Jumaat, 2 Ogos 2013

YANG MENGUGAT SEGALA KERAJAAN DIDUNIA ADALAH KETENTUAN TAKDIR

Petisyen pilihan raya tidak gugat Najib, BN

Harakahdaily, 02 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dengan kecenderungan mahkamah pilihan raya membuat keputusan berhubung petisyen pilihan raya, akhirnya status quo kerusi BN sebanyak 133 kerusi dan PR sebanyak 89 akan kekal sehingga pilihanraya akan datang.

“Dan yang penting kerajaan BN serta kedudukan Najib tidak tergugat lagi,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, jika petisyen PR yang diterima dan terpaksa diadakan pilihanraya semula, ia mungkin dibimbangi memberi kesan kepada kerajaan sedia ada.

Tambahnya, jika petisyen BN pula yang diterima, mungkin pula timbul tuduhan bahawa mahkamah berat sebelah dan memihak.

Akhirnya, tulis beliau lagi jalan tengah diambil dengan semua petisyen ditolak dan BN terus kekal berkuasa.
Baca lagi

Rampas mercun: Jangan kaitkan saya, kata Khalid

Muhammad Faizal, 02 Ogs 2013
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad menafi dan mempertikaikan tindakan Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mengaitkan beliau dengan rampasan mercun di Seksyen 20 kelmarin.

Khalid berkata, MBSA perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal tersebut dan mengkaitkan nama beliau adalah satu tindakan yang tidak wajar.

"Saya nak jelaskan tindakan Pegawai Penguatkuasa MBSA mengatakan saya mengarah agar merampas mercun yang dijual di Bazar Ramadhan adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Saya tegaskan di sini saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan berhubung perkara tersebut, apa yang dikatakan itu tidak benar," katanya pada sidang media semalam.

Khalid sebelum itu menerima aduan dari seorang peniaga mercun Izwan Khairini Azahar, 19 tahun yang tidak dibenarkan berniaga di Bazar Ramadhan sedangkan lesen menjual mercun dan bunga api sudah diperolehi dari pihak polis.

Izwan yang telah berniaga di Bazar Ramadhan sejak lima tahun lepas tidak pernah ada sebarang masalah tetapi pada tahun ini terdapat kawalan yang ketat dari MBSA.

"Lesen kebenaran dari pihak polis telah diperolehi, kenapa MBSA tidak benarkan, lagipun mercun yang ingin dijual itu bukannya merbahaya," sambung beliau.

Duta ke Perancis: Dari tentera kepada polis

Harakahdaily, 02 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Duta Malaysia ke Perancis dijangka akan bertukar dari bekas Ketua Angkatan Tentera kepada bekas Ketua Polis Negara tidak lama lagi.

Menurut sumber, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) akan mengambil alih tugas sebagai duta ke negara itu dari bekas Ketua Angkatan Tentera Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal hujung September ini.

Perancis dikira negara penting untuk Malaysia kerana di sana mahkamahnya sedang membicarakan perdana menteri Malaysia ekoran skandal Scorpean.

Ismail mula bersara wajib 17 Mei lalu selepas memberikan khidmat kira-kira 40 tahun sebagai anggota polis.

Bulan-bulan terakhir khidmatnya sebagai KPN adalah suasana yang penuh kontroversi dalam negara ini dengan pelbagai perkara yang berlaku.

Antaranya adalah pilihan raya umum ke 13 yang dianggap paling mendebarkan dan berakhir dengan kerajaan BN mendapat jumlah undi lebih kecil berbanding dengan Pakatan Rakyat.

Mengapa undi PAS merosot dalam PRK K Besut

Wan Nik Wan Yusof , 02 Ogs 2013
(Calon PAS dan BN di Kuala Besut....pengundi kedua-dua pihak jatuh mendadak)


PILIHAN raya kecil Kuala Besut yang lalu telah membuktikan masih ada kelemahan pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Kelemahan itu adalah kerana menetapkan hari mengundi jatuh pada hari bekerja, 24 Julai. Meskipun begitu SPR masih berbangga kerana perjalanan pengundian agak lancar.

Sementara pihak Barisan Nasional (BN) telah memuji SPR yang berjaya menguruskan proses pengundian sehingga memenangkan calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dengan majoriti meningkat.


Ikuti analisa penuh Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Yusof dalam Harakah edisi Isnin ini.

Nisbah polis tak cukup, kenapa tolak cadangan S'gor

Muhammad Faizal, 02 Ogs 2013
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengesa agar pihak polis memandang serius dengan peningkatan jenayah yang berlaku di sekitar Shah Alam dan Selangor amnya.

Jelasnya angka jenayah yang dinyatakan oleh pihak polis bagi sekitar Shah Alam dan Daerah Petaling dalam lingkungan 60 kes sehari adalah angka yang amat membimbangkan.

"Saya melihat jenayah di Shah Alam adalah satu perkara yang amat membimbangkan, saya jangka paling kurang akan terdapat lima atau enam kes sehari.

"Tetapi apabila kita bertanya kepada pihak polis mereka mengatakan lebih kurang 60 kes dalam sehari termasuk di Daerah Petaling, ini angka yang amat tinggi," jelasnya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Katanya lagi, keputusan kerajaan negeri yang ingin membantu pihak polis membuat pemantau jenayah dengan mewujudkan polis bantuan dialu-alukan semua rakyat.

Namun keputusan tersebut telah ditolak oleh pihak polis dengan alasan akan ada pertindihan tugas dengan pihak polis.

"Mengikut angka yang diperolehi kurang 30 peratus dari jumlah anggota polis negara ini menumpukan tugas kepada pemantauan jenayah.

"Selebihnya lebih tumpu kepada kerja-kerja keranian di pejabat, tugas-tugas khas ataupun berada dalam pasukan simpanan," kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu lagi.

Menurutnya lagi, kalau mengikut jumlah anggota polis yang ada, nisbah seorang anggota polis akan memantau 270 orang rakyat Malaysia (1:270).

Tetapi hanya 30 peratus sahaja anggota polis yang ditugaskan menjalankan kerja pemantauan, nisbah seorang anggota polis akan memantau lebih 2000 rakyat.

"Macam mana nak pantau kalau seorang anggota perlu memantau lebih 2000 orang.

"Saya harap polis lebih profesional dan mengambil serius dalam isu jenayah ini dan kurangkan kerja-kerja Cawangan Khas (SB) yang lebih tumpu kepada memantau ahli politik pembangkang," sambung beliau.

Khalid berharap kerajaan terutamanya Kementerisn Dalam Negeri (KDN) membuat penyelarasan semula tugas-tugas anggota polis yang ada sekarang dengan memberi penumpuan khusus kepada soal jenayah.

Sementara itu, Madzham Ahmad Nasir, 38 tahun yang tinggal di Seksyen 4 dan juga merupakan salah seorang mangsa pecah rumah kesal kerana peningkatan jenayah di kawasan tempat tinggalnya terus meningkat tanpa ada pemantauan khusus.

Beliau yang turut memberitahu dalam tempoh dua bulan tidak kurang 20 buah rumah di Seksyen 4 telah dipecah masuk yang mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

Jangan biar negara jadi sarang mafia

Harakahdaily, 02 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa kerajaan benar-benar berusaha untuk membanteras jenayah berat yang kini menjadi fenomena di negara ini supaya tidak membiarkan negara ini menjadi sarang kepada sindiket mafia melakukan jenayah upah bunuh.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, insiden yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan adanya petanda bahaya sindiket penjenayah yang terlibat dengan jenayah pembunuhan secara terang- terangan semakin menjadi-jadi.

Katanya, pengalaman negara Barat dan di beberapa negara lain yang dijangkiti dengan sindiket mafia yang bersedia melakukan operasi pembunuhan harus disekat dari berkembang di negara ini.

“Bukan sahaja isu perundangan yang perlu dipertingkatkan malah yang lebih utama ialah penguatkuasaan yang didapati lemah dan tidak berkesan.

“Pelbagai langkah seperti memasang CCTV juga bukan penyelesaian satu-satunya untuk mencegah jenayah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menggesa pihak kerajaan mengadakan dialog nasional untuk melibatkan pelbagai pihak agar dapat melihat trend jenayah yang berlaku di negara ini.

Katanya, jenayah kolar putih dan jenayah berat sudah dikenal pasti, tetapi kenapa pencegahannya kelihatan lemah.

“Kami khuatir dengan berkembangnya jenayah bunuh dan rompak bersenjata yang semakin kerap di negara ini, masyarakat semakin hilang keyakinan terhadap institusi polis  sama ada mampu atau tidak menjadikan negara ini selamat,” katanya.

Malah, ujar beliau jaminan kepada 'whistle blowers' untuk dilindungi ternyata tidak berlaku apabila pihak yang memberi maklumat sering terdedah kepada ancaman disasar oleh penjenayah yang diupah.

“Kami berpendirian meningkatkan bilangan anggota polis bukan jalan terbaik seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi,” ujarnya.

Beliau menambah, bilangan anggota polis serta meningkatkan kemudahan polis sudah pun dilulus dalam bajet beberapa tahun yang lalu, namun jelas insiden jenayah berat terus berlaku.

Teras, ujarnya mengusulkan agar pihak kerajaan juga mengambilkira perkembangan sosio-ekonomi masyarakat serta budaya hidup yang juga menyumbang kepada tren jenayah.

Oleh kerana itu, katanya strategi yang lebih menyeluruh harus dilaksanakan.

Katanya lagi, perkembangan kehidupan yang semakin tertekan dengan pelbagai masalah sosio-ekonomi menyuburkan kecenderungan orang melakukan jenayah untuk mencari jalan pintas mengatasi masalah.

Pemuda PAS WP hulur sumbangan mangsa kebakaran

Zulkarnain Borhan, 02 Ogs 2013

KUALA LUMPUR: Di saat warga kota mula sibuk bersiap membeli keperluan hari raya yang bakal menjelma tidak lama lagi, lima buah keluarga di Kampung Pasir Baru, Lembah Pantai telah ditimpa musibah apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian 29 Julai lalu.

Atas keprihatinan dan persaudaran, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan semalam telah mengunjungi mangsa-mangsa yang terlibat untuk memberi sedikit sumbangan.

Mengetuai ziarah itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS WP Mohamad Suhaimi Abdul Aziz serta ditemani rakan-rakan yang lain termasuk wakil daripada Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai Rone Faizal Isnin, timbalan ketuanya Nik Abdul Razak dan Fadhlullah.

Sumbangan telah disampaikan kepada wakil keluarga tersebut iaitu Haji Amin Sabari.

Selain memberikan sedikit sumbangan, rombangan pemuda PAS ini juga dibawa menjenguk tapak rumah yang terbakar.

Menurut salah seorang mangsa, Ahmad Hariri, ada di antara rumah yang terbakar ini telahpun wujud semenjak tahun 1960-an lagi.

Lebih malang lagi apabila tiga daripada lima keluarga ini telah hilang tempat tinggal manakala dua lagi menetap di rumah sewa masing-masing.

"Semoga dengan sedikit bantuan daripada pihak Pemuda PAS WP ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka menjelang lebaran yang bakal menjelma," kata Suhaimi.

Tiada ulasan: