Khamis, 3 Mei 2012

MASALAH MORAL NI...PIHAK MENGEMBAR GEMBUR MASALAH MORAL DAN SEX...MEREKA JUGA MENGHADAPI KES YANG SAMA...RASUAH DAN MENYALAHGUNA KUASA... PERKARA2 TERSEMBUNYI YANG LEBIH DAHSYAT...DIMANA ALLAH SAJA TAHU...MAKA ALLAH AKAN MENGHUKUMNYA...KITA TUNGGU SAJA TAKDIR YANG ALLAH TENTUKAN....

Media: Suhakam tak boleh terima kekasaran polis

Harakahdaily, 03 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 3 Mei: Penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan Bersih 3.0 dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam pada 28 April 2012, termasuk laporan pasukan pemantaunya, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara sembarangan oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika; sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa.

Suruhanjaya juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan keadaan di mana kelakuan dan tingkah laku peserta perhimpunan yang tidak dapat dikawal dan menjadi huru hara.

Namun begitu, penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali  di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam.

Suruhanjaya, dalam Laporan Tahunan serta laporan Siasatan Awam berkenaan penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak polis semasa perhimpunan awam, telah berulang kali menyeru pihak berkuasa, agar menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.

Tambahan pula,  Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasaan Undang-undang juga menyediakan bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang haruslah, seboleh mungkin, menggunakan cara yang tanpa kekerasan sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan kekasaran.

Walaupun Suruhanjaya telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak.

Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.  Ia juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima.

Peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa, namun ianya juga berpendapat bahawa perhimpunan awam menyediakan ruang untuk orang ramai melahirkan perasaan mereka mengenai isu yang menjadi kebimbangan.

Hak-hak tersebut adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

Walau bagaimanapun, dalam usaha ke arah demokrasi yang berfungsi sepenuhnya, Suruhanjaya telah berulangkali menggesa semua pihak untuk melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan yang lebih penting hak orang lain yang terlibat secara tidak langsung juga mesti dihormati dan dilindungi.

Buat ketika ini, Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan.

Sementara itu, Suruhanjaya akan membincangkan perkara ini, menganalisa bukti yang terkumpul dan mengkaji laporan pemantuan perhimpunan tersebut secara terperinci dalam mesyuaratnya yang akan datang bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya.

Untuk sebarang pertanyaan serta pengemukaan maklumat dan dokumen, sila hubungi:

Kumpulan Aduan, Inkuiri dan Pemantauan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tingkat 11, Menara TH Perdana
Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur
Tel: 03-2612 5600; Faks: 03-2612 5694/5620
Emel: _ HYPERLINK "mailto: complaints@suhakam.org.my" _complaints@suhakam.org.my_ / _ HYPERLINK "mailto: humanrights@suhakam.org.my" _humanrights@suhakam.org.my_

Umno terdesak guna isu moral lemahkan PKR

Aslani M | Foto Yusri Amin, 03 Mei 2012
PASIR PUTEH: Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pula menjadi sasaran Umno semata-mata bagi melemahkan PKR menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Fariz Musa berkata, Azmin menjadi sasaran kerana beliau merupakan Pengarah Pilihan Raya PKR.

“Mereka mahu melemahkan PKR melalui dakwaan dan tomahan yang tidak berasas menggunakan isu moral, sedang ia sudah tidak boleh diterima orang kampung.

“Saya masih ingat perkara ini bukan baru, sebaliknya sudah 16 tahun lepas tuduhan menggunakan isu moral dilempar terhadap Azmin, tetapi ternyata segala tuduhan itu palsu,” katanya pada ceramah isu semasa dan Bersih 3.0 di Bukit Abal malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Adun Selising, Saiful Baharin Mohamad, Setiausaha Penerangan PAS kawasan, Abdul Shakur Sharrie dan rombongan NGO Jingga 13.

Sejak dua hari lepas akhbar milik Umno menyiarkan gambar kononnya mirip pemimpin Pakatan didakwa terbabit dengan rakaman aksi panas, seperti disiarkan beberapa blog Umno.

Bagaimanapun Azmin menafikan dakwaan palsu itu dan hari ini beliau menuntut Utusan Malaysia membayar RM100 juta kerana menyiarkan gambar lucah palsu.

Peguam daripada Tetuan Edwin Lim Suren & Soh mengeluarkan surat tuntutan Azmin supaya editornya menarik balik tuduhan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka di muka depan akhbar berkenaan.

Fariz yang juga pengerusi Jingga 13 berkata, segala tuduhan yang melibatkan moral tidak mampu lagi diterima orang ramai.

Pada ceramah tersebut Fariz menayangkan aksi ganas polis terhadap peserta Bersih 3.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu sehingga membangkitkan semangat orang ramai yang hadir.

Biar pun hujan agak lebat menjelang ceramah diadakan, namun orang ramai tetap hadir mengikuti perkembangan semasa terutamanya isu Bersih 3.0.

Sebelum itu Dr Nik Mazian menyampaikan bendera PAS kepada wakil-wakil Unit Peti Undi (UPU) di Dun Selising sebagai menggambarkan gerak kerja pilihan raya sudah bermula.

5 tuntutan Kelantan sempena lawatan Najib esok

Salmah Mat Husain, 03 Mei 2012
KOTA BHARU, 3 Mei: Kerajaan Kelantan menuntut lima perkara sempena kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan rasminya ke negeri ini bermula esok.

Exco Kerajaan Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar) berkata, Perdana Menteri perlu meluluskan tuntutan kerajaan negeri berhubung pemberian royalti petroleum.

Katanya lagi, pada masa yang sama kerajaan Pusat juga amat wajar menyediakan bajet pembinaan Lebuh raya Kota Bharu-Gua Musang dan lebuh raya Pantai Timur yang telah ditarik balik pembinaannya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khasnya, di Kota Darulnaim, di sini sebentar tadi.

Selain itu, katanya kerajaan Pusat juga perlu membantu kerajaan negeri untuk pembinaan stadium bagi menggantikan yang sedia ada memandangkan sokongan rakyat terhadap bidang sukan di negeri itu semakin meningkat.

“Kerajaan Pusat juga seharusnya menunaikan permohonan kerajaan negeri untuk menaik taraf lapangan terbang di samping menyediakan bantuan untuk pembinaan pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Sambungnya, Perdana Menteri sendiri pernah mengisytiharkan negeri ini paling miskin di Malaysia, sewajarnya bantuan dan perhatian diberi secara khusus.

“Walau bagaimanapun kami percaya lawatan Perdana Menteri kali ini ada misi politik disebalik persiapan Umno ingin merampas Kelantan.

“Sudah pasti terlalu banyak umpan, madu dan gula akan ditawar kepada rakyat di negeri ini sebagai cagarannya,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS negeri.

Beliau bagaimanapun berharap rakyat di negara ini lebih matang menilai pentadbiran kerajaan negeri dalam tempoh 22 tahun ini walaupun difitnah pelbagai agenda buruk oleh pihak lawan.

Bayan Mutiara: Guan Eng kesal laporan Bernama

Harakahdaily, 03 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 3 Mei: Lim Guan Eng berasa kesal pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Bernama telah menyalahgunakan kebebasan untuk membuat laporan mengelirukan tentang jawapannya dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam berkaitan penjualan tanah Bayan Mutiara secara tender terbuka.
“Semalam, saya mengakui bahawa kerajaan negeri tidak mengikut penilaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta kerana anggaran harga itu adalah terlalu rendah,” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan.

Katanya, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dalam surat bertarikh 5 November 2009 telah menganggarkan harga sebanyak RM65 sekaki persegi.

Sebaliknya, jelas Guan Eng kerajaan negeri tidak mengikuti harga R65 sekaki persegi dan menetapkan harga rizab sebanyak RM200 sekaki persegi, iaitu lebih 3 kali ganda daripada penilaian Jabatan Penilaian.

Beliau menambah, dalam tender terbuka yang tutup pada 31.12.2010, pemaju yang tawarkan harga paling tinggi sebanyak RM240 sekaki persegi dipilih ataupun sebanyak RM1.07 bilion untuk 102.56 ekar.

“Malangnya dalam laporan semalam, Bernama enggan menyiarkan harga penilaian yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian sebanyak RM65 sekaki persegi tetapi hanya pengakuan bahawa saya tidak mengikut harga penilaian Jabatan Penilaian.

“Ini akan memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri telah menetapkan harga yang lebih rendah daripada yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian,” katanya lagi.

Biasanya, kata beliau kerajaan BN tidak memakai tender terbuka dan akan menetapkan harga yang lebih rendah daripada harga Jabatan Penilaian.

Guan Eng berkata, demi mengelakkan gambaran yang mengelirukan, pejabat beliau telah meminta Bernama membetulkan laporan mengelirukan itu dengan menyiarkan harga penilaian oleh Jabatan Penilaian tetapi Bernama enggan buat demikian.

“Saya kesal dengan keengganan Bernama menyiarkan semua fakta berkaitan yang jelas disengajakan agar memberikan laporan yang mengelirukan,” ujarnya.

Berita 'Kematian di depan pejabat PM..' paling popular

Harakahdaily, 03 Mei 2012


(Salmiyah menerima wang tunai dan penghargaan dari ketua Harakahdaily)

KUALA LUMPUR: Berita yang ditulis oleh Salmiyah Harun bertajuk 'Kematian di depan pejabat PM mengecewakan' telah dipilih sebagai berita paling popular Harakahdaily sepanjang April lepas.

Berita tersebut telah mendapat 10,431 klik dari pengguna facebook dan twitter Harakahdaily sahaja tidak termasuk yang diklik terus dari laman Harakahdaily.

Satu majlis ringkas diadakan di pejabat Harakahdaily hari ini bagi menyatakan penghargaan terhadap Salmiyah yang menulis berita itu.

Selain penghargaan, Salmiyah turut menerima wang tunai tanda pengiktirafan atas berita itu.

Berita kedua paling hangat adalah laporan tentang rumah berharga RM4 juta yang diduduki oleh seorang artis yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Berita bertajuk 'Rumah RM4 juta artis ada hubungan dengan menteri' itu mendapat 9,779 klik dari pembaca facebook dan twitter Harakahdaily.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh berita bertajuk 'Altantuya tunjuk gambar Najib sebelum mati, dakwa ayahnya'.

Harakahdaily memaparkan berita yang terbaik bagi setiap bulan pada dinding pejabatnya bagi memberikan rangsangan kepada wartawannya untuk menghasilkan laporan yang terbaik.

Berikut adalah 10 berita paling popular dalam Harakahdaily sepanjang bulan April lepas.


1) Kematian di depan pejabat PM mengecewakan

2) Rumah RM4 juta artis ada hubungan dengan menteri

3) Altantuya tunjuk gambar Najib sebelum mati, dakwa ayahnya
4) Bagaimana kereta peronda polis diterbalik

5) Nedim, anak menteri yang tidak peduli publisiti negatif

6) Dapat juga saya jumpa Tok Guru – Bob Kuman

7) 2 peserta Bersih cedera parah dirawat di HKL

8) Siapa paling besar....
9) Bila artis dan sastrawan sertai PAS

10) Hanya 1 meter ombak landa Pantai Aceh

Tiada ulasan: