Amaran keras Datuk Bandar kepada BERSIH
Datuk
Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail memberi amaran kepada
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan penyokongnya bahawa
tindakan keras akan diambil jika mereka meneruskan hasrat untuk
berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini.Bertegas dengan keputusannya tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan untuk perhimpunan tersebut, Ahmad Fuad menegaskan tindakan yang sama akan diambil sepertimana tindakan terhadap kumpulan mahasiswa anti-PTPTN yang 'berkampung' di tempat yang sama.
"Seperti (mahasiswa) anti-PTPTN, contoh yang sama juga kita akan ambil jika mereka melanggar undang-undang.
"Bila tiba masanya, tindakan akan kita ambil...Untuk menjamin keselamatan, kita serah kepada polis... Bagilah kita bekerja juga," katanya dalam sidang media selepas bertemu dengan delegasi BERSIH di pejabatnya hari ini.
Demo anti-PTPTN menyaksikan enam aktivis ditahan polis dan ada barangan mereka dirampas oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Pertemuan hari ini menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berhubung lokasi alternatif yang dicadangkan.
BERSIH berkeras mahu tetap berhimpun di Dataran Merdeka, sebaliknya Ahmad Fuad mencadangkan mereka mengubahnya ke Stadium Merdeka - yang terletak kira-kira 1km dari situ.
Ditanya sama DBKL akan menghalang penyokong gabungan itu untuk berhimpun di situ, Ahmad Fuad berkata adalah menjadi tanggungjawab DBKL untuk menjaga Dataran Merdeka dan ia terikat undang-undang yang digunapakai sejak 1992.
"Kita akan berpegang kepada undang-undang yang ada. Dan Akta Perhimpunan Aman yang memberikan (keizinan berhimpun) di tempat-tempat yang tertentu. Tetapi tempat yang tak boleh, itu yang (mereka) nak masuk," katanya.
Ditanya sama Dataran Merdeka akan ditutup pada tarikh tersebut, Ahmad Fuad berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak tertentu termasuk pihak polis berhubung perkara itu kerana khuatir akan berlakunya "pertembungan" jika perhimpunan itu diteruskan di situ.
"Kalau berlakunya konfrantasi... Kita kata ia perhimpunan aman, sedangkan orang lain kata bukan perhimpunan aman, jadi ada dilema di situ.
"Jika berkaitan dengan ketenteraman, ia diserahkan kepada polis, kita akan menjaga tempat kita," katanya sambil menambah Dataran Merdeka merupakan tempat kedua popular yang dikunjungi pelancong.
Ahmad Fuad turut membidas rancangan BERSIH yang didakwanya memberi indikasi akan duduk di atas jalan sekiranya DBKL tidak memberi keizinan gabungan itu berhimpun di situ.
"Tadi kata perhimpunan aman... Saya tak fahamlah. Jangan bikin kerja susah (untuk) DBKL. Itu nampak gayanya tak berapa amanlah," katanya sambil menambah ia bakal menimbulkan kemarahan orang awam yang mahu menjalankan aktiviti harian mereka.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad mendakwa BERSIH cuba menimbulkan huru-hara kerana tidak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
"Siapa yang (cuba) timbulkan huru-hara... kita beri alternatif, mereka tak beri alternatif," katanya.
Artis wanita hantar surat peguam pada MP
Ketua
Wanita PKR Zuraida Kamarudin hari ini berkata, beliau telah menerima
surat tuntutan guaman daripada pelakon wanita terkenal Zahida Rafik yang
didakwanya menerima bayaran RM1.5 juta daripada menteri Umno.Zuraida berkata, surat melalui peguam Datuk Seri Shafee Abdullah bertarikh 23 April itu menuntutnya berhenti daripada membuat kenyataan berhubung isu yang mengaitkan Zahida dengan Menteri pembangunan luar bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Zuraida berkata, surat itu juga memintanya menarik balik kenyataan, memohon maaf serta membuat bayaran ganti rugi dalam masa tujuh hari atau prosiding undang-undang akan dimulakan.
"Saya tidak menjangka untuk terima satu surat daripada Zahida. Saya fikir Shafie yang mahu menyaman saya.
"Mengapa pelakon ini menggunakan peguam Umno sebagi peguam?" soalnya yang juga anggota parlimen Ampang.
Sementara itu, Zuraida juga berkata, beliau akan membuat dakwaan dan memberi 'bukti kukuh' kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaannya sebelum ini.
Bagaimanapun, Zuraida enggan memberi gambaran apakah 'bukti kukuh' yang beliau ada.
"Saya akan buat satu sidang akhbar dan berserta bukti dan saksi jika terdapat keperluan.
"Tapi sekarang, mari kita tumpukan perhatian pada BERSIH 3.0," katanya merujuk kepada perhimpunan proreformasi sistem pilihan raya Sabtu ini.
Ambiga: Tak cukup masa untuk tukar lokasi
Pengerusi
Bersama BERSIH 2.0 Datuk Ambiga berkata pihaknya tidak mempunyai masa
yang mencukupi untuk mengubah lokasi perhimpuan ke Stadium Merdeka
sepertimana yang dicadangkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri
Ahmad Fuad Ismail."Kami menghadapi masalah dengan masa. Kami tidak boleh menukar lokasi. Hari ini hari rabu, kalau kami membuat pengumuman esok, ia hanya ada dua hari.
"Kami percaya kalau kami tukar tempatnya sekarang, ia akan mengelirukan rakyat, sama ada berkumpul di Dataran Merdeka atau di Stadium Merdeka," katanya selepas pertemuan dengan Ahmad Fuad.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tetap akan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka kerana pertukaran tempat pada saat akhir akan mengelirukan rakyat yang hadir memandangkan tempoh masanya adalah singkat.
Bagaimanapun, Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam berkata, pihaknya merayu dan berharap kepada datuk bandar supaya menimbang semula rayuan mereka untuk mereka berhimpun di Dataran Merdeka walaupun dalam pertemuan tersebut, Ahmad Fuad menolak permohonan mereka.
Mengulas perkara itu, Ahmad Fuad berkata tidak timbul kelewatan daripada DBKL sehingga menyebabkan BERSIH 2.0 sukar untuk menukar lokasi alternatif.
Katanya, pihaknya hanya menerima surat dan menjawab permohonan mereka pada 19 April lalu dan mendakwa tidak menerima faks permohonan mereka itu yang didakwa dihantar pada 16 April lalu.
Bahkan Ahmad Fuad berpendapat hasrat BERSIH berhimpun di Dataran Merdeka seperti yang diumumkan dalam sidang media pada 4 April lalu, merupakan "hasrat" mereka sahaja, dan ia tidak dibuat secara rasmi dengan DBKL pada tarikh tersebut.
"(Contohnya) kalau dia kata nak buat kenduri, tapi dia tak jemput awak. Awak tahu dia nak buat kenduri, dan jemputan tak dapat, kamu nak pergi kenduri ataupun tidak. Samalah dengan DBKL, tak ada surat rasmi," katanya.
Sebelum itu dilaporkan Ahmad Fuad turut memberi amaran kepada BERSIH 2.0 bahawa pihaknya akan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini.
'Zahid, rakyat akan biaya anda ke Paris'
Menteri
Pertahanan Datuk Zahid Hamidi tidak patut menjadikan alasan pembiayaan
untuk mengelakkan diri daripada menghadiri inkuiri berhubung pembelian
kapal selam Scorpene di Paris, kata NGO hak asasi manusia Suara Rakyat
Malaysia (Suaram).Anggota sekretariatnya Cynthia Gabriel berkata, Zahid sepatutnya mengutamakan soal akauntabiliti dan ketelusan kerana perbelanjaan ketenteraan datang daripada wang pembayar cukai rakyat Malaysia.
"Iltizam kepada kebenaran sepatutnya menjadi alasan pertama dan paling penting untuk menjadi saksi dalam kes ini, bukan wang," kata Gabriel kepada Malaysiakini.
"Tambahan pula, beliau memungkiri kata-katanya sendiri. Sebelum ini, beliau berkata sanggup memberi keterangan, kemudian beliau tukar fikiran. Kami mahu tahu apa yang telah berlaku yang menyebabkannya bertukar nada."
Gabriel berkata, paling banyak, peruntukan yang diperlukan sebanyak RM10,000 semalam, meliputi tiket pergi balik bukan Malaysia Airlines (RM5,500), tempat tinggal (RM600 semalam) dan makan di restoran (RM200).
Zahid sebelum ini dilaporkan tidak akan hadir atau menghantar wakil ke perbicaraan di mahkamah Perancis berhubung kes bayaran komisen tidak sah kepada pegawai tertinggi Malaysia dalam penjualan kapal selam pada 2002.
Katanya, tiada sebab untuk beliau hadir kerana bukan menjadi saksi dan beliau tidak akan menggunakan wang kerajaan atau duit poket sendiri bagi membiayai kehadiran ke sana, lapor Sin Chew.
'Exco Pakatan buat angin saya naik'
Umno
Bahagian Bayan Baru mempertahankan dakwaannya bahawa kerajaan Pulau
Pinang pimpinan DAP cuba mensabotaj lawatan Timnbalan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Pulau Pinang esok.Malah, ketua penerangan bahagian Datuk Mohd Ridzwan Bakar mempertikaikan kedatangan exco negeri dan wakil rakyat Pakatan Rakyat yang didakwa menyebabkan banyak "pihak terganggu".
"Saya punya firasat mereka cuba mensabotaj majlis. Sebagai pengerusi penganjur saya minta mereka jangan kacau majlis.
"Otak saya bercelaru, banyak benda nak kena atur...angin saya lagi naik. Saya nak kena tengok itu dan ini lagi," katanya merujuk kepada kehadiran exco Abdul Malik Kassim dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin ke lokasi persiapan.
Menurutnya kehadiran Sim dan Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung ke lokasi sambutan di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru pagi tadi tidak diperlukan.
Umno Pulau Pinang sedang bersiap menyambut timbalan perdana menteri yang tiba Pulau Pinang esok. Muhyiddin dijangka sampai kira-kira jam 11 pagi dan akan meluangkan masa selama dua jam bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk setempat.
ADUN PKR dakwa diancam dipukul
Sementara itu, Sim sewaktu dihubungi Malaysiakini menjelaskan kehadirannya dan Abdul Malik ke tempat itu dibuat selepas menerima aduan penduduk setempat yang berasa terganggu dengan persiapan yang berlangsung.
Dakwanya, petugas Umno menutup jalan enam lorong bagi mendirikan khemah sejak petang Isnin lalu sedangkan program akan berlangsung esok selama dua jam sahaja.
"Mereka dakwa kita buat kacau tetapi pagi tadi mereka sendiri yang mengugut mahu memukul ADUN Batu Maung jika tiada wartawan turut sama dalam tinjauan," katanya sambil mendakwa tiada kebenaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang dikeluarkan.
"Oleh itu, kehadiran saya pagi tadi adalah untuk memudahcara dan mencadangkan agar mereka berpindah ke lokasi berdekatan yang lebih selesa."
Sim berpendapat, majlis itu sewajarnya dibuat di Stadium Pisa yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat itu, bersesuaian dengan taraf TPM yang berkunjung ke Pulau Pinang.
Umno Bayan Baru sebelum ini mendakwa kerajaan Pulau Pinang cuba mensabotaj lawatan Muhyiddin Yassin ke Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan