Khamis, 13 Jun 2013

15 KEMAKSIATAN YANG DISEGERAKAN BALASANNYA

Bekas Adun dilantik Speaker Dun Kelantan

Aslani M, 13 Jun 2013


KOTA BHARU: Bekas Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Ya’kub (gambar) hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang baru.

Manakala Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman pula dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Nama kedua-duanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, kemudian disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Majlis angkat sumpah itu bermula jam 9 pagi dengan bacaan doa diketuai Setiausaha Dewan, Muhammed Imran Mansoor.

Kemudian Abdullah mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan sebagai anggota tambahan Dun Kelantan.

Beliau kemudian mengambil tempat di kerusi Speaker selepas dipakai jubah khas dan songkok oleh Menteri Besar.

Diikuti pula Abdul Latiff mengangkat sumpah dan dipakai jubah khas sebagai Timbalan Speaker.

Imran turut memberitahu pihaknya sebelum ini telah menerima perakuan untuk berkhidmat sebagai Speaker daripada Abdullah.

“Cadangan perbahasan pemilihan Speaker juga tidak dibenarkan selepas pihak Dewan hanya menerima seorang sahaja calon,” katanya.

Selepas itu majlis angkat sumpah ahli-ahli Dewan dimulakan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PAS-Chempaka) mendahului mengangkat sumpah bagi penyokong kerajaan, manakala Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) pembangkang.

Zulkifli Ali (BN-Selising) merupakan ahli Dewan terakhir mengangkat sumpah hari ini.

Bagaimanapun sebelum itu Speaker mengumumkan tiga ahli Dewan tidak hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mereka iaitu Datuk Husam Musa (PAS-Salor), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Wakaf Bharu) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Air Lanas).

Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri di atas penghormatan diberi sehingga dilantik sebagai Speaker.

“Oleh itu saya berharap mendapat kerjasama sepenuh ahli-ahli Dewan bagi melancarkan perjalanan persidangan setiap kali diadakan,” katanya.

Turut menyaksikan majlis bersejarah itu anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

60 petisyen gambaran kredibiliti SPR dipertikai

Anis Nazri, 13 Jun 2013
KUALA LUMPUR: 60 petisyen yang difailkan Pakatan Rakyat dan BN bagi membantah keputusan pilihan raya menggambarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agak kelam-kabut dalam menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Md. Ramli, berkata keadaan itu juga menunjukkan dakwaan bahawa SPR tidak menjalankan tanggungjawab itu dengan baik memang berasas.

"Apabila banyak petisyen difailkan, ia menggambarkan banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan pilihan raya baru-baru ini. Sekaligus, rasa tidak puas hati itu serba-sedikit ada kesan secara tidak langsung dengan peranan SPR," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau masih banyak perkara yang membabitkan SPR yang dipertikaikan, tetapi tidak dapat disertakan sekali bersama petisyen.

"Seperti contoh, dakwaan berkaitan dakwat kekal, di mana kita mahu letakkan dalam petisyen? Begitu juga dengan hal 'care-taker government'. Saya fikir, jika perkara sedemikian boleh dimasukkan ke dalam petisyen, lebih banyak agaknya petisyen difailkan," kata beliau.

Daripada jumlah keseluruhan 60 petisyen itu, 39 dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 lagi oleh BN.

Bagi Pakatan Rakyat, 39 petisyen tersebut adalah membabitkan 25 kerusi parlimen manakala 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagi BN pula, 21 kawasan yang terlibat adalah masing-masing enam parlimen dan 15 Dun.

Umno pun tak percayakan SPR

Zakaria Abdul Majid,
Keputusan Barisan Nasional (BN) memfailkan 21 petisyen keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) membuktikan bahawa kritikan Pakatan Rakyat terhadap SPR ada asasnya. Jadi, benarlah bahawa dakwaan PR tentang pelbagai kelemahan SPR dalam mengendalikan PRU13 yang lalu.

Bagi saya, tindakan Umno-BN ini secara tidak langsung mengiakan kritikan PR terhadap SPR. Oleh hal yang demikian, wajarlah mereka yang menerajui SPR meletak jawatan kerana gagal memastikan pilihan raya kali ini diadakan dalam keadaan yang baik.

Secara umumnya, memanglah sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Sudah tentu pihak yang kalah akan berasa tidak puas hati. Namun, dalam PRU13 ini, bukan sahaja pihak yang kalah berasa tertipu malah pihak yang menang pun tidak puas hati dengan sikap dan tindakan “pengadil”.

Namun, saya tidak pasti adakah 21 petisyen BN ini hanya sandiwara atau betul-betul serius. Hal ini kerana merekalah yang bertanggungjawab mencadangkan pelantikan ahli-ahli SPR. Mungkin agak pelik kerana BN meragui orang yang mereka sendiri lantik. Oleh itu, BN sendiri wajar mencadangkan anggota-anggota ini dugugurkan dan melantik orang lain pula.

Cuma diharapkan, pelantikan akan datang biarlah disertakan wakil daripada Pakatan rakyat juga. Supaya kedua-dua pihak yakni BN dan PR tidak dapat membangkitkan kredibiliti SPR kerana masing-masing ada wakil di dalamnya

Parlimen ke-13 perlu lantik Speaker berkecuali

Harakahdaily, 13 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Tugas pertama Parlimen ketiga Belas yang akan bermula 24 Jun ini adalah memilih Speaker yang bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan politik.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, speaker baru Dewan Rakyat perlu mendapat kepercayaan dan dihormati oleh semua Ahli Parlimen, selain mampu menangani kedua-dua pakatan pemerintah dan pembangkang secara saksama dan tidak berpihak.

Menurutnya, di negara-negara yang mengamalkan demokrasi ala Westminster seperti Kanada, India, dan sebagainya, Perdana Menteri biasanya akan meminta pandangan Pembangkang sebelum memilih Speaker dan mengemukakan kepada Parlimen calon yang paling boleh diterima oleh semua pihak bagi menghindari pungutan suara dan pertikaian di awal sesi parlimen.

"Speaker Parlimen UK misalnya memutuskan hubungan dengan parti politiknya. Malah, di negara itu speaker tidak dipilih menurut garis parti.

"Speaker Parlimen UK sekarang, John Bercow, adalah anggota parti Konservatif tetapi beliau memainkan peranan sebagai speaker sejak Julai 2009, ketika Parti Buruh masih menguasai kerajaan," katanya.

Malaysia pula ujarnya sangat unik kerana Parlimen membolehkan seseorang yang bukan-Ahli Parlimen dipilih sebagai Speaker.

Langkah ini ujarnya boleh dicontohi di negara ini dengan melantik seorang tokoh yang dihormati oleh kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang, tidak semestinya seorang ahli parlimen Umno.

"Perdana Menteri perlu segera memulakan langkah untuk mendapatkan pandangan dan berunding dengan Pakatan Rakyat.

"Jika langkah ini tidak diambil, sekiranya pungutan suara diperlukan, ia perlu dijalankan secara rahsia bagi memastikan kedudukan Speaker sebagai pihak berkecuali," katanya.

Pakatan Rakyat (PR) semalam sebulat suara bersetuju menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas.

Lima kemaksiatan yang disegerakan balasannya

Detik Islam, 13 Jun 2013
Menghampiri akhir zaman, semua jenis kemaksiatan sudah dilakukan oleh semua umat manusia. Namun, ada sebuah hadis yang menyatakan bahawa ada beberapa jenis maksiat yang akan disegerakan balasannya dari maksiat itu.

Dari Ibnu Umar RA ia berkata: Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam mendatangi kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda,' "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah subhanahu wa Ta'ala, semoga kamu tidak menemui zaman itu. Perkara-perkara itu ialah:

1. Tidak nampak perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Tha'un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pemah menimpa umat-umat yang terdahulu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan / ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka

3. Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

4. Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Qur'an dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri. " (HR Ibnu Majah)

Keterangan Hadis di atas menerangkan bahawa:
1. Penyakit Taun (berjangkit seperti kolera dan Aids) adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan.

2. Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan daripada rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan.

3. Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat.

4. Kuasa musuh mengambil sebahagian daripada apa yang dimiliki kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Palestin daripada tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

5. Perang saudara yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah Subhanahu wa Ta'ala dan tidak menjadikan Al-Qur'an sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

http://detikislam.blogspot.com

Tiada ulasan: