Mahkamah pilihanraya jadi jalan buntu
Harakahdaily, | 01 Ogs 2013 |
Ini berikutan pelbagai keputusan yang dibuat oleh mahkamah berkenaan sangat diragui dan menyusahkan pihak-pihak yang ingin mencari keadilan, kata Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).
Sehubungan dengan itu, beliau bertanya, apakah penalti yang tinggi yang dikenakan pada pempetisyen pilihanraya ialah amaran tersirat agar setiap kali pilihanraya jangan ada pihak yang berani membuat petisyen walaupun tidak berpuashati atau ini satu trend baru dalam kehakiman?
Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas keputusan mahkamah pilihanraya untuk menolak petisyen pilihanraya yang difailkan BN dan Pakatan Rakyat di peringkat awal sebutan kes dengan alasan teknikal sahaja.
Pempetisyen pula dikenakan untuk membayar penalti kos yang sangat besar sehingga RM150,000 sebagaimana yang berlaku di petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Kuala Brang, Terengganu pagi ini.
“Mahkamah sepatutnya menjadi tempat rakyat mengadu mendapatkan keadilan. Ia adalah jalan terakhir bagi rakyat kerana ia menelan belanja yang tinggi. Kos penalti yang diperintah bayar untuk petisyen pilihanraya yang sangat tidak munasabah ini bukanlah satu usaha positif bagi rakyat menjadikan mahkamah sebagai tempat mengadu permasalahan mereka,” tegas Tuan Ibrahim.
Pilihanraya umum ke 13 mencatat sejarah petisyen paling banyak iaitu 60 dengan 39 daripada Pakatan Rakyat dan 21 daripada BN.
Tuan Ibrahim berkata sekurang-kurangnya mahkamah harus memulakan pembicaraan untuk mendengar hujah pempetisyen daripada terus menidakkan hak pempetisyen untuk mengadu atas sebab teknikaliti.
Alasan teknikal seperti petisyen hendaklah dibuat sendiri oleh calon, bukan melalui peguam dan pelbagai isu teknikal lain.
"Jelas, mahkamah tidak membantu rakyat bagi memudahkan prosedur petisyen. Rakyat menfail petisyen kerana kepincangan sistem pilihanraya yang dialaminya bukan suka-suka. Sepatutnya mahkamah memberi keutamaan kepada isi petisyen daripada segalanya,” tegasnya lagi.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyoal garis panduan yang digunakan untuk menetapkan kos yang terpaksa dibayar.
"Apakah tiada 'tanda harga' bagi mengawal agar pempetisyen boleh mempersiapkan jumlah wang bagi bersedia ke arah itu ketika membuat petisyen? Apakah ini menandakan pilihanraya ini sekarang hanyalah medan untuk orang kaya-kaya?” soal beliau.
Dengan kes-kes petisyen pilihanraya yang berakhir dengan pempetisyen dikenakan penalti melampau, Tuan Ibrahim berkata PAS khuatir rakyat terpaksa memilih jalanraya kerana nampaknya inilah medan terbuka yang jelas lebih murah bagi menyatakan bantahan terhadap kepincangan pilihanraya.
“Apapun, PAS akan terus berjuang bersama PR dan rakyat seluruhnya bagi menuntut satu sistem pilihanraya yang lebih adil dalam sistem demokrasi di negara ini. Sudahlah rakyat hilang kepercayaan kepada SPR dan jangan lupa sehingga mahkamah pilihanraya pun kurang diyakini rakyat,” hujah beliau.
Doakan kesihatan mantan Pesuruhjaya PAS Melaka
Harakahdaily, | 01 Ogs 2013 |
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu tengah hari ini selepas tidak sedarkan diri.
Sementara itu, beberapa pimpinan PAS hari ini turut meluangkan masa melawat beliau siang tadi.
Antara AJK PAS Pusat yang hadir termasuk Datuk Kamaruddin Jaffar, Ustaz Idris Ahmad, Ustazah Nuridah Saleh serta penulis politik vateran PAS Subky Latif.
Kamaruddin ketika dihubungi Harakahdaily berkata, keadaan Ustaz Ghani yang juga Yang Dipertua Masjid Tanah itu masih belum sedarkan diri.
Beliau turut memohon seluruh ahli PAS mendoakan keadaan Ustaz Ghani agar segera pulih.
Difahamkan Ustaz Ghani sebelum ini telah uzur akibat mengidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi.
Bahana lidah tidak bertulang
Ustaz Mohd Azmir bin Maideen, | 01 Ogs 2013 |
Lidah mampu mencipta api permusuhan. Anugerah lisan yang fasih adakalanya membuatkan pemiliknya terbuai dengan tarian lidahnya. Lisan terus menatah arus taridra sehingga hilang pengendalian dan arah, sehingga menyebabkan bencana yang lahir daripada lisan mengancam keharmonian ummah, terutamanya bagi mereka yang tidak mampu menjaganya, agar mengungkap setiap patah bicara sesuai di atas prinsip agama. Pepatah Melayu lama mengatakan, “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”.
Dalam budaya masyarakat Melayu sendiri, adat memberi teguran kepada tingkah laku seseorang dibuat secara halus dan berlapik. Norma kehidupan yang menyimpang daripada kelaziman fitrah dan tauladan, dikritik dengan menggunakan prosa kesusasteraan atau puisi tradisional, sebagai contoh:
Tulis surat di dalam gelap
Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap
Jikalau silap awak yang bencana.
Apa guna berkain batik
Kalau tidak dengan sucinya
Apa guna beristeri cantik
Kalau tidak dengan budinya.
Kayu bakar dibuat arang
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
Cermin muka lihat sendiri.
Beralih kepada keburukan lidah tadi, membuka aib dan kekurangan orang lain misalnya, adalah salah satu produk permainan lisan yang tidak terarah. Seharusnya, setiap kita yang takut dengan azab Allah, meyakini bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar seluruh tindakan mahupun perkataan kita. Sebagai orang yang beriman, kita mestilah menjaga urusan lidah, saat perlu diam dan saat perlu berbicara. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), “Cukuplah seorang itu digelar pendusta, jika ia berbicara apa sahaja yang didengarnya.” - Riwayat Muslim
Konteks hadis di atas adalah larangan khusus kepada mereka yang gemar menyampaikan informasi apa sahaja yang didengar, di mana barangkali berita tersebut belum jelas kebenarannya, masih perlu diteliti dan dipastikan kewajarannya, masih 50-50 dan tidak kukuh. Ia terangkumlah berita-berita yang bersifat negatif, gossip, berita panas dan sensasi sama ada secara lisan, SMS, atau sebarang bentuk medium penghantaran moden seperti Facebook, Twitter, blog dan instrumen-instrumen lain bagi menyuburkan budaya negatif ini.
Kita wajar sahaja mendengar berita yang sampai ke telinga kita, tetapi untuk menyebarluaskannya dalam keadaan si pembicara masih kabur dan tidak memiliki pengetahuan yang nyata, ia adalah perbuatan orang yang suka berdusta sebagaimana yang dinyatakan Rasulullah SAW. Hal inilah yang dapat kita saksikan di dunia tanpa sempadan mutakhir ini, kerosakan tersebut bukan sahaja hadir daripada lidah yang tidak bertulang, bahkan juga kepada sendi-sendi mulus yang hobinya menapak di atas keyboard, hingga merebaknya budaya “forward” tanpa saringan.
Ada yang menulis keaiban orang lain dengan alasan fatal yang didakwanya syar'ie, “Jarh wa Ta‘dil”? Ketika saya mula-mula mendengar alasan tersebut, saya hanya mampu menggelengkan kepala. Sedangkan proses Jarh wa Ta‘dil adalah sebuah proses yang penuh perincian, bertujuan memurnikan hal ehwal rijal-rijal perawi, yang demikian natijah periwayatannya dapat dipastikan sama ada maqbul (diterima) ataupun mardud (ditolak). Jelasnya, Jarh wa Ta‘dil bukanlah proses yang bertujuan mengunjing keburukan si perawi, agar kemudian orang lain berhak mencela si perawi.
Etika Jarh wa Ta‘dil berbeza dengan budaya ‘kaki mengaibkan’ orang lain, kerana ulama Jarh wa Ta‘dil sendiri adakalanya turut berselisih pendapat dalam mengklasifikasikan secara spesifik setiap perawi yang adil dalam merawikan hadis, sama ada mencapai penilaian ‘adaalah ataupun terdapat kecacatan (jarh). Dalam ilmu Jarh wa Ta‘dil, kategori tersebut terangkumlah dalam beberapa istilah yang disebutkan sebagaimana berikut;
*(Authaq an-Naas) perawi yang paling dipercaya, baik keperibadian mahupun hafalannya.
*Atau (La Yus‘al ‘Anhu) kredibiliti perawi tidak perlu dipertanyakan lagi, sama ada dia (Thiqah) yakni boleh dipercayai, (Thabat) atau (Dhabit) kukuh hafalannya, (La Ba‘sa Bih) iaitu tiada masalah menerima periwayatannya dan (Laisa bi Ba‘id min as-Sawaab) iaitu tidak jauh dari kebenaran;
*Ataupun (Akzab an-Naas) perawi seorang pendusta, (Muttaham Kazib) suka berdusta, (Muttaham bi al-Kazib) perawi dituduh berdusta;
*Ataupun (La Yuktab Hadisuhu) tidak perlu ditulis hadisnya, (La Yuhtajj Bih) tidak dapat dijadikan hujjah.
Para ulama Jarh wa Ta‘dil ketika memutuskan sesuatu keputusan terhadap seorang perawi sama ada adil atau tidak, mereka terlebih memohon ‘inayah daripada Allah, menunaikan solat istikharah, dan mengharapkan keputusan tersebut memberikan kebaikan kepada seluruh umat, selain daripada mengembara dari satu wilayah ke wilayah lain untuk mendapatkan pentarjihan dan klarifikasi (kepastian).
Para ulama Jarh wa Ta‘dil juga adil dalam melakukan penilaian setiap perawi. Maksudnya, mereka mengungkapkan fakta-fakta akurat keperibadian perawi secara seimbang tidak tempang, sama ada daripada sisi positif mahupun sisi negatifnya. Hal ini kerana, jika si perawi hanya dibicarakan daripada sisi negatifnya sahaja, tanpa menyinggung sisi positifnya, tentunya perkara tersebut merupakan sebuah perbuatan zalim atau aniaya.
Sebagai contoh tokoh perawi bernama Ka‘ab al-Ahbar yang banyak meriwayatkan kisah Isra‘eliyat di dalam rujukan kitab-kitab tafsir, antaranya Tafsir at-Tabari, Tafsir al-Qurtubi termasuklah Tafsir Ibnu Kathir. Ada ulama yang mengatakan bahawa periwayatan Ka‘ab bin al-Ahbar boleh dijadikan sandaran, ada juga ulama yang menolak serta-merta periwayatannya. Termasuklah juga sejumlah periwayatan Ibnu Ishak dalam kitab-kitab sirah, ada ulama yang menolaknya, ada juga yang ulama yang meletakkan periwayatan Ibnu Ishak sebagai sumber yang paling autentik dan wajar dijadikan rujukan dalam ilmu sirah.
Yang utama diperhatikan di sini ialah, para ulama menggambil tempoh yang lama dan panjang demi sebuah ijtihad untuk mencapai tujuan maslahat, bukannya kepentingan duniawi dan bersifat peribadi. Syarat terpakai untuk proses yang dinamakan Jarh wa Ta‘dil ini diaplikasikan oleh para pelopornya, antaranya al-Hafiz Syu‘bah bin al-Hajjaj dan Yahya bin Sa‘id al-Qaththani adalah terhadap rijal-rijal yang meriwayatkan hadis-hadis Rasulillah SAW sahaja, bukannya terhadap mana-mana individu yang ingin dijadikannya “mangsa kerakusan politik”.
Sedangkan di dalam beberapa hadis jelas disebut, bahawa maruah setiap Muslim itu sangat besar nilainya di sisi Allah. Pernah suatu hari Ibnu Umar RA memandang Ka‘abah, lalu beliau berkata (mafhumnya), “Alangkah agungnya engkau dan alangkah agungnya kehormatanmu (wahai Ka‘abah). Namun, kehormatan seorang Muslim lebih agung di sisi Allah daripadamu.” - Riwayat at-Tirmizi
Budaya semak dan imbang, sangat mustahak dijadikan gagasan kepada setiap individu Muslim yang mengaku dirinya beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Hal ini kerana, lazimnya perilaku mengungkapkan aib dan kekurangan orang lain adalah lahir dari prasangka yang tidak berdasar. Padahal Allah berfirman, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain (tajassus) dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (surah al-Hujuraat : ayat 12)
Di sisi lain, Allah juga akan menyiapkan azab yang pedih bagi mereka yang ringan mulutnya mengumbar aib saudaranya. Firman Allah SWT, maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah an-Nuur : ayat 19)
Besarnya kurniaan Allah kepada kita sehingga Dia memberikan janji akan menutupi aib-aib kita kelak di Hari Kiamat jika kita menutupi aib saudara kita di dunia. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Barangsiapa yang menutupi kesalahan saudara Muslimnya, nescaya Allah akan menutupi kesalahannya kelak di Hari Kiamat.” - Riwayat Muslim
Bahkan perintah menutupi kesalahan ini bukan hanya sekadar tertumpu kepada kesalahan orang lain, bahkan juga menutupi kesalahan diri sendiri. Nabi SAW bersabda maksudnya, “Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali orang-orang terang-terangan melakukan dosa. Dan sesungguhnya antara terang-terangan (melakukan dosa) adalah seorang hamba yang melakukan amalan pada waktu malam sementara Allah telah menutupinya (aibnya) kemudian di waktu pagi dia berkata; ‘Wahai fulan, semalam aku telah melakukan ini dan itu’, padahal pada malam hari (dosanya) telah ditutupi oleh Allah. Lalu dia bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Allah dan di waktu paginya dia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah.” - Riwayat Bukhari
Pembaca perlu jelas di sini, apa yang dimaksudkan oleh penulis dalam hal menutupi aib saudaranya adalah dalam rangka menjaga persaudaraan, kerana kemenangan Islam tidak mungkin berlaku dalam keadaan umat Islam keruh perpaduan. Sepatutnya etika yang perlu diaplikasikan oleh setiap Muslim adalah dengan meletakkan saringan yang ketat bagi mengelakkan kesan buruk, berita yang bakal sampaikan, terutamanya jika ia melibatkan berita yang boleh menyebabkan kredibiliti penyampai dan apa yang disampaikannya itu dipersoalkan.
Sebagaimana firman Allah Taala, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujuraat : ayat 6)
Kebenaran yang formal dicari oleh kita tidak sewajarnya sampai ke tahap melampaui batas, para salaf melarang kita menyebarkan informasi dengan hanya cara hipotesis atau menduga. Tidak sepatutnya kita mencari kejelekan orang lain dengan cara menyelongkar perbuatan individu yang telah ditutup oleh Allah daripada pengetahuan kita.
Diriwayatkan dari ‘Abdullah bin ‘Utbah bahawa beliau mendengar Umar bin Al-Khattab RA berkata, “Dahulu orang-orang melakukan dosa, akan disingkap kesalahannya itu melalui perantaraan wahyu. Tetapi saat ini, wahyu telah terputus (sejurus wafatnya baginda SAW). Maka, kami hanya menghukum kalian terhadap apa yang nampak daripada amal-amal kalian. Barangsiapa yang menampakkan kebaikan, kami mempercayainya, dan kami tidak akan menyelongkar apa yang tersembunyi darinya. Allah-lah yang menghisab apa yang tersembunyi. Namun sesiapa yang melakukan kejahatan secara nyata, maka kami akan menghukumnya meskipun si pelaku berkata; Sesungguhnya apa yang timbul dalam hati ini adalah kebaikan.” - Riwayat Bukhari
Berdasarkan huraian makalah ini, maka beberapa petikan dapat disimpulkan di sini:
1. Keterlanjuran lidah akan mengundang bencana besar di akhirat kelak. Hadis Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Sesiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan sesiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya.” - Riwayat Abi Nuaim
2. Para ulama menyusun disiplin ilmu yang dikenali Jarh wa Ta‘dil adalah terhadap rijal-rijal yang meriwayatkan hadis-hadis RasuliLlah SAW, bukannya terhadap mana-mana individu yang ingin dijadikan “mangsa politik”.
3. Setiap Muslim mestilah menanamkan budaya semak dan imbang sebagai gagasan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Lazimnya perilaku mengungkapkan kekurangan seseorang, lahirnya daripada prasangka yang tidak berdasar sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Hujuraat ayat 12.
4. Para sahabat Nabi SAW melarang kita menyebarkan informasi dengan hanya cara menduga, mengagak ataupun menyangka. Apa-apa yang di luar dari pengetahuan kita, sebenarnya telah ditutup oleh Allah. Kaedah menyebutkan, “Kami menghukum apa yang jelas tersurat, manakala apa yang tersirat kami serahkan urusan tersebut kepada Allah”.
http://www.tarbawi.my/
Pemuda PAS rai kanak-kanak Rohingya
Hazayani Zakaria, | 01 Ogs 2013 |
KUALA LUMPUR: Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim Rohingya ketika kedatangan mereka ke Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam disambut oleh kakitangan pejabat agung.
Seramai 30 kanak-kanak Rohingya dari Maahad Tahfiz MUR, Meru diraikan dalam Majlis Sumbangan Hari Raya Bersama Rohingya anjuran Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS (DPPM) dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.
Kanak-kanak ini hadir diiringi Yang Di-Pertua Maahad, Ustaz Jabeer Islam.
Ustaz Jabeer dalam ucapannya sempat menceritakan penderitaan minoriti Rohingya di Myanmar yang terus ditindas.
Ceritanya, kanak-kanak perempuan dirogol, kanak-kanak lelaki dibunuh dan dibakar dan tempat ibadah umat Islam dimusnahkan gai menghalang mereka beribadat.
Beliau melahirkan rasa syukur masih mempunyai tempat berlindung di Malaysia dan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi menampung keperluan seharian.
Sementara itu, Naib Ketua DPPM, Dr Raja Iskandar Al-Hiss berkata, DPPM sentiasa mengambil berat hal ehwal minoriti ISlam yag tertindas di luar negara walaupun sibuk dengan hal ehwal di Malaysia.
Justeru, inisiatif DPPM sendiri berjaya mengumpul sejumlah RM5,000 untuk disumbangkan kepada Maahad Mur dan RM 100 kepada setiap kanak-kanak di Maahad tersebut.
Beliau sendiri menyerahkan cek kepada Ustaz Jabeer dalam majlis ringkas sebelum berbuka puasa.
Turut bersama ialah Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Exco DPPM, Mohd Adram Musa.
Sewaktu berbuka puasa, kanak-kanak tersebut berselera menikmati juadah yang didesiakan walaupun nampak malu-malu.
Kanak-kanak perempuan dilayan mesra oleh Ameerah Dewan MUslimat PAS Pusat, Nisa' dan Briged Muslimat.
Manakala kanak-kanak lelaki duduk bersama-sama DPPM di ruang berasingan.
Sebelum pulang, Ustaz Jabeer berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberikan layanan istimewa dan menghulurkan sumbangan.
DBKL perlu kenakan syarat sedia ruang solat selesa
Salmiyah Harun, | 01 Ogs 2013 |
Ini kerana DBKL hanya boleh menasihati pemegang lesen premis perniagaan untuk menyediakan kemudahan ruang solat yang sesuai dan selesa bagi pekerja beragama Islam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sewaktu menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Senator Khairiah Mohamed dalam sesi perbahasan Titiah Diraja baru-baru ini.
Menurut Khairiah, terdapat lebih kurang 5,000 premis makanan berlesen di Wilayah Persekutuan dan kebanyakan pekerja-pekerja di premis perniagaan makanan segera adalah beragama Islam.
"Sedangkan solat adalah rukun Islam kedua yang merupakan fardhu ain aiaitu wajib bagi orang Islam, solat juga boleh mengukuhkan jati diri umat Islam dan mencegah kemungkaran," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen tengah hari tadi.
Beliau juga menggesa DBKL mengambil tindakan meminda peruntukan undang-undang kecil tersebut dengan memperuntukan secara jelas penyediaan ruang solat yang sesuai dan selesa bagi pekerja beragama Islam bagi membolehkan perkara ini dikuatkuasakan.
"Di dalam undang-undang kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan hanya menyatakan Datuk Bandar boleh dengan notis bertulis menghendaki mana-mana pemegang lesen supaya menyediakan bagi pekerjanya kemudahan yang sesuai dan yang secukupnya," kata beliau.
Perisikan Israel dedah sebab Morsi perlu disingkir
Harakahdaily, | 01 Ogs 2013 |
(Penyokong
Morsi berterawih di Medan Raba'ah. Di belakang tertera poster Morsi,
Presiden Mesir yang sah yang telah diguling tentera)
MESIR: Satu rakaman video memamarkan ucapan Ketua Perisikan Israel Jeneral Afif Khufifi dimuat naik ke laman youtube mendedahkan sebab kenapa kepimpinan Islam di Mesir yang diterajui Presiden Dr Muhammad Morsi perlu "dihancurkan".
Ucapannya pada satu himpunan besar itu antara lain menyebut Morsi perlu disingkirkan kerana pemikirannya adalah Ikhwanul Muslimin dan cubaan menegakkan syariat dan khilafah Islam di Mesir.
Mesirkini yang membuat terjemahan dan ringkasan dari petikan ucapan itu melaporkan, Afif melahirkan kebimbangan terhadap pemikiran Ikhwanul Muslimin yang hari ini berkembang pesat di Timur Tengah.
Ianya termasuk Mesir, Turki, Tunisia, Maghribi, Libya, Gaza, dan lain-lain, malah sudah berupaya membina kekuatan di Syria dan Jordan.
Kekuatan Ikhwanul Muslimin katanya ada di pelbagai bidang, tidak hanya sebagai gerakan politik, mereka juga mengisi kehidupan sosial dan berinteraksi dengan manusia.
"Ada dua agenda besar yang kini sedang digencarkan Ikhwan. Pertama, mempromosikan negara khilafah dan penerapan syariat.
"Definisinya ada di Mesir, sebagai negara demokrasi yang melaksanakan sistem syura yang merupakan satu konsep permesyuaratan yang diakui dalam Islam.
"Kedua adalah strategi lebih luas iaitu memperkuat pertahanan mereka di tengah-tengah pengaruh rejim tidak demokratik, pada masa sama demokrasi tidak boleh memadamnya dengan mudah, sebagaimana terlihat di Turki dan Gaza," tulisnya merujuk ucapan Afif dalam bahasa Hibrew itu.
Afif juga mendakwa, Universiti Al Azhar akan menjadi kekuatan penerapan Syariat tersebut bagi mengukuhkan legitimasi hukum yang sedang diterapkan oleh kerajaan Mesir.
Dua misi besar ini menurutnya, akan menguatkan Ikhwanul Muslimin dalam perjuangan mereka.
Maka katanya, parti-parti sealiran Ikhwan yang kini berkembang di Mesir, Gaza dan Tunisia sedang bergerak menuju ke arah kepemimpinan Islam dan mereka akan bertanggungjawab menjadi peneraju utama.
Malah kata Afif, tanggungjawab ini tidak lagi diterjemahkan sebagai pucuk-pucuk kecil, tapi sudah menjadi kembang yang utuh dan kuat.
"Jadi rampasan kuasa terhadap Ikhwan adalah bertujuan untuk menghalang tegaknya daulah Islamiyah (kerajaan Islam) di Mesir.
"Penggulingan atas Morsi sebenarnya kerana takut pada kejayaannya, bukan kerana kegagalannya," tulis Mesirkini.
[LIHAT VIDEO] ucapan Afif Khufifi
MESIR: Satu rakaman video memamarkan ucapan Ketua Perisikan Israel Jeneral Afif Khufifi dimuat naik ke laman youtube mendedahkan sebab kenapa kepimpinan Islam di Mesir yang diterajui Presiden Dr Muhammad Morsi perlu "dihancurkan".
Ucapannya pada satu himpunan besar itu antara lain menyebut Morsi perlu disingkirkan kerana pemikirannya adalah Ikhwanul Muslimin dan cubaan menegakkan syariat dan khilafah Islam di Mesir.
Mesirkini yang membuat terjemahan dan ringkasan dari petikan ucapan itu melaporkan, Afif melahirkan kebimbangan terhadap pemikiran Ikhwanul Muslimin yang hari ini berkembang pesat di Timur Tengah.
Ianya termasuk Mesir, Turki, Tunisia, Maghribi, Libya, Gaza, dan lain-lain, malah sudah berupaya membina kekuatan di Syria dan Jordan.
Kekuatan Ikhwanul Muslimin katanya ada di pelbagai bidang, tidak hanya sebagai gerakan politik, mereka juga mengisi kehidupan sosial dan berinteraksi dengan manusia.
"Ada dua agenda besar yang kini sedang digencarkan Ikhwan. Pertama, mempromosikan negara khilafah dan penerapan syariat.
"Definisinya ada di Mesir, sebagai negara demokrasi yang melaksanakan sistem syura yang merupakan satu konsep permesyuaratan yang diakui dalam Islam.
"Kedua adalah strategi lebih luas iaitu memperkuat pertahanan mereka di tengah-tengah pengaruh rejim tidak demokratik, pada masa sama demokrasi tidak boleh memadamnya dengan mudah, sebagaimana terlihat di Turki dan Gaza," tulisnya merujuk ucapan Afif dalam bahasa Hibrew itu.
Afif juga mendakwa, Universiti Al Azhar akan menjadi kekuatan penerapan Syariat tersebut bagi mengukuhkan legitimasi hukum yang sedang diterapkan oleh kerajaan Mesir.
Dua misi besar ini menurutnya, akan menguatkan Ikhwanul Muslimin dalam perjuangan mereka.
Maka katanya, parti-parti sealiran Ikhwan yang kini berkembang di Mesir, Gaza dan Tunisia sedang bergerak menuju ke arah kepemimpinan Islam dan mereka akan bertanggungjawab menjadi peneraju utama.
Malah kata Afif, tanggungjawab ini tidak lagi diterjemahkan sebagai pucuk-pucuk kecil, tapi sudah menjadi kembang yang utuh dan kuat.
"Jadi rampasan kuasa terhadap Ikhwan adalah bertujuan untuk menghalang tegaknya daulah Islamiyah (kerajaan Islam) di Mesir.
"Penggulingan atas Morsi sebenarnya kerana takut pada kejayaannya, bukan kerana kegagalannya," tulis Mesirkini.
[LIHAT VIDEO] ucapan Afif Khufifi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan