Sabtu, 3 Ogos 2013

JANGAN CARI MALAM LAILATUL QADAR SAJA...TAPI CARI KERAHMATAN ALLAH SWT....DENGAN MENDEKATKAN DIRI PADA ALLAH SETIAP MASA BUKAN HANYA DI BULAN RAMADAN SAJA

Syiah: Bertindak secara ilmu, bukan jadi isu politik

Khairul Azlam Mohamad, 02 Ogs 2013
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan kerajaan dalam menangani isu kontroversi fahaman Syiah lebih bersifat politik.

Katanya, ajaran Syiah itu bukan perkara baru tetapi telah lama wujud sejak beberapa kurun dalam dunia Islam.

Menurutnya, kerajaan pula mengambil sikap bukan hendak menangani masalah ajaran Syiah tetapi hendak jadikan isu politik.

“Kerajaan lebih bersikap untuk menjadikan isu politik, bukan suatu tindakan. Sebenarnya, Syiah telah wujud sejak beberapa kurun dalam dunia Islam dan bukan perkara baru.

“Seperti mazhab-mazhab lain juga dan kita tidak menafikan bahawa ajaran Syiah ini tidak sesuai diamalkan di Malaysia.

“Saya nampak kerajaan bukan hendak tangani tetapi hendak jadi isu politik. Sepatutnya, perbincangan antara mazhab ini hendaklah dilakukan di kalangan ilmuan, ulama yang tahu dalam bidang dia dan bukan mereka yang tak tahu hala bincang tentang mazhab ini,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan bahawa berlaku perkembangan mazhab-mazhab dalam dunia Islam ini tidak mudah hendak mengkafirkannya.

Ini kerana, kata beliau, dalam mazhab Syiah tersebut ada yang terkeluar dari Islam dan ada yang masih berpegang dengan ajaran Islam.

Menurutnya, jalan terbaik bagi mencari penyelesaian dalam menangani isu kontroversi Syiah perlu kepada perbincangan tertutup secara akademik dan ilmuan.

“Syiah yang masih lagi dianggap seorang Islam yang dianuti di Iran, di Iraq dan selatan Lubnan. Mereka dibenarkan menunai haji di Mekah kerana ulama-ulama mengatakan mereka juga orang Islam.

“Mereka bersembahyang dan mengerjakan haji tetapi banyak cara beribadat mereka ini cara beribadat yang bercanggah dengan kajian-kajian ahli sunnah.

“Tetapi untuk membetulkan keadaan ini perlukan kepada para ilmuan dan bukan sewenang-wenang. Bahkan, ulama-ulama yang menulis pun dalam bidang ini berbeza dengan ulama yang hidup dalam masyarakat yang ada Syiah.

“Jadi hendak bincang hal Syiah kena ada orang akademik, perbincangan dalaman dan kerajaan mesti bertindak secara ilmu dan bukan bertindak untuk jadikan isu politik,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam di sebalik isu Syiah tersebut mempunyai agenda kuasa besar barat terhadap kuasa nuklear di Iran.

Mahkamah tolak tuntutan Felcra terhadap peserta

Muhammad Faeez Azahar, 02 Ogs 2013

IPOH: Mahkamah Majistret Lenggong semalam menolak dengan kos tuntutan berkenaan saman kos pembangunan oleh Felcra Bhd terhadap Pengerusi Badan Bertindak Peneroka Felcra (Bapa), Razman Zakaria.

Razman yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak telah disaman oleh Felcra Bhd selaku wakil diri kepada arwah bapanya, Zakaria bin Awang Kechik dan ibunya, Naimah binti Ahmad.

Selain itu, mahkamah juga turut membenarkan tuntutan balas Razman dan ibunya terhadap Felcra berkenaan wang tabung tanam semula yang tidak dikembalikan oleh Felcra.

Turut dibenarkan adalah tuntutan balas untuk ganti rugi berkenaan tindakan Felcra yg telah mengambil hasil di tanah milik bapa dan ibu Razman dari tarikh 1 Januari 2011 hingga 30 April 2011 tanpa kebenaran pada kadar satu tan per-ekar mengikut harga Malaysian Palm Oil Board (MPOB) pada masa berkenaan.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Majistret, Akhiruddin @ Boy bin Acho tidak memberikan butiran alasan penghakiman namun beliau menyatakan ianya akan dikeluarkan kelak.

Peguam mewakili Razman, Mohamad Zamri Ibrahim ketika dihubungi Harakahdaily berkata, di antara hujah defendan iaitu Razman dan ibunya ialah perjanjian oleh Felcra adalah tidak sah kerana tiada kepastian berhubung tempoh masa perjanjian, cara pembayaran serta amaun hutang yang perlu dijelaskan oleh defendan.

"Ianya adalah bertentangan dengan seksyen 30 Akta Kontrak 1950.

"Defendan juga membawa pembelaan had masa iaitu tindakan Felcra menuntut terhadap Defendan adalah diluar dari tempoh masa yang dibenarkan oleh undang-undang.

"Ia mengambil kira tempoh perjanjian adalah 15 tahun dan berdasarkan terma perjanjian, ianya bermula 1 Januari 1988 dan tamat mulai 01 Januari 2004," jelasnya.

Berkenaan tuntutan balas defendan, beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Perak menjelaskan, hujah yang dibuat oleh defendan ialah wang tabung tanam semula adalah milik defendan.

Katanya, oleh yang demikian, ianya perlu dikembalikan kepada defendan dan Felcra tidak boleh memotong wang tersebut untuk tujuan selain penanaman semula kelapa sawit.

Ketika ditanya berkenaan ganti rugi terhadap tindakan Felcra mengambil hasil tanah defendan, pihak defendan telah menghujahkan bahawa hasil di sepanjang tempoh tersebut adalah milik defendan dan perlu dikembalikan oleh Felcra.

Dalam pasa itu, Razman ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dengan keputusan yang telah dibuat oleh majistret itu.

Katanya, perjuangan beliau bersama ibu dan arwah bapanya itu akhirnya menghasilkan kejayaan kepada mereka.

"Inilah harapan baru kepada peserta Felcra unt membebaskan daripada cengkaman Felcra.

"Saya menyeru kepada peserta Felcra agar mendesak pihak felcra mengembalikan hak mereka khususnya kepada perjanjian yg telah melebihi 15 tahun.

"Mereka juga wajar menyemak kos pengurusan berlebihan yang tidak sepayutnya dikenakan kepada peserta," jelasnya lagi.

Kes KPFQ Foods: Siasat juga pemimpin tertinggi negara

Rafizi Ramli, 02 Ogs 2013
Saya mengalu-alukan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sehingga ke peringkat pendakwaan kes penyelewengan melibatkan satu unit anak syarikat FELDA. Pendakwaan yang dibuat pada hari ini adalah satu perkembangan baik yang perlu diteruskan oleh SPRM.

Walau bagaimana pun, siasatan dan pendakwaan berhubung kes ini tidak boleh terhenti di peringkat kepimpinan korporat KPFQ Foods Sdn Bhd semata-mata kerana ia juga melibatkan keputusan di peringkat tertinggi Felda yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tata kelola (good governance) dan pelaburan kesemua anak syarikat Felda.

KPFQ Foods Sdn Bhd adalah syarikat usahama (joint venture) di antara Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPFMB) dan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang ditubuhkan khusus untuk menjadi ejen pemasaran bagi barang-barang makanan dan pertanian dari rancangan Felda di seluruh negara melalui projek Gedung Makanan Negara yang diilhamkan dan dilancarkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak oada 3 September 2009.

Semasa pelancarannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa projek Gedung Makanan Negara akan melibatkan pelaburan sebanyak RM750 juta oleh Felda dalam tempoh 10 tahun.

Oleh yang demikian, kes penyelewengan dana melibatkan KPFQ Foods Sdn Bhd perlu diteliti dalam konteks pentadbiran korporat dan tata kelola yang lebih besar.

Tambahan lagi, akhir-akhir ini banyak dana rakyat digunakan untuk membiayai projek usahasama di antara agensi kerajaan dan swasta yang menimbulkan beberapa persoalan khusus mengenai tata kelola yang diamalkan oleh kerajaan:

1.      Bagaimanakah penilaian mengenai kesesuaian projek dibuat sebelum sesuatu keputusan pelaburan dan usahasama dengan swasta dibuat memandangkan beberapa skandal setakat ini (termasuk NFC dan sekarang KPFQ) membayangkan jika projek dinilai dengan objektif, projek atau usahasama ini mungkin tidak diluluskan;

2.      Apakah peranan wakil-wakil kerajaan di dalam agensi dan syarikat usahasama untuk memantau kemajuan projek dan memastikan penyelewengan tidak berlaku, memandangkan di dalam kedua-dua kes NFC dan KPFQ penyelewengan berlarutan dalam satu tempoh yang panjang; dan

3.      Apakah peranan dan pertanggugjawaban kepimpinan kerajaan apabila projek-projek usahasama di bawah tanggungjawab mereka gagal dan membazirkan wang rakyat?

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya siasatan terhadap kes ini tidak dihadkan semata-mata kepada kesalahan dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan KPFQ Sdn Bhd tetapi perlu diluaskan kepada aspek kecuaian (negligence) dan ketidaktelitian pimpinan tertinggi negara yang terbabit supaya ada kebertanggungjawaban kerana agensi-agensi ini adalah dibawah tanggungjawab mereka.

Apatah lagi apabila kes ini membabitkan usahasama dengan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuklah Tabung Haji. Selain projek-projek yang melibatkan Gedung Makanan Negara dan KPFQ Sdn Bhd, SBGB mempunyai beberapa projek usahasama yang serupa dengan Tabung Haji.

Malah, pemegang-pemegang saham besar di dalam SBGB adalah Tabung Haji dan Tan Sri Vincent Tan, yang menunjukkan bahawa SBGB adalah sebuah syarikat perniagaan yang ada hubungan yang baik dengan kerajaan.

Saya berharap siasatan SPRM telah pun mengambil kira semua perkara ini.

Buat masa ini, sebagai pimpinan yang bertanggungjawab mengilham dan melancarkan projek Gedung Makanan Negara yang membabitkan KPFQ Sdn Bhd ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu membuat kenyataan menjawab ketiga-tiga soalan yang saya nyatakan di atas mengenai longgarnya tata kelola kerajaan dalam menentukan pelaburan dan usahasama agensi kerajaan dengan pihak swasta.

Adalah amat memalukan apabila penyelewengan terkini melibatkan dana dan kebajikan peneroka Felda, bila mana penyelewengan NFC sebelum ini melibatkan kebajikan penternak miskin!

S'gor beri fokus khusus projek Anjung Utara

Salmiyah Harun, 02 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pembangunan luar bandar yang menjadi fokus kerajaan negeri Selangor pada penggal kedua ini, bukan sahaja perlu dirancang malah perlu dilaksanakan agar rakyat negeri ini mendapat manfaat sebaiknya.

Proses ini perlu ada pelaksanaan di mana Kerajaan Selangor pada permulaannya bercadang untuk mengadakan dua forum berhubung pembangunan luar bandar atau Anjung Utara, sebelum belanjawan negeri dibentangkan.

Menurut Menteri Besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim, pada November ini kerajaan akan memperjelaskan secara terperinci antara lain belanjawan untuk program-program desa dan luar bandar.

"Apabila kita sebut desa-desa ada sesetengah kampung dikelilingi oleh bandar dan ada di pinggir bandar dan ada di kampung, jadi kita ambil kira kesemuanya," jelas beliau dalam sidang medianya baru-baru ini.

Penggal kali ini, Kerajaan Selangor akan memberi fokus kepada Anjung Utara yang belum sempat dilaksanakan pada penggal lalu.

Usaha pembangunan tersebut meliputi pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan bangunan komersial, selain penjanaan industri kecil dan sederhana serta besar bagi membuka lebih banyak peluang  pekerjaan untuk belia.

Dasar pembangunan desa dimulakan pada penggal lalu oleh pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor yang mana objektifnya adalah supaya rakyat luar bandar tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan perumahan yang setaraf dengan masyarakat bandar.

Antara inisiatif yang dimulakan untuk memenuhi objektif tersebut adalah pembinaan  Projek Rumah Mampu Milik di Sabak Bernam dan lebih banyak pusat komersial di Kuala Selangor.

Kerajaan negeri bawah pimpinan Khalid telah mengumpulkan sejumlah RM2.6 bilion dalam bentuk rizab.

Anjung Utara termasuklah lima  kerusi yang gagal ditawan Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Kesemuanya berada di utara Selangor dan di kawasan pengundi Melayu.

Jika ini yang hendak dilakukan Khalid bermakna kawasan Anjung Utara inilah yang bakal menjadi sasaran pembangunan Selangor sepanjang penggal lima tahun kedua beliau menjadi MB Selangor.

Wanita Raba'ah buat topeng muka gas pemedih mata

Harakahdaily, 02 Ogs 2013

MESIR: Hari ini masuk hari ke 31 penyokong legitimasi berhimpun di Medan Raba'ah bagi menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa oleh pihak tentera Mesir terhadap Presiden Dr Muhammad Morsi.

Hari ini juga, mereka mengumumkan "himpunan jutaan rakyat menolak rampasan kuasa" yang akan berlangsung bermula solat Jumaat sebentar nanti.

Sekurang-kurangnya 31 masjid ditetapkan sebagai tempat perkumpulan himpunan di seluruh Mesir hari ini.

Hari ini juga masuk Jumaat ke-5 mereka mengadakan himpunan bebasar-besaran bagi membantah rampasan kuasa ini.

Mereka telah bertekad akan terus berada di medan selagi pihak tentera tidak mengembalikan Morsi yang telah dipilih secara sah oleh mereka pada pilihan raya presiden tahun lalu.

Sementara itu, wanita-wanita di medan Raba'ah dilihat sibuk menyiapkan persiapan himpunan dengan kebimbangan berdepan seran gan pihak polis dan tentera seberti sebelum ini.

Beberapa gambar dimuat naik dan dikongsi di laman sosial menunjukkan mereka sibuk menyiapkan topeng muka buatan sendiri bagi melindungi mereka dari terhidup gas pemedih mata secara terus.

Topeng muka ini dibuat dari bahan-bahan terpakai seperti botol air mineral, cawan kertas, kapas, span dan tali.

Pihak kerajaan sementara sebelum ini telah mengumumkan memberi mandat kepada Menteri Dalam Negeri pimpinan Abdul Fatah Al-Sisi untuk menyuraikan peserta himpunan di Raba'ah ini.

Pemberian mandat ini dilihat antara perkara yang ditunggu-tunggu oleh tentera untuk bertindak terhadap penyokong Morsi.

Sejak rampasan kuasa sebulan lalu, hampir 500 kematian telah direkodkan sementara 4000 lagi dilaporkan cedera dalam beberapa siri serangan tentera terhadap penyokong Morsi yang berhimpun bagi menyatakan bantahan.

Tanda-tanda lailatul Qadar dari hadis sahih

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 02 Ogs 2013
1. Pada malamnya bulan kelihatan seperti separuh jafnah (jafnah; bekas makanan berbentuk bulat seperti pinggan besar atau talam)” (Soheh Muslim, 1170/222).

2. Malamnya tenang, tenteram dan sentosa (Al-Jami’ as-Saghier; 7728, menurut as-Suyuti; hasan. Musnad Ahmad; 22765, hasan).

3. Malamnya bersih dan terang di mana seolah-olah pada malam itu terdapat cahaya bulan yang menerangi, menenggelamkan cahaya-cahaya bintang (Soheh Ibnu Hibban, 3688, menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaut; hadis soheh bisyawahidihi. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan).

4. Udaranya tidak terlalu panas, tidak terlalu sejuk (Soheh Ibnu Hibban, 3688, hadis soheh bisyawahidihi. Al-Jami’ as-Saghier; 7727, 7728, menurut as-Suyuti; hasan).

5. Tidak ada lontaran dari bintang pada malam itu hinggalah pagi (Al-Jami’ as-Saghier; 7727, hasan. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan).

6. Malamnya tidak berawan, tiada hujan dan tiada angin (Al-Jami’ as-Saghier; 7727). Menurut penjelasan al-Munawi; maksudnya ialah tidak bersangatan awan, hujan dan anginnya (tiada ribut) (Faidhul Qadier).

7. Pada paginya matahari muncul dengan cahaya yang lemah, sekata, berwarna kemerahan dan tanpa sinaran/pancaran yang menyucuk mata (Al-Jami’ as-Saghier; 7727, 7728, hasan. Musnad Imam Ahmad; 22765, hasan. Soheh Muslim; 762/220).

Namun yang penting pada malam al-qadar (lailatul qadar) ialah beramal pada malam tersebut. Berkata Imam al-Munawi; “Orang yang tidak dapat melihat tanda, tidak mesti dia tidak mendapat malam tersebut. Boleh jadi seorang yang bangun beribadah di malam itu, ia hanya dikurniakan Allah kesempatan beribadah, tanpa dapat melihat sebarang tandanya. Orang itu di sisi Allah lebih baik dan lebih mulia daripada orang yang hanya melihat tanda sahaja (tetapi tidak beribadah di malam tersebut)” (Faidhul Qadier; 7728).

Peka kepada ekonomi dan hutang negara

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, 02 Ogs 2013
Rakyat Malaysia, terutamanya Melayu-Islam mesti lebih sensitif terhadap situasi ekonomi dan isu hutang negara

Kurangnya reaksi dan kesensitifan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu-Islam terhadap isu-isu mengenai situasi ekonomi dan isu hutang negara melahirkan kebimbangan.

Perkara itu amat ketara melihat ramai yang tidak mengambil kisah mengenai semakan terbaru penarafan kredit dunia, Fitch Ratings yang meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif, satu amaran yang amat membimbangkan kewangan negara.

Paling menyedihkan ialah apabila didapati pandangan orang Melayu-Islam terhadap situasi ekonomi telah disempitkan kepada pengukuran pada “kemampuan” kerajaan memberikan bonus, BR1M dan menabur janji di waktu pilihan raya.

Ini bukanlah ukuran kekuatan ekonomi negara, dan orang Melayu-Islam perlu sedar segalanya memerlukan sumber untuk membayarnya. Kesihatan ekonomi negara juga perlu dilihat dari sudut hutang negara, yang kini menghadapi tahap maksima 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), defisit belanjawan yang semakin meruncing dan kejatuhan nilai Ringgit secara mendadak.

Rakyat Melayu-Islam perlu peka kerana yang paling terjejas dalam krisis ekonomi negara ialah mereka, sebagai golongan majoriti dalam Malaysia. Jangan hanya cepat melenting terhadap isu-isu perkauman dan agama, tatkala isu ekonomi yang bakal menjejaskan beberapa keturunan bangsa tidak diendahkan.

Seperti juga di dalam keluarga, sekiranya anak-anak tidak mengambil tahu situasi ekonomi dan negara dan tidak erti menegur sikap ibu bapa yang boros berbelanja dan hobi berhutang, akhirnya yang menanggung padah segalanya ialah anak-anak, lebih teruk lagi ia berlanjutan ke generasi cucu dan cicit.

Kerajaan dan media juga disaran lebih bertanggungjawab dan jujur dalam melaporkan situasi ekonomi negara. Jangan mendidik rakyat untuk menilai ekonomi dan kewangan negara dari segi pemberian kerajaan dan tingginya nilai komposit Bursa Saham Kuala Lumpur untuk menjaga persepsi baik pada kerajaan.

Media juga disarankan jangan menimbulkan persepsi yang silap bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan kepada rakyat walhal keadaan kredit negara dalam keadaan melemaskan.

Dengan pelbagai janji yang ditabur oleh BN ketika PRU13, rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu-Islam perlu fokus pada belanjawan 2014 dari segi usaha kerajaan untuk mendapatkan sumber untuk menanggung perbelanjaannya, mengurangkan hutang dan mengawal defisit daripada pemberian-pemberian ‘menarik’ kerajaan untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada keadaan ekonomi yang semakin meruncing.

Orang Melayu-Islam harus mendalami isu-isu ekonomi dan seterusnya menerajui dan menjiwai isu ekonomi negara, kerana jika tidak, kerajaan akan terus acuh tidak acuh dalam menjawab isu berkaitan ekonomi dan kewangan negara kerana tiada tekanan daripada golongan majoriti dalam negara.

Tiada ulasan: