Selasa, 10 April 2012

MUNGKIR JANJI DITEGAH DALAM ISLAM...IA MERUPAKAN SALAH SATU CIRI ORANG2 MUNAFIK

Risalah memfitnah SMM sebar di Masjid Shah Alam

Harakahdaily, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: Pada hari ini di Masjid Negeri Shah Alam telah disebar risalah-risalah fitnah kononnya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan melakukan satu demonstrasi pada hari ini bagi menentang Kerajaan Negeri Selangor.

Setiausaha SMM, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas sama sekali memandangkan SMM mengagumi pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang mesra rakyat, telus, cekap dan beramanah.

Tambahan lagi, ujarnya kerajaan negeri Selangor adalah antara kerajaan negeri yang terawal menyahut seruan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik yang dibawa oleh SMM dan isytihar bahawa Selangor negeri bebas AUKU.

“SMM menafikan fitnah yang dilemparkan dan mengutuk tindakan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“SMM menolak politik fitnah dan politik samseng yang semakin menjadi-jadi dalam negara,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya lagi, SMM yakin bahawa fitnah itu dibuat oleh pihak yang merasa tergugat dengan gerakan mahasiswa dan demonstrasi 14 April ini yang akan diadakan di Dataran Merdeka jam 2 petang.

“Walau apa fitnah dan tekanan ke atas SMM, demonstrasi 14 April ini tetap akan berjalan dan SMM komited untuk bersama Bersih 3.0 pada 28 April ini,” ujarnya.

PKR arah seluruh ahli sertai Bersih 3.0

Harakahdaily, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: Parti Keadilan Rakyat hari ini turut mengarahkan seluruh anggotanya menyertai himpunan 'duduk bantah' Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Kenyataan arahan dan sokongan terhadap Bersih itu dikeluarkan tiga Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzak Anwar, Tian Chua dan N Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, PKR sehingga kini bimbang akan kewibawaan dan kebolehpercayaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) setelah menerima dan mendedahkan maklumat tentang pelbagai penyelewengan yang berlaku berkaitan daftar pengundi.

Ianya termasuklah Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil yang didakwa menempatkan 457 pengundi pos (suku 3, 2011), yang secara tiba-tiba dipindahkan dari kawasan Parlimen Bandar Tun Razak (P124) ke Lembah Pantai (P121), walaupun ianya terletak lebih 3km dari sempadan parlimen Lembah Pantai.

Selain itu juga dakwa mereka, lebih 79,000 pengundi yang didaftarkan dalam lebih 350 alamat yang sama, di mana setiap alamat itu merekodkan lebih dari 100 pengundi.

Mereka juga turut mempersoal 42,000 nama yang disahkan SPR sebagai pemilih yang diragui status kewarganegaraan mereka, yang masih enggan dibersihkan SPR dari daftar pemilih.

Malah kata mereka, ada juga kes di mana lebih 1,000 pengundi yang melebihi umur 100 tahun, yang enggan dibersihkan SPR dari daftar pemilih.

"Maka dengan itu, saya bersama pimpinan tertinggi parti menggesa setiap anggota PKR di seluruh negara untuk keluar menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 di mana sahaja perhimpunan ini diadakan," tegas kenyataan itu.

Lynas: Tindakan Soi Lek untuk tipu pengundi

Lim Guan Eng, 06 Apr 2012
“Flip-flop” secara tiba-tiba oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan tindakan MCA untuk membuat pusingan U daripada menyokong loji pemprosesan nadir bumi Lynas kepada menuntut agar loji itu dimansuhkan, bukan sahaja menonjolkan pendirian MCA yang tidak konsisten dan tidak berprinsip tetapi juga menimbulkan soalan tentang keikhlasan dan kredibiliti MCA.
Rakyat Malaysia tidak akan percaya dengan seruan Presiden MCA Chua Soi Lek untuk memansuhkan loji Lynas dan menganggap tindakan ini sebagai helah pilihan raya umum untuk menipu pengundi.

MCA harus buktikan komitmen mereka untuk menghormati kehendak majoriti rakyat Malaysia yang ingin menutup loji nadir bumi Lynas di sekitar kawasan Kuantan, dengan menarik diri daripada BN dan tidak kembali masuk sehingga UMNO membatalkan projek pemprosesan nadir bumi yang bernilai RM2.3 bilion ini.

Selagi UMNO enggan memberi komitmen secara umum bahawa pampasan akan dibayar, tidak ada sesiapa yang akan percaya bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai isu Lynas akan berani mengesyorkan penutupan kilang tersebut.

Yang lebih teruknya, Chua terus meminta agar Lynas menghantar balik sisa nadir bumi yang radioaktif kepada Australia, walaupun Kerajaan Australia sudah menolak permintaan itu secara umum dan rasmi. Tidak seperti BN, Kerajaan Australia tidak akan mementingkan keuntungan daripada kesihatan dan keselamatan rakyatnya.

Tindakan “flip-flop” MCA yang dahulunya menyokong Lynas tetapi sekarang seolah-olah sudah mendapat hidayat baru menggesa pula supaya loji pemprosesan nadir bumi itu ditutup nampak sangat hanya bersifat oportunis, terdesak serta tidak berprinsip dan dilakukan semata-mata untuk mendapat undi.

Rakyat Malaysia tidak akan lupa bahawa MCA selama ini telah menyokong pendirian UMNO bahawa loji Lynas itu akan mendatangkan faedah seperti peluang pekerjaan, pelaburan nilai tinggi, pindahan teknologi, selamat dan tidak akan mendatangkan risiko kesihatan atau radioaktif.

Kenyataan Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang menyatakan bahawa isu ini tidak lagi berkaitan dengan kesalamatan, tetapi bahawa Kerajaan tidak boleh mengabaikan pandangan majoriti rakyat Malaysia yang menentang Lynas, menunjukkan bahawa pokok isunya tidak berkaitan dengan salah atau betul. Sekali lagi, MCA mendedahkan diri sebagai parti yang tidak berprinsip atau tidak bertulang belakang.

Tidak ada apa-apa untuk menghalang MCA daripada membuat “flip-flop” sekali lagi selepas pilihan raya umum yang akan datang untuk menyokong kembali loji nadir bumi Lynas.

Oleh itu, ini adalah peluang terakhir bagi MCA untuk membuktikan komitmen mereka untuk memansuhkan loji Lynas dengan menarik diri daripada BN dan bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang atas simbol sendiri.

Adakah Chua berani untuk mengumumkan bahawa MCA hanya akan kembali ke pangkuan BN selepas penutupan loji Lynas?

Kegagalan untuk membuat demikian akan membantu rakyat Malaysia membuat keputusan sama ada untuk mempercayai parti yang bukan sahaja menipu diri sendiri tetapi cuba menipu orang lain.

Mahkamah ketepi sapina terhadap Anwar

Harakahdaily, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR 6 April: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenepikan sapina terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada hadir ke mahkamah dalam satu kes melibatkan pinjaman bersindiket RM445 juta.

Menurut laporan KeadilanDaily, sapina itu diketepikan selepas Hong Leong Finance Berhad (HLFB) memenangi permohonan mengenepikan Anwar dan Pengerusi HLFB, Tan Sri Quek Leng Chan yang dikemukakan seorang ahli perniagaan yang mendakwa beliau merupakan wakil kepada Anwar dalam urusniaga itu, seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

Anwar sebelum ini diminta hadir sebagai saksi pembela dalam satu prosiding sivil melibatkan kemudahan pinjaman bersindiket RM445 juta sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan.

Defendan dalam kes itu adalah seorang ahli perniagaan Low Thiam Hoe. Pada tahun 1998, Low dikenakan perintah undang-undang oleh HLFB untuk membayar semula pinjaman sebanyak RM28 juta.

Low bagaimana pun mendakwa beliau diminta bertindak sebagai penama untuk urusniaga pinjaman bersindiket itu oleh dua orang, Hamzah Harun dan Mohd Faiz Abdullah.

Low berkata Mohd Faiz Abdullah pada masa pinjaman itu dibuat mendakwa dirinya bertindak bagi pihak Anwar selaku Menteri Kewangan

Syed Mokhtar: Adakah usaha tambah dana Umno?

Abdul Aziz Mustafa, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: Jika benar Syed Mokhtar Al Bukhary mendapat kelulusan untuk membuat kajian terperinci terhadap KTM Berhad, adakah ia satu lagi tindakan menambahkan dana pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN), Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) mempersoalkan.

"Saya diberitahu bahawa Syed Mokhtar telah dapat kelulusan untuk buat due diligence ke atas KTM Berhad, iaitu diberi kebenaran untuk mengetahui semua perkara yang dianggap perlu untuk diketahui berkaitan KTM.

"Perkara itu berlaku ketika dihebohankan bahawa kerajaan BN akan di beri balik sejumlah wang dari penjualan aset-aset tertentu untuk menghadapi pilihan raya umum," katanya.

Antara tindakan yang paling mendapat perhatian sebelum ini ialah apabila Maju Expressway (MEX), lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya sepanjang 26 kilometer baru-baru ini dijual dengan harga RM1.7 bilion kepada EP Manufacturing Berhad (EPMB) oleh Maju Holdings Sdn Bhd sedangkan pelaburan asal Pengerusi Eksekutif Maju Group, Tan Sri Abu Sahid Mohamed untuk MEX hanya RM60 juta sahaja.

Mohamad mempersoalkan, adakah apa yang berlaku itu merupakan bailout atau penjualan asset yang dipisah-pisahkan bagi tujuan mendapatkan lebih banyak keuntungan atau asset stripping.

"Adakah apa yang orang korporat kata asset stripping itu juga dapat membantu menambahkan dana pilihan raya Umno BN?" soal beliau.

Berikutan dakwaan bahawa Syed Mokhtar mendapat kelulusan untuk melakukan due diligence ke atas KTM itu, Mohamad bimbang akan wujud raksaksa yang sangat berkuasa ke atas negara ini.

"Saya diberitahu ada khabar angin bahawa Syed Mokhtar telah membuat tawaran membeli PLUS Berhad.

"Kalau KTM dia punya, PLUS pun dia punya, Syed Mokhtar menjadi individu yang sangat berkuasa, menguasai logistik negara serta menjadi orang yang sangat penting ke atas kesejahteraan ekonomi negara.

"Sekarang pun, dengan penguasaan beberapa pelabuhan serta cadangan untuk menguasai pelabuhan lain dalam negara ini, kalau Syed Mokhtar demam, Malaysia boleh pengsan," kata beliau.

Syed Mokhtar menguasai Pelabuhan Tanjong Pelepas, Johor dan Pulau Pinang.

Terdapat pula dakwaaan Syed Mokhtar sedang berusaha untuk mengambilalih Northport Berhad di Pelabuhan Kelang.

"Kalau Syed Mokhtar berjaya kuasai PLUS dan KTM dan 60 peratus dari eksport negara pula adalah melalui pelabuhan-pelabuhan sekitar Selat Melaka yang beliau miliki, bayangkan betapa berkuasanya Syed Mokhtar.

"Banyak pula khabar yang kita dengar bahawa di belakang Syed Mokhtar ialah (Tun) Dr Mahathir (Mohamad).

"Kalau benar, adakah ia bermakna Dr Mahathir sekarang sedang berusaha habis-habisan untuk menguasai infrastruktur strategik dalam negara ini dan beliau tetap mempunyai kuasa tawar-menawar sekalipun berlakunya keadaan Umno dan BN menghadapi kekalahan?" kata Mohamad.

Beliau melahirkan kebimbangan apa akan terjadi apabila infrastruktur-infratruktur penting negara ini dikuasai oleh Syed Mokhtar yang sering dilaporkan mempunyai tanggungan yang luar biasa besar.

"Beberapa kali saya membaca laporan bahawa syarikat-syarikat milik Syed Mokhtar mempunyai hutang yang sudah mencecah RM25 bilion.

"Kalau Syed Mokhtar tersungkur, ia bermakna kerajaan mesti membantunya dengan memberikan pelbagai geran dan pinjaman mudah dan rakyat jugalah yang akan menanggung bebannya," kata beliau.

Tindakan kerajaan Umno meluluskan Syed Mokhtar menguasai hampir semua infrastruktur pengangkutan dan logistik negara juga merupakan tindakan yang sangat luar biasa, kata Mohamad.

"Kalau semua infrastruktur pengangkutan dan logistik negara Syed Mokhtar yang punya, buat apa lagi ada Kementerian Pengangkutan?

"Juallah dengan menterinya sekali!" beliau menyindir.

Sebelum ini Malaysian Insider melaporkan bahawa pihaknya difahamkan bahawa Syed Mokhtar muncul sebagai penyumbang utama dana kepada Umno selepas ahli-ahli perniagaan Cina tempatan keberatan ekoran kekurangan kontrak di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Pemuda PAS sokong Himpunan Hijau 13 April

Harakahdaily, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan syabas kepada Solidariti Semalaysia Himpunan Hijau yang telah merancang satu himpunan besar-besaran di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak bertujuan untuk membantah projek memproses nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang, 13 April ini.


Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya turut menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar.

“Beliau telah mengingatkan kita, isu Lynas ini sepatutnya menjadi sensitiviti rakyat Malaysia bukan hanya rakyat Pahang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan tegas menyokong Himpunan Hijau bakal dilaksanakan pada 13 April ini.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa para pemuda Malaysia untuk hadir beramai-ramai di peringkat negeri masing-masing pada 13 April ini.

“Kebersihan bumi kita perlu dipelihara, kesihatan kita perlu dijaga,” tegasnya.

Tindakan UTHM dakwa pelajar tidak sah

Harakahdaily, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius berkenaan isu perbicaraan tatatertib  terhadap 3 orang pemimpin pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Kaedah 3(a)(i) dan Kaedah 14 Kaedah-Kaedah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar 2009).


Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) berkata, pihaknya mendapati bahawa pihak Jawatankuasa Tatatertib Hal Ehwal Pelajar UTHM telah melanggar banyak prosedur pertuduhan sebelum perbicaraan yang dijadualkan berlangsung hari ini.

“Pihak Juham telah menghantar representasi dan bantahan awal kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM memaklumkan kecacatan prosedur dan hak asasi yang tidak dipatuhi oleh pihak universiti,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, selain daripada terdapat banyak kecacatan pada kertas pertuduhan itu sendiri, perkara asas kepada bantahan Juham adalah kaedah yang digunapakai oleh Pihak Berkuasa Tatatertib UTHM adalah Kaedah yang ultra vires dan jelas bercanggah dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan) 2009.

Selain itu juga, jelasnya lagi kertas pertuduhan yang diserahkan kepada pemimpin pelajar terbabit juga tidak mempunyai tarikh  dan tidak dinyatakan secara spesifik butir-butir kesalahan yang dilakukan oleh mereka bertiga selain daripada pertuduhan yang bercanggah dengan Kaedah yang digunakan ke atas mereka.

Beliau berkata, ruang untuk mereka membela diri juga tidak diberikan, malah mereka terus dipanggil untuk menghadapi perbicaraan tersebut dengan kemungkinan dijatuhkan hukuman penggantungan atau dibuang daripada universiti.
Juham , katanya lagi melihat tindakan yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib UTHM adalah bersifat terburu-buru dan pra matang.

“Asas kepada isu ini ialah bantahan mahasiswa  terhadap program Umno yang dipaksa ke atas pelajar-pelajar UTHM yang diadakan pada 18 November 2011 dengan kehadiran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan,” ujarnya.

Mahasiswa di dua kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Tun Fatimah dan Kolej Tun Dr. Ismail dipaksa hadir dengan menutup lampu-lampu mereka.

Ini, katanya adalah satu tindakan yang sangat tidak matang dan pihak universiti pula ingin mengambil tindakan terhadap 3 mahasiswa tersebut bagi melindungi kepentingan politik Umno semata-mata.

“Walaupun prosiding tata-tertib tersebut telah ditangguhkan, pihak Juham akan terus membantu  3 mahasiswa UTHM ini bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya buat mereka,” katanya.

Beliau menambah, Juham akan memberikan sokongan, nasihat dan bantuan perundangn secara percuma kepada mahasiswa-mahasiswa yang ditekan, diugut dan dizalimi seperti ini.

Tegasnya, mahasiswa adalah pewaris kepada kepimpinan masa depan negara dan sumbangan mereka amat bermakna, mereka tidak patut ditindas dan dilayan sebegini rupa oleh kerajaan Umno BN.

GMI adu Suhakam Najib mungkir janji mansuh ISA

Hazayani Zakaria, 06 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 6 April: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini sekali lagi mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerana kecewa terhadap tindakan kerajaan melengah-lengahkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI kesal kerana kerajaan belum membentangkan usul memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat (EO) di Dewan Rakyat meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan berbuat demikian pada Oktober tahun lalu.

"GMI hari ini menyerahkan memorandum ini juga bagi memohon pihak Suhakam menimbangtara beberapa tuntutan GMI seterusnya dipanjangkan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri," kata beliau di hadapan Pesuruhjaya Suhakam, Detta Samen di pejabatnya, dekat sini hari ini. (Gambar oleh Wan Zahari)

Memorandum tersebut antara lain menggesa kerajaan patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan aktiviti anti keganasan dan membentuk mekanisme baru menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan.

"GMI menuntut ditubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi menegakkan keadilan untuk setiap tahan ISA dan membolehkan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Selain itu, Syed Ibrahim turut meminta Suhakam mengeluarkan kenyataan menegaskan pendiriannya berhubung ISA.

Detta dalam respon balasnya bersetuju dengan tuntutan GMI itu dan berkata, media juga memainkan peranan untuk memberi maklumat kepada rakyat berhubung ISA.

"Media juga harus memainkan peranan melaporkan berkaitan ISA dan seumpamanya.

"Kalau semua pihak diam, nanti kerajaan ingat rakyat setuju dan gembira dengan keadaan sekarang, dengan apa yang mereka buat," katanya.

Protes di Parlimen

Sementara itu, Syed Ibrahim memberitahu, GMI akan mengadakan protes menuntut pemansuhan ISA di bangunan Parlimen, Isnin ini jam 11 pagi.

"Melalui protes ini juga GMI akan menyerahkan memorandum menuntut Perdana Menteri mengotakan janji bagi memastikan ISA segera dimansuhkan.

"GMI menyeru sokongan dan solidariti daripada rakyat, NGO, Suhakam, NGI, parti politik, ahli parlimen, Adun, media dan masyarakat antarabangsa untuk menuntut perkara di atas demi keadilan semua pihak," katanya.

Tiada ulasan: