Jumaat, 13 April 2012

JANGAN CABAR ALLAH..DENGAN MENGEKALKAN KEDERHAKAAN KEPADANYA...BONGKAK KEPADA ALLAH..SEPANJANG2 HIDUP MENIPU DAN BUAT MAKSIAT TANPA SEGAN SILU...ALLAH BOLEH MUSNAHKAN...KAMPUNG..NEGERI..NEGARA TERMASUK DUNIA...JANGAN CETEK TAUHID@AKIDAH KITA...HARI2 BUAT MAKSIAT DAN TIDAK PERGI MENUNTUT ILMU AGAMA...MAKA KITA JADI KUDA TUNGGANGAN SYAITAN SERTA IBLIS...JIKA AMALAN NERAKA KITA BUAT...MALANGLAH KITA SEBAB ALLAH PILIH KITA MEMBUAT AMALAN2 AHLI NERAKA....

Bersih 2.0 gesa lembaga pengarah SPR letak jawatan

Hazayani Zakaria, 12 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 12 April: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 hari ini menuntut semua ahli lembaga Pesuruhjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan serta merta kerana didakwa terlibat dalam penipuan daftar pemilih.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said berkata, terdapat lebih daripada 400,000 pengundi yang meragukan ditemui oleh Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP).

"SPR bukannya menjamin 'satu orang satu undi', sebaliknya SPR telah bersekongkol dalam penipuan daftar pemilih," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, dekat sini hari ini.

Menguatkan lagi desakan tersebut, A. Samad berkata, penipuan SPR berlaku secara berterusan dan mendapat teguran daripada Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya (PSC).

Contoh penipuan antaranya tiada kematian dilaporkan di bawah Code 33 di Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor dan Tanjung Karang dalam suku tahun terakhir 2011 meskipun banyak sijil kematian dikeluarkan di tempat-tempat tersebut pada waktu itu.

Selain itu, pendaftaran dua kali ditemui ketika 15,520 pengundi di Sabah dan 8,585 pengundi di Sarawak didaftarkan semula di Selangor dalam suku tahun pertama 2012.

Tambah beliau lagi, masih terdapat lebih 15 orang didaftarkan sebagai pengundi dalam sebuah rumah juga dalam suku tahun pertama 2012.

Turut menimbulkan persoalan apabila di Selangor sahaja, sebanyak 7,841 pengundi didaftarkan di bawah Code 71, iaitu kod untuk warganegara yang dilahirkan di luar negara, juga dalam suku tahun pertama 2012.

"Hasil penyelidikan MERAP telah mengenal pasti 10 masalah pokok iaitu berkaitan daftar pemilih.

"Terdapat nama pengundi pasangan tentera polis atau polis yang jantinanya dari lelaki jadi perempuan kemudian jadi lelaki dan kemudian jadi perempuan kembali.

"Terdapat juga pengundi pos iaitu anggota polis dan tentra yang sudah tua dan pastinya sudah bersara. jantina pengundi yang berubah-rubah ini amat diragui," katanya.

Justeru katanya, selain mendesak ahli lembaga pengarah SPR meletakkan jawatan, Bersih 3.0 terus menyeru rakyat untuk 'Duduk bantah pada 28 April ini bagi menuntut reformasi pilihan raya.

"Dengan bangganya Bersih 3.0 mengumumkan kempen Duduk Bantah nasional dan antarabangsa telah meningkat dan mengampuh," katanya sambil berkata, Duduk Bnatah akan tetap diadakan di Dataran Meredeka, seperti perancangan awal.

Duduk Bantah juga akan berlangsung serentak di luar negara iaitu di Australia, New Zealand, Greater China, Taiwan, United States of America, Europe dan Asia Region.

Sementara itu, Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI) turut menyokong penuh desakan tersebut.

Pengerusinya, Ahmad Lutfi Othman berkata, desakan itu wajar kerana dalam Perlembagaan Malaysia ada memperuntukkan bahawa pengerusi SPR harus mendapat keyakinan rakyat.

"KAMI menyatakan sokongan ke atas desakan meletakkan jawatan kerana ini diakui oleh perlembagaan negara bahawa pengerusi SPR harus mendapat keyakinan rakyat. Peruntukan ini tidak ada untuk jawatan lain hatta hakim sendiri pun tak ada peruntukan begini," katanya yang juga Ketua Pengarang Harakah.

Turut bersama pada sidang media ialah beberapa ahli Jawatankuasa Pepandu, Maria Chin Abdullah dan Hishamuddin Rais.

Nedim, anak menteri yang tidak peduli publisiti negatif

Harakahdaily, 12 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 12 April: Kehidupan para menteri dan ahli keluarga mereka kini kembali mendapat perhatian awam apabila tertimbulnya kes yang melibatkan Mohamad Nedim (gambar), anak kepada Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Reaksi alam maya terhadap laporan berita mengenai insiden tersebut, berdasarkan satu laporan polis daripada seorang pengawal yang mendakwa Nedim dan pengawal peribadi beliau telah mengasari beliau, telah menaikkan tahap kemarahan rakyat biasa terhadap sikap yang ditunjukkan di tempat awam oleh manusia yang bersikap seperti Nedim.

Dulu, berita yang mendapat kutukan awam begini sudah pasti memenuhi ruang utama akhbar-akhbar tempatan, seperti krisis perlembagaan pada tahun 1993, yang timbul akibat kes Sultan Johor dengan seorang jurulatih hoki, yang kedua-duanya sudah meninggal kini.

Kisah tersebut adalah pembuka kepada pindaan kontroversi mengurangkan immuniti raja-raja yang dinikmati dulu sehingga kini apabila berdepan dengan kes jenayah.

Dalam kes Nedim, kutukan awam terhadapnya yang boleh diperhatikan di alam maya bukan sahaja terhadap tingkah-lakunya.

Fokus insiden tersebut telah berubah daripada fakta kes mengasari pengawal kepada fakta Nedin pada usia yang begitu muda kini sudah memandu Porsche and mempunyai pengawal peribadi untuk mengawal beliau dalam MPV mewah.

Seseorang kini boleh memahami apa maksud kata-kata Ketua Umum PKR Datuk Anwar Ibrahim semasa beliau berkata bahawa PRU13 ialah perang antara kelas kaya dan miskin.

Nedim dan jadual padatnya

Harakahdaily telah menemui gambar-gambar Nedim dan rakan-rakannya di dalam laman web perkongsian gambar Lockerz, di mana orang awam boleh melihat personaliti beliau, dan lebih penting lagi, ia memberikan satu penjelasan bergambar terhadap jurang antara miskin-kaya yang kini sedang melanda rakyat Malaysia.

Daripada gambar “menyejukkan badan di tepi kolam renang”, melibatkan diri dalam konvoi kereta mewah, bercuti di Eropah dan makan mewah di restoran berbintang, Nedin ialah contoh paling sempurna kategori 1% rakyat Malaysia yang memiliki jumlah kekayaan 99% rakyat negara ini.
Sudah pasti, seseorang tidak akan melihat orang sedemikian mempunyai rungutan terhadap kenaikan kos kehidupan yang kini mewarnai debat politik di seluruh dunia.

Sudah pasti, seperti anak-anak kaya daripada pemimpin-pemimpin di Timur Tengah yang kecundang, dalam gambarnya juga menunjukkan sifat belas kasihan daripada orang kaya, di mana dalam kes Nedim, sekeping gambar beliau bersahur dengan anak yatim.

Pandangan politik beliau, rasanya tidak perlu dihuraikan kerana ia adalah secebis kain daripada baju yang sama.

Dalam satu mesej di Lockers, beliau memaparkan satu mesej Twitter, yang mengandungi nada Umno dalam mengejek nama Bersih: “Kepala hotak PKR,DAP and ambiga babi!”, dengan satu poster yang menyatakan perhimpunan Bersih adalah untuk kepentingan seorang peliwat.

Selain itu, beliau turut mempunyai bukti bergambar bahawa beliau ada menghadiri solat Tarawih ketika Ramadan, dan juga makanan kegemaran beliau, bubur ayam di dalam satu pinggang bersalut emas untuk sahur.

Pengerusi muda


Nedim, berdasarkan akaun Twitternya, ialah pengerusi syarikat Harrison (M) Berhad, selain seorang pengarah Charisma Positief, sebuah syarikat yang menjual kereta mewah terpakai.


(Nedim memperkenalkan dirinya dalam Twitter)

Jika tidak silap, Harrison yang dimaksudkan ialah syarikat yang laman webnya www.harrisons.com.my, syarikat yang bertapak di Sabah yang fokus perniagaannya di Timur Malaysia membuat “pemasaran, jualan, pergudangan dan pengedaran barangan pengguna bergerak pantas, bahan binaan, produk kejuruteraan dan bahan kimia pertanian; penghantaran dan pelancongan.”

Salah satu pelanggan Harrisons di bawah kategori barangan pengguna bergerak pantas (fast-moving consumer goods) ialah Asia Pacific Brewery yang membekalkan jenama minuman seperti Tiger Beer, Heineken, Anchor,Guinness, Anglia and Malta.

Selain itu, salah satu anak syarikat Harrison, Harrisons Marketing and Services Sdn Bhd telah ditubuhkan untuk bisnes khusus wine (arak) bertempat di Jalan 222, Petaling Jaya.

Jika situasi di mana para menteri terpaksa membuat pengistiharan harta, maklumat sebegini, sekiranya benar, akan membawa implikasi negatif pada Nazri daripada anaknya.

Ini jelas, kerana Nedim sememangnya tidak kisah dengan publisiti negatif yang diterimanya.

“Saya rasanya mudah menarik pembenci/media dan saya menikmati setiap saatnya,” tulis Nedim ketika memperkenalkan dirinya dalam Twitter.

BERITA BERKAITAN

Calls grow for probe on Nazri's son as police again gives clearance
Video shows Nazri's son assaulting guard: report
Investigate Porsche-driving son of Nazri
Police's speedy clearance to 'bully' Nadem raises eyebrows
Another thuggery case involving cabinet minister
Nazri's outburst against MACC official rapped
Nazri continues to draw flak over fear of assets declaration
Assets declaration: Penang CM 'agrees' with Nazri's excuse
Assets declaration: 'What's Nazri afraid of?'

Visa Altantuya bergema jadi isu pilihan raya

Abdul Aziz Mustafa, 13 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 13 April: Pilihan raya akan datang akan bergema dengan isu visa yang diberikan di negara ini kepada Altantuya Shaariibuu untuk memasuki Perancis, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Bapa Altantuya mendedahkan bahawa anaknya itu telah memberitahunya bahawa Abdul Razak Baginda telah meminta bantuan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, dan Altantuya akhirnya diberikan visa untuk pergi ke Perancis dengan menggunakan nama Amina Abdullah," katanya.

Malaysiakini melaporkan, bapa Altantuya, Setev Shaariibuu mendedahkan kesemua itu berlaku antara 2004 dan 2005, sebelum Altantuya dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bom C4 pada tahun 2006.

Mahfuz menegaskan, sekadar penjelasan semata-mata mengenai pendedahan itu adalah tidak memadai dan tidak boleh diterima.

"Kalau penjelasan semata-mata, tentulah Perdana Menteri akan memberikan penjelasan yang menyebelahi dirinya.

"Kalau penjelasannya meragukan sekalipun, media-media di bawah kawalannya tentu akan mencanang-canangkan kononnya itu adalah penjelasan tanpa sebarang keraguan," katanya.

Sebab itulah, kata Mahfuz, pendedahan Setev itu memerlukan tidak kurang dari siasatan sebuah badan bebas yang tidak boleh dipengaruhi atau ditakut-takutkan oleh Perdana Menteri dan kerajaannya.

"Persoalannya, banyak perkara yang berbangkit dari tuduhan itu termasuk elemen jenayah.

"Bila Altantuya diberikan visa dengan menggunakan nama Amina Abdullah, tentulah wujud pasport antarabangsa atas nama tersebut.

"Siapa arahkan pemberian pasport atas nama tersebut kerana Jabatan Imigresen Malaysia tidak mungkin bertindak sendirian tanpa sebarang sebab dan suka-suka memberikan pasport kepada Altantuta dengan menggunakan nama Amina," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Orang yang mengarahkan kesemua itu dan memaksa perkara itu dilakukan, kata Mahfuz, telah melakukan jenayah.

"Kita mahu percaya bahawa Najib tidak terlibat dengan apa jua proses dalam pemberian visa kepada Altantuya atas nama Amina Abdullah.

"Hanya satu cara sahaja untuk kita mempercayainya iaitu dengan menubuhkan badan siasatan bebas untuk menyiasat perkara itu," katanya.

Jika tidak, kata Mahfuz, perkara tersebut akan menjadi salah satu isu utama yang mesti dijawab oleh Najib, terutama dalam pilihan raya akan datang.

"Jika beliau enggan menubuhkan badan bebas untuk membersihkan namanya dari dikaitkan dengan pemberian visa itu, ia boleh mengakibatkan Najib dilihat telah melakukan jenayah.

"Kita lihat sahaja nanti apa terjadi apabila Najib yang dilihat telah melakukan jenayah memimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Malaysiakini melaporkan, pegawai kementerian luar Mongolia hairan bagaimana Altantuya mendapatkan visa itu ketika berada di Malaysia.

Beliau memberitahu, warganegara Mongolia tidak boleh mendapatkan visa untuk memasuki Perancis ketika berada di Malaysia.

Pegawai itu, yang berada di Malaysia bersama bapanya Setev berkata, setiap warganegara Mongolia mesti memohon dan mendapatkan visa asing di negara mereka sendiri.

"Tiada cara untuk sesiapa pun daripada kami mendapatkan visa ketika berada di negara lain.

"Kami akan diberitahu supaya kembali ke negara kami untuk memohon mendapatkannya," kata pegawai yang enggan namanya disebut itu kepada Malaysiakini.

Sekadar tunggu disembelih?

Ahmad Lutfi Othman, 13 Apr 2012
Minggu ini suhu politik tanahair makin membahang dan panas menikam.

Bapa Altantuya Shaariibu, model Mongolia yang dibunuh kejam, Setev Shaariiibu, yang berada di Kuala Lumpur dalam lawatan tiga hari, mendakwa pernah melihat gambar anaknya diambil bersama Perdana Menteri, Najib Razak.

Dua akta primitif, yang mengekang kebebasan bersuara, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), masing-masing dibentang di Dewan Rakyat untuk pindaan dan pemansuhan (tetapi diganti dengan rang undang-undang pencegahan, yang juga dilihat keras).

Apa pun, ramai percaya, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan melewati Jun ini, selepas beberapa kali ramalan tersasar. Najib masih belum kejap hatinya untuk turun ke medan meskipun saban hari berkempen politik menggunakan dana dan kemudahan awam.

Dalam pada itu. setiap program ceramah, debat dan diskusi politik Pakatan Rakyat mendapat sambutan hangat, tidak kira siapa yang mengisinya. "Paling kurang, kutipan derma dapat menampung kos program, tapi selalunya mampu meningkatkan hasil tabung PRU13," usik aktivis PAS Kuala Lumpur.


Di Parlimen, laporan PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya bukan saja menimbulkan kontroversi ekoran sikap Speaker yang bebal itu, namun suasana menjadi lebih kritikal apabila pelbagai pendedahan membongkar konspirasi membabitkan lebih kurang 11 nama pegawai kanan kerajaan, yang bersedia menjadi "barua Umno-BN" bagi mempertahankan Putrajaya dan merampas Selangor daripada Pakatan.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menyebutkan beberapa nama yang dikatakan terlibat dalam  'task force' untuk memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

"Ini isu serius kerana saya anggapnya seperti menjual negara kepada rakyat asing," kata Mahfuz. "Jika semua ini benar, hak rakyat akan dikuasai warga asing malah masa depan negara turut ditentukan warga asing," tambahnya.

Tentu nama-nama yang disebut itu bingkas menyanggah atau sekadar memberi daleh, "saya tidak tahu apa-apa",  misalnya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Omar Wan Ahmad dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Mahfuz juga menyebut beberapa nama lain seperti Penasihat kepada Perdana Menteri, Othman Razak, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah JPN beserta tiga pegawai kanannya, dan juga orang-orang penting di MKN dan SPR.

Wartawan Saidah Hairan melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dalam satu taklimat kepada penggerak parti di Selangor, hujung minggu lalu, turut menyebut 11 nama berkenaan. Ia menjadikan senarai daftar pemilih yang ada "begitu kotor dan sukar sekali dibersihkan".

"Mereka buat kerja dengan tersusun. Jika Pakatan Rakyat Selangor kalah, bukan kerana rakyat menolak kerajaan tetapi disebabkan kemasukan daftar pemilih warga asing. Apakah Selangor menjadi negeri ketiga (selepas Sabah dan Terengganu) yang dirampas BN dengan cara begini," katanya.

Sementara itu, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi respons tegas terhadap mereka yang didakwa terlibat dengan 'task force' ini: "Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri. Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat sayalah."

Dalam tinjauan rambang, saya dapat rasai kegelisahan dan kebimbangan aktivis Pakatan, khususnya pendokong PAS. Mereka mahu tindakan segera diambil, dan bukannya sekadar menunggu perhimpunan besar-besaran Bersih 3.0, 28 April nanti.

Harakah sendiri dilihat tidak cukup responsif untuk menelanjangkan komplot jahat "sekumpulan pengkhianat dan penderhaka" yang dibayar imbuhan oleh wang rakyat ini. Ramai pemanggil mendesak saya agar menimbulkan isu 'task force' ini dalam Harakah secara lebih terperinci.

"Kalau begini jadinya, memang Pakatan akan kalah, tapi tewas bukan disebabkan penolakan atau kemarahan rakyat. Ia berpunca daripada kerja jahat Umno. Dan kita kena ingat, ini hanya salah satu daripada perancangan jelik mereka, mungkin banyak lagi strategi busuk yang belum dapat kita kesan," kata seorang pembaca setia Harakah dari Setapak

Saya merujuk pandangan Mohd Khairudin Othman, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor tentang isu 'task force' itu. "Hal ini serius ... sebab sesiapa yang dapat IC melalui cara ini, maka nama dia secara automatik masuk dalam senarai daftar pemilih," katanya.

Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hasan dan wartawan kanan, Wan Noordin Wan Yaacob memaklumkan kepada saya rumusan temubual mereka dengan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang mendedahkan usaha terancang strategis Umno memindahkan pengundi ke kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk dimenangi BN.

"Banyak kerusi Pakatan yang bakal terlungkup, termasuk Tumpat," kata Rashidi, merujuk kawasan yang diwakili Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah. "Dahsyat betul perancangan jahat Umno ini, Pakatan di Selangor mungkin jatuh kalau ianya berjaya," tegas Wan Nordin.

Difahamkan sasarannya lebih tertumpu kepada kerusi yang dimenangi secara majoriti tipis oleh PAS atau KeADILan. Dengan cara itu DAP akan dibiarkan menang dengan kelebihan undi yang besar asalkan BN dapat merebut kawasan bersebelahan apabila penyokong mereka dipindahkan ... (Saya pernah melontarkan kekhuatiran bahawa PAS mungkin akan menjadi parti paling malang dalam PRU13!)

Turut dibangkitkan salahlaku SPR "memperbetulkan" sempadan kawasan pilihan raya tanpa kelulusan Parlimen, satu lagi komplot untuk memenangkan BN, walaupun ia jelas aktiviti yang menyalahi undang-undang, iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan kawasan pilihan raya Dun mahupun kerusi Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.

Saya tertanya-tanya, mampukah Bersih 3.0 pada 28 April nanti "membersihkan" segala kekotoran dalam senarai daftar pemilih itu? Apa yang kita harapkan daripada "Duduk Bantah" itu? Jika Najib dan konco-konconya terus bersikap pekak-badak telinga tebal, apa yang boleh kita cetuskan lagi?

"Takkan nak biar Umno sembelih kita mudah-mudah macam itu saja. Sabah jatuh dengan taktik sama, Terengganu pun seperti itu, mana boleh kita tunggu Selangor juga tumbang dengan komplot jahat di bawah perancangan orang sama," marah seorang pembaca Harakah, dari Terengganu, yang mengaku "tidak dapat bersabar" lagi.

Ketika saya bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) cuba berkempen dan melobi untuk memastikan hak pemilih untuk mendapat maklumat yang komprehensif, tepat dan cepat sebelum mengundi dalam pilihan raya paling sengit nanti, serta mendesak tempoh kempen minimum dilanjutkan kepada 21 hari, isu daftar pemilih menganggu tumpuan KAMI.

"Pakatan juga mesti tekankan bahawa  semua pengundi pos, yang menjadi 'simpanan tetap' BN selama ini, mesti  ditukar kepada kategori pengundian awal," kata seorang sarjana sains politik, dan tambahnya, "pastikan juga dakwat kekal memang benar-benar digunakan kali ini."


II.

Saya terpaksa menangguhkan dahulu ulasan terhadap isu mendesak manipulasi senarai daftar pemilih bagi meneruskan catatan perjalanan ke Bumi Kenyalang, 1 April lalu.

Saya menghadiri kursus kewartawanan dan media baru di Miri, sambil cuba menyelami pergolakan politik Sarawak, yang semakin diperhatikan terutama selepas pilihan raya negeri (PRN), April 2011.

Sarawak menyumbang kerusi Parlimen paling banyak, iaitu 31, dengan hanya Bandar Kuching dapat dikuasai DAP dalam PRU12 (ditambah satu lagi, juga melalui DAP di Sibu, dalam pilihan raya kecil, Mei 2010).

Namun dalam PRN10, DAP mendapat tambahan 100 peratus kerusi Dun, iaitu daripada enam kepada 12. KeADILan pula mencatatkan kemenangan di tiga kawasan, sedangkan PAS masih belum meraih kejayaan.

"BN sendiri mengakui kesukaran kali ini. Saya difahamkan, pemimpinnya hanya berani mendakwa lebih kurang 20 kerusi Parlimen sebagai kawasan selamat," kata Jofri Jaraiee,
Yang Dipertua PAS Miri, dikenali dengan blog dwibahasanya yang cukup aktif, pas-miri.blogspot.com.

Semasa berucap meraikan kedatangan saya dan petugas Jabatan IT PAS Pusat, Jofri melahirkan keyakinannya bahawa bumi Sarawak memang tapak yang subur buat Parti Islam jika setiap potensi digembleng sebaiknya.

Beliau turut mengharapkan Harakah dapat memuatkan lebih banyak perkembangan siasah negeri itu. Sambil mengakui masih ada kelompok yang memandang serong PAS, Jofri lega dengan sikap masyarakat Tionghua "yang lebih terbuka dan menghargai sumbangan kita".

"Begitu juga dengan respons masyarakat Iban di sini, begitu positif. Apatah lagi kemungkinan besar  PAS akan meletakkan seorang calon Iban, yang juga merupakan seorang personaliti televisyen terkenal, di kawasan Parlimen Sibuti," kata Jofri.

Ditemani Yeo Kian Leong, Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak, yang turut hadir sepanjang pagi kursus kewartawanan media baru itu, Jofri membawa 'menjelajah' kawasan Sibuti.

"Kawasan ini luas, mungkin hampir sama dengan Selangor, itulah yang saya sebut tadi, kalau tempoh kempen dibenarkan sebulan pun belum tentu kita dapat berjumpa semua pengundi," katanya sambil menunjukkan ladang kelapa sawit yang sebahagiannya 'dirampas' daripada tanah adat masyarakat pribumi.

Sebenarnya saya lebih tertarik dengan sembang santai Yeo, sepanjang perjalanan kami. Beliau lebih banyak menggunakan istilah "Parti Islam" atau "Parti Tok Guru" semasa merujuk kepada PAS.

Insya-Allah keluaran depan saya cuba merakamkan idea dan sudut pandangan Yeo yang cukup bernas dan praktikal, khususnya untuk membantu kempen PAS di Sarawak.

Pada malam 2 April, tidak sampai 24 jam saya tiba dari Miri, Jofri mengirim SMS memaklumkan ayah Yeo meninggal dunia di Krokop. Rombongan PAS Kawasan berkunjung ke rumahnya dan mengucapkan takziah.

Tsunami melintasi Laut China Selatan

Ahmad Lutfi Othman, 10 Apr 2012
Pilihan raya adalah permainan angka. Kebetulan pada 31 Mac lalu saya berkunjung ke Kota Kinabalu, dan esoknya terbang ke Miri. Kali ini, elok kita teliti fakta-fakta pilihan raya, khususnya di Sabah.

Daripada jumlah 222 kerusi Parlimen yang ditawarkan, 25 peratus daripadanya berada di Sabah dan Sarawak, dua negeri yang dianggap "simpanan tetap" BN dalam Pilihan Raya Umum 2008. Malah ada beberapa kerusi yang dimenangi BN tanpa bertanding.

Dahsyatnya membadai

Sarawak sudahpun melepasi Pilihan Raya Negeri Ke-10 tahun lalu. Tsunami politik PRU12 yang menggemparkan Semenanjung, kini membadai dengan dahsyatnya Bumi Kenyalang, terutama di kawasan majoriti pengundi Cina.

Justeru, pemerhati politik menjangka Sarawak mampu menyumbang lebih 10 kerusi Parlimen buat Pakatan Rakyat dalam PRU13. Empat tahun lalu, DAP hanya menang di Bandar Kuching, seterusnya pada Mei 2010, parti itu memperolehi satu lagi kerusi Parlimen, Sibu, melalui pilihan raya kecil.

Di Kota Kinabalu, semasa menghadiri kursus kewartawanan dan media baru, dan dilanjutkan pada malamnya, secara santai sambil menjamah "ikan terbang" di sebuah restoran masakan Padang di gigi air, saya berkongsi maklumat dan sudut pandang dengan pimpinan tertinggi PAS Sabah.

Selama ini, dalam tiga kali kunjungan ke Sabah, saya lebih tertumpu kepada usaha mengagihkan bantuan kepada keluarga tahanan ISA,  khususnya di Sandakan dan Tawau, selalunya menjelang Aidilfitri, bersama teman-teman Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Pesuruhjaya Negeri, Aminuddin Aling, timbalannya, Hamzah Abdullah (yang agak kerap mengirim SMS melontarkan idea dan juga teguran membina kepada Harakah) dan Setiausaha Perhubungan,  Ustaz Awang Leman Ikin ternyata optimis -- meskipun dalam nada agak berhati-hati -- dengan potensi rakyat Sabah untuk melakukan perubahan.

Taja calon bebas

Mereka senada menyuarakan harapan agar berlaku persefahaman erat di kalangan pembangkang, bukan sahaja dalam Pakatan Rakyat, tetapi juga parti-parti lokal seperti SAPP dan STAR. BN dijangka turut menaja calon-calon Bebas, termasuk daripada parti-parti kecil bagi mempertahankan kuasa.

Keberanian pengundi Sabah untuk menukar tampuk kepimpinan kerajaan negeri sudah teruji. Parti pemerintah bersilih ganti -- BERJAYA, USNO, PBS -- menerima penghakiman rakyat. Dan sekarang Umno-BN dilihat terlalu lama dan selesa bertakhta, sedangkan negeri yang cukup kaya dengan hasil bumi dan sumber alam ini terus terkepung dan terbelit dengan pelbagai masalah, terutama kemiskinan dan pengangguran.

Sebelumnya, sekitar jam 3 pagi 31 Mac, sebaik tiba di lokasi penginapan, Setiausaha Pilihan Raya PAS Sabah, Rahimin, yang juga 'orang kuat' Jabatan IT PAS Negeri, sempat menitipkan bekalan bermanfaat tentang keunikan latar belakang politik Negeri Di Bawah Bayu itu. Saya hanya pernah menelaah buku Dr Mohammmad Agus Yusoff, Politik Akomodasi di Sabah 1962-1992, diterbitkan pada 1992.

Saya masih sukar untuk memahami keragaman etnik, umpamanya Kadazan-Dusun yang membentuk kelompok Bumiputera bukan Islam; begitu juga kompleksiti struktur masyarakat Bumiputera Islam, seperti Melayu, Berunai,  Bajau, Illanun, Suluk dan banyak lagi.

Jika tidak diteliti secara dekat situasi terkini politik Sabah, mungkin saya seperti orang lain juga, merasakan Umno tetap dalam zon selesa dan percaya negeri itu masih merupakan "fixed deposit" BN bagi mempertahankan Putrajaya

Ya, masakan tidak, pembangkang hanya menghantar wakil tunggal (Sri Tanjung) dalam sidang Dun, Jimmy Wong Sze Phin, Pengerusi DAP Negeri. Dr Hiew King Cheu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pula merupakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, satu-satunya wakil Pakatan dari Sabah di Dewan Rakyat.

Umno dominan

Persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pertambahan pengundi Bumiputera Islam  menjadikan Umno kelihatan dominan. Sistem penggiliran ketua menteri yang dimansuhkan, sebaik pusingan Musa Aman, membuktikan hal ini.

PBS yang suatu ketika dahulu begitu berkuku dan digeruni, kini terpaksa akur dengan tekanan real politik, sekadar berpuas hati dengan kuota tiga kerusi Parlimen (daripada 25 kerusi di Sabah) dan 12 Dun (berbanding 60 semuanya). Saya kira presidennya, Joseph Pairin Kitingan amat memahami hakikat itu.

"Rakyat Sabah harus disedarkan bahawa mereka menjadi harapan besar orang Semenanjung untuk menukar kerajaan Pusat. Kalaupun BN masih pertahankan kerajaan Sabah, biarkan ... kita nak tengok juga macamana ia tadbir negeri sebagai kerajaan pembangkang, istilah songsang yang sekarang dilabelkan kepada kerajaan negeri Pakatan," usik seorang sahabat, semasa kami minum teh tarik di sebuah restoran di bawah Pejabat Perhubungan PAS Sabah.


Semasa mengadakan wawancara ringkas dengan Adun Sri Tanjung, Jimmy Wong bersama Setiausaha DAP Sabah, Dr Edwin Bosi, sambil ditemani Setiausaha Publisitinya, saya dapat mengesan hubungan mereka yang rapat dengan pimpinan PAS Negeri. Malah nampaknya seperti lebih akrab berbanding DAP dan KeADILan itu sendiri!

"Kita tidak mahu ada parti dalam Pakatan Rakyat yang kelihatan begitu dominan berbanding rakan-rakan yang lain, seperti Umno dalam BN," kata Jimmy.

Kemudahan asas

Jimmy turut menekankan kepentingan kerjasama dan persepakatan parti-parti pembangkang. Seterusnya beliau petah menuturkan isu-isu besar di Sabah, yang tidak dapat lari daripada soal kemudahan paling asas, seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

"Kadar air di Sabah paling mahal dalam Malaysia, lebih kurang empat kali ganda tarif di Pulau Pinang walaupun di sana bekalan air mentahnya dibeli dari Kedah. Air pula kotor dan berbau. Saya dah berkali-kali bawa isu ini ke sidang Dun, termasuk untuk mengurangkan Non-Revenue Water (NRFW) yang begitu tinggi di Sabah, tapi tiada reaksi berkesan diambil," katanya.

"Sabah berada di tempat kedua dalam senarai negeri paling miskin walaupun negeri ini mempunyai sumber petroleum, tanah yang luas dan lokasi pelancongan menarik. Jalan pun ditampal sana sini tanpa perancangan, macam kita tampal koyok bila sakit kepala atau demam," katanya, disambut ketawa kecil saya dan rakan-rakan lain.

"Contoh mudahnya, jika kita dalam perjalanan dari Sabah, masuk Brunei dan keluar ke Sarawak. Cuba pejamkan mata, bila  rasa macam berombak, itu tandanya kita masih di Sabah. Kemudian rasa stabil, itu sudah masuk Brunei dan bila berombak balik, ia menandakan kita di Sarawak," tambahnya, sekali lagi mencetuskan suasana ceria di kalangan kami.

Seusai perbincangan ringkas itu, kami bertukar-tukar kad nama. Saya tertarik membaca Janji-janji Pakatan Rakyat Sabah di sebelah belakang kad Jimmy.

Tubuh Petro Sabah

Sepuluh janji tertulis: Merealisasikan autonomi Sabah; menubuhkan  suruhanjaya diraja masalah Pendatang Tanpa Izin; menuntut 20% royalti minyak; mempertahankan hak Tanah Adat; merombak Felda; menjanjikan dividen Tabung Yayasan Sabah RM300 Kepada setiap rakyat Sabah; menghapuskan dasar kabotaj; menubuhkan Petro Sabah dan menuntut balik Blok L&M; menubuhkan Yayasan Orang Asal Untuk membasmikan kemiskinan; dan menaiktarafkan kemudahan asas Sabah dalam lima tahun.

Isu tanah adat segera mengingatkan saya dengan NGO Bela Tanah Rakyat Sabah (TABAH), yang berjaya menghimpunkan ratusan rakyat Sabah yang prihatin untuk berarak secara aman pada 12 Mac lalu ke Pejabat Ketua Menteri dalam "123 Bangkit".

Sayang saya tidak sempat bertemu penggerak utamanya, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu, yang juga Setiausaha TABAH. Hamzah Abdullah juga, dalam panggilan telefonnya sebelum saya ke KK, menimbulkan hal tanah adat ini.

Semasa dibawa mengeliling bandaraya Kota Kinabalu, saya turut ditunjukkan banyak projek dan bangunan yang dikaitkan dengan kepentingan Musa Aman.

Dalam pada itu, rumusan yang dibuat oleh Ahli Parlimen, Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu dalam temubual dengan Roketkini cukup menarik: "Kita kena tukar pengurus. Dulu di Sabah kalau pilihan raya kita lihat baju kena tukar, tapi orangnya tidak bertukar. Pairin berapa kali? Yong Teck Lee ke, Musa Aman ke, masih duduk sana! Ini bukannya perubahan!

"Baju sudah tukar, parti sudah tukar, tapi orangnya masih duduk atas sana. Orang Sabah bukannya orang bodoh dan mereka dapat melihat semua ini. Orang Sabah mahukan perubahan. Kalau kita tak ubah, kita hanya menunggu kematian."

Rakyat cerdik

Dalam wawancara dengan Harakah, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling juga menekankan hal sama: "Rakyat Sabah juga cerdik, jika diberikan wang mereka pasti ambil, tapi bila mengundi mereka akan mengundi Pakatan Rakyat. Begitulah yang terjadi ketika BN menghadapi PBS dahulu, tapi akhirnya PBS juga yang menang."

Saya juga mengharapkan begitu. Bukankah selama ini kita dimomokkan bahawa pengundi di Sabah mudah menukar sokongan hanya kerana rasuah politik di saat-saat akhir? Saya turut mengharapkan ada gelombang besar yang mampu menenggelamkan arus deras politik wang yang sentiasa menjadi tradisi BN dalam setiap kali pilihan raya di Sabah.

Hati kecil saya agak berat untuk meninggalkan KK untuk ke Miri, pagi Ahad, 1 April itu. Banyak lagi persoalan politik Sabah yang masih menjadi teka-teki dalam fikiran saya.

Meskipun ada pihak agak ragu keupayaan Sabah untuk menyumbang lebih banyak kerusi bagi menjayakan misi Pakatan Ke Putrajaya, saya kira potensi itu tetap besar dan makin menyerlah.

Apa pun, saya percaya, dalam PRU13 nanti, untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan, aktivis dan pemimpin Pakatan harus kerap melintasi Laut Cina Selatan ....

BERSAMBUNG ....

Di samping krisis bola Annuar Musa

Subky Latif, 09 Apr 2012
TAN Sri Annuar Musa membayar harga begitu mahal gara-gara krisis bola dengan FAM. Dia terpelanting dari jawatan pimpinan ketiga penting dalam badan induk persekutuan bola negara. Dua tahun setengah terlucut dari sebarang hubungan dengan bola.
Krisis bola Annuar ini tidak sekadar menyangkut tentang pengendalian urusan bola itu saja, tetapi boleh terpalit juga sedikit sebanyak mengenai adabnya dengan keberadaan Presiden FAM sebagai seorang penyandang takhta.

Annuar dalam sejarah politiknya cuba menampilkan diri sebagai seorang membebaskan diri dengan pertautan kepada istana. Agak keterlaluan saya andaikan dia seorang republikan. Zahirnya republikan itu bukan adab orang Melayu sejati yang mesti beraja.

Amat payahlah bagi politik orang Melayu apabila ditohmah bercanggah laku dengan istana dan orang-orang yang dekat dengan istana. Mudah dicap derhaka dan sebagainya. Politik orang Melayu amat mudah mengata orang itu derhaka atau tidak  suka raja. Ia jadi mainan murah politik.

Tetapi Annuar ada sejarah tidak mahu terikat sangat dengan bau istana ini.

Politik awal Annuar dalam UMNO dibawa ketengah oleh Tengku Razaleigh yang menjadi pemimpin UMNO yang tidak dipertikai di Kelantan masa itu. Ku Li bukan sekadar ditaati UMNO sebagai pemimpin UMNO yang disegani oleh semua, tetapi sesama pemimpin UMKNO itu sendiri silu kepadanya kerana darah rajanya yang pekat dan kedudukannya yang sangat dekat dengan pemegang takhta.

Berbeza pandangan dengannya bukan sekadar bermasalah kesetiaan kepada pemimpin UMNO tetapi boleh menyentuh adab beraja. Begitulah tebalnya pegangan orang Melayu dengan  raja seperti resam individu tertentu Selangor sekarang.

Annuar dalam memanjat tangga ke puncak politik UMNO telah berjaya memulakan membebaskan diri dari bertaut sedia dengan putera raja yang amat berkuasa dalam UMNO Kelantan masa itu. Di bawah pimpinan Annuar sebagai ketua UMNO Kelantan menjadikan Ku Li tinggal berpengaruh di Gua Musang saja.

Sekali pun Ku Li membawanya ke tengah tetapi dia juga tenaga utama ke depan melemahkan bisa dan sengat Ku Li sebagai pimpinan penting UMNO.

Adab Annuar lebih menggemparkan lagi ialah menobatkan Tengku Ibrahim Petra, sepupu Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan sedang Sultan Ismail Petra masih bersemayam di takhta kesultanan Kelantan.

Dengan tindakan Annuar itu dia tidak dimasyhurkan sebagai penderhaka, tetapi dia muncul sebagai seorang yang berpendirian bebas dan longgar dalam hubungannya dengan istana.

Walau pun adabnya dengan raja dan orang berdarah raja itu longgar tetapi dia tidak boleh dikata republikan. Jika dia republikan dia tidak terima anugerah bintang Tan Sri dan dia tidak ada duduk dalam mana-mana badan yang Sultan menjadi ketuanya.

Kerana dia juga orang Melayu yang menerima raja, dia sedia jadi salah seorang pimpinan penting FAM yang dipengerusikan oleh Sultan Pahang. Oleh kerana Sultan Pahang menjadi Presidennya, maka hubungan setiap pemimpin persatuan itu samalah seperti adab mana-mana rakyat dengan rajanya.

Selagi Raja itu rasa mahu berkhidmat lagi, maka tiadalah sesiapa bercadang untuk bersaing dengan baginda untuk menjadi pemimpin alternatif. Sekali pun persatuan bola itu menjunjung semangat dan amalan demokrasi, maka masing-masing memberi kesetiaan kepada demokrasi itu sama seperti kesetiaan kepada Raja.

Jika pemimpin persatuan tidak bercakap di luar tentang masalah dalaman bola disebabkan oleh disiplin pertubuhan, tetapi ia juga begitu disebabkan oleh adab Melayu beraja tadi.

Tetapi Annuar yang mungkin sifat semula jadi tidak dibelenggu oleh adab-adab yang ketat itu, maka dia tidak terikat dengan adab yang dikatakan menjadi darah daging orang Melayu itu.

Ia boleh menimbulkan berbagai andaian lagi mengapa Annuar mengkritik perjalanan dan urusan bola yang secara langsung dan tidak langsung menegur perjalanan pimpinan Sultan Ahmad Shah, tetapi kita juga patut memahami bahawa dia adalah seorang yang longgar dengan adab tertentu Melayu itu.

Apa yang dihadapinya ialah kerana mengamalkan kepercayaan dan amalan demokrasi yang difahaminya dan yang dipercayainya.

Pandangan menembus ke akhirat

Nur Ilyani Mohamed Nawawi, 13 Apr 2012
Bismillahiwal hamdulillah...Sudah hampir 4 tahun lebih saya terlibat dalam 2 lapangan yang agak kontra bagi sesetengah pihak. (iaitu dakwah juga perubatan). Maka pandangan saya kadang-kadang,kebanyakannya dipengaruhi oleh 2 bidang tersebut.
(foto ihsan: gempa acheh)

Sudah lebih 4 tahun juga post-post saya dalam dalam bidang dakwah sahaja (saya boleh katakan begitu). Hal ini kerana ada satu perkara yang saya pendamkan selama ini. Ya, bidang perubatan amat luas dan saya boleh bercerita pelbagai mengenainya. Tetapi saya rasa saya juga perlu menjentik sedar apabila berbicara berkenaan dunia perubatan. Dan ianya sangat banyak sehingga tidak mampu tertulis selama ini.

Tetapi perkara yang paling merunsingkan saya ialah apabila pesakit yang hadir adalah terdiri daripada mereka yang bermasalah sosial. Semasa berada di posting Perbidanan & Sakit Puan hati saya dirundung pilu melihatkan betapa ramainya kelahiran anak luar nikah saban hari seawal usia 14 tahun. Cuba anda bayangkan pada satu masa hampir 5 orang wanita yang mengandung tanpa suami di sisi berada di dalam ward sebuah hospital kerajaan. Cuba anda bayangkan lagi mereka ini tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta justeru terpaksa menebalkan muka walaupun masyarakat memandang sinis untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Yang mampu mendapatkan rawatan di klinik swasta? Sudah berapa ramaikah dicatatkan? Maka berapa ramaikah manusia(hamba Allah lelaki+perempuan) telah berzina sebenarnya?

Sabda Rasulullah s.a.w
"Hindarilah zina krn ia menimbulkan enam kesan buruk, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Yang di dunia, zina akan menghilangkan kegembiraan, menyebabkan fakir dan mengurangi umur sedangkan keburukan di akhirat nanti, zina menyebabkan pelakunya diazab, dihisab secara ketat dan kekal di neraka."
-Hadis riwayat Baihaqi-

Ibrah Tsunami

Tsunami serta bala-bala lain hadir bukan kerana saja-saja. (simpati kepada sahabat-sahabat Acheh dan Indonesia semestinya) Dan al Quran diturunkan juga bukan kerana saja-saja. Bilangan muka surat berkenaan nikmat,azab,bala bencana juga bukan hanya sekadar memenuhi bilangan ayat dan muka surat. Mustahil Allah swt melakukan sesuatu dengan sia-sia.

Sabda Rasulullah saw:
"Umatku akan sentiasa baik selagi belum lahir anak zina di kalangan mereka. Jika anak zina sudah tersebar di kalangan mereka, maka aku bimbang Allah akan menimpakan azab-Nya kepada mereka."
-Hadis riwayat Imam Ahmad-

Sesetengah masyarakat ada mengatakan kita di Malaysia bersyukur kerana tidak banyak bencana alam yang berlaku. Masyarakat kita aman damai. Kita harus bersyukur. Saya bersetuju di satu sudut,namun tidak bersetuju di satu sudut yang lain.

Adakah jenayah zina,rogol,rompak,bunuh,kecurangan,sumbang mahram dan segala bentuk keruntuhan akhlak itu bukan bala dalam bentuk azab? Jika ianya bukan bala kenapa setiap kali kita mendengar berita tersebut dada kita semakin sempit? Dan kita berdoa agar kita dijauhkan dari perkara tersebut. Hakikatnya kita lebih sempit dari negara yang berperang. Kita dilihat aman, tetapi hati kita sangat bimbang membiarkan anak gadis keluar hatta ke kedai runcit. Kebebasan apakah yang kita nikmati ini?

Adakah perlu untuk kita menunggu akan hadirnya gegaran serta ombak besar yang bisa menenggelamkan seluruh semenanjung Malaysia ini baru kita termagu-magu tersedar ini merupakan bala untuk hamba-hambanya yang lupa di Malaysia ini?

Firman Allah SWT:


( Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi)
(Hud: 82)

Firman Allah swt:

Dan Berapa banyak umat yang telah Kami (Allah) binasakan sebelum mereka, sedang mereka itu lebih kuat dari mereka (yang sekarang), lalu mereka berhempas pulas mencari rezeki) di dalam negeri. Adakah ada lagi (tempat melarikan diri )daripada maut?
(Qaaf: 36)

Mari Menjadi Negarawan

Adakah jawatan itu=tanggungjawab? Dan kita akan berasa tanggung jawab apabila berjawatan. Maka tiada jawatan tangungjawab pun terlepas. Saya tidak Nampak adanya manusia hidup tanpa tanggungjawab, melainkan manusia yang ditarik nikmat kewarasan akalnya untuk berfikir. Hal ini kerana, andai seorang manusia itu tidak memegang apa-apa jawatan sekalipun dia tetap mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah swt.

Bukanlah jawatan kita yang menentukan tanggungjawab. Hakikatnya, semua kita berkongsi tanggungjawab yang sama. Cuma tujuan jawatan itu diwujudkan adalah untuk pembahagian tugas. Namun (rasa) kita tetap sama.

Maksud hadis Nabi: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (pemerintah) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Suami adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Khadam (orang gaji) adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu.” (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

Pelajar sekolah perlu mencintai sekolah, menjaganya sebagaimana Tuan Pengetua mencintai dan menjaganya. Pelajar universiti perlu mencintai universiti serta kolej kediaman sebagaimana principal mengambil berat. Bukan mengambil alih tugas,tetapi memiliki kepekaan yang sama. Contoh paling mudah tidak membuang sampah merata-rata dan tidak membuat bising kerana kita mencintai persekitaran kita serta tidak mahu membebankan pihak lain.

Begitu juga dengan NEGARA. Walaupun kita mungkin hanya seorang rakyat yang tidak dikenali, tetapi kita perlu mempunyai rasa tanggungjawab atas WATAN kita, seakan-akan kitalah seorang Perdana Menteri. Kita patut peka dan sensitif terhadap apa sahaja yang berlaku kepada negara kita, keadaan serta perjalanan negara dan rakyatnya. Kita tidak akan redha sedikit pun anasir buruk menguasai negara kita. Kita tidak akan redha dengan kebobrokan pemimpin atau rakyat yang merompak harta negara. Kita tidak akan redha dengan penghinaan terhadap hukum islam. Kita tidak akan redha dengan peningkatan gejala maksiat yang semakin membarah. Anda redha? Saya tidak.

Kita akan meredhai golongan yang yang akan menyeru untuk kembali kepada deen yang sebenar. Kami akan menyokong apa-apa usaha kearah kebaikan dan kami akan bersama mereka. Kerana Tuhan. Ya, kerana Allah. Kerana Allah kami akan menjadi golongan rakyat yang peka,proaktif dan bertanggungjawab dalam membantu dan membangunkan sebuah negara yang baik dan diredhai Allah. Silakan jika kamu wahai pemimpin ingin merosakkan negara ini, tetapi ingat saya tidak akan sesekali meredhai tugas kalian itu dan Allah Maha Mengetahui!

P/s: Kerana saya tidak mahu Allah menurunkan bencana kepada saya,keluarga saya, serta rakan-rakan terbaik saya dan kamu juga. Kerana bencana terhadap kamu juga akan terkena kepada hamba-hamba Allah yang soleh.Jadi, bertanggungjawablah kerana Allah.

(foto ihsan tsunami acheh)

(Tribute kepada rakan terdekat yang sentiasa update isu semasa. Ingatlah usaha anda tidak sia-sia. Pahala kalian akan berganda kerana hal itu melibatkan urusan negara)

Penulis adalah Pelajar tahun 4 Kursus Perubatan di UIAM Kuantan.

Tiada ulasan: