Ahad, 4 Ogos 2013

BOHONG TAK KAN BERTAHAN LAMA

Pemimpin Umno nak tunjuk hero menjelang pemilihan

Abdul Aziz Mustafa, 04 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Rasa panik akan berlakunya kebangkitan rakyat serta keghairahan menjadi wira menjelang pemilihan Umno mendorong pemimpin-pemimpin parti itu menzalimi rakyat yang tidak mereka sukai, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


"Sekarang ini falsafah kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pasca pilihan raya umum ke-13 ialah haramkan, tangkap, tahan, reman, lokap, denda, penjarakan, menghina, Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.

Selepas pilihan raya umum ke-13, katanya lagi, kerajaan BN seperti ayam disambar helang.

"Bila fakta menunjukkan majoriti rakyat menolak mereka, BN tidak keruan lari ke hulu ke hilir.

"Perasaan takut dan cemas menangkap mereka," kata Mahfuz.

Sebab itulah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, apa-apa sahaja terus dituduh, dihina, ditangkap dan didakwa.

"Riuh rendah menteri-menteri BN bercakap mengenai keghairahan mereka kepada undang-undang seperti EO dan ISA.

"Sebenarnya jauh di dalam naluri mereka, mereka takut kepada kemarahan dan kebangkitan rakyat.

"Mereka panik, takut ketamakan dan kebobrokan mereka dibongkar dan diketahui rakyat," kata Mahfuz.

Kepanikan pemimpin-pemimpin Umno itu, katanya, "diulamkan pula dengan pemilihan di dalam Umno yang dijangka diadakan November ini".

Makin menjadi-jadi penyakit tidak keruan mereka kerana berebut jawatan-jawatan, kata beliau.

"Sebab itulah Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) riuh rendah hendak tunjuk hero, tangkap sana, tangkap sini.

"Tidak ketinggalan Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom) pun hendak tunjuk hero," kata Mahfuz.

Mesir: PAS, gerakan Islam sokong bantahan aman

Khairul Azlam Mohamad, 03 Ogs 2013
MARANG: PAS bersama dengan gerakan Islam dunia menyokong resolusi perbincangan di Istanbul, Turki baru-baru ini bagi meneruskan bantahan secara aman oleh rakyat di Mesir.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata mengikut resolusi yang dibuat oleh parti-parti gerakan Islam bersetuju bantahan secara aman diteruskan di Mesir.

“Perkembangan politik di Mesir, mengikut resolusi yang telah diambil oleh parti-parti (gerakan) Islam yang mengadakan perbincangan di Istanbul (Turki), ialah supaya bantahan secara aman diteruskan, kerana bantahan secara aman inilah yang paling sesuai dan munasabah kepada umat Islam sesama umat Islam dalam menghadapi dalaman mereka walau pun sangat mencabar.

“Berbeza dengan kita menghadapi serangan dari musuh yang datang menceroboh negara. Itu memaksakan kita berdepan dengan senjata, ada pun membetulkan pemikiran umat yang telah lama tenggelam dalam pemikiran sehingga terpengaruh dengan ideologi sekularisma, yang menyebabkan mereka menganut pelbagai teori yang asing dari Islam kerana kejahilan mereka, sama ada kerajaan atau pun rakyat,” tegasnya ketika ditemui Harakahdaily di kediamannya, semalam.

Justeru, katanya dengan bantahan secara aman itu boleh menyedarkan rakyat hingga membawa satu gelombang yang positif di peringkat nasional Mesir dan antarabangsa.

Menurutnya, seluruh dunia kini melahirkan rasa simpati kepada Presiden Dr Muhammad Morsi yang dipecat dengan cara pembohongan serta penipuan yang terang dan nyata.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang yakin dan percaya kerajaan bersifat ‘kuku besi’ Mesir tidak akan dapat bertahan dengan gelombang rakyat.

“Dengan sebab itu, bantahan aman untuk menyedarkan rakyat adalah cara yang terbaik. Inilah yang sedang berlaku di Mesir sekarang ini dan kita mendapat kesan yang sangat positif, bukan sahaja di peringkat nasional Mesir tapi juga di peringkat antarabangsa.

“Apabila kesatuan Eropah dan negara-negara Barat, Kesatuan Afrika secara terbuka menyatakan simpati mereka dengan Presiden Dr Muhammad Morsi yang dipecat dengan cara yang bohong, menipu dengan terang dan nyata,” jelasnya.

Bahkan, kata beliau, ada kalangan media di barat yang menulis artikel secara terbuka agar barat menerima pendekatan demokrasi yang telah dipilih oleh parti-parti Islam.

Menurutnya, pemilihan demokrasi adalah sesuai dengan Islam dan bukan strategi politik semata-mata kerana damai adalah perkara yang pertama dalam Islam.

“Apa yang dilakukan oleh tentera rejim di Mesir adalah secara rampasan kuasa yang berselindung di sebalik tokoh-tokoh awam. Ini (rampasan) satu pencabulan terhadap demokrasi dan mereka tidak boleh bertahan dengan penipuan.

“Dengan sebab itu, bertindak secara damai, bersabar adalah pendekatan yang terbaik. Ini yang diambil oleh gerakan Islam (Ikhwan) di Mesir sehingga mendapat simpati semua pihak,” ujarnya.

Polarisasi di Mesir sekarang paling ketara sejak autokrat yang disokong Amerika Syarikat Hosni Mubarak digulingkan pada 2011, sekali gus bermulanya peralihan politik penuh pergolakan.

Dr Muhammad Morsi menjadi pemimpin pertama Mesir yang dipilih secara demokratik oleh rakyat pada Jun 2012 tetapi menghadapi tentangan dari pelbagai pihak.

Sejak tentera menggulingkan Dr Morsi, pemimpin kumpulan Islamis pada 3 Julai lalu, pemimpin-pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin dituduh menghasut keganasan.

Petisyen pilihan raya: Mala petaka kepada sistem kehakiman negara

Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, 03 Ogs 2013
1). JUHAM amat terkejut dengan ‘trend’ penolakan majoriti Petisyen Pilihanraya oleh Mahkamah-Mahkamah Pilihanraya di seluruh Malaysia yang berasaskan alasan dan tafsiran undang-undang yang berbeza antara satu Mahkamah dan satu Mahkamah yang lain. JUHAM melihat ‘trend’ ini adalah suatu perkara yang amat berbahaya dan merupakan malapetaka kepada sistem kehakiman Malaysia.

2). Barisan Peguam JUHAM yang terlibat secara langsung dengan Petisyen Pilihanraya di seluruh negara rata-rata melahirkan rasa hairan dan terpinga-pinga dengan ‘trend’ ini, lebih-lebih lagi wujudnya pelbagai pandangan yang berbeza dan tiada konsistensi antara Hakim-Hakim Pilihan Raya sehingga menyebabkan ada Petisyen yang ditolak dan ada pula yang diteruskan dengan Perbicaraan walaupun alasan kepada Bantahan Awal terhadap Petisyen tersebut adalah alasan yang sama dan pernah diputuskan oleh Mahkamah-mahkamah Pilihan Raya sebelum ini.

3)JUHAM melihat pendirian berbeza seperti ini memprejudiskan semua Pempetisyen kerana Pempetisyen bukan sahaja diprejudiskan hak beliau untuk mendapatkan hak sama-rata di sisi undang-undang akibat kekeliruan sebegini, malah Pempetisyen terpaksa menanggung kos yang tinggi setelah Petisyen itu ditolak. Apatah lagi, para Hakim Pilihan Raya seolah-olah telah bersepakat untuk meletakkan had minima bagi kos penolakan setiap Petisyen Pilihan Raya iaitu sekitar RM30,000.00 hinggalah RM150,000.00 yang mana merupakan satu jumlah yang tidak munasabah dalam sejarah perjalanan Petisyen Pilihanraya di Mahkamah Pilihanraya Malaysia.

4). JUHAM ingin memberikan beberapa contoh terhadap keputusan Mahkamah tersebut.Pertamanya, terdapat Petisyen yang ditolak begitu sahaja dengan alasan Petisyen tersebut tidak diserahkan oleh Pempetisyen sendiri kepada Responden. Keputusan ini jelas adalah tidak munasabah, lebih-lebih lagi isu penyerahan Petisyen ini telah lama diputuskan (precedent) oleh Mahkamah Pilihan Raya pada tahun-tahun sebelum ini. Sebagai contoh, YA Datuk Ramly (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah pun memutuskan di dalam kes Mohamad Sabu lwn Pegawai Pengurus Pilihan Raya [2007] 9 CLJ 26 bahawa penyampaian Petisyen boleh dibuat oleh Peguam atau ejennya kerana adalah tidak praktikal untuk menghendaki Pempetisyen menyampaikan sendiri Petisyen tersebut kepada Responden.

5). Keduanya, terdapat beberapa Hakim Pilihan Raya yang menolak Petisyen Pilihan Raya dengan alasan bahawa kegagalan Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengisi secara betul dan tepat Borang 14 ( Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) menurut peruntukan undang undang  telah diputuskan sebagai bukanlah suatu ketidakpatuhan (non-compliance) di sisi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Tafsiran undang-undang sebegini jelas adalah berbahaya kerana ia seolah-olah menghalalkan tindakan pihak SPR memanipulasikan Borang 14 yang merupakan tunjang kepada perkiraan jumlah undian di seluruh negara.

6). Pada hakikatnya, kesan daripada kegagalan KTM mengisi secara betul dan tepat Borang 14  tersebut menurut peruntukan undang-undang, secara tidak langsung bermakna KTM boleh menipu Borang 14 walaupun terdapat bantahan oleh ‘Counting Agent’  dibuat dan bantahan itu tidak diterima, tetap kesilapan itu tidak boleh dipetisyenkan. Maka, apa gunanya dan signifikannya peruntukkan undang-undang berkaitan pengisian Borang 14 tersebut oleh SPR?

7). Bagi JUHAM, satu kesimpulan boleh dibuat di sini bahawa, SPR dan ‘koncu-koncunya’ boleh terus menipu rakyat dengan mendakwa mereka mempunyai sistem pilihanraya yang telus, padahal penipuan boleh dibuat dan keputusan pilihanraya yang diasaskan atas penipuan akan diiktiraf secara rasmi sebagai satu keputusan yang sah.

8). Sebagai contoh sebagaimana yang berlaku kepada Parlimen Titiwangsa, di mana terdapat banyak Borang 14 yang merekodkan jumlah pengeluaran kertas undi yang berbeza dengan kertas undi yang dimasukkan di dalam peti undi. Jumlah perbezaan tersebut adalah melebihi bilangan undi majoriti yang diperolehi di pihak calon Barisan Nasional. Dalam tindakan Petisyen Pilihan Raya pada tahun sebelum-sebelum ini, rata-rata Mahkamah memutuskan bahawa sesuatu Petisyen Pilihan Raya yang menyentuh tentang ketidakpatuhan undang-undang hanya akan dilayan sekiranya ia melebihi keputusan undi majoriti dalam Parlimen/Dun terbabit.

9). Namun kini, apabila para Pempetisyen berjaya mengemukakan pelbagai bukti ketidakpatuhan terutamanya dalam isu Borang 14 tersebut yang menyentuh keputusan majoriti undian di Parlimen/Dun terbabit, rata-rata Hakim Pilihan Raya membuat tafsiran yang baru dengan menyatakan kegagalan Ketua Tempat Mengundi mengisi dengan betul Borang 14 bukanlah suatu ketidakpatuhan (non-compliance) di sisi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Malapetaka apakah ini? Dimanakah peranan ‘check and balance’ yang diharapkan oleh rakyat daripada institusi kehakiman terhadap perjalanan sesuatu proses Pilihanaraya?

10). Justeru, JUHAM bertegas bahawa Ketua Hakim Negara perlu mengambil tindakan dan perhatian yang jitu tentang perkara ini agar kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman tidak hancur sepenuhnya. Pihak Mahkamah mungkin boleh menyatakan semua Pempetisyen yang tidak berpuas hati tentang perkara ini boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Walau bagaimanapun, tidakkah pihak Mahkamah sedar bahawa tindakan rayuan seterusnya akan melibatkan kos yang lebih tinggi tatkala para Pempetisyen telah pun "dihukum" dengan kos sehingga puluhan ribu ringgit setelah Petisyen mereka ditolak?

11). JUHAM mengecam tindakan pihak Mahkamah yang mengenakan kos yang amat tinggi sebegini seolah-olah ingin menghukum rakyat kerana memfailkan Petisyen ini, sedangkan rakyat tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyalurkan ketidak-puasan hati mereka tentang kehancuran perjalanan Pilihan Raya yang lalu di korum yang sepatutnya iaitu di Mahkamah. Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sendiri yang menempelak himpunan Blackout tempoh hari dengan menyatakan sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui Petisyen Pilihan Raya?

12). Namun, nampaknya rakyat kini tiada lagi alternatif lain dalam menyuarakan kepincangan perjalanan Pilihan Raya.Mahkamah seolah-olah ingin menghukum Pakatan Rakyat dalam pemfailan Petisyen ini, sedangkan tiada langsung Petisyen-petisyen yang difailkan itu difailkan oleh Pakatan Rakyat. Sebaliknya, kesemua Petisyen tersebut rata-rata difailkan oleh pengundi berdaftar sendiri. Justeru, hukuman kos yang tinggi itu bukannya suatu hukuman kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya ia adalah hukuman kepada seluruh rakyat Malaysia yang menjadi pengundi berdaftar. Adakah rakyat kini berada di satu peringkat bahawa ‘nobody gets justice. People only get good luck or bad luck’?

13). Malah, kos minimum yang dikenakan iaitu sebanyak RM 30,000.00 tersebut yang merupakan had minima untuk sesuatu pemfailan Notis Kebankrapan seolah-olah suatu indikasi bahawa Pempetisyen yang kalah akan dihukum bankrap oleh pihak yang menang. Ini bermaksud rakyat akan dihukum secara bertalu-talu tanpa belas kasihan. Sekali lagi JUHAM ingin ulangi, malapetaka apakah ini?

14). Akhirnya, JUHAM ingin menyeru kepada institusi Kehakiman Negara agar mengambil satu pendirian yang positif dan proaktif di dalam perkara ini agar segala kebobrokan di atas dapat diatasi dengan penuh berhemah selaras peranannya sebagai sebuah badan check and balance di Negara ini. Sekiranya kebobrokan ini berterusan, JUHAM khuatir institusi kehakiman mengundang malapetaka kepada diri mereka sendiri. Memetik kata-kata Martin Luther King, Jr. bahawa:- Law and order exist for the purpose of establishing justice and when they fail in this purpose they become the dangerously structured dams that block the flow of social progress”.

Forum 'Mesir di Persimpangan' 5 Ogos

Harakahdaily, 03 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Satu forum berkaitan Mesir bertajuk 'Mesir di Persimpangan' akan diadakan pada Isnin, 5 Ogos ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) jam 8.00 malam.

Antara tujuan forum ini diadakan adalah untuk membincang dan menganalisa perkembangan-perkembangan terkini di Mesir serta mencuba mengunjurkan akan masa depan negara dan rakyat Mesir.

Program ini adalah anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia, Tamil Foundation serta KLSCAH (Civil Rights Committee) dan disokong oleh Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

Ahli panel terdiri daripada ahli akademik Dr Maszlee Malek, ahli akademik Dr Alaa Hosni Ahmed yang merupakan warganegara Mesir, penganalisa politik Josh Hong yang juga kolumnis Malaysiakini.

Forum yang akan berlangsung dalam Bahasa Inggeris ini terbuka kepada orang ramai.

Kemuncak kewartawanan Umno, bohong jadi benar

Harakahdaily, 03 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kewartawanan Malaysia dalam negara Umno BN mencapai ‘kemuncak’ baru di peringkat antarabangsa apabila pembohongan menjadi kebenaran dan khayalan sebagai kenyataan.

Bagi Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang, akhbar harian milik Umno, Utusan Malaysia, menjadi contoh bagi “transformasi” kewartawanan Malaysia kelmarin apabila ruangan komentar rasminya, “Bisik-Bisik”, yang ditulis oleh Awang Selamat, iaitu nama samaran bagi pusat perang saraf Umno-Utusan, telah melancarkan satu lagi serangan terhadap DAP yang telah meminta Pendaftar Pertubuhan menyatakan sebab mengapa ia memutuskan untuk mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti.

Kata Awang Selamat: "Awang teringat desakan orang politik termasuk bekas orang DAP sendiri yang mahukan DAP mengadakan semula pemilihan CEC ekoran dakwaam berlaku penyelewengan dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan". Lim berkata, pembohongan tentang 547 perwakilan hantu di Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu, dengan dakwaan lebih mengarut bahawa semua 547 perwakilan hantu itu datang dari Pulau Pinang, adalah salah satu kepalsuan paling jelek pernah direka oleh wartawan-wartawan yang menjadi soldadu perang saraf Umno/BN. Mereka tidak memerlukan walau pun secebis bukti.

“Para propagandis Umno BN ini berharap kepalsuan itu boleh diterima oleh rakyat Malaysia dengan cara menerapkan doktrin Goebble, menteri propaganda Nazi, yang menyatakan bahawa jika pembohongan diulang seribu kali, ia akan menjadi satu fakta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, DAP dan rakyat Malaysia berhak untuk tahu sama ada pembohongan tentang ‘547 perwakilan hantu DAP’ di Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu adalah salah satu sebab mengapa Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan arahan kepada DAP untuk mengadakan pemilihan semula CEC dan, jika bukan, apakah sebab RoS mengeluarkan arahan sedemikian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menjelaskan, DAP bersedia mengadakan semula pemilihan CEC jika Ketua Pengarah ROS boleh memberikan sebab yang munasabah dan bukannya berasaskan pembohongan dan kepalsuan yang direka oleh Skuad Perang Saraf Goebbel Umno BN, terutama oleh cawangannya di Utusan Malaysia.

Generasi muda harus faham kesan TPPA

Hazayani Zakaria, 03 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Golongan muda harus cakna dan memahami isu Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) atau Rundingan Perkongsian Trans Pasifik kerana mereka merupakan generasi yang akan menerima kesan daripada rundingan ini.

Pengasas bersama Badan Bertindak Bantah TPPA Anas Alam Faizli berkata, golongan muda tidak boleh lari daripada terkena tempias TPPA kerana rundingan ini akan akan memberi kesan kepada perolehan kerajaan, industri kecil dan sederhana iaitu TPPA memegang lebih 80 peratus industri di Malaysia.

"Sangat kritikal bagi belia di Malaysia menggalas isu TPPA kerana mereka sendiri yang anerima kesannya pada masa akan datang.

"Malah jika belia di luar sana tidak mengambil peduli hal ini, ia akan memberi kesan kepada masa hadapan mereka yang akan bekerja pada masa depan kerana TPPA akan membentuk ekonomi negara," kata beliau dalam rancangan bual bicara yang disiarkan di MobTV.

Anas berkata, antara kesan buruk TPPA ialah akan berlaku kenaikan harga ubat-ubatan kerana pemanjangan tempoh paten atau hak cipta ubat berjenama.

Sebagai contoh katanya, ubat berjenama untuk kanser dijual pada harga yang mahal RM9,600 ke RM10,000.

Akan tetapi TPPA akan menyebabkan ubatan generic (tidak punyai jenama) yang lebih murah sukar untuk dihasilkan.

"Mereka boleh ubah paten ubat dan ini akan memberi kekayaan lebih kepada industri mewah," katanya.

Justeru beliau menyeru lebih banyak pakar dalam pelbagai bidang tampil memberi penerangan kepada rakyat mengenai TPPA agar momentum bantahan TPPA ini berteusan seterusnya menghalang kerajaan daripada meneruskan perjanjian yang dijangka dilaksanakan pada Oktober tahun ini.

"Selepas beberapa NGO khususnya Blindspot mengadakan forum dan bantahan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), momentum sudah ada dan semua pihak nampaknya membincangankan mengenai TPPA kerana lebih banyak suara-suara yang membuat bising, kita akan lihat maklum balas daripada kerajaan.

"Badan bertindak TPPA melihat perlunya sokongan rakyat, sokongan NGO, ahli akademik, ahli perniagaan dan sebagainya. Kami menyeru semua NGO menyertai badan bertindak bantah TPPA dan pakar-pakar terus menulis mengenai TPPA. Pakar perubatan tulis mengenai perubatan, pakar undang-undang tulis dari aspek undnag-undang, perlembagaan dan begitu juga piha-pihak lain," katanya.

Dalam memorandum kepada MITI Julai lalu, Badan Bertindak Bantah TPPA menuntut kerajaan menunda penglibatannya dalam rundingan ini sehinggalah analisis kos dan manfaat serta kajian perbandingan faedah dilaksanakan, diumumkan dan diperdebatkan kepada awam.

Teks perjanjian perlu dikaji selidik dan ditimbang tara oleh parlimen untuk mewajarkan TPPA sebagai bermanfaat terhadap rakyat Malaysia.

Segala kebimbangan yang berkenaan diketengahkan dalam cadangan dan pendirian Malaysia dalam perundingan TPPA serta menyediakan referendum untuk menentukan tahap sokongan rakyat Malaysia terhadap keputusan kerajaan untuk menandatangani perjanjian ini.

Kakitangan Insaniah Holding mahu mengadap Agong

Sarina Ismail, 04 Ogs 2013

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar menegaskan pihaknya bersama kakitangan Insaniah Holding bercadang mengadap Yang DiPertuan Agong jika Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir gagal menyelesaikan isu pembayaran gaji kakitangan syarikat berkenaan.

Bercakap pada sidang media di Markas PAS Pokok Sena, beliau melahirkan kekesalan terhadap tindakan kerajaan negeri yang telah membekukan gaji kakitangan Insaniah Holding sejak Mei sehingga lalu.

"Kita teramat kesal dengan tindakan berkenaan, apatah lagi di saat menjelangnya Aidil Fitri. Bagaimana mereka hendak meneruskan kehidupan setelah hak mereka dinafikan sejak bulan Mei lalu.

"Tiga bulan tidak diberi gaji, mereka mengalami tekanan hidup,untuk membayar sewa rumah, insuran bulanan kereta,persekolahan anak-anak, makan minum dan
lain-lain keperluan," ujar beliau kesal.

Tambah beliau lagi, pihaknya  telah menghantar makluman kepada Menteri Besar Kedah melalui Ketua Pembangkang, Datuk Amiruddin Hamzah untuk mengadakan temujanji menyelesaikan masalah ini tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas daripada beliau.

Menurutnya, situasi dihadapi oleh kakitangan Insaniah Holding ketika ini tidak menentu dan dua isu pokok yang harus dilihat kerajaan negeri khususnya oleh Menteri Besar ialah mengenai status mereka dan tunggakan gaji tiga bulan tersebut.

"Walaupun dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, Mukhriz menegaskan, perpindahan pelajar Mualamat ke Mergong adalah atas nama kebajikan kepada pelajar- pelajar, selain mengambil kira masalah tenaga pengajar yang terpaksa berulang alik dari Alor Setar ke Kuala Ketil, tetapi mengapa dalam soal kebajikan kakitangan Insaniah Holding dikesampingkan?

"Nasib 268 orang ini, perlu diselesaikan secepat mungkin. Bagaimana kedudukan dan status mereka. Apa yang mereka hadapi, tidak dibayar gaji tetapi tiada sebarang surat pemecatan yang dikeluarkan," sambungnya lagi.

Mahfuz juga berkata, adalah tidak wajar jika kerajaan negeri enggan menyelesaikan bayaran gaji tertunggak tersebut yang dianggar sebanyak RM2,000,750 sedangkan kebajikan dan hak mereka sebagai pekerja adalah tanggungjawab majikan.

"Walau pun Insaniah Holding ditubuhkan semasa pemerintahan Pakatan Rakyat dahulu, tetapi ianya mengikut prosedur perundangan dan perjanjian yang sah. Insaniah Holding bukan ditubuhkan atas dasar politik.

"Apabila Kedah diambil alih oleh BN, agenda yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum itu perlu diteruskan, seperti mana dahulu kita meneruskan semua agenda yang telah ditetapkan oleh mereka. Malah hutang yang mereka tinggalkan pun kita langsaikan. Kenapa kita tak 'cuci tangan' kerana itu bukan hutang kita?" soal Mahfuz.

Harapan beliau agar kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin iaitu sama sepertimana kakitangan kerajaan menerima bonus hari raya sekaligus nasib mereka ini juga dapat pembelaan pada waktu yang sama.

"Jangan pula nanti, mereka semua berpakat berkhemah di hadapan rumah Menteri Besar kerana tiada penginapan kerana dihalau dari rumah sewa akibat gagal membayarnya," ujarnya.

Sementara itu, wakil dari Insaniah Holding, CEO Insan Sistem, Ir Mansur Mahmud, juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan negeri terhadap mereka.

Beliau berharap kerajaan negeri perlu mengenang kembali jasa-jasa Insaniah Holding kepada pembangunan Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

"Insaniah Holding banyak membantu dalam soal pembangunan KUIN di Kuala Ketil serta membantu mengendalikan asrama dan kebajikan pelajar.

"Kita dah minta MB datang jumpa kami tapi bukan saja MB tak datang, wakilnya pun tak ada. Bagi saya sebahagian yang tunjuk hero membela KUIN kononnya, sebenarnya hanya mempunyai kepentingan peribadi.

"MB patut tengok masalah kami, jangan ada dendam kesumat. Kakitangan Insaniah Holding adalah 'free political', bukannya hanya memihak pada satu-satu parti sahaja," katanya yang juga merupakan Pengerusi Badan Bertindak masalah berkenaan.

Sementara itu, Pengawai Operasi Insaniah Holding, Aidi Ahmad menegaskan, mereka telah mengadakan pertemuan dengan Exco Pendidikan Negeri, Dato' Tajul Urus Mat Zin tetapi sehingga kini tiada sebarang jawapan atau tindakan yang diambil.

Maklum beliau, pada akhir bulan Jun lalu, dua kali surat permohonan dihantar kepada Menteri Besar untuk mengadakan perjumpaan, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan.

Selain itu Mahfuz juga memberitahu, memo kepada Yang diPertuan Agong juga telah diserahkan kepada istana.

Turut serta pada sidangmedia tersebut kira-kira 200 orang kakitangan dan keluarga Insaniah Holding.

Dalam pada itu, Mahfuz turut menyampaikan sumbangan  peribadi duit raya kepada anak-anak kakitangan berkenaan.

Turut hadir bersama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Senator Datuk Muhamad Yusuf Husin dan Adun Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim.

Prof Agus pula belasah Noh Omar, terhangat

Harakahdaily, 04 Ogs 2013
KUALA LUMPUR:Selepas Soi Lek, Prof Agus pula belasah Noh Omar” merupakan artikel yang paling diminati pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke 31, 2013.
Di tempat kedua pula ialah artikel bertajuk “Perbezaan wanita yang menyokong dan menentang Mursi” dan “Mengapa undi PAS merosot dalam PRK K Besutpula menduduki tempat ketiga.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Harakahdaily bagi minggu 28 Julai hingga 3 Ogos.

1

Selepas Soi Lek, Prof Agus pula belasah Noh Omar
2

Perbezaan wanita yang menyokong dan menentang Mursi
3

Mengapa undi PAS merosot dalam PRK K Besut
4

Kes tembak mati meningkat, bussines ini pun meningkat
5

Turki gantung 27 perjanjian dengan Mesir
6

Pemergian Boon Huat, hilangnya permata hoki negara
7

Tanda-tanda lailatul Qadar dari hadis sahih
8

Pemimpin bersin pun ahli Umno tepuk tangan - Mahathir
9

Kehebatan anak dan menantu dalam PAS
10

Rampas mercun: Jangan kaitkan saya, kata Khalid

Penyokong Morsi umum himpunan "Lailatul Qadar"

Harakahdaily, 04 Ogs 2013
MESIR: Para penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi malam ini akan mengadakan himpunan di seluruh Mesir yang dinamakan sebagai himpunan "Jutaan Lailatul Qadar".

Himpunan malam ini sebagai usaha berterusan mereka memanjat doa kepada Allah SWT atas kezaliman yang dilakukan pihak tentera dan pemerintah sementara terhadap mereka.

Ianya dinamakan Jutaan Lailatul Qadar sempena malam ini adalah malam ke 27 Ramadan iaitu salah satu malam ganjil di 10 malam terakhir yang sabdakan oleh Rasulullah antara berlakunya malam al-Qadar.

Bagi penyokong Morsi, malam al-Qadar antara kemuncak untuk memnjatkan doa kepada Allah agar menamatkan kezaliman yang berlaku.

Pada Jumaat lalu, mereka juga telah mengadakan himpunan besar-besaran seluruh Mesir menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa oleh tentera.

Sekurang-kurangnya 31 buah masjid dijadikan tempat berkumpul sebelum mengadakan perarakan di dataran dan jalanan sambil melaungkan slogan anti kudeta.

Semalam genap sebulan rampasan kuasa oleh tentera Mesir yang dibuat pada 3 Julai lalu, dan hari ke ke 33 bagi penyokong Morsi berkampung di medan khususnya di Raba'ah.

Sehingga hari ini, lebih 500 angka korban direkodkan sejak rampasan kuasa berlaku manakala ribuan lagi cedera selepas diserang beberapa kali oleh pasukan polis Mesir yang cuba menyuraikan himpunan.

Para Penyokong Morsi juga bertekad untuk tidak berganjak dari medan-medan himpunan sehingga pihak tentera berundur dan mengembalikan semula kuasa kepada presiden sah Mohammad Morsi.

Tiada ulasan: