Apabila polis berkomplot dengan penjenayah...
Ahmad Lutfi Othman, | 02 Ogs 2013 |
Ikhwanul Muslimin kembali meniti liku-liku sukar sepertimana 60 tahun dulu. Tuduhan palsu berulang untuk mensabitkan pemimpinnya, termasuk Morsi, dengan jenayah berat, yang mungkin membawa hukuman mati.
Kudeta tentera yang menguburkan suara rakyat mendedahkan bukan saja hipokrasi Barat yang selama ini kononnya mempamerkan imej wira demokrasi tetapi menyerlahkan sikap lapuk kerajaan Malaysia sendiri, yang "tidak mahu campur tangan". Dua ahli Parlimen DAP, V Sivakumar dan Liew Chin Tong membidas: "Jika Malaysia tidak bersuara untuk kebenaran, keamanan, hak asasi manusia dan demokrasi di dunia Muslim, negara mana lagi yang akan bersuara?"
(Sikap negara Islam khususnya di Timur Tengah lebih aneh lagi. Seperti kata Prof Dr Redzuan Othman, ketika saya menemubualnya, pertengahan Julai lalu: "Anehnya, rampasan kuasa di Mesir bukannya dikutuk, tetapi sebaliknya dijanjikan dengan bantuan kewangan. Arab Saudi dan beberapa negara Teluk yang merupakan sekutu kuat AS dan amat khuatir dengan perluasan pengaruh Ikhwanul Muslimin menjanjikan bantuan sebanyak USD12 billion kepada Mesir sebaik-baik sahaja Morsi dilucutkan jawatan oleh tentera.")
Najib Razak seperti menunggu restu Amerika Syarikat dan kuasa Eropah sebelum memberi respons lebih tegas. Tiga isu besar didiamkan: Kerajaan yang dipilih secara demokratik digulingkan; presiden terus ditahan secara misteri; dan penyokongnya yang memprotes dibunuh.
Gerakan Islam dan masyarakat sivil, termasuk di Malaysia perlu lebih proaktif. Justeru, saya menyokong sepenuhnya gesaan Cikgu Azmi Abd Hamid dan gabungan NGO Muslim agar digerakkan satu demonstrasi besar-besaran di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, setidak-tidaknya menyamai himpunan raksasa Bersih.
Ya, salurkan juga bantuan kewangan, sekurang-kurangnya untuk membiayai juadah iftar dan sahur demonstran di Dataran Rabaah Adawiyah, Kaherah, sambil merebut kelebihan 10 hari terakhir Ramadan, selain pahala berlipat ganda memberi makan orang berbuka puasa. Ada rakan-rakan di sana yang boleh menyampaikan terus kepada aktivis yang istiqamah berkhemah menuntut keadilan, insya-Allah.
Dalam negara pula, maruah dan integriti pihak polis - juga keupayaan kerajaan persekutuan untuk menjaga keselamatan - terjejas dengan cukup teruk-dahsyat apabila siri tragedi pembunuhan dan tembakan di siang hari menggunakan senjata api, tanpa motif rompakan atau samun, semakin berleluasa.
Lebih buruk jika ada anggapan bahawa keselamatan kini seolah-olah terletak di atas ehsan penjenayah! Pelik bunyinya tetapi kita bimbang jika benar negara hanya selamat kerana penjenayah tidak mahu membuat onar, tetapi sekiranya mereka mengamuk, ketenteraman akan punah.
Malah, kes tembakan "whistleblower" Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan di satu persimpangan jalan di Bahau, 27 Julai lalu, juga dikaitkan hubungan polis dengan kongsi gelap dan pembunuh upahan. Beberapa jam sebelum ditembak, Sanjeevan menulis di Twitter, seorang anggota polis mengancam memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang juga Penaung MyWatch tidak menolak kemungkinan percubaan membunuh Sanjeevan itu ada kaitan dengan pendedahannya mengenai komplot polis-penjenayah. Khususnya berkaitan sindiket pengedaran dadah, sudah menjadi rahsia umum mengapa jenayah tersebut sukar dibendung, dan antara puncanya ialah "pakatan sulit" yang terus terjalin...
Secara peribadi, saya pernah mendengar perbualan sesama pegawai polis, "daripada sibuk dengan tugas mengawasi pergerakan dan aktiviti pemimpin politik pembangkang, lebih baik aku dipindahkan ke bahagian narkotik, senang buat duit..." Alamak, terkejut beruk saya dengan bicara itu, sekitar 24 tahun lalu, dan saya tidak menganggapnya satu jenaka.
Ia turut mengingatkan kita kepada insiden Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Dato' Shaharuddin Ibrahim, 58, yang maut ditembak tiga das di leher dan kepala, akhir April lalu, dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, jam 8.15 pagi, di persimpangan lampu isyarat.
Shaharuddin dikatakan seorang pegawai awam yang berintegriti tinggi dan tidak bersedia berkompromi dengan jenayah berkaitan kastam. Allahyarham akhirnya membayar harga mahal dengan prinsip yang digigitnya itu.
Soalnya, apa mesej atau isyarat jelas daripada kes tembakan dan pembunuhan secara terbuka, di siang hari, menggunakan senjata api ini? Bagaimana senjata berbahaya tersebut dapat beredar dengan mudah dalam negara yang mengenakan penalti cukup berat, iaitu mati mandatori?
Dalam masa sama, bandar-bandar di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur mungkin akan tersenarai di antara kota paling tidak selamat di dunia, dan tanggapan itu tidak lagi satu persepsi, malah terkandung dalam tinjauan internet. Pasukan polis kita akan dicurigai; tentunya ia memburukkan lagi situasi, termasuk pada kacamata pelabur dan pelancong asing. Manakala krisis keyakinan ke atas kecekapan, independen dan profesionalisme polis amat sukar disekat lagi.
Kenyataan Lim Guan Eng mengenai jawapan Menteri Dalam Negeri bahawa hanya 9 peratus anggota polis terlibat langsung dalam membanteras jenayah juga mengejutkan. Katanya, bilangan itu patut dinaikkan ke tahap 50 peratus. (Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching, Menteri Dalam Negeri berkata, "sejumlah 112,583 anggota polis berpakaian seragam, 10,150 (9 peratus) berada dalam Jabatan Siasatan Jenayah, 4224 (3.8 peratus) dalam Siasatan Jenayah Narkotik dan 1,663 (1.4 peratus) di Jabatan Siasatan Komersial.")
"Penekanan utama Kerajaan Persekutuan menumpukan semula pasukan polis dalam membanteras jenayah dan bukannya berurusan dengan musuh politik BN," kata Setiausaha Agung DAP itu. Dan jawapannya masih tersangkut di atas penangguhan IPCMC, seperti dicadangkan Suruhanjaya Diraja, 2006, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaidin Abdullah. (Antara ahli-ahli lain suruhanjaya tersebut ialah dua lagi bekas ketua hakim, Tun Salleh Abas dan Tun Zaki Azmi, serta bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar).
Sejak merdeka, Perikatan dan kemudiannya BN sentiasa memanipulasi isu keselamatan bagi menjamin survival kuasa mereka, seolah-olah parti oposisi lain langsung tidak berperanan untuk menstabilkan tanah air. Apakah dengan peningkatan kadar jenayah berat, yang kini menimbulkan suasana cemas rakyat - apatah lagi polis dikatakan berkomplot dengan penjenayah - bagai aksi filem Tamil-Hindi, maka ia turut memberi kesan kepada lanskap politik negara, meskipun PRU13 baru saja berlalu?
Bagi saya, faktor keselamatan dan ketenteraman awam bukan suatu permainan atau bahan dagangan politik. Kerajaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan gagal menunaikan amanah maha penting ini. Apakah kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat perlu mengambil inisiatif tersendiri bagi mengatasi krisis serius ini, selain membekal dan memasang lebih banyak CCTV di lokasi strategik dan kritikal?
Soalnya, bolehkah kerajaan negeri, menggunakan sumber kewangan sendiri untuk membentuk pasukan beruniform bagi memastikan keselamatan orang awam daripada jenayah? (Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar Unit Agama PDRM dapat ditransformasikan kepada Kor Agama).
Di Mesir, tentera yang diharap mempertahankan kedaulatan rakyat - dan dipercayai pemerintah, khususnya Morsi yang cukup bersangka baik - akhirnya telah mengkhianati dan menikam balik. Sementara polis Malaysia dibimbangi terjebak dalam perangkap "harapkan pagar, pagar makan padi". Ya, sungguh menakutkan jika itu benar-benar berlaku!
Secara peribadi, saya amat mengharapkan Najib, dalam sidang Parlimen September akan datang, dapat mengemukakan rang undang-undang bagi memastikan IPCMC benar-benar dapat direalisasikan. Titik!
Najib gagal di Selangor
Subky Latif, | 02 Ogs 2013 |
Sepatutnya dia tidak ambil Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu empat tahun lalu. Serahkan saja ia kepada penduduk Selangor sendiri.
Tetapi justeru dia berjaya merampas kuasa di Perak setelah menjadi Pengerusi Umno Perak sekejap, maka dia hendak jadikan Selangor macam Perak juga. Lalu dia lepaskan pimpinan Umno Perak, ambil alih Umno Selangor.
Dia tidak dapat apa-apa di Selangor. Tiada ADUN yang dapat dilarikan atau dibeli. Cuma dia dapat peningkan seorang ADUN PAS dan sebelum apa-apa berlaku PAS tak akui lagi dia suku sakat PAS. Pelaburan suku sakat Umno rugi saja.
Dia silap matakan penggantian SUK Selangor dan mana-mana pegawai PTD yang beri khidmat baik di Selangor ditariknya balik ke pusat serta merta dan lain-lain tetapi tetap Selangor tidak dapat dikucar kacirkan.
Setelah kerajaan Pakatan Rakyat Selagor tidak dapat dikuditat, dia tunggu PRU yang ditangguh jadi seperti buah gugur sendiri. Dan PRU itu telah memalukannya. Dia tidak dapat kembalikan Selangor ke pangkuan BN, malah tak dapat pertahankan prestasi PRU 2008. Prestasi Umno dan BN Selangor di tangannya lebih buruk dari yang dicapai oleh Khir Toyo dulu.
Kalau orang kata Dr Khir Toyo seorang yang gagal sebagai pemimpin Umno Selangor, maka Najib lebih koman dari Khir Toyo. Najib datang menggantikan Dr Khir kerana dia lemah. Akhirnya dia pun sama lemah malah seolah-olah lebih lemah dari Khir.
Sekarang dia malu kepada Umno dan BN Selangor dan dia juga malu kepada rakyat Selangor dan dia tidak dapat tunjukkan kehabatannya kepada Istana Selangor.
Maka dipulangkannya semua Umno itu kepada orang Selangor sendiri. Ia bukan haknya. Hak itu ialah hak orang Umno Selangor sendiri. Dia gatal sangat merampas hak Umno Selangor itu, maka tidak terganggung lagi malunya.
Semasa dia mengambil Selangor, mungkin dia terasa tiada orang Selangor yang boleh menggantikan Khir Toyo. Mungkin dia terasa Noh belum mampu menggantikannya orang itu. Maka dia latih Noh menjadi pembantunya supaya kemudian boleh menggantikan Khir Toyo.
Mungkin hingga saat terakhir keupayaan Noh seperti tidak meyakinkannya. Kiranya Noh itu layak tentu dia tidak digugurkan dari kabinet. Mungkin Noh gagal sebagai menteri industeri berasas tani. Tak bolehkah dia diletakkan di mana-mana dalam Jabatan Perdana Menteri? Jika Shahidan Kassim dan beberapa orang Sarawak yang terkenal dijadikan menteri di Jabatan Perdana Menteri, apakah Noh lebih koman dari mereka?
Seekor pun tidak ada orang Umno Selangor dalam kabinet. Noh antara beberapa orang Umno yang menang dan orang lama pula. Sudahlah Umno tidak dapat apa-apa di Selangor kerana ia kalah. Dalam kebinet pun seolah-olah Umno Selangor kalah juga.
Jika Noh hebat, tidaklah digugurkan dari kabinet. Tetapi seperti tiada orang lain yang layak menggantikan Khir Toyo sebagai ketua Umno Selangor, maka diambilnya Noh. Noh bukan saja jadi ganti Khir Toyo tetapi dia juga dilihat sebagai ganti Najib yang tiada berdaya saing di Selangor.
Najib dilihat di Selangor sebagai orang yang kalah pada Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dari satu segi dia patut lepaskan Selangor kerana dia gagal dan kerana bukan haknya. Ia hak orang Selangor sendiri. Tetapi dari segi lain dia tidak tinggalkan ia kepada Noh yang dibuangnya dari kabinet. Sepatutnya sekali kalah tidak semestinya kalah lagi kemudian. Kerana tidak yang jelas untuk memimpin Selangor, Najib patut bersabar, pegang sepenggal lagi, mungkin ia dapat kejayaan lebih baik.
Sekarang ditinggalkannya Umno Selangor yang hancur itu kepada Noh. Orang pun tidak tahu dia boleh buat lebih baik dari Najib dan Khir Toyo?
Menyaksikan sendiri pembunuhan kejam di Raba'ah Adawiah
Dr Syed Azman Syed Ahmad, | 01 Ogs 2013 |
(Menangisi mayat-mayat penyokong Dr Morsi yang bergelimpangan)
KUNJUNGAN singkat saya ke Kota Kairo pada kali ini adalah amat tragis sekali. Bermula dengan rampasan kuasa yang dilakukan oleh junta tentera serta penangkapan Presiden Dr Mohamad Morsi serta ramai pimpinan Ikhwan Muslimin yang merupakan episod awal kekejaman rejim tentera yang merampas kuasa di bawah pimpinan Jeneral As-Sisi.
Namun, saya amat tidak menduga apabila saya turut menjadi saksi kepada kekejaman rejim tentera ini membunuh rakyat yang tidak berdosa sesuka hati mereka tanpa sebaran belas kasihan.
Bertapa pilunya apabila melihat rakyat yang menyokong Presiden Morsi di tembak dengan kejam di hadapan mata kepala saya sendiri.
Saya ke medan Raba’ah Adawiah yang merupakan tempat berhimpun penyokong Presiden Morsi memenuhi permintaan sahabat-sahabat Mesir di sana untuk berbuka puasa bersama-sama mereka di medan tersebut.
(Penulis [kiri sekali] berbuka puasa dengan penyokong Dr Morsi di medan Raba’ah Adawiah)
Saya dapat melihat sendiri semangat serta pengorbanan yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh penyokong Presiden Morsi yang telah berkhemah di sana lebih dari tiga minggu walaupun di tengah-tengah musim panas di bulan ramadhan.
Bayangkan kesempatan bersama ratusan ribu rakyat yang berkumpul di tengah-tengah Kota Mesir bagi menuntut dikembalikan presiden mereka dan sekaligus menolak rampasan kuasa junta tentera.
Rata-rata yang hadir amat bersemangat sekali samada yang tua atau yang muda, yang kaya atau yang miskin, dari seorang pensyarah kepada seorang petani semuanya bersama di medan Raba’ah Adawiah bagi memperjuangkan hak dan menolak kekejaman tentera.
Pidato serta ucapan dari pimpinan Ikhwan Muslimin amat besemangat sekali dan mereka tidak sedikitpun menunjukkan mahu mengalah dan berundur dari perjuangan menegakkan hak mereka dan tuntutan demokasi di Mesir.
Hidangan berbuka puasa untuk ratusan ribu yang berhimpun di situ dapat dinikmati semua. Entah daripada mana semua makanan itu datang tetapi mencukupi untuk semua.
Kami berbuka puasa sambil berbincang tentang perkembangan yang sedang berlaku di Mesir kini. Semua yang saya temui amat besemangat sekali mahukan presiden mereka yang sah di bebaskan dan kembalikan semula kuasa kepada beliau.
Kami solat Maghrib dan Isyak serta bersolat Tarawih bersama-sama. Amat sayu apabila mendengar bacaan imam solat Terawih serta doa Qunut Nazilah yang dikumandangkan dalam setiap solat waktu dan solat Witir.
Namun, suasana aman damai selepas solat Terawih pada malam itu bertukar menjadi "kelam kabut" apabila terdengar tembakan dan siren ambulan yang bertali arus menuju ke hospital sementara yang terletak di Masjid Ibrahim di Raba’ah Adawiah.
Semua yang hadir diminta bertenang serta sama-sama bertakbir serta mengungkapkan ayat "cukuplah Allah sebagai penolong" berkali-kali.
Saya dapat melihat ratusan yang cedera serta puluhan jenazah yang di bawa ke belakang masjid. Para doktor yang begitu ramai cuba sedaya upaya untuk memberi pertolongan serta melakukan pembedahan segera kepada mereka yang cedera.
Sepanjang pengalaman di pelbagai tempat berkonflik dan bersama menyaksikan pelbagai tragedi, bagi saya inilah yang paling trajis dan amat memilukan dalam hidup saya.
Bertapa pilu apabila melihat mereka yang tidak berdosa di tembak tanpa rasa sebarang belas kasihan di hadapa mata kepala saya. Kebanyakan yang meninggal di tembak di kepala dan di leher mereka.
Begitu juga yang cedera parah yang di tembak di bahagian kepala dan perut mereka.
Inilah siri awal kekejaman yang sedang berlaku di Mesir selepas rampasan kuasa tentera yang didokong oleh Kuasa besar barat.
Mungkinkah sudah tidak ada istilah "hak asasi" bagi melindungi kumpulan dan parti Islam dari kekejaman tentera ini yang membunuh rakyat sesuka hati mereka?
Atau mungkinkah "demokrasi" dan gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin sudah tidak layak berada di gelangang demokrasi ini seperti yang di agung-agungkan oleh kuasa Barat dan sekutunya sehinggakan mereka boleh di lakukan sedemikian walaupun dengan membunuh tanpa sebarang rasa simpati dan bersalah?
Namun, saya yakin Ikhwan Muslimin dan pimpinannya akan bangkit dan melakar sejarah bertapa kekejaman terhadap mereka tidak sekali-kali mematikan semangat mereka untuk menegakkan keadilan walaupun ribuan yang dipenjarakan dan di bunuh dengan kejam.
* Penulis ialah Penolong Setiausaha Agung PAS. Boleh dihubungi melalui email: syedazmans@yahoo.co.uk dan twitter: @syedazman.
Petisyen pilihanraya- bentuk mengatasi isi
Mohamed Hanipa Maidin, | 31 Jul 2013 |
Untuk berlaku adil terdapat juga beberapa petisyen yang Umno failkan juga dtolak. Hampir semua petisyen yang ditolak , Mahkamah mengenakan kos yang agak tinggi. Ini menimbulkan spekulasi yang tidak sihat iaitu adakah Mahkamah ingin memberi satu mesej kepada mereka yang ingin memfailkan petisyen pilihanraya pada masa akan datang supaya berjaga-jaga kerana anda mungkin akan dikenakan kos yang tinggi jika kalah. Selain itu ia juga mengundang satu mesej bahawa mana mana petisyen yang telah difailkan tapi belum didengar lagi setakat ini adalah lebih baik ditarik balik petisyen tersebut.
Semasa pendengaran petisyen PAS bagi Parlimen Kuala Selangor, peguam Umno Dato Hafarizam meminta Mahkamah mengenakan kos yang tinggi iaitu lebih dari RM30 ribu kerana beliau mahu membankrapkan Pempetisyen. Kata beliau seseorang hanya boleh dibankrapkan jika hutang lebih RM30 ribu.
Ketika tiba giliran saya berhujah saya katakan kami failkan petisyen bukan untuk membankrapkan sesiapa. Sebaliknya kami failkan petisyen kerana ini sahaja saluran undang-undang yang kami ada untuk meminta Mahkamah membetulkan kepincangan dan salah urus pilihanraya yang dilakukan olen SPR . Petisyen difailkan, saya kata, bagi memastikan kesucian (sanctity) dan kebersihan (purity) sistem pilihanraya sentiasa dipelihara. Saya katakan biarlah mana mana calon yang menang sesuatu pilihanraya hasil dari satu pertandingan yang sihat dan adil dan bukan secara menipu dan melanggar undang-undang.
Saya pernah menulis di ruangan ini bahawa hakikatnya Mahkamah Piliharaya bukan forum yang boleh diharap membetulkan kepincangan sistem pilihanraya negara ini. Keyakinan saya itu hasil dari pengalaman mengendalikan banyak kes petisyen pilihanraya dalam tempoh masa hampir 15 tahun. Melihat kepada beberapa keputusan Mahkamah Pilihanraya pada kali ini saya makin hampir ingin menyatakan tidak perlu lagi Pakatan bersusah payah mengguna saloran Mahkamah untuk mengadu hal kepincangan pilihanraya. Buang masa , tenaga dan wang ringgit.
Tapi itulah yang Umno inginkan! Dan itulah dilema yang Pakatan hadapi. Guna saloran undang undang, Mahkamah meletakkan pelbagai halangan teknikal untuk menyusahkan perbicaraan petisyen. Guna saloran di luar Mahkamah seperti berdemo menentang kepincangan sistem pilihanraya dkatakan tidak menghormati keputusan pilihanraya meskipun keputusan tipu dan mungkin akan didakwa pula di bawah Akta Perhimpunan Aman .
Adakah Mahkamah patut disalahkan dalam hal ini? Malangnya jawapannya ya kerana kali ini saya melihat Mahkamah terlalu mengutamakan bentuk ( form ) dari isi ( substance ). Mahkamah atau para hakim ( yang setengahnya nampak sangat tidak ada pengalaman ) nampaknya begitu mudah berselindung atas alasan undang undang pilihanraya mesti ditafsir dengan ketat ( strict interpretation ) bagi membatalkan sesuatu petisyen. Maka kita dapat melihat Mahkamah mudah sangat menerima bantahan bantahan remeh untuk membatalkan sesuatu petisyen.
Sebagai contoh ada hakim pilihanraya kali ini yang menolak petisyen hanya kerana beliau menerima tafsiran ganjil peguam Umno yang menyatakan petisyen mestilah diserahkan oleh pihak Pempetisyen sendiri. Yang lebih malang hakim tersebut , atas alasan yang beliau sahaja tahu, menerima bantahan Umno itu tanpa para peguam yang hadir di hadapan beliau diberi peluang untuk berhujah secara lisan. Keputusan hakim itu mendorong saya menyatakan kepada Hakim itu "saya rasa adalah tidak wajar yang Arif membuat keputusan tanpa memberi kami para peguam peluang berhujah secara lisan. Lagipun Yang Arif, dengan penuh hormat, tidak mempunyai pengalaman mengendalikan kes petisyen..apa salahnya bagi kami peluang berhujah secara lisan untuk bantu Yang Arif membuat keputusan yang betul.".
Saya akui kenyataaan saya pada hakim itu agak tegas.Namun saya tidak ada pilihan . Beliau bukan sahaja tidak menunaikan permintaan saya malahan Hakim itu berkata " saya sudah buat keputusan, keputusan saya final dan jika kamu tidak puas hati kamu boleh merayu.". Apabila beliau kata begitu saya tahulah nasib malang petisyen Pas. Betul jangkaan saya, semua bantahan awal kami ke atas petisyen Umno ditolak dan semua bantahan awal peguam Umno atas petisyen Pas pula diterima .
Ada peguam perlembagaan menyatakan Perlembagaan akan mati jika Perlembagaan ditafsir seperti menafsir wasiat. Saya pula ingin menyatakan demokrasi yang mati di negara ini tidak akan hidup balik jika Mahkamah Pilihanraya terus menerus menafsirkan undang undang pilihanraya macam tafsir surat pajak gadai !!!
Bayangkan jika ada Mahkamah yang boleh menafsir seksyen 34 Akta Kesalahan Pilihanraya bahawa petisyen pilihanraya tidak boleh difailkan melalui firma peguam atas alasan seksyen 34 menggunakan perkataan pempetisyen , maka hanya pempetisyen yang kena failkan petisyen dia di Mahkamah. Malangnya tafsiran begini pun hakim boleh terima.
Adakah masuk akal mereka yang tidak tahu selok belok undang undang dan proses Mahkamah disuruh pergi Mahkamah untuk memfailkan petisyen. Bagitu juga masuk akal kah petisyen hanya boleh diserahkan oleh pempetisyen sendiri dan bukan melalui orang lain. Jika kita ikut tafsiran mengarut itu sudah tentu jika Karpal Singh memfailkan petisyen beliau sendiri perlu menyerahkan petisyen secara berkerusi roda. Bagaimana pula jika pempetisyen itu seorang yang buta matanya ?
Yang terbaru Hakim menerima bulat bulat tafsiran peguam negara bahawa maksud ketidakpatuhan undang-undang bertulis berkaitan penjalanan pilihanraya ( non compliance of written law relating to conduct of election ) di dalam seksyen 32 ( b ) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 adalah terhad kepada ketidakpatuhan dua undang undang sahaja iaitu Peraturan Pilihanraya ( Penjalanan Pilihanraya ) 1981 dan Peraturan Pilihanraya ( Pengundian Pos ).
Dengan tafsiran sempit ini jika sekalipun ada ketidakpatuhan mana mana peruntukkan lain dalam mana mana undang undang pilihanraya selain dua peraturan itu maka ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memfailkan petisyen. Atas tafsiran sempit itulah walaupun petisyen yang Pas failkan berhubung Borang 14 yang disediakan oleh Ketua Tempat Mengundi ( KTM ) adalah palsu kerana terlalu banyak kesilapan dan bercanggah dengan seksyen 4 ( a ) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 Mahkamah meskipun setuju ia bercanggah dengan seksyen 4 ( a ) tersebut tetap menolak petisyen Pas. Alasannya ketidakpatuhan Akta Kesalahan Pilihanraya tidak boleh dijadikan alasan di bawah seksyen 32b .
Mahkamah mungkin tidak sedar atau pura pura tidak sedar akibat tafsiran sempit itu maka selepas ini SPR tidak lagi perlu bimbang jika mana mana pegawainya membuat apa apa kesalahan atau kesilapan di bawah mana mana undang undang selain dari dua Peraturan yang saya sebut itu. Ini tafsiran yang memberi lesen kepada penyelewengan dan salah guna kuasa !
Hakikatnya undang undang pilihanraya digubal dengan memberi manfaaat yang tidak sewajarnya kepada parti yang memerintah. Mahkamah pula membantu mengekalkan status quo itu. Jika pun ada Hakim yang berani seperti Hakim Dato Kamil Awang dalam pilihanraya Likas membatalkan keputusan pilihanraya tersebut kerana wujudnya daftar pemilih yang diragui dan tidak bersih , keputusan tersebut bukan digunakan untuk membersihkan daftar pemilih . Sebaliknya keputusan itu digunakan sebagai justfikasi untuk pintu Mahkamah ditutup rapat dari mempersoalkan kebersihan daftar pemilih dengan diperkenalkan seksyen hantu iaitu seksyen 9A Akta Kesalaha Pilihanraya 1954 ( pindaan 2002 ).
Fitnah semakin marak
Nasrudin Hassan, | 30 Jul 2013 |
2. Saya telah mengisytiharkan harta. Saya menyertai pilihanraya baru-baru ini dengan wang sejumlah yang telah saya isytiharkan sebelum dibantu oleh rakan-rakan. Wang deposit pilihanraya sejumlah RM15K tu pun dibayar oleh YDP PAS Kawasan. Jika tidak, hilang kelayakan saya untuk bertanding.
3. Selepas pilihanraya , saya mengerjakan umrah atas pembiayaan An Nuur Travel kerana dalam masa yang sama saya bertugas sebagai mutawwif kepada ahli jamaah An Nuur Travel. Ertinya kehidupan saya sebelum dan selepas pilihanraya, dari dulu sehingga sekarang adalah serupa.
[cuma akan datang terasa juga nak pakai MPV sebuah sebab anak dah 6 orang, dah tak muat kami nak naik berlapan sumbat masuk dalam kereta. Maklumlah Ahli Parlimen dapat AP kan, hu hu .... tengoklah macam mana, sebab Hyundai Trajet yang saya guna tu insyaallah saya akan wakafkan buat perjuangan ini dan buat masa ini akan dijadikan kenderaan rasmi Pusat Komuniti Parlimen Temerloh.]
4. Saya sangat mengalu-alukan jika benar Lynas nak bagi dana kepada saya, silakan ... saya terima dengan terbuka, [pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong Lynas] kerana kami sangat memerlukan wang bagi membantu rakyat di Temerloh. Demikian juga kalau ada orang-orang UMNO mahu menghulurkan sumbangan, kami terima dengan terbuka. Temerloh mempunyai berpuluh pusat pengajian Islam, ramai ibu tunggal, anak yatim dan mereka yang tidak bernasib baik. [ pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong UMNO ]
Kami juga menerima wang "riba" yang dihendak dikeluarkan dari akaun masing-masing kerana banyak terdapat jalan-jalan kecil di kampung yang perlu diturap, tetapi kami tiada wang dan peruntukan untuk membantu rakyat.
5. Sebagaimana juga saya selaku Ahli Parlimen, dibayar gaji oleh kerajaan pimpinan UMNO dan BN, saya terima gaji itu bukan bermakna saya sokong pimpinan UMNO.
6. Buat masa ini saya ke hulu dan ke hilir mencari dana kebajikan rakyat Temerloh. Rata masjid dan surau saya jelajah menyampaikan tazkirah sambil buka peluang kepada orang ramai berbakti bagi mendapatkan sumbangan untuk Dana Kebajikan Temerloh. Saya menulis dan jual buku untuk isi poket. Prinsip saya, ada duit insyaallah kita agih kepada mereka yang memerlukan di Parlimen Temerloh ini dan jika tiada duit, kita duduk diam-diam, jangan merungut sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah swt. mohon murahkan rezeki.
7. Tidak ketinggalan api fitnah turut dipercikkan kepada sahabat saya YB Ustaz Nik Mohd Abduh sebagai seorang yang mengamalkan gaya hidup mewah. Sedang siapa jua yang rapat dan mengenali beliau akan mengetahui bahawa, sehingga kini beliau yang telah berkeluarga dan mempunyai 8 cahaya mata, masih tinggal sebumbung di teratak sederhana bersama ayahandanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
8. Kebiasaannya bagi pasangan anak dan menantu, apabila mereka telah mempunyai keluarga sendiri dan beranak pinak, mereka akan mencari kediaman mereka sendiri secara berasingan. Banyak faktor yang mendorong sedemikian. Tetapi tidak kepada YB Ustaz Nik Mohd Abduh. Saya masih ingat kata-kata beliau kepada saya apabila saya bertaaruf secara tidak langsung sebagai seorang sahabat seperjuangan. Beliau menyebut:
"Semua orang berbangga dengan ayah ana sebagai Tok Guru, sedang Tok Guru tu ada dalam rumah ana, macam mana ana nak keluar tinggal di tempat lain! .... Ana nak didik anak-anak ana supaya melihat sendiri secara praktikal cara hidup datuknya seorang tok guru. Anak ana sedang membesar, ana pula banyak masa di luar ... elok sangatlah ana tinggal bersama ayah untuk memberi peluang kepada anak - anak terdidik dengan cara hidup seorang ulamak besar bergelar Tok Guru sebagaimana yang pernah ana alami semasa kecil-kecil dulu."
9. Kenyataan beliau memang menimbulkan rasa cemburu di hati kita yang tak ada Tok Guru dalam rumah kita kecuali televisyen dan komputer yang banyak didampingi oleh anak-anak kita.
10. Apa yang saya nak sebut ialah bagaimana mereka memfitnah kononnya YB Ustaz Nik Mohd Abduh mengamalkan gaya hidup mewah kalau tempat tinggal pun masih berkongsi rumah dengan orang tua. Sementara YB-YB lain berlumba-lumba mendirikan rumah sebesar mahligai. Kenapa penulis tidak menimbulkan isu pemimpin yang jelas terang lagi berlampu hidup dalam kemewahan? atau sememangnya pena diasah tajam untuk mensasarkan YB Ustaz Nik Mohd Abduh sahaja?
11. Kononnya itu adalah surat terbuka buat Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetapi realitinya sedang memfitnah ahli keluarga Tuan Guru sendiri sedang anakanda beliau yang dituduh mengamalkan kehidupan mewah tinggal serumah dengan beliau.
12. Kelihatan game semakin menarik selepas ini. Scud jenis apa pula akan dilancarkan selepas ini kepada saya dan rakan-rakan termasuk DPPM. Sekali lagi saya ambil pendekat berdoa kepada Allah swt supaya mereka insaf dan segera berhenti dari menabur fitnah dan membunuh karakter sedemikian rupa. Apa untung nak bunuh karakter saya? Saya hanya insan biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan