Isnin, 5 Ogos 2013

NILAI HIDUP ATAU MATI 1000 SAJA

Pemimpin Kelantan bersama perantau 2 Syawal

Salmah Mat Husain, 04 Ogs 2013
KOTA BHARU: Anak Kelantan di perantaun dijemput hadir pada program Aidilfitri pimpinan kerajaan dengan anak Kelantan di perantauan.

Program yang dianjurkan setiap tahun untuk meraikan anak perantau itu akan diadakan pada 2 Syawal bertempat di Dewan Jubli Perak, di sini bermula jam 8.00 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nassuruddin Daud berkata, majlis berkenaan akan dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ustaz Ahmad Yakob.

"Inilah masanya peluang untuk kita beramah mesra dengan beliau memandangkan Aidilfitri tahun ini buat julung kalinya beliau memegang jawatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan rakan media anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan.

Program itu juga dianjurkan urusetia penerangan dengan kerjasama Anak Kelantan di perantauan.

"Saya berharap anak anak Kelantan diperantau dapat mengambil peluang untuk hadir dan beramah mesra bersama pimpinan," ujarnya.

Mengusik nostalgia Syawal

Azamin Amin , 04 Ogs 2013
MENJADI orang terkenal dan sangat dikenali bukanlah penghalang kepada beberapa tokoh dalam PAS untuk tidak hidup seperti insan lain.

Biarpun bergelar pemimpin, mempunyai jawatan dalam parti mahupun organisasi, namun mereka tetap manusia yang punya nostalgia dan mimpi sendiri.

Sesekali cuba menyingkap, mengusik nostalgia Ramadan yang melintasi dan Syawal yang bakal menjelma tak lama lagi. Ada kisah menarik untuk dikongsi bersama.

Bagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ramadan yang ditempuhi banyak mengajarnya untuk tidak lupa kesusahan yang dilaluinya suatu ketika dahulu sehingga tidak mampu membeli baju raya kepada anak dan isteri tercinta.

"Sejak belum menjadi wakil rakyat, isteri mengambil upah menjahit baju sebab kami orang susah awalnya. Jadi ahli Parlimen pada 2004, isteri terus mengambil tempahan pakaian seperti sebelumnya," kata Salahuddin.

Selepas dua penggal menerajui Parlimen Kubang Kerian, beliau kembali ke tempat asalnya di Johor pada PRU13 untuk bertanding di Parlimen Pulai, namun tewas.

Ujian ini bagi Salahuddin suatu yang biasa dalam hidupnya, kerana menang dan kalah adalah nikmat semuanya. Perjalanan hidupnya tetap diteruskan dengan tugas selaku Naib Presiden PAS.

Baginya pengalaman susah amat 'penting' sebagai pengajaran dalam hidup dirinya dan supaya manusia merasai keperitan yang dilalui oleh orang lain.

"Bila kita ada rezeki sedikit kita ingat kawan-kawan dan orang susah. Bukan bila kita kaya sahaja bantu orang, tetapi kalau susah, kita bantu sedaya yang mampu.

"Jangan berhenti membantu orang. Jihad harta benda mesti terus sampai ke liang lahad," katanya.

Lain pula cerita kenakalan Ke-tua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang berkongsi pengalamannya melalui Ramadan dengan bermain mercun.

Menjadi seorang 'hero sejati' jika membakar mercun di tangan dan melemparkannya sebelum meletup.

"Pegang di tangan, nak meletup baru lempar...baru berani. Ada satu masa, saya makan ketupat, kemudian pegang mercun... nak lempar, mercun melekat di tangan sebab ketupat...apalagi, meletuplah.

"Jadi kalau nak bakar, basuh tangan dulu (ketawa), tapi mercun dulu kecil, kalau meletup pun...kebas-kebas tangan sahaja," katanya ketawa tetapi insiden tersebut membuatnya semakin berhati-hati.

Sementara bagi bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar pula merasai pengalaman beraya di asrama.

Katanya, kerana tuntutan masa dan pengajian memaksa beliau berhari raya di asrama sejak tingkatan satu dari tahun 1964 sehinggalah 1970.

"Kami beraya di rumah guru-guru dan warden, walaupun terpaksa berjalan kaki dari rumah ke rumah yang cukup jauh dan penat, kami tetap seronok dan semangat Raya itu ada.

"Zaman itu cuti pendek. Tidak dapat untuk balik kampung," katanya yang juga berhari raya selama menuntut di United Kingdom.
'Kenapa kereta rasmi yang dipasang di Pekan?'
3:30PM Ogos 5 2013
Tindakan kerajaan mahu menggantikan kereta rasmi keluaran Proton dengan model Honda dipertikaikan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat.

Lau Weng San (Kampung Tunku) mempersoalkan, kenapa kereta Proton Inspira kegunaan pegawai perkhidmatan gred utama yang masih baru perlu ditukar kepada Honda Accord 2.0L.

"Kedua, mengapa kerajaan menggunakan kereta Honda Accord 2.4L dan 2.0L dan bukan kereta-kereta yang lain?" soal ADUN DAP itu.

"Adakah ianya disebabkan kereta kedua-dua model kereta Honda ini dipasang oleh kilang DRB-Hicom di Pekan di mana syarikat ini milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan anggota Parlimen Pekan.

Dalam kenyataannya hari ini, Lau membangkitkan isu kerajaan Perak pimpinan Pakatan sebelum ini yang menukar Proton Perdana Executive Toyota Camry 2.4L sebagai kereta rasmi exco.

Katanya, ketika itu pemimpin Umno mengkritiknya sebagai tidak "patriotik" walaupun alasannya ekoran kos penyelenggaraan tinggi serta kerosakan yang kerap berlaku.

"Yang pasti ialah pemimpin-pemimpin Umno telah hilang kredibiliti mereka apabila mereka sanggup "menderhaka" terhadap kereta nasional.

"Janganlah mereka menuduh kerajaan Pakatan pada masa depan dengan tohmahan yang sama apabila mereka sendiri juga melakukan perkara yang serupa.

Lagi Kes Tembak Mati, Pembantu Kedai Wanita Parah di Pasir Puteh


Penoreh getah maut ditembak  - Berita dikemaskini 3.15 ptg

PASIR PUTEH: Seorang penoreh getah maut akibat terkena sekurang-kurangnya enam das tembakan di dada, perut dan punggung selepas bersahur di sebuah kedai makan di Kampung Gong Mengkeleh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, mangsa Amirul Tajo Nasir, 40, dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 tengah hari tadi.

Seorang lagi mangsa yang juga pembantu kedai makan, Nor Hadiyana Zakaria, 25, cedera di lutut kaki kanan selepas terkena sedas tembakan dan dilaporkan stabil di HUSM.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, selepas Amirul minum di luar kedai berkenaan bersama dua rakan dan membayar harga minuman sambil berbual dengan Nor Hadiyana, muncul sebuah motosikal Yamaha LC warna merah hitam ditunggang dua lelaki berjaket hitam memakai topi keledar.

Katanya, dalam jarak kira-kira dua meter, pembonceng motosikal melepaskan tembakan ke arah Amirul dan turut terkena Nor Hadiyana.

Amirul rebah, manakala Nor Hadiyana berlari masuk ke dalam kedai, manakala dua rakan Amirul sempat menyelamatkan diri. 

"Motif kejadian masih disiasat dan suspek sedang dikesan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Lelaki dan wanita cedera ditembak

PASIR PUTEH 5 Ogos - Seorang lelaki dan wanita cedera ditembak di sebuah kedai makan di Kampung Gong Kelih, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, Tajo Ariffin, 34, cedera parah dipercayai terkena beberapa das tembakan di perut dan dada manakala Norhadiana Zakaria, 25, cedera ditembak di lutut.

Difahamkan, ketika kejadian Norhadiana yang membantu ibu angkatnya di kedai tersebut sedang mengambil wang daripada Tajo.




Gambar mangsa dibawa ke hospital dalam kejadian tembak menembak terbaru di Kelantan, seorang penoreh getah dan pembantu kedai makan cedera ditembak di Batu 8, teratak batu jalan Pasir Puteh Machang .


Pengusaha Resort Mati Ditembak Kes Semalam di Sabah


Tiong Choon Kwong
KOTA KINABALU: Seorang pengusaha resort, Tiong Choon Kwong yang sedang berbual-bual melalui telefon bimbitnya di luar sebuah restoran di Beverly Hills dekat sini, maut selepas ditembak menggunakan 'shotgun'dari jarak dekat.

Mangsa yang terkejut kemudiannya menjerit 'saya telah ditembak' kepada rakannya yang sedang minum di sebuah restoran sebelum rebah.

Tiong, 44, dari Sarawak yang mengusahakan perniagaan resort di Kepulauan Dinawan, Papar sedang berbual-bual di telefon bimbitnya di luar restoran tersebut kira-kira pukul 10.30 malam Sabtu apabila dia ditembak di bahagian rusuknya dari jarak dekat.Suspek dipercayai melarikan diri dengan sebuah kereta berwarna putih.

Polis sedang meneliti kawasan insiden bagi mencari petunjuk kepada pembunuhan Tiong.

Rakan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ting, membawa bapa kepada dua anak itu ke Hospital Queen Elizabeth dengan bantuan polis. Bagaimanapun Tiong disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, beliau tidak mengesyaki suspek meniru gaya pembunuhan menggunakan senjata api yang melanda Semenanjung Malaysia baru-baru ini.

"Di Semenanjung, mereka menggunakan revolver. Di sini, shotgun digunakan. Ia mungkin shotgun asli atau senjata buatan sendiri 'bakakuk'. "Kami memerlukan saksi dan sebarang maklumat dari orang ramai untuk membantu kita menjejaki suspek," katanya pada sidang media di sini.

Ketika ditanya sama ada persaingan perjudian siber menjadi motif pembunuhan itu, Hamza berkata setakat ini polis hanya tahu Tiong mengusahakan sebuah resort sambil menambah siasatan akan dibuat daripada pelbagai aspek.

Polis menggesa mereka yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supritendan Ratan Kumar Singh di talian 019-862 6000 atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Penampang, Asisten Superitendan Che Rafizi Che Ramli di talian 019-813 3337.
Peguam pertikai SKMM siasat ibu Alvin

Ibu kepada penulis blog seks Alvin Tan hari ini disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagaimanapun, peguam Alvin, Chong Joo Tian, mempersoalkan langkah itu, dengan berkata, individu itu tidak mempunyai kaitan.

NONE"Kami tanya mereka sebabnya (menyoal siasatnya dan) hubungan antara dua dan kes itu. Mereka tidak mampu menjelaskan kepada kami," katanya.

Chong (kanan) berkata, tiada sebab untuk menyoal siasatan anggota keluarga Alvin kerana dia sudah pun didakwa di mahkamah.

Menurutnya lagi, posting yang dimasukkan di Facebook juga dibuat tanpa pengetahuan keluarga dan Alvin sendiri tidak tinggal bersama mereka pada masa itu.

Ibu kepada Alvin enggan bercakap kepada media. Namanya juga enggan didedahkan.
KDN: Pengikut Syiah kini cecah 250,000

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengesan terdapat 250,000 pengikut Syiah di negara ini dengan sepuluh kumpulan dikenal pasti bergerak aktif.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, jika sepuluh tahun dahulu mereka cuma terdiri komuniti kecil dan mempunyai tiga buah markas sahaja, tetapi kini markas mereka hampir di seluruh negeri.

"Perkembangan teknolgi maklumat antara faktor memudahkan pergerakan kumpulan berkenaan menyebarkan fahaman apatah lagi orang ramai mudah untuk akses kepada pelbagai bentuk laman sosial dan media sosial," katanya di Putrajaya hari ini.

Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996. Penularan fahaman Syiah kian membimbangkan kerana ia boleh membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.

Abdul Rahim berkata usaha untuk memerangi dan membanteras pergerakan Syiah secara total perlu dilaksanakan secara bersepadu dan tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada satu agensi sahaja.

"Di pihak KDN misalnya dari segi keselamatan menerusi Polis Diraja Malaysia, Pendaftar Pertubuhan (ROS), kawalan bahan penerbitan menerusi Akta Percetakan dan Penerbitan, pengeluaran cakera padat (CD) dan Cakera Padat Digital (DVD) menerusi Lembaga Penapisan Filem sementara kemasukan pihak luar menerusi Jabatan Imigresen," katanya.

Daripada aspek akidah pula, Abdul Rahim berkata ia di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), media sosial (Kementerian Komunikasi dan Multimedia), hubungan luar (Kementerian Luar) dan institusi pengajian tinggi (Kementerian Pendidikan).

Berhubung tangkapan, beliau berkata dua tangkapan pernah dibuat sebelum ini iaitu pada 1996 di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan pada 2012 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Dalam tangkapan oleh JAIS itu seramai 200 pengikut ditahan, namun dibebaskan apabila terdapat masalah teknikal dari segi perundangan ketika pendakwaan dijalankan," katanya.

Mengenai tindakan mengharamkan buku dan bahan penerbitan pula, katanya setakat ini sepuluh judul buku telah diharamkan antaranya Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syiah dan Tafsir Sufi Al Fatihah Mukadimah yang didapati mengandungi bahan-bahan bercanggah dengan ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Buku Tokoh-Tokoh Terkemuka Ahlul Bait Nabi (Jilid tiga dan Jilid empat), yang antara kandungannya mendakwa Saidina sebagai penerus syariah selepas wafat Rasulullah yang berhubung dengan konsep Imamiah dalam fahaman Syiah.

Ditanya sama ada kumpulan itu dipergunakan sesetengah pihak untuk mewujudkan keadaan tidak tenang, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut kerana sudah menjadi satu kelaziman bila sesuatu isu atau masalah berlaku ada pihak yang cuba 'menangguk di air keruh' atau mengambil kesempatan.

Namun, katanya KDN senantiasa memantau keadaan termasuk kemungkinan terdapat pengikut kumpulan tersebut yang terbabit dengan kegiatan militan.

Mengenai status warta mengenai ajaran Syiah dan Pengharaman (Enakmen Anti-Syariah) di negeri-negeri, beliau berkata setakat ini 10 negeri telah mewartakan ajaran Syiah bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, manakala empat negeri (Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak) masih dalam proses pewartaan.

-Bernama
'Jenayah bersenjata lepas mansuh EO bukan kebetulan'

Pihak polis menegaskan, peningkatan jenayah, termasuk yang melibatkan senjata api, mempunyai kaitan dengan pemansuhan Ordinan Darurat (EO).

Ditanya secara spesifik berhubung jenayah bersenjata dan EO, yang dimansuhkan pada penghujung 2011, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, ia bukan kebetulan.

Katanya, pihak polis sudah membuat kajian, yang dapatannya menunjukkan antara 2012 sehingga Jun 2013, daripada 130,000 yang ditahan di seluruh negara, 30 peratus pesalah berulang.

Bagaimanapun, ditanya berapa orang daripada yang ditahan bekas tahanan EO, Hadi berkata akan mempertikaikan mengeluarkan data itu pada masa akan datang.

Kenyataannya itu dibuat selepas gesaan memperkenalkan undang-undang baru yang membenarkan penahanan pencegahan, seperti diperuntukkan oleh EO.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini berkata, 90 peratus jenayah terkini di Selangor dirancang oleh bekas tahanan EO.
Polis tunggu Sanjeevan sedar sebelum temubual

Polis menunggu aktivis anti jenayah R Sri Sanjeevan yang kini terlantar di Hospital Serdang daripada sedar bagi membolehkan mereka menemubualnya.

NONEPengarah Bahagian Siasatan Jenayah Datuk Hadi Ho Abdullah berkata,
rakan Sanjeevan yang berada dalam keretanya ketika kejadian tembakan pada 27 Julai lalu sudah ditemu bual.

Bercakap dalam sidang media di Bukit Aman pagi ini, Hadi berkata polis masih menyiasat kes terbabit dan mendapat beberapa maklumat berkaitan kes berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan, penting bagi mereka untuk menemubual Sanjeevan dan berharap dapat dibuat secepat mungkin selepas kebenaran hospital.

Sanjeevan yang juga pengerusi NGO MyWatch ditembak di sebuah persimpangan di Bahau, Negeri Sembilan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Beliau yang terkena satu das tembakan menembusi siku kanan sebelum terkena rusuknya, terus memecut sebelum meminta rakannya memandu ke hospital.
'Upah bunuh kini cuma RM1,000'
3:56PM Ogos 5 2013
Selepas akhbar Singapura melaporkan dakwaan pembunuh upahan boleh diperoleh dengan RM5,000 di Malaysia, akhbar tempatan pula hari ini melaporkan harganya lebih rendah lagi.

Sebuah harian berbahasa Melayu melaporkan pembunuh upahan boleh diupah serendah RM1,000, yang ironinya menepati tajuk kontroversi The New Paper Singapura bahawa "death is cheap" (murah untuk mati) di Malaysia.

NONEDalam temubual dengan Sinar Harian, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar ditanya sama ada faktor upah serendah RM1,000 punca peningkatan pembunuhan menggunakan senjata api.

"Ya, tetapi bukan faktor itu sahaja. Kini senjata api boleh disewa dengan kadar harga yang murah.

"Malah ada senjata api daripada negara luar, yang terpakai boleh dibeli dengan harga yang lebih murah iaitu pada kadar RM700 ke bawah," beliau dipetik sebagai berkata.

Akhbar Satar yang juga presiden Transparency International-Malaysia berkata ramai orang tempatan mempelajari cara menjadi pembunuh upahan dan kaedah membunuh melalui internet.

"Penjenayah ini boleh dikategorikan kepada 'contract killer' iaitu amatur, semi profesional dan profesional.

"Di negara ini, ramai yang terdiri dariada semi profesional dan apabia melakukan pembunuhan, masih meninggalkan bukti yang membantu pihak polis melakukan siasatan," beliau dipetik sebagai berkata.

Polis sambung reman pemandu teksi kaitan kes bunuh Najadi

Polis akan mengemukakan permohonan untuk menyambung reman pemandu teksi yang dipercayai membawa suspek berhubung kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata reman suspek selama tujuh hari sebelum ini akan berakhir esok dan permohonan menyambung reman perlu dibuat kerana polis masih memerlukannya untuk membantu siasatan.

"Kita percaya pemandu teksi berkenaan mampu membawa polis menjejaki suspek dan seterusnya menyelesaikan kes pembunuhan ini. Polis juga percaya suspek masih berada di ibu negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di ibu negara hari ini.

Ku berkata polis turut menyiasat penglibatan pemandu teksi berumur 44 tahun itu dengan suspek.

Beliau berkata suspek yang dikenali sebagai Sei Ngan Chai atau Ah Chian yang berusia lingkungan 40-an dan tidak mempunyai rekod jenayah dipercayai masih berada di Kuala Lumpur walaupun serbuan ke atas rumahnya minggu lepas mendapati dia telah menghilangkan diri.

Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan selepas gambar suspek didedahkan polis Rabu lepas.

Dalam kejadian itu, Hussain, 75, mati manakala isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di ibu negara.

Hussain terkena dua das tembakan di dada dan meninggal di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan.

-Bernama

Tiada ulasan: