Kisah duit syiling dan batu
Tuan Ibrahim Tuan Man, | 31 Mei 2013 |
TINGG!
Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yang sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama, tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.
TINGG!
Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan di sekelilingnya. Tiada siapa yang berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya.“Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati.
Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yang mereka bina itu. Sebenarnya, ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.
Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yang berada pada aras paling bawah. Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan, dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.
Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.
Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu, lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yang menyerangnya tadi. Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yang sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.
P/s: Sahabat sekalian, kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita. Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya. Tetapi, kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.
Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yang berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yang menyakitkan. Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu, barulah kita teringat untuk mendongak, menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.
Senyum.
Mahasiswa tunjuk perasaan desak Zahid letak jawatan
Selangorku, | 31 Mei 2013 |
PUTRAJAYA: Sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan pejabat Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan, ekoran penahanan aktivis yang bermotifkan politik.
Kira-kira 30 mahasiswa berkumpul berhampiran pintu masuk utama KDN, dengan membawa kain rentang bagi menunjuk perasaan secara aman selepas solat Jumaat.
Ketua Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohammad Safwan Anang yang baru dibebaskan dengan ikat jamin hari ini turut turun padang dan dengan lantang mendesak Zahid letak jawatan kerana mencemar profesionalisma Kementerian Dalam Negeri.
Beliau ditahan Rabu lepas dan disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada program Malam Anak Bangsa Malaysia di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu, yang didakwa berbaur hasutan.
“Kita rasa Datuk Seri Zahid Hamidi perlu berundur, letak jawatan sekiranya beliau masih gagal untuk menangani isu ini.
“Yang kedua, yang cukup jelas dan terang beliau juga telah menyalahgunakuasa apabila mengarahkan polis untuk membuat tuduhan secara berpilih dan itu yang kita rasa beliau telah menggunakan jentera kerajaan untuk motif politik,” kata Safwan.
Mahasiswa juga menuntut KDN dan polis dibebaskan dari campurtangan politik yang bagi mereka telah menyebabkan dua badan tersebut bersikap berat-sebelah.
Selain Safwan, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim juga ditahan dan disiasat dibawah akta yang sama kerana kenyataan beliau di forum yang sama.
Turut ditahan dan didakwa di bawah akta dan sebab yang sama adalah, Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan pemimpin NGO anti-Umno Haris Ibrahim.
Penduduk demo, banjir berminggu tidak surut
Khairil Abdul Rahim, | 31 Mei 2013 |
TEMERLOH: Kira-kira 100 penduduk Kampung Batu Satu di sini berdemo hari ini memprotes sikap ‘lepas tangan’ pihak berkuasa sehingga gagal menyelesaikan masalah banjir yang memakan masa lama.
Akibatnya banjir yang tidak surut-surut sejak beberapa minggu itu menenggelamkan beberapa buah restoran, bengkel, kedai menjual kereta terpakai serta beberapa buah rumah penduduk.
Lebih malang, puluhan buah rumah penduduk di kampung yang terletak hanya satu kilometer dari pusat bandar itu terputus hubungan kerana banjir menenggelamkan hubungan jalan utama.
Pemilik restoran Shakira Cafe, Izuddin Nawawi, 57, mendakwa beliau hampir dua bulan tidak dapat berniaga akibat kedainya ditenggelami air sedangkan itulah satu-satunya sumber pendapatan keluarganya.
Katanya, beliau sudah bertemu Pegawai Daerah Temerloh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan pelbagai agensi yang terlibat tetapi bagi mendapatkan penjelasan, tetapi semuanya mengecewakan kerana seolah-olah saling tuduh menuduh.
“Ada juga saya cadangkan supaya dibina saliran air yang besar antara satu perumahan dengan perumahan yang lain kerana kawasan bandar Temerloh ini banyak kawasan perumahan tetapi seolah-olah pembangunannya tidak terancang.
“Sekarang sumber pendapatan saya sudah terputus sejak sekian lama, sedangkan kami sekeluarga masih memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan,” katanya sayu.
Tambah Izuddin, jika pihak berkenaan 'tidur', itulah jadinya dengan wang rakyat banyak yang dikeluarkan tetapi masalah penduduk kampung di sini tidak juga selesai.
“Mana janji rakyat didahulukan pencapaian diutamakan serta NKRA yang sering diulang-ulang pemimpin kerajaan?” soalnya.
Menurut penduduk, mereka sering kali terpaksa meredah banjir selama betahun-tahun sejak penaikan taraf jalan Temerloh-Mentakab terutama apabila hujan lebat kerana satu-satunya kalbat yang mengalirkan air persekitaran kawasan berkenaan didakwa sangat kecil dan tidak munasabah.
Difahamkan, kalbat besar tidak dapat digunakan kerana terdapat saluran paip besar bawah tanah di tempat yang sama.
Pada ketika ini kerja pengorekan serta pemasangan kalbat oleh kontraktor tidak siap-siap sejak hampir dua bulan iaitu sebelum pilihan raya umum lagi.
Seorang lagi pemilik kedai makan Restoran Setia Damai, Mulyadi Parmen, 42, (gambar) berkata walaupun kedainya tidak ampuh tetapi turut menjejaskan pendapatan kerana air banjir yang berhampiran berbau busuk dan mengundang banyak lalat.
“Saya lihat projek memasang kalbat menyeberang jalan ini sudah terlalu lama memakan masa dan tidak pernah selesai, sebab itu saya cadangkan supaya digunakan kalbat yang besar saja. Walaupun kosnya mungkin tinggi sikit tetapi penyelesaiannya besifat jangka panjang.
“Saya mahu projek ini mesti diselesaikan segera, kalau setakat korek-korek begini hingga bertahun-tahunpun tetap tak boleh selesaikan masalah dan jejaskan perhubungan penduduk serta pendapatan kami,” tegasnya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Muhamad, yang turut hadir berkata beliau telah beberapa kali membangkitkan masalah berkenaan dalam sidang Dun.
Katanya, perkara tersebut berlaku kerana pembangunan yang tidak terancang dan tidak ada ‘master plan’ disediakan.
DAP kesal kenyataan pengarah ROS
Anis Nazri, | 31 Mei 2013 |
Ini kerana, DAP baru sahaja menerima surat daripada ROS yang meminta agar parti itu membekalkan beberapa dokumen untuk siasatan lanjut, semalam.
"Namun, dalam masa sama, hari ini di Utusan Malaysia, beliau telah bertindak mengeluarkan kenyataan biarpun kami baru terima surat semalam," tegas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada sidang media, di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Menurut Anthony, tindakan Abdul Rahman itu jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab, tidak profesional , serta seperti menjadi agen politik bagi pihak tertentu.
Mengulas lanjut, ahli parlimen Seremban itu berkata kenyataan Abdul Rahman itu yang mengatakan terdapat ahli parti itu dinafikan hak mengundi pada kongres parti itu, Disember lalu, merupakan satu tuduhan.
Tegas Anthony, pada kongres parti itu, sebanyak 1843 perwakilan hadir dan mengundi bagi pemilihan parti (CEC), di samping peratus kehadiran ahli parti sebanyak 71.5 peratus.
"Peratusan itu menunjukkan satu angka yang tinggi, yang mana tidak ada mana-mana parti yang akan mendapat peratus kehadiran 100 peratus. Jika peratusan itu boleh dianggap sehingga pemilihan itu tidak sah, adakah boleh jika kita katakan pilihan raya umum yang lalu juga tidak sah kerana peratusan keluar mengundi tidak 100 peratus?" soal Anthony.
Dalam pada itu, ROS juga mendakwa terdapat ahli parti DAP yang tidak menerima notis untuk kongres tersebut.
Kata Anthony, pihaknya telah menghantar notis kepada semua ahli mereka di seluruh negara, namun tidak dapat memberikan jaminan sama ada notis itu diterima atau tidak.
"Notis sudah dihantar. Terima atau tidak, ia di luar kemampuan kami. Bolehkah Pos Malaysia juga beri jaminan setiap surat yang dihantar pengirim akan sampai kepada penerima?" soal Anthony.
Sementara itu, surat yang dihantar ROS semalam meminta tiga bukti penghantaran notis bagi beberapa cawangan di Negeri Sembilan, iaitu Taman Sri Sungai Pelek, Desa Dahlia, dan Ladang Paroi, selain satu di Taman Desa Skudai, Johor yang mendakwa tidak menerima notis.
Tegas Anthony, tiga daripada empat cawangan itu telah hadir ke kongres tersebut, malah turut mengundi pada pemilihan CEC parti itu.
"Bagi cawangan Ladang Paroi, dua wakil hadir iaitu David Dass dan Mahendran a/l Krishnan. Manakala, Kogilawani a/p Supermanian (Desa Skudai), dan Richard Francis (Desa Dahlia) juga hadir kongres tersebut," jelas Anthony, sekaligus menafikan dakwaan mereka tidak menerima notis kongres tersebut.
Selain kesal dengan tindakan David yang membuat aduan kepada ROS, sedangkan beliau hadir ke kongres tersebut malah mengundi, Anthony berkata parti akan merujuk David ke Lembaga Disiplin parti.
"David ini saya kenal. Masa kongres buat kecoh ketika pendaftaran, check-in hotel sebelum masanya, sampai sekarang tidak bayar. Kemudian, tiba-tiba buat aduan pada ROS. Tidak apalah yang itu, isunya dia hadir dan turut mengundi pada hari tersebut," tegas beliau.
Justeru, Anthony berkata pihaknya mengesyaki ROS mempunyai agenda politik untuk menggagalkan kesahihan pemilihan CEC sebelum ini.
Bagaimanapun, Anthony berkata pihaknya tetap menjawab surat yang diberikan semalam, berserta dokumen dan bukti yang diminta ROS sebelum tempoh yang ditetapkan.
Dalam surat tersebut, pihak ROS memohon DAP untuk membekalkan dokumen yang diminta sebelum 4 Jun 2013 akan datang.
Kenyataan Nurul Izzah dihalang masuk Sabah
Nurul Izzah Anwar, | 31 Mei 2013 |
Semalam,
30 Mei 2013, saya telah ditahan apabila kad pengenalan saya diambil di
pintu masuk imigresen untuk menghalang saya daripada memasuki negeri
Sabah, walaupun hak saya selaku warganegara Malaysia termaktub di bawah
Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63:
67. Hak untuk masuk ke Negeri Malaysia Timur bagi menjalankan hak-hak politik.
Seksyen 66 (1) hendaklah tidak berkuatkuasa dalam hubungan dengan seseorang warganegara yang memasuki Negeri Malaysia Timur hanya untuk menceburkan diri dalam aktiviti politik yang sah; tetapi beban membuktikan bahawa seseorang itu berhak memasuki Negeri Malaysia Timur di bawah seksyen ini terletak ke atasnya.
Lawatan saya ke Sabah adalah untuk menghadirkan diri dalam program Parti Keadilan Rakyat Sabah di samping menyambut pesta Kaamatan bersama warga tempatan.
Alasan yang diberikan atas penahanan saya adalah atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah. Saya juga difahamkan ada nama-nama lain, termasuk aktivis tempatan beserta ahli politik Pakatan Rakyat yang akan juga dinafikan kemasukan ke dalam negeri Sabah atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia, dan warganegara Malaysia, tindakan menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik. Permohonan saya untuk mendapatkan senarai nama mereka yang terlarang ditolak atas sebab-sebab kerahsiaan. Tiada alasan lain diberikan dalam tangkapan dan penafian masuk saya ke Sabah.
Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut. Rasional yang sama juga perlu diberikan dalam kes YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu dan Naib Presiden KEADILAN, yang juga dinafikan kemasukan pada 7 April yang lalu.
Isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan. Malang, tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan – termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah. Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini, bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan UMNO mahupun BN.
Justeru itu, isu keselamatan dan kedaulatan negara sepatutnya tidak diperlekehkan dengan menjadikan ia alat politik menindas rakyat.
KEADILAN akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengemukakan aduan rasmi serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai isu ini. KEADILAN akan turut meminta senarai nama-nama mereka yang dihalang memasuki negeri Sabah, serta sebab-sebab mereka dihalang.
Pada masa yang sama, saya sedang berbincang dengan YB Darrell Leiking, Ahli Parlimen Penampang, serta teman-teman guaman di Sabah untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri yang akan difailkan di Kota Kinabalu kelak.
Nurul Izzah ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai & Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan