbiar dengan sikap yang acuh tidak acuh dalam menjayakannya .

Terapkan rasa wajib ke atas diri dalam menunaikan semua peraturan dan arahan jamaah yang tentunya untuk kepentingan perjuangan Islam yang suci dan bersih dari sebarang elemen yang bersifat kepentingan diri sendiri .

Rasa diri terpanggil untuk menyelesaikan apa jua tanggungjawab dan amanah perjuangan yang terbengkalai walaupun bukan kita pemegang amanah yang bertanggungjawab langsung terhadapnya .

2. Wala'

Kesetiaan dan kejujuran kita terhadap perjuangan Islam yang didokong dengan PAS sebagai platform untuk menjayakannya , lalu menggapai objektif dan matlamat .

Tidak berlaku curang atau tidak mengkhianati perjuangan dengan melakukan sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dengan dasar perjuangan tetapi juga mendedahkan jamaah kepada risiko ekoran tindakan kita yang kurang berhati - hati seperti mengakibatkan kebocoran rahsia dan lainnya .

Jangan sekali - kali bermain kayu 3 dengan jamaah yang akhirnya mencetus dilemma dalam melaksanakan arahan pimpinan . Antaranya sikap menyertai 2 atau 3 jamaah sekali gus kononnya didirikan atas kefahaman bahawa yang penting ialah Islam bukan jamaah , maka boleh menyertai mana - mana jamaah yang mahukan Islam .

Tindakan ini membawa kepada pecah wala' lalu timbul pula 'fatwa' kononnya wala' tidak wajib kecuali kepada Allah dan Rasul demi menghalalkan tindakan mereka menyertai 2 atau 3 jamaah secara serentak .

Menyertai 2 atau 3 jamaah serentak sebenarnya menggangu proses pembinaan secara terancang dan mencetuskan kekeliruan fikrah serta membawa kepada dilemma dalam ketaatan dan komitmen . [ perbincangan panjang dan jelas telah saya tulis dalam kertas kerja saya yang bertajuk Ummah Centric : satu kekeliruan . ]

3. Dengar dan Taat.

Melancarkan misi dan operasi yang telah dirancang demi mencapai objektif dan matlamat perjuangan suci ini pastinya dengar dan taat adalah mekanisme yang tidak dapat tidak mesti dihayati dan dilaksanakan .

Kita tidak selayaknya mengklasifikasikan ketaatan kita kepada pimpinan dan jamaah selama mana ia tidak mengheret kita dan jamaah ke kancah maksiat dan mungkar . Sekalipun pemimpin yang mengeluarkan arahan hanya seorang junior atau pimpinan bertaraf cawangan , jika kita bertanggungjawab langsung dengan arahan tersebut maka hendaklah ianya dilaksanakan dengan penuh amanah .

4. Ukhuwwah fillah

Jalinan persaudaraan antara ahli PAS mestilah diikat dengan semangat berlapang dada , berbaik sangka , tawadhu' atau merendah diri antara satu sama lain , kasihkan saudara sebagaimana kita kasih kepada diri sendiri , mengutamakan kebaikan buat saudara kita mengatasi diri sendiri .

Eratnya jalinan antara ahli sesama ahli dan ahli dengan pimpinan membentuk benteng kukuh buat jamaah dari sebarang anasir yang merosakkan struktur kepimpinan dan pentarbiyahan jamaah .

Usaha dan aktiviti yang menumbuhkan kemesraan sesama ahli atau program yang menanam rasa kasih yang mendalam mestilah diberikan keutamaan . Justeru ukhuwwah yang terbina utuh antara ahli dan pimpinan akan meminimakan ruang khilaf dan menutup peluang krisis .

5. Tadhiyyah [pengorbanan]

Tiada perjuangan tanpa pengorbanan malah pengorbanan antara pra syarat kemenangan . Sukar untuk kita jayakan misi dan visi perjuangan besar ini tanpa pengorbanan semua pihak . Mengorbankan tenaga , harta benda dan nyawa demi perjuangan Islam ini sememangnya telah diwartakan oleh Allah dalam al Quran sebagai sunnah perjuangan sejak zaman Nabi saw.

Kegagalan berkorban memerangkap diri dan jamaah dalam kelemahan yang tidak mungkin boleh diatasi .

Terutama kita berjuang di era menang , kedengaran akhir - akhir ini suara yang mahu titik peluh dan penat lelahnya untuk perjuangan ini dibayar dengan imbuhan dunia . Tanpa imbuhan atau perolehan lumayan maka tiada tenaga jauh sekali nyawa untuk perjuangan . Ini satu musibah !

Pengorbanan adalah tuntutan perjuangan yang sama samaada sebelum atau selepas menang . Tanpa pengorbanan terlalu sukar untuk kita mencapai kemenangan sebagaimana jua tanpa pengorbanan pasti sahaja kemenangan yang dicapai tidak akan bertahan lama .

Ringkasan ini sebagai satu nota kecil buat petugas , ahli dan pimpinan PAS yang saya dedikasikan buat semua khasnya diri saya sendiri yang masih perlu dibimbing dan dibina dengan apa yang telah saya notekan di sini .

Saya harap perbincangan lanjut dibawa ke usrah atau liqa fikri berkait 5 prinsip amal jamaei ini dan dilengkapkan dengan nas qura'ani dan dalil sunni berasaskan manhaj perjuangan an nabawi.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Van jenazah pun Umno nak berpolitik

Dari Blog Omak Kau, 10 Jun 2013


Apalah punya muka tak tau malu betul lah UMNO ni...sampaikan van jenazah sumbangan Bank Rakyat kepada Surau Nurul Amin, Kampong Banggol Pasir, Changkat Jering, Taiping, Perak, pun mengaku dia punya siap nak ada lambang UMNO terlekat di van tersebut.

Jelas Bank Rakyat dermakan kepada surau dan bukannya kepada UMNO...Yang UMNO dok pandai-pandai bubuh lambang dia kat van tersebut apa hal beb!!!!

Ingat Bank Rakyat tu kepunyaan UMNO ke?


Klik untuk lihat tulisan penuh blogger ini.

Tiada ulasan: