Jumaat, 14 Jun 2013

DIHARUSKAN MEMPERKATAKAN KEBURUKAN ORANG LAIN

3 pemimpin PAS sertai dialog dengan PSM

Harakahdaily, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Satu pertemuan antara pemimpin PAS dengan PSM akan diadakan minggu depan bagi menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pertemuan tersebut akan diadakan pada 18 Jun ini bertempat di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

"Bagi PAS, yang akan hadir pada pertemuan itu adalah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, dan saya sendiri.

"Presiden PAS tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri persidangan Dun Terengganu, dan akan diwakili setiausaha politiknya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan yang dilaporkan media semalam berhubung pertemuan tersebut.

Arutchelvan berkata, pertemuan itu antara lain berhubung beberapa isu berbangkit termasuk isu Dun Kota Damansara dan isu ideologi parti itu.

Perebutan Speaker: Bukti BN Perak berpecah

Muhammad Faeez Azahar, 14 Jun 2013
IPOH: Isu ugutan oleh Presiden MIC, Datuk G Palanivel apabila Umno ingin merampas kembali kerusi speaker Dun Perak yang sebelum ini milik MIC telah membuka pekung pergolakan dalaman BN di Perak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien berkata, pada hakikatnya, BN Perak kini hanya tinggal Umno sahaja setelah MCA gagal memenangi sebarang kerusi manakala MIC hanya menang satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah meminggirkan diri dalam kerajaan.

Menurutnya, masyarakat bukan Melayu sudah menolak BN pada pilihanraya yang lepas ditambah lagi dengan ketiadaan sokongan parti komponen BN yang lain terhadap Umno yang mementingkan diri sendiri sahaja telah membuktikan lagi penolakan ini.

Jelas beliau, perkara ini telah menggambarkan kegagalan Umno untuk menyatu padukan masyarakat pelbagai kaum seperti slogan yang dimomokkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Umno ternyata telah memecah belahkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum ketika ini disebabkan sifat tidak adilnya apabila hanya mementingkan diri sendiri.

“Kerajaan BN Perak juga dilihat cuba tidak memberi keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat Perak dalam hal ini melalui perkongsian kuasa yang sekata melibatkan semua kaum,” katanya kepada Harakahdaily.

Adun Titi Serong itu menjelaskan, hal ini membuktikan Pakatan Rakyat sahaja yang boleh diyakini bagi menyatupadukan semua kaum dan menggantikan BN sebagai sebuah kerajaan yang boleh dipercayai semua kaum.

“PAS sebagai parti komponen dalam Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan dan menjadi tunjang orang Melayu dalam era politk baru ini tanpa memingirkan hak-hak kaum lain,” tegasnya.

NGO adakan jelajah menuju himpunan 22 Jun

Hazayani Zakaria, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan Suara Rakyat 505 berterima kasih kepada Pakatan Rakyat kerana menyokong penuh siri himpunan aman yang diadakan sebelum kemuncaknya pada 22 Jun ini di Padang Merbok.

Jurucakap gabungan, Badrul Hisham Saharin berkata, PAS, PKR dan DAP akur dengan kehendak rakyat yang mahu berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) khususnya pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"Terima kasih kepada PAS, PKR dan DAP yang akur dengan keputusan gabungan Suara Rakyat 505 untuk meneruskan himpunan kita.

"Program di Kelantan dua hari lepas, Dewan Muslimat PAS dan kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk menyertai himpunan 22 Jun ini," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) hari ini.

Sehubungan itu, bagi membangkitkan kesedaran rakyat tentang penipuan dalam PRU13, Gabungan Suara Rakyat 505 akan mengadakan jelajah bagi mengira detik menuju 22 Jun.

Siri jelajah akan bermula dengan flashmob fasa 1 di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dekat sini jam 2.30 petang esok.

"Aksi kira detik akhir himpunan akan diadakan pada 21 Jun, malam sebelum himpunan di Dewan Himpunan Cina yang akan dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu," katanya yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Pada 17 Jun, Suara Rakyat 505 akan berada di Ipoh, Perak, Sungai Besar, Selangor (18 Jun), Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur (19 Jun), Temerloh, Pahang (20 Jun).

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi tadi, Badrul Hisham berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur gagal mengemukakan alasan baru berhubung ketidaklulusan penggunaan tempat tersebut.

Justeru tegasnya, pihak penganjur akan terus mengadakan himpunan tersebut pada waktu dan tempat yang ditetapkan.

"Tiada alasan baru yang dikemukakan pihak DBKL dalam pertemuan sekitar 40 minit tadi.

"Penganjur dah maklumkan pihak berkuasa jadi DBKL tak ada alasan untuk menolak permohonan menggunakan padan Merbok," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah aktivis Hishamuddin Rais dan Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Nasional, Bukhairy Suffian.

Bila diharuskan memperkatakan keburukan orang lain?

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 14 Jun 2013
Soalan

Saya khilaf tentang satu perkara. Dewasa ini banyak fitnah kerana perbezaan fahaman politik. Ada kawan saya mengatakan ketua A itu peminum arak dan kafir. Apabila saya katakan tidak mahu mendengar kerana takutkan itu fitnah, beliau mengatakan kepada saya, menurut ustaz beliau, politik adalah hak bersama. Semua orang perlu tahu tidak kisahlah sama ada ia betul atau tidak. Tetapi bukankah menyebarkan berita yang buruk tentang seseorang apatah lagi diragui kesahihannya adalah mendatangkan fitnah? Harap ustaz dapat berikan saya penerangan.

Jawapan;

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya - tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya.

Dalam Sahih Muslim, terdapat hadis daripada Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan Rasul-Nya lah yang paling tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya Nabi; "Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya." (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

i. Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, kadi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

ii. Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

iii. Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

iv. Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

v. Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

vi. Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana mempunyai tujuan yang diharuskan syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.

3. Oleh sebab hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

i. Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

ii. Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

iii. Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

iv. Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.

http://ilmudanulamak.blogspot.com


Minta IKIM siasat

Shazmin Suleiman,
Saya membaca artikel Dr Abdul Basit yang bertajuk “Sya’ban: antara hadis sahih, dhaif dan palsu”. Bagi saya penjelasan beliau sangat bermanafaat khususnya dalam suasana ramai pihak yang semakin ramai mencari agama.

Selain itu, saya cuba-cuba mencari lain-lain bacaan tambahan dalam internet, lantas menaip “kelebihan bulan syaaban” melalui google search – maka terteralah pelbagai laman web termasuklah “Fadhilat Bulan Syaaban – IKIM”.

Oleh sebab laman web itu datangnya dari www.ikim.gov.my, saya terus klik kepada pautan tersebut untuk membaca lebih lanjut. Namun selepas membaca separuh daripada artikel tersebut, segala yang dinyatakan oleh Dr Badul basit tentang hadis palsu memang ada ditulis dalam artikel ini. Saya menghabiskan bacaan saya dan timbul kemusyikalan, adakah pihak IKIM terlepas pandang semasa memuatnaik artikel ini? Adakah pegawai yang bertugas tidak membuat semakan atau pegawai tersebut bukan ahli agama? Atau adakah artikel ini tidak ada kena-mengena dengan IKIM.

Seperti yang tertera, artikel tersebut ditulis oleh Khairul Azhar Bin Idris. Namun saya tidak menemui tarikh dimuatnaik dan lain-lain maklumat termasuk maklumat penulis. Pembaca boleh menyemaknya melalui alamat di bawah.

Saya berharap pihak IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dapat menyemak kembali dan membetulkan keadaan. Hal ini kerana IKIM sebagai sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab memberikan kefahaman kepada umat Islam perlu lebih berhati-hati – jika benarlah artikel itu dimuatnaik melalui laman web mereka.

Saya juga menyeru kepada para pembaca melihat kandungan kedua-dua artikel ini sebelum membuat sebarang ulasan agar tidak tersasar dalam memberikan komen.

Artikel IKIM boleh dilihat melalui pautan ini;

http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7123-fadhilat-bulan-syaaban

Tiada ulasan: