Jumaat, 6 April 2012

TIPU DAN BOHONG SATU DOSA...TAPI BILA TELAH JADI LUMRAH@BIASA..MAKA RASA DOSA SUDAH HILANG..MORALNYA SYAITAN BERJAYA MENYESATKAN MANUSIA2 YANG TAMAKKAN KUASA DAN CINTAKAN DUNIA...TAKUT MATI..SERTA LUPA HARI AKHIRAT..

Syed Mokhtar dapat projek kereta perisai RM7.55b?

Salmiyah Harun, 04 Apr 2012

KUALA LUMPUR, 4 April: Kerajaan diminta menjelaskan adakah benar syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mendapat kontrak perolehan kereta perisai bernilai RM7.55 billion.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua (gambar) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012 bagi Kementerian Kewangan.

Beliau juga mendakwa, Syed Mokhtar turut mendapat kontrak projek double-tracking yang bernilai RM10 billion dan projek terowong MRT yang bernilai RM8.2 billion.

Bagaimanapun, dalam perbahasan itu, Tony meminta kerajaan memberikan satu laporan terperinci mengenai empayar milik individu terbabit yang dilihat tiada hadnya.

Katanya, individu terbabit juga telah menguasai pelbagai bidang industri termasuk Padi Beras Nasional Bhd, Tradewinds Bhd dalam sektor gula, Pos Malaysia, DRB Hicom, Proton Malaysia, Port of Tanjung Pelepas, Johor Port dan sekarang dikatakan Penang Port dan Northport.

"Hampir  kesemua pengambil-alihan saham melalui penswastaan dan projek ini dibiayai oleh pinjaman. Apakah jumlah pinjaman yang telah diambil oleh kumpulan syarikat Tan Sri Syed Mokhtar dan apakah bank yang paling terdedah kepada pinjaman beliau?" soal Tony.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Bank Negara mengambil risiko sistematik yang ada atas pinjaman berpuluh-puluh billion kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan seorang sahaja.

Tegasnya, krisis kewangan 90-an sepatutnya memberi pengajaran kepada negara supaya tidak mengambil risiko yang terlampau tinggi kepada sebuah syarikat atau individu.

"Pada masa itu Renong yang menjadi 'darling' kepada Umno dan kerajaan BN lesap begitu sahaja dan menyebabkan kerugian bukan sahaja kerajaan tetapi juga rakyat biasa melalui pelaburan dalam syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.

Justeru, beliau berharap menteri dapat memberikan jumlah pinjaman dengan angka-angka terperinci supaya perkara ini tidak lagi membimbangkan rakyat dan industri.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang pernah beberapa kali mempersoalkan di parlimen kenapa segelintir korporat Melayu yang mendapat projek mega kerajaan seperti Syed Mokhtar, anak Tun Mahathir, adik Datuk Seri Najib, bekas Ketua Hakim Negara dan peguam Umno.

PAS sedia sertai himpunan Bersih 3.0

Harakahdaily, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: PAS hari ini menyatakan sokongan terhadap hasrat NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang akan mengadakan himpunan Bersih 3.0 bagi menuntut reformasi pilihan raya pada 28 April ini.

Sehubungan itu juga, naib presidennya Salahuddin Ayub (gambar) berkata, PAS juga tidak teragak-agak untuk menyertai himpunan itu kerana ia selari dengan perjuangan parti itu yang menuntut pembersihan daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah katanya, ia juga selari dengan kandungan laporan minoriti yang ditolak oleh Dewan Rakyat semalam untuk dilampirkan bersama dengan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).

"Kita akan menyertai perhimpunan itu selain terus memperjuangkan kandungan laporan minoriti," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditanya pendirian parti itu terhadap pengumuman himpunan Bersih 3.0 oleh Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said pagi tadi.
Bagaimanapun pendirian rasmi PAS berhubung perkara itu dijangka akan diumumkan timbalan presidennya Mohamad Sabu yang juga Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS pada satu sidang media khas esok.

Bersih 2.0 pagi tadi mengumumkan sekali lagi akan mengadakan himpunan besar-besaran Bersih 3.0 pada hari Sabtu 28 April ini.

Ianya akan diadakan jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurut mereka, keputusan untuk mengadakan himpunan itu dibuat ekoran pihak PSC dan kerajaan dilihat tidak mengambil serius terhadap tuduhan penipuan khususnya dalam isu pembersihan daftar pemilih.

Himpunan kali ini memilih tema 'Duduk Bantah' dan bakal diadakan serentak di seluruh negara dan dunia.

Nurul kesal provokasi samseng di flat Kerinci

Muhamad Faizal, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini mengutuk tindakan provokasi murahan pihak tertentu ketika operasi perobohan Flat PKNS di Kampung Kerinci semalam yang menyaksikan aktivis pelajar Adam Adli ditumbuk.

"Inilah politik samseng dan politik tidak matang yang dipertonjol Umno khususnya di Lembah Pantai," katanya.

Dalam kejadian semalam, ketika rundingan 34 penduduk dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu merobohkan kediaman mereka berlangsung, Adam Adli ditumbuk.

Adam yang hadir bersama seorang lagi aktivis pelajar Ekhsan Bukhari mengalami kecederaan di bahagian bibir dan mata.

Mengulas rundingan semalam, Nurul berkata 34 orang penduduk tersebut bukan tidak mahu berpindah, tetapi sehingga kini status perpindahan mereka ke perumahan PPR tidak diputuskan oleh jabatan perumahan DBKL.

"Saya tentu mengalu-alukan sebarang usaha untuk membangunkan kawasan Kampung Kerinci, tetapi aturan tatacara serta prosedur pembangunan harus mangikuti undang-undang dan menghormati pemilik tanah sedia ada.

"Dalam hal ini kaedah pengambilan tanah untuk pembangunan yang nyata melanggar peraturan sedia ada bilamana referendum dan bukan kaedah persetujuan 100 peratus pemilik menjadi penentu pembangunan," jelasnya.

Pendedahan Mahfuz serius, hukum pengkhianat negara

Harakahdaily, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menegaskan PRU13 adalah hak rakyat Malaysia yang sah, bukan hak warga asing yang diberikan taraf kerakyatan dan seterusnya diberikan peluang untuk mengundi.
Justeru, DPPM memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya task force yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS mendedahkan task force tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Malah beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Jariah, Nik Norashikin  Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, pihaknya berpandangan, pendedahan Mahfuz itu merupakan sesuatu yang amat  serius kerana ia melibatkan integriti serta kedaulatan negara.

“Sekiranya rakyat asing sudah diberikan taraf kerakyatan negara ini dan seterusnya dibenarkan untuk mengundi dalam PRU13, ini menandakan tahap keselamatan negara sudah berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, katanya memberi gambaran bahawa bila-bila masa sahaja negara boleh dijual kepada warga asing oleh mereka yang mengkhianati amanah rakyat sebagai pemimpin kanan kerajaan.

Menurutnya, pendedahan itu membenarkan lagi telahan banyak pihak bahawa BN sedang merancang untuk melakukan penipuan secara besar-besaran bagi menghadapi PRU13.

Justeru, ujarnya DPPM merasa amat kesal kerana BN tidak bersikap ‘gentleman’ dan tidak bersedia menghadapi kenyataan dengan menerima apa juga keputusan rakyat dalam pilihan raya.

Menurut Riduan lagi, BN terlalu terdesak mengekalkan kuasa meskipun ditolak oleh rakyat sehingga sanggup mengambil warga asing sebagai warga negara dan sebagai pengundi.

“Bahkan, BN tergamak memperkudakan agensi kerajaan bagi meraih kepentingan diri mereka dan tidak kisah sekiranya integriti agensi kerajaan seperti SPR dan JPM jatuh menjunam serta menjadi cemuhan rakyat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa,” ujarnya.

Justeru, katanya, DPPM bersetuju supaya Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat kenyataan Mahfuz itu.

Beliau menegaskan, sekiranya benar dakwaan itu, kesemua nama yang disebut perlu diseret ke muka pengadilan meskipun ia akan menjerat sama pemimpin negara.

“Mereka ini adalah pengkhianat negara dan tidak mungkin ada kemaafan bagi mereka,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menambah DPPM turut mendesak Perdana Menteri menangguhkan pilihan raya sehingga Suruhanjaya Diraja selesai melakukan siasatan terhadap dakwaan itu.

'Calon kita memang calon nak menang'

Harakahdaily, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar) mendakwa line up calon yang diketengahkan di negeri itu pada pilihan raya umum nanti bukan sahaja line up boleh menang tetapi juga 'menampakkan memang nak menang'.

"Calon yang kita kemukakan kali ini bukan setakat winable candidate malah orang tengok pun akan nampak yang kita memang nak menang," katanya ketika ditemui Harakahdaily, semalam.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu juga berkata, setakat ini boleh dikatakan keseluruhan calon di negeri itu sudah selesai.

Ditanya tahap kesediaan PAS negeri itu berdepan pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut Jun ini, Abdul Wahid berkata, ianya boleh dinilai dari manifesto yang dilancarkan baru-baru ini.

"Kita antara negeri paling awal dedah 10 manifesto awal kita berbanding negeri-negeri lain.

"Insya Allah kita bersedia," katanya lagi.
Sebelum ini PAS Terengganu melancarkan manifesto awalnya antara lain akan melaksanakan pengecualian cukai pintu rumah kediaman, mempertimbang semula permohonan tanah yang pernah diluluskan pada zaman PAS yang kemudian dibatalkan oleh kerajaan BN dan memberikan 20 meter padu bekalan air percuma kepada pengguna bermeter individu.


Mengulas soal peluang untuk PAS kembali semula memerintah negeri itu, Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelam berkata soal kalah menang adalah perkara kedua.

Lebih penting katanya, jentera PAS negeri itu perlu bekerja semaksima mungkin dan menggunakan segala ruang yang ada untuk memberi kemenangan kepada parti.

"Yang penting, gerak kerja kita biar puas hati dulu, lepas tu kita pakat-pakat doalah," katanya.

Peserta Bersih 3.0 dijangka lebih ramai

Muhammad Faizal, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 Apri: Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (gambar) berkata, himpunan Bersih 3.0 di buat adalah tindak balas terhadap keputusan yang dibuat pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak laporan minoriti dan meluluskan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa dibahas membawa kepada perlaksanaan himpunan tersebut.

"Kita kesal dengan apa yang berlaku semalam dan tindakan memutuskan himpunan bersih itu adalah sebagai bantahan rakyat terhadap apa yang berlaku dalam desakan rakyat untuk melihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bersih dan telus.

"Tetapi sebaliknya berlaku, yang mana Speaker memutuskan untuk tidak mendengar laporan minoriti yang jelas mempunyai bukti-bukti terhadap ketidaktelusan SPR dalam memastikan daftar pemilih benar-benar bersih," jelasnya di lobi Parlimen.

Beliau menjangkakan penyertaan rakyat pada kali ini akan melebihi apa yang berlaku pada Bersih 2.0 sebelum ini.

"Dulu sewaktu Bersih 2.0, pemimpin Pakatan Rakyat dan juga pihak penganjur masih belum yakin bahawa rakyat akan datang dengan begitu ramai apatah lagi bila terdapat ugutan-ugutan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Tetapi untuk kali ini saya yakin penyertaan rakyat akan melebihi Bersih 2.0 kerana rakyat sudah bosan dengan sikap yang ditunjukan oleh kerajaan terutamanya sikap dolak dalik kerajaan serta SPR yang enggan membersihkan senarai nama pengundi di dalam daftar pemilih," sambungnya lagi.

Tabung Haji tidak jelas urus wang pendeposit

Abdul Aziz Mustafa, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: Tabung Haji (TH) mesti menjelaskan sejauh manakah sistem pemantauannya terhadap pengurusan wang hampir tujuh juta pendepositnya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Antara persoalan terbesar dalam TH ialah kita tidak pernah dijelaskan dengan meyakinkan bagaimana wang hampir tujuh juta pendepositnya diuruskan.

"TH menguruskan wang hampir tujuh juta rakyat negara ini yang rata-ratanya terdiri dari umat Islam yang mahu mengerjakan haji. Jangan ada sikap dan perbuatan yang boleh dipersoal dan dipertikaikan dengan wang orang yang hendak beribadat.

"TH mesti membuktikan sikap yang benar-benar bertanggung jawab," kata beliau ketika ditanya selepas berucap mengenai TH di Dewan Rakyat.

Menurut Mahfuz, kalau syarikat berhad atau sendirian berhad, ada Suruhanjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Syarikat untuk memantau perjalanan dan pengurusan mereka.

Kalau bank pula, katanya lagi, ada Bank Negara untuk memantau perjalanan dan pengurusan mereka.

"Sebelum dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank, mesti dapat persetujuan Bank Negara," katanya.

Perkara itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, dilakukan kerana bank menyimpan wang orang ramai - duit rakyat.

"TH juga menyimpan duit rakyat. Siapa pantau?" beliau mempersoalkan.

TH, katanya, mesti tampil dengan laporan audit yang lengkap dan telus.

"Begitu juga pelaburan TH. Siapa pantau? Sejauh mana Silverbird menghadapi status PN17 atau bermasalah?

"Benarkah berlaku perbuatan songlap wang dalam Silverbird? Jika benar, wakil TH dalam lembaga pengarah TH buat apa?" Mahfuz terus mempersoalkan.

Saham Silver Bird Group Berhad (Silver Bird) sebelum ini merudum sehingga bernilai serendah 20.5 sen sahaja.

TH merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak 22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7 peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.

Kejatuhan saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga RM111.5 juta.

Akibat kemelut kewangan itu, tiga pegawai kanan Silver Bird digantung tugas termasuk pengarah urusannya, Datuk Jackson Tan Han Kook.

TH juga, katanya, bertanggungjawab menjelaskan kepada pendeposit-pendepositnya sejauh manakah kejayaannya setelah menyelamatkan sebuah lagi syarikat berstatus PN17, Lityan Berhad pada tahun 2009 dahulu.

"Adakah Lityan sudah berjaya setelah diselamatkan TH atau keadaannya semakin buruk?" Mahfuz bertanya.

Apa guna dakwat kekal jika daftar pemilih bohong

Harakahdaily, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: Jingga 13 akan membantu segala bentuk mobilisasi sedaya upaya menggerakkan kempen-kempen di media sosial mahupun turun ke lapangan bagi memastikan seluruh kekuatan rakyat untuk Duduk Bantah terhadap penipuan dan mendesak SPR dan kerajaan Malaysia mendengar dan mengambil tindakan yang penuh bertanggungjawab.


Sehubungan itu, Setiausaha Jingga 13, Vickneswaran Krishnan berkatanya, pihaknya menyambut baik langkah untuk melaksanakan satu lagi perhimpunan pilihanraya bersih dan adil, Bersih 3.0 seperti yang diumumkan dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0, hari ini.

Bersih 3.0 mengumumkan perhimpunan itu pada 28 April ini, jam 2.00 petang di Dataran Merdeka dengan tema ‘Duduk Bantah’.

“Kekecewaan rakyat terhadap salah laku dan percubaan terang-terangan oleh SPR bagi mengelirukan daftar pemilih induk wajar dikecam dan diselar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ini kerana ia adalah bukti terang-terangan bahawa terdapat usaha tersusun untuk mengekalkan Umno Barisan Nasional di Putrajaya walaupun jelas gelombang rakyat sudah menolak mereka.

Justeru, katanya Jingga 13 mempersoalkan integriti Pengerusi SPR yang dilihat bersekongkol dengan penipuan tersebut dan usaha untuk membersihkan senarai daftar pemilih induk itu tidak serius dilakukan dan bantahan demi bantahan dibiarkan berlalu tanpa tindakan tegas.

“Jingga 13 juga menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak mengendahkan 8 tuntutan Bersih 2.0 yang dilangsungkan Julai lalu dan hanya membenarkan penggunaan dakwat kekal pada Pilihanraya Umum akan datang,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan adakah relevan penggunaan dakwat kekal itu jika daftar pemilih induk meragukan dengan data-data yang penuh pembohongan dan berat sebelah seperti yang didedahkan oleh Dr Ong Kian Meng dari UCSI.

“Maka menjadi kewajiban rakyat Malaysia mendesak SPR dan kerajaan Malaysia untuk mengembalikan hak rakyat mendapatkan satu pilihan raya bersih dan adil seperti yang sepatutnya,” katanya lagi.

'Task force' pengundi warga asing didedah

Salmiyah Harun, 04 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 4 April: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (gambar) mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Menurut Mahfuz 'task force' tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Bukan itu sahaja, Mahfuz turut mendedahkan beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Jariah, Nik Norashikin  Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi,

Jelas Mahfuz, isu ini amat serius seolah-olah memperlihatkan kerajaan mahu menjual negara kepada rakyat asing.

"Kerajaan BN tidak boleh berhadapan dengan politik terdesak dengan mengatasi, membawa warga asing untuk mengundi BN.

(Wan Ahmad [kiri] dan Tajuddin Wahab, dua tokoh penting di belakang task force, dakwa Mahfuz)

"Apabila lonjakan kebangkitan rakyat negara ini mahu menolak BN, tidak boleh diatasi dengan membawa warga asing untuk diberikan kerakyatan bagi memastikan mengundi Umno BN. Ini sangat berbahaya!" katanya.

Kebimbangan ini, katanya akan menafikan hak rakyat di mana hak itu diboloti oleh warga asing akhirnya masa depan negara akan di tentukan oleh mereka.

"Saya percaya keputusan rakyat selepas ini akan dimanipulasi oleh warga asing," katanya dalam sidang media hari ini di bangunan Parlimen.

Katanya, kerajaan boleh memanggil ketiga-tiga mereka serta pegawai JPN berkenaan bagi menjawab dakwaan itu melalui Suruhanjaya Diraja yang dibentuk.

"Sebab itu kita desak kerajaan bentuk Suruhanjaya Diraja bagi menjawab segala dakwaan yang timbul dan suruhanjaya itu boleh memanggil mereka yang terlibat.

"Kalau sekarang hendak panggil mereka, siapa yang berani? Perdana Menteri pun tidak," katanya.

Tambahnya, Suruhanjaya Diraja amat penting dibentuk dengan segera bagi mengenalpasti tentang semua dakwaan yang dibuat berhubung pemberian taraf kerakyatan bagi membolehkan warga asing mendaftar dalam daftar pemilih.

Mahfuz berkata, suruhanjaya ini harus di bentuk sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Sebelum report dikemukakan kepada awam pilihan raya ke-13 tidak boleh diadakan sama sekali," katanya.

Tiada ulasan: