Kuin: Macam bunga jatuh ke tangan kera
Zulkifli Yahaya, | 04 Ogs 2013 |
AKHIRNYA Kulliyah Muamalat yang menjadi kelompok terakhir bertahan di kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kuala Ketil juga diarah berpindah kembali ke Alor Setar. Bermakna selepas Aidilfitri nanti kosonglah kembali kampus induk Kuin yang telah dirasmikan oleh Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong penghujung tahun lalu.
Apa ertinya apabila kampus induk Kuin yang tersergam indah di Kuala Ketil itu dikosongkan oleh kerajaan negeri? Pertama, ia bermaksud kerajaan Umno tidak berminat lagi untuk menjadikan kampus induk tersebut untuk kegunaan Kuin. Kampus di Kuala Ketil adalah simbol kejayaan kerajaan lalu membangunkan sebuah institusi pendidikan tanpa sesen pun bantuan Pusat.
Kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar, BN cuba mematikan pembangunan yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Kedah dahulu.
Secara tidak langsung mereka tidak mahu lima tahun Pakatan memerintah Kedah meninggalkan kesan fizikal terhadap Kedah.
Kedua, bermakna kampus induk Kuin akan dilelong atau disewa. Masakan kerajaan Umno akan membiarkan kampus yang bernilai RM330 juta, hampir lengkap dengan prasarana sebagai sebuah kampus pengajian terbiar begitu sahaja sedangkan kerajaan negeri perlu mencari sumber untuk membayar balik pinjaman terhadap institusi kewangan.
Terdapat khabar angin yang menyebut, timbul desas desus bahawa kerajaan negeri membuka tawaran penjualan saham miliknya kepada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Kerajaan negeri dikatakan sudah membuat tawaran itu termasuk kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Aimst dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AiU).
Jika ia benar, maka ia berita malang bagi rakyat Kedah, khususnya penduduk sekitar Daerah Baling yang mengharapkan Kuala Ketil menjadi sebuah bandar universiti.
Lantaran dapat menghidu kemungkinan tersebut maka kira-kira 500 penduduk setempat bersama para waris dan pelajar Kuin mengadakan himpunan aman di hadapan kampus induk membantah arahan perpindahan pelajar kembali ke Alor Setar.
Himpunan demi himpunan yang diadakan oleh pihak pembangkang (BN) dahulu, termasuk yang dihadiri Mukhriz Mahathir mendapat liputan hampir semua media di tanah air.
Kini himpunan oleh pelajar waris dan pelajar Kuin langsung tidak mendapat tempat dalam media.
Sumber tidak rasmi kerajaan negeri menjelaskan bahawa sebab utamanya ialah kerana kos penyelenggaran terlalu tinggi, di samping terpaksa mencari dana membayar balik pinjaman membina kampus tersebut.
Sewaktu mengambilalih pentadbiran dari BN tahun 2008 dahulu, kerajaan Pakatan dibebankan dengan kos pembinaan bangunan tambahan Wisma Darul Aman bernilai RM90 juta.
Sebenarnya bangunan tersebut tidak diperlukan kerana bangunan sedia ada sudah mencukupi untuk menampung bilangan kakitangan yang ada.
Lagipun sebaik sahaja kompleks kerajaan Persekutuan di Anak Bukit siap, beberapa jabatan kerajaan Pusat yang menumpang di Wisma Darul Aman berpindah ke sana, jadi berlaku kekosongan.
Namun pentadbiran Ustaz Azizan Abdul Razak tidak mengambil langkah kurang cerdik untuk tidak menggunakan bangunan tersebut sebaliknya mahu menyewanya kepada pihak lain. Hutang yang terpaksa dijelaskan kepada Pusat sebanyak RM25 juta setahun, selama lima tahun, juga berjaya dilunaskan oleh kerajaan Pakatan, walaupun yang berhutang BN.
Sebenarnya isu pembayaran balik atau kos penyelenggaraan bukanlah perkara besar kerana BN memerintah secara pakej - Pusat dan Negeri. Semasa Pakatan tanpa bantuan Pusat pun tahu mencari sumber kewangan untuk menguruskan negeri, macam mana BN yang mengaku kaya raya di peringkat Pusat tidak mampu membantu Kedah menjayakan sebuah projek pendidikan yang boleh memberi pulangan dunia dan akhirat. Sebenarnya jika Kuin diuruskan secara profesional dengan bilangan pelajar yang mencukupi untuk setiap kulliyah maka kutipan yuran pengajian cukup untuk mentadbir IPTS
tersebut.
Bayangkan kerajaan Pusat mampu menyalurkan pelbagaiperuntukan yang berjumlah hampir separuh bilion ringgit hanya untuk sebuah kawasan Dun di Kuala Besut dalam usaha ‘merasuah’ rakyat mengundi BN, maka apa sangatlah dana yang perlu disalurkan untuk membantu kerajaan negeri Kedah menjayakan Kuin.
Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Jika kampus induk Kuin dapat dijayakan seperti yang dirancang oleh pengasasnya maka ia bukan setakat dapat mencipta kegemilangan pendidikan, bahkan juga dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan terbangunnya sebuah bandar universiti seperti mana Bandar Baru Bangi dapat hidup dan berkembang kerana adanya UKM, walaupun asalnya sekitar Bangi hanyalah dipenuhi hutan rimba dan kawasan berpaya.
Kuin mempunyai keunikan kerana muncul sebagai IPTS yang telah mengislamisaikan program-program konvensional seperti Program Perniagaan, Perbankan, Perancangan Kewangan, Risiko dan Takaful, Hospitaliti dan Pemakanan Halal dan lain-lain lagi.
Ia mendapat perhatian dari masyarakat antarabangsa, khususnya jiran di Thailand dan Indonesia yang mengadakan pelbagai kerjasama khususnya dalam berkongsi manfaat perbankan Islam. Hairan, mengapa kerajaan Umno tidak nampak semua ini.
Mereka hanya mahu mengurus Kuin dalam keadaan statik tanpa wawasan besar? Malang sungguh Kedah jatuh ke tangan BN, macam bunga terlepas ke tangan kera.
ISA: Keluarga tunggu janji "berita baik" menteri
Harakahdaily, | 04 Ogs 2013 |
Bagaimanapun sehingga hari ini, pengumuman Menteri berkenaan pada minggu pertama Ramadhan itu langsung tiada perkembangan.
Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh yang dipetik KeadilanDaily menyifatkan, penguguman tersebut hanya bertujuan untuk memenangi hati rakyat menjelang musim perayaan.
“Di mana berita baiknya? Kurang seminggu lagi sebelum umat Islam menyambut hari raya, tahanan ISA masih dipisahkan dari keluarga mereka.
“Kita minta menteri jangan sesekali memainkan perasaan keluarga dan tahanan ini, jangan beri harapan jika tak mahu bebaskan mereka, itu kejam dan tak berperikemanusiaan,” tegas Syed Ibrahim.
Berdasarkan rekod, masih ada 13 tahanan ISA yang belum dibebaskan. Daripada jumlah tersebut, 7 warga tempatan, 2 Sri Lanka, 3 Filipina dan seorang warga Indonesia.
Mengulas perkembangan lain, Syed Ibrahim kesal terhadap cadangan kerajaan memperkenalkan semula ISA.
Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya mengembalikan akta lapuk itu bagi menyelesaikan krisis jenayah yang menjadi-jadi kebelakangan ini.
Akta yang dikuat kuasa 53 tahun lepas itu menurutnya jelas membuktikan ia bersifat zalim terutama bila disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu.
“Untuk apa meneruskan undang-undang ini yang terbukti kejam dan zalim. Ia tidak akan menyelesaikan krisis jenayah, kelak akan digunakan bagi menutup mulut mereka yang lantang menentang kerajaan,” kata Syed Ibrahim.
“Dulu Datuk Seri Najib (Razak) janji hapuskan ISA, tapi kenapa masih ada yang ditahan. Semua mereka perlu dibebaskan serta merta, tak perlu tunggu musim perayaan baru nak umum kononnya ada berita baik untuk tahanan,” tegasnya.
Petisyen: Jangan uji kesabaran rakyat
Ahmad Danial, | 04 Ogs 2013 |
'Walaupun kita bertanding di atas padang yang tidak sama rata tetapi kita tetap bertanding kerana mahu peralihan kuasa berlaku dengan aman'.
'PAS tidak pernah gagal menyertai setiap pilihanraya walaupun kita tahu terlalu banyak perkara yang tidak telus dan berat sebelah berlaku, jangan uji kesabaran kami sehingga kami sudah tidak mahu lagi menyertai pilihanraya" ujar Salahuddin.
Beliau berkata jika parti-parti politik sudah tidak mahu menyertai pilihanraya, dibimbangi rakyat akan mengambil jalan lain sebagai protes kepada tindakan kerajaan yang menyeleweng, rasuah, menindas rakyat dan sebagainya.
"Jangan uji kesabaran rakyat yang sehingga ini masih bersabar dengan segala penipuan dan penyelewengan rakyat, kesabaran ini ada tahapnya" tambah Salahudin.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah anjuran PAS Kawasan Bukit Katil di sini malam tadi.
Salahuddin juga berkata mahkamah Malaysia seolah-olah seperti Bursa Saham apabila menolak Petisyen Pilihanraya dengan kos yang mencecah ratusan ribu ringgit.
"Keputusan Hakim pada perbicaraan petisyen ini seolah-olah sudah ada skrip, di mana semuanya ditolak dengan kos puluhan ribu malah ada yang mencecah ratusan ribu, mereka sebenarnya menggertak kita supaya lain kali jangan buat petisyen lagi'.
"Tidak pernah sebelum ini kos ini ditolak dengan jumlah yang begitu besar sehingga membebankan pempetisyen" tambah Salahuddin.
Turut sama menyampaikan ceramah pada malam tadi ialah Pengerusi DAP Melaka yang juga Ketua Pembangkang Dun Melaka, Goh Leong San; Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim.
Tetap jalan damai, Ikhwan tolak seruan Al-Qaeda
Harakahdaily, | 04 Ogs 2013 |
MESIR: Ikhwan Muslimin dengan tegas menolak seruan Pemimpin Al-Qaidah Ayman Al-Zawahiri agar gerakan Islam Mesir itu segera meninggalkan demokrasi.
Sebaliknya, pemimpin Ikhwan yang juga bekas Timbalan Gabenor Alexandria Hasan Al-Berens berkata, Ikhwan Mesir tetap memilih jalan damai dan yakin jalan demokrasi juga boleh menyelesaikan kemelut di Mesir.
Menurut Hasan, apa yang berlaku di Mesir ketika ini adalah "demokrasi telah diculik" oleh pihak tentera yang melakukan rampasan kuasa.
“Ikhwan yakin bahwa demokrasi layak mendapatkan pengorbanan, dan kami akan membuat pengorbanan ‘damai’ untuk mengembalikannya.
"Kami tidak akan meninggalkan jalan demokrasi dan akan menggunakan segala cara demokrasi dan damai untuk memulihkan demokrasi," katanya kepada agensi Anadolu.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan balas kepada seruan pemimpin al-Qaeda kelmarin agar Ikhwan meninggalkan demokrasi di Mesir dan dilihatnya tidak membawa kepada kebaikan.
Al-Qaedah sebelum ini juga sependapat bahawa Amerika Syarikat dalang kepada penggulingkan Muhamed Morsi.
Menurut al-Zawahiri, Morsi telah disasarkan oleh konspirasi yang dipimpin oleh kaum sekular, Kristian Koptik dan tentera yang merupakan tangan-tangan Amerika.
Sejak awal himpunan menyokong legitimasi diadakan penyokong Morsi, Ikhwan secara tegas menyatakan pendirian bahawa himpunan ini adalah damai dan menolak sebarang keganasan.
Namun, pihak tentera Mesir melalui media dikawal mereka telah memberi gambaran bahawa himpunan tersebut adalah bersifat keganasan.
Tuduhan tersebut dibuat dipercayai sebagai alasan untuk bertindak keras menyuraikan penyokong Morsi yang berhimpun sudah lebih sebulan sejak Morsi digulingkan tentera.
Dalam beberapa siri cubaan meleraikan himpunan, pihak polis dan tentera Mesir telah menembak ratusan penyokong Morsi khususnya di Medan Raba'ah.
Sehingga kini dianggarkan sejumlah 500 telah terkorban dan ribuan lagi cedera sejak rampasan kuasa 3 Julai lalu.
Islam adalah penyelamat
Nasrudin Hassan, | 03 Ogs 2013 |
2. Pelbagai persepsi buruk dilemparkan kepada Islam. Kononnya laksana undang-undang Islam pun belum tentu jenayah dapat diatasi. Sedang mereka lupa bahawa bahawa undang-undang manusia ini sudah tentu tidak dapat mengatasi masaalah jenayah malah semakin parah.
3. Mereka mendakwa bahawa undang-undang Islam tidak akan dapat memberi keadilan kepada rakyat khasnya non muslim, sedang undang-undang Islam ini tidak pernah diberi peluang untuk berdaulat dan dikuatkuasakan dalam pemerintahan moden negara kita sebagaimana yang dikehendaki oleh yang Maha Pencipta Allah swt.
4. Mereka bimbang tiada keupayaan dan kemampuan melaksanakan undang-undang Islam lalu mendatangkan fitnah kepada Islam. Persoalannya negara kita telah merdeka lebih 50 tahun dan telah berjaya melahirkan ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang. Sama ada menerusi universiti dalam negara mahupun yang dididik di luar negara. Jika isu kepakaran tenaga menjadi halangan untuk perlaksanaan undang-undang, bukankah universiti dalam negara kita mempunyai fakulti undang-undang Islam? Manfaatkan pensyarah dan best studentnya untuk membantu perlaksanaan undang-undang Islam.
5. Negara kita adalah sebuah negara yang masyarakatnya majmuk. Pemerintahannya pula sekular. Bagaimana Islam boleh dilaksana sedang masih terlalu ramai yang jahil tentang Islam. Persoalannya, negara kita telah mengamalkan British Law sejak merdeka. Sedang ia bukan undang-undang Islam, kenapa pula boleh dipaksakan ke atas ummat Islam sejak sekian lama? Berapa peratus rakyat negara ini memahami British Law sehingga negara boleh amalkan British Law tersebut?
6. EO dan ISA adalah undang-undang primitif pula sebahagiannya bercanggah dengan Islam. Kenapa perlu menguatkuasakan kembali EO dan ISA sedang negara ada peluang untuk tangani jenayah dengan undang-undang ciptaan Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta.
7. Kerajaan boleh melakukan langkah ini:
~ panggil pakar undang-undang Islam untuk bantu rangka akta baru menggantikan EO dan ISA bagi menghadapi jenayah yang semakin menggila.
~ libatkan wakil parti-parti politik sebagai panel menggubal akta baru tersebut.
"Bersama Perangi Jenayah"
Mesir kerajaan haram yang ketiga
Subky Latif, | 03 Ogs 2013 |
Yang pertama ialah Israel yang ditegakkan atas sebahagian besar bumi Palestin sejak tahun 1948 oleh Britain, Perancis dan Amerika. Yang kedua ialah kerajaan Palestin yang Tebing Barat yang dirampas Fatah dari Hamas di luar pilihan raya atas restu Amerika dan Israel.
Dan yang ketiga ialah yang di Mesir yang dirampas oleh tentera dipercayai atas arahan Israel dan direstui oleh Amerika.
Tentang Israel itu semua tahu ia tidak ditegakkan oleh orang Yahudi. Ia ditegakkan oleh kuasa barat - Eropah dan Amerika – orang yang dipanggil rakyat zaman kerajaan Melaka dulu sebagai Benggali Putih. Tentera Benggali Putih ini dari India dan lain-lain memerangi rakyat Palestin dan menyerahkan pemerinah kepada Yahudi.
Palestin baru yang dibentuk oleh dunia yang dikuasai oleh Benggali Putih dan diterima oleh Fatah pimpinan Yasser Arafat terdiri dari Tebing Barat dan Ghaza, dalam pilihan raya umumnya yang terakhir dimenangi oleh Hamas selepas kematian Arafat.
Penerimaan semua Benggali Putih terhadap kerajaan Hamas itu sama dengan penerimaan mereka terhadap kerajaan demokrasi pertama Mesir pimpinan Presiden Mursi yang disokong oleh Ikhwanul Muslimin.
Kerajaan-kerajaan Benggali Putih – Amerika dan Eropah - yang membiayai kerajaan Palestin Kecil itu menghentikan semua bantuan kepada kerajaan sah Hamas dan akhirnya mereka memperalatkan Fatah merampas kuasa tetapi gagal masuk ke Gaza. Selepas itu Tebing Barat menjadi kerajaan dan suara Palestin yang tidak sah.
Sekarang Mesir selepas tumbangnya era tentera dan Hosni Mubarak diperintah secara sah oleh Presiden Mursi yang disokong oleh Ikhwanul Muslimin. Benggali Pituh gembira kerajaan kuku besi tentera dan Mubarak ditumbangkan tetapi kecewa apabila rakyat Mesir memilih kerajaan demokrasi pro Islam.
Dalam kerajaan, Dr Mursi terkontang-kanting di tengah tentera, polis dan kaki tangan kerajaan peninggalan Mubarak. Tidak banyak yang dapat dibuatnya justeru kerenah orang pro Mubarak yang menjadi musuh dalam selimut kepadanya. Satu yang baik dari kerajaannya ialah memberi laluan bebas dan kemudian bagi rakyat Palastin mendapat bekalan melalui secara terang dan sebaliknya. Semua urusan adalah sah dan halal.
Benggali Putih dan Israel yang kenal lama dengan tentera upahannya di Mesir menggalakkan tunjuk perasaan anti Mursi sehebat yang ditunjukkan kepada Mubarak dulu. Tentera tidak buat apa-apa untuk menahannya dan dengan alasan rakyat menolak Mursi tentera, setuju mengkhianati kerajaan lalu merampas kuasa.
Kerja pertama yang dibuat oleh kerajaan haram itu ialah menutup dan mmbinasakan saluran rasmi bantuan kepada Ghaza.
Membanu Palestin adalah tanggungjawah wajib Mesir dan semua orang Islam dan Arab di mana-mana. Yang benci kepada Palestin, Islam dan Arab itu ialah Yaudi/Israel dan sekalian Benggali Putih. Jika tentera dan kerajaan haram Mesir mengira Mursi mengkhianati demokrasi Mesir yang baru itu mengapa mereka robohkan terowong laluan mudah antara Gaza dan Mesir?
Orang Palestin Ghaza tidak ada apa-apa kesalahan kepada rakyat dan kerajaan Mesir sejak dulu, mengapa mereka jadi mangsa pertama kerajaan haram Mesir?
Ia adalah bukti kerajaan haram Mesir itu bukan sekadar mengkhianati Mursi, ia mengkhianati demokrasi yang baru tumbuh, menghianati bangsa Mesir dan Arab dan Islam termasuk orang Palestin yang ditindas itu.
Tentera boleh menentang Mursi kerana dia manusia yang ada salah silap. Tetapi sebenarnya mereka khianat kepada Allah, yang selama-lamanya disukai oleh Yahudi dan agama yang dianuti oleh Benggali Putih.
Ain Jalut: Menang selepas bersatunya perbezaan
Mohammad Faizal Che Yusof, | 03 Ogs 2013 |
Kemenangan pejuang-pejuang Islam di Ain Jalut yang dipimpin oleh pemerintah Mesir, Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz dicapai dalam suasana segala persiapan terbaik dan termampu telah dilakukan, membuang segala sifat jahat dalam diri dan penyerahan sebulat-bulatnya kepada Allah Azzawajalla. Tatar pada waktu itu bukanlah berada pada keadaan yang lemah. Bahkan mereka baru saja mengalahkan pemerintahan Abasiah di Baghdad dalam tempoh 40 hari.
Sorotan perjalanan menuju 25 Ramadhan 658H itulah perlu diteliti dan dihayati oleh setiap umat Islam, moga-moga ia memberi inspirasi dan menyuntik semangat untuk kita menyiapkan yang terbaik demi cinta kita kepada Islam. Sirah bukan sekadar untuk dibaca sebagai kisah yang mengasyikkan. Lebih dari itu, setiap incian pengajarannya wajip diambil iktibar setidak-tidaknya apa yang baik dapat dicontohi dan segala yang lemah dapat diteladani.
Sultan Saifuddin Qutuz bukanlah dari golongan terhormat. Beliau datang dari kelompok hamba yang dijual daripada seorang tuan kepada tuan yang lain. Namun, cintanya kepada Islam dan tekadnya untuk mengembalikan kedaulatan Islam telah memungkinkan terbuka luas pintu pertolongan dari Allah S.W.T. Mesir pada waktu itu yang mana merupakan benting akhir umat Islam telah gagal dilanggar oleh gerombolan Tatar yang maha kejam dan ganas. Maruah Islam dan umat Islam Berjaya dipulihkan dalam tempoh sehari, 25 Ramadhan 658H.
Menyingkap sirah Ain Jalut, sebaik menaiki takhta pemerintahan kerajaan Mesir, Qutuz telah memanggil semua pembesar-pembesar Mesir. Dalam ucapan sulungnya, Qutuz menegaskan tekadnya untuk mengembalikan maruah Islam dan menentang Tatar habis-habisan. Itulah cita-cita utama beliau sebaik diberi amanah jawatan tersebut.
Beliau dengan tegas menyebut jika ada dari kalangan pembesar atau menterinya yang bersedia menerajui Mesir menggantikan beliau, beliau sedia melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada pembesar atau menteri terbabit. Tawaran Qutuz tersebut tidak bersambut meskipun sebelum Qutuz memegang tampuk pemerintahan, perebutan kuasa berlaku begitu berleluasa dan terbuka dalam kerajaan Mesir.
Nyata mandat tanpa berbelah bahagi yang diperolehi Qutuz suatu permulaan yang baik untuk baginda menyusun langkah seterusnya. Tindakan politik Qutuz seterusnya adalah memecat mana-mana menteri yang dikenalpasti gagal melaksanakan tugas dan lemah. Bagi Qutuz, beliau tidak mempunyai masa yang banyak. Setiap tindakan mesti tepat dan cepat.
Menyedari adanya golongan-golongan yang masih berbalah sesama sendiri, Qutuz telah mengambil langkah mendamaikan setiap kumpulan Mamaluk yang berkrisis sejak lama sebelumnya. Mana-mana kelompok yang dikatakan pernah menentang kerajaan sebelumnya, ada yang diberi keampunan bila mana Qutuz menyedari bahawa potensi dan kelebihan yang ada pada mereka amat bermanfaat dalam mengembalikan kedaulatan Islam dan kestabilan Mesir.
Dalam usaha menyatukan setiap kelompok yang bertelagah, Qutuz sendiri telah turun padang bagi memastikan perancangannya berjaya tanpa digagalkan oleh anasir-anasir jahad dari dalam.
Hanya dalam tempoh beberapa bulan, Qutuz telah berjaya mengembalikan politik dalaman Mesir yang selama ini bergolak. Bagi memastikan misi menentang Tatar Berjaya, Qutuz juga telah berjaya mendapatkan sokongan serantau sama ada dari kerajaan-kerajaan Islam dan bukan Islam. Antaranya termasuklah kerajaan Islam dari Sham dan juga tentera salip dari negeri Akka.
Qutuz juga sedar, bagi berhadapan dengan Tatar, ia memerlukan sokongan padu dari setiap rakyat dan kewangan yang banyak dan mencukupi. Justeru, Qutuz telah mengatur gerakan penerangan besar-besaran ke seluruh Mesir yang dipelopori oleh kumpulan ulama bagi menerangkan kepada rakyat keperluan jihad dan mengembalikan maruah Islam.
Dalam memperkukuhkan keudukan kewangan bagi membiayai peperangan, pada awalnya Qutuz selaku pemerintah utama telah membentangkan usul untuk meningkatkan kutipan cukai dari rakyat jelata. Namun, usul yang dbentang tersebut telah disanggah oleh ulama Mesir bernama Al-I’z Abdisalam yang digelar Sultanul Ulama.
Bagi I’z Abdissalam, kutipan cukai dari rakyat hanya boleh dilakukan setelah kerajaan terlebih dahulu mengambil harta dari kekayaan menteri dan pembesar Mesir. Qutuz dengan sikap terbukanya telah menerima dan melaksanakan fatwa dari I’z Abdissalam tersebut. Nyatanya kerajaan memperolehi pembiayaan yang mencukupi bahkan rakyat bawahan yang menyaksikan tindakan kerajaan dan komitmen oleh menteri dan pembesar telah juga menyumbang secara sukarela tanpa diarahkan oleh kerajaan Qutuz.
Menjelang Sya’ban 658H, Qutuz hanya mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk meletakkan tentera Islam dan seluruh masyarakat Islam berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya sebelum misi ke Ain Jalud dimulakan. Pertempuran kebenaran dan kebatilan di Ain Jalud sebetulnya dapat menginsafi kita betapa pertolongan Allah hanya diperolehi bila kita telah melakukan yang terbaik dalam kemampuan sebenar.
Medan Ain Jalut telah menyaksikan Islam bukan sekadar diperjuangkan oleh tentera-tentera yang khusus, bahkan pada hari-hari sebelum 25 Ramadhan 658H, masyarakat Islam yang berada di Palestin pada ketika itu telah keluar beramai-ramai ke Ain Jalut bagi menyatakan sokongan dan memberi semangat kepada tentera Mesir yang dipimpin sendiri oleh Qutuz.
Dengan izin Allah, setelah mengadakan teknik dan taktik yang terbaik yang mampu diadakan, Tatar yang dipimpin oleh Katabga Khan akhirnya telah tersungkur buat julung-julung kalinya sekali gus menutup sejarah kekejaman mereka yang melata dari Semenanjung Korea melebar ke benua Asia dan Afrika.
Menutup perbincangan ringkas ini dalam kita berada pada penghujung Ramadhan, marilah kita menanam tekad dan iltizam, mengukuhkan persaudaraan, menyantuni setiap perbezaan dengan penuh kebijaksanaan demi mendepani cabaran-cabaran mendatang. Kotakan setiap kata-kata berteraskan kebenaran dengan berserah diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T. – 25 Ramadhan 1434H.
Peka kepada ekonomi dan hutang negara
Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, | 02 Ogs 2013 |
Kurangnya reaksi dan kesensitifan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu-Islam terhadap isu-isu mengenai situasi ekonomi dan isu hutang negara melahirkan kebimbangan.
Perkara itu amat ketara melihat ramai yang tidak mengambil kisah mengenai semakan terbaru penarafan kredit dunia, Fitch Ratings yang meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif, satu amaran yang amat membimbangkan kewangan negara.
Paling menyedihkan ialah apabila didapati pandangan orang Melayu-Islam terhadap situasi ekonomi telah disempitkan kepada pengukuran pada “kemampuan” kerajaan memberikan bonus, BR1M dan menabur janji di waktu pilihan raya.
Ini bukanlah ukuran kekuatan ekonomi negara, dan orang Melayu-Islam perlu sedar segalanya memerlukan sumber untuk membayarnya. Kesihatan ekonomi negara juga perlu dilihat dari sudut hutang negara, yang kini menghadapi tahap maksima 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), defisit belanjawan yang semakin meruncing dan kejatuhan nilai Ringgit secara mendadak.
Rakyat Melayu-Islam perlu peka kerana yang paling terjejas dalam krisis ekonomi negara ialah mereka, sebagai golongan majoriti dalam Malaysia. Jangan hanya cepat melenting terhadap isu-isu perkauman dan agama, tatkala isu ekonomi yang bakal menjejaskan beberapa keturunan bangsa tidak diendahkan.
Seperti juga di dalam keluarga, sekiranya anak-anak tidak mengambil tahu situasi ekonomi dan negara dan tidak erti menegur sikap ibu bapa yang boros berbelanja dan hobi berhutang, akhirnya yang menanggung padah segalanya ialah anak-anak, lebih teruk lagi ia berlanjutan ke generasi cucu dan cicit.
Kerajaan dan media juga disaran lebih bertanggungjawab dan jujur dalam melaporkan situasi ekonomi negara. Jangan mendidik rakyat untuk menilai ekonomi dan kewangan negara dari segi pemberian kerajaan dan tingginya nilai komposit Bursa Saham Kuala Lumpur untuk menjaga persepsi baik pada kerajaan.
Media juga disarankan jangan menimbulkan persepsi yang silap bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan kepada rakyat walhal keadaan kredit negara dalam keadaan melemaskan.
Dengan pelbagai janji yang ditabur oleh BN ketika PRU13, rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu-Islam perlu fokus pada belanjawan 2014 dari segi usaha kerajaan untuk mendapatkan sumber untuk menanggung perbelanjaannya, mengurangkan hutang dan mengawal defisit daripada pemberian-pemberian ‘menarik’ kerajaan untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada keadaan ekonomi yang semakin meruncing.
Orang Melayu-Islam harus mendalami isu-isu ekonomi dan seterusnya menerajui dan menjiwai isu ekonomi negara, kerana jika tidak, kerajaan akan terus acuh tidak acuh dalam menjawab isu berkaitan ekonomi dan kewangan negara kerana tiada tekanan daripada golongan majoriti dalam negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan