Isnin, 5 Ogos 2013

JANGAN JELES

Rezab Selangor hampir cecah RM3 bilion

Harakahdaily, 05 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Laporan kewangan terkini dari Jabatan Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan rezab kerajaan negeri terus meningkat dari RM2.7 bilion sebelum ini kepada hampir mencecah RM3 bilion.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, wang rezab itu kemudiannya akan diuruskan mengikut satu garis panduan yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2014 pada bulan November nanti.

“Dalam Belanjawan November nanti, kita akan terangkan bagaimana kita mentadbirkan rezab negeri, bagaimana penggunaannya jika perlu.

“Hanya lima tahun lepas kita asyik sibuk memastikan simpanan kita terkumpul, baru kali ini kita dah ada simpanan terkumpul dan sekarang kita boleh buat beberapa program menggunakannya dengan lebih tertib dan lebih efisyen,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Shopping Bantuan Raya di Pandamaran, Klang semalam.

Ujarnya, pada ketika ini kerajaan negeri tidak menetapkan sasaran jumlah tertentu yang perlu ada dalam rezab negeri sebaliknya bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.

“Terpulang pada keadaan ekonomi negeri, kalau ekonomi meningkat, hasil negeri meningkat dan tentulah simpanan negeri dipertingkatkan.

“Ekonomi ini ada turun naik, kalau ekonomi turun kita boleh gunakan rezab ini untuk menolong Kerajaan Negeri dalam pentadbiran,” ujarnya yang juga Adun Pelabuhan Klang.

AES: Hentikan saman jika ikhlas mahu kaji semula

Muhammad Faizal, 05 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) tidak meletakkan harapan tinggi terhadap cadangan kerajaan yang ingin mengkaji semula pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut bahawa perlaksanaan AES akan dinilai semula dan berharap ia akan memberikan keadilan kepada semua pihak.

Mengulas cadangan itu, Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shariff  berkata cadangan menteri itu hanya bersifat hipokrit, kerana dalam masa sama kerajaan terus menggesa agar pesalah AES membayar kompaun.

"Kita tidak tahu di mana keikhlasan kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan AES, menteri kata nak kaji tetapi dalam masa yang sama kerajaan menggesa agar pemandu yang menerima saman menbayar kompaun.

"Kalau nak kaji, batalkan semua saman yang telah dikeluarkan sehingga satu keputusan baru diperolehi, saya tidak nampak ia satu harapan positif atas kenyataan tersebut melainkan untuk politik semata-mata," jelasnya.

Beliau berkata, ia ditambah lagi dengan jawapan kerajaan pada sidang Dewan Rakyat pada 17 Julai lalui memutuskan akan tetap meneruskan pemasangan baki 1,079 kamera AES dan berharap ia akan dapat dilaksanakan bermula bulan September nanti.

Katanya lagi, jika kerajaan benar-benar ingin menilai semula serta memberi keadilan sewajarnya, kerajaan perlu mendedahkan butiran perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat penyelia perkhidmatan.

Dalam pada itu, Zulhazmi juga turut meminta agar kerajaan memulangkan kembali kesemua kompaun yang telah dibayar oleh penerima saman dan menghentikan operasi AES serta merta sehingga keputusan muktamad diperolehi.

Kaji semula penutupan JPN, imigresen Sg Pelek

Harakahdaily, 05 Ogs 2013
SEPANG: Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menuntut kerajaan mengkaji semula penutupan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Sungai Pelek, di sini sejak 1 Ogos lalu.

Menurutnya, tindakan penutupan itu telah menimbulkan kesusahan kepada penduduk untuk berurusan dalam perkara-perkara berkaitan seperti pembuatan atau pembaharuan passport, pendaftaran sijil kelahiran, sijil kematian, pendaftaran kad pengenalan dan sebagainya

"Saya difahamkan penutupan kedua-dua pejabat Kerajaan itu dilakukan kerana isu penamatan sewaan. Saya difahamkan kedua-dua jabatan tersebut tidak dapat menyambung perjanjian pelanjutan penyewaan ruang pejabat kedua-dua jabatan berkenaan kerana tiada penyelesaian dapat dicapai berhubung perjanjian baru yang disediakan oleh jabatan-jabatan tersebut dan pihak Tuan Tanah.

"Saya berpendapat adalah tidak munasabah kedua-dua jabatan tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah teknikal dan remeh tersebut hingga mengakibatkan penutupan kedua-dua pejabat berkenaan yang sekaligus mendatangkan kesusahan yang amat besar kepada para penduduk. Penutupan ini adalah bertentangan dengan janji Barisan Nasional kononnya rakyat didahulukan.," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau memohon pihak kerajaan mengkaji semula keputusan penutupan kedua-dua jabatan tersebut dan seterusnya membuka semula kedua-dua jabatan tersebut di lokasi yang sama bagi memudahkan para penduduk menjalankan urusan dengan kedua-dua jabatan sepertimana sebelumnya

"Sekiranya permintaan aduan penduduk tidak didengar pihak saya akan membawa perkara ini ke Parlimen dalam sidang Parimen pada bulan September ini", katanya.

R rayu sumbangan bantu 33 aktivis

Rizal Tahir, 05 Ogs 2013
KOTA BHARU: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan, (Royalti) akan melancarkan kutipan derma untuk membantu 33 orang aktivis Malaysia yang didakwa di mahkamah.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, R melancarkan kutipan derma di peringkat negeri Kelantan untuk membantu mencari dana untuk 33 orang aktivis berkenaan sepanjang tempoh kes tersebut berjalan.

Ketika memberitahu Harakahdaily semalam beliau berkata, 33 aktivis itu dituduh atas menyertai perhimpunan haram di mana 17 orang daripadanya turut didakwa cuba membuat rusuhan.

Menurutnya, memandangkan kos keseluruhan RM66,000 dan setiap seorang dikenakan sebanyak RM2,000, R cukup merasakan ianya begitu terbeban bagi mereka yang terlibat.

Menurut Nazri sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 55504111324 dan memaklumkan melalui SMS kepada nombor 012 6937908 sebagai pengesahan.

33 aktivis sebelum ini ditahan ketika cuba menyerahkan memorandum bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Parlimen pada hari pertama persidangan penggal ke-13 yang berlangsung, 24 Jun lalu.

Aktivis berkenaan menyerahkan memorandum itu memandangkan SPR selaku badan bebas didakwa telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

MB, exco santuni pesakit dan kakitangan HUSM

Salmah Mat Husain Foto: Zam & Rizal, 05 Ogs 2013

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyantuni 100 orang pesakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Cawangan Kelantan pagi ini.

Program tahunan itu diketuai Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Datuk Che Abdullah Md Nawi dan Dr Ramli Mamat.

Eempat wad dikunjungi oleh pimpinan kerajaan negeri itu antaranya, 4 Selatan, 3 Selatan dan 1 Selatan yang menempatkan pesakit barah, orthopedik dan perubatan.

Amar ketika ditemui memberitahu, kunjungan itu merupakan program kebajikan kerajaan negeri yang diadakan setiap tahun sejak 23 tahun yang lalu.

Menurutnya, ianya bertujuan untuk mengeratkan hubungan pimpinan kerajaan negeri dengan kakitangan HUSM dan pesakit itu sendiri.

Menurutnya lagi, bukan hanya pimpinan kerajaan negeri sahaja, sebaliknya isteri-isteri mereka di bawah Purnama yang diketuai isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid, turut menziarahi pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab ll.

“Pada masa yang sama kita membawa ‘buah tangan’ untuk pesakit tanda ingatan kerajaan negeri pada mereka bagi berkongsi kesedihan kerana tidak dapat berhari raya bersama keluarga,”ujarnya.

“Bayangkanlah seorang pesakit mendapat rawatan di hospital selama 31 tahun dan saya sendiri akui tidak pernah dengar perkara itu sebelum ini.

“Kita mendoakan semoga Allah menyembuhkan penyakit mereka, bersabar menghadapi ujian yang diberikan pada mereka,”ujarnya.

Tambahnya, sewajarnyanya mereka yang dianugerahkan kesihatan yang baik perlu bersyukur kepada Allah SWT.

PAS fail rayuan terhadap petisyen yang ditolak

Muhammad Faizal, 05 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: PAS hari ini memfailkan rayuan ke atas enam petisyen yang tolak melibatkan empat kawasan parlimen dan dua bagi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Kawasan tersebut adalah Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar, Titiwangsa dan Pulai di Johor.

Manakala bagi kawasan Dun pula melibatkan Manjoi, Perak dan Selising di Kelantan.

Peguam Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi yang dihubungi memberitahu pihaknya telah memfailkan rayuan tersebut di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini.

"Kita telah bermesyuarat semalam dan keputusan telah diambil untuk memfailkan rayuan beberapa kawasan petisyen yang telah ditolak.

"Hari ini kita telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi enam kawasan iaitu melibatkan empat bagi parlimen dan dua Dun," jelasnya kepada Harakahdaily.

Jelasnya lagi, dari 16 petisyen yang dikemukakan 12 daripadanya telah ditolak dan masih ada empat petisyen yang belum didengari serta dibuat keputusan.

Ketika ditanya mengenai keputusan PAS yang ingin membuat laporan polis berhubung kesalahan pengisian di dalam Borang 14 oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Jelasnya, laporan tersebut akan dilakukan selepas cuti Hari Raya nanti.

Tiada ulasan: