Rabu, 25 April 2012

APA DE HAIRAN...HUKUM ALLAH...PERATURAN ALLAH PUN DIKHIANATI...NI PULAK MANUSIA..AKHIRAT NANTI MEREKA TAHU...BAGAIMANA ALLAH MENGHUKUM MEREKA BERSERTA KUNCU2NYA...

Tanah sokong Bersih 3.0 pada 28 April ini

Harakahdaily, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan Tanah Rakyat (Tanah) yang terdiri daripada gabungan 70 pertubuhan NGO dan parti politik  menyokong himpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan pada Sabtu, 28 April ini di Dataran Merdeka.


Pengerusinya, Mazlan Aliman (gambar) berkata, ahli-ahli dan penyokong Tanah seramai 10 ribu orang akan berarak bermula daripada Menara Maybank di Puduraya mulai jam 1.30 petang menuju ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Ahli dan penyokong Tanah akan berpakaian putih berlambang Pulau Batu Puteh yang menjadi salah satu tuntutan untuk dibicarakan semula. Kain lilitan kuning akan di ikat pada tangan sebagai tanda sokongan Tanah kepada Bersih 3.0,” katanya dalam kenyatan kepada Harakahdaily.

Selain beliau, Mazlan berkata, antara pimpinan Tanah yang akan bersama dalam perarakkan intu adalah Salahuddin Ayub, Datuk Dr Mahfoz Mohamad, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Suhaizan Kaiat,  Amni Jagat, Suhaimi Said, Man Kadir (Pak Jabit) dan ramai lagi.

Menruutnya lagi, beberapa  bekas pimpinan Umno pun turut dijangka akan bersama dalam perarakan ini.

Beliau turut memberitahu, sepuluh tuntutan Tanah adalah:

1.     Tuntut Semula Pulau Batu Putih.
2.     Siasat Penyerahan Tanah KTM Tanjung Pagar.
3.     Hentikan Pengurniaan Tanah Kepada KPRJ/Kroni.
4.     Rampas Tanah Penyeleweng.
5.     Selamatkan Tanah Rizab Melayu.
6.     Wartakan Tanah Rizab Orang Asal.
7.     Ketelusan Pengurniaan Tanah.
8.     Pemilik Tanah Miliki Ekuiti Projek Mega.
9.     Selesaikan Projek Rumah Terbengkalai.
10.  Hentikan Manipulasi & Kurangkan Birokrasi.

Katanya, Tanah akan mengadakan Himpunan Tanah Rakyat pada Sabtu, 5 Mei depan jam 2 petang di Plaza Angsana, Johor Baharu.

“Tanah menyeru semua rakyat Malaysia untuk turut serta bersama menyokong himpunan Tanah sebagai tanda simpati kepada nasib rakyat yang tertindas akibat kelemahan kerajaan menguruskan hal ehwal tanah di negara ini,” ujarnya.

PTPTN mesti mansuh dulu

Subky Latif, 24 Apr 2012
APA pun PTPTN mestilah dimansuhkan dulu serentak dengan pengumuman pelajaran percuma hingga ke universiti.
Beban pertama yang perlu ditangani ialah membebaskan para pelajar dari hutang  sejak hari pertama melangkah ke universiti atau kolej.

Dalam sistem sekarang baik kaya dan apa lagilah miskin sebaik melangkah ke menara gading disediakan dengan hutang yang berbunga. Sebaik bekerja dan sejak gaji bulan pertama terpaksa membayar hutang.

Ia mesti dibebaskan dulu.

Tidak berbangkit tiada yang sanggup ke universiti apabila PTPTN mansuh, kerana universiti disediakan secara percuma.

Apabila ia dikatakan percuma tentu semua perkara besar yang melibatkan kewangan akan dikendalikan oleh kerajaan yang mendapat RM80 bilion setahun dari hasil minyak dan gas.

Anwar  Ibrahim yang pernah menjadi menteri pelajaran termasuk bertanggungjawab terhadap pelajaran tinggi pada masanya tahu keperluan setiap universiti  dan kolej.

Belajar dari pengalaman PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1959, tiada lulusan STP boleh masuk universiti tanpa penaja sekali pun sijilnya cemerlang. Seluruh pelajar dari Kelantan termasuk yang dapat sijil tidak penuh ditaja oleh kerajaan Kelantan.

Antara mereka masuk kampus tak berduit. Berhempas pulaslah Prof. Diraja Ungku Aziz mengikhtiarkan keperluan mereka. Selama 19  tahun PAS memerintah hanya setahun  saja pelajar Kelantan tidak jadi pelajar yang teramai dibandingkan dengan setiap negeri.

17 buah sekolah yang terbaik masa itu terhadap di tiga buah kota iaitu Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Tidak termasuk sekolah di Kelantan, tetapi siswa yang teramai bukan dari Selangor,  Perak dan Pulau Pinang bahkan dari Kelantan.

Perdana Menteri kata, jika PTPTN dimansuhkan kerajaan terpaksa tanggung RM43 bilion. Anwar yang pernah jadi menteri kewangan kata, RM43 bilion itu bukan peruntukan setahun. Yang disediakan oleh kerajaan sekarang tiga bilion saja setahun. Tetapi PR sedia belanjakan lima bilion setahun dari 80 bilion setahun dari hasil minyak untuk tampung keperluan ganti PTPTN itu.

Bukan Najib saja pernah jadi menteri kewangan dan menteri pelajaran. Anwar pun pernah jadi menteri pendidikan  dan menteri kewangan.

Kata Khaled Nordin, menteri pengajian tinggi, tanpa PTPTN tutup  semua universiti swasta (IPTS). Khaled Nordin tidak pernah jadi menteri kewangan dan tiada pengalaman jaga kementerian pelajaran. Anwar lebih banyak pengalaman dan dia adalah pengerusi jawatankuasa anti penyelewangan. Dia tahu ke mana  tumpah kuah.

Tidaklah 100 bajet universiti swasta datang dari dana kerajaan, tetapi kekurangan peruntukan disebabkan oleh ketiadaan PTPTN tentulah dapat ditampung oleh kerajaan yang menyediakan peruntukan lima bilion tadi.

Pelajaran bagi Pakatan Rakyat adalah termasuk dalam negara berkebajikan. Ia bukan produk yang diswastakan seperti di bawah BN. Konsep swasta adalah mencari sebanyak-banyak untung. Banyak siswa, maka banyaklah pulangannya. Mutu pengajian jadi perkara kedua.

Tetapi di bawah pelajaran percuma, mutu pengajian diutamakan dan ia mesti memenuhi kehendak kebajikan. Sebagaimana graduan Kelantan dengan standard pengajiannya yang bermutu balik membangunkan Kelantan, maka nilai pelajar yang keluar dari semua universiti, tentulah dapat membangunkan negara, bangsa dan agama atau bermoral tinggi.

Kita jangan berbalah dulu tentang ganti PTPTN dan macam nak tangani kampus tanpa PTPTN. Mansuh  dulu PTPTN dan laksanakan pelajaran percuma. Setelah itu kita fikirkan bagaimana  anak orang kaya dan anak orang miskin.

Persoalan pertamanya jangan jadikan PTPTN sebagai ah long kepada pelajar.

Menuntut ilmu adalah ibadat. Bebaskan pelajar dari gejala  riba membatalkan ibadat bahkan jadi maksiat pula. Bebaskan pelajar dari berhutang kerana hutang itu menyebabkan ibadat tidak sampai ke langit dan  doa tidak makbul. Kejayaan dalam pelajaran bukan sekadar cerdik dan rajin studi, tetapi dibantu oleh doa. Kalau siswa berhutang doa untuk lulus cemerlang dan dapat kehidupan baik tidak tercapai kerana halangan hutang.

Jika universiti dan kolej jadi tempat ibadat dan doa dimakbulkan, maka melimpah ruahlah bantuan dari Allah. Ramailah orang kaya memberi zakat kepada kampus sebagai ganti kepada PTPTN. Apabila  universiti makmur, maka bukan orang miskin saja dapat kebajikan dari pengajian percuma, anak orang kaya juga boleh dapat pelajaran percuma. Belanja dari orang kaya untuk pengajiannya adalah sedekah.

Islam agama diterima di sisi Allah. Malulah kepada Sweden,  Norway dan Finland bukan Islam dapat memberi kebajikan kepada pengajiannya, negara Islam mencari keuntungan dari bidang pelajaran.

Pencinta alam sekitar turut ke Dataran Merdeka

Anis Nazri, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Pada 28 April ini, Kuala Lumpur bukan sahaja menerima kehadiran rakyat yang menuntut ke arah pilihan raya yang bersih dan adil, tetapi turut disertai mereka yang mencintai alam sekitar.

Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau, berkata perancangan asal jawatankuasa itu untuk Himpunan Hijau 3.0 yang akan diadakan di KLCC, akan diteruskan.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini, para penyokong Himpunan Hijau 3.0 dinasihatkan tiba lebih awal sebelum jam 11 pagi, sebelum berarak ke Dataran Merdeka, pada jam 12 tengahari.

"Jawatankuasa menerima pengesahan daripada pelbagai NGO dan gerakan sivil yang akan bertemu di KLCC, 28 April ini.  Kita akan melihat 13 bendera negeri-negeri akan berkibar di tengah-tengah ikon negara, menara berkembar pada hari itu," kata pengerusinya, Wong Tack.

Tambah Wong, program ini akan berlangsung dengan penuh aman dan harmoni sebagaimana Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di Kuantan, Pahang, pada 26 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau mengingtkan dan menggesa mana-mana pihak agar mengamalkan dan menghormati proses demokrasi, yang menjamin hak berhimpun dan bersuara.

"Himpunan ini berasaskan kepada sayang dan cintanya kita kepada alam sekitar dan kemanusiaan.  Jadi, kita harapkan polis akan memelihara profesionalisme mereka dalam mengendalikan himpunan aman ini kelak," tegas beliau lagi.

Poster, banner PAS jadi mangsa khianat

Aslani M, 24 Apr 2012

PASIR PUTEH: Mungkinkah kerana umpan kebendaan yang ditabur gagal mendapat simpati rakyat, pihak tertentu mengkhianati pula poster, banner dan lambang PAS dan kerajaan negeri.

Sebanyak lima banner program Pentas Anak Muda dan Hi-Tea dijadual diadakan di sini petang esok yang dipasang sekitar bandar ini dikoyak dan dirosakkan.

Anggota jawatankuasa PAS Pasir Puteh, Abdul Shakur Sharrie berkata, selain itu bendera PAS dan poster ceramah dikhianati pihak terbabit.

“Perbuatan khianat itu kemungkinan dilakukan pihak tertentu malam tadi. Petugas PAS mengesan poster yang ditampal dan banner yang digantung dikhianati dan dibuang di merata tempat.

“Ini mungkin kes pertama yang berlaku lagi di Kelantan apabila ada pihak berani melakukan perbuatan khianat secara terang-terangan.

“Kita percaya perbuatan dilakukan skuad yang diupah, lebih-lebih lagi mereka begitu takut dengan kehadiran aktivitis mahasiswa Adam Adli pada program Hi-Tea yang akan diadakan petang esok,” katanya di sini.

Turut menjadi mangsa khianat kumpulan terbabit banner program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri yang akan diadakan di padang Maahad Saniah malam esok.

Program tersebut akan menampil anak-anak muda iaitu Ketua Serikandi PKR, Siti Aisyah Shaik Ismail dan tokoh ulama muda Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary serta anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Abdul Shakur berkata, PAS kawasan Pasir Puteh telah membuat laporan polis terhadap perbuatan khianat tersebut petang tadi.

“Kami berharap pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan kerana perbuatan terbabit boleh mencacatkan demokrasi, lebih-lebih lagi kehangatan menjelang pilihan raya sekarang,” ujarnya.

Kalau ke Kelantan, datanglah ke pejabat saya

Salmah Mat Husain, 24 Apr 2012
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), melahirkan rasa dukacita terhadap menteri-menteri dan timbalannya yang datang ke negeri ini tetapi tidak pernah mengunjungi pejabat beliau.

Katanya, Kelantan adalah sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang menteri besar, yang seharusnya menteri atau timbalannya mengunjunginya selaku ketua kerajaan di negeri yang mereka lawati.

“Dia nak datang tu, datanglah, (Kelantan) tetapi kalau boleh datanglah ke pejabat menteri besar, sebab dia ada kerajaan dan ada ketuanya sendiri.

“Sejak saya menjadi menteri besar hampir 22 tahun ini, hanya ada dua orang menteri sahaja yang bersedia datang bertemu saya, baik dia iaitu Menteri diJabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mohamed Nazri Aziz.

“Seorang lagi yang sempat bertemu saya bekas Menteri Pertanian, kalau tak silap saya bekas Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, orang lain tak datang,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan awal Mei ini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ketika ditanya adakah lawatan itu ada kaitan dengan pilihanraya semakin hampir, beliau berkata terpulanglah kerana pilihanraya atau sebaliknya, sebab PAS sendiri turun ke seluruh negara khususnya sebagai persiapan menghadapi pilihanraya.

“Tetapi soalnya sekarang rakyat mesti faham untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang ditadbir PAS apa dosa yang telah dilakukan oleh parti Islam ini,”ujarnya.

Sambungnya lagi, perjuangan PAS menarik manusia kembali pada ajaran Allah yang sebenar.

Sambungnya, selepas manusia mati sudah pasti akan dibangkitkan semula sama ada mahu atau sebaliknya tetap akan dihidupkan semula.

Sambil merujuk surah Yaasin ayat 51 dan 52, Tuan Guru berkata, setiap manusia yang mati akan dihidupkan semua untuk menerima pembalasan di akhirat.

Kerana itu tambahnya, PAS telah membawa ajaran yang selari dengan Islam kerana ianya menjadi tanggungjawab perjuangan umat Islam.

Royalti: BN Terengganu khianati rakyat

Salmiyah Harun dan Muhamad Faizal, 24 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) menyifatkan kerajaan BN Terengganu sebagai pengkhianat terhadap rakyat negeri itu apabila  menarik balik saman ke atas Petronas.

Katanya, apabila kerajaan BN Terengganu mengugurkan saman royalti minyak bermakna mereka telah menyerahkan hak itu kepada kerajaan pusat.

"Ini benda yang tidak betul, apa syarat-syaratnya sehingga tarik balik saman itu?" soal beliau kepada Harakahdaily.

Bahkan katanya, rakyat Terengganu perlu tahu apa terma perjanjian sehingga kerajaan dibawah Datuk Seri Ahmad Said menarik balik saman secara senyap.

Apapun berlaku, katanya rakyat negeri itu perlu tahu kerana royalti minyak adalah hak mereka

"Buat senyap-senyap, rakyat pun tidak tahu. Rakyat nak tahu apa tindakan yang hendak ambil oleh kerajaan," tegasnya yang bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Terdahulu, Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Umno telah menggugurkan saman royalti minyak yang difailkan 11 tahun yang lalu oleh kerajaan negeri di bawah PAS, lapor The Edge Financial Daily (TEFD).

Bagaimanapun, TEFD berkata tiada butiran lanjut mengenai penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara kerajaan Terengganu dengan Petronas dan kerajaan persekutuan dalam permohonan yang difailkan 21 Mac yang lalu.

Selepas enam bulan PAS menawan Terengganu iaitu pada tahun 2000, perdana menteri ketika itu,  Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan untuk menarik balik bayaran 5 peratus royalti minyak kepada negeri penyu tersebut.

Sebelum itu, sejumlah RM7.13 bilion yang dipersetujui dengan kerajaan negeri telah dibayar selama 22 tahun.

Duit royalti itu telah ditukarkan kepada wang ehsan, yang diberikan terus kepada pemimpin Umno di negeri Terengganu dan bukannya badan-badan di bawah kerajaan negeri.


Terengganu perlu perjelaskan

Sementara itu, wartawan Muhammad Faizal melaporkan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya rakyat Terengganu memerlukan penjelasan segera berhubung tindakan Kerajaan Terengganu mengugurkan tindakan undang-undang terhadap Petronas bersabit bayaran royalti minyak.

Menurut, Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) tindakan undang-undang ini telah dimulakan oleh Kerajaan Terengganu pada Mac 2001 dan berlarutan selama sebelah tahun itu adalah ekoran daripada keengganan Petronas dan kerajaan pusat meneruskan bayaran royalti sepertimana perjanjian 1975.

"Perkembangan terbaru ini memerlukan beberapa penjelasan yang harus dibuat oleh kerajaan Terengganu, Petronas dan juga kerajaan persekutuan.

"Apakah terma-terma penyelesaian yang telah dipersetujui oleh kerajaan Terengganu, Petronas dan kerajaan Malaysia yang membawa kepada tindakan penyelesaian di luar mahkamah," persoalnya.

Tambahnya lagi, rakyat juga ingin tahu berapakan jumlah bayaran sebenar yang diperolehi kerajaan Terengganu hasil penyelesaian cara ini.

"Berapakah terimaan sebenar wang ehsan dan wang royalti yang diterima kerajaan Terengganu mulai 2001 sehingga 2011 memandangkan perbedaan harga minyak dunia di antara USD20 setong sehingga USD100 setong sepanjang tempoh tersebut.

"Kita juga ingin tahu ke dalam akaun mana wang ini dimasukkan samada kumpulan wang disatukan kerajaan negeri atau digunakan terus untuk membiayai politik Umno dan Barisan Nasional seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal atapun yang lain-lain," tambah beliau.

Saifuddin menyatakan rakyat sedia maklum dolak dalih kerajaan persekutuan terhadap isu wang ehsan dan royalti ini sebenarnya terbit daripada dengan politik Umno-Barisan Nasional apakala tumpas di Terengganu pada 1999-2004.

"Menarik balik tindakan undang-undang terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu hari ini tidak sama sekali menamatkan faktor ketidaktentuan dalam isu royalti.

"Ini kerana kiranya berlaku peralihan politik dan kerajaan Terengganu pimpinan Umno-Barisan Nasional tumpas pada pilihanraya yang akan datang tidak semestinya kerajaan baru nanti terikat dengan terma-terma penmyelesaian dan jumlah bayaran yang dibuat sekarang," sambungnya.

Beliau berharap penjelasan tentang terma penyelesaian yang dibuat telus dan terbuka dan jumlah bayaran yang diterima kerajaan Terengganu dari hasil minyak ini bukanlah terlalu sukra untuk dibuat kiranya kerajaan Terengganu benar-benar bertanggungjawab dan menghormati rakyat.

LAPORAN BERKAITAN


T'ganu gugur saman royalti minyak secara senyap

Tiada ulasan: