Sabtu, 3 Ogos 2013

KITA JANGAN LUPA

Penduduk Raba'ah sokong himpunan pro-Morsi

Harakahdaily, 02 Ogs 2013

MESIR: Sekumpulan penduduk Rabiatul Adawiyah menyatakan sokongan terhadap himpunan aman menentang rampasan kuasa yang dibuat penyokong Dr Muhammad Morsi di kawasan itu.

Dalam satu sidang media kelmarin, mereka mendakwa mereka juga bersama mendokong Morsi dan mentang sepenuhnya rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera.

Kenyataan itu sebagai respon kepada kenyataan Majlis Menteri-Menteri (Kerajaan Sementara) sebelum ini yang mengancam untuk meleraikan demonstrasi di Medan Rabiatul Adawiyah.

Mereka sebelum ini berkata, sebulat suara menyerahkan mandat kepada tentera melalui Menteri Pertahanan Abdul Fatah Al-Sisi untuk mengambil tindakan meleraikan penyokong Morsi di Rabaah dan Madinah Nasr.

Alasan yang diberikan kerajaan sementara adalah kerana himpunan aman tersebut sebagai aktiviti keganasan dan mengganggu lalu lintas penduduk setempat.

"Kami juga menuntut supaya pihak tentera berhenti menggunakan alasan keselamatan penduduk-penduduk Rabiatul Adawiyah untuk mengancam para demonstran di Medan Rabiatul Adawiyah," kata salah seorang penduduk dalam sidang media itu yang disiar oleh saluran RNN.

Berikut kenyataan penuh beliau.

1. Kami, penduduk Rabiatul Adawiyah dan kawasan sekitarnya di Madinah Nasr yang dibesarkan dan menerima pendidikan di sini, menyokong sepenuhnya demonstrasi secara aman di Rabiatul Adawiyah yang menyokong Dr Muhammad Mursi sebagai Presiden Mesir yang sah. Dan kami menolak sepenuhnya rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera.

2. Kami menolak sepenuhnya pelanggaran undang-undang oleh Majlis Menteri-Menteri yang mengancam demonstrasi aman di Rabiatul Adawiyah hari ini, sedangkan kami sepatutnya mempunyai kebebasan dan hak bersuara yang juga disokong oleh masyarakat antarabangsa.

3. Kami ingin membuat tuntutan kepada pihak tentera supaya membuka semula laluan utama dan pintu masuk ke Rabiatul Adawiyah dari laluan Salah Salem, Bandar Tawfiq dan Jalan Tayran. Kami juga menuntut supaya pihak tentera berhenti menggunakan alasan keselamatan penduduk-penduduk Rabiatul Adawiyah untuk mengancam para demonstran di Medan Rabiatul Adawiyah.

4) Kami ingin menegaskan bahawa Medan Tahrir dan Istana Ittihadiyah (tempat demonstrasi Pro Kudeta) telah ditutup sejak sekian lama, tanpa menerima apa-apa ancaman dari mana-mana pihak sebelum ini termasuk dari Presiden Dr Muhammad Mursi. Atas sebab itu seharusnya kami di Medan Rabiatul Adawiah juga diberi kebebasan dan hak bersuara seperti mereka.

Tembak, bunuh: Purata 2 kes seminggu - KPRU

Harakahdaily, 02 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) yang membuat kajian berhubung kadar kes tembak-bunuh mendapati purata sejumlah dua kes berlaku setiap minggu sepanjang 7 bulan tahun ini.

Kajian yang dibuat itu mengutip kes bermula Januari hingga Julai tahun ini.

Berikut antara kes yang direkodkan dengan perkiraan "anggaran konservatif minimum berdasarkan liputan berita".


31/7/13 [Parit Buntar]


Seorang lelaki, N. Jeevandran, 26, yang dikehendaki polis kerana mempunyai empat rekod jenayah lampau mati ditembak di persimpangan Jalan Permai Utama berhampiran Pejabat Pendidikan Daerah mangsa dari Taman Seri Semarak di sini ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang kemudian melarikan diri.


29/7/13 [Bukit Mertajam]


G Santhanasamy, 30, berasal dari Kulim, Kedah, cedera di betis ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Mengkuang.,


29/7/13 [Kuala Lumpur]

Pengasas Arab-Malaysian Development Bank, Hussain Ahmad Najadi, 75, ditembak mati di kawasan letak kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur hari ini sementara isterinya cedera terkena tembakan. Beliau berjalan menuju ke keretanya bersama isteri apabila seorang yang bersenjata menuju ke arahnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah belakang menyebabkannya terbunuh di tempat kejadian .


29/7/13 [Ipoh]

Jasrafveenderjeet Singh, 25, mati di akibat terkena tembakan di leher, manakala dua lagi mangsa yang berusia 55 dan 28 tahun cedera dan mendapat rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Difahamkan mangsa-mangsa sedang minum di restoran dekat Kampung Simee bersama kawan dan dua lelaki bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.,


27/7/13 [Jempol]


Pengerusi badan pemantau jenayah, Mywatch Sri Sanjeevan Ramakrishan dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat ditembak dekat Bahau, Negeri Sembilan.Mangsa dipercayai ditembak dibahagian rusuk dilakukan oleh dua lelaki kaum India ketika sedang memandu kereta jenis BMW berwarna kelabu. Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Jempol dan akan dipindahkan ke Hospital Besar Kuala Pilah.,


26/7/13 [Temerloh]

Seorang pemandu lori Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh cedera di lengan selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke Jerantut, Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk dirawat.


24/7/13 [Kluang]


Seorang lelaki berusia 46 tahun cedera parah setelah ditembak yang terkena di bahagian badannya dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta Taman Rekreasi Gunung Lambak.Kejadian itu berlaku apabila mangsa yang baru selesai berjoging didatangi suspek ketika dia sedang menaiki keretanya.
Bagaimanapun cubaan membunuhnya gagal apabila mangsa berjaya memecut keretanya kira-kira tiga kilometer sebelum mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang.


19/7/13 [Semanggol]

Seorang lelaki ditemui mati dipercayai ditembak dalam kejadian bunuh di Jalan Gula, Simpat Empat Semanggol. Nombor plat kenderaan dinaiki mangsa dilaporkan hilang di Puchong, Kuala Lumpur pada bulan Julai tahun lalu.,


18/7/13 [Kulim]

Seorang guru mati terkena sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan dua lelaki yang menaiki motosikal menghampiri kenderaannya ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Keladi.,


15/7/13 [Kampar]

Dua beranak parah ditembak ketika sedang berehat selepas berbuka puasa dalam satu kejadian samun bersenjata di Taman Sejahtera, mangsa berusia 51 tahun bersama anak lelakinya, 13 tahun, cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua perompak yang memecah masuk kediaman mereka.
Mangsa mengalami cedera diperut sementara anaknya mengalami kecedraan di paha sebelah kanan apabila peluru yang mengenai bapanya tembus sebelum mengenainya yang ketika itu berada di belakang mangsa.


12/7/13 [Pulau Pinang]

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi mangsa selepas ditembak seorang lelaki ketika dia menemani bapanya berjumpa rakan di bawah pangsapuri berkenaan malam kelmarin. Akibat kejadian itu, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki selain kepalanya cedera akibat terkena serpihan peluru.


8/7/13 [Bachok]

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, Hashim Mat Zin, 43, mati selepas terkena tiga das tembakan di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Baharu, berhampiran sekolah itu.,


4/7/13 [Pulau Pinang]

Dua suspek yang memakai topi keledar ketika melakukan jenayah itu dipercayai melepaskan empat das  tembakan terhadap mangsa, K Kuganeswaran, 30, dari jarak dekat.,


4/7/13 [Pasir Mas]

Seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tumpat cedera ditembak di bahagian leher. Guru yang berasal dari Kampung Tualang, Pasir Mas itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan keadaannya dilapor stabil.


14/6/13 [Kuala Kurau]

Seorang peniaga, Lim Kong Hai, 52 cedera parah di bahagian perut setelah ditembak salah seorang anggota kumpulan itu dalam kejadian samun berhampiran Stesen Bas Kuala Kurau.


6/6/13 [Muar]

Tan Chai Heng, 51, dengan kesan tembakan di muka ditemui terbaring di taman itu, kira-kira 30 meter dari rumahnya. Berdasarkan kepada kecederaan pada bawah mata kanannya, kita percaya mangsa telah ditembak dengan senjata pistol dari jarak dekat sebelum mayatnya dijumpai oleh jirannya.,


4/6/13 [Taiping]

Seorang pemilik bengkel kereta Govindaraju @ Murthy, 36 mati sementara rakannya  A. Manivannan,cedera selepas ditembak di sebuah restoran di Taman Kota Jaya. Suspek dipercayai telah melepaskan tiga das tembakan dan mereka datang menggunakan motosikal serta bertopi keledar.


12/5/13 [Bukit Tambun]

Dua lelaki S. Kannan, 37 dan G. Suresh, 28 maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, dipercayai berkaitan perniagaan. keempat- keempat mereka datang dari Melaka untuk menghadiri upacara perkahwinan rakan mereka di sini. ,


11/5/13 [Seremban]

Dua lelaki mati, P Chalidass, 29 dan G Surentharan, 31, manakala dua rakan mereka parah ditembak dari jarak dekat ketika kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat pusat bandar.,


11/5/13 [Cheras]

Polis sukarelawan, N. Saravanan dan kawannya Tamil Selvam, kedua-dua berumur 29 tahun ditembak tercedera selepas satu pertengkaran.,


11/5/13 [Lunas]

Seorang pembantu kedai barang-barang lusuh, Thangaraja, 31 ditemui mati di dalam kereta yang dipandunya dengan 10 kesan tembakan di persimpangan lampu isyarat Taman Kucai di Lunas.,


10/5/13 [Alor Setar]

Seorang penarik kereta, M. Nagenthiran, 30 maut akibat terkena tiga das tembakan berhampiran rumahnya di rumah pangsa Taman Setia Jaya. Satu tembakan dikesan di bahagian kepada dan dua lagi di bahagian belakang Nagenthiran.,


9/5/13 [Tangkak]

Seorang jurutera, Muthu Pillai, 41, dijumpai mati dengan tiga kesan tembakan di sebuah ladang sawit.


7/5/13 [Nibong Tebal]

Tan Hock Chin 47 tahun, seorang yang aktif dalam Ronda Keselamatan Sukarela kawasan taman - taman perumahan sedang minum bersama 2 orang rakannya di kawasan kaki lima restoran tersebut. Tiba - tiba muncul seorang lelaki tidak dikenali menghampiri mangsa lalu menembak kearah kepala mangsa. ,


30/4/13 [Taiping]

Seorang peniaga barang lusuh yang berusia 26 tahun hampir maut terkena tembakan daripada individu tidak dikenali di hadapan rumahnya. Tembakan yang dilepaskan tersasar dan dalam keadaan kelam-kabut kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri.,


26/4/13 [Cheras]

Mangsa R. Karikaalan, 29, mati ketika dalam perjalanan ke hospital setelah terkena dua dari 10 das tembakan yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. Manakala ibu Karikaalan yang berusia 60 tahun cedera di lengan kanan.


26/4/13 [Putrajaya]

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, maut ditembak ketika dalam perjalanan pejabatnya di Putrajaya. Mangsa ditembak tiga das dari jarak oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.


25/4/13 [Tampin]

Seorang runner bagi JPJ, N. Ragunathan yang berumur 39 tahun ditembak mati dalam keretanya oleh salah sorang daripada dua orang yang bermotosikal.


16/4/13 [Taiping]

Mangsa, K Muthazagen, 47, maut apabila peluru yang ditembak dari jarak dekat menembusi kepalanya. Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang makan bersendirian di sebuah kedai di kawasan itu tanpa menyedari kehadiran suspek.


14/4/13 [Seremban]

Tan Kok Soon, 56, ditembak dari jarak dekat ketika makan malam bersama keluarganya di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland.,


12/4/13 [Seremban]

Mangsa, James John, 45, ditembak mati dalam keretanya di sekitar lampu isyarat Taman Sri Labu oleh dua orang penembak yang bermotosikal.

Pemilihan semula DAP, ROS perlu terus terang

Harakahdaily, 02 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bermakna ROS menafikan hak 753 perwakilan menghadiri kongres itu, Disember tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata ROS perlu berterus-terang mengenai perkara itu kerana DAP dan rakyat Malaysia berhak mengetahui mengapa dan dengan kuasa apa ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC yang dipilih pada kongres parti.

Beliau juga mencabar Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman menyatakan sebab sebenar arahan itu secara jelas supaya DAP boleh mendedahkan pembohongan berkenaan.

“Bilik Perang UMNO/Barisan Nasional (BN) melaburkan banyak sumber, kakitangan dan puluhan juta ringgit sejak enam bulan lalu untuk melaksana strategi dua mata iaitu “memburuk-buruk dan memusnahkan” DAP (kempen “DDD”).

“Mereka juga menyebar pembohongan mengenai DAP yang kononnya membiayai “Tentera Kacang Merah” yang dianggotai 3,000 cybertrooper dengan peruntukan antara RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan peribadi pemimpin UMNO/BN dan menghidupkan cerita palsu mengenai penyelewengan dalam pemilihan CEC ketika Kongres DAP Disember tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut Kit Siang, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, penggerak UMNO/BN meneruskan kempen mendesak ROS bertindak terhadap DAP, antaranya menuntut agar pemilihan CEC diisytihar tidak sah supaya pendaftaran DAP dibatalkan atas alasan penyelewengan dan penipuan pada pemilihan CEC Disember tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, mereka juga mendakwa kononnya 753 perwakilan DAP tidak dimaklumkan mengenai Kongres DAP pada Disember tahun lalu seperti yang disyaratkan dalam perlembagaan parti dan kerana itu mereka dinafikan hak untuk menghadiri kongres berkenaan dan memilih anggota CEC.

“Isu “753” itu diguna untuk menuduh DAP sebagai anti-kaum India kerana kononnya sebahagian besar daripada '753' perwakilan terbabit berketurunan India dan sebab itu mereka didiskriminasi dan dinafikan hak untuk menghadiri Kongress serta mengundi pada pemilihan CEC.

“Kedua-dua tuduhan berkenaan sama sekali tidak tepat. 71 peratus perwakilan menghadiri Kongres Parti (untuk mencukupkan korum, hanya 25 peratus daripada ahli yang layak menjadi perwakilan) daripada jumlah keseluruhan 2,576 perwakilan. Ini adalah rekod kehadiran yang tinggi dan amat tidak benar jika ada pihak mendakwa ketidakhadiran perwakilan kerana konspirasi yang digerak dengan tidak memberi notis yang wajar. Jika asas itu digunakan, nescaya kesahihan persidangan semua parti politik atau pertubuhan boleh dipertikaikan,” katanya.

Kit Siang juga berkata, DAP telah bekerjasama dengan ROS dan memberikan bukti bahawa notis kongres diberikan kepada semua perwakilan seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti, manakala perwakilan berketurunan India yang tidak hadir hanya kira-kira 100 orang, bukan 700 seperti yang didakwa propagandis UMNO/BN.

Katanya, pembohongan kedua yang paling ditonjolkan dalam kempen ialah tuduhan liar bahawa pemilihan CEC DAP itu disertai 'perwakilan hantu' yang pada mulanya jumlah mereka dikatakan seramai 300 orang tetapi kemudiannya meningkat kepada 547 orang.

“Adakan Ketua Pengarah ROS menganggap pembohongan mengenai 547 “perwakilan hantu” pada Kongres DAP di Pulau Pinang itu sebagai suatu dakwaan kukuh dan jika benar, maklumkan kepada DAP.

“Selain dua pembohongan itu, alasan yang dimiliki ROS hanya gangguan kecil membabitkan komputer sewaktu Kongres DAP, di mana gangguan itu tidak membawa kepada kesilapan pengiraan atau penjadualan undi, sebaliknya cuma pada tahap pengumuman keputusan, iaitu apabila seorang calon, Vincent Wu, diumumkan sebagai pemenang, sedangkan pemenang sebenar adalah Zairil Khir Johari," katanya lagi.

Tambah beliau, kesilapan itu sudah dibetulkan dan DAP telah memberi penjelasan penuh mengenai kesilapan itu kepada pegawai ROS dan mengemukakan semua dokumen dan bahan berkaitan.

“Jadi, apa asas untuk Ketua Pengarah ROS mengarahkan agar pemilihan semula CEC diadakan. Ketua Pengarah ROS harus menjelaskan kepada DAP dan negara ini mengapa beliau tidak berpuas-hati dengan penjelasan yang diberi DAP, selain menerangkan kuasa apa yang beliau gunakan untuk mengarahkan pemilihan semula CEC,” ujarnya.

Thursday, March 28, 2013

UMNO HARAM @ HARAM UMNO.. Umno hidup semula setahun saja?

Oleh Subky Latif
SETELAH UMNO diharamkan oleh mahkamah tahun 1988, maka Dr. Mahathir Mohamad telah mendaftarkan semula parti itu atas nama UMNO (Baru) dan ia diluluskan.
Maka semua UMNO bahagian yang ada sebelum diharamkan ditaja dan masing-masing menaja cawangan. Perti hidup semua dan bergerakan. Lepas itu kalimah Baru dalam kurungan disetuju dipadamkan, jadilah ia seperti UMNO sedia kala.
Lama kelamaan seorang ahli UMNO yang jujur dan mematuhi undang-undang membuat carian dalam ROS mendapati tiada satu pun cawangan UMNO di bahagaian itu wujud dalam pendaftaran. Padahal UMNO Bahagian itu sudah menaja 126 cawangan dan setiap cawangan bergerak mengikut keupayaannya.
ROS ada membuat tanyaan pada UMNO tetapi merasa ia kebal, tanyaan itu tidak diindahkan. Lalu ahli UMNO yang membuat carian itu mengemukakan kepada mahkamah, bertanya kesahihan UMNO Bahagian itu.

Adapun UMNO yang diharamkan oleh Al-Marhum Hakim Tan Sri Haron Hashim dulu ialah kerana ada ahli-ahli UMNO yang tidak sah menjadi perwakilan dalam Perhimpunana Agung UMNO dan mereka mengambil bahagian terhadap apa jua yang dibuat dan diputuskan oleh perhimpunan itu. Maka sabit kesalahannya, lalu UMNO diharamkan.
Mahkamah akhirnya memutuskan UMNO Bahagaian Tanah Merah tadi haram kerana ia hidup sejak ditaja hinggalah menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung dengan 126 cawangan sebagai cawangan yang tidak wujud dalam pendaftaran. Cawangan seperti itu adalah pertubuhan haram.
Ini bererti UMNO yang hidup semula hanya sah sehingga ia mengadakan perhimpunan agung yang pertama. Perhimpunan yang pertama itu dihadiri oleh perwakilan Tanah Merah yang haram yang sepatutnya diketahui oleh UMNO Bahagian. Ia sepatutnya tahu mana cawangannya yang tidak haram dan memastikan semua cawangan mengadakan mesyuarat agung dulu sebelum menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian. 
Apabila cawangan tidak memenuhi syarat maka ia tidak boleh menghantar wakil ke mesyuarat Bahagian. Apa wakil cawangan itu tidak sah mengambil bahagian dalam mesyarat Bahagian, maka Bahagian itu sendiri haram.
Perhubungan UMNO Kelantan sepatutnya memastkan setiap Bahagiannya sah. Ia patut melarang Bahagian yang haram menghadiri Perhimpunan Agung.
Apabila perhimpunan disertai oleh perwakilan Tanah Merah yang haram, maka perhimpunan itu juga jadi perhimpunan haram.
UMNO yang baru dihidupkan semula itu hanya sah sehingga ia mengadakan Perhimpunan Agung yang pertama. Apabila ia mengadakan Perhlimpunan Agung bersama UMNO Tanah Merah yang haram, maka ia pun haram serta merta. 
Cuma pada masa itu tidak orang yang mengambil tahu ia halal atau haram. Orang tidak tahu. Rupanya UMNO Tanah Merah menghantar perwakilan tiap-tiap tahun dan ia bergiat setiap tahun dalam Perhubngan UMNO Kelantan. UMNO 126 cawangan di Tanah Merah haram, UMNO Tanah Merah haram, UMNO Perhubungan Kelantan haram dan UMNO Malaysia pun haram.
Itu yang diketahui. Dipercayai banyak lagi cawangan di seluruh negara wujud secara haram.
UMNO itu sudahlah malang. Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim yang menjadi pemimpin Semangat 46 pula membubarkan partinya menyertai semula UMNO haram itu.
Kalau UMNO haram, apakah BN tidak haram. BN wujud setelah ada UMNO. Kalau parti haram memimpin BN patutnya BN tidak sah juga. Dari tahun 1988 Malaysia telah diperintah oleh pertubuhan haram.

Pantau jualan arak di kawasan majoriti Islam

Syed Abdullah Syed Osman ,
Bandar Baru UDA, Ampangan adalah sebuah bandar kecil dipinggir kawasan Majlis Perbandaran Seremban dan penduduknya adalah rata-ratanya orang Melayu. Kawasan ini boleh dikatakan ialah kawasan rizab Melayu.

Yang hendak saya sampaikan ialah bagaimana sebuah pasaraya di kawasan Melayu ini ada menjual arak sedangkan kebanyakan orang yang datang membeli-belah adalah orang yang beragama Islam dan  mereka yang bertugas di kaunter bayaran serta pekerjanya yang lain adalah orang Islam.

Diharap pihak yang berwajib berhubungkait dengan agama mengambil perhatian dan jika boleh memberikan syarat tertentu supaya penjualan arak dipremis jualan minuman keras di pasar raya berkenaan ditiadakan. Memandangkan ia tidak sesuai dijual ditempat dimana majoriti penduduknya terdiri orang Islam.

Tidak dinafikan pasaraya ini dibenarkan menjual arak kerana setiap pusat membeli-belah yang besar dibolehkan kerana mempunyai lesen perniagaan untuk menjual makanan ataupun minuman yang tidak halal tetapi apabila pasar raya tersebut terletak dikawasan penduduk majoritinya 95 peratus orang yang beragama Islam adalah rasa agak janggal dan sangat tidak sesuai.

Walaupun nampak saperti perkara remeh temeh dan kecil sahaja tetapi impaknya besar dari segi sudut agama kerana apabila disesuatu kawasannya itu ada perkara haram atau maksiat berlaku tetapi dipandang enteng oleh masyarakat Islam sekeliling, maka keberkatan kawasan itu akan hilang dengan sendirinya.

Memburu lailatul qadar dengan ikhlas

Nik Mohamad Abduh, 02 Ogs 2013
Tidak sama orang yang tidak ikhlas beribadah kepada Allah dengan orang yang ikhlas beribadah tetapi diganggu oleh tujuan-tujuan duniawi yang memancing-mancing di lubuk hatinya, lalu mengeruhkan kejernihan ikhlasnya.

Yang pertama adalah golongan munafik. Mereka rosak kerana akidah yang tidak benar lalu mereka melakukan ibadah hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia, bukan kepada Allah.

Yang kedua adalah awam muslimin, bahkan orang alim juga. Mereka BERMULA dengan niat yang ikhlas dalam ibadah dan amal taat mereka kepada Allah. Tetapi syaitan mengganggu di perjalanan dengan tawaran dan habuan duniawi yang palsu, lalu ramai yang terpedaya dan menyebabkan kekeruhan dalam keikhlasan AWAL mereka.

Allah menolak ibadah orang munafik. Maka ibadah dan amal taat mereka menjadi sia-sia.

Adapun muslim yang ikhlas, tahap MAKBUL ibadah mereka adalah bergantung kepada TAHAP MANA mereka mampu menjaga keikhlasan mereka daripada dicemari tipu daya syaitan.

Maka berbezalah ibadah orang jahil berbanding ibadah orang alim. Berbezalah ibadah orang yang bertaqwa dengan ibadah orang yang fasiq. Berbezalah juga ibadah orang yang teliti dan khusyuk berbanding ibadah orang yang lalai dan bermain-main.

Begitulah perlumbaan umat manusia menuju redha Allah. Allah mengeluarkan orang-orang yang kafir dan munafik daripada perlumbaan. Manakala awam muslimin, walaupun penuh kelemahan, rahmat Allah sentiasa luas buat mereka.

Apapun, kemenangan adalah tetap menjadi habuan dan milik orang-orang yang berilmu dan bertaqwa.

Tahukah kalian aduhai teman yang budiman, sesungguhnya Allah tidak pernah menutup pintu ilmu dan taqwa daripada setiap kita.

Maka muliakanlah diri dengan ilmu, iman dan taqwa. Kemenangan akan menjadi milik kita bersama, insya Allah.

Mari memburu lailatul qadar dengan penuh ikhlas.

Allahu akbar wa lillahil hamd.

Jenayah: Sokong undang-undang Islam diperkenal

Harakahdaily, 02 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong cadangan perlunya perlaksanaan undang-undang syariat Islam di Malaysia bagi menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa di negara ini.

Ketuanya, Kamaruzzaman Mohamad berkata, sudah tiba masanya undang-undang Islam diperkenal ekoran terbukti bahawa sistem perundangan yang digunapakai sekarang ini gagal untuk membendung masalah jenayah.

"Inilah yang dikatakan kegagalan sistem perundangan yang dianuti para pemimpin negara dari dulu sehingga kini. Walaupun perlabagai akta digubal dan diperkenalkan, namun ianya tidak mampu membendung kejadian-kejadian jenayah ini.

"Sudah tiba masanya bagi para pemimpin negara kembali ke landasan yang sebenar. Kembalilah kepada perintah Allah SWT. Sistem perundangan Islam ini adalah undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT. Hukum-hukum yang terkandung di dalamnya adalah sesuai untuk semua manusia," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan kelmarin agar kerajaan Malaysia melaksanakan undang-undang syariat Islam ekoran terlalu kerap kes jenayah berlaku sejak akhir-akhir ini.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman berkata, sejarah negara ini telah membuktikan bahawa undang-undang Islam mampu dilaksanakan dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama seperti ditunjukkan dalam sejarah Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Kedua-dua hukum ini mengambil contoh kepada undang-undang Islam. Hasil perlaksanaan kedua-dua hukum inilah, Melaka telah melalui zaman kegemilangannya iaitu menjadi pusat perdagangan dan juga menjadi pusat penyebaran agama Islam di nusantara.

"Bahkan bahasa Melayu ketika itu menjadi 'lingua franca'. Kegemilangan Melaka adalah disebabkan perlaksanaan syariat Islam yang menjadi tunjang kepada undang-undang Melaka ketika itu," katanya.

Suara dari Medan Raba'ah Adawiyah

Harakahdaily, 02 Ogs 2013

MESIR: Bait-bait kata karangan penyokong Morsi di Medan Raba'ah menggambarkan isi hati dan semangat perjuangan mereka menegakkan keadilan di tanah air sendiri.


Bunuhlah kami lagi dan lagi...Minumlah darah kami yang berwarna-warni

Biarkan lautan darah menjadi taufan...Berkumpullah di Tahrir beramai-ramai

Halanglah suara kebenaran dari menyinar...Kerana kau pengecut, ya, pengecut!

Kau fikir dengan membunuh kami bakal menyejukkan nerakamu...Dan dustakan khabar (kematianku) pada keluarga kami

Sebarkanlah pada media ideologi-ideologimu...Katakan pada semua, bahawa rakyat memilihmu

Bunuhlah keluargamu dan jiran-jiranmu...Bunuhlah kami seperti yang dilakukan Mubarak

Hantarkanlah pesawat untuk menakut-nakutkan kami...Ugutlah kami dengan surat-surat layang

Katakan kami bukan syahid andai kami mati...Dan andai kami hidup engkau akan pedajalkan kami

Katakanlah kau datang untuk memijak kami...Kamilah kambing yang bakal kau sembelih di hari raya nanti

Khianatilah kami dan gelarlah kami pengganas...Pisah-pisahkan kami dari teman-teman dan orang-orang kesayangan kami

Padamkanlah kewujudan kami dari realiti...Makilah kami dan panggillah kami anjing

Kurunglah kami dan kuncilah pintu-pintu...Tanpa dibicarakan tanpa dikeji sesiapa

Cepatlah! Bunuh aku dan minum darahku...Yatimkan anak perempuanku dan sedihkan ibuku

Sembunyikan suaraku dan tutuplah mulutku...Padamkan kewujudanku dan hancurkan pendapatku

Biarkan pelurumu tinggal di menetap di tubuhku...Bunuhlah aku dan berehatlah dari kesedihanku

Tetapi cuba kau berfikir sejenak...Orang bijak sentiasa tertawa di penghujung cerita

Jangan sesekali kau fikir yang kau maha berkuasa...Akan kekal di dunia wahai si pengembara

*Terjemahan #Mesirkini

Tiada ulasan: