Khamis, 3 Mei 2012

JADILAH WARTAWAN YANG TAKWA...BUKAN WARTAWAN MENGADU DOMBA...MEWAR-WARKAN ACARA2 MAKSIAT...JANGAN JADI WARTAWAN MENEMPAH NERAKA ALLAH SWT....MAIN BELASAH TAK IKUT SYARIAT...WARTAWAN JUGA MATI...

Penyokong Umno bolot rumah projek ECER

M Faqih , 03 Mei 2012

GUA MUSANG: Mengambil kira kepentingan rakyat kerajaan negeri menyerah tanah seluas 500 ekar untuk dibangunkan program Agropolitan di bawah projek Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Rantau Manis.

Tanah tersebut termasuk dibangun projek perumahan untuk rakyat miskin sebanyak 1,000 unit, dan sehingga kini 315 unit daripadanya sudah siap dibina.

Dan mengikut persetujuan bersama antara kerajaan negeri, ECER, Kesedar dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) senarai rakyat yang dipilih mendapat rumah tersebut dibuat secara bersama.

Dan pada awal tahun ini seramai 174 penduduk dipanggil temuduga untuk memiliki rumah tersebut yang bernilai setiap sebuah kira-kira RM60,000.

Bagaimanapun Penyelia Parlimen Gua Musang, Abdullah Husain berkata, pada 18 April lalu hanya seorang sahaja daripada senarai kerajaan negeri berjaya, dan selebihnya senarai dikemukakan Umno.

“Kita difahamkan senarai yang diangkat kerajaan negeri telah hilang selepas temuduga diadakan. Kita kesal mereka telah mempermainkan persetujuan yang sudah dicapai sebelum ini.

“Sedangkan tanah tersebut sebelum ini dilulus kerajaan negeri kepada Pusat Pembangunan Pondok Bhd, namun telah ditarik balik dan diberi pula kepada ECER bagi kepentingan orang ramai.

“Harapan kerajaan negeri melalui kerjasama itu membolehkan lebih ramai lagi rakyat miskin memiliki kediaman sendiri,” katanya di sini.

Projek Agropolitan tersebut yang terletak di jalan raya Gua Musang-Kuala Krai dijangka dirasmi Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan rasmi ke Kelantan esok.

Sebelum itu Perdana Menteri difahamkan akan merasmikan Karnival Komuniti 1 Malaysia di padang Pusat Sivik Gua Musang.

Oleh itu Abdullah berharap kerajaan negeri dan ECER memainkan peranan memastikan persetujuan bersama sebelum ini benar-benar dipatuhi.

Menurutnya hanya Abas Osman dari RPT Limau Kasturi daripada senarai dikemukakan kerajaan negeri mendapat rumah tersebut bagi fasa pertama, sedangkan 173 lagi senarai Kesedar daripada penyokong Umno.

“Sekiranya dibiarkan pengagihan dilakukan secara berat sebelah, tentunya 1,000 unit rumah yang akan dibina di Rantau Manis diboloti Umno, sedangkan persetujuan asal 50-50,” ujarnya kesal.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Gua Musang berkata, kedatangan Presiden Umno esok bukan sahaja disambut bendera dacing dan Umno, sebaliknya Bandar Gua Musang dipenuhi bendera PAS sejak sebulan lalu.

Katanya, 800 helai bendera dipasang memandangkan Umno juga sudah banyak menaikkan bendera dacing.

Beliau juga meluahkan rasa kesal tiga sepanduk yang ditulis “Terima Kasih Ku Li Kerana Menyokong Royalti Minyak” yang dinaikkan awal pagi tadi sudah dibuang pihak tertentu.

“Banner tersebut dinaikkan di bandar lama dan berhampiran Pasar Raya Econjaya dibuang pagi ini. Kita bukannya pasang di tempat berlangsung program Perdana Menteri,” ujarnya.

NST siasat laporan fitnah senator Australia

Harakahdaily, 03 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Akhbar The New Strait Times (NST) sedang menyiasat laporan wartawannya ekoran bantahan anggota Parlimen Australia, Senator Nicholas Xenophon.

Ketika dihubungi The Malaysia Insider, Ketua Pengarang NST, Abdul Jalil Hamid berkata, "Kami sedang melihat fakta mengenainya."

Hari ini,  Nick Xenophon (gambar) dalam kenyataannya berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar Malaysia yang memaparkan beliau seolah-olah anti-Islam.

Dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh News.com.au, beliau melahirkan rasa terkejut dengan serangan itu.

Nick Xenophon bersama-sama dengan pemerhati antarabangsa berada di Malaysia baru-baru ini termasuk semasa hari perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lepas.

Beliau, dalam misi menjadi pemerhati politik, telah membuat kenyataan menyesali apa yang berlaku dalam perhimpunan itu.

Ekoran itu, media tradisional milik Umno dan BN menyerang peribadi beliau termasuk melebelkan beliau sebagai anti Islam dan pejuang hak lesbian, gay, bisexual dan transgender (lgbt).

NST misalnya melaporkan Nick Xenophon anti Islam semasa berucap dalam Parlimen Australia padahal katanya dalam ucapan itu beliau menggunakan perkataan 'Scientology' dan bukannya Islam.

"Laporan itu palsu sepenuhnya," kata beliau dan akan meminta nasihat undang-undang mengenainya.

"Ia satu fitnah dan saya akan ambil tindakan," katanya.

"Saya terkejut ada yang pergi hingga sebegitu rendah," kata Xenophon sebagaimana dilaporkan oleh media Autralia itu.

Ekoran itu, NST telah membuang laporan berkenaan dari laman webnya.

SPRM perlu siasat dakwaan Najib dapatkan USD1b

Harakahdaily, 03 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 3 Mei: Pendakwa Perancis mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapat sejumlah USD1 bilion bagi pihak Perimekar daripada syarikat pembuatan kapal Perancis DCNI, iaitu anak syarikat DCN.
Perkara itu didedahkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam satu sidang media tengah hari tadi.

Dalam satu dokumen yang dihantar Francois Dupont bertarikh 1 Jun 2001 sebagai syarat bagi mengadakan satu pertemuan dengan Najib, ketika itu sebagai Menteri Pertahanan pada 14 Julai 2001 kepada kepada D Arnaud.

Menurut kenyataan Suaram, dokumen yang ditandakan nombor 87 dari keseluruhan 153 dokumen itu disita polis Perancis dari pejabat Henri Gide (Thales) pada 28 Mei 2010.

Dokumen itu turut memperinci kronologi lawatan dan tindakan yang bakal diambil Dupont sepanjang lawatannya ke Malaysia, di mana beberapa rancangan antaranya pertemuan dengan Menteri Pertahanan ketika itu.

Justeru, Suaram menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuka penyiasatan terhadap pendakwaan awam Perancis ini.

Bagi Suaram, kerjasama penuh kerajaan Malaysia khsusnya dalam kedua-dua moral dan undang-undang ke dalam siasatan yang sedang berjalan di Perancis.

"Kementerian Pertahanan akan datang bersih dan senaraikan ke parlimen syarikat lain yang terlibat dalam proses perolehan dan yang mendapat manfaat daripada sogokan dan komisen," kata Suaram.
Klip seks: Azmin mahu saman Utusan RM100 juta
Wartawan Sinar Harian
3 Mei 2012
Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mahu menyaman Utusan Malaysia RM100 juta kerana menyiarkan laporan klip video seks yang menggambarkan kononnya si lelaki adalah beliau.
Kelmarin, Azmin menafikan beliau lelaki yang dirujuk dalam laporan dan gambar-gambar yang mengiringnya.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, dakwaan dan gambar-gambar yang digunakan adalah rekaan semata-mata, bermotifkan politik dan tahap kewartawanan yang sangat menjijikkan.

"Hari ini, Azmin menerusi peguamnya Edwin Lim Suren & Soh mengeluarkan tuntutan kepada  Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang memiliki Utusan Malaysia dan editor agar menarik balik dakwaan-dakwaan itu dan membuat permohonan maaf di muka depan Utusan Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Melihat kepada keseriusan dakwaan dan edaran akhbar di peringkat nasional, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menuntut ganti rugi RM100 juta.
Bersih 3.0: Suhakam kecewa polis guna pendekatan keras
Wartawan Sinar Harian
3 Mei 2012
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kecewa dan bimbang dengan insiden semasa perhimpunan awam Sabtu lalu termasuk laporan berkenaan pengendalian terlalu kasar di pihak polis bagi menyuraikan orang ramai.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media, yang dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguat kuasa.
Katanya, penggunaaan kekasaran yang tidak seimbang sepatutnya tidak berlaku ketika perhimpunan.
"Tindakan pihak polis tidak boleh diterima sama sekali di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara profesional bagi memudahkan perhimpunan awam," katanya lagi.
Kata beliau, pihaknya sedia maklum akan kelakuan dan tingkah laku peserta semasa perhimpunan yang tidak dapat dikawal dan menjadi huru-hara.
"Namun pihak Suhakam berulang kali menyeru agar pihak berkuasa dapat menggunakan cara yang sesuai bagi mengawal atau menyuraikan orang ramai tanpa menggunakan kekasaran," katanya.
Tambah beliau, pendekatan itu sejajar dengan Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai penggunaan kekerasan dan senjata api oleh penguat kuasa undang-undang, juga menyediakan pegawai penguat kuasa undang-undang seboleh mungkin menggunakan cara yang bersesuaian sebelum membuat keputusan untuk menggunakan kekerasan.
"Walaupun Suhakam menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan diadakan, namun tawaran tersebut telah ditolak," katanya.
Hasmy berkata, beliau juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minimum.
Justeru kata beliau, Suhakam juga ingin mengulangi pendiriannya bahawa keamanan dan kestabilan adalah prinsip utama serta ketenteraman awam harus dikekalkan setiap masa, namun orang ramai juga berhak untuk menyuarakan perasaan dan pendapat mengenai isu yang menjadi kebimbangan masyarakat kini.
Oleh yang demikian, katanya, dalam usaha mencapai demokrasi sepenuhnya, Suhakam menggesa semua pihak melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan dihormati.
Sehubungan itu, Hasmy juga berkata, Suhakam mahu pihak media dan pihak berkuasa yang berkaitan yang menyaksikan sebarang insiden semasa perhimpunan  berkenaan mengemukakan maklumat, dokumen dan bukti yang berkaitan kepada Suhakam untuk siasatan bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya.

Jawatan Kosong

JAWATAN KOSONG SEGERA

Kami memerlukan calon-calon yang berminat untuk memenuhi jawatan berikut
  • WARTAWAN

Kelayakan

  • Umur tidak melebihi 35 tahun
  • Mempunyai Ijazah atau Diploma dalam bidang berkaitan terutama kewartawanan
  • Boleh menulis dalam Bahasa Melayu dengan baik
  • Kebolehan menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris adalah satu kelebihan
  • Berpengetahuan luas mengenai isu-isu semasa dalam dan luar negara
  • Berupaya bekerja secara berkumpulan, dalam keadaan tertekan, sentiasa menepati 'deadline' dan sanggup bekerja di luar waktu pejabat termasuk hari-hari cuti umum.
  • Wajib mempunyai lesen memandu

Permohonan bertulis beserta sekeping gambar berukuran pasport boleh dihantar kepada:

Jabatan Pentadbiran HARAKAH
No. 28, Jalan Pahang Barat
Off Jalan Pahang
53000 Kuala Lumpur
(U/P:  Unit Sumber Manusia)@ Email:  sumbermanusia@harakah.net.my
Tarikh Tutup    20hb Mei 2012



Asri: Penting fahami realiti sebelum berfatwa
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
3 Mei 2012
Gambar: Penulis dan ahli-ahli Fatwa Perlis mendengar taklimat di Alhamra, Spain
Gambar: Penulis dan ahli-ahli Fatwa Perlis mendengar taklimat di Alhamra, Spain
MINGGU lepas saya tidak menulis. Saya agak sibuk melayan rombongan Ahli Majlis Fatwa Perlis yang melawat UK dan Spain. Rombongan disertai S.S Mufti Negeri dan beberapa ahli fatwa yang lain. DYTM Raja Muda Perlis sebagai Dipertua MAIPs mengetuai delegasi. Sebagai bekas Mufti Perlis dan masih menjadi ahli Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), saya yang berada di UK ini mengambil peranan bersama rombongan di sini dan Spain.

Seperti biasa, Raja Muda Perlis akan mengenakan jadual yang agak ketat kepada ahli-ahli rombongan beliau. Lawatan, perjumpaan dan perbincangan di sana dan sini. Setiap ahli diberikan tugasan menganalisa  tempat yang dilawati ataupun perjumpaan yang diadakan. Kemudian dibentangkan. Saya melihat banyak manfaat yang jika dihayati akan berperanan dalam pembentukan fatwa.

Sebenarnya, kembara dan memerhati perbezaan budaya dan latar manusia adalah penting sebelum seseorang meletakkan sesuatu penilaian ataupun hukum. Ramai orang melawat tempat orang lain, tetapi hanya asyik melihat bangunan dan pemandangan cantik sahaja tanpa mempelajari perbezaan budaya dan adat manusia. Dalam fatwa memahami latar budaya dan adat amatlah penting. Mengetahui latar isu sebelum sesuatu fatwa itu dikeluarkan adalah satu kemestian.

Hanya kebelakangan ini apabila munculnya golongan literalist terutama di beberapa Negara Teluk, mereka membid’ahkan apa yang disebut sebagai Fiqh al-Waqi’ (understanding the reality in the light of jurisprudence) ataupun fekah berdasarkan realiti. Kejumudan yang seperti itu boleh menatijahkan fatwa yang menyusahkan dan tidak kena pada tempatnya. Golongan yang menentang fatwa berasaskan latar realiti ini kononnya kerana menganggap hukum Allah semua sama di setiap tempat, zaman dan individu.

Pada asasnya, kenyataan itu mungkin betul jika setiap tempat, zaman dan individu mempunyai keadaan dan latar yang sama. Namun realitinya dunia sentiasa berubah. Budaya dan masalah di setiap zaman dan tempat juga tidak sama. Nabi s.a.w sendiri dalam pelbagai hadis memberikan jawaban yang berbeza-beza bagi satu soalan yang sama disebabkan latar penyoal dan keadaan semasa.

Sebab itu kita dapati jawapan Nabi s.a.w bagi soalan seperti “apakah amalan yang terbaik?” dan “Berikan pesanan untukku” berbeza-beza berdasarkan latar penyoal. Demikianlah hukum agama dalam Islam ini. Terdapat perkara yang tetap tidak boleh berubah seperti solat, puasa, haji dan yang seumpamanya. Namun terdapat banyak hukum yang berkait dengan latar keadaan manusia terutama yang membabitkan urusan muamalat seperti urusan jual-beli, sewaan, riba, pakaian, pergaulan dan seumpamanya.

Al-Imam Ibn Qayyim dalam karyanya yang terkenal I’lam al-Muwaqqi’in meletakkan satu bab Taghaiyur al-Fatwa wa Ikhtilafuha bi Hasbi Taghaiyur al-Azminah wa al-Amkinah wa al-Ahwal wa al-Niyyat wa al-‘Awaid (Perubahan fatwa dan perbezaannya berdasarkan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat).


Fahami Budaya

Justeru, para ulama Usul al-Fiqh menegaskan hal ini sejak dahulu. Kata al-Imam al-Qarafi (meninggal 684H): “Jika kita keluar dari satu negeri ke negeri yang lain yang adat (kebiasaan) mereka berbeza dengan adat negeri kita maka kita berfatwa berdasarkan adat negeri mereka dan bukan adat negeri kita. Demikian juga jika seseorang datang dari negeri yang adatnya berbeza dengan adat negeri kita, maka kita tidak boleh berfatwa melainkan dengan adat negerinya bukan adat negeri kita”. (Al-Ihkam fi Tamyiz bain al-Fatawa wa al-Ahkam, m/s 218. Syria: al-Matbu’at al-Islamiyyah).

Bahkan al-Imam al-Qarafi sekali lagi dalam karyanya al-Furuq dengan tegas menyebut: “Jangan sepanjang hidupmu jumud dengan baris-baris ayat dalam kitab. Apabila datang seseorang dari negeri yang iklim (budaya) berbeza denganmu meminta fatwa, jangan engkau hukum berdasarkan keadaan negerimu.

Hendaklah kamu tanya keadaan negerinya dan nilai serta fatwalah berdasarkan keadaan itu. Bukan keadaan negerimu dan apa yang tertulis dalam kitab-kitab. Inilah kebenaran yang nyata. Jumud dengan petikan-petikan (kitab) pasti satu kesesatan dalam agama, kejahilan terhadap maksud para ulama Islam dan golongan salaf yang lampau”.

Inilah yang kita lihat kepada sesetengah fatwa ulama zaman ini yang tidak mengikuti keadaan semasa. Tidak memahami realiti baru umat Islam dan perubahan dunia. Ada yang begitu literal sehingga mengambil fatwa-fatwa muamalat dan siyasah dari para ulama yang dangkal tentang hal politik dan berada dalam iklim yang berbeza serta kepentingan yang tersendiri. Inilah yang berlaku kepada golongan literalist di Barat yang memetik fatwa-fatwa muamalat dan politik dari negara-negara Teluk seakan wahyu yang boleh diubah.

Apa kurangnya juga di negara kita apabila ada yang menganggap semua fatwa dalam kitab dahulu, ataupun dari ulama dokongan mereka itu sesuai untuk semua keadaan tempat. Ada pula yang memetik fatwa sempit tertentu kononnya mengundi dalam pilihanraya itu haram sebab zaman sahabat tiada pilihanraya!

Al-Imam Ibn ‘Abidin (meninggal 1252H) menyebut dalam Nashr al-‘Uruf: “Kebanyakan hukum berbeza disebabkan perbezaan zaman, perubahan keadaan, suasana darurat ataupun kerosakan di mana jika hukum itu kekal seperti sebelumnya akan menyebabkan kesusahan dan mudarat kepada manusia. Sedangkan kaedah-kaedah syarak itu dibina atas meringankan, memudahkan dan menghalang mudarat dan kerosakan.

Oleh itu, uruf (kebiasaan) berubah dan berbeza disebabkan perbezaan zaman. Jika berlaku uruf yang baru, maka mufti pada zaman kita hendaklah berfatwa berdasarkan uruf itu dan hendaklah berbeza dengan apa yang tertulis dalam kitab-kitab mazhab. Maka golongan yang terkemudian yang menyanggahi apa yang tertulis dalam kitab-kitab mazhab dalam perkara-perkara yang pernah dibahaskan dahulu, sebenarnya tidak menyanggahinya melainkan disebabkan perubahan zaman dan uruf.

Mereka tahu, jika tuan punya mazhab berada pada zaman mereka akan memberikan pendapat yang sama. Maka mufti hendaklah memberikan fatwa berdasarkan uruf zamannya sekalipun menyanggahi ulama terdahulu”.


Ikuti Perkembangan

Maka bagi golongan ulama pada zaman ini, di mana dunia teknologi berkembang begitu pesat, penting untuk mereka melihat hukum hakam syarak dan pendekatan agama luar dari kerangka kitab yang mereka baca. Mereka mesti mampu untuk keluar dari kerangka petikan-petikan hukum yang lampau yang mempunyai konteks yang berbeza. Masyarakat di Eropah umpamanya dalam hukum-hakam muamalat dan siyasah tidak boleh terikat dengan fatwa-fatwa Arab Saudi ataupun Malaysia yang tidak luas dalam hal-hal seperti itu.

Latar keadaan juga berbeza. Apatahlagi jika sesuatu fatwa mempunyai pengaruh budaya dan politik tertentu. Maka malang, jika mereka yang belajar di Negara-Negara Teluk cuba menegaskan agar wanita di negara lain turut memakai pakaian hitam seperti wanita Teluk. Itu hanya adat mereka yang bukan warisan salaf untuk dihayati. Demikian juga memakai purdah amat tidak sesuai untuk difatwakan di Barat ini.

Bahkan al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menyebut dalam Iqtida Sirat al-Mustaqim tentang keadaan muslim yang berada di negara bukan muslim: “Sekiranya muslim berada di negara musuh, ataupun negara kufur yang tidak musuh maka dia tidak disuruh untuk berbeza dengan mereka dari segi penampilan zahir kerana itu akan memudaratkan. Bahkan digalakkan ataupun diwajibkan menyertai mereka di sudut penampilan zahir jika itu terdapat kemaslahatan agama seperti untuk dakwah mereka kepada Islam dan memerhati keadaan dalam mereka untuk dimaklumkan kepada orang muslim ataupun menghalang bahaya mereka terhadap orang muslim ataupun selainnya yang merupakan niat yang baik”.

Maka, penafsiran hadis-hadis Nabi s.a.w dan penukilan fatwa terutama yang membabitkan soal muamalat dan politik hendaklah dilihat dalam kerangkan teks dan konteks. Bukan kerana sesuatu nas hadis itu tidak sesuai, tetapi latar keadaan yang telah berubah. Ia memerlukan ijtihad baru dalam kerangka yang baru.

Kata Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am : “Betapa banyak hukum yang dahulunya perongkai dan penyelesai masalah yang berkesan dalam suasana zaman tertentu, namun selepas beberapa jenerasi ia tidak lagi mencapai maksudnya. Mungkin memberikan kesan yang sebaliknya disebabkan perubahan keadaan, pendekatan dan akhlak…di atas asas ini diletakkan kaedah fekah “Tidak dinafikan perubahan hukum disebabkan perubahan zaman”.

Kembara dan memerhati suasana orang serta memahami budaya mereka amatlah penting. Ramai yang mencerca Barat dan mereka yang tinggal di Barat, tetapi tidak memahami latar budaya dan falsafah mereka dalam kehidupan. Lebih buruk lagi, ada yang ingin mengenakan fatwa sempit di negaranya kepada umat di Barat ini.

Lebih buruk ada yang ingin mengenakan hukum-hakam syarak yang dirumuskan oleh ulama untuk umat yang hidup di kurun-kurun yang lalu kepada umat yang hidup di kurun teknogi dan segala kecanggihan dan perubahan cara fikir dan budaya hari ini. Maka, penting untuk memahami realiti sebelum berfatwa, jika tidak kita akan menjadi fatwa itu literal yang sempit dan memundurkan umat.



* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford
Dr Mahathir: Azmin patut saman bersihkan nama

3 Mei 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad.
KUALA TERENGGANU - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali digesa mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman pihak yang memalukannya berhubung penyebaran gambar yang mengaitkan beliau dengan aksi panas bersama seorang wanita, baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan saman oleh Azmin adalah langkah sewajarnya diambil untuk membersihkan namanya setelah dipalit kontroversi berkenaan.

"Dia boleh nafi itu bukan dia. Saya harap dia bawa orang itu ke mahkamahlah.

Kena saman malu, RM100 juta ke... RM500 juta ke...buat macam tu (penyebaran gambar) nak bagi malu Azmin saja, jadi dia patut bawa ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas program Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tajuk 'Cabaran Umat Islam Masa Kini : Persepsi dan Realiti' anjuran kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan dan lebih 5,000 peserta.

Ketika ditanya pendapatnya tentang kesahihan gambar berkenaan, Dr Mahathir berkata beliau tidak percaya kepada gambar, namun tidak ada apa yang mustahil dalam dunia ini.

"Kadang-kadang kamera dalam tandas pun orang letak juga," katanya.
  
Berikutan penyebaran gambar berkenaan, Azmin yang juga Anggota Parlimen kawasan Gombak, dilaporkan berkata imej lelaki dalam gambar lucah itu bukanlah dirinya dan menganggap ia sebagai fitnah terhadap beliau menjelang pilihan raya umum ke-13.

DI KEPALA BATAS, Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mahu Azmin membuktikan bahawa gambar lelaki dalam aksi panas dengan seorang wanita yang tersiar dalam akhbar dan beberapa laman blog bukan dirinya.

Reezal berkata Anggota Parlimen Gombak itu perlu tampil membuktikan bahawa gambar itu bukan beliau dan bukan hanya menafikannya sahaja.

"Bukan penafian yang orang mahu tahu sebaliknya beliau (Azmin) perlu tampil buktikan bahawa gambar lelaki itu bukan dia dan jangan hanya mahu tuduh kita (Umno) yang sebarkan gambar berkenaan.

"Ini bukan agenda kita (penyebaran gambar Azmin) kerana Pemuda Umno lebih fokus untuk mendekati golongan muda dan membantu rakyat, kita tidak ada masa untuk sebar gambar beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kawasan Parlimen Kepala Batas.

Reezal berkata demikian bagi mengulas kenyataan Azmin yang mengaitkan Umno dalam penyebaran fitnah berkenaan untuk mengaibkan beliau dan keluarga.

Beliau dilaporkan berkata fitnah jelik ini disebarkan oleh media yang dikuasai Umno yang memetik sumber blog pro Umno,fitnah itu memaparkan seorang lelaki yang mereka tohmah sebagai beliau bersama seorang wanita dalam tandas.

Reezal yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas berkata beliau tidak menolak kemungkinan penyebaran gambar berkenaan itu dibuat oleh 'orang rapat Azmin' yang tidak suka dengannya.

"Tidak mustahil rakan-rakannya yang sebarkan kerana ramai  dikalangan mereka tidak suka dengan beliau (Azmin), jadi jangan hanya mahu menuduh Umno," katanya.- Bernama
Sebutan kes cerai Ahli Parlimen Kuala Langat ditangguh 11 Jun
Wartawan Sinar Harian
3 Mei 2012
KUALA LANGAT - Mahkamah Rendah Syariah di sini, terpaksa menangguhkan sebutan kes tuntutan cerai yang dibuat isteri terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abd Hamid, apabila Ahli Parlimen itu tidak hadir untuk sebutan kes di mahkamah semalam.

Isteri Abdullah Sani, Halimah Mohd Sahad, selaku plaintif memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, pada 13 April lalu.

Tuntutan cerai dibuat Halimah atas alasan tiada lagi keserasian dalam perhubungan mereka selain kecewa dengan tindakan suaminya yang berkahwin lain tanpa kebenarannya di Songkhla, Thailand, lebih setahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd Fauzi Ismail menetapkan tarikh 11 Jun depan sebagai sebutan­ semula kes tersebut sementara mahkamah mengeluarkan notis kepada defendan supaya hadir pada tarikh sebutan akan datang.

Plaintif yang hadir sendirian ke mahkamah untuk sesi pendengaran sebutan itu berkata, suaminya tidak dapat datang ke mahkamah kerana menghadiri mesyuarat.

Plaintif turut menyatakan mereka masih lagi tinggal bersama, namun tetap mahu meneruskan tuntutan cerai tersebut.

Hasil perkahwinan mereka selama 27 tahun, pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata berusia antara 15 hingga 25 tahun.

Tiada ulasan: